Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ebby Saiful terkilan sikap TV


WALAUPUN memulakan 'kariernya' sebagai pelakon ketika berusia sembilan tahun dalam filem Asmara Kirana yang diterbitkan pada 1968, namun filem Ali Setan benar-benar melonjakkan namanya sebagai pelakon yang diminati.

Memegang watak sebagai Latif, kawan baik kepada Ali Setan lakonan Azmil Mustapha, Ebby Saifullah Ali atau lebih dikenali Ebby Saiful,51, berjaya mencuri hati para peminat filem ketika itu.

Sebagai siswa sebuah universiti, Latif lakonan Ebby Saiful benar-benar mewarnai filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin dan membuktikan bakat yang dimilikki cucu Minah Yem ini.

"Sebenarnya saya sudah mula berlakon ketika umur tiga tahun sebagai pelakon ekstra kanak-kanak dalam filem Raja Bersiong pada awal 1960an.

"Tetapi pada 1969, melihat sifat saya yang tidak mengenal takut pada orang ketika mengikut arwah nenek atau mak ke lokasi, pengarah Nas Ahnaz menawarkan saya watak Jantan dalam filem Asmara Kirana bersama AllahyarhamEd Osmera," cerita Ebby Saiful dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Bak kata pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, walaupun Asmara Kirana filem pertama yang memberikannya watak, namun Ebby berjaya menjiwai watak Jantan sebagai anak kepada Allahyarham Ed Osmera.

Walaupun filem berkenaan dikatakan telah menampilkan bakat anak pemuzik Allahyarham Ali Ahmad, (pencipta lagu Si Dia nyanyian Allahyarham Datin Rafeah Buang) dan Allahyarham seniwati Norsiah Yem, namun Ebby tidak meneruskan kerjaya itu.

"Entah kenapa apabila meningkat dewasa saya tidak meminati bidang lakonan. Sebaliknya minat saya lebih ke bidang muzik.

"Apabila usia saya 19 tahun bersama rakan-rakan seusia, saya menubuhkan kumpulan The Beez kemudian dikenali New Breed. Kami bermain di Hotel Merlin selama tujuh tahun mulai 1978," kata Ebby.

Bakatnya sebagai pemuzik bukan sahaja menjadi sumber rezeki Ebby, malah ia memberi peluang kepada Ebby menjadi artis rakaman apabila dia muncul dengan dua album dibawah syarikat rakaman SRC iaitu Pahlawan Cangkul (1980) dan Untuk Anita (1983).

Kemudian Ebby muncul dengan album ketiganya Kisah Cinta. Album tersebut yang mengandungi lagu hits Bila Bunga Berguguran diterbitkan dibawah syarikat Polygram pada tahun 1986.

Bagaimanapun kata Ebby, penampilannya dalam drama purba Demang Lebar Daun bersama Idris Hashim telah membuatkannya meninggalkan bidang muzik dan nyanyian.

"Drama purba arahan Hasiah Ariffin untuk RTM benar-benar membuka pintu hati saya untuk berlakon semula, walaupun sebelum ini saya buang jauh-jauh minat dan bakat itu," kata Ebby sambil tersenyum mengingatkan bagaimana kerjayanya sebagai pelakon disambung semula.

Bermula daripada drama itulah, Ebby terus ditawarkan berlakon dalam filem Ali Setan (1986) diikuti Marah-Marah Sayang, Balik Kampung, Hantu Siang, Suara Kekasih, Perempuan, Sumpahan Mahsuri, Rentak Desa dan filem terakhirnya Azizah The Legend (1993).

Selain berlakon, Ebby juga berbakat mencipta lagu. Ini terbukti kesemua lagu untuk filem Marah-Marah Sayang dicipta olehnya.

Filem tersebut diterbitkan pada tahun 1986 oleh Feugo Production Sdn. Bhd., dengan menampilkan para pelakon Ebby Saiful, Norlida Ahmad, Shah Reza, Liza Abdullah, Isma Alif dan Suhaina Yahya.

Bukan itu sahaja, malah lagu Bunga-Bunga Berguguran yang pernah mencipta populariti penyanyi Fauziah Ahmad Daud dalam filem Suara Kekasih, adalah ciptaannya.

Selain mencipta lagu untuk filem, Ebby juga turut mencipta lagu untuk penyanyi lain antaranya, Flora Santos dengan lagu Melodi Kasih.

Menurut Ebby, walaupun lebih daripada 30 filem dilakonkan namun Ali Setan tetap momen indah dalam diari seninya.

Betapa tidak, watak nakal dan gila-gila lakonannya bersama Azmil banyak meninggalkan kesan di hati para peminat filem Melayu.

"Selepas berlakon filem itu, bila saya pergi ke mana-mana, peminat panggil saya kawan Ali Setan," cerita Ebby, ayah kepada Erin Adrina Salsatila,3, Endra Edrian Saifullah, 1 tahun 10 bulan dan suami kepada, Marini Ahmad,30 tahun.

Sementara Sumpahan Mahsuri yang diterbitkan oleh syarikat milik Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1989, menonjolkan sisi Ebby sebagai penolong pengarah.

Filem yang diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong, bukan sahaja meletakkan isterinya, Datin Rosnani sebagai penolong pengarah, malah Ebby turut dilantik sebagai penolong pengarah kedua.

"Penggambaran filem itu memakan masa lebih sebulan. Berkampung di Kedah dan Langkawi sepanjang penggambaran memberi banyak pengalaman dan pendekatan kepada saya dalam bidang pengarahan.

"Walaupun saya tidak ada pengalaman sebagai pengarah ketika itu, tetapi kepercayaan Pak Jamil dan Mak Nani memberi keyakinan kepada saya.

"Saya bersyukur sangat-sangat, walaupun pada mulanya saya anggap ia tugas yang berat, namun ia membuka era baru dalam karier seni saya," cerita Ebby.

Sejak itulah, Ebby Saiful meneruskan kerjayanya sebagai penolong pengarah apabila Anwardi Jamil menawarkannya jawatan itu.

"Sebagai penolong pengarah untuk sebuah filem purba memang belum memberi makna yang total bagi saya. Jika ingin maju dan menyusuri kerjaya yang kekal saya perlu mengarah pelbagai genre filem atau drama.

"Menyedari itulah saya mengambil peluang pada tahun 1990 apabila Anwardi mengarah drama komedi Gado-Gado dan melantik saya sebagai penolong pengarah.

"Bermula dengan Gado-Gado terbitan Double Vision, kemudian Anwardi memberi saya peluang mengarah drama bersiri Melaka sebanyak 13 episod dan 13 episod lagi diarahkan oleh Pak Jamil," kata Ebby Saiful.

Sejak itulah, Ebby mula mengorak langkah sebagai pengarah drama tanpa menoleh ke belakang dan sehingga kini lebih daripada 100 drama telah diarahkannya.

Selain mengarah, Ebby juga sering mencipta lagu tema untuk drama arahannya antaranya Dengan Nama Tuhan untuk drama Antoganis.

Menurut Ebby, pengalaman sekian lama sebagai pengarah drama, sedikit demi sedikit menggamit hatinya untuk mengarah filem juga.

Dan dari pengalaman yang tidak perlu dipertikaikan lagi, Ebby memang boleh menlaksanakan tugas itu, cuma katanya;

"Memang sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya teringin sangat mengarah filem dan saya tahu saya boleh.

"Tetapi seperti yang kita tahu, di Malaysia kalau kita bukan kroni, tidak pandai mengampu dan tidak sanggup tikam orang dari belakang, peluang mengarah filem itu memang susah nak dapat.

"Menyedari itulah saya lupakan terus hasrat saya untuk mengarah filem. Jika berpeluang saya ingin mengarah drama bercorak keagamaan yang lebih mendalam.

"Cuma masalahnya di Malaysia ini, jika kita buat drama agama yang menyentuh begitu mendalam, pihak stesyen akan kata kita sebarkan ajaran sesat dan nama kita digam.

"Tetapi saya musykil apabila drama Indonesia bolehlah pula ditayangkan. Melihat drama-drama itu, seolah-olah pengarah kita cetek dalam soal agama.

"Begitulah sikap double-standard pihak TV yang membuatkan pengarah kita tak boleh berkembang," kata Ebby Saiful penuh kesal.

Anak-anak mula cari Achik Spin


ANAK merupakan anugerah Allah yang paling berharga buat pasangan suami isteri. Anak bukan setakat pengikat hubungan kasih sayang pasangan kelamin, tetapi ia juga penyambung zuriat untuk generasi seterusnya.

Sejak dari kecil, anak biasanya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mana-mana juga pasangan suami isteri yang melalui kebahagiaan hidup berumahtangga. Apatah lagi, bagi yang jarang berenggang dengan anak-anak yang masih kecil kesannya cukup terasa.

Allahyarham penyanyi kumpulan Spin, Achik yang meninggal dunia pada 17 April lalu dalam kemalangan jalan raya adalah antara insan bergelar bapa yang pernah melalui pengalaman itu.

Saat dia kembali ke rahmatullah, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu meninggalkan dua anaknya yang masih kecil Puteri Nur Sayyia, 2 tahun 4 bulan dan Puteri Nur Sumayya, 11 bulan.

Agak memilukan kerana saat dia menghembuskan nafas terakhir akibat kemalangan jalanraya, dua anaknya itu masih lagi dahagakan kasih sayang seorang ayah seperti anak-anak kecil yang lain.

Namun, rasa kehilangan dua bayi comel itu ke atas ayah mereka yang cukup dikenali ramai sebagai penyanyi pop rock mulai dirasai setelah lebih seminggu Achik disemadikan di Makam Tuan Haji Said, di Sikamat, Seremban.

Menurut isteri Allahyarham, Tasha, dua anak hasil perkahwinannya dengan penyanyi yang popular dengan lagu Litar Asmara itu, mula bertanyakan tentang ayah mereka selepas 10 hari tidak berjumpa dengan Allahyarham.

Jelasnya, selepas 10 hari pemergian Achik ke rahmatullah dua anaknya itu mula bertanyakan, malah mencari ayahnya yang tidak pulang ke rumah sejak saat itu.

"Bukan setakat saya, malah dua anak saya itu juga berasa rindu dengan arwah. Malah, hari ini anak bongsu saya sudahpun mula bertanyakan tentang ayahnya. Saya cuba kuatkan semangat menghadapi situasi ini.

"Sayu dan pilu rasa hati ini apabila mereka bertanyakan ayah mereka. Saya tidak tahu hendak kata apa, apabila mereka bertanyakan tentang arwah yang lama 'tidak pulang' ke rumah," katanya menahan sebak ketika ditemui selepas rakaman rancangan Dimensi Muzik di Filem Negara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Tasha atau H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof menceritakan, dia cuba memberi pelbagai alasan tetapi tidak mampu menjelaskan perkara yang sebenar di saat dua anaknya itu yang masih belum mengerti akan hakikat kehidupan di dunia ini.

Kata ibu muda ini, buat masa ini dia mahu membesarkan anak-anak. Apabila keadaan sudah mengizinkan dia akan mula bekerja bagi membesarkan mereka.

"Saya tahu Allahyarham begitu sayangkan saya dan anak-anak sehingga tidak membenarkan saya bekerja. Tetapi...kini Allahyarham sudah tiada, sebagai ibu saya harus kuatkan semangat dan meneruskan hidup demi anak-anak.

"Saya mungkin akan menceburi bidang perniagaan atau menyambung perniagaan teh herba tinggalan arwah.

"Tetapi buat masa ini, saya tidak mahu meninggalkan anak-anak sendirian kerana mereka terlalu baru ditinggalkan ayah mereka," tutur pemegang diploma dari Kolej Universiti Teknologi Pengurusan Malaysia, Shah Alam, Selangor ini sambil memandang sayu wajah kedua-dua anaknya.

Selama ini jelas Tasha, Allahyarham tidak membenarkannya bekerja kerana mahu dia menumpukan perhatian membesarkan kedua-dua anak mereka.

Kumpulan Spin yang bernaung di bawahsyarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) memang diminati ramai dan album-album mereka mencatat jualan paling tinggi hasil.

Album sulung Spin berjudul Roda-Roda Rindu yang diterbitkan pada tahun 2000 dijual melebihi 50,000 unit.

Sementara album duet penyanyi Spin, Allahyarham Achik dan Siti Nordiana (Nana) berjudul Istimewa Untukmu yang diedarkan pada 2003 dijual lebih100,000 unit.

Bagaimanapun, menurut Pengarah Urusan FMC, C.F. Ho, selepas vokalis Spin itu meninggal dunia pada 17 April lalu kerana kemalangan jalan raya, semakin ramai yang berminat untuk memiliki album-album penyanyi itu.

"Selepas Achik meninggal dunia, ramai peminat yang mahu mendapatkan album-album lama Spin seperti Litar Asmara, Demi dan Keranamu yang diedarkan lima tahun lalu.

"Permintaan ini menyebabkan kami menyelongkar semula album-album lama Spin di stor FMC untuk diedarkan di pasaran," kata Ho yang mewakili FMC menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepada Tasha.

Sumbangan itu diadakan di set penggambaran rancangan televisyen Dimensi Muzik episod 4 terbitan Hadi Hassan bersama Betarecs Sdn. Bhd., yang sepatutnya menampilkan Achik sebagai salah seorang artis jemputannya.

Menurut Ho, bukan setakat album-album Spin, malah cakera padat video (VCD) lakonan Achik yang pernah diedarkan oleh FMC juga menjadi buruan para peminat Achik.

Antara VCD lakonan Achik yang kini laris ibarat goreng pisang panas berjudul Demi, Prahara dan Wad 404 yang pernah menyingkap bakat lakonan anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

"Selain itu, pada masa sama FMC juga akan mengedarkan lima buah lagu terbaru nyanyian Achik yang belum pernah diterbitkan berjudul Sejuta Maaf, Rela, Dibuai Rindu-Rinduan, Seorang Kawan dan Kau Yang Ku Cinta.

"Sebuah lagu duet Achik dengan Nana yang belum pernah diedarkan berjudul Cari Ketenangan juga akan diterbitkan dalam album kompilasi terbaru Spin itu kelak. Album itu akan berada dipasaran pada pertengahan Mei ini," jelasnya.

Pada majlis yang sama, Tasha juga menerima sumbangan wang ihsan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berjumlah RM1,500 yang disampaikan oleh Presidennya, Datuk Freddie Fernandez.

Tambah Freddie, sumbangan itu sebagai tanda simpati Karyawan terhadap keluarga Allahyarham Achik.

"Walaupun sumbangan ini tidak seberapa tetapi ia adalah tanda prihatin Karyawan terhadap Achik sebagai salah seorang anak seni tempatan yang mempunyai bakat menyanyi tersendiri.

"Mungkin pada masa depan, Karyawan akan lakukan sesuatu untuk memberi penghargaan kepada Achik. Kita akan fikirkan nanti," jelasnya lagi yang tidak pernah jemu membantu artis-artis kurang bernasib baik bersama Karyawan.

Hafiz enggan toleh belakang


PERNAH menerima pelbagai kritikan negatif termasuk dilabel sebagai artis baru yang selalu tidak menepati janji, secara bertatih, anak seni bernama Hafiz ini sudah semakin lali, memahami dan belajar tentang apa itu 'pengertian' dunia hiburan.

Pegangannya cuma satu, 'jangan cepat melatah atau melenting' biarpun ada ketika kritikan yang dilemparkan kepadanya pahit untuk ditelan sebagai oang baru dalam dunia seni.

Setahun melalui liku-liku hidup di arena hiburan, bagi Hafiz, menerima kutukan, kritikan dan pelbagai kata-kata negatif adalah lumrah andai sesiapa sahaja melangkah ke sempadan selebriti. Justeru, apa yang penting, bagi Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, menerima dengan hati yang terbuka membuatkan dia kuat untuk berhadapan cabaran mendatang. Malah, fikirnya, dugaan selama setahun berjalan di titian seni selepas bergelar juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada Mei tahun lalu, masih terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan artis senior lain. Meski mengakui ada ketikanya perasaan marah menguasai diri tatkala disogok kritikan mengaibkan kononnya dia tidak menghormati wartawan, namun, dirinya bersyukur kerana masih mampu mengawal emosi membara tersebut. Atas semangat yang dikurniakan itulah Hafiz kini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni terutamanya nyanyian yang menjadi impiannya sejak di bangku sekolah lagi. Berani tampil dengan imej baru, rambut berpotongan lebih kemas, Hafiz enggan menoleh ke belakang lagi kerana fokusnya adalah kejayaan di masa depan. Mula menceburi bidang lakonan teater dan berjinak-jinak dalam penulisan lirik, inilah antara usaha anak jati Sarawak ini bagi memastikan dia tidak tenggelam dalam arus persaingan dek kemunculan artis-artis baru yang lain. Tidak menghadapi masalah untuk berkecimpung dalam bidang baru, Hafiz tidak kisah untuk berkorban masa demi komitmen terhadap kerjaya. "Jadual kerja saya ketika ini sangat padat. Selain sibuk dengan persembahan, saya kini terikat dengan jadual latihan pementasan teater muzikal Kita.

"Latihan diadakan setiap Rabu, Sabtu dan Ahad di Istana Budaya. Alhamdulillah saya diberikan watak utama sebagai Rahman, seorang budak kampung yang punyai cita-cita tinggi. "Berlakon teater, ia memberi saya satu lembaran baru dalam hidup. Ia sememangnya cukup mencabar," tutur Hafiz ketika sesi fotografi di studio Utusan, baru-baru ini. Selain juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu, barisan pelakon yang turut membintangi teater muzikal Kita adalah Eric Lim, Michael Rao, Nas Adila, Amy Wong, Lim Cheng Hock dan Fimie Don. Teater muzikal Kita akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada Jun nanti. Menyambung perbualan, ujar Hafiz, menerusi Kita, dia bukan hanya bertindak selaku penggerak watak tetapi turut melontarkan vokal untuk 10 buah lagu serta menari.

Antara lagu-lagu yang akan dinyanyikannya adalah Dream, Kuala Lumpur Here We Come dan sebuah lagu lama berjudul Getaran Jiwa nyanyian asal seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Hafiz juga akan berduet dengan Nas Adila yang memegang watak sebagai Ayu untuk lagu Pandangan Pertama. Kata Hafiz, teater muzikal Kita adalah teater berkonsepkan gagasan 1Malaysia dan tersirat mesej perpaduan antara kaum di negara ini. "Pada mulanya saya menghadiri sesi uji bakat pada 14 Mac lalu. Tidak sangka pula terpilih berlakon dalam teater tersebut. "Mujur saya ada sedikit asas berlakon yang dipelajari sewaktu berada dalam AF dahulu. Kalau menyanyi dan menari, saya memang tidak ada masalah. "Cuma dalam Kita saya dan pelakon lain harus berdialog dalam bahasa Inggeris. Itu juga satu cabaran buat saya," jelas anak kepada pasangan Mohd. Suip Mohd. Suut dan Halizawati Mohd. Salleh ini.

Cipta lagu dan rambut

Tutur Hafiz, memasuki bidang lakonan, dirinya tidak mudah untuk terus melupakan bidang nyanyian yang menjadi 'teras' perjuangan seninya. Untuk itu, Hafiz kini mula bermain dengan seni kata apabila mencipta lirik dan untuk sebuah lagu berjudul Mungkinkah. Mungkinkah, ujarnya, adalah sebuah cerita tentang pasangan kekasih yang keliru dalam percintaan mereka.

"Ilham mencipta lirik ini saya peroleh ketika hendak tidur sekitar awal tahun lalu. "Baru saya tahu, bukanlah satu kerja yang mudah untuk menjadi seorang penulis lirik. Ini juga satu pengajaran berharga buat diri saya. "Mungkinkah akan dirakamkan tidak lama lagi dan ia menjadi penentu untuk penghasilan album saya selepas ini,'' bicara Hafiz penuh rasa bangga. Mengenai karier nyanyiannya, Hafiz memberitahu bahawa single ketiganya iaitu Watak akan diputarkan di stesen radio tidak lama lagi selepas menerima sambutan menggalakkan daripada dua single terdahulu iaitu Masih Jelas dan Noktah Cinta.

Membanggakan bagi Hafiz, Masih Jelas mencipta sejarah bermakna apabila berjaya memasuki ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24), Januari lalu. Lagu berkenaan turut tercalon di Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) untuk kategori Susunan Muzik Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.Tentang imej rambutnya yang terbaru, Hafiz mengakui bahawa dia sendiri telah mengambil keputusan nekad untuk memotong rambut atas sebab tertentu. "Memang saya sayang gaya rambut yang lama. Tetapi saya terpaksa memotongnya sebab banyak rambut saya rosak. "Insya-Allah, mungkin selepas ini saya akan kembali kepada imej rambut yang lama,'' katanya.

Perjalanan masih Jauh-Tiz Zaqyah


SEMOGA Tiz Zaqyah sihat ceria selalu dan sudi menjawab soalan saya.

1. Apakah cita-cita Tiz Zaqyah

pada zaman persekolahan?

2. Kenapakah tidak memilih watak bertudung untuk drama-drama seterusnya?

3. Apakah kerjaya pilihan Tiz sekiranya tidak menjadi artis pada hari ini?

n Shuk_Jefrri,

Kluang, Johor.

TIZ ZAQYAH

1. Banyak sebenarnya. Kalau boleh Tiz nak jadi arkitek, peguam, juru hias dalaman dan macam-macam lagi. Tapi Tiz juga nak jadi ahli politik. Hahaha!

2. Tiz masih baru dan masih banyak benda yang perlu dipelajari. Perjalanan Tiz masih jauh dan sebagai seorang pelakon Tiz mahu meningkatkan lagi mutu lakonan dan pemilihan watak. Tiz tak boleh berpuas hati dengan apa yang sudah dikecapi hari ini.

3. Hmm..

Terima kasih peminatASSALAMUALAIKUM, saya merupakan peminat setia Tiz dan berharap Tiz sudi menjawab semua soalan saya.

1. Apa perasaan Tiz apabila diangkat sebagai pelakon drama popular?

2. Namakan tajuk drama pertama Tiz mula-mula dikenali dalam bidang seni?

n Faiz Musa,

Kuala Lumpur.

TIZ ZAQYAH

1. Pertama sekali Tiz memang tak menjangka untuk diangkat sebegitu sekali. Sangat susah untuk dipercayai memandangkan Tiz masih lagi baru dan tak semua orang kenal Tiz. Tiz amat bersyukur kepada Ilahi atas kurniaan rezeki dan sangat-sangat berterima kasih atas sokongan dan dorongan orang yang rapat dengan Tiz selama ini. Kepada peminat dan ahli kelab peminat TZRFC yang tak jemu-jemu menyokong Tiz, terima kasih banyak-banyak. Ini merupakan permulaan dan pencapaian yang baik kepada Tiz untuk lebih maju pada masa hadapan.

2. Impian Illyana musim kedua yang mula-mula memaparkan wajah Tiz.

Tak memilih watakHAI Tiz, apa khabar? Harap anda sentiasa sihat dan terus maju jaya. Saya ada beberapa soalan untuk anda.

1. Apa perkembangan terbaru Tiz?

2. Apa kenangan yang sukar untuk dilupakan sepanjang bergelar anak seni?

3. Kalau diberi peluang watak apa yang Tiz mahu lakukan dan siapa pengarahnya?

n Zura,

Kuala Lumpur.

TIZ ZAQYAH

1. Tiz sekarang tak buat apa apa projek dan nak berehat untuk seketika sebelum filem Nur Kasih bermula. Harap semuanya akan berjalan lancar.

2. Sepanjang Tiz melibatkan diri dalam industri ni, Tiz memang tak pernah lupakan semua pengalaman berlakon dari kali pertama hingga sekarang. Tiz dapat berjumpa dengan ramai orang yang amat dikagumi. Tapi kenangan yang paling indah tapi lucu baru saja terjadi semasa di sebuah anugerah. Tiz seakan-akan tidak percaya, tak menjangka dan masih lagi amat terharu apabila mendengar sorakan peminat di dalam arena semasa nama Tiz disebut. Tiz memang ada stage fright dari kecil jadi itu pertama kalinya Tiz berada di atas pentas berdepan dengan beribu-ribu penonton. Itu memang tak dapat dilupakan.

3. Jawapan Tiz sama sahaja, Tiz mahu mencuma semua watak tak kira apa juga watak yang diberikan. Kalau Tiz tak cuba untuk lakukan semuanya macam mana Tiz nak belajar jadi yang terbaik. Dari situ Tiz dapat tahu mana kelemahan yang patut dilakukan. Kalau boleh Tiz nak watak superhero seperti Angelina Jolie sebagai Lara Croft dan banyak lagi.

Tunggu filem Nur KasihHAI, semoga Tiz terus sihat dan berjaya dalam bidang yang diceburi. Saya ada beberapa soalan untuk Tiz.

1. Apa perasaan Tiz apabila mula dikenali sebagai pelakon yang baik?

2. Siapa idola Tiz?

3. Bila Tiz akan keluar dengan filem terbaru?

4. Macam mana nak berhubung dengan Tiz?

n Qiera,

Kuala Ketil, Kedah.

TIZ ZAQYAH

1. Tiz rasa ia merupakan momen yang paling indah dan sangat berharga. Semua itu bukan sekadar diri Tiz semata-mata sebaliknya melibatkan satu pasukan. Pengarah dan tenaga produksi juga sebenarnya membantu Tiz untuk menjadi pelakon yang baik.

2. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Angelina Jolie. Jolie bukan sahaja pelakon yang hebat malah seorang duta UNHCR yang aktif lagi prihatin tentang apa yang sedang berlaku di dunia.

3. Tiz akan mulakan penggambaran filem Nur Kasih pada bulan Jun ini. Itu sahaja yang Tiz lakukan buat masa ini.

4. Awak boleh layari www.facebook.com/zaqyah tiz razak dan di www.twiter.com/tiztiztiz.

Nak jadi penyanyiHarapan saya agar Tiz sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki. Semoga hari-hari yang dilalui oleh anda bertambah ceria dan sejahtera.

1. Apa petua Tiz Zaqyah amalkan apabila dilanda dengan gosip yang tidak berasas?

2. Tak minat nak menyanyi ke?

n Salam Mustapha,

Cheras, Kuala Lumpur.

TIZ

1. Tiz memang tak akan layan semua gosip-gosip yang keluar selama ini. Tiz juga bukan kaki gosip dan memang kurang senang jika ada yang memperkatakan mengenai diri ini. Tiz masuk bidang ini semata-mata nak jadi anak seni dan memberikan yang terbaik kepada semua.

2. Memang Tiz minat menyanyi tapi bukan dalam waktu yang terdekat ini. Biarlah Tiz tumpukan dalam bidang lakonan dulu barulah nak fikir untuk menyanyi.

Mahu kahwin,calonnya siapa? -Faezah Elai


MELIHAT raut wajahnya pasti tidak percaya bahawa hatinya masih belum dimiliki. Benar, kesempurnaan yang ada pada wajah dan tubuh langsingnya menafikan kecacatan serta kekurangan bagi mempersoalkan perkara itu. Sekali gus menutup bicara. Mana tidaknya, Faezah Elai yang dilahirkan tanpa sedikit pun cacat cela itu masih berstatus bujang dan boleh dimiliki. Pada hal umurnya kini sudah menjangkau ke angka 28 tahun.

Reda dengan ketentuan yang tertulis di azali, anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak pernah menyesali suratan. Malah, tidak sesekali juga dia kalut membilang hari untuk bergelar anak dara lanjut usia (andalusia) atau anak dara tua (andartu).

Baginya, subjek perkahwinan kerap kali ditanyakan ke halwa telinganya dan bukan perkara yang baru. Ia turut dialami oleh wanita bujang sepertinya. Topik itu seakan-akan perkara wajib yang ditanyakan oleh golongan orang tua.

Sejujurnya, topik berkenaan kadang kala merimaskan dan menyemakkan fikiran. Telahan Faezah, bukan dia yang tidak mahu berkahwin tetapi masih belum bertemu dengan lelaki yang sesuai.

''Benar, kalau boleh Faezah mahu berkahwin sekarang. Dalam masa terdekat ini. Umur pun dah banyak tetapi masih belum berkahwin. Hendak buat macam mana. Masih tak berjumpa dengan calon yang sesuai. Tak kanlah kita berkahwin main tangkap muat sahaja,'' katanya dalam nada ceria pada pertemuan baru-baru ini.

Bagi Faezah, dia cukup terbuka soal perkahwinan. Diringkaskan cerita, heroin Adik Manja The Return ini memang sudah bersedia untuk menerima cinta dari mana-mana lelaki. Wanita ini juga tidak cerewet mengenai persoalan berhubung impiannya itu.

Prinsip hidupnya mudah. Si dia perlu sanggup susah senang sepanjang melayari bahtera perkahwinan bersamanya. Dia juga tidak semestinya terlalu kacak dan kaya. Cukuplah sekiranya mempunyai pendidikan agama dan menerima Faezah seadanya.

Justeru, anak sulung dari tiga beradik ini juga tidak menetapkan syarat yang terlalu besar untuk lelaki mendampinginya. Baginya, kedua-dua syarat berkenaan sudah memadai.

Bagi wanita ketinggian 5'6 inci ini, dia banyak mendengar cerita tentang lelaki kaya, penampilan menarik dan penuh kepura-puraan untuk menawan hati wanita pada zaman moden ini. Ada kalanya didapati menerusi pengalaman rakan-rakan dan orang lebih tua. Rasa trauma dan menjadikan pemilik nama penuh Noorfaezah ini lebih berhati-hati.

Azamnya, dia tidak menjadi sebahagian daripada statistik yang mencatatkan kes-kes seumpama itu. Biarlah dia memilih sang arjuna yang sederhana sesuai untuk membelai jiwa buat selama-lamanya.

Namun, tanpa disedari sebenarnya Faezah lebih menyenangi lelaki yang berlainan bidang daripadanya. Dalam kata mudah, bukan dalam industri seni tempatan.

Telahan Faezah, perkara tersebut sebenarnya lebih melancarkan proses komunikasi. Tidak tepu dan bosan terlalu apabila kerap bersemuka dan berbual dalam bidang yang sama.

''Semasa menjadi pramugari, Faezah sering kali mendengar kisah percintaan di kalangan kakitangan satu tempat kerja. Tidak kira, pramugara bercinta dengan pramugari, pramugari dan juruterbang.

''Ada yang berjaya ke jinjang pelamin dan ada yang tidak. Tapi kebanyakannya tidak menjadi. Itu yang membuatkan Faezah banyak berfikir,'' terang bintang filem Cun ini.

Wanita berbintang Leo ini mengakui, pada awalnya dia mengidamkan tarikh 11 November 2011 untuk melangsungkan hari bersejarah itu. Tarikh yang cukup simbolik untuk diabadikan buat bakal pengantin muda sepertinya.

Faezah gagal untuk mencapai sasaran tarikh 10 Oktober 2010. Satu angka yang mustahil untuk dicapai dalam tempoh lima bulan dari sekarang. Banyak perkara dan persiapan yang perlu dibuat. Apatah lagi selepas persoalan utama Faezah belum berjawab - tidak mempunyai teman lelaki.

Ceritanya, dia pernah gagal bercinta dengan seorang lelaki selepas berkenalan hampir dua tahun. Pada mulanya dia merasakan lelaki di kalangan 'orang biasa' itu adalah pilihan yang tepat. Puas juga mencari keserasian bagaimanapun tidak ditemui.

Bohonglah sekiranya dikata dia tidak kecewa tetapi wanita ini tidak dapat menipu diri sendiri. Bisik hatinya, 'biarlah, itu bukan jodoh aku'.

Kini, apa yang diharapkan agar satu hari dapat bertemu dengan pasangan jiwanya. Pada masa yang sama, bakal kekasihnya itu dapat menerima dirinya seadanya dan menghormati bapa, Mohd. Elai Fazil Elai, 54, serta ibu, Fazilah Ariffin, 50.

Memang mulut celupar

Menyingkap cerita lalu model ini, Faezah sebenarnya seorang yang suka berterus terang. Tidak boleh melihat sesuatu yang salah di hadapan mata. Sekiranya ada pasti mulutnya lancang berbicara.

Baginya, tidak salah sekiranya dia menegur. Lagi pun dia bukan jenis yang boleh kontrol. Akibatnya, dia pernah ditegur oleh beberapa artis yang lebih senior daripadanya.

Kata artis berkenaan, dia perlu belajar menjadi hipokrit. Itu pun sekiranya Faezah mahu kekal dalam industri ini. Tidak boleh berkata 'tidak' kepada orang lain. Perlu terima apa sahaja kehendak daripada orang lain. Sudah pasti, dasar tersebut bertentangan dengan prinsip yang diamalkan selama ini.

''Faezah marah apabila terpaksa hidup dalam lingkungan kepura-puraan semasa berada di industri. Namun lama kemudian, barulah Faezah akui. Memang kita perlu menjadi orang lain kalau mahu lama bertapak dalam industri ini. Itulah hakikatnya.

''Faezah sendiri pernah terkena. Jadi, Faezah ambil pendekatan untuk menguncikan mulut. Sekarang ini, kalau Faezah tidak gembira, Faezah akan senyap. Tidak perlu bercakap lebih-lebih. Nanti orang kata Faezah bermulut celupar pula,'' katanya.

Faezah pula jenis yang tidak mahu terlalu berkongsi cerita peribadi dengan khalayak. Baginya, itu sahaja cebisan privasi yang ada. Seboleh-bolehnya, dia mahu menyimpan apa sahaja cerita oeribadi dari pengetahuan umum.

Faezah juga pernah terjebak dalam kontroversi melibatkan kisah peribadinya. Antaranya adalah cerita kurang enak melibatkan penyebaran gambar seksinya. Namun, Faezah tidak pernah tampil ke hadapan untuk mengulas berhubung perkara itu.

Baginya, tidak ada apa yang perlu diperjelasnya. Kesemua gambar berkenaan diambil semasa dia belum popular lagi. Lagi pun, semakin banyak Faezah mengulas, pasti mengundang spekulasi.

Tadika dan Pulau Pinang

Ditanya tentang rancangan masa depan Faezah, tiba-tiba wajahnya bertukar kemerah-merahan. Bisik Faezah ke telinga saya, dia mahu pulang ke Pulau Mutiara selepas mendirikan rumah tangga.

Terang Faezah, dia lebih selesa dan tenang sekiranya dapat tinggal di tempat kelahiran sendiri.

''Faezah merancang untuk membuka taman bimbingan kanak-kanak sendiri. Yelah, meskipun wajah Faezah nampak ganas tetapi sebenarnya Faezah sukakan kanak-kanak.

''Jadi, Faezah mendambakan kehidupan lebih baik selepas berumah tangga nanti. Isikan masa bersama keluarga dan perniagaan yang bakal diceburi. Itulah impian Faezah,'' celoteh bintang utama drama Tun Fatimah ini.

Bercerita lanjut mengenai impiannya itu, Faezah memberitahu, ia masih berada perancangan. Apa yang menjadi sasarannya sekarang adalah memastikan apa yang direncanakan itu menjadi kenyataan.

Anang dan Syahrini bertukar cincin


HUBUNGAN akrab dan mesra antara Anang dan Syahrini tidak dapat ditutupi lagi. Bermula sebagai pasangan duet, mereka kini dikatakan mempunyai hubungan yang lebih jauh dari itu. Apabila ditanya Syahrini tetap menyatakan hanya senang bekerjasama dengan Anang.

Khabar terbaru, Anang dan Syahrini saling bertukar cincin semasa di Bali. Mereka dikatakan bercuti berdua di sana. Namun setelah disiasat rupanya memang terjadi acara pertukaran cincin antara mereka berdua tetapi hanyalah sebagai lakonan dalam video klip lagu Cinta Terakhir.

Menurut Syahrini, itu semua hanyalah lakonan dan ia sama seperti lakonan drama tiada satu pun yang benar. Katanya, video klip itu penuh dengan adegan romantik antaranya dan Anang dan mereka melakukannya secara profesional.

Bagi Anang pula, adegan tukar cincin itu adalah sebahagian daripada idea penerbit video klip tersebut iaitu Aleandra.

Katanya jika perkara tukar cincin itu benar-benar berlaku sudah pasti kedua ibu bapa akan turut serta. Apa yang pasti itu hanyalah lakonan,jelas Anang lagi.

Menurutnya tidak salah jika dia bermesra dengan Syahrini dalam video klip tersebut kerana itu memang permintaan pengarahnya. Jika kerana itu masayarakat membuat tanggapan bahawa dia ada hubungan istimewa dengan Syahrini maka segalanya diserahkan kepada persepsi masyarakat sahaja.

Katanya, masyarakat berhak menilai dan apa yang perlu dilakukannya adalah bersikap bijaksana menghadapi sebarang persepsi yang timbul.

Radja masih wujud


LAGU Jujur menaikkan nama kumpulan Radja bukan sahaja di bumi Indonesia malah sehingga ke negara jiran seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.

Radja yang kini dianggap sebagai band terkemuka di Indonesia tidak lari daripada masalah dalamannya. Terbaru, tersebar khabar bahawa band ini sudah berpecah dan Radja telah terkubur.

Menanggapi khabar tersebut, vokalisnya Ian Kasela menafikan sekeras-kerasnya khabar itu. Radja masih wujud walaupun dua daripada anggotanya telah menarik diri iaitu Seno Ali (drum) dan Indra Riwayat (bass). Malah Ian menyatakan bahawa dua rakannya itu sebenarnya bukanlah menarik diri sebaliknya 'berehat sekejap'.

Menurut Ian, bukti Radja masih wujud ialah mereka akan mengadakan jelajah ke Malaysia pada awal Mei ini dan akan muncul di tiga acara yang berbeza. Mereka akan berada di Malaysia selama 10 hari dan ini akan membuktikan bahawa Radja masih wujud dan tidak bubar.

Apabila dua anggotanya tiada, Radja terpaksa memakai khidmat khidmat pemuzik lain untuk mengisi kekosongan Seno dan Indra. Sebelumnya Seno dan Indra dikatakan keluar daripada Radja kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan dan mereka dikatakan akan menubuhkan sebuah band baru.

Menurut Ian, tidak sukar bagi pemuzik gantian untuk memainkan lagu-lagu Radja kerana lagu-lagu Radja tergolong dalam ketegori lagu yang mudah untuk dimainkan.

Sepi seorang diva-Kris Dayanti


BICARANYA satu persatu. Gerak tubuhnya menunjukkan dia tidak senang saat diminta berbicara tentang kisah cintanya yang baru saja terputus di tengah jalan sehingga menjadi perbualan sekalian banyak. Ia kelihatan menerusi pancaran mata penyanyi tersohor Krisdayanti (KD). Keinginannya jelas, dia meminta agar orang sekeliling memahami apa yang dirasainya selepas peristiwa sedih itu.

KD juga sedaya upaya menutup rasa sedihnya yang jelas kelihatan pada wajah dengan 'berpura-pura' ceria. Kesempatan bertemu dengannya pada Showcase Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti di Pusat Konvensyen Shah Alam, (SACC) Selangor baru-baru ini, mengukuhkan perasaan yang bergelora dalam jiwa terhadap diva kelahiran Indonesia itu.

Riak wajahnya kerap berubah. Mendung di wajah benar-benar terserlah tatkala bercerita tentang kisahnya dengan hartawan berasal dari Timor Leste, Raul Lemos.

Wanita berusia 35 tahun itu mengakui bahawa hatinya berkeping-keping selepas peristiwa tersebut. Sedih dan macam-macam lagi perasaan jahat membius dalam hatinya.

Pandangan jelik dari segelintir masyarakat di Indonesia yang mengaitkan peribadinya dengan perkahwinan lampau benar-benar meragut kesabarannya.

''Bohonglah kalau saya mengatakan tidak sedih dengan apa yang telah terjadi. Cukuplah dengan apa yang saya lalui. Setelah pengakuan dibuat (pada 12 April) lalu, saya berdepan dengan tekanan. Hati saya tidak nyaman (tenang) lagi.

''Ia meliputi pelbagai perkara. Sehinggakan mahu keluar rumah, saya dikepung oleh sekumpulan media di sana. Keadaan sedemikian menyebabkan saya tidak boleh duduk tenang. Nah, di situlah tekanan paling teruk saya hadapi,'' tutur KD.

Pelantun Menghitung Hari ini memberitahu kadangkala dia tidak boleh menerima apa sahaja tanggapan buruk yang diberikan oleh media di sana. Ada kalanya melampaui batas tetapi kayu pengukur hati KD mengatakan 'dia bukan artis sensasi'. Tidak ada yang perlu diperjelaskan semula.

Pada masa yang sama KD memberitahu, dia masih menghormati lelaki bernama Raul itu atas dasar silaturahim sesama insan. Namun tidak boleh mencampuri urusan lain dan menolak sebarang hubungan secara langsung.

Biarlah kisah hitam antara KD dengan Raul yang berstatus suami orang itu menjadi sejarah. Tidak ada yang perlu dinyatakan lagi. Baginya, lebih baik bercerita tentang rancangan kerjaya atau perkara-perkara yang membahagiakan dari berfikir riwayat sedih.

''Saya adalah seorang yang optimis tentang kehidupan. Saya enggan menoleh ke belakang dan lebih senang dengan menumpukan perhatian terhadap tugasan harian dan kerjaya. Saya juga tidak membiarkan perkara bertambah buruk membabitkan peribadi saya. Itu lebih mudah bukan?,'' ujar KD.

KD juga menafikan dia dirinya tidak terdesak untuk mencari cinta atau jodoh. Katanya, itu adalah perbuatan 'merbahaya'. Lebih baik membahagiakan diri dan dua permata hatinya, Titania Aurel dan Azriel Akbar. Tambahan lagi, dua pertama hatinya itu telah berjanji untuk membahagiakan KD. Mereka tidak mahu melihat ibu kesayangan menitiskan air mata hanya kerana gagal bercinta.

Pada masa sekarang ini minda dan jasad KD bersatu. Dia masih lagi boleh berfikir dan mempertimbangkan sama ada perkara itu baik atau tidak terhadap masa depannya. Janji dirinya, 'aku tidak akan ke dunia gelap'.

Saat diajukan soalan tentang bekas suaminya, Anang Hermansyah yang kini sedang hangat bercinta dengan seorang penyanyi baru Indonesia, KD memberitahu bahawa berita itu diketahui dari penceritaan anak-anaknya.

Sebagai mantan isteri, dia hanya mampu mendoakan perkara yang terbaik buat Anang. KD lebih senang untuk tidak mencampuri peribadi bekas suaminya itu. Tidak wajar buatnya untuk menceroboh ruang peribadi Anang.

Bahasa Mandarin Bantu Kerjaya- Shila


MENJANGKAU usia 20 tahun, gadis bernama Nur Shahila Amir Hamzah atau lebih dikenali sebagai Shila ini mengakui kelebihannya menguasai tiga bahasa termasuk bahasa Mandarin memudahkan lagi perjalanan kerjayanya.

Dia yang pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jenis Kebangsaan Cina Lee Rubber, Gombak ini sedar kepentingan menguasai berbagai bahasa boleh memberi nilai tambah dalam dirinya sebagai seorang artis.

"Saya seorang pencinta bahasa, dari kecil saya sering ada rasa ingin tahu terutamanya ketika menonton cerita-cerita dari luar seperti Korea, Jepun dan Sepanyol.

"Setakat ini saya hanya pandai berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. Biarpun tidaklah seberapa lancar namu saya masih boleh memanhami dan bertutur secara asas.

"Ketika di One In A Million (OIAM) dahulu saya sering mengunakannya bahasa Manderin apabila bertutur dengan rakan-rakan berbangsa Cina dan sehingga sekarang pun saya sering mendapat undangan di konsert 8TV yang berbangsa Cina," ujarnya yang ingin mendalami lebih banyak lagi bahasa.

Menurut Shila lagi, lagu-lagu dan drama televisyen sering mempengaruhinya untuk mendalami bahasa.

"Ketika hangat cerita Korea Winter Sonata, Saya sangup menghafal lirik dan mencari makna pada bait-bait lirik tersebut.

"Kebanyakannya lagu-lagu yang akan membuat saya lebih berasa ingin tahu dan belajar sendiri," jelas gadis berasal dari Kuala Lumpur ini.

Bercerita tentang fesyen, Shila mengakui bahawa dia seorang yang suka berfesyen dan mengikut peredaran fesyen semasa.

"Saya seorang yang gemar berfesyen, biarpun kadangkala orang nampak pelik tapi ia sesuai. Saya suka bermain dengan warna, bagi saya warna mampu memberi keyakinan dalam diri.

"Kalau kita lihat di Indonesia, remaja di sana berani mengayakan fesyen mereka sendiri. Mereka nampak pelik tapi cantik," ujarnya.

Isteri Tidak Cemburu Hubungan Ari Wibowo-Haliza Misbun


ISTERI mana tidak betah apabila suaminya, pelakon kacak dari Indonesia Ari Wibowo, 39, apabila digosipkan dengan artis wanita dari seberang.

Namun bila mengetahui wanita itu adalah pelakon dan penerbit Haliza Misbun, terus perkara itu tidak menjadi masalah.

Menurut Ari, dia agak bertuah kerana isterinya bernama Inge Anugrah, 28, itu tidak terlalu menghiraukan dan percaya tentang gosip cintanya dengan Haliza.

Malah dia juga sudah lali dan hanya tertawa apabila mendengar cerita-cerita yang dirasakan tidak masuk akal itu. Masakan dia akan bercinta dengan Haliza memandangkan dia sudah mempunyai seorang isteri yang cantik jelita.

“Isteri dan keluarga saya mengetahui tentang hubungan saya dan Haliza tidak lebih daripada seorang kawan. Saya dan isteri juga amat terbuka dalam soal ini.

“Setiap pertanyaan isteri saya akan dijawab dengan jujur. Saya juga bersyukur kerana mempunyai isteri yang sangat memahami diri saya sepanjang tiga setengah tahun kami mendirikan rumah tangga ini,” katanya dalam satu temubual semasa majlis pratonton filem Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Suami! di Cathay Cineleisure Damansara awal minggu ini.

Menyentuh tentang lakonannya dalam filem itu, dia berpuas hati setelah menonton dari awal hingga ke penghujung ceritanya.

“Walaupun kemunculan saya dalam filem Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Suami! hanya sekejap, saya berpuas hati setelah menonton hasil keseluruhannya. Saya menerima tawaran untuk berlakon filem ini atas dasar kawan dan tiada terfikir untuk melebarkan sayap di Malaysia.

“Secara peribadi, saya melihat filem ini mempunyai kaitan dengan Haliza. Saya berkawan baik dengannya, jadi saya nampak seolah-olah watak Nikki itu adalah dia,” ujarnya yang tidak akan menolak untuk bekerjasama dengan Haliza lagi selepas ini jika ada kelapangan waktu.

Katanya, dia juga sentiasa mengalu-alukan tawaran berlakon watak komedi seperti yang dilakonkan dalam filem itu. Ari melakonkan watak pakar psikiatri yang nerd bernama Dr. Ryan Diprojo.

Pada mulanya, Nikki jatuh cinta dengan ketampanan Dr. Ryan namun akhirnya dia menolak setelah melihat lelaki itu memakai seluar singkat.

“Walaupun filem ini merupakan filem komedi pertama lakonan saya, namun saya pernah berlakon dalam siri komedi berjudul Keluarga Fandanoa tidak lama dulu.

“Sekarang, saya sedang sibuk dengan penggambaran drama 50 episod Mawar Melati di Jakarta,” beritahunya yang telah melakonkan 30 drama bersiri di Indonesia serta drama Rohaya Roy bersama Haliza di Malaysia.

Selain itu, bapa kepada dua anak lelaki iaitu Kenzo, 2, dan Marco, 9 bulan, itu sibuk menguruskan syarikatnya dalam bidang perunding imej iaitu Virtue Enhancement Center sejak ditubuhkan lapan bulan lalu.

Ari menyertai bidang seni setelah menceburkan diri dalam bidang peragaan sejak berusia 16 tahun.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails