Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
'Suami Saya Tidak Koma' - Isteri Yazit (Search)
Isteri kepada pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmat iaitu Ramlah Mat, berharap pihak luar tidak membuat spekulasi berhubung keadaan suaminya yang dikatakan bertarung nyawa dan berada dalam keadaan koma di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Ramlah, 53, berkata, ramai yang beranggapan sebegitu selepas melihat foto Yazit yang dipasang tiub pada mulut dalam keadaan tidak sedarkan diri sebaliknya suaminya itu diberi ubat tidur untuk menjalani rawatan.
"Ramai yang dah silap anggap, orang kata Yazit koma, tetapi sebenarnya tidak. Doktor memberinya ubat tidur supaya dapat memasukkan tiub untuk menjalani rawatan.
"Paru-paru suami saya berair sehingga menyebabkan doktor perlu membuat rawatan menyedut air pada paru-parunya itu," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Yazit yang mempunyai masalah buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSA pada pukul 3 pagi Isnin selepas mengadu sukar untuk bernafas.
Mereka sekeluarga tiba di Johor Bahru dari Kuala Lumpur pada Ahad lalu untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara Yazid.
Bagaimanapun tambah Ram, Yazit yang masih berada di ICU berada dalam keadaan stabil dan sudah sedar pada pagi Selasa.
"Alhamdulillah, dia sudah sedar dan Yazit perlu menjalani beberapa rawatan lagi. Mungkin dia akan dipindahkan ke hospital di Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini," ujarnya.
Pada 10 Ogos lalu, Yazit dipindahkan ke dua buah hospital iaitu dari HSA ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama selepas rebah di rumah keluarganya di Kluang, Johor.
Terdahulu, dia juga pernah dirawat di Hospital Ampang tiga tahun lalu dan kini terpaksa menjalani rawatan dialisis akibat penyakit buah pinggang.
BETTY BENAFE SELAMAT LAHIRKAN BAYI PEREMPUAN
Setelah membuat maternity photoshoot pada November lalu, akhirnya Betty Benafe selamat melahirkan anak sulungnya. Apa yang menarik, anak sulung Betty adalah perempuan dan lahir semalam (1 Disember 2013).
"Alhamdulillah... Finally one happy family Insyallah.. Amin," ujar Betty penuh lega apabila anak yang dikandungnya selama ini selamat lahir ke dunia.
Jadi klon Fazura?
PELIK sungguh bila Miss J dapat tahu yang ada artis wanita yang nak sangat jadi seperti pelakon cantik manis, Fazura!
Semua yang ada pada Fazura nak ditiru. Dari hujung rambut sampai hujung kaki hinggakan warna rambut dan jenama pakaian pun ditiru. Memang sahlah nak jadi klon Fazura!
Sampaikan percakapan, cara berjalan dan kalau boleh minyak wangi yang dipakai Fazura pun nak sama seperti yang diguna artis seorang ini. Nampak sangat terdesak!
Miss J ingat penyakit tiru-meniru di kalangan artis ini tak berapa sangat kronik. Biasalah kalau ada artis yang punya imej hebat, pasti jadi inspirasi buat artis wanita lain agar kelihatan hebat sepertinya.
Jadi apabila Fazura berkongsi tentang kecenderungan dalam bidang kecantikan dan obses terhadap barangan berjenama tertentu dalam laman sosial Instagram, tak sangka pula ada pihak lain jadikan dirinya sebagai ikon untuk diklon.
Hish... Buat apa nak klon orang. Cari identiti dan kekuatan sendiri. Jadi terkenal dan ternama dengan gaya anda sendiri. Kita sudah ada Fazura dan tak perlukan Fazura yang kedua!
Henti kaitkan saya dengan Shila Amzah - Sharnaaz
EKORAN fitnah yang diterima bertubi-tubi tanpa henti, pelakon Sharnaaz Ahmad, 26, telah membuat keputusan nekad untuk bersara daripada dunia hiburan dan meneruskan kehidupan dengan pekerjaannya sebelum ini.
Tindakannya itu kata Sharnaaz dibuat demi membahagiakan individu lain yang enggan melihatnya berada di pentas seni, selain ingin menjaga hati keluarganya daripada terus dilukai.
Kesempatan bertemu pelakon itu sempena majlis pelancaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta gandingannya bersama pelakon jelita, Nelydia Senrose di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! segera mendapatkan kepastian lanjut mengenai hal tersebut.
Sharnaaz turut mengulas perkembangan kisah bekas kekasihnya, Shila Amzah yang telah berpisah dengan Johan As’ari baru-baru ini. Ikuti sedutan temu bual tersebut.
Kosmo!: Keputusan Sharnaaz untuk bersara daripada dunia seni mengejutkan ramai. Adakah anda terkilan dengan tindakan itu memandangkan anda masih muda dan hijau dalam industri dan berbakat besar?
SHARNAAZ: Saya sangat terkilan sebab saya sangat sayangkan karier lakonan saya. Ada juga beberapa pengarah dan produser yang memujuk saya tapi saya sudah tidak mampu bertahan dengan fitnah dan cacian tanpa henti. Selama ini saya berdiam diri tapi sudah sampai masanya untuk saya bertindak bagi menggembirakan hati pihak yang mahu saya berundur.
Apabila membuat keputusan itu, apakah reaksi pihak yang selama ini sering melemparkan kata-kata negatif terhadap anda?
Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Selama ini, saya duduk diam pun tetap kena hentam. Namun, selepas saya memberitahu akan berundur pun tetap saya kena maki.
Apakah reaksi keluarga anda apabila mengumumkan untuk bersara?
Mereka menyokong tindakan saya dan mereka mengenali saya sejak daripada kecil. Malah, saya tidak pernah berbohong dengan kedua-dua ibu bapa saya. Asalkan jangan sentuh (libatkan) keluarga saya, itu sudah memadai. Cukuplah mengutuk saya seorang. Saya tidak mahu mulakan perang!
Adakah drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta adalah lakonan terakhir anda?
Saya masih dalam perbincangan dengan produksi drama bersiri Cinta Ramadan yang sepatutnya membabitkan saya bersama Elfaeza Ul-Haq. Saya telah berjanji untuk terbabit dalam penggambaran siri terbaharu drama itu, biarpun mereka tidak memaksa tapi rasa kurang manis pula kalau saya tidak tepati janji saya. Keputusan ini pun perlu dibincangkan bersama keluarga saya, kalau mereka tidak bersetuju pun susah juga nanti. Ikutkan hati memang nak bersara.
Adakah anda sudah mempunyai perancangan lanjut sekiranya bersara daripada dunia seni kelak?
Saya akan kembali semula bekerja dalam bidang hartanah atau industri minyak dan gas. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang sukan permotoran dan insya-Allah akan menyertai Malaysian Super Sport Motor Series tahun depan. Sekarang masih dalam proses pembelajaran sejak bulan Ogos lalu. Alhamdulillah dari segi teori, kelajuan dan kedudukan badan sudah boleh kuasai sedikit sebanyak.
Mengejutkan umum apabila hubungan mesra Johan As’ari dan Shila Amzah putus di tengah jalan setelah Johan mengambil keputusan bakal berkahwin dengan Lana Nodin. Apakah komen anda?
Saya tidak tahu, tidak mahu mengulas lanjut. Saya tidak mahu komen apa-apa, mungkin hari ini hari dia, esok lusa mungkin hari saya. Jodoh itu Tuhan tentukan. Saya tiada masalah dengan Johan, sebelum ini pun saya pernah mengucapkan good luck untuk filem terbaharunya, Balada Pencinta.
Melalui Twitter anda kelmarin, anda dilihat begitu marah dengan menulis kata-kata yang kurang enak seperti mahu memukul orang yang masih mengaitkan anda dengan kes Johan-Lana-Shila. Apa komen anda?
Memang saya yang menulis kenyataan tersebut. Tentang pernyataan berbunyi ‘Hammer boleh berbicara’, itu bukan bermaksud saya nak pergi pukul orang dengan tukul besi, sebaliknya ia adalah metafora kemarahan saya kepada orang yang asyik mengaitkan saya dengan ‘cinta’ mereka. Sebenarnya, saya tak marah pada Shila atau Johan, sebaliknya kepada pihak yang cuba menjodohkan saya kembali dengan Shila. Saya mohon kepada semua, beri saya peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri dan henti kaitkan saya dengan Shila.
Demi Johan, Lana Nordin sedia untuk berhijab?
Pelakon, Lana Nordin, 34, bakal mengubah penampilan diri daripada seorang selebriti yang selalu mengenakan pakaian seksi untuk menjadi seorang wanita yang bertudung.
Menurut sumber, keputusan itu diambil oleh Lana kerana cintanya kepada kekasih hati, Johan As'ari, 27.
"Dia (Lana) bakal berhijab kerana tidak lama lagi akan berkahwin dengan Johan. Keinginan untuk berhijrah juga memang pernah dimaklumkan oleh Lana sendiri kepada saya sebelum ini sepanjang berkenalan dengan Johan.
"Katanya kepada saya, kalau boleh, biarlah dia bertudung kerana dia bakal berkahwin. Lagipun, Lana menyifatkan perkahwinannya itu bukan perkara main-main. Itu adalah serius!" jelas sumber itu kepada Utusan Online di sini hari ini.
Semalam, Johan sebelum ini dikaitkan dengan Shila Amzah meluahkan keinginannya untuk menyunting Lana sebagai isteri setelah terpikat dengan kelembutan pelakon tersebut.
Dalam pada itu, tambah sumber, Lana juga telah menyatakan hasrat untuk memakai pakaian muslimah ketika menghadiri sebuah majlis penganugerahan berprestij pada tahun depan. - UTUSAN ONLINE
Lana Nordin Nafi Guna Ilmu Hitam Pikat Johan As'ari
Pelakon Lana Nordin meluahkan rasa sedih apabila dituduh menggunakan ilmu hitam untuk memikat aktor Johan As'ari gara-gara aktor tersebut telah melamarnya untuk dijadikan sebagai isteri dalam tempoh masa tiga hari perkenalan.
Lana, atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin, 33, berkata, dia terkejut apabila dituduh sebegitu kerana dirinya bukanlah seorang pengamal ilmu hitam sebaliknya menyifatkan lamaran Johan, 27, itu adalah jodoh yang ditentukan Allah S.W.T.
"Susah untuk terangkan situasi ini, saya anggap perkenalan dalam tempoh tiga hari ini dan kemudian terus dilamar dianggap sebagai pertemuan baik antara saya dan Johan.
"Ini kerana saya mahu seorang lelaki yang menerima saya seadanya dan kemudian membimbing saya mengubah diri ke arah kebaikan. Terkejut juga apabila orang anggap saya gunakan ilmu hitam terhadap Johan. Itu adalah tuduhan yang tidak masuk akal," katanya.
Menerusi sebuah laporan akhbar pada Khamis lalu, Johan yang sebelum ini dianggap menjalinkan hubungan mesra dengan penyanyi Shila Amzah dilaporkan telah melamar Lana untuk dijadikan sebagai isterinya selepas tiga hari berjumpa.
Pasangan itu bertemu ketika menjayakan sebuah program pada 18 Oktober 2013 lalu dan tiga hari kemudian, Johan terus meluahkan isi hati dan hasrat beliau untuk memperisterikan aktres seksi itu.
Pada laporan tersebut, Johan berkata, dia percaya Lana adalah jodohnya yang dimohon ketika mengerjakan umrah pada April lalu.
Dalam pada itu, Lana mengakui ibu kepada Johan yang dikenali sebagai Datin Firdaus masih belum menerimanya sepenuh hati dan percaya, perubahan diri yang dilakukan sedikit demi sedikit akan melembutkan hati wanita tersebut.
Sementara itu, Johan pula berkata, dia percaya, perubahan Lana untuk menjadi seorang Islam yang baik pasti akan membuatkan ibunya menerima wanita yang dicintai itu.
Shaheizy Sam Akur Diri Semakin Kurang Popular
Pelakon Shaheizy Sam mengakui namanya sedikit tenggelam sejak kebelakangan ini namun terpaksa akur dengan proses jatuh bangun kehidupan seorang selebriti.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 31, berkata, walaupun pernah memenangi gelaran Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2012 pada April lalu, ini tidak bermakna namanya akan kekal popular sepanjang masa.
"Benda (populariti) ini kita tahu daripada dulu lagi bahawa setiap yang naik akan turun dan seseorang yang berada di puncak tidak akan kekal di atas selamanya.
"Tetapi saya terima perkara itu dengan hati yang terbuka. Semestinya ada jalan lain untuk mengekalkan populariti agar tidak terlalu jatuh," katanya.
Sehubungan itu tambah Sam, dia akan mengambil apa saja peluang dalam setiap tawaran lakonan yang diterima agar dapat mengekalkan momentum kerjayanya.
Dalam pada itu dia juga menjadikan idolanya iaitu Datuk Rosyam Nor sebagai contoh dan rujukan dalam mengekalkan nama dalam industri hiburan tempatan untuk tempoh masa yang lama.
"Kalau dahulu sebelum dikenali ramai, saya selalu tertanya-tanya kenapa bakat saya susah mendapat perhatian walaupun sudah 10 tahun dalam industri.
"Tetapi lama-kelamaan, saya faham apabila melihat industri sebagai sebuah perniagaan hiburan yang juga memerlukan strategi pemasaran. Itu yang akan cuba saya lakukan," ujarnya.
Sementara itu, Sam yang telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi filem SAM pada Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) Sabtu lalu itu akan muncul dengan sebuah filem terbaharu berjudul Manisnya Cinta Di Cappadoccia arahan Bernard Chauly.
Paul Walker maut nahas jalan raya
Pelakon filem Fast & Furious, Paul Walker dan seorang rakannya, Roger Rodas maut dalam satu kemalangan di Hercules Street berhampiran Valencia, California di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, Walker, 40, menaiki sebuah kereta jenis Porsche GT yang dipandu Rodas ketika dalam perjalanan ke pameran kereta amal anjuran pertubuhannya, Reach Out Worldwide bagi membantu mangsa Taufan Haiyan di Filipina.
Kenderaan yang dipandu bekas pemandu lumba kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebatang tiang telefon dan pokok sebelum terbakar.
Menurut polis Los Angeles, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu laju.
Kematian Walker turut disahkan pengurusnya, Ame Van Iden.
"Dukacita kami maklumkan bahawa Paul Walker telah meninggal dunia dalam kemalangan kereta semasa dalam perjalanan menghadiri acara amal untuk organisasi Reach Out Worlwide hari ini.
"Dia adalah penumpang di dalam kereta milik rakannya itu dan kedua-duanya terbunuh. Berita ini amat mengejutkan. Doakan ahli keluarga dan rakan-rakan Walker supaya dapat mengharungi masa sukar ini," kata Iden di Facebooknya.
Sementara itu, beberapa saksi kemalangan maut tersebut telah memuat naik video berkenaan di laman web YouTube yang menunjukkan pasukan kecemasan berada di tempat kejadian.
Walker yang memegang watak sebagai Brian O'Conner dalam filem Fast & Furious, meninggalkan seorang anak perempuan, Meadow Rain, 15.
Kematian Walker membawa kegusaran kepada pengarah filem Fast & Furious 7, James Wan berikutan filem tersebut masih lagi dalam proses penggambaran dan dijangka akan ditayangkan pada 11 Julai tahun depan.
Fast & Furious 6 sebelum ini diarahkan oleh Justin Lim dan tugas mengarah filem Fast & Furious 7 kali ini diberikan kepada Wan seorang warga Australia yang dilahirkan di Kuching, Sarawak. - AGENSI
Rossa Tidak Ajar Anak Hidup Mewah
Penyanyi Indonesia Datuk Rossa tidak gemar memanjakan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan untuk hidup dalam suasana kemewahan walaupun beliau berkemampuan berbuat demikian.
Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 35, berkata, dia juga tidak pernah membeli mainan mahal untuk Rizky, 7, kerana bimbang anaknya itu tidak akan faham erti kesusahan apabila besar kelak.
"Walaupun dia masih kecil, tetapi saya tidak senangkan dia dengan membeli barang-barang mewah. Setakat ini barang paling mahal yang saya belikan ialah iPod jenis biasa untuk dia mendengar lagu.
"Malah telefon bimbit untuk memudahkan saya menghubunginya saya berikan kepada pembantu rumah untuk dijaga," katanya.
Rossa ditemui pada pratonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Khamis.
Bagaimanapun kata Rossa dia tidak menolak kadang kala Rizky berasa keliru apabila melihat kehidupan glamournya sebagai selebriti.
Malah katanya, anak lelakinya itu sering bertanya dengannya mengenai layanan istimewa diberikan kepadanya tidak seperti mana ketika berada di rumah.
"Pernah sekali ketika menghantarnya ke sekolah, dia bersama bekas suami saya, Yoyo perlu beratur panjang dan dengan pantas dia meminta ayahnya potong barisan dan berkata 'kitakan artis'.
"Masa itu Yoyo berasa malu takut didengari orang sekeliling tetapi saya lihat dia semakin faham erti bersikap sederhana," katanya.
Sementara itu, menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Rossa bersama penyanyi Hafiz berduet bagi lagu runut bunyi drama berkenaan berjudul Salahkah.
Bukan Kerana Aku Tak Cinta bakal disiarkan pada setiap Isnin hingga Rabu bermula 9 Disember depan di Astro Mustika HD (saluran 134).
Ibu Shamshul Ghau Ghau, Bapa Misha Omar Meninggal Dunia
Ibu kepada pelawak Shamshul Ghau Ghau, Rokiah Ibrahim, 91, meninggal dunia pada pukul 12.30 malam Jumaat kerana sakit tua.
Shamshul atau nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin, 45, berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kubu Gajah, Selama, Perak.
"Arwah sudah lama mengalami sakit tua tapi sejak dua minggu kebelakangan ini sahaja sakit dia agak teruk.
"Arwah tidak mahu makan sehingga malam tadi menghembuskan nafas terakhir di rumah kakak saya di Tanjung Malim, Perak," ujarnya.
Tambah Shamsul, dia dan adik-beradik yang lain menerima pemergian tersebut dengan hati yang tenang.
"Saya dan keluarga masih lagi dalam perjalanan pulang, InsyaAllah jenazah akan dikebumikan selepas Asar nanti,
"Pesanan terakhir arwah seperti biasa ialah menjaga keluarga dan ibadah dengan baik," katanya.
Sementara itu, bapa kepada penyanyi Misha Omar, Omar Ismail, meninggal dunia pada pukul 5.30 pagi tadi.
Misha atau nama sebenarnya, Samiha @ Aisah Omar, 31, menulis di laman twitter berkata jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pantai Irama, Bachok, Kelantan pada pukul 12.30 tengah hari Sabtu.
"Alhamdulillah jenazah sudah selamat dikebumikan, terima kasih atas ucapan takziah daripada sahabat semua," tulisnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]



