Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Kunci bahagia Ella, Azhar
JODOH itu rahsia Allah SWT, begitu ungkapan yang keluar daripada mulut pasangan pengantin Ella atau Norzila Aminuddin dan Azhar Ghazali pada majlis resepsi mereka, di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor (KDE),
1 Disember lalu.
Ungkapan tersebut keluar daripada mulut mereka apabila membicarakan tentang pelayaran cinta yang ditempuh bertahun lamanya sehingga ia diakhiri dengan ikatan perkahwinan.
Seperti kata Azhar, dia sendiri tidak menyangka, perkenalan sembilan tahun lalu dengan penyanyi legenda rock tanah air tersebut akan menukar status dirinya daripada seorang peminat kepada suami buat Ella.
Ella sendiri sepanjang perjalanan hidupnya, bukan seorang dua lelaki yang pernah dikenali, namun akhirnya tanpa disedari hatinya terpaut kepada juruterbang penerbangan tambang murah, Firefly tersebut.
Sebab itu mereka sepakat mengatakan bahawa jodoh merupakan rahsia Allah SWT.
“Niat yang baik, sentiasa berakhir dengan positif,” tambah Azhar lagi dengan tutur kata yang teratur dan sopan.
Kini, selepas melewati usia lima bulan menjadi pasangan suami isteri setelah bernikah pada 7 Julai lalu, Ella dan Azhar mengaku kehidupan mereka cukup bahagia.
“Alhamdulillah, kami sedang menikmati kehidupan yang bahagia. Sebenarnya, perjalanan rumah tangga kami sama sahaja dengan perjalanan rumah tangga pasangan lain, tiada apa yang berbeza,” dedah Ella pula.
Azhar kemudian menyambung, biar mereka mempunyai jadual kerja yang selalu bertembung, namun sebolehnya dia akan mencuri masa untuk dihabiskan dengan isteri tercinta. Jika punya waktu emas untuk dihabiskan bersama, pasangan tersebut akan melakukan aktiviti luar seperti berkelah di air terjun dan bersenam bersama.
“Oh, baru-baru ini, Azhar juga ajar saya cara memandu kapal terbang,” ujar Ella penuh teruja sebelum secara berseloroh, Azhar memberitahu: “Kalau saya sakit, dia boleh ganti memandu.”
Kebahagiaan mereka juga terlihat jelas apabila Ella yang duduk di sebelah Azhar memegang erat tangan suaminya itu selain memberi peluang Azhar menjawab persoalan media.
Sering kali penyanyi tersebut bercanda dalam banyak bicara dengan media, termasuk saat dilontar persoalan, sudahkah dia mula memasak untuk suaminya itu.
“Macam mana nak masak, kalau setiap kali mahu memasak, dia akan peluk saya dari belakang,” jawab Ella manja sambil diiringi tawa daripada semua tetamu yang mendengar jawapan jujur penyanyi kelahiran Klang, Selangor tersebut.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1204&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2ELxKm3nS
Hakcipta terpelihara
Sementara itu, melontarkan persoalan kepada Azhar tentang perubahan hidupnya kini yang menjadi suami kepada penyanyi popular, akui lelaki berusia 32 tahun tersebut, dia mula dikenali banyak orang. Namun, hal tersebut langsung tidak mengganggu kehidupannya.
“Ya, sudah ramai orang yang semakin mengenali saya sebagai suami Ella, tetapi ia tidak mengubah corak hidup saya. Sepanjang tempoh lima bulan menikahi Ella dan semakin dikenali ramai, saya hanya menjadi diri sendiri yang sebenar dan membawa diri saya sebaik mungkin pada mata khalayak. Saya senang begini,” ujar Azhar.
Tambahnya lagi, asuhan dan didikan daripada keluarga dan pergaulannya sehari-hari juga banyak membantu dia dalam berhadapan dengan situasi baharu apabila menerima tempias populariti isterinya yang menjadi pujaan ramai.
Ella kemudian menambah, dia cukup senang dengan perwatakan suaminya yang tidak berubah dan menjadi diri sendiri. Paling membahagiakannya apabila Azhar tidak cepat melenting dengan hal-hal remeh yang selalu menjadi permainan dunia hiburan.
Kata penyanyi berusia 47 tahun itu: “Suami saya seorang yang tenang dalam apa situasi pun, tidak cepat melatah dan seorang yang rasional terhadap apa sahaja perkara. Sebab itu saya sangat bersyukur kerana dinikahi oleh lelaki yang amat memahami diri dan karier saya.”
Reda
Menjadi sesuatu perkara yang klise, sebaik berumah tangga, soalan wajib yang akan ditanya kepada pasangan pengantin baharu adalah tentang zuriat.
Mengambil tanggungjawab menjawab persoalan tersebut, Azhar memberitahu, mereka tidak mempunyai perancangan keluarga, sebaliknya menyerahkan soal rezeki tersebut kepada Allah SWT.
“Kami berusaha untuk memperoleh anak, tetapi segalanya bergantung kepada keizinan Dia. Jika diperkenan, Alhamdulillah, jika tidak, kami reda,” ujar Azhar penuh sopan.
Malah Ella yang diajukan persoalan sama ada dia cemburu atau tidak kepada pelakon Diana Danielle yang baru sebulan dinikahi Farid Kamil sudah hamil, dia pantas menggelengkan kepala sambil menjawab tidak perlu berasa cemburu.
Katanya: “Saya tak cemburu, tapi mahu ucap tahniah buat mereka berdua. Insya-Allah, kalau ada rezeki buat kami timang cahaya mata, pasti ada nanti.”
Umrah
Umpama satu tradisi bagi setiap pasangan pengantin baharu, agenda berbulan madu menjadi ritual wajib untuk mereka meraikan kemenangan cinta yang disimpul dengan ikatan sah.
Tidak terlepas bagi Ella dan Azhar. Mengaku sudah beberapa kali berbulan madu di dalam negeri dan pulau-pulau kegemaran mereka, namun ada sebuah destinasi yang menjadi misi mereka untuk dijejaki pada tahun hadapan.
Mereka mahu menikmati manis dan mencari berkat ikatan rumah tangga dengan berbulan madu ke Madinah dan Mekah dalam rangka menunaikan umrah bersama-sama.
“Sebelum mahu ke negara lain untuk berbulan madu, kami ingin melaksanakan impian untuk menziarah Madinah dan Mekah dulu. Kami mahu menunaikan umrah buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri. Bagaimanapun kami belum mempunyai ketetapan waktu untuk menunaikan umrah,” ujar Azhar.
Asmidar tak guna botox
JUARA program realiti nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad semakin mendapat perhatian ramai sejak kebelakangan ini.
Bukan saja kualiti vokalnya yang dilihat bercambah cemerlang bahkan juga, personaliti dan fizikalnya yang berbeza berbanding mula-mula melangkah ke alam hiburan.
Bertemu dengannya baru-baru ini, Asmidar mengakui perubahan dirinya dari segi fizikal adalah perlu demi tuntutan kerja.
Dalam pada itu, dia turut menafikan membuat sebarang suntikan suplemen tambahan, antaranya botox atau kolagen pada wajahnya memandangkan timbul dakwaan bahawa pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang itu mendapatkan rawatan alternatif tersebut.
“Mana ada saya ambil suntikan kecantikan seperti botox. Pada saya, biarlah wajah berubah secara semula jadi. Bagaimanapun, saya mengaku ada menggunakan sebuah produk kecantikan sebulan lepas yang saya rasa sesuai dengan saya dan efektif.
“Selain itu biasanya saya berjoging dan bersenam beberapa kali seminggu untuk mengekalkan stamina dan menurunkan berat badan.
“Saya juga tidak pernah mengamalkan diet yang ekstrem sampai tak makan sebab saya menghidap penyakit gastrik. Saya akan makan, cuma ia diambil dalam kuantiti berpatutan,” ujarnya yang kini telah susut berat badan daripada 63 kilogram kepada 58 kilogram.
Album
Menegaskan dia perlu berusaha untuk menampakkan personaliti dirinya sebagai seorang selebriti, Asmidar juga berdepan tekanan dari segi penampilan.
“Saya ingin kelihatan elok pada mata orang ramai, terutama peminat yang selama ini sentiasa menyokong karier saya. Kadang-kadang terfikir sampai bila saya nak kekal macam dahulu?
“Maka, disebabkan itu saya mengambil inisiatif untuk mencari kesempurnaan diri. Tekanan memang ada sebab orang akan melihat saya, langkah terbaik adalah memperbaiki diri saya dan berusaha untuk kekal sihat,” katanya yang turut mendapat tunjuk ajar daripada segi berpakaian daripada bapa saudaranya yang juga seorang jurusolek selebriti, Tiar Zainal.
Dalam perkembangan lain, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu sedang bertungkus-lumus menyiapkan album pertamanya.
Kata Asmidar, dia baru selesai merakamkan tiga buah lagu untuk album pertamanya yang dijangka keluar sekitar bulan ini.
“Kini saya dalam proses keluar masuk studio untuk menyiapkan rakaman lagu album pertama saya yang tidak lama lagi akan dilancarkan. Album itu akan mengandungi tujuh buah lagu termasuk lagu hit Biar Sampai Ke Bintang dan konsep album itu adalah pop dengan sedikit elemen rock,” jelasnya.
Irama Malaysia
Antara komposer yang terlibat untuk penghasilan album tersebut ialah Audi Mok, Taja, Acap, Awi Rafael dan Ana Raffali.
Ditanya mengenai minatnya dalam lagu bergenre irama Malaysia, Asmidar menegaskan dia belum berhajat untuk menyelitkan lagu-lagu daripada genre itu dalam album pertamanya.
“Lagu irama Malaysia adalah akar saya dan dari situ, saya bermula sebagai seorang penyanyi, cuma buat masa sekarang saya akan memfokuskan lagu balada terlebih dulu. Apabila sudah betul-betul terkenal, Insya-Allah saya akan mengetengahkan lagu-lagu sedemikian terutama lagu-lagu asli,” katanya yang mempunyai dua buah band sendiri yang diberi nama Suhu dan Moustache.
Sementara itu, Asmidar juga menyuarakan hasratnya untuk berlakon. Ujarnya, dia ingin mencabar keupayaan dirinya selain menyanyi.
Nabil cari rezeki lebih untuk anak
DEMI anak, Nabil terpaksa membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama stesen radio Suria FM biarpun sudah menerima tawaran daripada stesen radio itu sejak bulan Oktober yang lalu.
Menerima tawaran ‘lebat’ untuk membuat program televisyen daripada dua stesen iaitu Astro dan TV3, akui Nabil, dia tidak mampu untuk melakukan kedua-dua kerja serentak dan akhirnya melepaskan tugasnya sebagai penyampai radio. Dia memilih untuk memberi fokus kepada bidang lakonan dan pengacaraan bermula tahun depan.
Jelas Nabil, dengan keputusan yang dibuatnya itu, dia juga dapat meluangkan banyak masa untuk puterinya, Naira Mikayla selain keinginannya untuk lebih kerap muncul di kaca TV.
Kepada Kosmo! Nabil berkongsi pengalamannya sebagai bapa dan bercerita mengenai kerjayanya.
Bagaimanakah pengalaman pertama kali menjadi bapa?
Sangat teruja dan ia merupakan pengalaman baharu bagi saya. Sekarang, waktu sedang bekerja, saya ada perasaan mahu cepat balik ke rumah untuk jumpa dengan dia (Naira Mikayla). Bila mahu keluar kerja rasa berat hati sangat untuk tinggalkan dia.
Sudah mula melakukan tugas sebagai seorang bapa?
Sejak anak kami lahir beberapa minggu lalu, saya sudah beberapa kali tukar lampin, tetapi masih belum berani mandikan dia. Naira agak kerap juga terjaga pada waktu malam iaitu sebanyak lima atau enam kali. Jadi, setiap kali dia bangun saya akan bangun dan angkat untuk diberi kepada isteri saya, Zira. Zira tidak boleh banyak bergerak kerana luka pembedahannya masih baharu. Suami mithali tak saya?
Jika anda mendapat tawaran bekerja luar daripada Kuala Lumpur, adakah anda terima?
Buat masa ini saya tidak terima apa jua tawaran yang memerlukan saya keluar daripada Kuala Lumpur. Tunggulah sehingga isteri betul-betul sihat. Lagipun masih banyak lagi rawatan susulan yang perlu kami pergi.
Zira (isteri) berpantang di mana?
Zira pantang di rumah mak mertua saya di Klang. Saya kini berulang alik daripada Kuala Lumpur ke Klang.
Beralih pada soal kerjaya, kenapakah Nabil menolak tawaran untuk menyambung kontrak sebagai penyampai radio Suria FM?
Pada saya, komitmen sebagai penyampai radio sangat tinggi. Walaupun saya hanya ke udara selama empat jam untuk segmen Breakfast@Suria bersama Halim Othman serta Kencana Devi, tetapi banyak perkara lain yang perlu dibuat seperti merancang segmen sebelum ke udara atau menghadiri mesyuarat. Jadi saya perlu buat keputusan demi komitmen masa dengan keluarga dan muncul semula di kaca TV. Kebetulan juga saya dapat banyak peluang untuk terbabit dengan program TV.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz2ELwVuZ8m
Hakcipta terpelihara
Adakah pendapatan yang anda peroleh di kaca TV lebih lumayan berbanding di radio?
Bayaran dengan Suria FM sangat okey. Saya juga ada pendapatan setiap bulan, tetapi saya akui jika kerap muncul di TV, saya memperoleh pendapatan lebih banyak bergantung kepada jumlah tawaran.
Setakat ini, berapa banyak tawaran yang anda dapat untuk program TV?
Buat masa ini saya sudah terima 11 tawaran untuk program TV. Antaranya program Meletop, Kan Dah Kena Dah dan program bersama dengan Datuk Siti Nurhaliza iaitu Siti Osom. Saya juga ada menerima tawaran untuk mengendalikan satu program bercorak permainan, tetapi masih belum diputuskan lagi. Dalam masa yang sama, saya juga menerima beberapa tawaran untuk telefilem.
Anda mendapat banyak tawaran daripada pihak Astro, bagaimana pula dengan tawaran sebagai penyampai radio Era?
Saya tidak akan ke stesen radio lain buat masa terdekat ini. Saya hanya ingin fokus pada program TV sahaja.
Apakah pengalaman yang anda peroleh selama menjadi penyampai radio Suria FM?
Apa yang saya dapat dengan Suria FM sangat berharga. Banyak perkara yang saya timba selama setahun bersama dengan mereka. Rakan-rakan di sana banyak mengajar saya cara berkomunikasi yang berkesan dan selok-belok sebagai penyampai radio. Memang sukar untuk buat keputusan tinggalkan Suria FM kerana saya perlu menjaga hati banyak pihak.
Jangan ungkit soal hamil awal - Diana Danielle
BELUM PUN majlis bermula, lebih 500 tetamu yang terdiri daripada kenamaan, keluarga, teman rapat dan media beberapa kali bergelap.
Bekalan elektrik yang terputus tambah mengharukan apabila berlaku sekali lagi ketika kedua-dua mempelai, Farid Kamil Zahari dan Diana Danielle Danny Beeson melabuhkan punggung di pelamin seraya bacaan doa pembuka majlis dimulakan.
Sedikit terkilan dan terkejut dengan insiden tersebut, Farid, 31, memohon maaf atas kejadian yang tidak terduga itu. Dia juga berharap insiden yang sama tidak akan berulang untuk majlis resepsi sebelah lelaki pada 12 Disember ini di Jitra, Kedah.
"Kami memohon maaf atas kekurangan majlis pada kali ini, termasuk bekalan elektrik yang beberapa kali terputus dan makanan yang tidak mencukupi. Kami telah mencuba sebaik mungkin, namun perkara sebegini berlaku di luar jangkaan kami," katanya yang ditemui usai majlis resepsi tersebut.
Sambil ditemani Diana, Farid mengakui dia belum berasa lega selagi majlis di kampung halamannya di Kedah belum berlangsung. Kata Farid majlis itu akan bertemakan Kesultanan Kedah dengan memakai busana Melayu Tradisional, namun masih mengekalkan majlis perkahwinan dalam taman (garden wedding).
Berkongsi sedikit cerita mengenai impian majlis perkahwinan dalam taman yang selama ini diidamkan Diana, kelainan konsep yang dipilih pada malam 1 Disember lalu di Taman Ekuestrian Putrajaya, Selangor diserikan dengan sedikit elemen formaliti.
"Majlis ini masih mengekalkan konsep perkahwinan dalam taman. Saya sentiasa mahukan majlis yang ringkas dan tidak terlalu sarat dengan pelbagai acara. Cuma Farid yang menambah sedikit sebanyak kejutan supaya tidak terlalu hambar," ujar Diana.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2ELw0Htz9
Hakcipta terpelihara
Majlis pada malam itu dimulakan dengan perarakan Tean Paging 10 ekor kuda bersama sebuah kereta kuda berhias sekitar pukul 9 malam. Turut menyerikan majlis, persembahan berkuda daripada Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertontonkan kepada penonton.
Tegas pasangan itu, majlis persandingan kali ini tidak melibatkan sebarang penajaan, sebaliknya perbelanjaan keseluruhan dikeluarkan mereka sekadar termampu.
"Hanya ini yang mampu dilakukan dan kami tidak mengambil sebarang penajaan, sebaliknya ia dijalankan mengikut keupayaan kami sendiri.
"Bukan tiada penaja yang datang, cuma kalau boleh kami tidak mahu sebab takut setelah mengambil iktibar kejadian rakan-rakan artis sebelum ini apabila penaja menarik diri pada saat akhir.
"Sekali gus kami mahu membuktikan bahawa golongan artis tidak terlalu murah untuk terima tawaran penajaan sewenang-wenangnya," ulas pasangan tersebut.
Mengidam
Beralih topik perbualan yang terarah kepada berita gembira pengumuman pasangan itu yang bakal menimang cahaya mata sulung mereka tidak lama lagi, Diana, 21, mendedahkan dia tidak mengalami sebarang alahan sebaliknya hanya mengidam.
"Saya lebih banyak mengidam makan macam-macam, tapi tidak pula mengalami alahan. Sebaliknya alahan itu telah pergi kepada Farid pula.
"Pada minggu-minggu awal dulu, Farid yang selalu muntah-muntah pada waktu pagi sampai apabila pergi berjumpa doktor, dia disyaki mengalami keracunan makanan," kata Diana.
Tempoh menempuh alam perkahwinan yang sudah genap sebulan itu dilalui Diana dan Farid dengan penuh getir apabila ramai pihak yang membuat pelbagai spekulasi mengenai usia kandungan Diana yang difahamkan melebihi angka dua minggu.
Jelas pasangan itu, tohmahan yang tidak berasas itu tidak mematahkan semangat mereka, sebaliknya membuat mereka lebih cekal untuk merencanakan perjalanan hidup sebagai suami isteri selepas ini.
"Pada awalnya, saya tidak terfikir untuk bakal mempunyai cahaya mata dalam tempoh terdekat, tapi apabila saya mendapati ada perubahan pada diri, saya membuat pemeriksaan dan Alhamdulillah saya mengandung!
"Oleh kerana terlalu gembira saya mengumumkan kepada peminat melalui Twitter, selepas itu baru terfikir balik akan kesannya.
"Ramai orang memberikan nasihat kepada saya dan saya sangat berterima kasih. Maknanya ramai yang mengambil berat akan saya.
"Bakal bergelar ibu muda, saya akui sedikit takut tapi saya tidak gementar malah terlalu teruja sebenarnya. Saya menerima rezeki Allah dengan tangan yang terbuka dan mahu membahagiakan suami saya sehabis baik," ujar pelakon filem Jiwa Taiko itu panjang lebar.
Sementara itu, Farid hanya memberi komen ringkas mengenai tindakan Diana mengumumkan berita kehamilannya baru-baru ini.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2ELw3G2M9
Hakcipta terpelihara
"Itu keterujaan seorang perempuan, selepas buat dia akan berfikir balik,"katanya ringkas.
Ditanya mengenai perancangannya untuk melanjutkan pelajaran di Australia seperti yang telah didedahkannya sebelum ini, Diana enggan mengulas lanjut. Katanya: "Insya-Allah saya akan sambung belajar, kita lihat bagaimana perjalanannya nanti."
Lari
Selepas mengumumkan berita gembira tersebut kepada khalayak, ramai yang terasa hati apabila pasangan itu seperti melarikan diri daripada pihak media yang ingin mendapatkan kenyataan lanjut berhubung perkhabaran itu.
Jelas Diana tidak menafikan hal tersebut, lari dan cuba mengelak daripada berkongsi perihal peribadi memang sebahagian daripada dirinya.
"Saya sentiasa macam itu. Saya boleh berkongsi mengenai kehidupan dengan peminat, tapi tidak berlebih-lebih. Semua yang berlaku sepanjang tempoh ini adalah sangat personal bagi saya," jawab Diana.
Sebaliknya, kata Farid, mereka bukan melarikan diri, tapi mencari ruang untuk diri sendiri dan merancang perkara terbaik untuk masa akan datang.
"Kami juga perlukan masa untuk diri sendiri dan mencari peluang merancang perkara yang kami akan lalui kelak," jelasnya.
Sementara itu, Diana berkongsi perasaan ibunya, Norsiah Ramli, yang bakal bergelar nenek tidak lama lagi.
"Mama selalu bertanya macam mana rupa bakal cucunya nanti? Sebagai anak tunggalnya, pasti dia sangat teruja untuk melihat keturunannya kelak," jelas Diana.
Saya bukan bodoh - Anzalna
'DUMB BLONDE' sama sekali bukan ungkapan pujian sebaliknya ia tidak ubah suatu penghinaan tahap sinikal. Secara nyata, istilah popular itu menjurus ke arah kelibat wanita cantik yang berambut perang malangnya berotak dungu.
Tersenyum sambil jari-jemarinya memintal ekor rambutnya yang hitam berkilat, Anzalna Nasir cukup sedar pembawaan dirinya sedang diperhatikan. Pertimbangan akalnya juga sedang teruji, walhal benaknya langsung tidak mahu terganggu oleh isu remeh.
"Saya langsung tidak marah tapi tidak boleh ambil perkara itu sambil lewa. Saya tidak boleh buat tidak tahu sahaja. Jolokan sebegitu agak melampau. Rasanya saya tidak boleh terlalu berlembut dalam soal itu, kena ada juga sedikit ketegasan," ujarnya menggeleng-gelengkan kepala menahan tawa yang hendak terlerai.
Itulah Anzalna. Dia baru sahaja menerima tempias kononnya antara artis kategori dumb blonde iaitu wanita cantik tapi dungu.
"Rasanya orang yang suka-suka hati gelarkan orang lain sebagai bodoh itu tidak faham maksud sebenar dumb blonde. Sewaktu saya di kolej di Australia dahulu, memang ada ramai gadis yang hot tapi kurang bijak dalam bab akademik. Saya faham sangat dengan gelaran dumb blonde, tapi saya bukan begitu.
"Saya masuk universiti, belajar sampai lulus, keluarga saya semua berpelajaran dan satu lagi, rambut saya hitam bukan perang. Suka-suka nak panggil saya dumb blonde tapi tak faham maksud perkataan itu," katanya.
Jika perwatakan luarannya yang mudah tertawa, karakter itu tidak bermakna dia jenis wanita yang tidak boleh berfikir dengan bijak.
"Kalau nak berlagak, saya boleh tunjuk pandai tapi itu bukan sifat saya. Kalau orang kata saya lembut dan tidak tegas, memang saya begitu. Rasanya cukuplah saya jadi diri sendiri. Kalau saya gemar ketawa sekali pun, salah ke?
Tolak tawaran hidup mewah
"Untuk apa saya kena tunjuk muka angkuh semata-mata mahu dilihat bijak atau disegani.
"Kalau nak berangan pandai, saya boleh sahaja cakap dalam bahasa Perancis tiap-tiap hari, tapi untuk apa? Hidup saya setakat ini okey, tidak ada perkara yang perlu saya sedihkan," ucapnya.
Terdetik juga di hati, mungkin bagi sesetengah pihak, apa yang dituturkan itu sekadar gurauan biasa. Bahasa penulisan sesetengah media yang menerbitkan artikel itu pula dianggapnya sebagai pengisi cerita untuk menjadikan ia menarik ditatap pembaca.
"Saya kena faham permainan dunia artis. Dua filem saya ditayang secara berturutan. Mungkin sebab tiada cerita lain, jadi isu itu yang sengaja diangkat. Saya masih okey. Apabila masih ada yang bercakap tentang saya maksudnya saya masih ada dalam perhatian mereka," simpulnya ringkas.
Menoleh kehidupan peribadinya selama bergelar pelakon, pucuk muda berusia 24 tahun ini sudah melalui episod kontroversi yang menjengkelkan. Kisah perang dingin bersama bintang popular, si cantik Neelofa sudah diselesaikan secara terhormat.
Dia kelihatan menurunkan serendah-rendah egonya. Dia telah meminta maaf dan mengakui kesalahan agar kes tidak berlanjutan ke mahkamah.
Sengaja diselitkan juga keterbukaan Anzalna mencanangkan satu negara bahawa hatinya sudah dimiliki seorang jejaka bernama Hanif Zaki. Statusnya solo tetapi sudah dimiliki. Dari satu sisi, strategi itu mengelakkan Anzalna daripada tercalit tempias kisah cinta sesama artis.
Gosip liar mengaitkan dirinya dengan mana-mana lelaki selain Hanif juga tidak kedengaran. Hanif seolah-olah membentuk satu benteng menjadikan pembawa karakter perempuan jalang bernama Dee dalam siri Adam dan Hawa itu seperti jinak-jinak merpati. Dia manja dan meliuk-lentok tetapi usahkan termakan jerat, didekati lelaki lain pun dia enggan.
Melihatkan paras jelita yang dianugerahkan kepadanya, mana mungkin tiada yang melirik hendak melamarnya.
"Kalau fikir hendak senang dan hidup mewah dengan mudah, memang peluang itu sentiasa terbuka. Bukan mahu cakap besar, tapi tawaran ke arah itu memang ada. Antara mahu atau tidak sahaja. Siapa yang tidak mahu rumah atau kereta mewah secara percuma tapi ada 'bayaran' lain yang harus dijelaskan untuk semua itu.
"Setakat ini, dengan duit hasil berlakon, saya sudah boleh hidup berdikari dan penuhi impian sendiri," tuturnya sambil memberi isyarat tentang banyak muslihat lelaki hidung belang yang datang dan pergi sepanjang bergelar selebriti sejak menyertai Dewi Remaja lebih dua tahun lalu.
Menambah tentang prinsipnya, kata Anzalna: "Saya sendiri fikir bahawa duit memang sangat penting untuk hidup. Sebab itu saya kena kerja untuk cari duit tapi saya tidak boleh desak lelaki untuk setia dan ikhlas memberi cinta kepada saya.
"Setakat ini, sama ada dari segi lakonan atau pilihan untuk diri sendiri, saya selalu ingin jaga hubungan saya dengan Hanif tapi itu tidak bermakna dia mengongkong hidup saya. Saya belum rasa khilaf dengan perhubungan cinta kami yang diketahui umum ketika ini. Lebih senang bersifat terbuka sebab saya tidak perlu peningkan kepala untuk berselindung itu dan ini."
Fokus drama sebelum filem
Bakal muncul dengan filem Kahwin 5 bersama Usop Wilcha Disember depan, namun sebelum itu, langkah sulung Anzalna ke layar perak menerusi Sepah The Movie sudah pun beredar di pawagam.
Gandingan bersama Sepahtu iaitu Jep dan Shuib, Mamat Sepah serta Jehan Miskin menerusi Sepah The Movie pula ditayangkan bermula 29 November lalu.
Mengulas tentang fahamannya terhadap terhadap lakon filem dan lakon TV, Anzalna sedar dia masih terlalu mentah untuk diberi sanjungan apatah lagi dipuji. Katanya, penglibatan dalam kedua-dua filem itu masih satu percubaan.
Jika hasilnya menjadi dan mendapat sokongan ramai, mungkin percaturan untuk bersama sebuah lagi filem dalam masa terdekat akan diteruskan. Jika tidak, dia lebih rela fokus kepada drama terlebih dahulu.
"Drama itu ibarat asas buat saya. Saya kena belajar dulu daripada drama televisyen. Selama ini pun, saya yang kosong ilmu lakonan ini diberi kepercayaan untuk bawa macam-macam watak menerusi drama," katanya yang pernah mendapat respons positif berdasarkan watak baik menerusi drama bersiri Sirrun di TV9.
Sekadar membawa watak-watak ringan dalam filem komedi seperti Kahwin 5 dan Sepah The Movie, dia ditanya lagi, sama ada penampilan itu menjamin impak ke atas kariernya atau sekadar menjadi penyeri.
"Watak sebagai Ayu Sofia itu nampak lemah lembut. Sekali pandang memang nampak mudah untuk saya lakukan tetapi Ayu Sofia tetap satu cabaran besar buat saya. Kalau orang kata saya lembik, Ayu Sofia itu berganda-ganda lebih bersopan santun dan lemah lembut berbanding saya.
"Ia payah untuk pelakon baharu macam saya tapi saya gembira sebab hasilnya boleh dilihat di panggung sekarang," tutup Anzalna yang teruja untuk beraksi bersama Nasha Aziz dan Lisa Surihani dalam drama bersiri Maskara tidak lama lagi.
Rahsia Fazley makin kurus
AURA lagu hitnya, Asmara Ini masih melekat dalam hati peminat. Biarpun lama menyepikan diri daripada dunia nyanyian, peminat Datuk Fazley Yaakub tetap menanti kemunculan semula penyanyi kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.
Sebelum menutup tirai pada tahun ini, Fazley kembali mencuri perhatian khalayak. Cuma gelarannya kini semakin bertambah. Beliau bukan sahaja terkenal sebagai seorang penyanyi dan pakar motivasi, bahkan semakin menonjol menjadi seorang tukang masak.
Bakatnya dalam bidang masakan mula terserlah setelah pelakon filem Gila Bola itu menjadi juara rancangan realiti televisyen berkonsepkan masakan, MasterChef Selebriti Malaysia pada pertengahan tahun ini.
"Kini sudah ada dua generasi peminat. Kalau dahulu ramai yang kenal saya sebagai abang Asmara kerana lagu Asmara ini. Tetapi kini peminat baharu lebih mengenali saya sebagai tukang masak. Ada yang tidak tahu yang saya sebenarnya merupakan seorang penyanyi dan pernah merakamkan beberapa buah album," ujarnya dalam sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam tempoh empat tahun menyepikan diri daripada media sebelum ini, Fazley lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang ceramah motivasi. Beliau juga lebih aktif terlibat secara belakang tabir dalam beberapa program televisyen.
Namun begitu, Fazley ada merancang untuk membuat penampilan semula pada tahun ini menerusi sebuah album baharu. Cuma tawaran menyertai program masakan tersebut tiba lebih awal.
"Saya terpaksa menangguhkan untuk mengeluarkan lagu baharu kerana memberi perhatian kepada program itu. Kini setelah semuanya selesai, saya sudah mengeluarkan sebuah single yang berjudul Maafku Mencintaimu yang mula diterima pendengar.
"Untuk album penuh pula Insya-Allah pada awal tahun hadapan saya akan mengeluarkan album penuh kelima yang berjudul Lima," katanya yang juga tampil dengan sebuah lagu berjudul Jaga-Jaga bersama penyanyi Altimate.
Sebelum ini Fazley pernah merakamkan empat buah album termasuklah Asmara Ini pada 2001, Seribu Kemaafan (2002), Cerita Asmara (2003) dan Lain (2006). Selain lagu Asmara Ini, beliau juga popular dengan lagu-lagu seperti Bila April, Seribu Kemaafan, Careno dan Serita Asmara.
Dalam perkembangan sama, penyanyi berusia 34 tahun itu terlibat dalam beberapa program masakan seperti Chef Surprise di saluran Astro Prima, Chef Cilik (Astro Ria) dan program bual bicara masakan Fazley Licious. Beliau juga dalam proses menyiapkan sebuah buku masakan berjudul Dari Rembau ke Padang.
Biarpun pada masa ini imej Fazley lebih dekat dengan hidangan-hidangan enak yang menjadi sebab kepada masalah berat badan berlebihan, namun beliau berjaya tampil lebih langsing berbanding sebelumnya.
Dalam sibuk membuat persediaan untuk kemunculan semula, Fazley yang mengalami berat badan berlebihan berjaya mengurangkan berat badannya daripada 90 kilogram (kg) kepada 72kg.
Jelas Fazley, amalan diet protein selama sebulan berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 18kg tanpa penggunaan sebarang produk kesihatan.
"Saya tidak mengamalkan sebarang senaman dan sekadar mengawal pengambilan makanan. Saya hanya mengambil hidangan berasaskan protein dan sayuran rendah kalori pada setiap hari.
"Untuk hidangan tengah hari, saya ambil sepotong daging ayam sebesar tapak tangan bersama sayur, petang pula makan buah-buahan seperti epal dan strawberi serta untuk makan malam pula sepotong daging atau ikan bersama sayuran.
"Elakkan makan bergula kerana ia akan menjadi perkara yang paling mengganggu diet. Dalam tempoh itu juga saya tidak mengambil nasi langsung," ujarnya yang mula berdiet sebelum menyertai rancangan MasterChef Selebriti Malaysia pada Jun lalu.
Teman wanita Zalif serang Fida
ENTAH mengapa seperti malang hadir bertimpa-timpa pelakon drama Runtun Qalbu ini apabila cinta yang mahu dibinanya sering terkandas di tengah jalan. Belum pun lara Fida Ibrahim terubat dek kasih tidak kesampaian dengan pelawak Mamat Sepah, hubungannya yang baru terjalin dengan pelakon Zalif Sidek turut berdepan cabaran.
Jelas Fida yang mula rapat dengan pelakon filem Papa I Love You sejak sebulan lalu itu, hidupnya kini terganggu apabila seorang wanita menghalang daripada dia meneruskan hubungan rapat dengan Zalif.
"Saya tiada masalah apabila Zalif cakap dia mahu berkawan dan kenal saya dengan lebih rapat kerana saya mahu beri peluang kepada sesiapa sahaja selepas tiada hubungan dengan sesiapa.
"Tetapi sejak cerita tentang hubungan kami tersebar, hidup saya tidak tenteram apabila dia yang mendakwa sebagai teman wanita Zalif mula mengganggu hidup saya.
"Tidak cukup dengan SMS (khidmat pesanan ringkas), dia menelefon saya dan menghambur kata-kata kesat agar menjauhkan diri daripada Zalif.
"Saya jadi takut dan sebab itu juga saya tidak membalas BBM (mesej BlackBerry) yang Zalif hantar kerana tidak mahu masalah ini terus menjadi besar," katanya kepada Sensasi Bintang.
Bagaimanapun jelas Fida yang trauma dengan masalah itu, dia menanggap hubungannya dengan Zalif kini sekadar seperti kawan biasa kerana tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa.
Dalam perkembangan sama, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu terpaksa mengehadkan tawaran berlakon kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian setelah lagu Apa Kono Eh Jang yang diberi nafas baharu olehnya bersama Datuk AC Mizal mendapat sambutan ramai.
Izzara dilamar Astro
CANTIK menawan, meletup macam pisang goreng panas! Siapa lagi kalau bukan Izzara Aishah yang wajahnya tak ubah macam penari gelek. Eh, bukan penari geleklah tapi pelakon Bollywood!
Amboi! Bukan main popular Diva tengok Izzara sejak meletup dengan Vanila Coklat. Tapi akhir-akhir ini macam senyap dan diam seribu bahasa pula si cantik kacukan Pakistan itu.
Jadi, sambil-sambil minum kopi pada petang yang berkabus baru-baru ini, Diva tercerita pasal Izzara dengan seorang teman. Ibarat simbah petrol ke unggun api jadinya, teruslah marak, meriah.
Izzara dengarnya sudah hebat dan bijak pandai. Bukan macam pelakon baharu masa mula-mula nak naik dahulu, pendek kata, sudah besar kepala. Yelah, sudah banyak tawaran besar-besar, setakat panggilan fotografi kecil-kecilan untuk media, payah benar Izzara nak layan.
Mana tak besar kepala, Izzara ini khabarnya tengah panas di stesen Astro. Silap-silap, tak lama lagi ada pengumuman terbaharu pasal Izzara jadi Wajah Eksklusif Astro, kira sama sebaris dengan Elfira Loy, Erra Fazira dan Aaron Azizlah! Kelas kau Izzara, bersaing-sainglah dengan Erra dan Elfira dalam drama Michael Ang nanti, eh! Jangan marah Michael, Diva gurau sahaja.
Jadi, bila sudah masuk Astro, payahlah nak tengok Izzara dalam Samarinda atau Lestary, Diva peminat tegar slot itu.
Demi sebuah kenangan-Catriona
MESKIPUN Catriona Ross, 32, hanya mengadakan majlis akikah dan cukur jambul anak keduanya, Jammal Raess Ross-Iddin, namun persiapan yang dibuat bagai menyambut menantu.
Menurut pelakon yang nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, dia mencari konsep hiasan klasik Inggeris di Internet selama tiga minggu sebelum menemui reka bentuk yang memikat hati.
Katanya, sering kali orang menggunakan buaian besar untuk majlis itu, tetapi dia terpaksa menggunakan buaian kecil mengikut saiz keluasan ruang tamu rumah mentua.
"Nampak sahaja mudah tapi pening juga kepala memikir konsep yang nak ditampilkan. Cat pilih hiasan klasik Inggeris kerana 10 atau 20 tahun akan datang pun kalau dilihat balik foto itu, ia tetap nampak bergaya.
"Cat bernasib baik kerana orang yang buat pelamin dan penggubah bunga tinggal di kawasan berhampiran, jadi mudah untuk kami berbincang dan hasilnya amat memuaskan hati," katanya yang memilih bunga segar untuk dijadikan hiasan pada buaian anak.
Pada majlis yang diadakan di kediaman mentuanya di Wangsa Maju, Seksyen 6, Kuala Lumpur, Raess yang dilahirkan pada 16 Julai lalu, sedikitpun tidak meragam sepanjang majlis berlangsung yang diketuai oleh Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi.
Kata Cat, Jammal Raess, adalah seorang anak yang baik, jarang menangis dan mudah dijaga.
"Dia seorang yang baik mungkin kerana dia adalah seorang pemimpin kalau berdasarkan kepada maksud Raess manakala Jammal pula membawa makna tampan. Tampan di sini membawa simbolik seseorang yang mampu membuat orang lain sejuk hati bila memandangnya.
"Alhamdulillah, si kakak, Sephia Rania Ross-Iddin, dua tahun, sangat sayang dan nampak sifat melindungi adiknya itu. Setakat ini Cat tidak menghadapi masalah menjaga anak-anak, cuma baru ambil pembantu rumah untuk membantu mertua bila Cat ada kerja luar," ceritanya yang melakukan majlis yang sama pada anak sulung di Kota Bahru, Kelantan dulu.
Meskipun sekarang Cat sibuk menjaga anak-anak, dia tetap aktif dengan kariernya dan baharu selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Bila Mak Mengandung Lagi.
Jelas Cat, setakat ini suami, Shaharuddin Mokhtaruddin tidak pernah menghalangnya untuk terus berkarya.
"Sekarang ini Cat banyak mendapat tawaran menjadi pengacara untuk majlis perkahwinan dan korporat. Selagi berkaitan dengan seni, Cat tidak menolak. Lagipun kerja jadi pengacara tidak lama, kira-kira empat jam sahaja satu majlis.
"Begitu juga berlakon, kalau wataknya bersesuaian, Cat tidak menolak. Untuk permulaan ini Cat lebih kepada telefilem, yang bersiri pula nanti-nantilah... sebab Raess pun masih kecil," katanya.
Dalam sibuk bercerita tentang majlis cukur jambul dan kerjaya, Cat sempat memberitahu, selepas dia membuat kenyataan yang mengatakan dirinya diperguna oleh pihak tertentu, ada rakan artis yang memberi reaksi.
"Ada seorang artis itu tweet dalam Twitternya pada 30 November lalu menulis: "Kesal diperguna? Allah lebih mengetahui..."
"Dia tidak menyebut nama tapi ramai yang dapat agak dia tuju pada Cat. Bagi Cat biarlah orang nak kata apa kerana Cat ada pendirian sendiri," kata Cat yang enggan mengambil pusing kenyataan artis tersebut.
Belum rezeki - Ella
BELUM ada rezeki lagi. Kami hanya berserah kepada Allah. Walau apa pun kami terus berusaha. Kalau diberi rezeki dalam waktu terdekat ini, kami terima dengan gembira," kata Azhar Husaini Ghazali, 31, apabila ditanya tentang cahaya mata pada majlis resepsi yang berlangsung di sebuah kelab di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Malah Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 46, juga mengakui tidak terburu-buru untuk hamil kerana baharu mendapat suntikan rubela lima bulan lalu.
Pasangan penyanyi rock dan juruterbang syarikat penerbangan Firefly itu bergelar suami isteri sejak 7 Julai lalu selepas majlis akad nikah yang berlangsung di Teluk Gadong, Klang, Selangor.
Mereka yang mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini itu turut memberitahu belum berkesempatan untuk berbulan madu.
"Setakat ini kami belum berkesempatan pergi berbulan madu di dalam atau luar negara. Bagi kami, setiap hari adalah bulan madu. Sepanjang hidup bersama, kami banyak melakukan aktiviti sukan.
"Ikut perancangan memang ada hasrat berbulan madu ke luar negara pada tahun hadapan. Bagaimanapun sebelum pergi ke mana-mana, kami terlebih dahulu ingin pergi ke Madinah dan Mekah untuk menunaikan umrah," cerita Azhar.
Tambahnya, buat masa sekarang mereka lebih selesa menjalani kehidupan seperti pasangan pengantin baru yang lain dan sentiasa mencari waktu yang sesuai untuk bersama.
Kata Azhar, setiap kali bersama Ella, dia sentiasa menjadi diri sendiri dan tidak pernah menjadikan gelaran Ratu Rock Negara yang dipegang oleh isterinya sebagai penghalang pergaulan mereka.
"Saya akui sejak berkahwin dengan Ella, sedikit sebanyak tempias popularitinya terpalit pada saya. Apa pun saya lebih senang menjadi diri sendiri dan tidak perlu terikut dengan popularitinya yang sudah lama diraih itu.
"Pada orang lain, Ella adalah penyanyi yang mereka minati tetapi bagi saya dia adalah seorang wanita yang sentiasa berusaha dan belajar untuk menjadi isteri yang terbaik," katanya memuji Ella yang tersenyum di sisi.
Dalam pada itu, Ella yang menerima mas kahwin bernilai RM50,300 pada hari pernikahan berkata, dia memilih Azhar sebagai suami kerana lelaki itu adalah seorang yang tenang dan menerimanya seadanya.
Sewaktu ditanya kenapa pasangan itu memilih tarikh 1 Disember untuk majlis resepsi, Azhar berkata, sebenarnya itu adalah tarikh pernikahan mereka yang dirancang awal.
Katanya, tarikh pernikahan dipercepatkan pada 7 Julai bagi memudahkan mereka mengatur pelbagai majlis.
"Kalau ikutkan perancangan awal, hari ini patut berlangsungnya majlis pernikahan kami. Tetapi disebabkan untuk memudahkan perancangan majlis, kami percepatkan kepada bulan Julai.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang dan jika tidak ada aral melintang, kami akan buat dua lagi majlis resepsi iaitu di sebelah pihak Ella dan saya, di Muar, Johor nanti," katanya.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Ella sanggup berbelanja sehingga RM200,000 untuk majlis resepsinya. Apabila ditanya tentang kos sebenar majlis resepsi itu, Azhar berkata, tidak semua perkara bagi majlis itu ditaja.
"Tidak dinafikan banyak pihak yang nak menaja majlis itu tetapi kami pun ada mengeluarkan kos sendiri. Ini semua diatur oleh perancang perkahwinan, Syed Wafa," jelasnya yang enggan menyatakan kos sebenar.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
