Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Skandal hidup mewah Zahida terbongkar
SEJAK Rabu lepas, namanya hangat menjadi bualan di laman-laman web serta portal hiburan tanah air. Itu semua gara-gara satu pembongkaran hubungan terlarang Zahida Rafik dengan seorang VIP.
Pembongkaran skandal yang didakwa dilimpahi kemewahan itu didedahkan oleh sekumpulan politik di lobi Parlimen baru-baru ini.
Memetik laporan blog-blog di Internet, Zahida, 37, didakwa meraih habuan besar hasil hubungan sulitnya bersama seorang kenamaan. Mereka didakwa berjumpa di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur, dan Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM200,000.
Wang itu bagaimanapun tidak dibayar terus ke tangan Zahida sebaliknya dibayar kepada pemandu yang juga pengawal peribadi Zahida. Lelaki berkenaan diupah oleh VIP tersebut sejak tiga tahun lalu.
Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM1.4 juta dalam Oktober 2011 hingga Januari lalu.
Kepada pemerhati dunia hiburan, skandal Zahida bersama seorang VIP bertaraf Datuk itu sebenarnya bukan berita baharu.
Ramai yang curiga terhadap gaya hidup Zahida yang dianggap tidak seiring pencapaian karier lakonannya.
Sudah bertahun kisah Zahida itu cuba dirisik, namun dia sering menjelaskan kemewahannya itu adalah hasil keuntungan perniagaan yang diusahakan bersama ahli keluarganya.
Ramai yang mula mengerutkan dahi apabila Zahida membuat laporan polis setelah pemandu peribadinya melarikan wang tunai miliknya sebanyak RM200,000 baru-baru ini.
Pada 3 Mac lalu, sebuah akhbar bukan terbitan Kumpulan Utusan pernah melaporkan Zahida membuat laporan polis setelah wang tunai RM200,000 miliknya dilarikan.
Zahida yang popular menerusi filem komedi Anak Mami The Movie menyerahkan wang tunai berkenaan kepada pemandu lelaki berusia 37 tahun itu untuk dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, namun sejak itu, suspek berkenaan gagal dihubungi serta dipercayai sudah melarikan diri.
Zahida kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin sendiri telah mengesahkan menerima laporan berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
"Sebelum ini sudah banyak kali dia (pemandu peribadinya) membantu saya dalam urusan memasukkan duit ke dalam akaun bagi urusan kerja, tapi tidaklah jumlah yang besar sebegini.
"Kebiasaannya saya akan turut sama pergi dan dia hanya menemani. Namun, kali ini saya benar-benar tidak sempat kerana ibu sakit dan saya agak kelam-kabut di rumah bagi menguruskan beberapa perkara," kata Zahida seperti yang dilaporkan.
Pemandu itu turut membuat laporan balas sebagai persediaan berdepan tuduhan Zahida. Menurut sumber, pemandu itu kemudian bertemu seorang peguam tanpa mengetahui latar belakang peguam berkenaan yang sebenarya ada kepentingan untuk menjatuhkan nama majikannya yang berstatus VIP.
Kosmo! menghubungi Zahida untuk mendapatkan ulasan daripadanya tetapi dia memilih untuk berdiam diri.
Ruangan Diva pada 18 Mac sebelum ini pernah menulis gosip berhubung kehidupan mewah yang diraih seorang artis tempatan sehingga mencecah ratusan ribu setiap kali mereka bertemu bagaimanapun tiada nama dikaitkan dalam artikel berkenaan.
Anzalna Sudah Berani Terima Watak Penting
PETALING JAYA: Pelakon baru Anzalna Nasir berkata dia semakin berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama televisyen dan filem selepas hampir setahun bergelar pelakon.
Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Nasir, 24, berkata kepercayaan penggiat industri dan rakan-rakan artis terhadap potensi bakatnya mengukuhkan kepercayaan untuknya menyahut cabaran itu.
“Saya mula berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama dan filem pada tahun ini.
“Sebelum ini, saya tidak yakin dan belum bersedia tetapi beberapa penerbit dan pengarah sering memberikan peluang itu,” akuinya ketika dihubungi mStar Online, baru-baru ini.
Bekas finalis pertandingan Dewi Remaja 2010 ini menambah, dia yang kini mula menerima tawaran watak utama dalam beberapa produksi drama dan filem melihat perkembangan itu sebagai satu platform yang baik untuk perkembangan kerjayanya.
“Atas kepercayaan dan sokongan tersebut, saya perlu mencabar diri untuk menggalas watak utama dalam sesebuah drama atau filem yang ditawarkan.
“Baru-baru ini, saya ditawarkan watak utama untuk drama Marhabah untuk TV3, Adam & Hawa (Astro) dan bakal terlibat dalam filem Dr K Kahwin Lima (KRU Studios),” katanya.
Ketika ditanya mengenai publisiti yang berkurangan sejak kebelakangan ini, Anzalna berkata dia semakin aktif dihujani pelbagai tawaran dan tidak berkesempatan untuk berkongsi perkembangannya dengan pihak media.
“Saya masih aktif berlakon. Memang saya akui agak menyepi kebelakangan ini kerana kesibukan saya di lokasi penggambaran.
“Lagi pun, tiada apa yang panas atau sensasi untuk diperkatakan kerana tiada kontroversi mengenai saya pun,” katanya.
Awal & Scha Kongsi Persiapan Nikah Bersama Peminat
PETALING JAYA: Pengacara Awal Ashaari menganggap persiapan untuk majlis perkahwinannya dengan Scha Al-Yahya memberi makna yang besar kerana ia dapat dikongsi dengan para peminat menerusi sebuah program khas terbitan Astro iaitu Seia Sekata.
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari,31, berkata, program selama enam episod itu memaparkan detik manis beliau bersama bakal isteri melakukan persiapan sehingga pada hari pernikahan.
“Dalam program itu peminat akan dapat melihat aktiviti kami membeli barang-barang keperluan untuk kahwin, mencuba pakaian pengantin, beli cincin kahwin dan banyak lagi,” katanya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.
Awal dan Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, akan bernikah pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya.
Program Seia Sekata disiarkan selama setengah jam pada setiap hari Jumaat, pukul 9.30 malam bermula 13 April lalu menerusi saluran Astro Ria.
Pihak Astro Ria juga akan turut mengadakan siaran langsung untuk upacara akad nikah pada 4 Mei kira-kira pukul 9.30 malam.
Awal berkata, menariknya dalam program tersebut, penonton akan dapat menyaksikan bagaimana dia dan Scha mencuba makanan perkahwinan mereka yang diadakan di atas kapal, di Tasik Putrajaya.
Katanya, pada aktiviti itu, keluarga pihak lelaki dan perempuan juga turut serta yang mana suasana itu dapat merapatkan lagi hubungan keluarga berkenaan.
Dalam pada itu Awal memberitahu ketika majlis perkahwinannya semakin hampir, jiwanya juga menjadi semakin stres tetapi segala masalah itu dapat diatasi dengan sebaik mungkin.
Maya Karin Sudah Bersedia Untuk Bercinta
PETALING JAYA: Pelakon jelita Maya Karin menjelaskan dia sudah bersedia untuk kembali menjalinkan hubungan cinta selepas bercerai dengan Muhammad Ali Abdullah pada 2010.
Maya berkata, dia berharap dapat bertemu dengan seorang lelaki yang mempunyai keyakinan diri dan tidak takut kepada cabaran.
"Saya sudah bersedia untuk mencari jodoh selepas kegagalan rumah tangga dulu tapi orang mungkin takut untuk mendekati saya kerana status selebriti yang ada pada diri saya.
"Bagaimanapun saya berharap lelaki itu nanti tidak hanya melihat sisi saya sebagai seorang pelakon kerana saya juga adalah wanita biasa," ujarnya kepada akhbar The Star, Sabtu
Dalam pada itu, Maya berkata, kejayaan Ombak Rindu yang berjaya mengutip hampir RM11 juta bukan sahaja telah mengubah kerjaya lakonannya malah dirinya sendiri.
Kata Maya, watak sebagai Izzah seorang gadis kampung yang polos dijadikan inspirasi kepadanya dalam menjadi seorang yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
"Saya cuba mengekalkan sebanyak mungkin kualiti pada watak Izzah seperti kesabaran, tenang, sikap positif apabila timbul masalah dan sebagainya.
Bercakap mengenai perkembangan terbaru Maya berkata, dia bakal bekerjasama dengan Datin Paduka Shuhaimi Baba dan pengarah filem Ombak Rindu, Osman Ali untuk filem terbarunya.
Bagaimanapun kata Maya, akibat kekangan masa banyak karya yang bagus terpaksa ditolak buat masa ini dan dia menganggap bukan rezeki buatnya
"Saya sangat sibuk dengan beberapa projek yang telah diterima sebelum ini malah pada hari cuti pun saya perlu memenuhi undangan sesi penggambaran bersama media.
"Masa lapang saya pun dikorbankan untuk bersama keluarga dan rakan-rakan itu pun masih terkejar-kejar dengan pelbagai perkara," ujar Maya.
Rita Rudaini Bakal Tuntut Tunggakan Nafkah
PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini bakal membuat tuntutan tunggakan nafkah terhadap suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak yang dianggarkan berjumlah ratusan ribu ringgit.
Laporan Utusan Malaysia pada Sabtu menyebut, Rita akan membuat tuntutan untuk kesemua nafkah tertunggak selama empat tahun yang sebelum ini diabaikan oleh Aidil.
Tuntutan itu termasuklah nafkah sara hidup bagi dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna , 1.
"Sepanjang pernikahan, Rita lebih banyak menanggung keluarga, Aidil hanya sekali sekala sahaja mengeluarkan belanja buat anak-anak dan isteri," katanya.
Dalam sebutan kes perceraiannya di Mahkamah Syariah Petaling Jaya yang akan berlangsung pada 30 April ini, pelakon itu dikatakan bakal membuat tuntutan balas tersebut terhadap pemain bolasepak kebangsaan itu.
Pelakon jelita berusia 36 tahun itu sedang berhadapan dengan tuntutan perceraian daripada Aidil, 25.
Ada Sebab Johan (Raja Lawak) Tolak Tawaran Berlakon
PETALING JAYA: Penyampai radio Era FM, Johan (Raja Lawak) menjelaskan terpaksa menolak tawaran berlakon drama dan filem kerana kesuntukan masa selain mahu memberi tumpuan kepada keluarga.
Johan berkata, dia bukannya sombong ataupun memilih tetapi bimbang tidak dapat melunaskan semua tanggungjawab terhadap tawaran yang diberikan.
"Alhamdulillahlah tawaran berlakon yang datang memang banyak tetapi kekangan masa sebagai penyampai radio telah membuatkan saya terpaksa menolak kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen.
"Tambahan pula saya tidak mahu tamak dengan mengejar semua benda yang akhirnya akan memakan diri sendiri," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Johan, jika pihak produksi boleh bertoleransi dengan jadualnya di Era FM dia sedia untuk memberikan komitmen kepada mereka.
"Saya perlu berada di studio seawal pukul empat pagi dan jika pihak produksi boleh melepaskan saya dari lokasi pada 10 malam, saya mungkin akan lakukan kerana sekurang-kurangnya saya dapat berehat sebelum bertugas di radio," katanya.
Dalam pada itu, Johan memberitahu, waktu lapang yang dimilikinya digunakan sebaik mungkin untuk dihabiskan bersama keluarga.
Dia juga tidak mahu terlalu memikirkan soal kerja kerana merasakan keluarga adalah aset paling penting buat dirinya.
"Mungkin sebelum kahwin matlamat saya berbeza tetapi selepas mendirikan rumah tangga ia berubah. Orang yang sudah kahwin mungkin akan faham apa yang saya ingin katakan.
"Saya tidak mahu terlepas detik-detik indah bersama keluarga kerana terlalu sibuk mengejar wang ringgit," katanya.
Dalam perkembangan lain, Johan bakal muncul dengan program bual bicaranya sendiri berjudul Acaner Tu Johan? di Astro Warna.
Menerusi program itu Johan akan bergandingan dengan Didie Alias.
Kematian Bob Kuman Palsu, Bob Masih Sihat - Rakan Baik
KUALA LUMPUR: Khabar angin mengenai kematian pelakon dan pelawak, Bob Kuman atau Husni Mohd Rawi, 41, yang disebarkan melalui beberapa laman sosial pada Sabtu disahkan palsu.
Rakan baiknya, Mohd Razali Harun, 39, berkata Bob Kuman masih sihat dan kini berada di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara.
"Saya amat kesal dengan penyebaran khabar angin seperti ini dan sedih kerana perkara sebegini terjadi kepada Bob.
"Saya berada di sisi beliau ketika mendapat tahu mengenai khabar angin tersebut dan ingin saya jelaskan di sini bahawa Bob sihat walaupun dibantu alat pernafasan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya tahap kesihatan Bob kini sentiasa dipantau oleh pembantu perubatan di rumahnya.
Seorang rakan artis, Richie Rachman ketika dihubungi berkata, perbuatan menyebarkan berita palsu seperti ini merupakan satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.
"Soal hidup dan mati memang tidak boleh dibuat main-main tidak kira sama ada artis ataupun orang biasa dan perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku," katanya. - BERNAMA
Zizan Razak Enggan Masuk Campur Masalah Dira
PETALING JAYA: Pelawak dan pengacara, Zizan Razak atau Zizan (Raja Lawak) enggan mencampuri urusan peribadi rakan pengacaranya dalam rancangan Melodi iaitu Dira Abu Zahar yang didakwa memukul seorang wanita di dalam sebuah kelab baru-baru ini.
Zizan berkata, dia menganggap isu itu adalah sensitif dan sebagai orang luar, dia tidak berhak mencampuri urusan tersebut.
"Sejujurnya satu-satunya individu yang berhak bercakap mengenai perkara ini adalah Dira sendiri kerana dia lebih mengetahui. Tambahan pula isu ini sangat sensitif dan kesahihan cerita tersebut belum tentu benar.
"Jadi adalah lebih baik saya tidak mencampuri urusan orang lain kerana takut ia akan menimbulkan masalah," ujarnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Zizan juga enggan mengulas mengenai kehilangan Dira daripada program itu yang telah menimbulkan tanda tanya peminat setia rancangan hiburan tersebut.
"Baik pihak produksi mahupun Dira saya memang tidak pernah bertanya mengenai kehilangannya daripada program itu kerana tidak mahu masuk campur.
"Apabila penerbit memberitahu saya akan digandingkan dengan orang berbeza, saya anggap Dira mempunyai komitmen lain," ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai keserasiannya bersama Awal Ashaari yang menggantikan Dira, Zizan memberitahu dia senang bekerja dengan pengacara itu.
Ujar Zizan, dia tidak pasti sama ada Awal akan terus kekal mengacarakan program itu bersamanya atau pun hanya untuk sementara.
Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, dia ingin terlibat secara serius dalam dunia lakonan dengan membawa pelbagai watak dan tidak hanya tertumpu kepada genre komedi sahaja.
Zaibo Lalui Pengalaman Terguris Dengan Anak Tiri
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zaibo menjelaskan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang baru dua tahun mendirikan rumah tangga bukannya mudah apatah lagi dia mempunyai sembilan orang anak tiri.
Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 56, berkata, kadang-kala perasaan terguris dengan sikap anak-anak yang masih belum matang itu wujud tetapi ia harus dibuang agar seorang bapa itu tidak berperangai seperti budak-budak.
“Saya mengaku, di awal perkahwinan, saya agak sukar untuk berhadapan dengan keletah anak-anak tiri yang masih kecil kerana saya tiada pengalaman mempunyai anak sebelum ini. Anak-anak yang dah dewasa tiada masalah kerana mereka pandai membawa diri dan ada pula yang sudah berkahwin
“Tetapi syukurlah saya mempunyai isteri yang banyak membantu serta mengajar saya bagaimana untuk mengendalikan anak-anak berdasarkan kepada pengalaman yang dia lalui,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.
Zaibo menamatkan zaman bujangnya dengan ibu tunggal beranak sembilan iaitu Siti Hawa Shawal,47, pada 3 Disember 2010.
Hubungan mereka sebagai sahabat yang terjalin selama 15 tahun itu bertukar sebaliknya apabila kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Siti Hawa mempunyai anak berusia di antara empat hingga 26 tahun hasil perkahwinan terdahulu.
Zaibo berkata, daripada sembilan orang anak tirinya, lima di antara mereka sudah bekerja dan masih belajar di pusat pengajian tinggi sementara empat yang lain masih bersekolah.
Katanya, sikap anak-anak yang sentiasa perlu diberi nasihat adalah satu perkara biasa tetapi ia sebenarnya agak baru dalam dirinya apabila bergelar “bapa segera”.
Zaibo menambah dia bertuah kerana telah mengenali keluarga isterinya sejak sekian lama dan perkara itu adalah kelebihan untuk dia mendekati anak-anak dengan lebih rapat.
“Saya gembira dalam masa empat bulan selepas kahwin, hubungan saya dengan anak-anak tiri saya menjadi rapat terutama sekali empat orang anak yang berusia dari empat hingga 11 tahun,” katanya.
Dalam perkembangan lain menurut Ziabo, pada masa ini dia banyak menghabiskan masa dengan tinggal di rumah isterinya di Rengit, Batu Pahat, Johor dan akan pulang ke Kuala Lumpur sekiranya terdapat tawaran berlakon.
Selain belajar hidup cara orang kampung, Zaibo turut bercampur dengan masyarakat di kampung berkenaan selain mengambil serta menghantar anak-anak ke sekolah pada setiap hari.
“Suasana selepas berkahwin amat berbeza. Percaya atau tidak, saya dan isteri akan bergilir-gilir buat kerja dapur. Selepas pergi ke pasar, kadang-kadang saya yang masak. Kalau saya penat, dia pula yang sibuk di dapur. Menarik sangat pengalaman kami ini,” katanya.
Aida (Gadis Melayu) Tidak Anggap Penyakit Jantung Anak Sebagai Beban
PETALING JAYA: Bekas juara rancangan Gadis Melayu, Aida, 26, mengakui agak tertekan dengan masalah penyakit anak sulungnya, Aida Eirdeena Mohd Saiful Nizam, 10 bulan, yang mengalami Truncus Arteriosus Type 1 (jantung kongenital) sejak dilahirkan.
Aida atau nama sebenarnya Khairul Noormaaidah Zali berkata, tekanan itu menjadi semakin kurang apabila dia menganggap perkara itu adalah ujian daripada Tuhan selain bersyukur anaknya semakin pulih sejak menjalani pembedahan pada tahun lalu.
"Tipulah kalau saya tak rasa sedih dan tertekan, namun saya tidak anggap pun penyakit Eirdeena sebagai satu bebanan. Sebaliknya, saya reda dengan ujian.
"Sepatutnya saya perlu lebih bersyukur sekurang-kurangnya Eirdeena ada potensi untuk sembuh jika nak dibandingkan dengan kes-kes kanak-kanak yang mempunyai penyakit yang tidak dapat diubati langsung.
"Saya dan suami (Mohd, Saiful Nizam Ismail) juga bersyukur kerana kami masih lagi mampu untuk menanggung kos perubatan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Tambah Aida, walaupun berjaya menjalani pembedahan tersebut, penyakit berkenaan tidak akan sembuh seratus peratus.
"Eirdeena mungkin akan dibedah pada masa akan datang bergantung kepada aliran darah ke paru-paru yang menggunakan tisu homograf semasa pembedahan sebelum ini.
"Apa-apa pun, saya akan memastikan dia diberi ubat mengikut masa yang ditetapkan dan saya mengambil langkah mencari maklumat mengenai penyakit anak saya ini, sekiranya berlaku apa-apa kepadanya. Saya dan suami juga mencuba kaedah perubatan tradisional," ujarnya.
Dalam perkembangan Aida turut menjalankan perniagaan tudung di bawah jenamanya sendiri iaitu CitrAida yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dekat sini yang beroperasi sejak sebulan lalu.
Aida memberitahu dia menjual pelbagai jenis tudung seperti tudung ekspres, tudung Syria, pelbagai jenis selendang dan juga tudung bawal.
Katanya, kebanyakan tudung berkenaan diimport dari China, Indonesia dan Turki yang dijual dengan harga dari RM20 hingga RM100.
"Alhamdulillah apabila memiliki perniagaan sendiri ia lebih memudahkan untuk saya menguruskan masa," ujarnya.
Untuk melihat koleksi tudung yang dijual oleh Aida boleh lawat Facebook miliknya menerusi akaun CitrAida.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
