Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Stailo. Show all posts
Showing posts with label Stailo. Show all posts

Inul bersolek hanya di pentas


MELIHAT kelincahan persembahan goyang gerudi penyanyi dangdut popular, Inul Daratista di atas pentas dengan pakaian yang penuh kilauan, pastinya ramai yang menganggap penyanyi ini seorang yang mewah dengan pakaian-pakaian yang mahal.

Namun, tidak seperti disangka, penyanyi kelahiran Jawa Timur, Indonesia itu sebenarnya seorang yang sangat sederhana dalam berfesyen.

Malah, dari hujung rambut hingga ke kaki, Inul tidak mementingkan label mewah atau berjenama. Cukup jika dia memastikan dirinya sihat dan segar tanpa perlu memikirkan pakaian yang mewah seperti selebriti yang lain.

Kata penyanyi berusia 31 tahun itu, dia tidak terlalu mengikut perkembangan fesyen dan lebih selesa bergaya sederhana bila bukan waktu bekerja.

"Orang selalu melabel saya seorang yang seksi tapi sebenarnya bukan. Saya tidak selesa berpakaian seksi dan pakaian sopan membuatkan saya lebih aktif.

"Tambahan menyarung pakaian yang penuh dengan perincian manik membuatkan saya kurang yakin diri melainkan beraksi di atas pentas. Terasa seperti orang sedang mengata tentang saya.

"Apapun, pakaian yang sederhana cukup membuatkan saya selesa dengan diri sendiri," tuturnya.

Tambah isteri kepada Adam Susilo itu, dia tidak akan bersolek ketika beriadah kerana ingin memastikan wajahnya sentiasa segar.

"Pernah kawan saya memuji solekan saya dan meminta saya jangan menanggalkan solekan itu agar boleh ditunjukkan kepada suami.

"Namun, suami yang kebetulan berada di situ meminta saya mencuci solekan selepas selesai persembahan kerana dia lebih suka wajah saya bersih tanpa mekap.

"Jadi, sebagai isteri, saya mengikut katanya dengan tidak bersolek terlalu tebal. Sebenarnya bagus juga kerana ia membuktikan suami lebih selesa saya tampil dalam keadaan diri saya yang sebenar, malah ia dapat mengurangjan masalah jerawat di wajah jika terlalu lama dengan solekan," katanya.

Fesyen tanpa tema, peralihan musim


Azalea (kiri) dan Yasmin menggayakan rekaan baju dan aksesori yang ada di PU3 Design.


Pakaian PU3 Design mudah disuai padan, menyerlahkan keperibadian pemakai

MEMPERTARUHKAN rekaan sendiri memberi kelebihan kepada pasangan kembar, Putri Azalea Ashram Ramli dan Putri Yasmin Ashram Ramli mencatur perjalanan butik PU3 Design milik mereka yang terletak di The Curve, Kota Damansara.

Melihat kepada latar belakang gadis genit yang juga anak kesayangan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, pasti ramai beranggapan mereka hanya menumpang tuah keluarga.



Bagaimanapun, sesiapa mengenali pasangan kembar yang memiliki pesona seperti si kembar Hollywood, Mary-Kate dan Ashley Olsen pasti akan berbisik kagum dengan komitmen mereka mengangkat label tempatan setanding jenama pakai siap terkenal dari luar negara.

Dalam usia menginjak 27 tahun, rangkaian label pakai siap dikendali yang dulunya hanya beroperasi di sebuah kiosk kecil di The Curve, kini memiliki ruang niaga sendiri dihias indah bertemakan warna hitam dan merah jambu.

Azalea berkata, inspirasi untuk membuka perniagaan berasaskan pakaian wanita bermula selepas menamatkan pengajian di London. Oleh kerana Yasmin sendiri memiliki segulung ijazah dalam rekaan fesyen, idea menubuhkan butik pakaian dan aksesori wanita disampaikan kepada bonda tersayang, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah yang sememangnya memiliki kepakaran mereka dan menghasilkan aksesori perhiasan wanita.

“Ibu menjadi pendorong utama kejayaan kami. Sehingga hari ini, ibu setia memantau dan memberi tunjuk ajar kepada kami malah rekaan aksesori PU3 juga sebilangan besar adalah hasil idea dan kerja tangan ibu bersama kami berdua.

“Saya masih ingat, lima bulan sebelum PU3 Design dibuka, hampir setiap hari kami bertiga bersengkang mata menghasilkan aksesori untuk stok jualan. Apabila semua tersedia, kami sendiri bagai tidak percaya melihat deretan aksesori yang dihasilkan,” katanya.

PU3 Design mengetengahkan koleksi pakaian siap tanpa berpegang kepada tema atau peralihan musim tertentu. Konsep dipilih adalah moden dan kasual malah kebanyakan rekaan dihasilkan lebih cenderung kepada aliran fesyen yang menjadi ikutan mereka berdua.

“Pasaran fesyen di negara ini tidak seperti negara empat musim. Bagaimanapun, sedikit sebanyak kami juga perlu seiring dengan arus fesyen antarabangsa dan penambahan serta pengubahsuaian perlu dilakukan supaya sesuai selera peminat fesyen tempatan.

“Antara rekaan yang menjadi ikutan ramai ketika ini adalah seluar sendat. Justeru, kami membuat perubahan dengan mengetengahkan rekaan seluar sendat yang diperincikan zip serta lipatan pada sisi seluar untuk kelainan,” katanya.

Koleksi PU3 Design mempunyai identiti sendiri yang boleh dibezakan daripada pakaian pakai siap lain. Menurut Azalea dan Yasmin, mereka selesa menghasilkan pakaian menggunakan fabrik polos dari warna terang kerana ia mampu menarik pandangan.

Sesuai dengan sasaran pasaran mereka iaitu wanita muda yang ceria serta mencintai fesyen, pakaian PU3 Design juga mudah disuai padan malah mampu menyerlahkan keperibadian pemakai supaya kelihatan seksi dan periang.

Turut ditawarkan butik PU3 adalah rangkaian aksesori perhiasan wanita seperti rantai, gelang dempak, aksesori kepala (headband), anting-anting dan cincin hasil kerja tangan Azalea, Yasmin dan ibunya.

“Keistimewaan aksesori PU3 ialah semuanya dihasilkan satu untuk setiap rekaan. Tapi kami tetap menerima tempahan pelanggan yang mahukan rekaan sama daripada koleksi terdahulu,” katanya.

Butik PU3 dedikasi Ramli untuk tiga wanita kesayangannya iaitu isteri dan dua puteri kembar melalui tahun pertama yang memeritkan dan Yasmin sendiri mengakui mereka terpaksa bekerja keras untuk berada pada tahap sekarang.

“Untuk itu, kami mengambil pelbagai langkah untuk mempromosikan pakaian PU3 dan kebetulan bekas kakak ipar, Nora Danish sentiasa muncul memperaga pakaian kami. Saat itu orang mulai sedar kewujudan PU3.

“Selain Nora, Sazzy Falak dan Yasmin Hani juga selalu berkunjung ke butik setiap kali ada koleksi baru dikeluarkan,” kata Yasmin yang turut membuka sebuah kiosk menjual coklat import, Me Luv Candy bersama rakan kongsi, Alfi Alizar.

Selipar Ninakimi jadi kegilaan wanita


Rusyarina bersama selipar dan capal hasil rekaannya.


Rekaan mempunyai keistimewaan tersendiri dan pelanggan berpeluang memilih pelbagai corak disediakan selain menerima tempahan

SENI itu indah. Jika dirujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga, perkataan seni bermaksud karya yang dicipta dengan bakat (kebolehan) hasil daripada sesuatu ciptaan dan ia juga sama erti dengan kebolehan mencipta sesuatu yang indah.

Bertitik tolak daripada perkataan seni itulah seorang gadis manis berusia 25 tahun, Rusyarina Zulkafly mengembangkan ilmu diperturunkan bapanya bagi menghasilkan objek yang cantik dan berguna sesuai minat si empunya diri.



Rusyarina berkata, idea menghasilkan selipar kulit buatan tangan bermula selepas melihat bapanya membuat capal.

“Minat itu juga yang mendorong saya melanjutkan pengajian di dalam jurusan Seni Halus di sebuah institusi pengajian tinggi awam tapi disebabkan masalah peribadi, saya tidak sempat menamatkan pengajian.

“Tapi sehingga sekarang saya masih bercita-cita untuk mendalami ilmu pembuatan dan rekaan kasut kerana saya tahu industri itu punya potensi malah tidak ramai orang memiliki kemahiran menghasilkan kasut,” katanya.

Kini, Rusyarina atau mesra disapa sebagai Nina dipertanggungjawabkan bapa bagi meneruskan kesinambungan tradisi membuat capal melalui perniagaan milik keluarga, NinaKimi Handmade Leather Sandals (NinaKimi).

“Ayah memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan kilang di Ipoh dan saya sangat bersyukur kerana berkat tunjuk ajar dan dorongan yang diberikan keluarga umpama doa untuk saya terus mengembangkan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, lumrah anak seni yang dikurniakan bakat dan kreativiti membuatkan Nina tekad menghasilkan rekaan selipar kulit bertampal motif khusus untuk wanita. Apabila sambutan yang diterima menggalakkan, rekaan mula dikembangkan pula kepada gladiator kulit yang menjadi kegilaan wanita ketika ini.

“Buat capal memang seronok tapi ia memerlukan kudrat lelaki justeru dengan bantuan dua rakan kongsi, Muhd Rizan dan Muhd Faiz Che Ab Rahman, saya kembangkan lagi rekaan untuk kepuasan sendiri selain memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Tempahan mengikut kehendak pelanggan

Rekaan selipar kulit buatan tangan ditawarkan NinaKimi mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menurut Nina, selain berpeluang memilih pelbagai corak yang disediakan, dia juga menerima tempahan seperti diinginkan pelanggan.

“Bukan saja corak dan warna tapi kami juga bersedia memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan lakaran (initial) pada selipar kulit seperti nama kekasih, hari lahir atau dijadikan ‘couple flip flops’ untuk pasangan bercinta.

“Ada juga pelanggan yang menjadikan selipar kulit NinaKimi sebagai hadiah kepada tetamu di majlis persandingan. Semuanya tidak mustahil kerana kami bersedia menerima pesanan mengikut kehendak pelanggan,” katanya.

Katanya, ada di kalangan pelanggan yang menempah capal atau selipar daripadanya kerana mengalami masalah kaki tidak normal seperti saiz kaki tidak sepadan atau kaki terlalu besar.

Setiap tempahan akan disiapkan di dalam tempoh dua minggu termasuk proses pemilihan rekaan, saiz dan penghantaran.

“Kilang NinaKimi di Ipoh, Perak mempunyai mesin ‘press’ dan mesin jahit untuk kulit. Jadi proses menyiapkan tidak mengambil masa lama. Biasanya dalam satu hari kami mampu menyiapkan sehingga 23 pasang selipar kulit.

“Selain itu, ia juga bergantung kepada bekalan kulit. Walaupun membeli bekalan kulit daripada pembekal tetap, kami tetap pergi juga ke negeri-negeri tertentu untuk melihat jikalau ada material seperti kulit atau tapak getah yang lebih berkualiti bagi menjamin kualiti produk,” katanya.

Nina berkata, dia menggunakan tiga jenis kulit iaitu kulit lembut, kambing dan biri-biri. Tekstur kulit lembu dan kambing kebiasaannya menjadi pilihan ramai pelanggan kerana ia lebih halus dan lembut.

Motif ditawarkan

Nina berkata, sehingga kini dia telah menghasilkan lebih daripada 50 motif untuk selipar kulit menggunakan tema tertentu seperti Animal Kingdom, Famous Characters, Starry Starry Night, Technicolor Rainbow dan banyak lagi.

“Ramai pelanggan suka melihat rekaan selipar dan gladiator NinaKimi yang berwarna-warni. Kebiasaannya mereka gemar memilih selipar dalam rona terang,” katanya.

Nina bagaimanapun mengakui rekaan motif yang dihasilkan selain datang daripada idea sendiri dan dua rakan kongsi, ia turut dikembangkan daripada buah fikiran pelanggan.

Gadis manis itu juga begitu optimis mengatur perjalanan NinaKimi. Selain mahu mempelbagaikan rekaan, dia juga bercadang untuk membeli mesin hot stamping bagi memudahkan proses melabel barangan kulit buatan NinaKimi.

Kenali Gaya: Remaja sesuai warna terang


Selain bangkitkan 'mood' segar, ia bantu gadis kurus tampak lebih berisi

Soalan:
Saya berumur 23 tahun dan penuntut tahun akhir di institusi pengajian tinggi. Saya mempunyai ketinggian 167 sentimeter dan berat 50 kilogram. Apakah imej atau fesyen yang sesuai untuk saya? Ini kerana saya sering tersilap membeli pakaian bersesuaian dengan bentuk badan sehingga menampakkan saya terlalu kurus dan tidak kemas.

Putrie lilin, melalui emel.



Jawapan:
Tempoh meniti meniti usia remaja, Putrie seharusnya berani menampilkan kelainan dengan mempertaruhkan penggunaan warna terang bagi menghidupkan usia remaja serta membangkitkan mood segar dalam diri anda.

Memandangkan Putrie mempunyai susuk tubuh yang agak kurus jadi anda disaran menggunakan warna terang supaya ilusi terhasil dapat menampakkan tubuh kelihatan sedikit berisi.

Beranikan diri memilih baju dengan rekaan lengan puff atau juga baju yang mempunyai tampalan corak atau teknik jahitan di dada.

Pemilihan saiz baju juga penting. Elakkan memakai pakaian yang terlalu besar atau terlalu ketat. Sebaiknya pilih yang benar-benar sesuai dengan tubuh supaya gaya anda kelihatan kemas.

TIP: Pemilik tubuh ini memiliki sedikit lemak. Justeru, pakaian yang dikenakan harus memberi kesan berisi pada tubuh.



•Kenakan pakaian yang ada kesan berlapis. Boleh juga kenakan kemeja yang dipadu dengan rompi atau vest atau bisa pakaian dengan perincian renda dan lipatan terutama pada bahagian dada.


•Jadikan gaya selebriti antarabangsa dan tempatan sebagai panduan. Tapi ingat, jangan meniru gaya mereka sepenuhnya kerana setiap individu harus mempunyai personaliti tersendiri.

PROFIL: Nabella Erwani Zainal Abidin



•Usia: 25 tahun


•Asal: Klang, Selangor


•Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen, Universiti Teknologi

Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor


•Kejayaan: Pemenang utama Anugerah Pereka Muda Festival Fesyen Islam

(IFF) 2008 dengan rekaan inspirasi Si Penggoda Zulaikha di Gurun Sahara


•Nabella Erwani boleh dihubungi melalui e-mel nabella13@yahoo.com

Kaedah kosmetik putih kulit



Proses pencerahan wajah berperingkat hasil penggunaan kaedah kosmetik.


Selain krim, semakin ramai wanita guna rawatan laser, vitamin C atasi wajah kusam

KAEDAH pemutihan kulit merujuk kepada penggunaan kaedah kosmetik untuk tujuan pencerahan kulit. Percaya atau tidak, teknik pemutihan kulit popular di kalangan penduduk Afrika, Asia Barat dan Asia kerana berdasarkan kajian, mereka yang berkulit gelap sering mahukan kulit cerah berseri.

Obses terhadap kecantikan kulit bermula sejak zaman purba iaitu ketika Dinasti Achaemenid apabila petani dan golongan kebanyakan menggunakan butiran kristal hidrokuinon sebagai bahan utama bagi memastikan kulit sentiasa licin dan lembut.



Di Jepun, geisha terkenal dengan wajah bersolek putih sebagai lambang kecantikan, kelembutan dan status sosial yang tinggi. Bagaimanapun, produk pemutihan kulit tidak digunakan secara meluas di negeri matahari terbit itu.

Kini, produk pemutihan kulit banyak dijual dalam bentuk krim, pil, sabun dan losyen. Mekanisme yang digunakan produk moden berkenaan ialah dengan memecahkan melanin menggunakan enzim khusus atau hidrokuinon.

Kebanyakan produk krim pemutihan turut digabungkan bersama bahan penabir suria bertujuan untuk mengelakkan berlaku kerosakan kulit akibat pancaran terus cahaya matahari.

Seorang wanita Hong Kong berdiri di depan poster iklan pencerahan wajah.


Menurut pakar kulit sebuah klinik swasta, Dr Andrew Chua Sak Eng, penghasilan pigmen pada kulit terjadi secara semula jadi disebabkan faktor genetik. Bagaimanapun, ada juga faktor lain yang boleh menyebabkan penghasilan pigmen berlebihan seperti terdedah kepada pancaran cahaya matahari, masalah kulit hiper-pigmentasi dan pengambilan ubat tertentu.

Kata Dr Chua, pemakaian losyen atau krim penabir suria ialah kaedah paling mudah dan sering digunakan ramai bagi melindungi kulit daripada mengalami pigmentasi akibat UVB dan UVA.

“Penggunaan hidrokuinon pula ialah kaedah lama yang kekal digunakan sehingga kini kerana kemampuannya mencerahkan kulit, bagaimanapun ia tidak stabil kerana mudah teroksida dan bertukar warna.

“Malah, Kementerian Kesihatan juga sudah mewajibkan setiap produk pemutihan yang mahu dipasarkan perlu mengandungi kurang dua peratus bahan itu kerana kandungan hidrokuinon yang tinggi boleh menyebabkan radang kulit dan kesan terbakar selepas digunakan,” katanya.
Ada bahan lain yang tidak mengandungi hidrokuinon serta mampu memberikan kesan sama terhadap kulit iaitu arbutin, aid kojic, retinoid dan asid laktik.

Asid kojid dan retinoid sendiri boleh bertindak sebagai agen anti-penuaan, meningkatkan pengeluaran sel baru, mengurangkan penghasilan melanin, selain meningkatkan kolagen di dalam kulit.

“Tumbuhan yang mengandungi phyto nutrien seperti kacang soya juga boleh membantu mencerahkan kulit jika diambil secara berkala sama seperti ekstrak Garden Cress atau Lepidium sativum boleh menghalang tindak balas hormon pigmen dan reseptor sel pigmen,” katanya.

Prosedur rawatan kosmetik khusus untuk pemutihan kulit

Iontophoresis
Menggunakan pemindahan molekul transdermal ke lapisan epidermis melalui kaedah pembukaan salur sel menggunakan arus elektrik yang rendah.

Untuk tujuan pemutihan, kebiasaan vitamin C dalam bentuk cecair atau larutan disapukan pada bahagian rawatan bagi mencapai keberkesanan rawatan. Kebiasaannya cara ini mampu memberikan hasil yang diinginkan seawal tempoh seminggu selepas rawatan.

Laser QS Nd YAG
Kaedah ini menggunakan pancaran laser berkuasa 1,064 nanometer bertujuan untuk meremajakan kulit. Cahaya yang dipancarkan itu juga mampu mencerahkan kulit kerana ia ditujukan terus kepada pigmen melanin.

Kebiasaannya, teknik ini digunakan untuk merawat masalah lingkaran gelap pada mata, meremajakan kulit dan mengurangkan pori di kulit wajah.

Laser Mosaic Erbium Glas Factional
Ia adalah kaedah laser paling popular ketika ini. Kelebihannya ialah mampu mengembalikan keremajaan kulit, selain dapat mengurangkan pigmentasi dan parut.

Keberkesanan teknik boleh dilihat jika ia dilakukan menggunakan kaedah rawatan betul. Sesuai untuk digunakan pada tangan, kaki dan badan.

Teknik pengelupasan kulit (peeling)
Kebiasaan kulit akan mengelupas sepenuhnya dalam tempoh seminggu selepas rawatan.

Suntikan vitamin C
Rawatan kecantikan paling popular pada kebanyakan klinik dan salun kecantikan. Bagaimanapun, teknik ini tidak disarankan pakar kulit kerana ia boleh mengundang risiko terhadap kesihatan.

Fakta : Kulit



•Ia organ terbesar dan terberat dalam badan manusia.


•Kulit berfungsi sebagai
- pelindung bakteria, cahaya UV, bahan kimia dan kecederaan
- mengawal suhu badan
- organ deria
- menghasilkan vitamin D


•Purata berat kulit 4.8 kilogram untuk lelaki dan 3.2 kilogram untuk wanita.


•Sel baru kulit dihasilkan semula setiap 28 hari.


•Purata ketebalan kulit ialah empat milimeter.


•Permukaan kulit mempunyai pH 4.5 - 5.5 dan dikatakan pada pH berasid lemah.

Koleksi mewah, unik


CINCIN berloket indah berbentuk hati untuk penggemar barangan kemas.


Rekaan berkonsep warisan kontemporari, klasik

INDAH dan penuh seni membangkitkan gaya elegan sehingga mampu memukau pesona. Itulah gambaran jelas dapat dinyatakan melalui koleksi aksesori terkini Avon Jewellery dicipta khusus untuk wanita yang menggemari hiasan bersentuhan mewah serta unik.

Aksesori terbaru Avon diberikan sentuhan ala Couture itu dibawakan dalam pilihan harga yang berpatutan. Barangan serba indah itu juga dibahagikan kepada dua koleksi berbeza iaitu rangkaian Klasik berona emas, manakala Fesyen pula diserlahkan dalam rona perak.

Koleksi Klasik

Berhias indah rekaan berukir teliti dari zaman lampau berteraskan konsep warisan kontemporari yang menggabungkan elemen moden dan tradisional. Aksesori direka penuh elemen dramatik ini cukup sesuai untuk wanita glamor yang mendambakan personaliti menarik, seanggun aksesori digayakan.

Koleksi Fesyen


Kerongsang bertatahkan berlian sebagai pelengkap gaya.


Gabungan gaya moden dan elegan menjadi teras utama dalam rekaan koleksi kedua ini yang mana gabungan logam berona perak diukir indah bercorak geometri dengan keagungan alam menyerlahkan rekaan anggun seperti digayakan selebriti terkemuka.

Koleksi ini amat sesuai untuk diperagakan ketika majlis keraian, karpet merah, malam gala atau majlis formal yang mewah.

Avon Jewellery turut memperkenalkan selebriti Rozita Che Wan sebagai Duta Avon Jewellery 2009. Rozita sememangnya penggemar aksesori mewah berkualiti tinggi dan dia mengakui turut menyukai koleksi terbaru itu dan menggayakannya penuh bangga.

“Saya bagai jatuh cinta pandang pertama dengan rangkaian unik ini. Segalanya sungguh indah dan bergaya, memberikan sentuhan eksklusif kepada sebarang busana yang dikenakan.

Kerongsang berantai bersisipkan loket berbentuk hati sesuai untuk wanita.
“Yakinlah, ia adalah sentuhan terakhir yang harus dimiliki setiap wanita,” katanya.

Jahit tudung sendiri


Teknik mudah hasilkan tudung ala Ekin

BERGELAR suri rumah atau memiliki kerjaya tetap tidak menjadi penghalang untuk wanita meraih pendapatan sampingan. Bijak mengatur perancangan bersandarkan sedikit kemahiran seperti menjahit juga antara jaminan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, bagi sesetengah wanita, kemahiran yang ada tidak hanya dijadikan sumber rezeki tapi cukup sekadar untuk mengisi masa terluang dan dijadikan hobi.



Melihatkan kegilaan wanita ketika ini yang gemar menggayakan tudung ala Ekin menarik minat Shazliyaton Hashim untuk berkongsi kaedah menghasilkan tudung bersengkuap jahitan sendiri melalui laman blog.

Menurut Shazliyaton, menghasilkan tudung sengkuap tidak sesukar yang disangka kerana pelajar yang biasa menghadiri kelas dianjurkannya, mampu menyiapkan tudung bersengkuap di dalam tempoh kurang sejam.

“Paling penting, anda tahu bagaimana kaedah betul untuk menjahit selain mempunyai kelengkapan jahitan seperti mesin jahit dan material untuk menghasilkan sehelai tudung bersengkuap,” katanya.

Bahan-bahan:

Pola sengkuap bersama badannya, kain jersey (badan tudung), jersey, broked, kapas, sutera Thai atau shantung (sengkuap), bakrum (kain gam), jarum peniti, kapur penanda, jarum jahitan dan benang.

Saiz pola untuk sengkuap



•12.5 sentimeter panjang dan 4.5 sentimeter tinggi

Cara-cara:

1. Memotong sengkuap

(Gambar a) Letakkan pola di atas kain sengkuap yang sudah dilipat dua. Basikan setengah inci untuk lipatan jahitan.

(Gambar b) Tandakan garis asal sengkuap dengan kapur penanda sebagai tanda panduan ketika mencantum. Seterika bahagian lipatan untuk mendapatkan tanda garisan bagi meletakkan bakrum/kain gam.

2. Memotong badan tudung

(Gambar c) Bentangkan kain, lipat hujung kain ke tengah membentuk segi tiga. Letakkan pola di atas kain dan sematkan peniti untuk mengelakkan kain beralih.

(Gambar d) Tandakan dahulu garis asal badan tudung sebelum memotong kerana kain biasanya licin dan sukar untuk ditanda jika sudah digunting.

(Gambar e) Basikan setengah inci untuk depan tudung, dari bahagian muka ke bawah. Basikan satu inci di kawasan sekeliling tudung. Selepas dipotong, tandakan bahagian tengah tudung dengan kapur penanda.

3. Menjahit dan mencantum

(Gambar f) Jahit dua garisan lurus di atas bakrum/kain gam (di sebelah dalam sengkuap). Jarak dari tepi bakrum adalah lebih kurang setengah inci.

(Gambar g) Letakkan sengkuap yang telah siap dijahit tadi di atas badan tudung (pastikan bahagian luar bertemu bahagian luar) dan cantumkan bahagian tengah yang telah ditanda.

Selepas selesai menjahit cantuman, pastikan kedua-dua belah adalah sama kedudukannya terutama di bahagian hujung sengkuap. Sekiranya cantuman tidak sama, gunting lebihan itu sebelum di jahit tepi.

4. Menjahit kemasan

(Gambar h) Mulakan dengan menjahit di sekeliling sengkuap (bahagian atas). Jahit tindih dari sebelah luar bermula dari bawah dagu sehingga ke hujung dagu sebelah lagi.

(Gambar i) Bahagian sekeliling sengkuap yang sudah siap dijahit.

Jahit tindih dari sebelah luar untuk kemasan di seluruh hujung tudung. Setelah siap, seterika tudung terutama di tempat jahitan kemasan tadi.

Info

•Kelas jahitan tudung secara perseorangan atau berkumpulan (minimum lima orang) bersama Shazliyaton dianjurkan mengikut permintaan. Maklumat lanjut di blog www.kaktonstudung.blogspot.com atau 012-3271935/017-3679442. Di dalam blog turut ditawarkan kit tudung yang terdiri dari pola, nota jahitan dan kain jersey bagi individu yang mahu menggayakan tudung bersengkuap dijahit sendiri.

Gaun songket moden


Fabrik perlu digabungkan dengan sifon, renda Perancis

SOALAN

SAYA bakal melangsungkan majlis persandingan di sebuah hotel di ibu kota pada Disember nanti. Sempena majlis yang berkonsepkan moden kontemporari itu nanti, saya dan pasangan sudah menetapkan untuk menggayakan pakaian diperbuat daripada songket Terengganu.



Saya berharap untuk memakai lakaran gaun mewah sesuai untuk upacara memotong kek. Bagi pengetahuan anda, saya memiliki tubuh yang sederhana tinggi dan berat badan, 47 kilogram.

MIMIEY

JAWAPAN

SAYA memuji langkah saudari dan pasangan kerana memilih untuk menggunakan songket sebagai tema di majlis persandingan selaras dengan hasrat kerajaan sendiri yang ingin mengangkat fabrik itu setanding fabrik mewah lain.

Bagaimanapun, menggayakan fabrik mewah seperti songket memerlukan kebijaksanaan pemakai dan pereka terutama untuk rekaan berkonsepkan moden. Jika anda perhatikan, pakaian tradisional seperti kurung dan kebaya tampak klasik jika menggunakan songket sepenuhnya.

Namun, adalah lebih elok jika anda tidak menggunakan songket untuk keseluruhan pakaian berkonsepkan moden kerana gaya yang sarat akan merosakkan keindahan dan kemewahan songket itu sendiri.

Kali ini saya lakarkan gaun moden namun masih bercirikan tradisional melalui penggayaan songket Terengganu bersama padanan fabrik sifon dan tampalan renda Perancis.

Selain sifon yang lebih ringan dan sensitif, songket juga sesuai dipadankan bersama sutera Thai kerana keberatan kain yang sama memudahkan proses jahitan sekali gus membuatkan rekaan kelihatan lebih kemas.

Bagi menampakkan gaya moden, pilih songket yang mempunyai corak jalur bagi memberikan ilusi tinggi pada tubuh si pemakai. Rekaan leher V juga turut memainkan peranan, selain memberikan impak pada pemakai, rekaan unik itu juga mampu menyerlahkan rekaan gaun moden anda.

Upacara memotong kek adalah upacara santai bagi meraikan hari istimewa anda, justeru penggunaan warna ceria adalah lebih sesuai apatah lagi untuk dirakamkan melalui foto.

Penggunaan aksesori dan dandanan sesuai untuk digayakan bersama gaun moden kontemporari ini adalah yang paling ringkas. Jika anda memilih untuk menggayakan gaun bersama layah, elakkan mengenakan ia bersama tiara. Begitu juga sebaliknya.

Selain tiara, anda juga boleh menggantikan aksesori rambut dengan memilih penggunaan bunga segar bersama anting-anting labuh bercirikan moden kontemporari

Seelok-eloknya, pada malam itu nanti, pasangan anda turut sama mengenakan fabrik songket bercorak sama melalui pilihan rompi atau bow tie. Elakkan mengenakan sut berwarna kerana sut mampu menampilkan gaya elegan pemakai jika ia dikekalkan dalam tona hitam, biru gelap atau putih saja.

Profil
Nazreen Idris

Asal: Cheras, Kuala Lumpur.

Pendidikan: Diploma Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seri Iskandar, Perak.

Profesyen: Pereka fesyen, perunding gaya dan jurumekap.



•Nazreen Idris boleh dihubungi melalui emel nazreen_idris@yahoo.com

Teknik solekan ringkas


Mekap secara betul elak wajah kelihatan lesu

MAHU kelihatan anggun dengan wajah yang bersolek rapi tapi tidak tahu bagaimana caranya menyebabkan ramai wanita tampil di khalayak dengan penampilan solekan yang keterlaluan atau wajah yang lesu tidak bermaya.

Bagi memberi peluang kepada wanita terutama wanita bekerjaya mempelajari teknik betul untuk bersolek, ruangan Cantik kali ini berkongsi panduan solekan ringkas bersama Nurin Adlina Basir dari Nurin Makeover Studio.



Wajah

Bersihkan wajah terlebih dulu sebelum disapu pelembap dan seterusnya bedak asas. Pastikan anda memilih bedak asas dan bedak yang sesuai dengan kulit bagi memastikan solekan tahan lama dan kekal gebu. Lanjutkan dengan sapuan pemerah pipi pada tulang pipi tapi ingat, jangan terlalu berlebihan.

Kata Nurin Adlina, sebelum membeli bedak, pastikan anda mengenali warna dan jenis kulit terlebih dulu.

“Wanita yang mempunyai kulit berminyak lebih sesuai mengenakan bedak jenis debu, kulit kering pula digalakkan menggunakan bedak padat manakala mereka yang berkulit kombinasi, gunakan alat solek berasaskan air,” katanya.

Bibir

Lengkapkan penampilan dengan sapuan solekan yang secukupnya saja. Jika ingin bibir kelihatan penuh, bentuk dengan menggunakan pensil bibir berwarna neutral atau semula jadi. Selepas itu, oles gincu berwarna merah jambu sebelum diakhiri dengan sapuan pengilat bibir.

Mata

Jangan terlalu berani memadankan terlalu banyak warna pembayang jika anda ingin tampil sederhana. Pilih warna selamat seperti coklat, hijau dan ungu. Aplikasi maskara penting sebagai pelengkap solekan mata anda.

“Pilih warna yang sesuai dengan usia, warna kulit dan pakaian supaya wajah anda tidak kelihatan pelik,” katanya.

Alis mata

Gunakan pensil alis untuk merapi dan membentuk kening. Menurut Nurin Adlina, ramai wanita yang mengabaikan bahagian alis sedangkan goresan ringkas pada bahagian berkenaan dapat menaikkan seri wajah.

Fesyen sana-sini


INSPIRASI fesyen Red Oak di pentas Fesyen Portugal.



Pentas antarabangsa perkenal gaya 2010

MESKIPUN berbaki dua bulan lagi, pentas fesyen antarabangsa mula memperlihatkan gaya terbaru yang menjadi paksi fesyen jejaka 2010.

Minggu fesyen di beberapa ibu kota fesyen dunia sejak akhir-akhir ini menyaksikan beberapa trend baru yang bakal memenuhi jalanan tahun depan.



Teras fesyen pada asasnya masih lagi pada landasan sama, kecuali menerapkan unsur modeniti serta konsep yang lebih bebas untuk diguna pakai.

Tidak mahu sekadar bergaya, pentas fesyen lelaki turut menampilkan idea menyeluruh termasuk penggunaan aksesori pelengkap gaya.

Pentas fesyen Portugal umpamanya, memberi inspirasi baru buat jejaka tampil lebih berkeyakinan. Tidak lagi statik sekadar berbaju, pereka fesyen Nuno Gama misalnya, mahu jejaka lebih yakin menonjolkan identiti dan kebebasan tanpa sempadan.

Seksi mengikut acuan lelaki, Minggu Fesyen Lisbon nyata melaungkan mesej agar jejaka bereksperimen dengan gaya dan pada masa sama, kekal maskulin.

Meneliti gaya diilhamkan pereka Red Oak dan Dielmer - masing-masing ada idea tersendiri dalam mencorak imej jejaka. Bagi ilham Red Oak, apa salahnya tampil berbeza dengan mengenakan bow tie.

Pemakaian vest denim juga menampakkan imej macho dan lasak dipadankan dengan seluar khaki. Kemeja berkotak juga ditambah seri dengan memakai baju lengan panjang di bahagian dalam.

Gaya klasik tetap menjadi pilihan pada 2010. Ilham Dielmer sudah pasti membuatkan lelaki teruja bergaya di majlis rasmi. Unsur klasik terserlah dengan tali leher, bow tie, jaket dan berseluar mengikut potongan kaki.

Perhatikan juga koleksi kasut di mana lelaki berani menggayakannya tanpa stokin tatkala lengkap bersut.

Elemen kotak sebagai acuan fabrik tidak mencacatkan penampilan andai jejaka bijak menyatukan rona warna serta padanan fabrik lebih gelap dan kosong. Jangan sesekali malas berekspresi dengan aksesori kerana perhatian akan jelas tertumpu kepada anda.

Pentas fesyen sempena Minggu Fesyen Kanada dan Russia serta Minggu Couture Mumbai juga tidak kurang gahnya dengan ‘jeritan’ ekspresi ciptaan pereka fesyen. David Dixon tampil segak dengan ilham kotak manakala pereka Slava Zaitsev kreatif dengan ciptaan baru untuk golongan muda.

Mencari kelainan, Minggu Couture Mumbai menampilkan selebriti Bollywood seperti Akshay Kumar, Salman Khan dan John Abraham bagi menggayakan ilham baju pereka Rocky S.

Puas menjelajah seantero dunia, apa kata aplikasikan gaya 2010 dan mulakan perubahan fesyen dari sekarang?

Imej seksi Marsha

Marsha tidak suka fesyen yang mempunyai rekaan yang sarat dan serabut kerana ia menampakkan ‘kemurahan’ penampilan seseorang, walaupun harga pakaian itu mahal.

Sebut sahaja nama Marsha Milan Londoh, wajah seksinya pasti akan terbayang. Pakailah apa sahaja, tidak kira baju yang terdedah atau tertutup, Marsha tetap dianggap seksi.

Ada pihak menyatakan raut wajah menggoda Marsha membuatkan dirinya bergelar begitu. Ada pula bertanggapan gadis dari Tamparuli, Sabah itu mempunyai aura tersendiri yang membuatkan sesiapa sahaja memandangnya akan menoleh buat kali kedua ke arahnya.

Bagaimanapun, meneliti imej sebenar bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3) itu, dia bukanlah selebriti yang gemar bergaya sakan dengan memakai aksesori yang sarat dengan hiasan labuci, manik mahupun kristal. Sebaliknya Marsha lebih menyukai gaya sederhana dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Mungkin kerana itulah, ramai orang di sekeliling terpesona memandangnya.

Mengambil kata-kata pereka fesyen tersohor, Max Azria: "Bergaya sederhana membuatkan seseorang kelihatan lebih cantik dan elegan daripada orang-orang di sekelilingnya yang bergaya sakan."

Gadis berusia 24 tahun itu, mengakui dia terkejut dengan gelaran seksi yang diberikan oleh peminat-peminatnya ketika awal penglibatannya dalam bidang seni sekitar tahun 2004.

Katanya, gelaran itu boleh memberi tanggapan negatif kepada keluarga dan para peminatnya.

"Saya akui memang sekali sekala, saya suka berimej seksi. Tetapi, peliknya orang tetap akan kata saya seksi walaupun ketika itu, penampilan saya adalah biasa.

"Takut juga dengan pandangan orang pada waktu itu. Tetapi apabila sudah biasa dengan gelaran yang diberikan itu, saya sudah tidak kisah kerana ia sekadar pendapat orang.

"Lagipun jika dikaji semula, perkataan seksi itu bersifat subjektif. Seseorang boleh dianggap seksi biarpun sekadar menyarung seluar panjang denim dan kemeja-t. Terpulang kepada individu tersebut," ujarnya.

Bertanyakan tentang gaya yang suka ditampilkan di khalayak, Marsha berkata, dia gemar mengenakan pakaian tanpa banyak aksesori.

Baginya, subang kecil sudah mencukupi untuk menampakkan seseorang itu menawan dan elegan.

"Saya tidak suka fesyen yang mempunyai rekaan yang sarat dan serabut. Ini akan menampakkan 'kemurahan' penampilan seseorang, walaupun pakaian itu mahal harganya.

"Bagi saya, saya akan memilih pakaian yang biasa dan jika ia tampak kosong, tambahan aksesori seperti tali pinggang, rantai, gelang tangan dan anting-anting akan dipakai.

"Perlu diingatkan pemilihan aksesori sangat penting kerana jika tersalah gaya, keseluruhan penampilan akan tampak berserabut," katanya lagi.

Gaya sofistikated hitam, kelabu

Giorgio Armani. sentiasa peka dengan trend semasa yang mempesona berasaskan rona gelap dan kelabu.

ANDA seorang yang gemar mempelbagaikan koleksi fesyen tetapi hanya gemar menyimpan pakaian berona gelap seperti hitam dan kelabu? Adakah ia kelihatan terlalu membosankan, suram dan tidak menonjol?

Mungkin tidak bagi jenama terunggul antarabangsa, Giorgio Armani. Ia sentiasa peka dengan trend semasa yang mempesona berasaskan rona gelap dan kelabu. Tanpa mengabaikan aspek potongan dan fabrik signatur Giorgio Armani, musim ini kembali menyaksikan berpuluh-puluh peragawati memperagakan jenama pakaian yang sofistikated itu di pentas peragaan seluruh dunia.

Dalam pilihan warna yang terhad terutama hitam dan kelabu, label Giorgio Armani menampilkan koleksi ringkas dan sedia dipakai pada musim ini. Ia bukan sahaja menjangkau batasan semasa tetapi terbaru dengan susunan hierarki fesyen demokratik.

Sambil menyuntik mood dan nafas segar pada penampilan kontemporari, saksikan pendekatan fesyen klasik yang dibawa bagi menyerlahkan penampilan hebat untuk digayakan ke pejabat. Sekalipun agak tegas dengan potongan baju dan skirt yang ketat atau dengan saiz tubuh langsing, namun ia tetap menonjolkan inspirasi kembara musim luruh-sejuk 2009-2010.

Pilihan warna perak, biru tua dan putih memantapkan lagi pertunjukan fesyen yang digayakan oleh kedua-dua jantina. Dalam pada itu, golongan lelaki sekali lagi disajikan dengan persembahan fesyen sut pakaian yang menarik dan diperbaharui. Anak baju ketat, jaket labuh berbutang, jaket baldu dan seluar tanpa tali pinggang merupakan antara seleksi yang dipertaruhkan bagi menambat hati jejaka berjiwa muda.

Efek kemas dan sifat berdisiplin diselitkan dari segi pemilihan fabrik yang tahan lasak, di samping penggunaan bahan kulit daripada biri-biri. Malah, jaket span yang tebal terasa lebih ringan apabila disarung pada tubuh.

Urban dan tetap dekat di hati, ilham jenama Giorgio Armani pada kali ini pasti bercita rasa mewah dan sofistikated

Momen pahit pentas peraga


SEBAIK sahaja muzik dimainkan, lampu simbahan mula fokus pada pentas peragaan. Barisan model yang sudah bersiap sedia dengan dandanan, tata rias dan busana yang ingin diperagakan mula mengatur langkah.

Gaya lengang-lenggok sambil memberikan pose istimewa mengundang tepukan gemuruh dalam kalangan hadirin yang menghadiri sebuah pertunjukan fesyen di Mexico City baru-baru ini.

Namun kerancakan pertunjukan yang berjalan lancar tiba-tiba menjentik situasi yang tidak diingini khususnya oleh kumpulan peragawati. Apakan daya, sehebat mana kaki diatur atau biarpun sudah mengharung sesi latihan yang lama, namun insiden terjatuh atau tergolek di pentas peragaan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Ini terbukti apabila salah seorang model yang menjayakan pertunjukan fesyen tersebut terjatuh ketika menggayakan busana pereka Alberto Rodriguez dari Mexico.

Insiden sedemikian bukan sahaja mencuri perhatian tetamu, malah turut menjadi sasaran lensa kamera jurugambar yang berdiri di sekitar pentas.

Ironinya momen tergolek di pentas peragaan tidak hanya berlaku dalam kalangan model baru sahaja. Pada masa yang sama, ia turut terjadi tanpa disengajakan oleh supermodel bertaraf antarabangsa dan popular.

"Ia suatu perkara yang amat memalukan. Saya sudah berusaha sedaya upaya agar tidak terjatuh tetapi ia tetap berlaku. Apa yang pasti, saya hanya mampu ketawa. Biasanya, apabila sudah terjatuh, sukar untuk saya berdiri semula. Lagipun tiada seorang pun yang membantu saya pada waktu itu," cerita model popular Naomi Campbell mengenai insiden yang memalukan itu pada Minggu Fesyen Paris 2008.

Secara tersurat, pastinya sesetengah pihak menyifatkan model fesyen merupakan golongan yang cukup sempurna dari segi penampilan dan kecantikan. Tetapi secara tersiratnya, mereka sentiasa berhati-hati bagi mengelak berlakunya sebarang perkara yang boleh mencacatkan kesempurnaan yang dimiliki.

Biarpun tersungkur atau tergelincir, para model tidak berputus asa dan kembali ke belakang pentas. Mereka tetap meneruskan tanggungjawab yang sudah digalas dengan meneruskan pertunjukan.

Tampak sebaya


Disangka adik-beradik: Penampilan awet muda buat ramai salah sangka ibu dan anak sebaya

APABILA berjalan beriringan, ada siulan nakal mengusik. Kadangkala ada juga yang menyangka, ibu dan anak gadis yang sedang rancak membeli-belah itu sama sebaya atau paling tidak adik dan kakak yang sama sejiwa.

Tetapi apabila berpeluang mendekati, telahan ramai mata yang memerhati sebenarnya tidak tepat kerana dua wanita yang cantik bergaya itu sebenarnya berpangkat ibu dan anak.

Senario ini pernah diangkat dalam siri drama Hollywood, Gilmore Girls mengenai kisah ibu dan anak yang tampak sebaya. Pelbagai masalah dihadapi apabila ramai menyangka mereka adik beradik sedangkan hakikatnya jauh sekali.

Bagi si ibu sudah tentu berbunga di hati kerana keadaan itu menandakan dia tampak muda, tetapi bagi si anak mungkin berbeza pendapat. Namun, bak dialog iklan televisyen terbaru Silky White yang dijayakan Dafi, Sharifah Amani dan Susan Menon sebagai ibunya, wajah ibu mungkin gambaran si anak ketika meningkat usia kelak.

Pemilik butik dan salon D&D, Diana Ibrahim, 40, berkata, menerima pandangan pelik daripada orang sekeliling apabila anak gadisnya, Nur Lydia Rusli, 20, memanggilnya ‘mama’ menjadi perkara biasa.

“Sehinggakan ada juga yang bertanya, mungkin kerana tidak percaya Lydia itu anak saya, malah banyak kali juga orang mengatakan saya menipu dan turut menyoal saya kembali dengan mengatakan adakah Lydia itu anak tiri saya,” katanya tersenyum.

Kata Diana, sebelum Lydia menyambung pengajiannya di dalam bidang perakaunan di Universiti Multimedia, Melaka, bentuk badannya yang lebih kecil menyebabkan perbezaan usia antara mereka tidak kelihatan terlalu ketara.

“Kadangkala malu juga sebab usia yang sudah tua, tapi orang menyangka sama sebaya dengan anak. Insiden melucukan berlaku ketika saya menghantar Lydia mendaftar di universiti di mana ketika berjalan mencari anak saya, ramai yang menyapa ‘hi’, ‘seorang saja?’.

“Tapi bila ada yang bertanya, cari siapa, saya terus jawab, ‘aunty’ cari anak. Masing-masing terpinga-pinga sambil tersipu malu mungkin saya membahasakan diri sebagai ‘aunty’,” kata Diana sambil diakui Lydia.

Anak kedua Diana, Muhammed Daniel, 16, berkata selalunya kawan-kawan memang tersilap menyangkakan kakaknya itu ibu, sementara Diana pula adalah kakaknya, mungkin kerana muka mereka yang hampir seiras. Tambah Daniel lagi, saudara-mara yang jarang bertemu muka juga mengakui ibu dan kakaknya kelihatan seperti adik beradik.

Pantas Lydia berkata, ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, sahabat Daniel yang berkunjung meluru bersalam sambil menyapanya sebagai ‘aunty’.

“Teman lelaki saya juga pernah bergurau sambil berkata, jika mahu tahu bagaimana wajah saya ketika tua, boleh tengok muka mama. Mungkin dia terpengaruh dengan iklan televisyen,” katanya yang gemar keluar membeli-belah bersama ibu, malah sering juga keluar berdua menonton wayang.

Tambah Diana, anak lelaki tunggalnya juga tidak gemar keluar berdua dengannya, mungkin kerana masalah berkenaan.

“Dia malu. Bimbang jika dilihat kawan perempuan yang menyangkakan Daniel bersama kekasih lain. Begitu juga ketika menghantarnya ke sekolah, belum sempat bersalam, dia sudah meluru turun daripada kereta.

“Tapi Lydia pula sebaliknya kerana kami berdua sangat rapat dan selalu berkongsi pakaian. Sehinggakan pernah suatu hari, dia bawa pulang baju-bajunya yang tidak muat dipakai sambil berkata, ini semua untuk mama,” katanya.

Menurut Lydia, dia bangga memiliki ibu yang sentiasa tampil anggun dan muda. Kelebihan juga banyak berpihak padanya kerana menurut Lydia, sebagai anak perempuan tunggal, pastinya pakaian dan aksesori milik ibunya boleh dipinjam bila-bila masa.

“Paling seronok, ibu juga memahami jiwa saya sebagai anak remaja, boleh diajak membeli-belah bersama, tapi kadangkala sakit hati juga, sebab ada yang menyangka saya lebih tua dari ibu,” katanya.

Bagaikan rakan

Ibu muda kepada dua anak gadis yang sedang meniti usia remaja, Nina Mohd Darlis, 39, mengakui sering berdepan dengan peristiwa sama sehinggakan ramai kenalan mengatakan dia dan dua anak gadisnya kelihatan seperti adik beradik.

Anaknya, Nasha Amira Azali, 16, berkata apabila keluar bersama, ramai akan menyangka ibunya sebagai kakak, dia pula yang kedua, manakala kakaknya, Aishah Zubaidah, 18, yang bertubuh kecil sebagai adik yang paling bongsu.

“Mungkin kerana saya bertubuh besar dan tinggi, ibu pula kelihatan matang walaupun saiz badannya lebih kecil berbanding kami berdua menyebabkan ramai yang salah sangka,” katanya tertawa kecil.

Nina berkata, dia dan bekas suami berkahwin pada usia muda iaitu ketika umurnya baru menginjak 20 tahun dan hanya sebulan selepas usia perkahwinan, Nina disahkan hamil.

“Ketika mendapat anak pertama, saya masih muda dan selang dua tahun kemudian, saya hamil lagi. Tapi ketika itu, saya sendiri tidak pernah menyangka akan bergelar ibu pada usia yang masih muda, malah kini punyai anak dara sebelum usia mencecah 40-an,” katanya tersenyum.

Bagaimanapun, hayat perkahwinan dia dan bapa kedua-dua anak gadisnya itu tidak panjang menyebabkan dia nekad meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal hampir 10 tahun.

Mengingatkan detik indah perkenalannya dan suami baru, Badrul Hisham Osman, 36, juga agak melucukan kerana katanya, pada awal perkenalan, suaminya tidak percaya apabila Nina mengatakan bahawa dia mempunyai dua anak dara berusia belasan tahun.

“Saya beritahu suami, saya ada dua anak gadis, tapi dia menganggap saya bergurau. Kemudian saya tunjukkan gambar anak-anak, namun suami masih tidak percaya, malah langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut.

“Bagaimanapun, selepas beberapa tahun berkawan, saya sering membawa anak berjumpanya dan syukur kepada Allah kerana suami menerima kedua-dua anak saya seperti anaknya sendiri,” katanya.

Pintas Nasha Amira, bapa yang dinikahi ibunya tiga tahun lalu itu juga mempunyai perwatakan seperti lelaki muda menyebabkan kekeliruan yang tercetus bertambah rumit.

“Manakan tidak, ayah juga nampak muda malah ketika mama membawa kami berkenalan dengannya dulu, kami masing-masing tergagap-gagap hendak menyapanya abang atau pakcik,” jelas pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Convent Bukit Nenas itu sambil ketawa kecil.

Nina berkata, kelebihan apabila mempunyai anak gadis yang hampir sebaya ada baiknya, namun kadangkala ia juga boleh mendatangkan persepsi buruk daripada masyarakat.

“Untungnya saya dan dua anak gadis boleh berkongsi pakaian. Tengoklah sendiri, kemeja-T dipakai Nasha itu milik saya, malah selalu juga saya meminjam bajunya mungkin kerana kami berjiwa sama, sukakan pakaian yang kasual dan santai.

“Cuma, dengan anak yang pertama, dia lebih feminin dan tinggal jauh di asrama. Aisyah juga lebih ‘vogue’ daripada kami berdua kerana sering kali apabila keluar, dia akan berpakaian cantik, bersolek dan wajib mengenakan aksesori sepadan.

“Saya dan Nasha pula berjiwa ringkas, cukup hanya jeans dan kemeja-T serta solekan tipis. Dan mungkin kerana itu, ada kawan kepada anak-anak saya sering tersalah anggap menyatakan saya kakak mereka,” katanya.

Namun begitu, Nina mengakui, bergelar ibu muda kepada dua anak remaja menyebabkan mereka bertiga lebih rapat dan sefahaman. Malah, kawan-kawan kepada anaknya itu juga turut rapat dengannya.

“Saya sendiri mempunyai akaun di laman sembang sosial Facebook dan ada kawan-kawan anak yang turut berhubungan dengan saya di situ. Lebih mudah dan mereka juga berasa lebih senang berkomunikasi mungkin kerana keterbukaan serta jarak usia yang tidak terlalu jauh beza,” katanya.

Bagaimanapun, walau sering digelar adik dan kakak, kedua ibu kepada anak dara yang anggun bergaya tidak pernah menjadikan keistimewaan yang wujud antara mereka sebagai batasan untuk anak gadis mereka berbuat sesuka hati.

Masing-masing mengakui, batasan dalam hubungan tetap hadnya supaya anak tidak terpesong malah masing-masing mengamalkan pendekatan tersendiri bagi memastikan anak sentiasa dekat di hati.

Solek terapi



Rutin wajib wanita: Rozina sentiasa pastikan wajah lengkap dirias walaupun sekadar ke pasar

BAGI wanita, bersolek adalah antara terapi mudah untuk meningkatkan keyakinan diri ketika berdepan dengan orang ramai. Bahkan bagi wanita berkerjaya, solekan bagai satu kemestian apabila ke pejabat supaya penampilan tampak lebih profesional dan bergaya.

Begitu pun, jika tidak ke pejabat, kebanyakan wanita lebih gemar tampil bersahaja tanpa secalit solekan pada wajah. Bagi mereka, tiada siapa yang melihat, justeru tidak perlu menghabiskan masa di depan meja solek hanya untuk keluar ke kedai, umpamanya. Tidak seperti selebriti yang sebaik melangkah keluar daripada rumah, wajah mesti lengkap bersolek supaya tiada yang mengata penampilan kurang terurus.

Tetapi ada juga wanita yang begitu prihatin dengan penampilan sehingga sentiasa memastikan wajah dirias cantik walaupun sekadar ke pasar. Bagi golongan sebegitu, wajah tanpa solekan tiada dalam kamus hidup mereka.

Bagi Rozina Ahmad, 36, pemakaian solekan tidak membataskan kedudukan, golongan dan juga darjat. Setiap wanita wajar bersolek untuk menjaga ketrampilan diri walaupun menjadi suri rumah sepenuh masa. Ibu kepada tiga cahaya mata itu bukan saja bersolek ketika keluar rumah, tetapi sentiasa mahu kelihatan cantik biarpun ketika di dalam rumah.

Rozina yang berasal dari Parit Belana, Melaka berkata, beliau suka bersolek sejak kecil iaitu ketika berusia lapan tahun tanpa dipengaruhi sesiapa, malah keluarga tidak pernah menghalang sebaliknya menggalakkannya asalkan beliau memastikan keadaan atau tempat bersesuaian.

“Bagi saya, solekan adalah perkara asas dalam rutin harian untuk tampak cantik. Menjadi kebiasaan sebaik selepas mandi, saya akan menggunakan tiga benda iaitu bedak, gincu dan celak mata serta kening sebagai terapi untuk tampil yakin setiap hari. Tanpa memakainya, saya rasakan sesuatu tidak lengkap pada hari itu.

“Walaupun tidak berdepan dengan ramai orang seperti wanita bekerjaya, merias wajah setiap hari memberi keyakinan kepada diri saya. Malah, saya rasa sentiasa segar dan selesa. Ini cara saya dan saya rasa ia adalah perlu walaupun seseorang wanita itu tidak bekerja,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Puchong Perdana, baru-baru ini.

Bagi sesetengah wanita mereka tidak mengenakan solekan ketika ke pasar mahupun menghantar anak ke sekolah. Namun, bagi Rozina pula walaupun mahu keluar sekejap beliau akan memastikan wajah sentiasa dalam keadaan ceria, segar dan bersolek walaupun hanya ke pasar dan melakukan aktiviti luar harian.

“Tidak ada wanita yang tidak mahu tampil cantik sentiasa. Walaupun secalit gincu, setiap wanita akan nampak cantik dan ia membantu menambah berkeyakinan.

“Bersolek bukan saja untuk orang luar. Walaupun saya tidak bekerja, bagi saya solekan itu juga penting ketika berdepan dengan suami, Azmi Basir. Malah, dia juga suka melihat wanita cantik dan menjaga penampilan,” katanya.

Rozina berpendapat solekan juga tidak membataskan usia. Jika wanita yang sudah berumur mereka juga perlu lebih kerap bersolek untuk memberi kepuasan pada diri sendiri.

“Apabila berdepan dengan jiran saya berasa yakin dan kadangkala mendapat pujian. Namun, ia bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya kita juga meningkatkan keyakinan masyarakat sekeliling untuk berpenampilan cantik dan menarik, terutama pada wajah.

“Oleh itu, ada juga rakan-rakan lain mengikut jejak sama dengan merias wajah mereka walaupun ada yang hanya duduk di rumah. Bagaimanapun sebagai wanita Islam tanggungjawab solat penting. Selepas wajah bersih dan bersolat saya akan pakai semula tiga benda itu dan ia berlaku setiap hari.

“Solekan ringkas itu tidak mengambil masa lama iaitu cukup sekadar lima minit. Namun, apabila keluar bersiar, ke pusat beli-belah ataupun melawat keluarga saya akan pastikan solekan lebih daripada biasa mengikut kesesuaian tempat yang dituju,” katanya.

Bersolek katanya, perlu berada dalam keadaan tenang. Ketika menghias wajah, Rozina tidak gemar berada dalam waktu tertekan atau tergesa-gesa.

“Ini kerana hasilnya jauh beza. Jika bersolek dalam keadaan tergesa-gesa solekan itu tidak begitu teliti selain ada bahagian tidak sama lantas ia nampak comot. Saya sentiasa pastikan berada dalam keadaan tenang dan tidak panas kerana jika berpeluh ia memberi kesan lebih baik,”

Perut seksi


Ramai ikut gaya selebriti Hollywood gayakan baju sendat

WANITA hamil penggoda yang seksi. Betul ke? Jawapannya, boleh jadi 'ya' atau pun 'tidak' terpulang kepada individu yang mentafsirkannya. Namun, ada juga pandangan yang menyatakan bahawa wanita hamil kadang-kadang kelihatan lebih seksi jika dibandingkan sebelum mengandung.

Kenyataan ini ada benarnya kerana ada wanita jika dulu terlalu kurus, tetapi apabila hamil tubuh tambah berisi dengan dada dan punggung yang penuh. Bukan itu saja, sewaktu hamil ada di antara wanita akan mengalami perubahan pada warna dan tekstur kulit. Malah, sesetengah wanita nampak lebih gebu kulitnya ketika hamil. Sebahagian wanita lain mungkin mendapati kulit pada wajah mereka menjadi sangat lembut.

Pada masa sama, ramai juga ramai wanita yang berasa resah dengan perubahan bentuk tubuhnya ketika sedang hamil. Bahagian perut yang membesar atau memboyot dan perlu diusung ke sana sini menyebabkan ada wanita yang berasa malu serta tidak selesa terutama apabila ada mata lain mula memandang ke arahnya.

Bayangkan, jika sebelum mengandung wanita itu begitu bangga memiliki bentuk tubuh yang kelihatan ramping, namun apabila mengandung bentuk tubuh semakin mengembang, manakala perut akan kelihatan sedikit menonjol serta berisi. Perubahan seperti itulah yang menyebabkan ada wanita berasa malu dan tidak percaya kepada diri sendiri dengan perubahan penampilannya.

Mungkin sebab itulah juga ketika hamil, ada wanita yang lebih suka menyarungkan ‘pakaian seragam mengandung’ iaitu yang lebih longgar dan besar. Selain memberikan lebih keselesaan, pakaian mengandung seperti itu juga sekurang-kurangnya dapat ‘melindungi’ perut yang sudah membesar.

Jadi, kuranglah sedikit perasaan malu dengan bentuk tubuh baru yang dimiliki. Malah, oleh kerana terlalu ‘menyorokkan’ kehamilan itu dengan sentiasa menyarungkan baju potongan longgar ada juga yang tanpa sedar, tiba-tiba saja memberikan khabar gembira dirinya sudah menimang cahaya mata.

Bagaimanapun, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini semakin ramai wanita hamil di negara ini yang sudah berani untuk bergaya dengan pakaian ketat dan sendat serta menampakkan susuk tubuh kembang mahupun perut yang memboyot.

Alasannya, hamil bukan alasan untuk tidak boleh tampil bergaya. Keyakinan diri lebih tinggi untuk menggayakan fesyen pakaian seperti itu apabila ramai lelaki turut beranggapan, perubahan bentuk badan wanita hamil yang lazimnya, dikatakan gemuk tidaklah tampak begitu buruk sangat. Malah, kelihatan lebih seksi terutama berpakaian seperti itu dan sedap dipandang.

Selain itu ada juga beranggapan, perasaan bangga bergelar ibu seharusnya wujud dalam diri. Justeru, kehamilan itu tidak perlu hendak ‘disorokkan’ dan sengaja mengenepikan pakaian sendat walaupun hati teringin untuk memakainya.

Lihat saja, gaya beberapa selebriti Hollywood yang sengaja menyarungkan pakaian ketat dan sendat ketika hamil serta bangga ‘menayangkan’ perut memboyot mereka. Selebriti berkenaan tetap anggun dan seksi saat menanti kelahiran buah hatinya.

Bintang latin, Jennifer Lopez misalnya, tetap bergaya cantik meskipun perutnya membesar saat mengandung anak kembarnya. Begitu juga bintang Hollywood lain seperti artis memiliki bibir tebal, Angelina Jolie yang semakin cantik ketika hamil.

Si hitam manis, Halle Berry juga nampak anggun dengan gaun hitam mini tanpa lengan yang menggunakan bahan sifon lembut ketika menghadiri sebuah acara. Britney Spear usah ceritalah kerana penyanyi kontroversi itu antara yang paling berani dan tidak segan silu mendedahkan tubuhnya ketika hamil.

Gaya beberapa selebriti yang tetap tampil dalam aura seksi dengan fesyen busana yang sendat dan ketat sehingga ada kala berani menayangkan perut boyot secara terang-terangan, dikatakan, berjaya mempengaruhi wanita lain yang hamil. Lalu, semakin ramai jugalah wanita hamil di negara ini mengenakan pakaian yang betul-betul mengikut bentuk tubuh sehingga menyerlahkan perut yang ‘membusung’ ke depan.

Bagaimanapun, bagi Zaifareny Mohamed, 26, yang bakal pertama kali bergelar ibu dan kini mengandung lapan bulan, berkata dengan keadaan perut yang sedang membesar lebih selesa memakai pakaian yang tidak terlalu ketat mahupun longgar.

Katanya, apa yang lebih penting pakaian dipakai mestilah selesa, nampak cantik apabila disarungkan ke badan dan memudahkan pergerakan dalam keadaan diri berbadan dua.

“Kalau pakai baju yang terlalu seksi seperti sendat dan betul-betul mengikut bentuk tubuh memanglah tidak berani terutama apabila berjalan di luar rumah. Tetapi pakai di rumah mungkin tidak menjadi masalah kerana hanya saya dan suami saja. Jika ada wanita hamil lain yang suka atau tidak kisah menggayakan pakaian sendat dan ketat di luar rumah, itu terpulanglah kepada cita rasa masing-masing. Kadang-kadang, memang mereka nampak lebih cantik berpakaian seperti itu,” katanya.

Zaifareny yang bekerja di jabatan kerajaan di Melaka, berkata jika berada di luar lebih selesa memilih menggayakan legging bersama blaus yang tidak terlalu terdedah. Kebanyakan fesyen baju yang dipakainya pula adalah pilihan suami.

Katanya, oleh kerana sepanjang mengandung perutnya agak kecil tidak sukar untuk memilih pakaian, malah setiap kali membeli-belah tidak perlu hendak pergi ke sudut khusus yang menjual baju mengandung.

“Saya mula memakai baju yang lebih besar daripada saiz biasa apabila kandungan memasuki enam bulan. Oleh kerana ini pengalaman pertama saya mengandung, awal kehamilan itu memang berasa malu sedikit. Tetapi selepas masuk beberapa bulan, perasaan itu berubah gembira dan bangga kerana bakal menjadi ibu. Jadi, bagi saya buat apa hendak sorok-sorokkan perut itu, “ katanya.

Zaifera Mohamed, 40, Kakitangan swasta

“Wanita sekarang beruntung walaupun hamil masih boleh bergaya sakan kerana ada banyak pilihan rekaan baju mengandung yang cantik dan bergaya kontemporari. Masa saya mengandung dulu, mana ada baju seperti itu. Jadi, kalau wanita hamil berkenaan sukakan pakaian yang seksi apalah salahnya tetapi janganlah sehingga keterlaluan sehingga tidak sesuai dengan lunas-lunas Islam.”

Mohd Riza Azhar, 29, Kakitangan Pos Malaysia

“Saya suka tengok wanita bergaya. Bagi saya, kalau wanita hamil yang mengenakan pakaian ketat dan sendat itu nampak comel dan lebih cantik. Saya juga tidak kisah jika isteri hendak berpakaian seperti itu. Tetapi, wanita itu sendiri mestilah berani memakainya. Jika kena kutuk, itu adat kerana jika hendak menggayakan fesyen mestilah berani dan terima apa yang diperkatakan orang lain.”

Ain Fatiha Aidilfitri, 19 , Pelajar Tahun 1, Universiti Kebangsaan Malaysia

“Zaman sekarang sudah moden dan masyarakat kini bersikap lebih terbuka. Berbanding dulu, masyarakatnya berpegang kuat dengan tradisi. Justeru, memanglah ada perubahan dalam memilih gaya pakaian, termasuk ketika hamil. Apa pun pilihan pakaian yang dipakai jika boleh biarlah berpada-pada.”

Mohd Helmi Yazid, 21, Pelajar Universiti

“Tidak perlu kita hendak terikut-ikut dengan artis Hollywood kerana itu memang budaya mereka. Dalam memilih pakaian sesuai ketika mengandung, rasa-rasanya lebih baik wanita hamil terus mengekalkan adat budaya Timur. Jika ingin mengikut arus fesyen terkini, pilihlah yang sopan dan mampu mengekalkan keperibadian yang tinggi.”

Gaya santai, ringkas


AMERIKA Tengah sememangnya dikenali sebagai lokasi yang kaya dengan khazanah kebudayaan eksotik, landskap menarik dan gaya hidup masyarakatnya yang tersendiri.

Semua elemen berkenaan menjadi ilham kepada Camel active untuk merealisasikan koleksi pakaian untuk musim bunga/panas kali ini.

Koleksi yang bertemakan Hubungan Benua itu membawa maksud hubungan di antara kehidupan silam dan masa depan apabila budaya tradisional penduduk asli mudah bersepadu dengan gaya hidup masyarakat bandar yang moden.

Musim ini, Camel active mengeluarkan koleksi pakaian yang inspirasi daripada fesyen berwarna-warni penduduk asli serta landskap menarik seperti kawasan pergunungan, hutan hujan, bandar dan kawasan pantai.

Koleksi seluar jenama itu kali ini jelas didominasi corak kargo serta potongan lurus, tetapi terdapat juga seluar rekaan banyak kocek.

Selain itu, seluar pendek untuk koleksi musim panas kali ini juga tidak kurang menarik kerana ia direka lebih pendek, tetapi cukup untuk menutup bahagian lutut dan lebih menarik jika digayakan bersama tali pinggang kanvas.

Bagi yang menggemari gaya ringkas, seluar bermuda paling sesuai dimiliki. Koleksi seluar bermuda Camel active menyediakan pelbagai jenis rekaan seperti gaya Madras, corak kotak serta rona terang berwarna-warni.

Untuk musim bunga/panas kali ini, Camel active turut menampilkan koleksi pelbagai jenis rekaan jaket seperti gaya penunggang motosikal, gaya ala pemandu pesawat serta kulit.

Kebanyakan jaket berkenaan hadir dalam potongan pendek dengan hiasan gaya bertali pinggang. Jaket ringan musim panas dengan lapik dalam nipis atau tanpa lapik dalam juga menarik untuk digayakan.

Elemen biasa jenama itu termasuk berbilang poket dan kombinasi bahan serta struktur jelas yang boleh didapati di setiap helaian koleksi berkenaan.

Variasi dalam segmen jaket kulit ini antaranya, ada rekaan dibuat daripada kulit separuh nubuck, yang menyerlahkan imej lusuh dan kasar, gaya maskulin sebenar untuk lelaki.

Selain itu, untuk koleksi baju polo dan kemeja-T, rekaannya lebih kepada kolar Henry terbuka yang dipadankan dengan barisan butang tirus serta lebar.

Koleksi baju polo pula kebanyakannya hadir dalam corak berjalur dua tona warna berbeza berbanding himpunan kemeja yang sarat dengan corak, berbelang atau kotak, menambahkan lagi gaya Amerika Tengah pada penampilan pemakai.

Keseluruhan rekaan menggunakan rona seperti kuning air, putih, kelabu, hijau, khaki, merah dan biru yang jelas menggambarkan hutan hujan tropika dan muka bangunan rumah yang berwarna-warni di Amerika Tengah.

Fesyen Saloma


FESYEN biduanita tersohor, Saloma, pernah menjadi ikutan wanita pada zaman seangkatannya.

Potongan baju kembang dengan kain sempit belah di depan dan baju pendek dengan kain kembang antara fesyen yang menjadi ikutan pada masa itu.

Merentasi masa, fesyen itu ditampilkan kembali, tetapi diberi nafas baru untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa.

Pemilik butik Zurfauzie, Faudziah Yusoff, berkata fesyen tersendiri yang dipelopori Saloma itu nyata mempunyai peminat yang ramai dan hingga hari ini pun, masih ada yang setia dengan rekaan berkenaan.

Rekaan baju pendek dengan potongan tangan kembang memang menarik dan bagi mengkomersialkannya, dia tidak lupa untuk menyelitkan elemen moden kontemporari.

Katanya, jika tidak diubah sedikit, fesyen itu mungkin kelihatan agak seksi dan tidak sesuai dengan gaya hidup masyarakat hari ini.

"Seperti yang kita semua ketahui, fesyen pakaian tahun 60-an memang mempunyai elemen klasik yang sentiasa malar segar.

"Ia sentiasa diminati tetapi rekaannya mungkin mengalami sedikit perubahan untuk disesuaikan dengan aliran fesyen semasa," katanya.

Faudziah berkata, dia memilih untuk menggunakan material mewah seperti Dubai Itali dan sifon sebagai fabrik utama kerana ia mempunyai ciri yang diingini.

Selain fabrik polos, material bercorak juga semakin digemari kerana jika kena dengan rekaan, ia tampak elegan.

Antara corak yang mendapat sambutan ialah flora, abstrak serta polkadot klasik.

"Tidak dinafikan masyarakat hari ini amat menggemari fabrik lembut seperti sifon dan Dubai Itali kerana ia bukan saja cantik tetapi amat selesa untuk dipakai.

"Menambahkan seri, fabrik berkenaan juga hadir dengan hiasan manik menarik yang menyerlahkan lagi sesuatu rekaan," katanya.

Sementara itu, untuk koleksi kanak-kanak, butik berkenaan menyediakan pelbagai jenis rekaan pada harga bermula daripada RM80.

Antara rekaan yang boleh dimiliki ialah baju kurung tradisional, moden (sedondon dengan ibu) serta kebaya bersulam.

"Ramai wanita hari ini gemar tampil berpakaian sedondon dengan anak mereka.

"Apa pun, pemilihan fabrik perlu sesuai kerana ia boleh merencatkan penampilan baik si ibu mahupun anak," katanya.

Butik yang sudah bertapak lebih 18 tahun itu menumpukan kepada batik buatan tangan, sutera Itali, songket Terengganu, tudung serta pakaian pengantin itu menyediakan pelbagai jenis koleksi pakaian untuk lelaki dan wanita.

Terima kasih

Pakaian: Butik Zurfauzie, Aras 2, SACC Mall, Shah Alam

Lokasi : KK Home Deco, SACC Mall, Shah Alam

Mesti lebih 20 tahun

Menyedari kegilaan fesyen vintaj semakin berkembang di peringkat global, Jezmine Zaidan sanggup berhenti kerja semata-mata mahu mengusahakan perniagaan fesyen itu.

"SAYA sanggup mendalami dua bidang pengajian. Walaupun saya mengerti keputusan tersebut memerlukan saya menambah tempoh pengajian selama setahun lagi, namun saya tidak kisah. Yang penting, saya dapat menggapai impian yang selama ini diidamkan.

"Tiga tahun pertama saya menuntut di peringkat Diploma Pengajian Media dan tiga tahun seterusnya pula, saya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Rekaan Fesyen," ujar Jezmine Zaidan, 25, yang merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Mencungkil apakah impian yang disemai sehingga mendorongnya mendalami dua bidang pengajian berbeza, wanita seberat 38 kilogram itu terus tersenyum. Sambil memadankan aksesori gaya vintaj pada tubuh model Ain, Jezmine yang anggun berbaju ungu memberitahu, dia ingin menjadi wartawan fesyen.

"Menulis dan menggunting gambar-gambar fesyen menarik adalah tabiat yang sukar dipisahkan. Saya sanggup membelanjakan puluhan ringgit semata-mata mahu menggunting dan mengumpul koleksi fesyen yang menawan daripada majalah atau akhbar.

"Sebab itulah, saya memilih untuk mendalami bidang komunikasi dan rekaan fesyen selama enam tahun. Apa yang menggembirakan, usaha saya membuahkan hasil. Selesai menamatkan pengajian, saya diterima bekerja sebagai wartawan fesyen di sebuah majalah Inggeris," tutur Jezmine yang pernah menyertai program realiti Project Runway Malaysia pada tahun 2007.

Mengimbas pengalaman dalam program itu, meskipun tidak berjaya menggondol hadiah utama, tiada perasaan terkilan menyelubungi dirinya. Sebaliknya, anak sulung daripada dua adik-beradik itu berasa bertuah kerana berpeluang menimba ilmu, mengutip pengalaman dan menikmati dunia pereka fesyen.

Biarpun program tersebut sudah dua tahun berlalu, Jezmine masih lagi mempraktikkan ilmu-ilmu yang diperoleh ketika menjalankan tugas wartawan fesyen. Terutama kaedah menyiapkan tugasan dalam masa yang singkat, bekerja dalam tekanan dan bersaing secara sihat.

Menariknya walaupun sibuk dengan dunia kewartawanan, Jezmine masih sempat menempatkan diri dalam bidang perniagaan fesyen. Pada setiap hujung minggu, tanpa perasaan segan, Jezmine menjual seleksi aksesori perhiasan diri dan busana yang bercirikan gaya vintaj di pasar lambak di sekitar Lembah Klang.


Apa yang membanggakan, percubaannya itu membawa keuntungan yang menggembirakan. Kebanyakan remaja yang datang membeli-belah. Mereka nyata berminat terhadap barangan vintaj yang dipamerkan.

Bukan sahaja baju malah koleksi beg tangan vintaj yang unik dan warna terang turut menjadi pilihan.

"Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada golongan muda berbangsa Melayu dan Cina. Tatkala membelek barangan yang dijual, ada yang melahirkan kekesalan kerana tidak menyimpan aksesori kelengkapan diri milik ibu mereka yang lama.


"Kadangkala tak menang tangan dibuatnya. Saya juga menerima tempahan barangan yang begitu banyak. Bimbang sekiranya fokus dan kepenatan berniaga menjejaskan tugas saya sebagai wartawan, akhirnya saya mengambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian pada bisnes," katanya.

Menyedari pada hari ini terlalu banyak perniagaan berasaskan fesyen diusahakan sama ada secara talian atau butik, Jezmine tidak gentar. Ini kerana dia menyifatkan produk yang ditawarkan kepada pelanggan mempunyai keunikan tersendiri.

Bersesuaian dengan labelnya, Old Blossom Box, barangan vintaj yang ditawarkan masih dalam keadaan baik dan baru. Enggan membiarkan pelanggan setianya memiliki barangan yang lusuh, Jezmine berusaha mendapatkan pengedar-pengedar barangan vintaj dari India, Thailand dan beberapa negara di benua Eropah yang bermutu tinggi.

Mengulas mengenai perbezaan era vintaj, katanya: "Mudah sahaja untuk membezakan produk vintaj mengikut peredaran era 50-an, 70-an dan 80-an. Bagi tahun 50-an, kebanyakan bajunya mengikut potongan badan, polka dot (corak berbintik) dan skirt paras pinggang serta kembang.

"Barangan tahun 70-an pula, koleksinya mempunyai motif flora, berwarna-warni dan potongan baju ala kelawar. Dari segi beg pula, anda akan dapati zip yang digunakan amat keras."

Ulasnya lagi, kebanyakan fesyen vintaj yang bermaksud barangan lama mestilah berusia sekurang-kurangnya 20 tahun. Ia juga mestilah tampak lebih menarik apabila dipraktikkan mengikut konsep padan dan suai.

Menyentuh adakah fesyen vintaj hanya menjadi kegilaan masyarakat Malaysia, Jezmine yang menjalankan perniagaan Old Blossom Box secara maya menyatakan situasi yang sama boleh dilihat di Belanda, Switzerland dan Jepun.

Namun begitu, Jezmine memberitahu fesyen vintaj di Jepun lebih menyerlah dan menarik kerana wanita di sana memiliki keyakinan yang tinggi untuk bergaya. Lagipun, wanita Jepun tidak segan untuk menyarung busana dan padanan aksesori yang pelik.

Wangian lambang peribadi

Apakah yang membezakan antara wangian jenis Perfume, Eau de parfum, Eau de toilette dan Eau de cologne?

ADAKAH anda sedari minyak wangi yang terdapat di pasaran ditampilkan dengan beberapa istilah berbeza apabila merujuk kepada jenis-jenisnya? Misalnya, haruman itu dirujuk sebagai Perfume, Eau de parfum, Eau de toilette dan Eau de cologne. Tentu ada antara kita yang masih bingung memikirkan adakah kesemuanya membawa maksud yang sama?

Sebenarnya, kesemua istilah tersebut mempunyai makna dan penjelasan tersendiri. Ini kerana, setiap jenis haruman itu memiliki ramuan atau kepekatan ekstrak wangian yang berlainan. Pengeluar minyak wangi membezakan setiap jenis produknya mengikut kategori masing-masing dengan menulis label tertentu pada botol haruman.

Perkataan yang berbeza itu merujuk kepada kombinasi bahan-bahan yang diadun ke dalamnya. Kebanyakan wangian di pasaran terdiri daripada kombinasi bahan atau ramuan semula jadi yang kompleks. Ini termasuk minyak daripada kuntuman bunga, tumbuh-tumbuhan atau produk sintetik. Pilihan bahan-bahan itu dibuat bagi meningkatkan kekuatan dan kadar ketahanan wangian tersebut bagi tempoh yang lama.

Biasanya, cecair alkohol digunakan sebagai bahan asas pengeluaran minyak wangi. Namun, ada juga minyak wangi yang menggunakan campuran air dan tanpa alkohol. Kepekatan alkohol atau ekstrak haruman yang digunakan ini turut diambil kira dalam penentuan jenis minyak wangi.

Perfume atau juga dikenali sebagai Extract perfume (Extrait) mengandungi 15 hingga 40 peratus kepekatan wangian. Hasil wangian itu dikatakan berada dalam keadaan yang paling tulen atau sangat mahal kerana nilai asli yang dimiliki.

Ini diikuti dengan Eau de parfum yang mempunyai kepekatan alkohol dan wangian sekitar tujuh hingga 15 peratus. Ia paling popular dan terdapat dalam kebanyakan produk haruman yang dijual di kaunter khas. Tempoh masa haruman bertahan agak lama dan tidak semahal Perfume.

Eau de toilette menyuntik wangian yang lebih ringan dan lembut kerana ia mengandungi kepekatan wangian sebanyak satu hingga enam peratus. Ini bermaksud, haruman jenis itu tidak tahan lama. Pada mulanya, wangian jenis itu dicipta sekadar untuk menyegarkan mood seseorang.

Eau de cologne pula hampir sama sifatnya dengan Eau de toilette tetapi Eau de cologne mengeluarkan wangian minyak sitrus. Ia lebih lembut dan tidak tahan lama.

Dalam pada itu, jenama fesyen dan wangian terkemuka dunia, Dunhill, mengembangkan koleksi wangian mewah jenis Eau de toilette kepada sebotol haruman yang sesuai dengan jiwa kembara lelaki.

Menjadikan langit sebagai sempadan had pengembaraan, haruman Dunhill itu bak terbang tinggi di langit biru yang terbentang luas. Ciptaannya mengungkap sebuah kisah dan naluri kebebasan lelaki tanpa batasan.

Seperti mesej yang ingin disampaikan dalam promosi haruman itu, satu ketenangan tercipta dalam jiwa juruterbang yang mengawal kelajuan kapal terbang peribadinya sambil menikmati kepulan awan yang semakin jelas kelihatan di ruang udara.

Biarpun jauh dari daratan dengan deretan rumah yang kelihatan seperti miniatur pada latitud 51.3 N, destinasi London yang dituju semestinya memiliki aura tersendiri.

Dalam keadaan itu, dipercayai bahawa tiada apa lagi yang didambakan jika bukan wangian lelaki yang bersandarkan kepada gaya dan kemewahan yang tinggi.

Dunhill 51.3 N itu cukup maskulin, penuh keyakinan dan lambang keunggulan. Esen yang sentiasa digambarkan sebagai inovatif dan kreatif itu, diperbaharui dengan wajah dan imej wangian berpenampilan terkini.

Siapa lagi dapat menjelaskannya secara mendalam jika bukan pengguna Josen Lim, 36. Merupakan seorang pencinta sukan udara, Josen gemar menyembur wangian Dunhill 51.3 N semasa mengadakan perjumpaan dengan pelanggan.

Pertemuannya dengan klien menjadi lebih bermakna apabila haruman yang semerbak memberi kelegaan dan keyakinan kepada dirinya.

"Segala-galanya terasa baru seperti mana kualitinya dihargai oleh golongan jejaka yang seronok menghadapi cabaran dan halangan dalam apa jua keadaan mendesak.

"Kepentingan dan tahap dinamik produk ini hanya dapat dilafazkan oleh mereka yang pernah mencubanya," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails