Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hubungan Almy & Fizz Fairuz Terganggu Gara-Gara Fasha Sandha


PELAKON Almy Nadia mengaku hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz agak terganggu apabila timbul desas desus kekasihnya itu turut menjalinkan hubungan dengan pelakon Tizz Zaqyah.

Almy berkata, dia juga terkejut apabila mendapat tahu Tizz dikatakan turut mengganggu hubungan Fasha dengan Rizal Ashram Ramli, bekas suami Nora Danish.

Bagaimanapun kata Almy, sebelum berita tersebut tersebar, dia dan Fizz telah terlebih dahulu menyelesaikan perkara tersebut dengan sebaik mungkin.

“Sewaktu mendengar berita ini, saya telah menghubungi Fizz dan pada mulanya dia agak berang dengan apa yang berlaku tetapi akhirnya masalah yang terjadi itu dapat diselesaikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Fizz Fairuz memberi amaran kepada pelakon Fasha Sandha agar tidak mengaitkan dirinya dengan Tizz Zaqyah semata-mata untuk mendapatkan publisiti murahan.

Fasha dalam sebuah akhbar dikatakan membuat kenyataan menuduh Tizz sebagai individu yang bertanggungjawab mengganggu hubungannya dengan Rizal Ashram selain cuba menggoda Fizz Fairuz. Perbuatan Tiz itu dikatakan turut menyebabkan kemarahan Almy Nadia.

Kata Almy, dia tidak menafikan sebelum ini Fasha pernah bertemunya dengan Fizz untuk mengetahui konflik hubungan melibatkan Tizz Zaqyah itu tetapi mereka enggan masuk campur.

Bagaimanapun, ketika ditanya tentang hubungannya dengan Tizz itu, Almy enggan mengulas mengenainya.

"Saya tidak kenal Tizz dan tidak pernah berjumpa dengannya. Saya kenal dia pun sebab kontroversi ini tapi saya tidak mahu komen tentang dia.

"Pada saya buat apa mencampuri urusan mereka. Mereka bergaduh berebut lelaki, kenapa nak mengaitkan saya dan Fizz dalam hal ini?" soalnya yang terkilan dengan kontroversi tersebut.

Jodoh "Ekspres" - Aishah Mahu Dibimbing Faizal


PERKENALAN penyanyi Aishah dengan suami, Faizal Sazali Zulkifli (gambar) hanya berlangsung dalam tempoh seminggu.

Tetapi dek kerana jodoh, ia tidak menghalang duda beranak enam itu untuk memperisterikan Aishah pada 30 April lalu dalam tempoh perkenalan yang singkat.

Bak kata Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin,45, dia menerima jodoh secara ‘ekspres’ itu kerana ia sudah menjadi ketentuan Allah.

“Saya baru kenal dia (Faizal) seminggu, terus dia ajak kahwin. Allah beri ‘ekspress’. Itulah namanya jodoh,” kata Aishah.

Pasangan tersebut bernikah di Narathiwat, Thailand.

Menurutnya, tidak ramai yang mengetahui tentang perkahwinan mereka melainkan orang terdekat sahaja.

“Kami mahu cepatkan pernikahan supaya terhindar daripada fitnah kerana kami selalu bersama-sama ke mana-mana. Lebih baik bernikah, jauh dari melakukan maksiat,” jelasnya mengenai perkahwinan ketiganya itu.

Menerusi sebuah akhbar, penyanyi lagu popular Janji Manismu itu menafikan perkahwinan mereka berlangsung di Thailand kerana hendak berpoligami sebaliknya suaminya sedang menunggu surat cerai yang dijangka keluar pertengahan Julai ini.

Aishah juga menafikan dia menjadi punca penceraian suaminya itu.

Katanya, mereka berkenalan semasa suaminya sedang membuat permohonan cerai.

Aishah juga memberitahu tentang perancangan mereka untuk mendaftarkan perkahwinan mereka secepat mungkin.

Selepas lebih 10 tahun menjanda, Aishah akur dengan jodoh yang datang lantas tidak mengambil masa yang lama untuk mengikat kasih dengan suaminya yang berusia setahun lebih muda darinya.

“Sebelum ini, hati saya belum terbuka untuk menerima sesiapa tetapi selepas mengenalinya, saya dapat rasa dialah pilihan terbaik.

“Saya mencari lelaki yang boleh membimbing saya dan anak-anak ke jalan Allah. Insya-Allah,” ujarnya yang sedang menyiapkan album yang memuatkan sebuah lagu, koleksi zikir dan doa untuk anak-anak bertajuk Anak.

Berita tentang perkahwinan Aishah itu tercetus setelah tersebarnya gambar dirinya bersama seorang lelaki dalam Internet baru-baru ini.

Aishah mengakui sengaja meletakkan gambar bersama suami barunya itu dalam laman Facebook untuk tatapan peminat-peminatnya.

Anne Ngasri Sah Cerai Talak Tiga


KUALA LUMPUR: Aktres Anne Ngasri disahkan bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, sedang hamil lima bulan dan Wafi, 28, pernah bercerai dan rujuk sebanyak dua kali pada Julai tahun lalu tanpa pengetahuan mahkamah.

Menurut Shaiful, Wafi melafazkan taklik kepada Anne pada waktu tengahari awal Julai tahun lalu di Sungai Jawi, Pulau Pinang dengan lafaz 'kalau engkau keluar rumah, aku ceraikan engkau'.

Kali kedua Wafi melafazkan cerai 'aku ceraikan engkau' kepada Anne pada waktu petang pertengahan bulan yang sama tahun lalu.

Kedua-duanya rujuk semula dan selepas Isyak pada pertengahan Julai tahun lalu dengan kedua-duanya melafazkan 'saya kembali kepada awak'.

Sementara lafaz cerai ketiga iaitu 'aku ceraikan kau Anne' berlaku pada 25 Mac tahun ini, pukul 11.20 pagi di rumah mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam. Waktu itu Anne hamil dua bulan.

Wafi mengaku di hadapan Shaiful di kamar hakim sebelum ini bahawa dia pernah melafazkan cerai di tempat kejadian tanpa mempunyai saksi dan mempunyai niat semasa melafazkan ketiga-tiga lafaz cerai itu.

Mereka Anne dan Wafi secara rasminya bercerai pada 25 Mac tahun ini dan Anne menjalani tempoh edah sehingga bayi ketiganya dilahirkan.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersedia menerimanya. Saya percaya mesti ada hikmah selepas ini," luah Anne di luar mahkamah.

Terdahulu, sebelum mendengar keputusan Hakim di dewan perbicaraan, Anne hampir pitam di tandas. Khabarnya,dia tidak sempat menjamah makanan tambahan pula dia sedang berbadan dua.

Bagaimanapun, Wafi dilihat masih sempat membelikan minuman untuk Anne.

Wafi hadir ke mahkamah bersama dua rakannya serta peguam syarie Mohd. Hamidullah Che Hassan manakala Anne ditemani ibunya, Habibah Jaafar.

Pasangan itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Abdul Warits, 2, dan Abdul Wafri yang berusia empat bulan.

Lisa Tidak Bimbang Orang Jemu


KEMUNCULANNYA di layar perak dan drama tempatan membuatkan nama pelakon baru Lisa Surihani kini semakin setanding dengan bintang ternama, Erra Fazira.

Biarpun belum pernah memenangi sebarang anugerah, Lisa bersyukur dengan rezeki yang tidak putus-putus dan kepercayaan pengarah terhadapnya.

Namun begitu disebalik reaksi positif peminat yang gemar melihatnya beraksi di layar perak dan kaca televisyen, ada juga yang sudah mula berasa bosan.

Lisa yang ditemui pada sidang media perlancaran drama berjudul Tudung Ekspres kelmrin memberitahu perkara tersebut adalah diluar kawalan dan menganggap tahun ini merupakan rezeki yang diberi kepadanya.

"Saya serahkan kepada peminat sendiri perkara itu, sebab saya tidak boleh mengawalnya sekiranya mereka berasa bosan. Saya berpegang kuat pada rezeki Tuhan.

"Namun begitu setiap tawaran yang saya dapat kebiasaanya saya berbincang dulu dengan keluarga. Saya tidak ambil banyak tawaran dalam satu masa kerana tidak mahu terkejar-kejar.

"Mungkin kerana tarikh ditayangkan hampir sama setiap filem dan drama membuatkan orang sering melihat saya," jelasnya.

Dalam pada itu, Lisa yang memegang watak Erin dalam drama tersebut mengakui tidak berasa janggal mengenakan tudung sepanjang sesi penggambaran.

"Saya selesa mengenakan tudung, sebelum ini juga saya pernah berlakon watak bertudung malah tidak berasa kekok untuk mengenakan tudung di majlis-majlis agama.

"Lagi pula masyarakat kini lebih mudah menerima cerita-cerita seperti ini. Tapi untuk mengenakan terus, saya masih belum bersedia lagi. Mungkin satu hari nanti bila sudah sampai serunya saya akan bertudung.

Menceritakan watak dalam drama tersebut, Lisa memberitahu wataknya menjadi seorang wanita muslimah yang datang dari kampung demi mengejar cita-cita. Namun kerana sifat yang kelam kabut dia sering ditimpa masalah.

"Tidak susah untuk bawa watak ini sebab saya juga sedikit sebanyak begitu tapi cabaran utama ketika penggambaran adalah di stesen komuter.

"Kami terpaksa berlari keluar masuk dalam komuter semasa ia sedang berhenti seketika untuk mengambil penumpang," jelasnya ketika menceritakan pengalaman sepanjang penggambaran.

Drama bersiri 13 episod ini berkisarkan kehidupan empat orang wanita bertudung yang memiliki watak dan kisah tersendiri.

Drama yang turut dibintangi oleh Julia Ziegler, Linda Hashim dan Chermaine Poo ini bakal ditayangkan pada setiap hari Khamis, pukul 9.30 malam bermula 8 Julai ini menerusi Astro Prima.

Gembira tak terkira-Nana


Impian Nana dikurniakan zuriat termakbul

SAAT bergelar isteri kepada Mohamed Raqeem Brian Abdullah atau Brian, bermula 6 Jun 2009, Nana mengakui hati kecilnya terdetik rasa ingin menjadi ibu. Rasa itu normal dan bukan dibuat-buat. Malahan puas juga dia mahu menjawab pertanyaan orang yang asyik bertanyakan pasal dirinya, bila lagi hendak mempunyai anak sendiri.

Pertanyaan seperti ini seolah-olah satu lumrah kepada mereka yang sudah berkahwin, termasuk artis dan selebriti seperti Nana. Sama seperti mereka yang sudah berumahtangga, Nana juga memang menyimpan impian untuk mengandung dan melahirkan anak. Nampaknya, berkat doa dan dengan izin daripada Yang Maha Kuasa, penyampai radio XFM itu kini memaklumkan dirinya sudah berbadan dua.

Ia sudah tentu menjadi berita amat menggembirakan kepada si suami. Nana atau Nurul Hana Che Mahazan mengakui betapa dia hampir saja tidak dapat mengawal perasaan gembiranya. Kalau boleh dia mahu menjerit dan melompat keriangan untuk mengumumkan berita itu ‘kepada satu dunia’.

Bagaimanapun, yang penting ialah dia sangat bersyukur dengan kurniaan Illahi ini. Nana yang genap berusia 27 tahun pada 1 Julai nanti turut berkongsi khabar gembira ini kepada peminatnya menerusi blog XFM.

“Sebagai manusia, Nana dan suami tak terlepas daripada mencuba dan terus mencuba. Kami pun bukan masih muda. Nana sendiri setiap bulan akan membeli alat penguji kehamilan.

“Tetapi yang membezakan bulan sebelumnya ialah Februari lalu. Masa itu badan pun rasa semacam. Tanpa disangka keputusan yang ditunjukkan alat itu sangat positif. Nana kejutkan Brian. Kami tergamam dan memandang sesama sendiri. Apabila hari cerah, kami ke klinik mendapatkan pengesahan lanjut daripada doktor,” katanya yang ketika dihubungi usia kandungannya menjangkau 15 minggu.
Nana yang menyertai XFM sejak 16 November 2009 menegaskan, dia dan suami tidak kisah apa sekalipun jantinanya.
“Nana berasakan macam lelaki. Tapi Nana tidak kisah pun lelaki atau perempuan. Tapi kalau dapat anak perempuan pun ok. Bolehlah Nana ajar dia melawa.

“Lagipun baju budak perempuan ini cantik rekaannya. Boleh jadi rabun kalau membeli baju budak perempuan. Cuma buat masa sekarang, Nana dan Brian banyak berhabis duit untuk mengubah suai rumah kami di Puchong,” katanya.

Nana menjelaskan dia bernasib baik kerana tidak mengalami alahan yang teruk kecuali selera makan semakin bertambah kebelakangan ini. “Nana rasa perkataan ‘melantak’ paling sesuai digambarkan terhadap selera makan ini. Semua yang Nana jamah seolah-olah perlu ‘ditambah’ untuk dua orang makan. Malah, Nana sanggup keluar dari Kuala Lumpur untuk memuaskan nafsu makan ini.

“Nak kata mengidam tak juga. Mungkin juga Nana sudah bosan dengan makanan yang dijual di Kuala Lumpur. Nana sanggup ke Seremban biarpun bekerja pada hari terbabit. Nana hampir nak ke Kelantan tapi selepas dinasihatkan suami, Nana batalkan niat itu,” kata Nana yang berat badannya kini sudah mencecah 50 kilogram.

Dalam tempoh hamil ini seolah-olah menjadi masa yang terbaik kepada Nana ‘membuli’ suami. Katanya, inilah kesempatan untuk dia mendapat lebih kemanjaan suami daripada biasa.

“Tidak selalu pun. Biasalah ibu mengandung ini mungkin mengada-ngada sedikit. Dia (Brian) pun tak nak Nana buat kerja berat dan dia sanggup mengambil tugas kerja itu. Banyak kerja rumah yang Brian buat,” katanya.

Menurutnya, Brian juga gemar merapatkan kepalanya ke atas perut Nana seolah-olah dapat bercakap dengan bayi. Perihal yang sama turut dilakukan seorang rakan sekerjanya di Astro.

“Kak Nila Kurnia (penyampai radio Sinar FM) tak menyangka yang saya sudah berbadan dua. Malah ada rakan sekerja yang memberi petua dan kata semangat untuk Nana,” katanya yang kini mengacarakan program Wazzup Bolly dan menyampaikan promo slot saluran Mustika.

Suka duka Shara Eqkhnor


OLEH kerana namanya begitu unik menyebabkan Shara Eqkhnor dengan pantas dikenali ramai.

Popularitinya tambah berganda apabila dia dengan bijak menarik perhatian masyarakat menerusi imejnya yang tersendiri iaitu imej Tina Tuner.

Shara Eqkhnor pernah digelar sebagai Tina Tuner Malaysia hampir dua dekad lalu.

Sebetulnya, artis yang kini memanjat usia 47 tahun dilahirkan dengan nama Shara Nor Azar Othman.

Dek kerana tuntutan pentas komersial, namanya menjadi Shara Eqkhnor.

Biar apa nama sekalipun, suatu hal yang pasti, sejak dari awal perkenalan penulis dengan penyanyi ini, tidak banyak yang berubah padanya.

Walaupun sudah 18 tahun, penulis dan Shara tidak bersua, dia masih mesra seperti dulu. Kalau berubah sekalipun sosok tubuhnya yang sedikit berisi.

Bagi ibu tunggal beranak lima ini, iklim kehidupan yang dilaluinya selama ini penuh dengan pelbagai musim.

Ada masa dia melalui musim-musim yang indah, namun ada ketika pula dia diuji dengan pelbagai dugaan.

Paling meninggalkan bekas di hati Shara tentu sekali keruntuhan perkahwinan yang dibina selama 17 tahun dengan penyanyi Zamree yang pernah popular dengan lagu Tugu Cinta.

Sebagai manusia, baik Shara dan Zamree, masing-masing tidak mampu menolak ketentutan takdir apabila mahligai itu musnah.

Namun, apa yang membuatkan dia ralat dan sangat sedih ialah kemusnahan itu berlaku kerana kesusahan hidup mereka sekeluarga.

"Siapa yang tidak sayangkan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta, sebagai isteri saya cuba sedaya upaya untuk menyelamatkannya tetapi saya tidak mampu.

"Pelbagai usaha yang saya lakukan untuk memelihara mahligai bahagia kami tetapi sudah ditakdirkan jodoh kami hanya setakat itu dan akhirnya kami bercerai pada tahun 2009," cerita Shara sambil memandang sayu anak bongsunya, Putri Qistina Bilqish, 10, yang menemaninya pada pertemuan di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Shara, sebagai wanita, dia meletakkan kebahagiaan rumah tangga di senarai teratas dalam keutamaan hidupnya.

Kerana itu, dia tekad meninggalkan dunia seni setelah berkahwin kerana enggan pisang berbuah dua kali.

Sebelum berkahwin dengan Zamree, Shara pernah berkahwin namun rumah tangganya runtuh setelah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 24 tahun iaitu Wan Eqbal.

Perkahwinannya dengan Zamree yang berakhir dengan perceraian tahun lalu selain Putri Qistina Balqish, mereka juga dikurniakan Putri Balqish, 17, Al-Raqfel Adam, 16 dan Al-Rafiqi Adam, 15.

Menurut Shara, setelah dia dan Zamree berkahwin, mereka sepakat meninggalkan dunia seni dan mengusahakan gerai makan turun temurun milik keluarganya yang terletak di Pulapol, Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Selain menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, gerai yang terletak berhampiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu juga menyediakan perkhidmatan fotostat untuk penuntut universiti itu.

Shara bukan setakat menjadi tauke di gerai itu, malah dia juga kadangkala bertindak sebagai tukang masak apabila chef yang digajikannya bercuti.

"Jika jadi penyanyi kita mesti mempunyai suara yang lunak didengar, untuk menjadi tauke kedai makan kita mesti pandai memasak.

"Alhamdulillah kerana sejak kecil saya sudah didedahkan oleh emak dengan pelbagai masakan, apabila mengendalikan gerai itu saya boleh memasak untuk pelanggan.

"Itulah sebab utama gerai yang diusahakan sejak 30 tahun itu sentiasa menjadi tumpuan para pelanggan menjamu selera dengan pendapatan RM1,500 sehari," cerita Shara mengimbau kejayaannya dan Zamree ketika mengendalikan gerai makan itu.

Bisnes musnah

Tahun demi tahun, pendapatan yang lumayan hasil usaha daripada meniaga bukan sahaja membuatkan mereka mampu menyara keluarga malah mampu membeli harta.

Hasil daripada perniagaan itu, pasangan suami isteri itu mampu membeli sebuah kondominium, kereta, motosikal berkuasa tinggi selain menikmati kehidupan mewah.

Meskipun, sebilangan besar daripada masa dihabiskan di gerai, baik Shara mahupun Zamree tidak pernah malu atau menyesal membuat keputusan meninggalkan dunia seni kerana pendapatannya memang lumayan.

Namun, panas yang disangka berpanjangan mengundang hujan di tengah hari.

Akibat hasad dengki segelintir pihak yang kurang senang dengan perniagaan mereka menyebabkan gerai yang diwarisi oleh keluarga sejak 34 tahun itu dirobohkan.

"Apabila gerai kami dirobohkan, terkuburlah semua punca pendapatan dan rezeki kami sekeluarga. Kami hilang punca untuk hidup seperti dulu," cerita Shara penuh sedih.

Sejak gerai itu dirobohkan, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan tapak lain namun semuanya gagal.

Bayangkan selama 11 tahun Shara dan Zamree berniaga dan hidup mewah dengan cara begitu, tiba-tiba rezeki ditarik oleh orang yang tidak senang melihat orang lain hidup senang.

Kerana itu, Shara tiada pilihan selain daripada kembali menyanyi sementara Zamree memilih untuk menjaga anak-anak.

Namun, pendapatan hasil menyanyi kata Shara tidak semewah berniaga apalagi ketika itu mereka sudah mempunyai empat orang anak.

Kesempitan hidup menyebabkan duit simpanan mereka semakin susut sehinggakan kondominium dan kereta terpaksa dijual.

Kesukaran hidup selama enam tahun menyebabkan mereka merana dan Zamree orang yang paling kecewa kerana dia kehilangan punca rezeki.

"Sebagai isteri saya memberi semangat kepadanya untuk berdepan dengan dugaan Allah tetapi bukan sahaja kami kehilangan punca pendapatan malah yang sedih ia menjadi punca kebahagiaan rumah tangga kami goyah," kata Shara berkongsi kemelut rumah tangganya.

Zamree kini di Perak

Menurut Shara, keretakan rumah tangga mereka sukar diselamatkan kerana keperitan hidup.

"Saya tidak pernah salahkan Zamree dengan apa yang terjadi. Dia seorang suami yang baik. Namun takdir Tuhan menentukan segala-galanya.

"Walaupun cuba menyelamatkan rumah tangga kami, namun takdir sudah menentukan jodoh kami tidak kekal dan pada 2009 kami bercerai dan membawa haluan masing-masing.

"Setelah bercerai, Zamree tinggal bersama ibunya di Perak dan saya tinggal bersama anak-anak di Kuala Lumpur," jelasnya dengan linangan air mata.

Sebagai manusia yang waras akal fikirannya, Shara tidak pernah kesal apabila rumah tangga dia dan Zamree musnah.

Cuma apa yang paling menyedihkannya ialah sejak bercerai dia dan anak-anak kehilangan seorang imam.

"Sejak berkahwin dan mempunyai anak, Zamree tidak pernah abaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Dia bukan sahaja mengajar anak-anak mengaji malah setiap waktu kami solat berjemaah.

"Kini saya dan anak-anak jarang solat berjemaah sejak kami 'kehilangan' imam. Itulah yang saya paling sedih, sejak itu saya rasakan hidup saya anak beranak begitu kosong dan tidak bermakna," cerita Shara sambil mengesat air matanya apabila menyentuh mengenai perpisahan dengan suaminya itu.

Menurut Shara, walaupun selepas bercerai hatinya kosong, namun sebagai ibu tunggal dia harus bekerja mencari nafkah untuk anak-anak.

Walaupun pendapatannya sebagai penyanyi di lounge tidak lumayan namun dia tetap bersyukur kerana masih mampu memberi anak-anak makan dan pelajaran.

Apabila ditanya apakah kemungkinan dia akan berkahwin lagi atau kembali ke pangkuan bekas suaminya Zamree, sambil membelai rambut anak bongsunya, Shara berkata:

"Dalam keadaan sekarang saya tidak pernah memikirkan soal kahwin lagi. Apa yang saya fikirkan adalah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dan memberi mereka ilmu yang tinggi.

"Saya tidak mahu mereka menjadi anak terbiar tanpa kasih sayang dan pelajaran. Insya-Allah jika ada rezeki, saya mahu membuat single agar ia memudahkan saya mencari rezeki dipentas nyanyian," katanya lagi.

Manisnya Liza bertudung


BARANGKALI ramai yang menonton rancangan Mentor semalam sudah pun melihat penampilan terbaru penyanyi Liza Hanim.

Liza dahulu dan sekarang sudah jauh berubah. Pada usia 31 tahun, dia memilih untuk menutup aurat.

Dengan imej bertudung, Papa dapat lihat Liza semakin anggun dan manis sekali.

Ketika berbual dengannya beberapa hari lalu, Liza memberitahu, penghijrahan imejnya itu bertitik tolak daripada keinginannya yang tulus tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

"Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Suatu pagi, sebaik bangun tidur saya terfikir sudah sampai masanya untuk saya berubah dan menutup aurat.

"Dan apabila saya memaklumkan hal ini kepada suami, dia juga merestui serta mendoakan yang terbaik untuk saya," kata Liza yang juga ibu kepada dua orang anak.

Biar sudah bertudung, Liza memberitahu, dia akan tetap meneruskan kerjaya seninya tetapi semuanya harus mempunyai batasan.

Kepada Liza, Papa doakan semoga hidupnya akan lebih tenang serta dikurniakan rezeki yang lebih murah.

Adibah Noor & Shahir (AF8) Bau-Bau Bacang


RUPA-RUPANYA juara Akademi Fantasia AF8, Shahir, mempunyai pertalian keluarga dengan pelakon dan penyanyi terkenal, Adibah Noor.

Adibah berkata, dia hanya menyedari perhubungan keluarga itu apabila keluarga Shahir menghubungi ibunya selepas konsert AF8 berakhir.

"Datuk saya adalah adik beradik dengan moyang dia. Jadi lebih kurangnya dia macam pangkat anak saudara saya," katanya.

Adibah menegaskan, dia bukan ingin menumpang populariti Shahir dengan pendedahan itu.

Cuma dia sekadar mahu memaklumkan Shahir adalah saudara bau-bau bacang.

Mengenai perkembangan terbarunya, Adibah memberitahu, album keduanya berjudul Teman mulai dijual pada 30 Mac lalu.

Katanya, sebanyak 5,000 unit album dihasilkan tetapi dia tidak tahu sejauhmana respons terhadap album tersebut.

Setakat ini, lagu dalam album tersebut yang telah memasuki carta Muzik-Muzik ialah Sejujur Hatimu ciptaan komposer Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah Noor sendiri.

Adibah berkata juga turut berlakon dalam filem Crayon The Movie yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Aizat Tetap Tidak Mengaku Berkasih Dengan Liyana Jasmay


PENYANYI Aizat menyifatkan segala gosip yang mengatakan dia berpisah dengan aktres remaja, Liyana Jasmay sejak kebelakangan ini sebagai salah faham semata-mata.

Aizat juga menafikan mereka pernah bercinta dan menolak kononnya hubungan mereka sudah putus disebabkan Liyana mempunyai kekasih lain.

"Kami tidak pernah bersama, saya rasa orang salah anggap yang kami bercinta. Ia adalah gosip yang tak benar sebaliknya kami masih berhubung sehingga hari ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Konsert Inspirasi Muzik-Muzik TV3, Sabtu lalu.

Aizat menegaskan, dia dan Liyana adalah kawan baik sejak dahulu sewaktu Liyana menghasilkan album pertamanya.

"Kawan dia adalah kawan saya juga. Kita pun duduk dekat. Dari situ terpupuklah persahabatan yang rapat," katanya.

Mengulas mengenai insiden dia menolak tawaran sesi fotografi bersama Liyana sebanyak dua kali, Aizat berkata, tidak wujud apa-apa masalah pun antara mereka berdua pada masa itu.

"Saya sibuk pada hari tersebut. Hakikatnya saya tidak ada masalah dengannya. Kalau buat fotografi dengan dia dan saya pula ada kelapangan, kenapa tidak?"

Sejujurnya Aizat rasa selesa tentang perhubungannya dengan Aktres Terbaik di Anugerah Skrin (ASK) 2009 dan Festival Filem Malaysia ke-22 Itu.

Sementara itu, Aizat bakal melancarkan album barunya, 'Urusan Aizat' di Wisma Bentley, Damansara Utama pada 7 Julai ini.

Ia mempunyai tujuh buah lagu dan antara lagunya termasuk Mana Oh Mana, Years From Now, dan Sungai Lui.

Keputusan Kes Cerai Anne, Wafi 25 Jun


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh keputusan mengenai pengesahan lafaz cerai pelakon Anne Ngasri dan suaminya Abdul Wafi Hassan.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan keputusan ditangguhkan bagi menyiapkan alasan penghakiman selepas berpuas hati dengan perbicaraan tertutup yang berlangsung selama 30 minit tadi.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam syarie Mohd. Hamidullah Che Hassan, yang mewakili Abdul Wafi, memberitahu bahawa mahkamah berpuas hati dengan perbicaraan yang dijalankan dan membenarkan permohonan tersebut.

"Sebentar tadi berlaku perbicaraan penuh dan tiada saksi lain dipanggil melainkan defendan dan plaintif. Mahkamah telah berpuas hati dan membenarkan permohonan tersebut.

"Ini turut membabitkan tiga lafaz yang dibuat. Lafaz pertama tidak jelas dan perlu diteliti manakala lafaz kedua dan ketiga jelas 'aku ceraikan Anne'.

"Mahkamah juga menangguhkan keputusan tersebut pada 25 Jun ini bagi menyiapkan alasan penghakiman," katanya.

Selebum itu, Saiful Azli memerintahkan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai pasangan Anne Ngasri dan Abdul Wafi dijalankan secara tertutup di kamar hakim pada pukul 12.30 tengah hari tadi atas permohonan kedua-dua belah pihak.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails