Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bukan disihir, bukan tak berdisiplin - Jue Aziz


AKHIRNYA misteri kehilangan Jue Aziz terjawab juga. Minggu lalu heboh juga orang memperkatakan tentang kehilangan Jue. Iyalah, teater dah nak mula tapi batang hidung Jue langsung tak nampak.

Kata Jue kepada pihak media, dia bukan sakit terkena buatan orang. Dia juga menafikan yang ada masalah disiplin. Habis hilang sampai lima hari tu pergi mana pula?

Itu yang bermain di fikiran Joyah. Risik punya risik rupa-rupanya Jue sakit. Dia pitam dan muntah-muntah sampaikan doktor terpaksa memberi cuti sakit akibat simptom yang dialaminya itu.

Lalu sepanjang pementasan Semerah Padi berlangsung tempat Jue diganti secara bergilir-gilir dengan pendatang baru Abby Nadzri memandangkan nama Abby sudah dicanang akan menggantikan tempat Jue sekiranya dia digugurkan pada masa itu.

Kalau dah sakit tu nak buat macam mana. Bukan boleh tahan-tahan untuk bagi laluan pada hal yang lebih mustahak. Setidak-tidaknya Joyah bangga bila Jue buka mulut dan menjelaskan hal yang sebenar. Berani kerana benar.

Status bukan penghalang


2011 sudah melabuhkan tirai. Pelbagai kenangan dan sejarah baru sudah terlakar sama ada suka mahupun duka. Tahniah kepada anak seni yang terus melakar kecemerlangan dalam bidang masing-masing tanpa perlu mencetuskan 'kontroversi' yang memualkan.

Tahun 2011, tidak keterlaluan jika dikatakan milik Aaron Aziz & Erra Fazira untuk kategori artis lelaki dan wanita berstatus suami, isteri, bapa dan ibu yang cukup menyerlah sepanjang 2011.

Siapa kata status 'menurunkan' saham seseorang selebriti jika sekiranya mereka tahu menguruskan perjalanan seni seiring tugasan dalam rumah tangga. Aaron Aziz dan Erra Fazira telah membuktikan bahawa keluarga diutamakan, kerjaya didahulukan mampu memberi kepuasan dalam perjalanan hidup mereka.

Jika menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, gunakanlah ke arah kebaikan. Jangan jadikan laman sosial untuk melepaskan geram dengan perkataan yang kurang manis.

Tidak perlu memburukkan antara satu sama lain, sebaliknya saling mendoakan antara satu sama lain dalam menjalankan kehidupan. Itu lebih seronok untuk peminat-peminat membaca dan terus menghormati mereka selain mereka suka berkongsi tentang perkembangan kerjaya seni daripada hal peribadi mereka.

AC dedah rahsia di sebalik kehilangannya


SETELAH lebih setahun menjejakinya dan pelbagai cerita negatif mengenainya disebarkan, akhirnya penyanyi, pelakon, pengacara dan ahli perniagaan yang kian membina nama, Datuk AC Mizal sudi menerima kedatangan Pancaindera.

Rabu lalu bertempat di pejabat empat tingkat MBI milik syarikatnya dengan rakan kongsi Tedy Teow(Pengerusi Kumpulan) dan isterinya, Datin Emylia Rosnaida (Ketua Pegawai Eksekutif), AC menanti kehadiran kami.

Walaupun lebih 10 tahun kami tidak bersua muka, namun jarak waktu yang memisahkan sedikitpun tidak melunturkan sikap ramah dan mesra AC Mizal seperti waktu pertama kali bertemunya 20 tahun lalu ketika bersama dengan 4U2C.

Itulah AC Mizal,40, atau nama sebenarnya Mizal Zaini bekas penuntut Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi.

Lebih dua jam berbual dengannya, siapa sangka AC yang dulunya popular dengan lagu Fiona, kini boleh berdiri megah sebagai Pengerusi Eksekutif empat buah syarikat iaitu Malaysia Brand International, M7,Mface dan AC Living Large dengan pekerja melebihi 50 orang.

Satu demi satu soalan yang dilontarkan kepadanya isu gelang, gelaran Datuk dan melarikan diri daripada wartawan, AC yang mulanya begitu kental jiwanya, akhirnya kalah apabila ditanya bertubi-tubi soalan mengenai isu yang telah mencalarkan namanya.

Wajahnya yang ceria tiba-tiba redup seketika dan tanpa disangka mata kecilnya berkaca bagai menceritakan gelodak jiwa yang pernah dialami tatkala ia menjadi umpat nesta mereka yang tidak senang melihat kejayaannya.

“Saya tahu, waktu itu pelbagai cerita negatif tentang saya disebarkan. Saya tahu ramai wartawan yang mencari saya tetapi saya sengaja mengelak bukan kerana takut tetapi saya ada perancangan sendiri.

“Ketika orang sibuk bercakap tentang saya dan mendakwa pelbagai cerita yang buruk, saya percaya Allah tahu segala-galanya.

“Tanpa pengetahuan mereka saya bangun dan berusaha untuk merealisasikan impian saya menubuhkan MBI.

“Betul kata orang bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Saya adalah jenis yang tidak mahu mengaku kalah. Saya akan berusaha sehingga berjaya dan sebenarnya mereka yang pernah bekerja dengan saya tahu akan perancangan ini.

“Setahun lamanya saya berusaha sebelum saya boleh berdiri tegak selepas jatuh ditolak oleh mereka. Namun bagi saya, apa jua halangan dan dugaan Tuhan saya hadapi dengan tabah dan syukur alhamdulillah saya berjaya menubuhkan syarikat ini,” kata AC sambil tersenyum.

Walaupun hari ini, AC boleh berbangga menerajui empat buah syarikat tetapi tiada siapa yang tahu dia pernah menitiskan air mata kerana tindakan dan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab.

Namun ketika kepedihan itu, AC beruntung mendapat seorang isteri yang begitu memahami dan sentiasa menyokongnya.

Ketika ditanya pernahkah dia menangis menghadapi saat kesusahannya itu, tanpa berselindung AC berkata;

“Saya cuma menangis dalam hati. Tapi ia sedikitpun tidak memadamkan hasrat saya untuk membuktikan yang saya akan berjaya dan saya sentiasa menjadikan Donald Trump sebagai idola kerana dia juga pernah jatuh bangun dalam hidupnya.

“Dengan tertubuhnya syarikat ini saya mahu mengubah pandangan skeptikal masyarakat terhadap artis yang sentiasa dianggap tidak cerdik dan tidak boleh hidup mewah dan berjaya.”

Menurut AC, dia memilih Tedy Teow sebagai rakan kongsi kerana dia juga pernah mengalami nasib yang sama sepertinya.

Berkongsi rezeki

SETELAH berjaya menubuhkan MBI, tanpa teragak-agak AC turut menubuh tiga lagi syarikat iaitu Mface, M7 dan AC Living Large.

Mface yang mengendalikan laman sosial telah memilih 60 artis popular dengan memberi mereka saham bernilai RM100,000 setiap seorang.

Antara artis yang menjadi pilihan Mface ialah Afdlin Shauki,Harun Salim Bachik, Zain Saidin, Emelda Rosmila, Zizan Raja Lawak dan Adlin Aman Ramli.

“Saya memilih artis kerana mahu berkongsi rezeki bersama mereka. Mudah-mudahan impian saya akan diberkati dan mereka akan berjaya mencapai matlamat ini,” kata AC.

Selain Mface, M7 yang berkonsepkan kedai serbaneka juga ditubuhkan bagi membantu mereka yang ingin menambah pendapatan bulanan.

Menurut AC, M7 yang kini dibuka di bangunan yang sama dengan pejabat MBI memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menyertainya dengan bermodalkan RM2,799 sahaja.

“Siapa yang berminat bolehlah menghubungi syarikat saya kerana syaratnya begitu mudah.”

Selain di Malaysia, M7 juga akan membuka cawangannya di luar negara dan setakat ini ia telah mendapat permintaan lebih daripada 11,000 cawangan di dua buah negara.

Lisa pelengkap hidup Yusry


BERLAYARLAH ke tujuh lautan sekali pun, kalau sudah dinamakan jodoh di depan mata, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang ketentuan-Nya. Begitulah ibaratnya pencarian Yusry Abdul Halim, 37, dalam mencari suri di hati setelah lima tahun menjalani hidup tanpa sang kekasih penyeri jiwa.

Siapa sangka, jodoh Yusry sebenarnya adalah orang yang cukup dekat dan berkongsi industri yang sama.

Setahun mengulit cinta, Yusry tanpa ragu-ragu membuat keputusan untuk menyunting Lisa Surihani, 25, wanita yang punya tempat istimewa dalam hati lelaki ini.

Mengatur perjalanan beralaskan adat, Yusry datang bersama rombongannya pada 23 Disember lalu untuk merisik dan menyarungkan cincin tanda di jari si jantung hati.

Bimbang gadis idaman disambar orang barangkali, maka langkah dipanjang lekas dengan menetapkan 23 Februari sebagai tarikh perkahwinan mereka.

Kini kedua-duanya menunggu masa sahaja untuk diijabkabulkan sekali gus menamatkan segala teka-teki mengenai hubungan yang disorok selama ini.

Berkongsi rasa tentang cinta yang tercipta di antara mereka, cerita anak kedua daripada empat beradik berpengaruh ini, dia yakin Lisa adalah anugerah terbaik yang datang kepadanya ketika usianya kini sudah semakin menginjak ke angka 40.

Menyelami jiwa lelakinya, kata Yusry, dia tidak boleh berbohong kerana selama hidup menyendiri, jiwanya sunyi lantaran tiada teman hidup.

“Sebagai manusia, siapa yang mahu hidup bersendiri dan menghadapi dunia ini berseorangan.

“Sesiapa pun akan cakap perkara yang serupa. Datanglah wanita paling cantik di dunia sekali pun, kalau tak ada keserasian tidak boleh bersama.

“Saya percaya, kecantikan luar lama kelamaan akan pudar. Jadi lihatlah pada kecantikan dalaman. Bagi saya Lisa ada kedua-duanya dan itu yang membuatkan saya tertawan pada dia,” katanya.

Menganggap dirinya kini lebih matang, kata Yusry, dia lebih suka menyaksikan transformasi dirinya sekarang berbanding 12 tahun lalu.

“Terus terang, kalau sekarang ni saya berusia 25 tahun, mungkin saya bukan Yusry yang sekarang dari pelbagai sudut.

“Saya telah melalui bermacam perkara dalam hidup dan apa yang saya boleh janjikan pada Lisa adalah untuk menjaganya dan memastikan hubungan kami sentiasa baik.

“Apa jua suka duka selepas ini kami akan hadapi bersama, ”ujarnya.

Lisa bekalkan Yusry

Kedua-duanya memang sibuk menjalani karier masing-masing saban hari.

Namun itu bukan alasan untuk Lisa tidak boleh berada dekat dengan kekasihnya walau sesibuk mana mereka di lokasi penggambaran.

Pancaindera ada terdengar khabar bahawa Lisa sebenarnya rajin memberi bekalan makanan buat Yusry jika teman lelakinya itu sibuk di lokasi.

Lalu, Pancaindera panjangkan soalan sama ada bekalan makanan yang diberikan dimasak sendiri oleh Lisa atau sekadar dibeli sahaja.

Tertawa kecil Yusry. Barangkali tidak menyangka hal yang sebegitu kecil pun berjaya dihidu oleh penulis yang tekun menanti jawapan yang bakal terbit daripada mulut duda idaman Malaya ini.

“Bukanlah selalu dia masak. Ada beberapa kali dan kebanyakannya cuma dibeli. Namun saya suka cara begitu.

“Itu salah satu cara Lisa menunjukkan keprihatinan dan rasa sayangnya pada saya. Saya suka ayam masak pedas yang dia masak,” katanya yang disifatkan oleh Lisa sebagai seorang yang cerewet bab makanan.

Selain kesabaran dan keperihatinan, kata Yusry, dia juga jatuh cinta dengan sikap Lisa yang positif selain serasi ketika berkomunikasi bersama.

Bagi Yusry, komunikasi adalah senjata paling penting jika mahu hubungan berlangsung dengan lancar selain aura keserasian.

“Selama setahun kami bersama, jarang sekali dapat tengok kami bergaduh. Tipulah kalau tak ada langsung salah faham, tetapi biasanya kami tak akan biar ia berlarutan lama.

“Biasanya kalau dibiarkan lama itulah yang akan menyebabkan masalah timbul dalam perhubungan.

“Macam saya dan Lisa, kami saling memahami dan ia berbalik kepada macam mana komunikasi dalam hubungan diaplikasikan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta untuk mengulas mengenai perkahwinan keduanya, jelas Yusry selagi boleh mahu mengelak.

“Tak perlulah nak kaitkan hal ini. Saya tak mahu komen apa-apa,” jelasnya terselit nada berhati-hati.

Yusry di mata Lisa

Memanggil buah hatinya dengan panggilan Sayang, Lisa sebagaimana Yusry turut saling mengagumi cara layanan teman lelakinya itu.

Menyifatkan Yusry seorang yang merendah diri, kata Lisa, ia merupakan sesuatu yang berada di luar jangkaannya di awal perkenalan.

Selama ini Lisa melihat Yusry sebagai satu nama besar dalam industri di sebalik kejayaannya dalam membina empayar KRU.

“Tak pernah menyangka bahawa dia adalah lelaki yang akan saya kahwini. Dia cukup merendah diri dan tak suka menunjuk-nunjuk.

“Dia berjaya, tetapi dia tak pernah mengkritik orang lain selain bijak menangani apa-apa situasi. Itu adalah beberapa ciri Yusry yang menyebabkan saya tertawan padanya,” ujar Lisa yang cukup manja dengan Yusry.

Merasakan status dan usia bukan halangan utama untuk dia memilih Yusry, kata pelakon filem I’m Not Single ini, ia tidak perlu dijadikan satu isu oleh mana-mana pihak.

“Apa yang penting, kami mempunyai tujuan yang sama, sudah bersedia dan serius. Yang lain-lain serahkan sahaja pada Yang Maha Esa,” ujarnya.

Lisa sebak

Mengenali si cantik ini, pantang sedikit dicuit mengenai arwah bapanya, air matanya deras terjurai.

Lisa juga seperti wanita lain, menginginkan kehadiran lengkap ahli keluarga dalam setiap ketika apalagi untuk bersama-sama meraikan hari bahagianya.

Apabila mengenangkan hal itu, kongsi Lisa, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan rindunya pada arwah dan setiap kali memikirkannya, air matanya pasti akan tumpah.

“Semestinya saya mahukan arwah ada pada hari bahagia saya. Kalau ikutkan, semasa Yusry datang bersama keluarga membawa cincin tanda tempoh hari juga saya sudah cukup sedih.

“Dalam hati terdetik, alangkah baiknya jika arwah ada bersama menyaksikan detik indah saya.

“Malam itu, saya dan ibu menangis di atas katil mengenangkan dia,” katanya sambil mengesat air mata.

Bimbang solekan mampan di wajahnya rosak dek tangisan, Pancaindera mengaju pula pertanyaan mengenai impian perkahwinannya terutama dalam menggalas tugas sebagai isteri orang kelak.

Optimis bahawa dirinya bisa memikul tanggungjawab itu, kata Lisa, dia seperti mana wanita lain semestinya menginginkan yang terbaik dalam hubungan itu.

“Tanyalah mana-mana bakal pengantin, mereka tentunya mahukan kegembiraan, kebahagiaan dan restu semua pihak.

“Yang penting, kedua-dua kami mampu memastikan tanggungjawab itu dipikul dengan baik,” katanya.

Sempat mencuit Lisa, adakah dia sudah merasai debaran sebagai bakal pengantin, namun ini jawapan yang diberi.

“Saya dan Yusry rasa biasa sahaja. Mungkin sebab kami dah biasa menjadi tumpuan dalam keramaian, jadi gemuruh tu kurang sedikitlah.

“Tak tahulah kalau sudah dekat dengan tarikh majlis nanti,” katanya ketawa.

Sementara itu, sempat `merisik khabar’ dengan ibu Lisa, Siti Amirah Ahmad , sebagai seorang ibu, dia melahirkan rasa gembira mengenai jodoh dan hari bahagia anak perempuan seorangnya itu.

Bagaimanapun, sebagai ibu bakal pengantin perempuan, dia merasakan tidak manis untuk dirinya memberi kenyataan lanjut berbanding di pihak lelaki.

“Bukan apa, bimbang orang akan kata kita yang lebih-lebih. Lebih baik tunggu kenyataan daripada pihak lelaki dahulu. Itu lebih manis,” katanya.

Farid dan Diana kahwin tahun ni?


MASUK sahaja tahun baru, ramai sungguh yang dah buat perancangan macam-macam. Ada yang nak keluar dengan filem baru, ada yang nak tambah anak dan tak kurang juga yang nak menamatkan zaman bujang.

Syed pasti ramai orang memberikan tumpuan kepada perkahwinan Yusry KRU dan Lisa Surihani yang bakal berlangsung pada 23 Februari depan. Satu lagi pasangan yang orang nantikan adalah Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

Tapi ramai yang terlupa pada pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle. Mereka ni memang pasangan yang sangat rileks. Iyalah, jarang muncul berdua di khalayak ramai macam orang lain.

Kalau orang lain sibuk nak tayang pasangan masing-masing tapi Farid mahupun Diana lebih gemar buat hal sendiri. Itu yang membuatkan mereka nampak lebih eksklusif dan istimewa sebenarnya.

Baru-baru ini ada teman baik kepada pasangan ini menyampaikan cerita yang memang cukup mengejutkan. Cerita perihal mereka yang dah merancang nak menamatkan zaman bujang tahun ini.

“Sudah ada perbincangan yang dibuat oleh mereka berdua. Cuma masih belum ada kata putus sebab semuanya masih terlalu awal. Yang penting masing-masing dah bersedia nak jadi suami-isteri,” kata sumber ini lagi.

Kalau betul cerita yang disampaikan, baguslah. Kalau dah suka tu buat apa nak tunggu lama-lama. Lagi lama lagi banyak dugaan. Tak gitu?

Layak ke jadi mentor?


MINGGU lalu ada pengumuman khas tentang rancangan Mentor musim terbaru. Joyah memang tunggu sangat-sangat pengumuman tu sebab nak tahu siapa yang bakal jadi mentor dalam musim kali ini.

Antara nama-nama yang bakal memikul tugas sebagai mentor termasuklah Ella, Ramlah Ram, Ferhad, Faizal Tahir, Fauziah Ahmad Daud dan Adam.

Alamak macam mana nama Ogy boleh muncul. Itu yang membuatkan Joyah kaget sedikit sebab Joyah rasa Ogy bukanlah pure penyanyi. Bakat yang ada pada Ogy tu rasanya lebih layak kalau letak pada pencarian bakat lakonan.

Joyah tahu Ogy boleh menyanyi cuma pada pandangan mata Joyah macam tak kena sedikit. Tapi bila dah berpeluang jadi mentor, Ogy kena bukti dia mampu beri transformasi pada protege yang bakal dipilih nanti.

Joyah bukan tak puas hati dengan Ogy. Ha, jangan ada yang anggap Joyah iri hati. Joyah ulangi, Joyah hanya pelik kenapa tiba-tiba nama Ogy naik di kalangan mereka yang memang hard core menyanyi macam Ella dan Ramlah Ram.

Lagi satu nama Adam tu. Rasanya Adam belum layak nak jadi mentor sebenarnya kalau nak dibandingkan dengan orang lain. Apa pencapaian Adam sampai layak diangkat untuk jadi mentor?

Tapi kalau tak diberi peluang kita tak tahu apa natijahnya. Jadi Joyah terima senarai mentor-mentor dengan hati yang cukup terbuka. Apa yang lebih penting semua mentor ni perlu bukti yang mereka boleh.

Pernah terfikir bersara - Ning Baizura


DUNIA seni tanah air tidak pernah lekang dengan cerita-cerita kontroversi yang membabitkan artis tidak kira bidang lakonan atau seni suara.

Ada antara segelintir artis yang terpalit dengan kisah kontroversi tidak dapat bangkit semula menghidupkan karier seni mereka dan terus menukar bidang yang berbeza.

Tetapi ada juga individu yang benar-benar yakin dengan anugerah yang diberikan kepada mereka, terus-terusan berusaha untuk mengukuhkan semula nama di persada seni tempatan.

Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi wanita bersuara soprano iaitu Ning Baizura yang mula dikenali ramai menerusi lagu Curiga melalui album pertamanya, Dekat Padamu.

Penyanyi yang memulakan karier seni ketika berumur 16 tahun ini juga pernah melalui zaman kejatuhan yang menyebabkan dia terfikir untuk berhenti daripada meneruskan karier nyanyian pada suatu ketika.

"Pelbagai dugaan yang saya hadapi tatkala menjadi anak seni dari awal penglibatan sehingga kini, banyak kenangan manis dan juga pahit yang telah mematangkan saya.

"Antara dugaan terberat yang saya hadapi adalah beberapa kisah kontroversi membabitkan saya antaranya ditipu oleh pihak yang sangat saya percayai ketika itu.

"Mungkin juga ia terjadi kerana saya seorang yang mudah memberikan kepercayaan kepada orang lain. Kesempatan itu digunakan oleh mereka untuk keuntungan peribadi," katanya yang ditemui sewaktu menghadiri program Jom Chat Bersama di Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ning yang ditemani oleh suami merangkap pengurusnya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton menambah, perkara tersebut terjadi beberapa kali kepadanya dan ia menambahkan lagi tekanan yang dihadapi.

"Selepas perkara itu terjadi, saya berasa tertekan dan terpaksa berlakon dihadapan rakan-rakan media dan peminat.

"Waktu itu memang zaman kejatuhan di mana saya juga berhutang keliling pinggang. Ketika itulah timbul perasaan untuk berhenti daripada bidang ini.

"Tetapi syukurlah dengan sokongan yang diberikan oleh ibu dan teman-teman rapat selain peminat, saya yakin dengan bakat yang telah dianugerahkan ini. Saya berusaha untuk bangkit kembali mencipta nama dalam industri seni tempatan," tambahnya yang juga pernah bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan.

Penyanyi yang baru sahaja selesai mengadakan konsert Ning @ KL Live pada 2 Disember lalu berterima kasih kepada peminat yang masih setia memberikan sokongan tidak terhingga kepadanya.

"Saya benar-benar terharu dengan kehadiran peminat pada malam itu yang ada antaranya saya kenali setelah bertahun-tahun menjadi anak seni.

"Saya dapat melihat mereka datang membawa ahli keluarga dan menceritakan bahawa lagu-lagu saya telah memainkan peranan dalam hidup mereka secara tidak langsung.

"Perkara seperti inilah yang membuatkan saya terus bertahan dalam industri ini kerana perasaan dihargai oleh peminat itu memang tidak dapat ditukar ganti," jelasnya yang berniat untuk membukukan perjalanan kisah hidupnya suatu hari nanti.

Pernah terfikir bersara - Ning Baizura

DUNIA seni tanah air tidak pernah lekang dengan cerita-cerita kontroversi yang membabitkan artis tidak kira bidang lakonan atau seni suara.

Ada antara segelintir artis yang terpalit dengan kisah kontroversi tidak dapat bangkit semula menghidupkan karier seni mereka dan terus menukar bidang yang berbeza.

Tetapi ada juga individu yang benar-benar yakin dengan anugerah yang diberikan kepada mereka, terus-terusan berusaha untuk mengukuhkan semula nama di persada seni tempatan.

Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi wanita bersuara soprano iaitu Ning Baizura yang mula dikenali ramai menerusi lagu Curiga melalui album pertamanya, Dekat Padamu.

Penyanyi yang memulakan karier seni ketika berumur 16 tahun ini juga pernah melalui zaman kejatuhan yang menyebabkan dia terfikir untuk berhenti daripada meneruskan karier nyanyian pada suatu ketika.

"Pelbagai dugaan yang saya hadapi tatkala menjadi anak seni dari awal penglibatan sehingga kini, banyak kenangan manis dan juga pahit yang telah mematangkan saya.

"Antara dugaan terberat yang saya hadapi adalah beberapa kisah kontroversi membabitkan saya antaranya ditipu oleh pihak yang sangat saya percayai ketika itu.

"Mungkin juga ia terjadi kerana saya seorang yang mudah memberikan kepercayaan kepada orang lain. Kesempatan itu digunakan oleh mereka untuk keuntungan peribadi," katanya yang ditemui sewaktu menghadiri program Jom Chat Bersama di Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ning yang ditemani oleh suami merangkap pengurusnya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton menambah, perkara tersebut terjadi beberapa kali kepadanya dan ia menambahkan lagi tekanan yang dihadapi.

"Selepas perkara itu terjadi, saya berasa tertekan dan terpaksa berlakon dihadapan rakan-rakan media dan peminat.

"Waktu itu memang zaman kejatuhan di mana saya juga berhutang keliling pinggang. Ketika itulah timbul perasaan untuk berhenti daripada bidang ini.

"Tetapi syukurlah dengan sokongan yang diberikan oleh ibu dan teman-teman rapat selain peminat, saya yakin dengan bakat yang telah dianugerahkan ini. Saya berusaha untuk bangkit kembali mencipta nama dalam industri seni tempatan," tambahnya yang juga pernah bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan.

Penyanyi yang baru sahaja selesai mengadakan konsert Ning @ KL Live pada 2 Disember lalu berterima kasih kepada peminat yang masih setia memberikan sokongan tidak terhingga kepadanya.

"Saya benar-benar terharu dengan kehadiran peminat pada malam itu yang ada antaranya saya kenali setelah bertahun-tahun menjadi anak seni.

"Saya dapat melihat mereka datang membawa ahli keluarga dan menceritakan bahawa lagu-lagu saya telah memainkan peranan dalam hidup mereka secara tidak langsung.

"Perkara seperti inilah yang membuatkan saya terus bertahan dalam industri ini kerana perasaan dihargai oleh peminat itu memang tidak dapat ditukar ganti," jelasnya yang berniat untuk membukukan perjalanan kisah hidupnya suatu hari nanti.

Jadi Duta 'Avon', Neelofa Terima Tawaran Berbaloi


PETALING JAYA: Pelakon jelita dan berbakat besar, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, mengakui telah menerima tawaran yang agak berbaloi untuk menjadi duta produk barangan kosmetik dan perhiasan wanita Avon dengan mengikat kontrak selama setahun.

Neelofa, 23, yang enggan mendedahkan jumlah kontraknya itu berkata, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mempromosikan produk tersebut dan gembira kerana meletakkan namanya sebaris dengan selebriti ternama lain yang pernah menjadi duta Avon sebelum ini seperti Wardina, Rozita Che Wan dan Fazura.

"Alhamdulillah, saya telah menandatangani kontrak pada bulan Disember lalu dan ia akan dilancarkan pada 18 Januari ini.

"Mereka juga menawarkan harga yang boleh dikira berbaloi, mengikut kesesuaian pencapaian saya sepanjang setahun bergelar selebriti. Ada juga saya tanya kenapa saya yang dipilih? Kata pihak Avon, mereka mahu saya membawa jenama Avon dengan cara yang tersendiri di samping melihat daripada aspek wajah komersial," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Tambah Neelofa, menerusi tanggungjawabnya sebagai duta barangan kosmetik Avon, pelakon itu ingin mengubah persepsi golongan remaja yang menganggap produk tersebut hanya digunakan untuk golongan dewasa sahaja.

"Saya enggan menjadi duta sesebuah produk tanpa sebarang hasil. Justeru, perkara pertama yang akan dilakukan ialah, menarik minat pembeli di kalangan remaja seperti saya.

"Mereka selalu menganggap Avon hanya untuk wanita matang tetapi sebenarnya tidak. Ia amat sesuai dengan wajah muda mereka.

"Dalam pada itu, saya juga mahu menggalakkan remaja mengenakan solekan setiap kali keluar rumah agar wajah mereka tidak kelihatan comot. Solekan nipis seperti mengenakan maskara dan pemerah pipi pun sudah memadai," ujarnya.

Pelakon ini juga menegaskan bahawa golongan muda tidak perlu memakai solekan yang tebal seperti yang dilihatnya pada masa kini kerana bimbang wajah mereka akan terjejas.

Sementara itu, Neelofa bersyukur, tahun 2012 bakal menemukan para penonton dengan hasil kerja lakonannya menerusi filem "Azura 2012"; "Lemak Kampung Santan"; "Taiko" dan "SAM".

Malah, kemunculan pertama Neelofa sebagai pengacara Nona yang disiarkan di TV3 pada Ahad menggembirakannya selepas menerima renspons positif daripada peminat-peminat program wanita tersebut.

"Saya gembira sangat apabila sebanyak 80 peratus orang memberikan respons yang baik. Diakui, banyak penambahbaikan yang perlu saya lakukan terutamanya tentang cara percakapan saya yang dikatakan agak laju.

"Kini, saya perlu menunggu reaksi peminat bagi filem "Azura 2012" pula. InsyaAllah, mereka akan menerima lakonan saya itu dengan baik," katanya yang bakal memulakan penggambaran drama arahan Erma Fatima, Dejavu Di Kinabalu tidak lama lagi.

Azlan (The Typewritter) Seronok Bergelar Ayah


PETALING JAYA: Penyanyi Azlan (The Typewritter) kini sudah bergelar ayah selepas isterinya, Normala Hassan,selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada pukul 9.03 malam, 28 Disember 2011.

Bayi sulung yang diberikan nama Laurra Lutfea itu dilahirkan secara normal di Hospital Lourdes, Sentul, dengan berat 2.8 kilogram.

Menurut Azlan, 29, atau Lan, sejak melihat 'keseksaan' isterinya melahirkan Lutfea, barulah dia sedar pengorbanan seorang ibu begitu besar nilainya.

"Saya bersyukur kerana isteri boleh bergerak dengan selesa selepas sembilan bulan mengandungkan anak perempuan kami. Cuma selepas sehari bersalin, dia sakit demam panas pula.

"Sepanjang empat hari bergelar bapa, perasaan seronok untuk menjaga Lutfea membuak-buak. Ini pun dah berapa malam saya tak cukup tidur," selorohnya yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Bagaimapun, tambah Lan, dia enggan Lutfea mengikut jejak langkahnya menjadi seorang penyanyi mahupun pelakon apabila dewasa kelak.

Ujar Lan lagi, dia ingin anaknya itu dididik supaya meminati profesion lain tetapi terpaksa akur jika kerjaya muzik nanti menjadi pilihannya.

"Saya harap, dengan latar belakang keluarga saya yang kuat agama, mereka dapat membantu saya dan isteri mendidik Lutfea.

"Saya percaya, personaliti, karakter dan minat seseorang itu datang daripada asuhan ibu bapa mereka sejak kecil. Semoga kami dapat membimbingnya ke arah yang betul, Insya-Allah," tegasnya.

Lan atau nama sebenarnya Norazlan Rosle dan Normala, 29, telah diijabkabulkan pada 2 Januari 2011 di Surau Al-Munir, Batu 14, Hulu Langat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails