Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Serina kecewa


JELAS tergambar perasaan kecewa buat anak dara Chef Wan, Serina Redzuawan apabila ada suara nakal mengandaikan perkahwinannya dengan jejaka mat salih, Gavin Edward O'luanaiyah atau Salahudin Ghaffar yang bakal berlangsung 1 Januari ini tidak akan mampu bertahan lama.

"Bertahan ke Serina berkahwin dengan jejaka mat aalih tu, tengoklah nanti nasibnya sama seperti artis lain, mungkin tak kekal lama," itulah antara kata-kata yang begitu menghiris perasaan Serina.

Dengan nada sebak, Serina akui: "Saya terlalu kecewa dengan sindiran keterlaluan, saya tak sangka ada yang tergamak mendoakan perkahwinan saya dengan Salahudin berkecai di tengah jalan. Saya belum lagi berkahwin, tiang rumah tangga pun belum didirikan, tetapi janganlah kerana rumah tangga beberapa artis Malaysia yang berkahwin dengan bangsa asing berkecai, saya dan Salahudin turut menerima tempiasnya. Sepatutnya mereka mendoakan yang terbaik buat saya, bukan membuat andaian bukan-bukan.

"Sebagai manusia biasa, saya pasrah jika usia perkahwinan saya tidak panjang tetapi saya selalu sematkan dalam hati, jodoh, pertemuan, ajal dan maut semuanya di tangan Tuhan, bukan manusia. Saya selalu terfikir jika artis Malaysia berkahwin dengan orang tempatan pun ada usia rumah tangga mereka tetap tak mampu bertahan, jadi salahkah saya memilih bangsa lain?

"Ini sudah jodoh saya. Saya terima dengan hati terbuka walaupun saya tahu tanggungjawab saya besar. Saya bersyukur memiliki Salahudin, dia rajin mendalami Islam, malah sentiasa membaca buku berkaitan agama."

Secara jujur, Serina berkata, dia tidak pernah gusar berkahwin dengan bangsa asing, malah melihatnya sebagai hikmah buat dirinya. "Saya tidak nafikan, banyak perkara yang perlu dilakukan bila berkahwin dengan bangsa asing tetapi semuanya terletak pada tangan kita sendiri. Saya melihat berkahwin dengan bangsa asing banyak hikmah di sebaliknya, bukan bebanan. Sekurang-kurangnya saya dapat mendalami agama Islam dan meneguhkan keimanan apabila belajar agama bersama.

"Salahudin mempunyai personaliti hampir sama dengan saya, `sporting' dan gila-gila. Dia akan sedia mendengar nasihat saya, ini menjadi tanggungjawab besar saya selepas saya mengambil keputusan bersama dengan saudara baru. Saya rasa perbezaan budaya menjadikan hubungan ini istimewa yang mana saya bukan saja sebagai bakal isteri, malah saya juga memainkan peranan sebagai pembimbing," katanya.

Akuinya, perasaannya kini bercampur baur menghitung hari menanti detik bersejarah untuk disatukan. Walaupun agak pening kepala memikirkan pelbagai persiapan yang perlu dilakukan, apatah hari bersejarahnya akan dilakukan dengan adat istiadat Melayu. Bukan soal tidak bersedia sebaliknya perkahwinannya dengan Salahudin bakal mencipta sejarah baru apabila banyak media dari luar negara berminat untuk membuat liputan sehingga menjadikan majlis perkahwinannya antara acara penuh tradisi Melayu yang akan ditonton di seluruh dunia.

Serina berkata: "Saya pening kepala, banyak persiapan yang perlu dilakukan tetapi mujurlah, bapa, Chef Wan membantu. Saya hanya mengikut kehendak bapa, dari kelengkapan, makanan hingga pelamin dan konsep, bapa yang menentukan. Di kala detik bersejarah saya hampir kunjung tiba, saya masih terikat dengan banyak projek seni. Alhamdullilah, saya masih kekal sebagai pengacara program Inspirasi Koko dan kontrak saya disambung untuk drama bersiri Roda Roda Kuala Lumpur dan Akademi Polis untuk musim seterusnya.

"Terbaru, saya dipilih mengacarakan progra, Jalan Jalan Cari Makan di TV3 untuk musim akan datang menggantikan Maria Tunku Sabri. Saya akui ada kalanya saya tertekan, kalau ikutkan saya mahu majlis perkahwinan diadakan secara sederhana, tetapi dah namanya artis dan anak kepada pakar masak terkenal, pastinya saya dan bapa tidak mampu menolak permintaan rakan-rakan bapa dari luar.

"Bukan mudah sebenarnya melakukan persiapan perkahwinan, detik saya dan Salahudin disatukan hanya dua bulan lagi, tetapi persediaan dilakukan sejak enam bulan lalu. Saya juga minta maaf pada teman, peminat dan rakan wartawan kerana tidak dapat mengundang semuanya, saya harap jangan ada yang berkecil hati.

“Majlis persandingan bertemakan taman diadakan secara tertutup. Majlis itu hanya akan dihadiri 600 tetamu dan rakan media yang cukup rapat dengan kami sekeluarga. Semuanya ditentukan bapa, saya hanya mengikut," katanya yang memilih 1 Januari ini untuk majlis akad nikah di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

Serina berkata, dia juga mengadakan majlis berinai kecil dan besar untuk memenuhi adat istiadat orang Melayu, apatah lagi majlis-majlis yang diadakan akan mendapat liputan Asian Food Channel dan BBC2 London.

Dengan nada perlahan, Serina akui: "Berat badan yang bertambah membuatkannya dipaksa menurunkan berat badan. Saya bingit mendengar bebelan bapa yang mahu saya kelihatan kurus pada majlis perkahwinan nanti. Bukan tidak mahu diet, malah hingga hari ini, berat badan saya berkurang lima kilogram, tetapi masalahnya ialah masa. Saya berazam nak turunkan lima kilogram lagi," katanya tergelak kecil.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails