Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pernah terfikir bersara - Ning Baizura

DUNIA seni tanah air tidak pernah lekang dengan cerita-cerita kontroversi yang membabitkan artis tidak kira bidang lakonan atau seni suara.

Ada antara segelintir artis yang terpalit dengan kisah kontroversi tidak dapat bangkit semula menghidupkan karier seni mereka dan terus menukar bidang yang berbeza.

Tetapi ada juga individu yang benar-benar yakin dengan anugerah yang diberikan kepada mereka, terus-terusan berusaha untuk mengukuhkan semula nama di persada seni tempatan.

Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi wanita bersuara soprano iaitu Ning Baizura yang mula dikenali ramai menerusi lagu Curiga melalui album pertamanya, Dekat Padamu.

Penyanyi yang memulakan karier seni ketika berumur 16 tahun ini juga pernah melalui zaman kejatuhan yang menyebabkan dia terfikir untuk berhenti daripada meneruskan karier nyanyian pada suatu ketika.

"Pelbagai dugaan yang saya hadapi tatkala menjadi anak seni dari awal penglibatan sehingga kini, banyak kenangan manis dan juga pahit yang telah mematangkan saya.

"Antara dugaan terberat yang saya hadapi adalah beberapa kisah kontroversi membabitkan saya antaranya ditipu oleh pihak yang sangat saya percayai ketika itu.

"Mungkin juga ia terjadi kerana saya seorang yang mudah memberikan kepercayaan kepada orang lain. Kesempatan itu digunakan oleh mereka untuk keuntungan peribadi," katanya yang ditemui sewaktu menghadiri program Jom Chat Bersama di Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ning yang ditemani oleh suami merangkap pengurusnya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton menambah, perkara tersebut terjadi beberapa kali kepadanya dan ia menambahkan lagi tekanan yang dihadapi.

"Selepas perkara itu terjadi, saya berasa tertekan dan terpaksa berlakon dihadapan rakan-rakan media dan peminat.

"Waktu itu memang zaman kejatuhan di mana saya juga berhutang keliling pinggang. Ketika itulah timbul perasaan untuk berhenti daripada bidang ini.

"Tetapi syukurlah dengan sokongan yang diberikan oleh ibu dan teman-teman rapat selain peminat, saya yakin dengan bakat yang telah dianugerahkan ini. Saya berusaha untuk bangkit kembali mencipta nama dalam industri seni tempatan," tambahnya yang juga pernah bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan.

Penyanyi yang baru sahaja selesai mengadakan konsert Ning @ KL Live pada 2 Disember lalu berterima kasih kepada peminat yang masih setia memberikan sokongan tidak terhingga kepadanya.

"Saya benar-benar terharu dengan kehadiran peminat pada malam itu yang ada antaranya saya kenali setelah bertahun-tahun menjadi anak seni.

"Saya dapat melihat mereka datang membawa ahli keluarga dan menceritakan bahawa lagu-lagu saya telah memainkan peranan dalam hidup mereka secara tidak langsung.

"Perkara seperti inilah yang membuatkan saya terus bertahan dalam industri ini kerana perasaan dihargai oleh peminat itu memang tidak dapat ditukar ganti," jelasnya yang berniat untuk membukukan perjalanan kisah hidupnya suatu hari nanti.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails