Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Shila artis Malaysia pertama buat konsert di Lincoln Center

KUALA LUMPUR 1 Mac - Penyanyi, Shila Amzah bakal mencatat sejarah sebagai artis Malaysia pertama yang akan mengadakan persembahan di Lincoln Center, New York, Amerika Syarikat. Shila yang masih lagi bersedih kerana putus cinta dengan pelakon Shahnaaz, akan menjayakan konsert tersebut pada 30 Mac ini. - UTUSAN

ND Lala enggan ulas kisah cinta terhalang anaknya

HULU LANGAT 2 Mac - Harapan media untuk mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi membabitkan Shila Amzah malam tadi menemui kekecewaan apabila bapanya, ND Lala enggan memberikan sebarang ulasan berhubung kisah cinta terhalang anak gadisnya itu. Sebaliknya, ND Lala meminta agar media memberikan tumpuan kepada kerjaya anaknya itu yang kini meniti persada antarabangsa, dan bukannya isu kisah Shila yang putus cinta dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. "Saya harap pihak media memahami dan memberi fokus kepada kerjaya Shila yang sedang dirancang untuk ke peringkat antarabangsa," katanya pada sidang akbar yang dibuat di rumahnya di Taman Hulu Langat Jaya, di sini. Shila yang berada di sisi bapanya ketika sidang media itu itu kelihatan sugul dan seolah-olah pasrah dengan apa yang berlaku. Sebelum ini ND Lala dikatakan akan membuat sidang media khas bagi menjelaskan kisah cinta Shila yang dihalang oleh bapanya itu sehingga penyanyi tersebut bertindak menghilangkan diri selama hampir seminggu. - UTUSAN

Bob Lokman Jual Buku, Kacang Selepas Tinggalkan Dunia Seni

PETALING JAYA: Bekas Pelawak Bob Lokman menyara kehidupannya dengan bekerja sebagai penjual buku, kacang dan nasi selepas meninggalkan dunia seni untuk menyertai parti politik. Bob atau nama sebenar Muhammad Hakim Lokman, 48, berkata beliau terpaksa melakukan pekerjaan tersebut untuk melangsaikan beberapa hutangnya yang masih tertangguh. "Selepas sudah tidak terlibat lagi dengan dunia hiburan, saya menyara kehidupan dengan menjual buku-buku, kacang dan nasi. "Saya terpaksa berniaga kecil-kecilan bagi menyara kehidupan untuk melangsaikan hutang-hutang yang masih ada," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat apabila ditanya tentang perkembangan terbaharu beliau. Bob Lokman yang pernah menjadi juri pada program Maharaja Lawak dan penulis lirik lagu Isabella (nyanyian Search) itu telah menyertai parti PAS dan banyak melakukan ceramah untuk parti itu. Beliau turut menjual buku dan kacang di lokasi tempat ceramah yang dianjurkan parti berkenaan serta di kawasan rumahnya di Sungai Buloh, dekat sini. Dalam pada itu, menyentuh sejauh mana penglibatannya dalam bidang politik, Bob berkata, dia tidak berniat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) akan datang. "Perjuangan saya adalah untuk Islam dan bukan untuk menjadi wakil rakyat. Saya hanya menyokong parti yang menegakkan dasar-dasar Islam," ujarnya. Katanya, dia telah mengambil pendekatan untuk menjalani hidup secara sederhana selepas tekad meninggalkan dunia seni. Ketika ditanya adakah benar beliau mengkritik program kerajaan Jelajah Janji Ditepati (JJD) seperti dilaporkan akhbar Bob berkata, laporan berkenaan adalah benar dan ia akan diteruskan dalam siri ceramahnya akan datang. Dalam laporan tersebut, Bob menyifatkan bahawa penganjuran program JJD sebagai bertentangan dengan syariat Islam.

Johan As'ari nyaris jadi mangsa seksual

PENGALAMAN dan cerita berbeza keluar daripada mulut Johan As'ari kali ini apabila dia mengaku berdepan situasi cemas hampir diliwat awal bulan Februari lalu. Kejadian itu berlaku di dalam sebuah tandas apabila dia diserang oleh rakan baiknya sendiri, aktor Jay Iswazir ketika di set penggambaran drama bersiri Karlos yang akan ditayangkan di TV3. Usah salah sangka kerana itu juga sebahagian kecil daripada babak yang dilakonkan Johan selaku watak utama bernama Irwan Zaid atau Karlos ketika dimasukkan ke Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima, Kuala Kubu Baru, Selangor. Kata Johan yang pertama kali melakonkan aksi hampir diliwat oleh seorang lelaki, perasaan cuak, cemas dan kekok mengatasi segalanya. "Babak itu sangat berat bagi saya selain perlu bertumbuk. Namun sebenarnya, babak itu bukan dirakamkan sekali gus, banyak juga bermain teknik kamera. Berat juga pada mulanya untuk melakonkan aksi sedemikian dan pada ketika itu saya melihat Jay seorang yang psiko sampai rasa cuak. "Saya melalui proses perbincangan awal dengan pengarah (Feroz Kader) dan Jay yang mana sepatutnya babak itu memerlukan saya diliwat. Kami tukar menjadi situasi itu hampir diliwat atas faktor tertentu," ujar Johan yang menggalas watak utama dalam drama bersiri Karlos. Karlos diadaptasi daripada kisah sebenar yang menelusuri perjalanan hidup seorang remaja bernama Irwan Zaid atau Karlos setelah dipinggirkan keluarga sendiri dan terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal. Dia kemudiannya dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dan mengenali seorang pelatih bernama Kenji (Syazwan Zulkifli). Selepas dibebaskan Karlos tidak mendapat pekerjaan kerana rekod jenayahnya sebelum ini. Akhirnya, Karlos memilih untuk menjadi penyamun dan terlibat dengan aktiviti pecah rumah sekali gus menjadi sasaran polis. Selain, Jay dan Syazwan, Karlos turut dibintangi Namron, Sherry Merlis, Azhar Sulaiman, Elmy Moin dan pelakon baharu Ika Zulkifli serta Nur Risteena. Sekali imbas drama Karlos dilihat seolah-olah menyerupai drama rantaian popular Juvana memandangkan latar tempat dan watak utama yang ditonjolkan memegang peranan antagonis. Bagi pengarahnya, Feroz Kader, Karlos berbeza daripada Juvana kerana mementingkan elemen kekeluargaan, persahabatan dan lebih banyak aksi. "Tidak akan ada persamaan dengan Juvana kerana jalan cerita Karlos sangat berbeza walaupun ada babak di pusat pemulihan. Tapi babak itu cuma dipaparkan dalam dua episod awal sahaja," katanya yang ditemui ketika sesi ramah mesra drama Karlos di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Sementara itu, Johan yang bakal muncul dalam tiga buah filem Tokan, Pencinta dan Paku pada tahun ini, mendedahkan dia bakal mengerjakan umrah pada 27 Mac nanti mengikuti rombongan bersama Hafiz Hamidun. "Beberapa hari lepas saya terdetik ingin mengikuti rombongan umrah yang diketuai Hafiz Hamidun selepas membaca Twitternya dan sekarang sedang menguruskan hal berkaitan pasport dan visa. "Saya tidak memaklumkan kepada sesiapa lagi kecuali keluarga terdekat akan hajat saya ini. Bagi saya, ini peluang untuk saya mendekatkan diri dengan Allah memandangkan masih berkemampuan dan muda. "Lebih manis kerana urusan kali ini menggunakan hasil titik peluh saya selama ini sepanjang bergelar anak seni. Mudah-mudahan hasrat saya yang sudah lama terpendam ini menjadi kenyataan," jelasnya yang sebelum ini pernah mengerjakan umrah dengan produksi Syahadah Cinta arahan Erma Fatima tahun lalu. Tayangan drama bersiri Karlos bermula 4 Mac ini setiap hari Isnin pukul 9 malam menerusi slot Aksi TV3. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Hans sedih 'ditinggalkan'

SEBELUM ini tidak banyak yang dikongsikan pelakon kacak, Hans Isaac tentang pemergian ibunya, Carmina Anciano Isaac yang meninggal dunia pada Oktober 2012. Hanya baru-baru ini, Hans berkongsi bagaimana perasaan kecewa, sedih dan rasa kehilangan yang ditanggungnya selepas pemergian ibu tercinta yang meninggal pada usia 74 tahun. Sebagai anak tunggal yang sangat rapat dengan ibunya apatah lagi selalu menjaganya ketika sakit, Hans mengakui, dia memerlukan banyak masa untuk menguatkan kembali semangatnya, menjalani kehidupan tanpa insan tersayang. "Saya tidak kongsi dengan ramai orang mengenai perkara ini sebenarnya. Kesedihan, rasa kehilangan itu tidak dapat saya ceritakan. Ia sesuatu yang memeritkan. Ada kalanya kalau fikiran saya tengah kusut, saya sampai tersasul singgah ke rumah ibu saya," beritahu Hans. Menurut aktor berdarah Serani ini, pada awalnya dia sukar menerima hakikat kehilangan itu. Bagaimanapun beberapa bulan kemudian, dia semakin pulih dan menjalani kehidupan dengan lebih baik. "Memang sukar kerana semasa sakitnya, saya yang menjaga ibu dalam jangka masa yang lama. Bapa saya terlibat kemalangan ketika usia saya masih remaja dan tanggungjawab menjaga ibu terletak pada saya ketika itu. "Saya menjaga dia hingga ke akhir hayatnya dan dia menghembuskan nafas terakhir di hadapan mata saya," tuturnya perlahan, berkongsi perasaan. Menurut Hans, itu adalah realiti kehidupan yang harus diterima oleh sesiapa sahaja dan ia juga banyak memberi pengajaran buat dirinya. "Saya belajar sesuatu yang matang. Hidup ini hanya sementara. Jika kita ada peluang, kita harus lekas mengambil peluang itu, dan tidak harus sia-siakannya begitu sahaja," jelasnya sewaktu ditemui di majlis tayangan Lawak Ke Der 2 di Damansara, Selangor, baru-baru ini. Cabaran baru Sementara itu, membuka tirai tahun baru dengan sesuatu yang baru, Hans Isaac bakal muncul dengan filem terbaharunya, Lawak Ke Der 2. Lawak Ke Der 2 diangkat daripada sebuah pementasan lawak di Istana Budaya melibatkan pelawak-pelawak terkenal di tanah air termasuk, Afdlin Shauki dan Haron Salim Bachik (Boboy), Johan dan Zizan Razak (Jozan), Harith Iskandar dan Nabil Ahmad. Walaupun nama-nama yang terlibat dengan pementasan yang difilemkan ini adalah mereka yang boleh dijadikan tarikan, tetapi adakah ia mampu mengubah fikiran untuk penonton tempatan menyaksikan genre baru komedi seperti ini di pawagam? "Itu memang saya sangat risau tetapi saya jadikan ia sebagai satu cabaran. Susah sebenarnya hendak mengubah satu pementasan ke dalam filem. Banyak perkara yang perlu diambil kira. "Contohnya masa pementasan, durasinya ialah selama dua jam tetapi untuk tayangan pawagam kita terpaksa potong sehingga menjadi 105 minit sahaja. "Ada juga saat-saat kelakar semasa di pementasan yang saya suka tetapi tidak boleh dimasukkan kerana kita kena fikir untuk adegan seterusnya pula, itu yang menjadi cabaran," katanya. Tambah Hans lagi, ada ketikanya dia berasa begitu tertekan dan sudah tidak larat untuk meneruskan projek ini kerana cabarannya yang terlalu tinggi. "Saya tumpukan pada benda ini sahaja selama dua bulan. Selama dua bulan melihat rakaman ini dan saya akui, saya memang tidak cukup tidur ketika itu. "Malah ada juga ketikanya saya sudah tidak larat dan kebuntuan idea kerana ada adegan yang kita sudah masukkan, tatapi terpaksa buang semula kerana faktor kekangan masa untuk tayangan di pawagam," jelasnya. Menurut Hans, selagi ia belum ditayangkan di pawagam, masih menjadi kegusaran baginya sama ada penonton mampu menerima genre filem sebegini atau tidak. Bagaimanapun, dia tetap meletakkan harapan yang tinggi untuk filemnya kali ini. "Ini adalah genre filem yang baru di negara kita. Malah, kita tidak pernah lagi tonton filem sebegini untuk tayangan di pawagam tempatan," ujarnya. Untuk menghadapi cabaran sebegitu, Hans melalui syarikatnya, Tall Order Production (TOP) mengeluarkan sebahagian jumlah besar untuk promosi filem ini sahaja. "Ya, kita akui memang bajet yang besar kita keluarkan untuk promosi filem ini. Kita keluarkan sebanyak RM500,000 kerana ia sesuatu yang baru dan kami percaya promosi yang dilakukan akan membantu filem ini di pawagam," katanya. Selain itu, jelas Hans, mereka yang sudah menonton pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya juga harus menyaksikan ia semula di pawagam. "Untuk tayangan di pawagam, kita rakam persembahan di minggu ke enam dan ke tujuh dan sesiapa yang melihat pementasan pada minggu sebelum itu, lawak yang dipersembahkan tidak sama. "Lagipun untuk tayangan pawagam, saya pilih dahulu bahagian-bahagian lawak yang betul-betul menepati perasaan penonton. "Bukan senang sebenarnya sebab kadang-kadang, lawak kita tidak menjadi dan biasanya lawak-lawak spontan yang mendapat sambutan. Jadi, saya pilih saat-saat seperti itu untuk dimasukkan ke dalam filem," ujarnya. Bagi Hans, ini adalah sesuatu yang baru dalam industri komedi tempatan dan ia adalah peluang untuk pelawak-pelawak memperdagangkan isi lawak mereka. "Setiap orang ada pelaburan masing-masing dalam dunia seni. Begitu juga dengan pelawak dan dunia komedi. "Dengan cara ini, mereka sebenarnya dapat memperdagangkan lagi isi komedi yang dilakukan kerana nilai pelawak terletak pada 'isi lawak' mereka itu sendiri," jelasnya.

Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

PUAS menyaksikan tiga episod awal drama arahan Zul Huzaimy yang diberi judul Bunga Merah Punya pada sesi tayangan bersama peminat dan media di Auditorium P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada minggu lalu. Bukan hanya tumpuan dan garapan sempurna diberikan kepada dua pelakon cilik, Izz Ilham Zulkifly dan Puteri Sasha yang masing-masing mendukung peranan Merah dan Bunga semasa kanak-kanak dalam drama itu, tetapi juga kekuatan bertunjang pada keupayaan menjayakan dua watak penting drama tersebut ketika dewasa itu yang dijayakan pula oleh Izzue Islam dan Sharifah Sakinah. Mengakui berdepan kesukaran pada awal penggambaran, namun kata Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, tunjuk ajar pengarah dan pelakon senior banyak membantunya mencorakkan karakter. "Cabaran dalam drama ini bukan hanya berlakon tapi saya juga perlu menyanyi dan bermain gitar pada masa yang sama. Saya perlu mendalami perasaan seorang busker (penghibur jalanan) yang sememangnya sukar. "Mujur pengalaman saya ketika mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu memberikan sedikit sebanyak panduan berguna selain saya turut meninjau kehidupan busker sekitar Bukit Bintang, Sogo dan Pasar Seni setiap minggu," ujarnya. Tambah Izzue, 23, latar kehidupan penghibur jalanan kini tidak sama seperti yang diceritakan dalam Bunga Merah Punya kerana kebanyakan mereka mempunyai rumah dan keluarga di Kuala Lumpur. Penghibur jalanan Mengimbas kembali pengalaman pertama anggota kumpulan Forteen itu ketika mula-mula tiba di ibu kota Kuala Lumpur pada tahun 2009, kata Izzue, dia pernah berdepan pelbagai kesukaran sebelum bergelar artis. "Saya pernah menjadi busker lima tahun lepas ketika mula-mula berhijrah dan saya juga pernah tidur di bilik stor sebuah kedai jual pakaian terpakai tempat kawan saya berniaga di Kelana Jaya, Selangor. Ia bukan menyeksakan tapi itulah sebenarnya pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk merasainya. "Oleh kerana itu juga, sampai sekarang saya lebih gemar tidur tanpa tilam tidak kira di rumah sendiri di Kuala Lumpur atau apabila balik ke kampung (Kelantan)," kata Izzue. Percaya pada rezeki yang dianugerahkan kepadanya hari ini, getus Izzue, dia pasrah sekiranya perjalanan hidupnya kembali ke keadaan asal ketika mula-mula berada di Kuala Lumpur. "Saya terima jika saya menjadi seperti mana diri saya yang sebelum ini malah, menjadi seorang artis sekarang ini tidak bermakna saya hidup mewah. Cuma perlu menjaga penampilan lebih daripada sebelum ini. "Tiada siapa yang mahu kembali kepada kisah silam dan harapnya tidak. Pastinya setiap hari kita mahu semakin maju ke depan," ujarnya yang baru selesai penggambaran telefilem Mencari Syifa yang akan disiarkan di TV AlHijrah pada bulan April nanti. Selain itu, sebuah drama 13 episod berjudul Aku Tak Percaya Cinta sedang rancak ditayangkan menerusi saluran RTM di TV1 setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 6.05 petang yang menggandingkan Izzue bersama Sura Sojangi dan Reen Rahim. Tiada keghairahan menyanyi Bunga Merah Punya yang bersiaran setiap hari Khamis pukul 8.30 malam menerusi slot Aurora TV9 pula menyaksikan permainan emosi, percintaan, persahabatan dan kehidupan mengenai Bunga yang diamanahkan untuk mencari Merah yang melarikan diri itu ketika berusia 10 tahun oleh Tuk Baen iaitu penjaga mereka sejak kecil. Drama 13 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu juga memuatkan 15 buah lagu baharu yang ada antara lirik lagunya ditulis sendiri oleh pengarah Zul Huzaimy, sekali gus dinyanyikan oleh Izzue dan Sakinah. Bagi Izzue, menyanyi mungkin tidak menjadi masalah besar namun berbeza pula perspektif Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, mengenai dunia nyanyian. "Pertama kali menyanyi dalam drama lakonan adalah menerusi drama bersiri Hotel Mania tapi ketika itu peranan yang diberikan kepada saya cuma watak kecil sahaja. "Kali ini saya perlu menyanyikan beberapa buah lagu dan dibantu oleh Izzue walaupun ada antara lagu-lagu itu dirakam pada saat-saat akhir tanpa latihan yang cukup. Namun Alhamdulillah, hasil akhirnya sedap didengar. "Saya tidak suka menyanyi dan bagi saya, menyanyi hanya sekadar hobi. Lagipun pasaran semasa sudah terdapat ramai penyanyi berbakat dan saya tidak berminat untuk menceburi bidang nyanyian secara serius. "Minat saya lebih kepada berlakon dan saya langsung tiada keghairahan untuk menyanyi. Kalau jadi penyanyi pun saya mungkin buat sambil lewa, tidak segigih berlakon," kata Sakinah. Menerusi drama tersebut, Sakinah menyanyikan tiga buah lagu iaitu Sampaikan Rindu, Oh Bulan dan Rajuk. Perlu jadi pendiam Bagaimanapun tegas Sakinah, dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menyanyi, malah ada antara kerja pengacaraannya memerlukan dia turut menyanyi. "Saya boleh membuat persembahan nyanyian tapi perlu ada latihan dan individu yang menyokong serta membimbing saya," simpulnya. Sakinah mengakui drama Bunga Merah Punya menuntut permainan emosinya yang lebih serius dan mendalam berbanding naskhah lakonan sebelum ini antaranya, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang. "Sebelum mula penggambaran lagi saya perlu mula berdiam diri untuk mendapatkan karakter Bunga yang serius dan lemah-lembut. "Watak ini sangat berlawanan dengan karakter sebenar saya dan saya berbesar hati dapat berlakon di bawah arahan Zul Huzaimy," tambah Sakinah. Selain Bunga Merah Punya, Sakinah bakal muncul dalam telefilem Gadis Penjual Petai dan Racun Menantu serta sebuah dram berjudul, Tiga Abdul. Bunga Merah Punya turut dilakonkan oleh Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Zalfie Roul, Idzham Ismail, Roslan Madun, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan dan Nasir Bilal Khan.

Adibah Noor Tidak Tolak Jika Halim Othman Jodohnya

SHAH ALAM: Penyampai radio Suria FM, Adibah Noor tidak menolak sekiranya bertemu jodoh dengan Halim Othman sekiranya perkara itu di izinkan Tuhan. Adibah berkata, dia sangat selesa dengan Halim ketika berada di studio radio selain kedua-dua mereka mempunyai banyak persamaan. "Jika jodoh saya ditentukan oleh Allah dengan Halim saya terima namun setakat ini hubungan kami profesional sebagai rakan sekerja. "Bagaimanapun saya selesa bersama Halim kerana kami memahami antara satu sama lain dan berkongsi banyak perkara sama terutama minat terhadap ilmu," jelasnya kepada mStar Online. Pasangan itu ditemui ketika Majlis Resepsi Bersama Peminat Halim Othman dan Adibah Noor yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada Khamis. Dalam pada itu, Halim berkata, Adibah seorang yang senang menyerap sesuatu perkara baru dengan cepat sehingga memudahkan kerjasama mereka apabila bekerjasama untuk siaran pagi di studio. Tambah Halim, dia terkejut penyanyi dan pelakon itu begitu cepat menyesuaikan diri dan tidak memberikan sebarang masalah. "Saya cukup seronok bersamanya dalam studio kerana 'chemistry' kami cukup kuat dan tahu kebolehan masing-masing. "Bagi seorang yang tidak pernah menjadi deejay akan memakan masa untuk memahami pergerakan kerjaya ini tetapi Adibah cukup pantas dalam semua aspek," jelasnya. Sementara itu, Adibah dan Halim terharu dengan sokongan pendengar yang hadir pada majlis 'resepsi' mereka yang diadakan khas untuk para peminat. "Pelbagai aktiviti kami adakan hari ini seperti karaoke, persembahan artis, ramah mesra dan sebagainya. "Malah penyampai yang lain turut bersama-sama menjayakan program yang cukup istimewa pada hari ini," katanya Halim. Adibah dan Halim bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 5 pagi hingga 10 pagi menerusi slot Ceria Pagi di stesen radio itu.

Linda & Beego Borong Barang Kahwin Di Jakarta

PETALING JAYA: Pasangan pelakon, Linda Hashim dan Beego atau nama sebenar Md Aszerul Nizam Abdullah memilih Jakarta, Indonesia sebagai lokasi membeli belah, barang keperluan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 8 Jun depan. Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 29, memberitahu, dia dan Beego, 33, amat berpuas hati terhadap kelengkapan perkahwinan yang dipilih dengan bantuan keluarga yang turut serta dalam percutian itu. "Kami pulang ke Malaysia pada malam Selasa lepas. Di sana kami memang cari kain-kain untuk dibuat baju pengantin serta pakaian untuk keluarga kedua-dua belah pihak. "Selain itu juga, kami turut buat tempahan kad kahwin dan membeli barang cenderahati. Kami memilih Jakarta kerana di sana lebih banyak pilihan, barang-barang pun berkualiti selain harga yang berpatutan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Tambah Linda, dia memilih tema warna putih dan ungu lavender untuk busana yang akan dipakai pada majlis persandingannya nanti. "Tema perkahwinan kami adalah dalam taman, jadi kami pilih warna yang bersesuaian iaitu putih dan lavender," katanya yang sudah pun membuat persiapan perkahwinan sebanyak 50 peratus. Sementara itu, dari segi tetamu majlis itu nanti kata Linda, pihaknya masih belum menyenaraikan jumlah dan individu yang akan dijemput. Dalam pada itu Linda terpaksa membahagikan masa sebaik mungkin untuk membuat persiapan perkahwinan kerana sedang sibuk dengan penggambaran drama dan program televisyen. "Alhamdulillah sekarang rezeki yang datang banyak juga, jadual saya penuh sampai bulan Jun depan. Saya harap dapat habiskan penggambaran lebih awal sebelum majlis itu nanti. "Semalam (Rabu) saya baru selesaikan isi borang nikah dan ujian HIV, tapi kursus kahwin belum sempat lagi. Insya-Allah mungkin dalam minggu depan," ujarnya. Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 3 November 2012. Mereka merancang untuk mengadakan majlis akad nikah di Masjid Wangsa Maju. Sementara majlis persandingan akan di adakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Susulan Kerani Bank Didakwa: Semaklah Akaun Bank - Lisa Surihani

PETALING JAYA: Aktres Lisa Surihani menasihati orang ramai agar sentiasa menyemak akaun bank masing-masing supaya simpanan mereka berada dalam keadaan selamat dan tiada berlaku sebarang penipuan. Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 27, berkata, pengalaman kehilangan wang simpanannya berjumlah RM50,772.40 pada Januari lepas memberi pengajaran besar terhadapnya dan berharap kejadian tersebut tidak lagi berulang kepada sesiapa sahaja. "Kejadian seperti ini sesiapa pun boleh terkena. Sebab itu saya ingin menasihatkan supaya semua orang agar peka dengan segala simpanan bank yang telah dibuat dan kalau boleh, pantaulah setiap hari. "Selepas kes hilang wang simpanan berlaku, saya menjadi fobia. Insya-Allah perkara ini tidak akan berulang," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis. Seorang bekas kerani bank iaitu Shawallinah Jaffar, 31, yang berasal dari Kudat, Sabah, pada Khamis dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas dakwaan mengeluarkan wang dari akaun bersama milik Lisa dan ibunya, Siti Amirah Ahmad, 62. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Tas, Taman Pandan Damai, Kuantan antara 7 dan 10 Januari lepas. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan sekeping kad mesin teller automatik (ATM) milik mangsa di tempat dan tarikh yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda. Suspek mengaku tidak bersalah dalam semua pertuduhan itu. Dalam pada itu isteri kepada Yusry Abdul Halim ini turut bersyukur apabila kes kehilangan wangnya itu diselesaikan dengan pantas oleh pihak polis serta bank terbabit. "Alhamdulillah, pihak polis memberikan kerjasama yang sangat baik, malah mereka sentiasa menghubungi saya untuk beritahu perkembangan tentang kes ini. "Malah wang saya yang hilang itu sudah pun dikembalikan oleh pihak bank. Ini menunjukkan mereka melakukan kerja dengan pantas. Saya menghargai kerjasama mereka,” ujarnya.

Sindir Pembangkang, Tiada Tindakan Terhadap Salih Yaacob

PETALING JAYA: Pihak Pengurusan Astro Radio tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap penyampai radio Sinar FM, Salih Yaacob, 52, berhubung penyebaran videonya yang seolah-olah menyindir pihak pembangkang. Menurut wakil daripada Astro, perkara tersebut tiada kaitan dengan syarikat penyiaran itu dan ia merupakan urusan peribadi Salih. "Kami terkejut tentang perkara itu namun begitu bagi kami video tersebut tidak ada kaitan dengan Astro. "Ia adalah perkara peribadi beliau, kita tidak campur tangan," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini pada Khamis. Isu itu timbul apabila video Salih bersama pelawak Nabil Ahmad berjudul Bangkang Dari Longkang telah tersebar di Internet sehingga mendapat kritikan penyokong parti pembangkang kerana ia dilihat seolah-olah mempersendakan parti berkenaan. Dalam rakaman itu Salih yang memegang watak ahli politik membuat pelbagai janji untuk memenangi hati rakyat sebaliknya semua itu hanyalah kata-kata kosong sebelum dapat menakluki Putrajaya. Penyebaran video komedi selama 2.50 minit itu juga telah membuatkan Salih memohon maaf kepada semua pihak menerusi akhbar Utusan Malaysia pada Khamis selain mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia hiburan. Dalam perkembangan berkaitan Astro Radio berkata, setakat ini pihaknya tidak mendapat apa-apa surat peletakan jawatan daripada Salih dan beliau masih lagi penyampai Sinar FM. "Dia masih lagi deejay radio kami kerana tiada apa-apa surat peletakan jawatan kami terima. "Apa-apa pun kami tidak akan memanggilnya berhubung isu itu,” jelas juru cakap berkenaan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails