Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Saya mangsa penganiayaan' - Fizo Omar


PENYALAHGUNAAN identiti seseorang individu untuk tujuan-tujuan tertentu seperti permohonan membuat pinjaman kewangan bukanlah suatu perkara yang asing di negara ini.

Namun begitu, tidak ramai individu yang menjadi mangsa mahu membuat aduan menyebabkan kejadian sebegitu dilihat semakin berleluasa dan turut membabitkan kerugian sehingga jutaan ringgit.

Terbaru membabitkan pelakon popular Wan Hafizol Wan Omar, 26, atau lebih terkenal dengan nama Fizo Omar setelah namanya telah digunakan sebagai penjamin untuk membuat pinjaman sebanyak RM8 juta.

Menyedari namanya telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, Fizo lantas membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat Sukarelawan Peguam (SukaGuam) agar masalah yang dialaminya itu dapat diselesaikan segera, yang mana peguam yang mengendalikan kes Fizo ialah Datuk Datuk Khairul Anwar Rahmat. Berikut temu bual pelakon filem Kongsi itu bersama Kosmo!.

Kosmo!: Boleh ceritakan apa yang sebenarnya berlaku?

Fizo : Pada tahun 2008 yang lalu, seorang kenalan telah mengajak saya untuk menjadi rakan kongsi kepada penubuhan sebuah syarikat percetakan. Memandangkan tiada sebarang pelaburan dibuat, akhirnya saya bersetuju untuk menerima pelawaan rakan saya itu.

Selain menjadi rakan kongsi, saya turut dilantik sebagai Pengarah Urusan dan menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah. Namun, sepanjang bersama dengan syarikat tersebut saya langsung tidak pernah dibayar walau satu sen pun.

Berapa lama anda bersama syarikat berkenaan?

Saya tidak pasti tentang tempoh, tetapi apa yang saya ingat penyertaan saya bersama syarikat itu bermula pada awal tahun 2008 dan hanya beberapa bulan selepas itu saya mengambil keputusan untuk menarik diri kerana mahu memberi tumpuan kepada bidang lakonan.

Walaupun sudah tidak lagi terbabit dalam segala pengurusan syarikat, nama saya masih lagi dikekalkan sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah. Cuma saya tidak sangka nama saya telah digunakan untuk menjadi penjamin dalam pinjaman sebanyak RM8 juta tanpa pengetahuan saya.

Sejak bila anda tahu nama anda digunakan sebagai penjamin untuk permohonan pinjaman tersebut?

Pada tahun lalu saya telah dihubungi sendiri oleh pihak bank yang mengatakan saya telah menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat oleh syarikat itu dan sebanyak RM2 juta telah dipindahkan ke akaun peminjam tersebut.

Ketika diberitahu tentang perkara tersebut, sudah tentu saya sangat terkejut kerana langsung tidak tahu menahu bahawa nama saya telah disalahgunakan. Apa yang boleh saya katakan adalah saya sudah menjadi mangsa penganiayaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Adakah anda mendapat surat peringatan tentang bayaran pinjaman tersebut daripada pihak bank?

Setakat ini saya hanya mendapat panggilan daripada pihak bank yang meminta saya menjelaskan bayaran pinjaman tersebut kerana saya dimaklumkan oleh pihak bank bahawa surat peringatan hanya diserahkan kepada pihak syarikat yang membuat pinjaman tersebut.

Adakah anda pernah menandatangani sebarang dokumen semasa bersama syarikat tersebut?

Saya memang tidak ingat kerana perkara itu sudah pun berlalu tiga tahun yang lalu. Cuma apa yang agak menghairankan apabila pihak bank sewenang-wenangnya boleh meluluskan pinjaman tersebut tanpa kehadiran saya sebagai penjamin.

Kenapa ambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan masalah yang anda alami?

Seboleh-bolehnya saya mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik dan tidak mahu terlalu kecoh. Pada mulanya saya ada cuba berbincang dengan pihak syarikat tersebut supaya menjelaskan perkara sebenar, tetapi tidak mendapat kerjasama yang baik sehinggalah syarikat itu tidak lagi wujud.

Ada buat laporan polis?

Setakat ini tiada laporan polis dibuat dan saya hanya meminta bantuan peguam di SukaGuam untuk menyelesaikan masalah ini.

Bagaimana kelulusan pinjaman tersebut boleh diberikan sedangkan anda tidak menandatangani sebarang dokumen berkaitan?

Ketika saya menceritakan masalah ini,pihak peguam mengesyaki kes saya mungkin ada berkaitan dengan elemen penipuan, meniru tanda tangan, penyalahgunaan nama atau komplot sindiket tertentu.

Apakah langkah anda selepas ini? Tak jumpa bank minta penjelasan dan selesaikan masalah ini?

Melalui perbincangan yang dilakukan bersama peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, kami akan berjumpa dengan pihak bank dan cuba meminta segala dokumen berkaitan permohonan pinjaman tersebut dalam tempoh dua minggu ini.

Adakah masalah yang dialami ini telah menjejaskan kerjaya anda sebagai seorang pelakon?

Saya akui apabila diberitahu tentang perkara tersebut memang ia sangat merisaukan saya dan serba sedikit kerja-kerja saya turut terjejas.

Apa terjadi kalau anda tidak menjelaskan bayaran pinjaman seperti yang dituntut pihak bank?

Kalau saya tidak dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera, berkemungkinan besar saya boleh diisytihar muflis.

Nasihat anda kepada rakan-rakan artis yang lain?

Apa yang berlaku ini pastinya menjadi pengajaran yang sangat berguna supaya lebih berhati-hati selepas ini. Malah, saya mahu menasihatkan kepada rakan-rakan artis yang lain supaya tidak terlalu mudah menerima sebarang tawaran jika ada mana-mana pihak yang mahu menjadikan mereka sebagai rakan kongsi dalam sesebuah syarikat.

Sekarang ini anda ada terlibat dengan mana-mana bisnes?

Selain sibuk berlakon, saya juga ada menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual makanan dan ia lebih kepada perniagaan keluarga. Lagipun saya sebenarnya seorang individu yang sangat minat berniaga.

Tania Hudson Dihendap Peminat Fanatik


DI sebalik ketenangan dan kejelitaan yang terpancar pada wajah milik pelakon Tania Hudson, rasanya tidak ramai yang tahu dia pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) tiga tahun lalu.

AVM adalah sejenis gumpalan urat yang tidak normal tertumbuh di otak dan penyakit yang dialami pelakon berusia 26 tahun ini menjadi serius apabila berlaku pendarahan dalaman.

Syukur kerana masih lagi dapat bernafas dan menjalani aktiviti harian seperti biasa, penderitaan lalu banyak mengajar anak kacukan Melayu-Inggeris ini menjadi seorang yang cekal dan berfikiran positif.

“Saya pernah melalui saat-saat sukar dimana penyakit yang dihidapi berlaku sejak kecil lagi. Keadaan itu membuatkan jiwa saya kosong dan kemurungan.

“Bagaimanapun, selepas pembedahan tersebut, barulah saya sedar dan bersyukur Tuhan masih memberi peluang baru serta harapan untuk saya terus hidup. Malah penderitaan yang dilalui itu memberi pengajaran besar buat diri sendiri.

“Saya mula belajar kerana jangka hayat manusia sebenarnya amatlah pendek tanpa kita sedar dan ia berlalu dengan pantas. Maka bersiap sedialah bahawa nyawa kita boleh diambil pada bila-bila masa sahaja. Justeru itu, terimalah dugaan hidup yang sudah atau bakal dilalui dengan pemikiran yang positif. Gunakan peluang yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang berguna.

“Yang penting, percayakan pada diri, seperti perumpamaan ini, bila kita ubah cara pemikiran maka kita boleh mengubah dunia,” katanya yang bakal menyambung pengajian di bidang fesyen pada tahun depan.

Tambah pelakon yang pernah membintangi drama Tiramisu ini, pemikiran yang positif juga perlu dimulakan dengan mengikis perasaan negatif dan pada masa sama membina semula keyakinan diri.

Bagaimanapun tambahnya, untuk menjadi seorang yang berfikiran positif bukannya mudah dan sokongan daripada keluarga serta teman-teman rapat amat diperlukan.

Cabaran

Bakal muncul dengan filem terbaru, Ngorat, arahan Prof. A. Razak Mohaideen, tahun depan. Tania akui, perjalanan kerier lakonannya tidaklah selancar kakaknya, Natasha Hudson yang pantas meraih perhatian khalayak.

Namun, dia tidak pernah berkecil hati apatah lagi cemburu dengan apa yang diraih kakaknya, malah Tania tidak kisah jika namanya sering dikaitkan dengan Natasha.Faham dengan situasi diri yang perlukan masa rehat lebih sejak menjalani pembedahan, Tania akur dengan tawaran yang kurang itu.

“Selepas pembedahan tersebut, saya bersyukur kerana dapat hidup dengan lebih normal. Cuma masa rehat dan tidur yang diperlukan agak lama sedikit berbanding orang biasa. Kalau tak, mulalah penyakit asma menyerang, tak pun kepala saya akan sakit.

“Hal tersebut membuatkan kerjaya lakonan saya sedikit terganggu dimana pihak produksi perlu bertoleransi dengan masalah saya lebih-lebih lagi mengenai masa kerja contohnya, tak bolehlah sampai ke Subuh.

“Alhamdulillah, setakat ini mana-mana pihak produksi yang pernah bekerjasama dengan saya memahami keadaan ini.” tuturnya yang juga tidak tahan dengan asap rokok.

Peminat fanatik

Walaupun populariti tidak sehebat kakaknya, Tania tetap dikenali masyarakat malah mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Jika tidak, tak adalah sampai dia menjadi mangsa hendap oleh seorang peminat fanatik lelaki selama seminggu.

Kata Tania, lelaki yang berusia 20-an itu telah mengikuti Tania tidak kira di mana saja sama ada ketika di luar atau pulang ke rumah.

“Lelaki tersebut mula mengganggu hidup saya selepas terserempak di sebuah bengkel kereta dan memberitahu bahawa dia merupakan peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan saya. Tak sangka pula selepas itu dia muncul di hadapan rumah dan mengganggu saya dan ibu dengan menekan loceng rumah dengan kerap.

“Tindakan lelaki itu menimbulkan perasaan takut dan bimbang tentang keselamatan diri. Saya turut diberi buah-buahan dan telah bercakap dengannya supaya pulang. Selepas beberapa hari melalui keadaan yang sama, saya terus membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.

Kejadian tersebut membuatkan Tania lebih peka dengan persekitaran dan memastikan dia sentiasa ditemani seseorang setiap kali keluar rumah, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Sekarang ini saya lebih berhati-hati dengan keadaan persekitaran. Harap pengalaman yang dilalui ini dapat menjadi pengajaran buat semua terutamanya wanita yang pulang dari kerja pada lewat malam,” tuturnya.

Jangan kaitkan saya lagi - Neelofa


SEJAK pasukan bola sepak Harimau Muda naik daun ni, ramai sungguh yang mula minat pada mereka. Paling tidak Syed pasti ramai yang berbangga dengan pencapaian mereka yang memang cukup memberangsangkan tu.

Cuma bila diberi publisiti berterusan, ramai yang mula ambil perhatian. Terbaru ramai yang mula nampak golongan artis yang mula berminat dengan mereka ni.

Salah seorangnya Neelofa, nama dia mula panas apabila dikaitkan dengan salah seorang pemain muda. Macam-macam versi cerita yang Syed dengar termasuklah pelawaan Neelofa yang nak ajak pemain kita makan malam.

Cuma ada beberapa peminat bola yang mula tak puas hati bila ada artis macam Neelofa yang minat bola sepak. Macam-macam tuduhan yang dilemparkan dan ada yang sanggup menyebarkan e-mel mengatakan artis macam Neelofa akan menjatuhkan moral pemain sebab menghimpit pemain bola.

Syed sempat berbual dengan Neelofa baru-baru ni. Dia memang terkejut dikaitkan dengan nama beberapa pemain Harimau Muda sedangkan antara dirinya langsung tak ada apa-apa hubungan.

“Saya tahu orang banyak bercakap hal tu. Tapi apa lagi saya nak cakap selain ketawa sahaja. saya minat bola sepak tapi tak sampai nak himpit mana-mana pemain.

“Yang saya kenal pun hanya Apex. Itupun kenal sebab dia popular dan dia penjaga gol yang hebat tapi tidaklah kenal secara dekat pun. Pemain lain langsung saya tak kenal.

“Bila balik daripada Lombok baru-baru ni, ramai sangat yang twit saya pasal Nazmi Faiz. Saya pun tak mengenali pemain tu secara peribadi. Kalau tanya dia pun dia akan ketawa dengan penyebaran cerita oleh orang-orang yang puas hati ni.

“Kepada orang yang menyebar cerita buruk pasal saya tu, bersabarlah. saya tak macam mana yang mereka dakwa sebab saya tak seperti itu. Orang boleh buat cerita macam-macam tapi kena tahu asas juga.

“Tak mengapalah, asalkan pemain kita berjaya dalam kerjaya mereka sudah cukup baik,” kata bakal pengacara Nona 2012 ini lagi.

Bila artis tak datang majlis


BARU-baru, teman Joyah ke sidang akhbar penganjuran sebuah teater sempena Festival Monodrama 2011 di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur. Cuaca hujan masa itu tapi digagahkan juga ke tempat berprestij di Jalan Tun Razak yang terkenal dengan kawasan jammed.

Bagaimanapun, bila dah sampai, darah teman Joyah yang membara itu bertambah mendidih bila dikejutkan dengan berita daripada penganjur yang ketiga-tiga artis terlibat dalam teater itu iaitu Norish Karman, Misha Omar dan Yasmin Hamid tak dapat datang.

Teman Joyah itu kecewalah, penat memandu ke IB tak habis lagi ditambah bengang sebab artis tak datang majlis.

Buat apa wartawan datang sedangkan tak ada artis yang hendak ditemuramah? Mestilah ada banyak soalan yang hendak ditanya tentang persiapan sebelum lakonan dan macam-macam lagilah.

Kemudian pula itu, tiga artis yang terlibat dalam teater tu bukan calang-calang orang, semuanya top dan banyak peminat!

Bila tak datang ke sidang akhbar, jadi macam ada sesuatu nak disembunyikan. Tapi kalau pun seorang saja artis yang bermasalah dalam teater tu, yang ada cerita kontroversi tersendiri, takkan lagi dua orang artis tu tak boleh datang mewakili kawan lagi seorang tu!

Joyah yakin, takkan lah tiga-tiga artis yang dah berpuluh-puluh berlakon drama dan filem ni sengaja buat hal. Joyah pun kenal dengan mereka.

Tapi apa yang Joyah tak faham, kenapa mereka tak paham lagi kerja wartawan yang selama mencari artis untuk dapatkan berita.

Kalau tak nak datang sekali pun, jangan cakap nak datang pada penganjur yang selalunya tempat rujukan para wartawan. Sebab penganjur selalunya nak suruh wartawan ni datang cover majlis dia dan bila semua wartawan dah sampai, tiba-tiba kata artis tak ada. Rasa macam ada konspirasi pula.

Kes artis tak datang sidang akhbar ni kalau ditanya kepada pihak penganjur biasanya alasan klise keluar: “Maaf ye, semua artis tak dapat datang sebab masing-masing ada jadual shooting. Saat-saat akhir terpaksa batal datang ke PC sebab dah terikat dengan komitmen lain.”

Alahai... sedangkan semua tahu yang artis adalah penting pada sidang akhbar itu. Tak apalah, lepas ini penganjur di luar sana kena pastikan surat jemputan itu hanya tercatat nama artis yang sudi nak datang saja. Senang wartawan nak tapis siapa artis yang betul-betul 'ikhlas' dalam industri ini.

Chomel tunjuk perangai


DIVA garu-garu kepala bila seorang teman menyebut nama Chomel Fana. Bila sebut 'muka macam Zila AF,' baru Diva teringat.

Kisahnya dalam satu persembahan, dengarnya si penyanyi baharu ini sudah pandai tarik muka.

Datang-datang sahaja ke lokasi, dia terus duduk mengadap dinding dan mengetik telefon di tangannya. Bila ditanya berapa lagu yang akan dinyanyikan, tanpa memandang dan melihat wajah orang yang bertanya, dia mengangkat jari sambil menunjukkan isyarat dua. Baik betul bahasa penyanyi baharu sekarang.

Tidak habis di situ, sewaktu disuruh naik ke pentas, dia sempat mengetik telefonnya dulu walhal sudah memegang mikrofon dan intro lagunya sudah pun berkumandang. Penting betul mesej, sampai dua tiga saat mahu menyanyi pun Chomel wajib membalasnya. Diva ketawa dengar perangai budak sekarang ini. Mungkin kerana senang nak jadi penyanyi, maka semua benda diambil mudah.

Diva: Konsert Search, 17 Disember ditukar ke Pusat Konvensyen di The Mines.

Chef Wan bikin panas!


TERPANGGIL pula nak mencelah sikit pasal Chef Wan yang kini makin lantang di kaca televisyen. Diva bangga, sebab daripada seorang chef, khidmat Chef Wan digunakan sebagai pengkritik dalam program lawak nusantara, Maharaja Lawak Mega.

Tapi ini bukan pasal Maharaja Lawak tapi pasal Chef Wan sendiri, Diva rasa tukang masak selebriti popular kita ni sukakan benda-benda panas, jadi kalau keadaan jadi panas gara-gara luahannya, dia memang tak kisah.

Macam dalam satu temu bual untuk rancangan Kerusi Panas bersama Radio 24, dah nama pun 'kerusi panas', panas sungguhlah program berkenaan yang dikendalikan oleh perantaranya, Zulkifli Bujang.

Apa yang Diva paling tak tahan, bila Chef Wan sampai hempas telefon, tindakan itu pula disedari oleh semua pendengar. Panas benar ke hati Chef Wan dengan topik yang diperbincangkan? Rasanya ada sedikit kurang pertimbangan di situ. Panas!

Diva: Kalau nak sejukkan hati, pergilah tonton teater Asrar 2 di Muzium Shah Alam.

Izreen akan umum pertunangan


AKTRES dengan nama Izreen Azminda ini sedang menebarkan namanya dengan debunga bakat. Eksplorasi bakatnya banyak ditunjangi watak antagonis yang berjaya membuat penonton berasa benci.

Kemunculan dengan watak kontra dalam drama popular Juvana, menambahkan lagi sebab mengapa dirinya dilihat sebagai pelapis aktres tanah air.

Sewaktu sedang enak melakar satu demi satu portfolio atas nama pelakon, cerita-cerita peribadi turut menghimpit dirinya. Seakan-akan terkesan dengan watak antagonis yang dipegangnya, ada sahaja cerita panas dan kelam menghampiri pelakon ini.

Terbaru, pelakon berusia 26 tahun ini dikatakan bakal bertunang dengan seorang jejaka di belakang tabir. Bukan sebuah cerita negatif tetapi nampaknya hidup Izreen sekarang sudah masuk dalam baris pelakon yang semakin ingin dikenali lebih daripada sekadar cerita di layar.

Sedang enak melayari hari-hari penggambaran di bawah arahan Michael Ang, Izreen bakal muncul dengan sebuah telefilem yang bertajuk Pelesit dan Penjara.

Dengarnya akan bertunang tidak lama lagi?

(Gelak) Mana dengar cerita? Tidak ada perancangan apa pun lagi. Saya sedang sibuk dengan penggambaran. Kalau ada dan sampai masa, saya akan umumkan.

Maksudnya benarlah ada hubungan cinta dengan orang di belakang tabir?

Saya berkawan-kawan sahaja dan sejauh ini belum ada hubungan istimewa dengan siapa-siapa pun. Orang mungkin salah tafsir kerana saya berkawan dengan semua orang terutamanya orang produksi. Saya memang boleh ngam.

Tiada hubungan istimewa dengan siapa-siapa?

Tidak ada. Baru-baru ini saya sudah terkena, jadi kena relaks dulu. Saya tak nafikan kalau jodoh sampai, saya terima seadanya. Saya ni sebenarnya suka lelaki yang berwajah Melayu. Perangainya kena kontra dengan saya maksudnya dia perlu jadi air kerana saya bersifat api.

Setelah Juvana dan polemik dengan Johan (Botak), nampaknya cerita peribadi Izreen bertubi-tubi keluar. Peminat hendak tahu cerita peribadi Izreen. Komen Izreen?

Memang tidak dinafikan tahun ini paling banyak saya dilanda kontroversi. Itu lumrah dan saya sudah bersedia. Awalnya mungkin saya kekok diterjah soalan sebegitu dan saya emosi menjawab. Itu pengajaran dan pada masa depan saya lebih berhati-hati menjawab. Kadang kala penyampaian itu tidak sama dengan tafsiran.

Sejauh mana keterbukaan Izreen berkongsi cerita-cerita peribadi dengan peminat?

Sekarang ini saya lebih selesa bercakap pasal kerja. Tentang peribadi, ada batasnya.

Bagaimana melihat perjalanan tahun 2011 dan harapan 2012?

Perjalanan 2011 sangat mencabar kerana bukan sahaja saya diterima ramai tapi juga terpalit kontroversi yang bukan-bukan. Saya ingat orang akan menyampah dengan saya, tetapi saya lihat sambutan orang ramai terhadap saya sangat baik kerana lakonan saya.

Daripada aspek karier, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan penerbit, pengarah dan penonton. Sejak drama Tentang Dhia ditayangkan di TV3, orang lebih memanggil saya dengan nama Melly berbanding cikgu Zakiah (Juvana). Pengarah, Michael Ang juga antara individu yang mempercayai saya dengan memberikan watak yang berat dan comot. Saya mengharapkan 2012 akan muncul dengan kurangnya kontroversi dan prestasi kerja semakin meningkat.

Tania teringin rasai cinta sejati


ANTARA percaya atau tidak, wanita ini mengaku tidak ada pengalaman bercinta dengan mana-mana lelaki secara serius sepanjang 26 tahun usia.

Biarpun persoalan kebenaran kenyataan tersebut dipertikaikan, namun dia tetap tidak berganjak dengan kenyataanya.

“Saya single, belum ada teman istimewa pernah bertakhta dalam hati ini. Sekadar cinta monyet adalah masa umur 20 tahun. Apa pun cinta monyet tak boleh masuk dalam kategori cinta sejati, bukan?” soalnya tertawa saat membicarakan cerita hati wanitanya.

Pun begitu, Tania Liana Mohd. Redzuan Hudson atau lebih mesra dengan nama Tania Hudson ini mengakui bahawa kebanyakan lelaki yang menghampiri tidak meyakinkan untuk menjadi belahan jiwanya.

Alasannya, definisi cinta Tania terlalu tinggi dan mahal dan bukan sembarangan untuk senang-senang diberikan kepada mana-mana lelaki.

“Hati saya menolak untuk ada hubungan serius dengan lelaki, saya cuma selesa untuk berkawan saja.

“Bukan cinta golongan VVIP atau artis yang dikejar tau, cinta orang biasa pun saya terima sebab pengertian cinta terlalu mahal dan kompleks buat saya,” katanya bersungguh-sungguh.

Mengusik Tania seorang pemilih dan sebab itu dia tak punya kekasih lagi walaupun sudah mencecah 26 tahun, kedengaran hilaian ketawa kecil dalam bicaranya.

“Saya tak jumpa dengan orang yang sepatutnya lagi,” ringkasnya.

Mengorek kriteria lelaki tertentu yang diberi keutamaan, Tania memberitahu dia lebih tertarik pada lelaki ikhlas, amanah dan jujur.

Tambahan pula stigma buat artis yang mempunyai darah campuran adalah jenis moden dan mengamalkan gaya hidup terbuka sepertinya, menyebabkan Tania perlu lebih berhati-hati dalam tingkah laku.

“Saya ada asas tersendiri dalam bab memilih lelaki, kalau boleh ada karisma, patuh pada ajaran agama, rajin dan mempunyai sikap yang baik,” jelasnya.

Kalau begitu, sampai umur berapa Tania baru mahu memikirkan soal perkahwinan? Adakah Tania pernah merujuk kakaknya, Natasha Hudson yang punya pengalaman hidup berumah tangga yang luas dan pakar dalam persoalan hati sebelum ini?

“Saya dan kakak berkongsi apa saja cerita tentang kami sebab hanya kami berdua beradik saja. Apa yang dia lalui termasuk perkahwinan, perceraian dan kisah kerjaya dirinya adalah sumber inspirasi buat saya.

“Bila masuk bab kahwin, saya berhajat untuk mendirikan rumah tangga masa umur 30 tahun, mungkin sebab ketika itu saya dah stabil,” azam Tania.

Gerun lelaki psiko

Pelakon telefilem Nadira, Antara Denai, Lagu Kita dan Mayang Mengurai ini juga tidak dapat melupakan bagaimana dia berdepan dengan situasi dikejar lelaki psiko yang mengintip Tania saban hari pada bulan lalu.

Lelaki berusia 20-an yang juga peminat fanatik Tania itu didakwa setia menunggu Tania di rumahnya yang terletak di Subang Jaya, Selangor semata-mata untuk melihat pelakon yang juga model itu.

Pada mulanya Tania menganggap lelaki itu seperti kebanyakan peminat yang lain selepas terserempak di sebuah bengkel kereta namun paras kecurigaan meningkat selepas lelaki itu kerap muncul di hadapannya.

“Saya rimas bila lelaki ekstrem itu asyik mengekori dan cakap benda-benda pelik pada saya. Memang cemas sebab inilah kali pertama mengalami kejadian sebegini walaupun dah 25 tahun duduk di Subang Jaya.

“Dia asyik nak jumpa dan bunyikan loceng di rumah suruh saya keluar. Dia tahu semua aktiviti saya bila saya kemas kini status Twitter saya. Sebab risau keselamatan diri itu yang saya buat laporan polis.

“Sekarang, kes tu dah selesai lepas saya jumpa dengan abang kepada lelaki itu dan minta kerjasama. Alhamdulillah, fasa mimpi ngeri itu dah berakhir dan saya dah bebas buat apa saja,” syukurnya.

Ditanya apa pengajaran yang diperolehi selepas peristiwa itu, Tania mengatakan ada dua tauladan diperolehi.

Pertama, orang perempuan perlu berhati-hati ketika hendak keluar rumah dan seboleh-bolehnya perlu ada teman sebab banyak kes melibatkan penculikan terjadi sejak kebelakangan ini.

Kedua, jangan memberikan perincian aktiviti harian untuk memberitahu rakan-rakan di Twitter kerana itu boleh mendedahkan individu tertentu diserang sesuatu perkara di luar jangkaan.

Tak digugat orang baru

Mengubah topik persoalan kepada fenomena industri masa kini yang meriah dengan kehadiran pelakon baru yang rata-ratanya rupawan, berbakat dan sensasi, dan adakah dia tidak tergugat Tania hanya ketawa kecil.

“Kebanyakan pendatang baru punya cara tersendiri untuk mencipta nama, gunakan kecantikan atau apa saja.

“Memang wujud persaingan di kalangan artis baru dengan lama tetapi itu bukan bermakna yang sedia ada boleh dipinggirkan kerana semua berada dalam industri ini kerana bakat.

“Jadi lebih baik kalau kita buat kerja sendiri dan ambil inisiatif sendiri untuk kembangkan industri hiburan negara.,” hujahnya.

Ditanya bagaimana cara Tania mahu terus diingati di kalangan industri sedangkan kehadiran Tania sendiri seakan-akan seperti ‘untung sabut timbul; untung batu tenggelam’, wanita ini terdiam sebentar.

“Saya dah ada nama dan pengikut tersendiri. Selepas selesai berlakon dalam beberapa drama dan mendapat reaksi positif, saya bertambah yakin dan menjadi anak seni.

“Selebihnya, soal populariti atau tidak, saya serahkan kepada peminat sebab mereka sekarang ini dah pandai menilai keupayaan artis kesayangan mereka,” kata pelakon filem Ngorat ini di hujung perbualan.

Intan Sarafina Selamat Lahir Megat Israfel Raez


PETALING JAYA: Penyanyi lagu Duhai Malam, Intan Sarafina, 29, selamat melahirkan bayi lelaki bernama Megat Israfel Raez pada 2 Disember lalu di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC), Subang Jaya.

Bayi keduanya itu dilahirkan secara normal seberat 3.38 kilogram.

Menurut Intan, nama Israfel dipilih kerana membawa maksud malaikat yang meniup sangkakala manakala Raez bermaksud ketua atau pemimpin yang juga merupakan gabungan nama kedua Intan dan suami iaitu Sarafina dan Ezzahuddin.

Nama Raez turut diberikan kepada anak sulung mereka iaitu Megat Evan Raez yang berusia 2 tahun.

Biarpun sekian lama menyepi dari industri seni, Intan tetap tidak berputus asa untuk kembali menyanyi selepas selesai berpantang.

“Insya Allah, sekiranya ada rezeki saya teringin juga hendak menyanyi semula,” katanya kepada mStar Online.

Intan berkahwin dengan Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkifli tiga tahun lalu.

Saya Tak Kata Cinta – Jelas Zaleha Tentang Hubungan Dengan Jalani Sidek


Gambar di atas ialah gambar Jalani Sidek dan Raja Azmi, sila jangan salah faham. Berikut ialah penjelasan Zaleha di dalam Harian Metro semalam untuk menjawap persoalan motif yang ditanyakan oleh Jalani.

Tak ada apa-apa motif pun. Lagipun tak pernah saya cakap dalam artikel ada unsur percintaan antara saya dan Jalani Sidek. Selama ini pihak media menganggap hubungan kami itu sebagai “istimewa” sedangkan hakikat sebenar, kami hanyalah bersahabat bersama-sama menjalankan tugas secara profesional kerana Jalani penasihat di syarikat saya. Jadi tidak patutlah saya dianggap sebagai orang ketiga dalam hubungan Jalani dan Raja Azmi sehingga ia menggugat keharmonian rumah tangga mereka

Fuh ~~ Panjang jugak penjelasan Zaleha. Abang Nara punya kesimpulan senang sahaja. Maknanya di sini pihak media yang melaporkan cerita Zaleh dan Jalani telah tersalah buat laporan. Tak gitu? Kata Zaleha lagi:-

Saya berani menceritakan perkara sebenar kepada wartawan kerana tak mahu orang salah faham hubungan kami selama ini. Malah apa yang saya cakap kepada media sebelum ini adalah dengan persetujuan Jalani sendiri. Saya tampil membuat penjelasan ini kerana mahu membersihkan nama saya dan menghindari salah faham. Saya tak mahu dipandang serong oleh masyarakat dan enggan isu ini berlarutan. Lebih daripada itu, saya tak mahu hubungan saya dan keluarga Jalani terjejas kerana kami sudah begitu rapat lebih setahun lalu.

Ha. Diharap dengan penjelasan ini tak adalah lagi orang nak kata Zaleh bercinta dengan Jalani dan percintaan mereka direstui oleh Raja Azmi. Abang Nara rasa mereka ini berkawan secara profesional atas nama business. Tak gitu? Moga-moga cerita ini boleh ditutup dan tak dibuka lagi selepas ini. Makin pening pulak bila makin lama makin berbelit dan makin ramai orang yang buat statement. Tak gitu?
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails