Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Belum rezeki - Ella
BELUM ada rezeki lagi. Kami hanya berserah kepada Allah. Walau apa pun kami terus berusaha. Kalau diberi rezeki dalam waktu terdekat ini, kami terima dengan gembira," kata Azhar Husaini Ghazali, 31, apabila ditanya tentang cahaya mata pada majlis resepsi yang berlangsung di sebuah kelab di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Malah Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 46, juga mengakui tidak terburu-buru untuk hamil kerana baharu mendapat suntikan rubela lima bulan lalu.
Pasangan penyanyi rock dan juruterbang syarikat penerbangan Firefly itu bergelar suami isteri sejak 7 Julai lalu selepas majlis akad nikah yang berlangsung di Teluk Gadong, Klang, Selangor.
Mereka yang mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini itu turut memberitahu belum berkesempatan untuk berbulan madu.
"Setakat ini kami belum berkesempatan pergi berbulan madu di dalam atau luar negara. Bagi kami, setiap hari adalah bulan madu. Sepanjang hidup bersama, kami banyak melakukan aktiviti sukan.
"Ikut perancangan memang ada hasrat berbulan madu ke luar negara pada tahun hadapan. Bagaimanapun sebelum pergi ke mana-mana, kami terlebih dahulu ingin pergi ke Madinah dan Mekah untuk menunaikan umrah," cerita Azhar.
Tambahnya, buat masa sekarang mereka lebih selesa menjalani kehidupan seperti pasangan pengantin baru yang lain dan sentiasa mencari waktu yang sesuai untuk bersama.
Kata Azhar, setiap kali bersama Ella, dia sentiasa menjadi diri sendiri dan tidak pernah menjadikan gelaran Ratu Rock Negara yang dipegang oleh isterinya sebagai penghalang pergaulan mereka.
"Saya akui sejak berkahwin dengan Ella, sedikit sebanyak tempias popularitinya terpalit pada saya. Apa pun saya lebih senang menjadi diri sendiri dan tidak perlu terikut dengan popularitinya yang sudah lama diraih itu.
"Pada orang lain, Ella adalah penyanyi yang mereka minati tetapi bagi saya dia adalah seorang wanita yang sentiasa berusaha dan belajar untuk menjadi isteri yang terbaik," katanya memuji Ella yang tersenyum di sisi.
Dalam pada itu, Ella yang menerima mas kahwin bernilai RM50,300 pada hari pernikahan berkata, dia memilih Azhar sebagai suami kerana lelaki itu adalah seorang yang tenang dan menerimanya seadanya.
Sewaktu ditanya kenapa pasangan itu memilih tarikh 1 Disember untuk majlis resepsi, Azhar berkata, sebenarnya itu adalah tarikh pernikahan mereka yang dirancang awal.
Katanya, tarikh pernikahan dipercepatkan pada 7 Julai bagi memudahkan mereka mengatur pelbagai majlis.
"Kalau ikutkan perancangan awal, hari ini patut berlangsungnya majlis pernikahan kami. Tetapi disebabkan untuk memudahkan perancangan majlis, kami percepatkan kepada bulan Julai.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang dan jika tidak ada aral melintang, kami akan buat dua lagi majlis resepsi iaitu di sebelah pihak Ella dan saya, di Muar, Johor nanti," katanya.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Ella sanggup berbelanja sehingga RM200,000 untuk majlis resepsinya. Apabila ditanya tentang kos sebenar majlis resepsi itu, Azhar berkata, tidak semua perkara bagi majlis itu ditaja.
"Tidak dinafikan banyak pihak yang nak menaja majlis itu tetapi kami pun ada mengeluarkan kos sendiri. Ini semua diatur oleh perancang perkahwinan, Syed Wafa," jelasnya yang enggan menyatakan kos sebenar.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
