Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Elfira Loy Beraya Di Kampung Selepas 8 Tahun Ke Luar Negara
Pelakon Elfira Loy menceritakan pengalamannya sudah lapan tahun tidak menyambut Aidilfitri dalam negara kerana mengambil peluang bercuti ke luar negara bersama keluarga.
Bagaimanapun Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy, 18, berkata, sambutan Syawal kali ini memberi kelainan buat mereka apabila pulang ke kampung di Kuala Ketil, Kedah.
"Jika sebelum ini saya dan keluarga akan bercuti ke luar negara setiap kali sambutan raya, kali ini kami beraya di kampung pula.
"Memang rasa seronok sangat apabila dapat melalui proses kesibukan beraya. Contohnya apabila golongan lelaki sibuk sembelih ayam, kita pula kaum wanita mencabut bulu-bulu ayam.
"Lebih menyeronokkan saya dapat menyibukkan diri mencari kayu api untuk memacak pelita dan mengopek kelapa dengan adik-adik," katanya yang mempunyai tujuh pasang baju raya.
Dalam pada itu tambah Elfira, dia juga sudah lapan tahun tidak menerima sebarang duit raya dan mengakui teringin untuk menerima sampul duit raya walaupun jumlah wang yang diberi hanya swdikit.
Tambahan pula dia sudah lama bekerja sebagai pelakon, perasaan teruja menerima duit raya sudah lama tidak dirasai.
"Memandangkan saya sudah bekerja pada usia muda, orang pun tidak beri duit raya pada saya sedangkan saya teringin nak dapat duit raya,”katanya.
Mak Jah Beri Rantai Untuk Bantu Maimon Mutalib
Pelakon Maimun Mutalib, 54, mengakui sejak mengidap penyakit kanser payudara ini, dia lebih mengenali nilai persahabatan seseorang yang benar-benar ikhlas atau hanya dikala senang sahaja.
Maimon, 54, berkata, dia bersyukur dalam keadaan kurang upaya itu, ada lagi kawan-kawannya yang sentiasa berada disisinya dan sedia memberi pertolongan.
"Benar kata orang kalau ingin tahu siapa kawan ikhlas atau tidak ialah disaat kita berada dalam kesusahan.
"Saya nampak semua itu, ketika ini saya dapat lihat siapa yang ikhlas menjadi kawan kita dan siapa yang hanya berkawan ketika waktu sennag sahaja," katanya ketika ditemui mStar Online.
Kata Maimon, sepanjang menjalani kehidupannya kini beberapa rakan pelakon dan pengarah sentiasa memberi pertolongan kepadanya.
"Saya sangat terharu bila ada rakan-rakan yang mengambil berat tentang saya, macam Mak Jah antara kawan yang sangat baik, dia sentiasa tanya khabar dan saya ada duit atau tidak.
"Sampai ada suatu hari saya mengadu masalah kepadanya dan dia beri saya seutas rantai emas untuk saya gadaikan dan gunakan duit tersebut, padahal saya tahu dia pun bukan orang senang," katanya.
Dalam pada itu beberapa kawan baik dikalangan pengarah seperti Murali, Rashid Sibir dan Md Fadzil Teh juga sering tampil memberi bantuan.
"Kawan-kawan pengarah seperti Murali Abdullah, Rashid Sibir dan Haji Zeel juga banyak beri bantuan.
"Mereka masih panggil saya berlakon walaupun sebenarnya tidak banyak pun babak saya, tapi saya tahu mereka sebenarnya nak bantu saya sahaja," katanya.
Ketika ditanya mengapa wanita ini merahsiakan penyakitnya, Maimon berkata, bukan niat sengaja untuk merahsiakan penyakit tersebut tetapi tidak mahu dirinya dilayan seperti seorang pesakit.
"Saya tahu sudah lama dan cuba pelbagai kaedah rawatan secara tradisional terlebih dahulu namun tidak berjaya sehingga penyakit ini menjadi semakin kronik barulah saya ambil keputusan untuk beritahu anak-anak dan rakan-rakan.
"Saya banyak tanggungan, anak-anak saya ada yang masih belajar, ada juga yang sakit, saya adalah sumber rezeki keluarga, selagi saya boleh berlakon saya mahu terus berlakon," katanya.
Maimon yang juga ibu tunggal ini mempunyai lima cahaya mata iaitu Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.
Bercerita tentang Hari Raya, Maimon berkata, dalam keadaan dirinya yang sedang sakit, dia menyambut Syawal ini secara bersederhana bersama anak-anaknya di Kuala Lumpur.
Qi Razali Rasa Teruja Beraya Di Argentina
Pelakon dan pengacara Qi Razali memberitahu teruja dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di Argentina pada tahun ini kerana dapat melihat budaya masyarakat Islam di negara itu meraikan Syawal.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali, 35, bagaimanapun berkata, perasaan sedih tetap terpalit di hati kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga dan kekasihnya, pelakon Nelydia Senrose.
"Sudah tentu sedih sebab berjauhan dengan semua orang yang saya sayang tetapi ini adalah tanggungjawab dan perlu dilunaskan.
"Bagaimanapun saya teruja untuk melihat cara masyarakat Islam di negara itu berhari raya dan ia akan menjadi pengalaman berharga buat saya," katanya kepada mStar Online.
Qi yang berlepas ke Argentina pada 18 Julai lalu akan menghabiskan masa di sana selama dua bulan dan akan kembali ke tanah air pada 18 September depan.
Kunjungannya ke negara Latin itu adalah untuk rakaman program Art Attack untuk siaran saluran Disney.
Dalam perkembangan sama, Qi berkata, dia juga turut membawa sepasang baju Melayu untuk dipakai pada Hari Raya nanti bagi mengubat rindunya pada keluarga di kampung halaman.
Jelas Qi, dia juga telah mengenal pasti lokasi masjid dan komuniti masyarakat Islam di sana bagi memudahkan dia berkunjung untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
"Bila difikirkan, inilah peluang saya untuk mengenali masyarakat Islam di luar negara dan pengalaman ini bukan semua orang boleh dapat," jelasnya.
Sementara itu, Qi turut mengakui rindukan kekasihnya namun sentiasa berhubung menerusi ‘WhatsApp’ bagi saling bertanya khabar tentang keadaan diri masing-masing.
Linda Hashim Ambil Peluang Kenali Keluarga Beego
Aktres Linda Hashim yang baru mendirikan rumah tangga dengan pelakon Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego, 33, mengambil kesempatan pada Hari Raya ini untuk mengenali lebih dekat keluarga suaminya.
Linda, 29, berkata sejak berkahwin pada 7 Jun lalu, dia belum lagi berpeluang mengenali keluarga besar Beego yang berada di Johor Bahru.
"Pertama kali beraya sebagai suami-isteri sudah tentu berbeza berbanding sewaktu bujang dulu. Kali ini kami akan beraya di Johor Bahru.
"Peluang pada Hari Raya ini membuka ruang kepada saya untuk berjumpa dengan sanak saudara sebelah keluarga Beego, mereka pun sudah awal-awal lagi suruh kami balik beraya di sana," katanya.
Tambah Linda, beraya bersama keluarga mertua turut mengubat rindu terhadap Allahyarham ibunya.
"Sedih juga kali ini tidak dapat ke kubur ibu selepas sembahyang raya, tapi Insya-Allah lepas beraya di Johor kami akan balik ke kampung saya di Perak pula.
"Beraya bersama keluarga mertua terutamanya ibu mertua sedikit sebanyak mengubat rasa rindu terhadap kasih sayang seorang ibu," katanya.
Iqram Dinzly Kesal Tidak Kahwin Muda
Pelakon Iqram Dinzly mula berasa kesal kerana tidak berkahwin pada usia muda selepas melihat rakan-rakan sebayanya bahagia di samping keluarga masing-masing.
Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 32, berkata, dia kini sudah bersedia untuk berumah tangga kerana tidak mahu ketinggalan merasai hidup berkeluarga.
"Apabila melihat kemesraan kawan-kawan bersama pasangan dan anak-anak mereka, baru terdetik rasa penyesalan kerana saya tidak berkahwin awal tapi apa boleh buatkan?
"Saya sekarang juga sudah bersedia untuk berkahwin dan harap-harap dapat tamatkan zaman bujang dalam masa terdekat," jelasnya kepada mStar Online.
Iqram bagaimanapun memberitahu buat masa ini dia masih belum mempunyai calon untuk disunting sebagai isteri.
"Sementara belum ada calon saya mahu mempersiapkan diri sebagai seorang lelaki dan bakal suami yang sempurna sebelum melangkah ke alam perkahwinan," jelasnya.
Dalam pada itu, Iqram memberitahu dia akan menjalankan perniagaan menternak lembu di kampung halamannya di Ipoh, Perak dalam masa terdekat ini.
Dia dan keluarga mendapat idea untuk terlibat dalam bisnes itu selepas mendapati permintaan yang tinggi terhadap daging lembu daripada pembeli terutamanya pada musim perayaan.
"Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk membuka perniagaan tetapi ragu-ragu dengan jenis bisnes apa yang harus dipilih selain kurang pengalaman.
"Bagaimanapun saya melihat peluang besar dalam bidang ini ditambah sokongan daripada keluarga," katanya.
Tambah Iqram, abangnya juga akan membantu menguruskan perniagaan itu nanti kerana mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, Iqram berkata, keputusannya untuk menceburi bidang perniagaan adalah sebagai persediaan untuk hari tua.
Sasha Saidin Utamakan Keperluan Anak
Penyanyi Sasha Saidin lebih mengutamakan kepentingan dan keperluan anaknya Arya, 4, setiap kali tibanya Hari Raya.
Sasha, 38, berkata, pada cuti Hari Raya ini juga dia dapat meluangkan waktu yang panjang untuk bersama anaknya itu.
"Anak saya sudah bersekolah tadika dan saya pula sibuk dengan kerja.
"Waktu kami berjumpa pun pada waktu pagi sahaja ketika saya hantar dia ke sekolah," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Sasha berkata sambutan Hari Raya kali ini memberi perbezaan buatnya apabila dia tidak lagi bersama bekas suaminya Salyo Priyanto yang sudah pulang ke Indonesia selepas mereka berpisah kira-kira dua tahun lalu.
"Walaupun kami sudah berpisah dua tahun tapi pada tahun lalu dia masih lagi di sini dan kami sambut raya bersama-sama.
"Kali ini dia sudah balik ke Indonesia, kita mungkin akan berhubung melalui Skype sahaja nanti," katanya.
Tambah Sasha, anaknya kini sudah boleh menerima kehidupan tanpa seorang bapa.
"Kalau dulu memang dia kerap bertanya tentang ayahnya. Tapi sekarang sudah kurang mungkin kerana sudah ramai kawan di sekolah.
"Tapi kalau dia tanya saya akan hubungi Saylo melalui Skype.
"Apa yang saya lihat dia semakin bahagia dan boleh menerima kehidupannya dengan kasih sayang keluarga kami," katanya.
Sementara itu, ditanya tentang teman pengganti, Sasha berkata buat masa ini dia masih belum menemui lelaki yang berjaya membuatnya jatuh cinta kembali.
"Setakat ini belum ada lagi lelaki yang benar-benar buat hari saya terbuka untuk mereka. Kalau boleh saya nak lelaki Melayu yang beriman, yang boleh membimbing saya," katanya.
Ibu, Bapa Ke Mekah Tinggalkan Adibah Noor
Pelakon dan penyanyi Adibah Noor memberitahu sambutan Aidilfitri tidak lagi memberi keterujaan kepadanya memandangkan sudah lima tahun dia menyambut perayaan itu sendirian.
Adibah berkata, ini kerana sejak adiknya menetap di Mekah, ibu dan bapanya akan menjalani ibadah Umrah dan seterusnya beraya di sana bagi melawat adiknya itu.
"Adik saya menetap di Mekah atas urusan kerja dan setiap tahun ibu dan ayah akan melawat adik di bulan Syawal. Senang, boleh sambut raya terus bersama-sama.
"Jadi apabila dah macam itu, saya pula akan beraya sendirian di sini. Lagipun, kawan-kawan pun ramai di sini, boleh saja sambut raya dengan mereka," katanya.
Bagaimanapun beritahu Adibah yang juga merupakan penyampai radio Suria FM, dia begitu gembira apabila perlu bekerja di studio pada sambutan Aidilfitri kali ini.
"Jujurnya rasa seronok sangat sebab saya lagi suka bekerja berbanding cuti. Dan ini merupakan kali pertama saya bekerja pada sambutan Syawal.
"Rasa teruja pun lain macam saja. Jadi buat peminat-peminat, dengarkan saya berceloteh di pagi raya nanti tau," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Adibah bersama penyampai radio Suria FM lain iaitu Halim Othman, Reza Mohamed, Seri Nazira, Linda Onn, Bob Ringgo, DJ Lin, Wan Ajaib dan Naim Tahak berpadu suara dengan sebuah lagu Raya berjudul Aidilfitri.
Lagu tersebut turut dimuatkan dalam album kompilasi Raya Suria terbitan Suria FM, hasil kolaborasi bersama syarikat rakaman Life Records.
Awi Rafael Enggan Cari Pengganti Selepas Putus Cinta
Penyanyi Awi Rafael mengakui fokusnya kini bukan kepada hal peribadi dan tidak terfikir untuk mencari pengganti selepas putus cinta dengan pelakon Hanez Suraya.
Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 27, berkata, dia enggan menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana wanita buat masa ini kerana belum bersedia untuk mempunyai komitmen.
"Tidak adil untuk saya serius dengan mana-mana wanita buat masa ini kerana fokus saya tidak ke arah itu sebaliknya hanya kepada kerjaya muzik saya," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Awi berkata, dia berharap selepas ini dia tidak lagi dikenali kerana cerita-cerita kontroversi sebaliknya tentang perjalanan kariernya.
Jelas Awi, walaupun kontroversi mampu menaikkan namanya sebagai penyanyi namun dia merasakan sudah menerima terlalu banyak pendedahan tentang kehidupan peribadi.
"Saya tidak pernah menyangka akan terlibat dalam pelbagai kontroversi namun saya bersyukur kerana ia juga memperkenalkan saya kepada peminat.
"Bagaimanapun rasanya sudah terlalu banyak cerita yang keluar tentang saya dan harap-harap selepas ini hanya cerita mengenai kerjaya yang diberi perhatian," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Awi sedang merancang untuk menembusi pasaran Indonesia selain bakal menerbitkan album terbaharu.
Dira pegang amanah ayah
TIADA lagi susuk tubuh dan wajah girang ayahanda tercinta yang duduk di kerusi malas menunggu kelibat anak-anaknya terutama anak bongsunya, Dira Abu Zahar pulang berhari raya.
Tahun ini, kerusi malas yang terletak di luar rumah besar itu kosong selepas pemiliknya, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, 74, menghembuskan nafas terakhir pada 12 Julai lalu.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, di Merlimau, Melaka akibat komplikasi buah pinggang dan kencing manis kira-kira pukul 5.30 petang, pada saat umat Islam berada di hari ketiga Ramadan.
Allahyarham menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai pada 1986 selama dua penggal, diikuti DUN Merlimau (1995-1999) dan Parlimen Jasin (1999-2004).
Beliau kemudian menjadi Ketua Menteri Melaka kelapan menggantikan Datuk Seri Mohd. Zin Abd. Ghani yang meninggal dunia akibat angin ahmar pada 1997. Allahyarham menjadi Ketua Menteri Melaka bermula Mei 1997 hingga Disember 1999 sebelum digantikan oleh Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Ada getaran duka pada suara Dira dan sesekali kelopak mata pelakon berusia 29 tahun itu bergenang menahan sebak berkongsi memori indahnya bersama ayahnya tatkala ditemu bual secara eksklusif oleh Kosmo! di kediaman orang tuanya di Melaka.
"Setiap tahun, saya akan pulang sehari awal sebelum raya untuk berada di sisi ayah dan mak pada malam raya. Saya dan adik-beradik akan membuat ketupat dan mengacau dodol bersama-sama.
"Pada sebelah malamnya pula kami akan bermain bunga api dan ketika itulah ayah akan datang mengusik kami. Dia suka menyakat anak-anak dan cucu-cucunya, malah anak saya, Tengku Anggun Deandra sangat rapat dengannya. Telatahnya benar-benar menceriakan kami.
"Namun, raya tahun ini kami akan sunyi dan berasa janggal tanpa kelibat dan keletah ayah," ungkap Dira dengan suara yang tertahan-tahan menahan tangis.
Selepas menarik hela nafas, Dira menyambung bicaranya. Ujarnya, dia percaya arwah tidak mahu anak-anak dan cucu-cucunya bersedih dan andai mereka reda dengan pemergiannya, dia pasti tenang di sana.
Mengimbau mengenai arwah ayahnya, bicara Dira, ayahnya mengalami masalah buah pinggang dan keadaannya serius berikutan faktor usia dan daya tahan badannya yang tidak kuat.
"Selepas lima minggu berada di hospital, kami ambil keputusan untuk pindahkan ayah ke Hospital Besar Melaka dan pada 11 Julai lalu, tekanan darahnya turun mendadak.
"Ketika itu kami sekeluarga sedar yang hayat ayah mungkin tidak lama. Selepas Jumaat, ayah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya. Saya lega kerana dapat berada di sisi arwah dari hari pertama dia masuk hospital sehinggalah saat-saat akhir hayatnya," jelasnya yang memberitahu lega segala urusan pengebumian ayahnya mudah dan lancar.
Tangisan arwah
Disoal adakah sebarang permintaan arwah ketika masih hidup yang tidak dapat ditunaikannya, dedah Dira, semua kehendak arwah tidak pernah ditentang olehnya sama ada diminta belajar jurusan guaman, berkahwin dan pulang ke kampung apabila diminta.
Begitupun, Dira akui ketika awal pembabitannya dalam bidang seni, arwah tidak begitu menyenanginya kerana beliau mahukan anak bongsu daripada enam beradik itu meneruskan karier sebagai peguam.
"Saya berlakon tanpa pengetahuannya. Bila dia dapat tahu, memang dia tidak suka tetapi selepas melihat kesungguhan saya dalam bidang ini, akhirnya dia merestuinya.
"Selama saya dihimpit kontroversi, arwah tidak pernah melatah sebaliknya menasihati saya supaya mengambil semua itu sebagai iktibar. '
"Dia pernah cakap kerjaya saya dan dia lebih kurang sama iaitu terdedah kepada masyarakat, jadi tidak semua perkara yang dilakukan mampu menggembirakan hati orang ramai," jelasnya yang tersentuh dengan sokongan dan semangat yang diberikan oleh arwah ayahnya itu.
Meneruskan cerita mengenai ayahnya, kongsi Dira, berbanding anak-anak lain, ketika ibunya mengandungkannya, ayahnya sentiasa menemani ibunya, malah selepas lahir ayahnya juga sanggup bangun pada tengah malam membuat susu.
Sehingga ketika dia menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, ayahnya menangis untuk melepaskannya.
"Malah, ketika saya dapat meneruskan pengajian di Los Angeles, Amerika Syarikat, ayah tidak bagi pergi dan mahukan saya meneruskan pengajian di Malaysia sahaja,"ungkapnya.
Bimbang keadaan ibu
Tidak menyediakan sebarang persiapan raya, malah sempat membeli dua helai baju di gedung pakaian JAKEL yang dibawa ketika sesi fotografi yang turut disertai ibu dan anaknya, Dira mengakui bimbang mengenai keadaan ibunya.
"Apa yang saya bimbangkan sekarang adalah mak kerana dia tidak pernah berjauhan dengan ayah. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mak bersedih dengan pemergian ayah.
"Tetapi saya tahu dia sangat sedih sebab selama 49 tahun berkahwin mereka tidak pernah berjauhan, malah hubungan mereka mekar romantik.
"Ketika hujung hayatnya juga, ayah memang tidak bagi mak tinggalkannya walaupun sekejap. Ayah juga pernah berpesan untuk sentiasa menjaga mak jika dia tiada kelak. Amanahnya itu saya ingat dan akan pegang sampai bila-bila," jelasnya yang sering pulang ke kampung ketika bulan puasa untuk menemani ibunya.
Ujarnya lanjut, buat masa ini ibunya hanya tinggal bersendirian sambil ditemani oleh pembantu rumah.
"Dalam keadaannya sekarang, mak perlukan sokongan anak, dan saya tidak kisah berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur. Boleh dikatakan kebanyakan masa saya memang di Melaka bersama mak," katanya menutup bicara.
Farid beri amaran
Farid mendakwa Diana juga kecewa dengan sikap ibunya. Ramai yang ingin tahu keadaan Diana Danielle, 22, selepas melahirkan seorang bayi lelaki pada 2 Julai lalu di salah sebuah hospital di Sydney, Australia.
Peminat cuma tahu perkhabaran itu melalui laman sosial dan media yang melaporkan. Tidak lagi tahu isi hati bapa atau ibu kepada bayi tersebut. Boleh dikatakan para media sungguh bernasib baik kerana sebelum sidang akhbar drama bersiri, Jodoh Itu Milik Kita baru-baru ini, Farid Kamil, 32, muncul. Kesempatan itu digunakan oleh media untuk merisik khabar isteri dan anaknya yang kini berada di Australia.
Kedatangan Farid yang merupakan teraju utama drama itu sungguh menggembirakan walaupun tangannya berbalut akibat kemalangan ketika menunggang motosikal. Katanya, kemalangan tersebut berlaku dua bulan yang lalu menyebabkan tulang bahu kirinya patah dan terpaksa menjalani pembedahan akibat kerosakan tulang selangka kiri bagi menyambungkan semula tulangnya itu.
Dek kecederaan itu penggambaran yang melibatkan lakonannya dalam drama terbitan Pena Creative Pictures terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali.
Ikuti temu bual wartawan Hits, GARRET DAWUM bersama dengan Farid Kamil.
Hits: Hampir sebulan Diana bersalin, macam mana keadaan dia sekarang?
Farid: Alhamdulillah, Diana sekarang sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi selepas melahirkan. Sebelum lahir Diana juga terpaksa menahan kesakitan selama empat jam. Tetapi sekarang, dia mengalami 'mother blues' yang agak teruk. Sangat mengejutkan saya pada mulanya apabila melihat perubahan emosinya bertukar 360 darjah. Diana bersikap sangat defensif lebih-lebih lagi kalau saya pegang anak, dia akan sentiasa perhatikan saya.
Kenapa begitu sekali?
Farid: Ini mungkin disebabkan di awal kehamilan, Diana tidak mengalami sebarang alahan atau mengidam benda yang pelik-pelik. Jadi selepas bersalin baru dia mengalami sindrom seperti itu.
Apa yang Farid lakukan selepas itu?
Farid: Melihatkan keadaan isteri saya itu, saya terus dapatkan nasihat daripada ibu saya sendiri. Ibu saya beritahu perubahan yang dialami Diana adalah perubahan biasa yang akan di alami oleh kebanyakan wanita selepas bersalin. Tetapi keadaannya adalah dalam situasi yang berbeza.
Siapa yang menjaga Diana sekarang di sana (Australia) memandangkan Farid duduk jauh.
Farid: Saya memang akan ke sana semula untuk menjenguk isteri dan anak . Sementara ini, sepanjang berpantang Diana dijaga oleh saudara rapat sebelah keluarganya.
Sebut pasal berpantang, macam mana pula proses berpantang Diana di sana?
Farid: Sama seperti di Malaysia juga. Tapi saya nasihatkan Diana supaya berpantang 100 hari berbanding 45 hari seperti yang dia inginkan. Cuma ada beberapa benda yang sukar untuk saya bawa ke Australia kerana dilarang oleh pihak sana. Contohnya, herba-herba yang digunakan untuk berpantang. Jadi, semua benda yang digunakan, kami cuba dapatkan di Australia.
Bagaimana pula keadaan bayi?
Farid: Bayi sihat sahaja. Pertama kali menatap wajah anak, perasaan saya bercampur baur. Rasa gembira, sedih dan kagum dengan kejadian-kejadian yang berlaku dalam hidup saya. Barulah saya faham perasaan seorang ayah. Saya dan Diana kadang-kadang mempertikaikan satu sama lain, yang wajah anak kami mirip siapa. Sebab ada masa dia rupanya mirip saya, ada masa mirip Diana.
Sudah ada nama untuk bayi?
Farid: Buat masa ini belum diputuskan nama putera kesayangan kami, namun sudah ada beberapa pilihan nama untuknya. Mudah-mudahan dengan keberkatan Ramadan ini saya dikurniakan ilham untuk memilih nama yang paling sesuai untuk bayi kami. Lagipun, kelahirannya belum didaftarkan kerana sebagai warganegara Malaysia, kami suami isteri tidak digalakkan untuk mendaftarkan anak di Australia. Tambahan prosesnya rumit.
Apa perancangan Farid selepas ini?
Farid: Saya merancang membawa isteri dan anak yang kami panggil baby boy kemungkinan pada hari raya kedua nanti ke Malaysia. Selepas itu saya akan terus daftarkan bayi kami di sini (Malaysia). Kemungkinan kami akan menyambut 1 Syawal di Australia dan selepas itu baru saya bawa Diana dan anak kami pulang beraya di kampung saya di Sungai Petani dan juga di kampung Diana.
Apa panggilan setakat ini untuk Farid dan Diana kepada anak?
Farid: Setakat ini saya membahasakan diri kepada anak sebagai babah manakala Diana pula dengan panggilan ibu.
Bagaimana pula kemelut dengan ibu mertua, Norsiah Ramli?
Farid: Sebelum ini memang banyak luahan rasa kecewa terhadap ibu mertua saya di laman Twitter. Apa yang saya kesal, Diana juga kecewa dengan sikap ibunya yang tidak mengambil tahu keadaannya. Apatah lagi di saat-saat proses terakhir kehamilan Diana. Mula-mula, Diana kecewa dengan ibunya sejak dia tidak merestui perkahwinan kami. Saya juga tidak pernah mendengar ibu mertua telefon bertanyakan khabar kepada Diana.
Jika ibu mertua ingin berjumpa Diana dan anak Farid macam mana pula?
Farid: Jika ingin berjumpa, dia (ibu mertua) perlulah bersemuka terlebih dahulu dengan saya. Apa yang boleh saya katakan, sekiranya dia ingin melihat baby dan berjumpa isteri saya, suruh dia datang jumpa saya dulu. Selagi beberapa perkara belum selesai, adalah lebih baik dia berjumpa saya dulu.
Kenapa begitu sekali Farid beri amaran kepada ibu mertua?
Farid: Saya buat macam ini sebab risaukan perkara yang tidak diingini serta kemungkinan-kemungkinan yang buruk akan berlaku pada anak dan isteri saya. Saya dapat rasakan mertua saya akan bertindak di luar kawalan. Bukan berdendam tetapi lebih kepada mahu melindungi anak dan isteri saya. Biar semuanya selesai dahulu dan saya juga tidak mahu panjangkan kekecewaan yang pernah ibu mertua saya alami.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
