Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'RM30,000 Bukan Duit Ayah' - Dafi


PETALING JAYA: Penyanyi Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 22, menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya dia menggunakan wang bapanya sebanyak RM30,000 bagi membuka syarikat pengurusan artis dan acara, Laugh Out Loud Entertainment.

Dafi yang juga anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, wang tersebut adalah hasil simpanannya sejak bergelar artis.

“Saya tahu ramai yang menyangka saya membuka syarikat menggunakan wang bapa saya tetapi sebenarnya tidak. Duit itu adalah hasil titik peluh saya yang saya kumpulkan sekian lama sejak bergelar artis,” katanya yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan untuk syarikat itu.

Katanya, jika wang itu hasil pemberian ayahnya, tentu sekali jumlahnya melebihi daripada jumlah itu.

Ujar Dafi, bapanya sendiri tidak tahu perancangan membuka syarikat itu sehinggalah apabila segala urusan syarikat tersebut siap.

“Memang saya ingin berdikari dan barulah kita boleh tahu erti susah dan senang cari duit. Dulu pun selepas tamat SPM (Sijil Penilaian Malaysia), saya bekerja sebagai jurujual di sebuah butik terkenal.

"Sebenarnya bapa saya tak tahu pun yang saya nak buka syarikat, sampailah bila semua siap, baru saya memberitahunya," katanya yang membuka syarikat tersebut bersama rakan kongsinya.

Menurut Dafi, syarikat berkenaan bertanggungjawab menguruskan kerjaya seninya selain bertindak sebagai syarikat pengurusan acara.

Justeru itu, untuk permulaan, Dafi akan menganjurkan majlis hari jadinya yang ke-22 bertemakan 'Masquerade' pada 14 Disember ini yang akan diadakan di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur.

"Selain menganjurkan majlis, saya kini sedang menyiapkan sebuah album kedua yang berkonsepkan muzik pop. Bagi lagu pertama, ia masih dalam proses pembikinan di mana ia dihasilkan oleh Omar K dan Zell.

"Saya juga sedang mempelajari menulis lirik daripada orang yang berpengalaman. Saya harap perjalanan perniagaan saya ini berjalan dengan baik," ujar Dafi.

Juliana Evans Akui Zizan Lelaki Idaman


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Julia Evans,21, atau Jue (gambar) mengaku mempunyai keserasian dengan bekas peserta Raja Lawak, Zizan,26, yang dikenalinya selepas digandingkan bersama dalam filem Hantu Bonceng bulan lalu.

Malah kata Jue, Zizan juga menepati kriteria lelaki idamannya selama ini tetapi sayang sekali hatinya masih belum terbuka untuk menerima Zizan sebagai seorang kekasih buat sementara waktu.

"Saya memang selesa berkawan dengan Zizan kerana dia kelakar dan matang. Keserasian antara kami mula terbina sejak membintangi filem Hantu Bonceng.

"Saya tak nafikan dia menepati kriteria lelaki idaman tetapi buat masa ini, saya belum bersedia untuk bercinta semula," katanya yang ingin memberi tumpuan kepada pengajian dan karier terlebih dahulu.

Menurut Jue, hatinya masih tertutup untuk menerima lelaki buat masa ini kerana luka akibat kekecewaan cintanya dengan Sam, penyanyi kumpulan Bunkface masih belum lagi terubat selain meninggalkan kesan yang amat mendalam kepadanya.

Justeru, pada fasa ini dia lebih senang untuk berkawan sahaja dengan mana-mana lelaki daripada menjalin hubungan yang serius dengan mereka.

"Bukan bermakna pintu hati sudah tertutup untuk terima lelaki lain tapi buat masa ini saya lebih senang untuk berkawan saja dengan sesiapa pun.

"Adalah lebih baik jika saya buka peluang untuk berkawan dengan ramai orang daripada membataskan pilihan dengan satu atau dua lelaki saja.

"Namun itu bukan bermakna saya mudah untuk bergaul bebas dengan mana-mana lelaki tanpa batasan. Cuma, saya lebih senang membuatkan pilihan lebih terbuka pada waktu ini," katanya.

Baru-baru ini, pasangan pengacara itu dilihat mesra bersama ketika menghadiri Anugerah Shout 2010 (Shout Awards 2010) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, 20 November lalu sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi kononnya mereka bercinta.

Pierre Andre Mengaku Biadab


PERSELISIHAN faham antara penerbit juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MiG), David Teo dan pelakon Pierre Andre yang tercetus pada 2008 bukan satu isu baru. Malah, ketegangan itu turut mendapat liputan meluas di merata media.

Dek membawa hati yang rajuk, Pierre yang tidak berpuas hati apabila sentuhannya dalam filem Jangan Tegur (2008) dipertikaikan oleh penerbit itu, lantas mengambil keputusan drastik dengan meninggalkan produksi tersebut dan membiarkan ia terkontang kanting sebelum diambil alih oleh orang lain.

Dua tahun berselang, dunia hiburan sekali lagi dikejutkan dengan pengakuan Pierre yang kembali menghubungi David pada Ogos lalu bagi menjernihkan keadaan. Pierre terpaksa menyerah kalah dek kedegilannya selama ini.

Menerusi pertemuan bersama Mingguan mStar baru-baru ini, gambar dirakamkan sebagai bukti kedua-dua mereka tidak berperang lagi. Sebaliknya kata David, dia menerima permohonan maaf Pierre dan sudah melupakan kisah lama walaupun sebelum ini telinganya sudah bernanah untuk mendengar nama Pierre Andre.

Ujar Pierre, dia bertemu semula dengan David pada Ogos lalu selepas dua tahun membawa diri. Sedar akan kesilapannya, Pierre akui berdebar untuk berdepan dengan penerbit itu buat pertama kalinya selepas peristiwa itu.

"Saya akui bimbang apabila hendak bertemu dengan David. Saya memang sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan, dimarah atau ditengking atas kesilapan saya.

"Ketika berselisih faham dengannya dulu, saya bukan saja telah menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan bajet tambahan untuk melakukan penggambaran semula beberapa babak dalam filem itu.

"Malah, saya juga berlaku biadap dan mengungkapkan perkataan yang tidak sepatutnya kerana terlalu mengikutkan kata hati. Namun, dia menerima kemaafan saya dengan hati yang terbuka," katanya.

Pierre lantas diusik apakah keputusannya untuk berbaik semula dengan David berpunca daripada kegagalannya untuk menyerlah di persada seni. Jawabnya, keputusan itu adalah ketentuan Tuhan yang melembutkan hatinya untuk berdamai.

"Dakwaan yang mengatakan saya berbaik semula dengan David kerana gagal berdikari atau tidak menyerlah di persada seni tanpa pertalian dengan MiG adalah tidak berasas.

"Sepanjang dua tahun membawa diri, saya aktif berlakon dan mengarahkan pelbagai drama dan filem. Selain berlakon dalam siri popular Halimah Jongang, saya juga sempat mengarahkan tiga filem iaitu Hijab, Cantik dan Seru.

"Saya berbaik dengan David kerana ketentuan Tuhan. Pengalaman berdikari di luar sana telah mematangkan diri dan membuka pintu hati saya untuk berdamai," katanya.

Sementara itu, David menyifatkan kepulangan anak kepada dramatis Khatijah Tan itu ke pangkuan MiG bukan saja menggembirakan hatinya, malah turut bermanfaat kepada industri filem tanah air.

"Seperti yang saya katakan dulu, saya sentiasa memaafkan kesilapan anak-anak muda seperti Pierre. Sebagai pemilik produksi ini, saya selalu berharap agar pekerja-pekerja saya melakukan kesilapan supaya mereka dapat belajar sesuatu daripada kesalahan itu.

"Melakukan kesilapan bukan satu dosa besar yang tidak boleh dimaafkan. Apa yang lebih penting, mereka sedar kesilapan itu dan tidak mengulanginya. Perkara yang sama juga saya sematkan pada Pierre dan nampaknya dia semakin matang sekarang.

"Kepulangan Pierre ke MiG bukan saja menguntungkan dirinya dan MiG kerana lebih banyak kerjasama akan terjalin selepas ini, malah ia juga bermanfaat kepada industri seni. Pierre akan terus aktif bergiat dan sekali gus menambahkan jumlah modal insan bagi perkembangan industri filem," katanya.

Mengulas tentang perancangan untuk Pierre, David berkata, dia akan membimbing lelaki berusia 25 tahun itu mempelajari lebih banyak ilmu pembikinan filem mengikut perubahan dan keperluan semasa.

"Pierre akan didedahkan dengan lebih banyak ilmu penerbitan filem mengikut trend semasa. Dia kini sedang berkobar-kobar untuk kembali bersaing di dalam industri dan saya akan buka jalan itu mengikut perancangan yang telah disusun.

"Jika permintaan terhadap Pierre menjurus kepada tawaran lakonan, dia harus rebut peluang itu. Peluang mengarahkan filem sentiasa terbuka dan dia harus bijak mengimbangkan kedua-dua bidang ini agar dapat bergerak seiring," katanya.

Sebagai permulaan, Pierre yang mengikat kontrak baru pada Oktober lalu untuk tempoh lima tahun lagi baru saja membintangi filem 321 Cinta (arahan Azhari Zain) di samping Farid Kamil dan Diana Amir. Filem komedi romantik itu bakal ditayangkan pada 2011.

Sebelum perbualan kami bernokhtah, David sempat berkata, Pierre juga akan kembali ke kerusi pengarah bagi menerajui sebuah projek filem pada awal tahun depan.

Diddy Hirdy Bakal Timang Bayi Perempuan


KUALA LUMPUR: Penyanyi Diddy Hirdy mengesahkan bakal menimang bayi perempuan pada Januari depan.

Menurut penyanyi lagu Genggam dan Biar Diddy Sambung ini, isterinya, Allen Nor Azah Musa sedang hamil lapan bulan dan dijangka bersalin pada 12 Januari 2011.

Setakat ini, Diddy telah mempunyai nama untuk bayi sulungnya namun mahu merahsiakan sehingga anaknya itu dilahirkan.

“Sekarang saya sudah membeli semua kelengkapan untuk bayi, cuma membuat persediaan mental kerana apabila mempunyai anak cabaran semakin besar.

“Sedikit-sebanyak, saya sudah menggalas tanggungjawab sebagai suami seperti membantu isteri menjemur baju dan selepas ini perlu memikul tanggungjawab sebagai bapa pula,” ujarnya semasa menjual kek coklat untuk mengisi dana amal badan perlindungan kanak-kanak di Great Estern Mall, Sabtu.

Diddy dan Allen bernikah pada 6 Februari 2010.

Dalam perkembangan lain, Diddy akan terlibat dengan teater muzikal Terima Kasih Cinta. Ini merupakan teaternya yang kedua selepas teater Lorong Blues.

Selain itu, dia sibuk dengan rakaman album kedua.

Hadiah Pertunangan Noh (Hujan)


KUALA LUMPUR: Vokalis Hujan, Mohammed Noh Salleh (Noh) menganggap anugerah Komposer Muda Berpotensi (25 tahun ke bawah) yang dimenanginya di Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2010 pada Jumaat lalu sebagai hadiah pertunangannya.

Noh yang bertunang dengan Mizz Nina atau Shazrina Azman pada 6 November lalu turut meraikan kemenangannya pada malam itu di samping bakal isterinya.

“Saya memang tak jangka dengan kemenangan ini kerana MACP terdiri daripada komposer nama-nama besar.

“Jadi, saya rasa sangat dihargai dan terharu dengan rezeki ini,” katanya pada sidang media di Hotel Crown Plaza, di sini.

Noh pada mulanya menjangkakan Aizat Amdan yang akan memenangi anugerah tersebut berdasarkan pencapaian yang dilakukan sebelum ini.

Walaupun begitu, dia akui tetap mengagumi bakat yang dimiliki oleh penyanyi dan komposer berusia 20 tahun itu.

Bercerita tentang rahsianya bergelar seorang komposer sebelum ini, penyanyi lagu Kau Harus Ada, Bila Aku Sudah Tiada dan Mencari Konklusi ini akui setiap lagu yang digubah atas kehendaknya sendiri.

“Sebagai komposer, saya tak pernah letakkan diri ini dalam situasi yang kena sentiasa melakukan perubahan sebaliknya saya juga perlu menjadi seorang pendengar kepada lagu sendiri.

“Daripada situ, baru saya dapat menikmati lagu itu sepenuhnya. Jadi, sebab itu saya buat lagu berdasarkan apa yang saya rasa. Sebagai pemuzik, saya tak boleh hadkan kreativiti dan tidak dinafikan, komposer nama besar banyak dijadikan sebagai pendorong,” katanya yang pertama kali memenangi anugerah daripada MACP.

Di sebalik kemenangannya itu, Noh terpaksa akur kepada kekalahan dua buah lagunya iaitu Bila Aku Sudah Tiada dan Pagi Yang Gelap dalam kategori Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak.

Kategori tersebut dimenangi oleh lagu Buronan Cinta (The Lima/Edry Abdul Halim).

“Lagu Buronan Cinta memang kuat dan saya tak rasakan lagu-lagu saya layak untuk menang anugerah itu,” jawabnya.

Katanya lagi: “Saya akui, saya bukanlah vokalis yang teknikal dan melakukan sekadar yang termampu. Misalnya, saya rasa dihargai apabila Monoloque mengajak saya sama-sama menyanyikan lagu Pelita di bawah projek API.”

Selepas kemenangan ini, Noh berjanji akan lebih banyak menghasilkan lagu-lagu untuk industri muzik tempatan.

“Album baru saya baru diterbitkan baru-baru ini dan Dimas banyak membantu promosi secara konsisten. Saya pula sudah mula menumpukan kepada album akan datang,” ujarnya.

Album Lonely Soldier Boy edaran Warner Music Malaysia itu memuatkan 14 buah lagu termasuklah lagu Lonely Soldier Boy, Kotak Hati, Bagaikan Matahari dan Di Kala Bulan Bermain Biola.

Didie Alias Tak Kisah Pendapat Orang


PETALING JAYA: Pelakon Didie Alias mengakui tidak pernah mengambil peduli tanggapan orang ramai terhadap imej dan penampilan barunya yang lebih seksi dan berani.

Jelas Didie, apa juga yang cuba ditampilkan melalui fesyen tersebut adalah dari dalam dirinya sendiri dan bukan sekadar ikut-ikutan.

“Saya tidak kisah apa yang orang nak cakap, saya hanya jadi diri saya yang sebenar. Apa yang saya cuba sampaikan ialah sebagai selebriti kita perlu ketengahkan fesyen.

“Saya berfesyen begini juga seiring dengan konsep program televisyen yang sedang saya kendalikan berjudul Kalau Berani 1 vs 0. Apa juga cakap orang, itu adalah hak mereka dan kita tidak boleh untuk tutup mulut mereka,” ujarnya.

Tambah Didie, industri hiburan tanah air kini sedang mundur dari segi fesyen, ramai artis masih tidak berani untuk mengayakan pelbagai fesyen.

“Saya mahu jadi ikon fesyen, bagi saya tidak salah kalau kita ingin bergaya bagi memberi pembaharuan kepada industri hiburan tanah air.

“Jika mereka kata saya semakin seksi, bagi saya dari dulu memang saya begini. Pada saya apa yang saya pakai bukan seksi tetapi lebih berani dengan rekaan yang agak pelik,” ujarnya.

Selain itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui usia bukan penghalang baginya untuk bergaya, namun begitu dia masih mengetahui batasan sebagai seorang isteri dan ibu.

“Saya tahu ke mana saya ingin bergaya seperti ini. Tidak semua tempat dan majlis saya berpakaian seperti ini.

“Saya bersyukur anak-anak dan suami saya sangat memahami. Malah mereka juga ada memberi idea sedikit sebanyak tentang penampilan saya,” katanya.

Pelayar Facebook Upin & Ipin Paling Popular Di Malaysia


PETALING JAYA: Laman Facebook siri animasi Upin Ipin mendahului carta 50 laman paling popular di Malaysia.

Menurut GreyReview, Upin Ipin yang diterajui oleh syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd itu menduduki carta pertama dengan jumlah peminat seramai 3,884,016 orang.

Sementara stesen radio Hot FM menduduki carta ketiga dengan mengumpul 598,733 orang peminat, stesen televisyen TV3 tempat keenam (448,575), pawagam Golden Screen Cinemas tempat ketujuh (414,247), drama bersiri Korea percuma Maaduu (355,089), program realiti tarian 8TV Showdown (143,489).

Turut berada dalam carta adalah stesen radio Hitz.fm berada di tempat ke-22 (120,305), stesen radio Suria FM tempat ke-31 (103,615), filem pendek sosio-politik 15Malaysia tempat ke-32 (103,409), Astro tempat ke-41 (78,850).

Jumlah keseluruhan menunjukkan seramai 8.8 juta pengguna Facebook di Malaysia yang memasuki laman yang dicipta oleh syarikat tempatan dan luar negara tersebut sejak 1 November lalu.

Bagaimanapun, senarai ini tidak termasuk orang kenamaan seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan jumlah lebih 800,000 peminat atau Lisa Surihani dengan lebih 900,000 peminat di laman Facebook masing-masing.

Balu Shamrin Lahirkan Bayi Lelaki


PETALING JAYA: Balu penyanyi Shamrin (Fotograf) selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Akmal Shamrin pada 1 Disember lalu di Hospital Serdang.

Semasa majlis pengebumian Shamrin pada 12 November lalu, Jazriatul Akma Abu Saman,29, sempat memberitahu, dia akan menamakan anak ketiganya itu dengan nama Shamrin sempena nama arwah suaminya.

Shamrin atau nama sebenarnya Mohd Shamrin Abdul Samad, 45, meninggal dunia pada 11 November lalu setelah rebah di padang bola ketika bermain bola sepak persahabatan dengan sebuah syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Doktor mengesahkan Allahhyarham meninggal dunia akibat sakit jantung.

Hasil perkahwinan dengan Jazriatul, mereka turut dikurniakan dua anak lelaki iaitu Akmal Danish,5 dan Akmal Shamim, 18 bulan.

Selain itu, Shamrin turut mempunyai seorang lagi anak bernama Siti Najwa,17, hasil perkahwinan pertamanya.

Zaibo Tamat Zaman Bujang Pada Usia 54 Tahun


BATU PAHAT: Pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo menamatkan zaman bujangnya pada usia 54 tahun apabila selamat bernikah dengan Siti Hawa Shawal, 45, di Pejabat Agama Islam, Batu Pahat, Jumaat.

Dengan dua kali lafaz, pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya itu bernikah dalam satu majlis tertutup yang ringkas di kampung pengantin perempuan dengan dihadiri oleh rakan dan saudara terdekat.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya saya menemui teman hidup pada usia sekarang. Inilah yang dikatakan jodoh,” ujar Zaibo yang mengenali isterinya selama 10 tahun lalu.

Siapa sangka, hubungan yang pada mulanya sekadar abang dan adik akhirnya membawa pasangan ini ke jinjang pelamin.

“Pada mulanya, saya menganggap dia sebagai adik saya dan begitu juga dia tetapi Tuhan mempunyai perancangan lain untuk kami. Kami mula rapat beberapa tahun lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada Ramadan lalu,” kata pelakon teater Caught In The Middle, Tun Mahathir, Penyu Menangis, TokPerak, Anak Tanjung, I remember ....The Rest House dan Demi Zaitun itu.

Ini merupakan perkahwinan pertama buat Zaibo dan yang kedua bagi Hawa.

Hasil perkahwinan pertama, Hawa dikurniakan sembilan orang anak berusia antara 3 hingga 26 tahun.

Bagaimanapun, pelakon popular itu enggan menghebahkan jumlah wang hantaran mahu pun dulang hantaran yang diberikan kepada isterinya.

“Saya boleh katakan, penyanyi Aishah menguruskan semua hantaran manakala selebriti Habsah Hassan dan Rubiah Suparman turut memberikan sumbangan lain. Biarlah hantaran yang diberikan kepada isteri saya menjadi rahsia,” ujar aktor kelahiran Perlis yang pernah berlakon lebih 15 buah filem termasuk Soalnya Siapa?, Putera, Soal Hati, Senario Asam Garam, Cuti-cuti Cinta, Magika, Lu Pikirlah Sendiri dan Pontianak Harum Sundal Malam 2.

Ditanya tentang destinasi bulan madu, Zaibo menjawab: “Itu sangat rahsia. Bagaimanapun, saya akan sibuk dengan penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki dan terlibat dengan program masakan Pelik Tapi Sedap musim kedua bermula minggu depan.”

Zaibo telah menetapkan untuk mengadakan majlis perkahwinan ringkas tanpa upacara persandingan.

Biarpun begitu, selepas upacara akad nikah, pasangan itu diraikan dalam satu resepsi kecil di rumah pengantin perempuan pada sebelah petangnya di mana tetamu dihiburkan dengan persembahan kuda kepang.

“Saya rasa gembira kerana telah bergelar seorang suami sekarang. Gelaran ini datang dengan maruah dan saya akan menggalas tanggungjawab perkahwinan dengan sebaiknya,” janji pengacara Pelik Tapi Sedap ini yang turut muncul dalam drama Tari Tirana dan Under One Roof.

Ayu Raudhah Tidak Edar Kad Kahwin Kepada Pekin


PETALING JAYA: Aktres Ayu Raudhah belum mengedarkan kad undangan perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak.

Mereka dijadual bernikah pada 20 Januari depan.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan bekas kekasihnya, pelakon Pekin mengatakan dia telah menerima kad undangan daripada Ayu seperti yang dilaporkan sebuah akhbar, Jumaat.

“Saya belum menempah kad undangan kerana semuanya masih dalam proses. Jadi, saya agak terkejut apabila dia mengeluarkan dakwaan seperti itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Namun Ayu berkata dia masih menganggap Pekin sebagai kawannya dan tidak menolak jika lelaki itu mahu menghadiri majlis perkahwinannya nanti.

Ini kerana, dalam sebuah akhbar melaporkan Pekin berharap untuk hadir ke majlis bersejarah itu jika mempunyai kelapangan dan tiada penggambaran drama dan filem.

“Saya belum membuat keputusan sama ada akan menjemput dia atau tidak tetapi saya rasa tiada masalah untuk menjemputnya kerana kami tidak pernah bermusuh,” jelas Ayu lagi.

Majlis pernikahan akan berlangsung di rumah pengantin perempuan di Taman PKNK, Alor Setar Kedah manakala majlis resepsi pula akan berlangsung sehari selepas itu di lokasi yang sama.

Sementara majlis sambut menantu (sebelah lelaki) dijangka berlangsung pada 29 Januari 2011 di Seremban, Negeri Sembilan.

Pasangan itu secara rasmi bertunang pada 17 Oktober lalu dalam satu majlis merisik di rumah keluarga Ayu di Subang Jaya, Selangor.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails