Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Linda Rafar Masih Tertanya-Tanya Penyakit Anak

Pelakon dan penyanyi Linda Rafar masih tidak mengetahui penyakit sebenar anak keduanya iaitu Rezaiman Keiflin yang kini terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dekat sini sejak tiga minggu lalu. Linda yang dihubungi mStar Online pada Isnin berkata, dia masih menunggu laporan daripada pihak hospital selepas melakukan pelbagai ujian bagi mengetahui punca sebenar keadaan Rezaiman, yang berusia 12 tahun. "Saya sebagai ibu sendiri tertanya-tanya apakah punca sebenar keadaannya? Setakat ini saya tidak boleh berkongsi maklumat mengenai keadaan anak saya kerana doktor sedang membuat pemeriksaan lanjut bagi mencari punca penyakitnya itu. "Dia kini masih ditahan di hospital dan saya berharap dia akan kembali sihat seperti sedia kala," katanya. Linda diminta mengulas mengenai laporan yang mengatakan anaknya itu menghidapi penyakit kronik dan sukar diubati. Rezaiman Keiflin adalah anak hasil perkahwinan pertama Linda dengan Keifli Othman.
Dalam pada itu, Linda berkata, pada mulanya dia sukar menerima keadaan yang menimpa anaknya itu namun menganggap ia adalah ketentuan Allah dan dia harus tabah mengharungi situasi yang melanda. Jelas Linda lagi, semangat anak lelakinya melawan penyakit turut menjadi kekuatan kepadanya dan keluarga dan dia berharap agar anaknya cepat sembuh. "Sukar menerima keadaan yang dialami Rezaiman dan sudah kering air mata mengenangkan anak yang terlantar di hospital namun ini adalah ujian daripada Allah yang harus saya terima dengan redha.
"Ujian ini memberi kekuatan kepada saya dan keluarga namun bersyukur Rezaiman sendiri kuat menghadapi dugaan tersebut," katanya. Tambah Linda, biarpun masih ditahan di hospital namun Rezaiman tetap mengulang kaji pelajarannya di kelas khas yang disediakan PPUKM memandangkan tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Sementara itu, Linda yang kini sudah berhijab melahirkan rasa syukur diberi kesempatan untuk melakukan perubahan ke arah kebaikkan dalam hidupnya dan selesa dengan penampilannya itu. Jelas Linda perubahan itu sudah lama dilakukan cuma tidak dihebahkan secara umum kerana enggan niatnya disalah erti oleh sesetengah pihak.

Noryn Aziz Hamil Selepas Empat Tahun Kahwin

Penyanyi Jaz iaitu Noryn Aziz menganggap berita kehamilannya pada Januari lalu adalah hadiah paling besar yang pernah diterimanya. Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 37, berkata, sejak berkahwin dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada 2010 dia memang menantikan saat-saat bergelar ibu dan akhirnya ia bakal menjadi kenyataan. "Sebelum ini macam-macam cara saya dan suami ikhtiar untuk mendapatkan zuriat namun tidak berjaya. "Alhamdulillah usaha dan doa kami berdua akhirnya membuahkan hasil dan saya kini sedang hamil empat bulan dan dijangka bersalin pada September depan," katanya kepada mStar Online. Noryn ditemui pada sidang media Secretaries Week @ PICC yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Isnin. Penyanyi itu bakal membuat kemunculan istimewa pada persembahan istimewa Minggu Setiausaha bersama Afghan di Dewan Perdana pusat konvensyen itu pada 16 April ini.
Dalam pada itu, Noryn berkata, sebelum disahkan hamil dia banyak melakukan rawatan akupunktur yang disarankan oleh rakannya yang juga penyanyi, Nurul Wahab. Jelas Noryn, rawatan tersebut banyak membantunya dalam melancarkan kembali sistem dalamannya tambahan pula dia mengalami masalah kurang darah dalam badan. "Alhamdulillah dengan izin Allah selepas beberapa kali melakukan rawatan itu saya disahkan hamil anak pertama selepas sekian lama mencuba mendapatkan zuriat. "Saya juga banyak meminta nasihat dan pandangan daripada rakan selebriti seperti Nurul dan Betty Benafe kerana mereka mempunyai pengalaman," ujarnya. Tambahnya lagi, buat masa ini dia tidak mengalami sebarang alahan teruk namun mengakui sentiasa berasa penat. Sementara itu, Noryn berkata, dia berhasrat untuk memperlahankan karier nyanyiannya selepas ini dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir.
Bagaimanapun kata Noryn, itu tidak bererti dia akan meninggalkan terus bidang nyanyian sebaliknya akan lebih memilih undangan yang ditawarkan kepadanya. "Mungkin saya akan kurang mengadakan persembahan bersifat komersial namun jika ia berkaitan dengan kebajikan atau acara tertutup saya akan terima. "Saya juga mahu kembali menjadi pengajar dalam bidan vokal selain memberi tumpuan kepada kerja-kerja belakang tabir," ujarnya. Tiket untuk menyaksikan persembahannya pada Secretaries Week @ PICC dijual serendah RM5,880 hingga RM8,880 untuk sebuah meja yang memuatkan 10 tetamu.

Jaclyn Victor Umum Tarikh Kahwin Selepas Aidilfitri

Penyanyi Jaclyn Victor memberitahu bakal mengumumkan tarikh perkahwinanya selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada bulan Julai depan. Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 36, berkata, dia sudah mengambil keputusan tersebut dan kini dalam perbincangan untuk menetapkan tarikh keramat itu. "Ya, saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan sudah ada perancangan ke arah itu dalam masa terdekat ini. "Namun begitu, saya belum lagi berbincang dan menetapkan tarikh, mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri baru saya umumkan segala-galanya termasuklah siapa bakal suami saya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin. Jac berkata demikian ketika diminta mengulas tentang komennya di laman sosial Instagram bahawa dia bakal berkahwin tidak lama lagi. Tambahnya, keputusan tersebut dibuat sejak awal bulan lalu, namun dia terpaksa menyimpannya bagi menghormati insiden pesawat Penerbangan malaysia, MH370.
"Pagi ini saya ada berita baik untuk dikongsikan dengan semua. Rahsia ini saya simpan sejak awal bulan lalu bari menghormati semua yang terlibat dengan MH370. "Saya juga minta maaf kerana mengumumkan berita ini disaat semua masih lagi bersedih dengan insiden MH370. Akhirnya, saya dapat menjawab soalan mereka yang sentiasa bertanya bila saya akan kahwin," katanya. Sementara itu, ditanya tentang jejaka yang bakal menjadi suaminya, Jac berkata, dia akan memperkenalkan lelaki itu selepas mengumumkan tarikh perkahwinan berkenaan. Dalam pada itu, Jac turut berharap peminatnya mendoakan agar segala urusan dan perancangannya mendirikan rumah tangga berjalan lancar.

'Ya... Saya Jaja Cerita Artis' - Shuhaimi Lua

Pengarah drama Shuhaimi Lua Abdullah mengakui menyampaikan cerita-cerita artis yang berlaku di dalam produksi penggambaran melibatkannya atas tujuan mempromosikan karya yang dihasilkan. Shuhaimi, 39, berkata, walaupun begitu, dia akan meminta kebenaran artis terlibat terlebih dahulu sebelum menyampaikan cerita yang berlaku kepada pihak media. "Mana-mana produksi pun akan menceritakan apa-apa kejadian yang berlaku di set penggambaran sekiranya terdapat masalah yang ditimbulkan seseorang artis. "Begitu juga dengan saya yang turut melakukan perkara sama, tetapi ia bukanlah bertujuan mencari kontroversi murah untuk mengaibkan mana-mana artis. "Sebaliknya saya meminta kebenaran artis tersebut untuk menceritakan kejadian yang berlaku kepada media dan mereka pun faham ia sekadar atas tujuan promosi. Atas persetujuan itu barulah saya akan memaklumkannya kepada media," katanya yang dihubungi mStar Online di sini Selasa. Shuhami diminta mengulas tuduhan kononnya dia suka menjaja cerita yang berlaku di lokasi penggambaran bertujuan untuk meraih publisiti murahan. Terdahulu kekecohan berlaku apabila Shuhaimi dikatakan telah menegur cara pelakon Fasha Sandha yang meninggalkan lokasi penggambaran telefilem Baju Raya Yaya selepas wanita itu tidak berpuas hati dengan disiplin bintang baru Amyra Rosli yang sering datang lewat ke set drama berkenaan. Dalam pada itu tambah Shuhaimi, sebagai pengarah dia sering dihubungi oleh pihak media yang mahukan berita-berita tetapi dia bertindak menapis dahulu segala berita yang ingin disampaikan agar tidak timbul sebarang masalah. Bagaimanapun, Shuhaimi mengakui, sikapnya yang gemar berkongsi maklumat kepada pihak media sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasinya apabila ada di kalangan mereka tidak menghormati ‘perjanjian’ off' dan on record'. "Apabila ada wartawan yang mahu tahu kejadian sebenar masalah yang timbul di lokasi, saya bercerita secara off record' agar ia lebih mudah untuk wartawan tersebut memahami kejadian yang berlaku. "Bagaimanapun, apa yang berlaku pula menjadi sebaliknya apabila ada beberapa pihak wartawan mengambil kesempatan menulis apa yang tidak sepatutnya ditulis dan saya kesal dengan sikap sebegitu,” katanya. Dalam perkembangan lain, Shuhaimi bakal muncul dengan karya arahannya berjudul berjudul Beruk Tok Ayah dan bakal memulakan penggambaran drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna untuk siaran TV3.

Kena Ugut, Hanez Suraya Pasang 'Bodyguard'

Pelakon kontroversi Hanez Suraya terpaksa menggunakan khidmat bodyguard (pengawal peribadi) bagi menjaga keselamatan ketika berada di majlis-majlis tertentu ekoran ugutan diterimanya berhubung kontroversi rampas suami orang. Hanez, 29, berkata, keluarga terlalu bimbang dengan keselamatannya terutama ketika berada di tempat umum yang terdedah kepada risiko. "Saya tidak mahu punyai pengawal peribadi tetapi keluarga yang memaksa saya untuk menggunakan khidmat pengawal peribadi kerana mereka takut dengan keselamatan saya di luar. "Lebih-lebih lagi selepas menerima pelbagai ugutan daripada individu-individu yang tidak dikenali di laman sosial," katanya kepada mStar Online pada sidang media teater Projek Kahwin, di Istana Budaya, di sini, Selasa. Hanez turut terlibat dalam teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan pada 6 hingga 14 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Terdahulu pihak Istana Budaya terpaksa meminta kerjasama polis untuk berada di pusat kebudayaan itu sepanjang teater berkenaan berlangsung kerana bimbang keselamatan Hanez ekoran terdapat ugutan terhadapnya.
Bagaimanapun, Hanez berkata, dia lebih selesa keluar rumah secara sendirian atau bersama teman lain berbanding diiringi pengawal peribadi. Katanya, setakat ini, belum ada lagi kejadian yang tidak diingini atau ugutan yang serius daripada mana-mana individu tidak dikenali. "Saya tidak gemar pengawal peribadi bersama saya. Jadi, hanya di tempat-tempat tertentu sahaja saya akan gunakan khidmat mereka iaitu ketika ahli keluarga atau teman tidak bersama,” katanya. Sementara itu, ditanya tentang reaksi beberapa selebriti tempatan yang turut membuat kenyataan negatif dan menyalahkannya dalam kontroversi rampas suami orang, Hanez menganggap mereka tidak tahu perkara sebenar. Dia juga tidak mahu terlalu mengambil serius perkara itu dan menganggap semua orang boleh memberi pendapat masing-masing. "Dia orang yang bercakap begitu atau menyebelahi pihak lain kerana tidak tahu hal yang sebenar. Terpulang kepada mereka untuk beri pendapat," katanya.

Awi Rafael Tidak Ambil Tahu Kontroversi Bekas Kekasih

Penyanyi Awi Rafael tidak pernah mengambil tahu mengenai kontroversi yang melanda bekas kekasihnya, pelakon Hanez Suraya ketika ini. Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 28, berkata, sejak berpisah pada tahun lalu, mereka tidak lagi berhubung antara satu sama lain namun dia tetap mendoakan yang terbaik buat Hanez. "Apa yang berlaku sebelum ini adalah pengajaran kepada saya dan pada tahap ini saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mengambil tahu mengenai hal-hal berkaitan dengannya lagi," katanya kepada mStar Online. Terdahulu penyanyi lagu Asalkan Aku OK! ini diundang untuk mengadakan persembahan bersama Krisdayanti sempena minggu setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang bakal berlangsung di Dewan Perdana, PICC pada 17 April ini.
Dalam pada itu, Awi berkata, dia tidak pernah menyesal memutuskan hubungannya dengan Hanez kerana ia adalah keputusan terbaik untuknya pada ketika itu. Kata Awi, biarpun hubungan itu tidak kekal lama namun ia banyak memberi pengajaran dan mematangkannya dalam pelbagai sudut kehidupan. "Saya tidak kesal mengikut kata hati saya dan pada masa sama ia banyak memberi pengajaran biarpun ia tidak kekal lama," katanya. Tambah Awi, dia kini tidak mempunyai pengganti dan memberikan fokus sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian. Sementara itu, Awi menolak dakwaan lagu duetnya bersama Altimet berjudul Kalau Aku Kaya ditujukan kepada bekas kekasihnya itu. Awi berkata, tanggapan tersebut tidak masuk akal kerana dia hanya menyanyikan lagu berkenaan. Ia dicipta oleh Altimet, Omar K dan Audi Mok. "Tidak benar sama sekali dan orang mungkin hanya salah anggap tambahan pula bukan saya yang buat lagu itu," katanya. Dalam perkembangan lain, Awi sedang sibuk di studio rakaman bagi menerbitkan lagu terbaharu untuk penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Alif Aziz, Aisyah Aziz dan Syura.

Enggan Anak 'Bekerja', Diana Danielle Tolak Tawaran Iklan

Pelakon Diana Danielle memberitahu terpaksa menolak tawaran iklan yang mahu anaknya iaitu Muhammad menjadi model sesuatu produk kanak-kanak. Diana atau nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, 23, berkata, dia tidak mahu anaknya yang baru berusia sembilan bulan itu berhadapan dengan tekanan sewaktu penggambaran. "Setakat ini memang ada banyak tawaran iklan untuk anak saya, namun saya terpaksa tolak semuanya. "Saya dan suami rasa dia masih terlalu kecil untuk 'bekerja', biar dia membesar dahulu. Saya tidak mahu pembesaran dia terjejas kerana terpaksa bekerja," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Farid Kamil ini berkata, dia akan kembali berlakon pada Mei depan untuk sebuah filem epik mengisahkan soal sejarah negeri Sarawak. Tambahnya, sudah sampai masa untuk dia kembali semula berlakon bagi meningkatkan pendapatan keluarga selepas berehat panjang untuk membesarkan anak sulungnya itu. "Zaman sekarang kita kena bekerja untuk bantu ekonomi keluarga. Sudah sampai masanya saya kembali bekerja dan akan berlakon untuk sebuah filem epik tentang negeri Sarawak pada Mei ini. "Bagaimanapun, saya akan bawa sekali Muhammad ke lokasi kerana dia masih menyusu badan dan saya tidak sanggup berpisah lama dengan dia," ujarnya. Kata Diana, Muhammad juga tidak banyak ragam selain cepat selesa dengan orang lain.

Bimbang Mulut Orang, Anzalna Tidak Lagi Tayang Kekasih

Pelakon Anzalna Nasir menolak cakap-cakap orang kononnya hubungan dia dengan teman lelaki, Hanif Zaki mempunyai masalah ekoran dia jarang membawa kekasihnya itu ke mana-mana acara hiburan seperti yang dilakukan sebelum ini. Anzalna, 26, berkata, ketiadaan pemuda itu menemaninya adalah disebabkan dia tidak mahu terlalu terbuka mendedahkan hubungan mereka kerana bimbang ia akan menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak. "Hubungan kami masih baik dan percintaan juga berjalan seperti biasa cuma memang dia tidak lagi menemani saya ke majlis-majlis hiburan. "Cukuplah dia sering menjadi perhatian sebelum ini kerana kami bimbang ada pihak yang kurang senang apabila dia sering bersama saya," katanya kepada mStar Online. Anzalna bakal muncul dengan drama terbaharunya berjudul Aku Isterinya disamping Izzue Islam bermula 31 Mac ini menerusi slot Akasia di TV3. Drama arahan Fairuz Loy itu akan bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam. Dalam pada itu, Anzalna berkata, dia lebih selesa tidak mencampurkan urusan peribadi dengan kerjayanya kerana ia adalah jalan terbaik. Malah kata Anzalna, Hanif juga sibuk membina kerjayanya sementara dia menumpukan perhatian kepada bidang lakonan.
"Dia adalah pemangkin semangat saya dan dia sentiasa ada apabila saya dalam keadaan susah dan senang. Pun begitu, mencampurkan urusan peribadi dengan kerjaya bukan sesuatu yang baik. "Biarpun dia sering risau apabila ada kontroversi melanda, saya tidak mahu dia mencampuri perkara itu kerana enggan mengheretnya dalam masalah yang sama," jelasnya. Kata Anzalna lagi, pengalaman selama beberapa tahun dalam bidang hiburan sedikit sebanyak mematangkannya selain mengajar dia untuk bersikap profesional apabila timbul sesuatu isu. Terdahulu, Anzalna mengakui mempunyai masalah dengan pelakon Izzue Islam di set penggambaran drama Aku Isterinya namun memilih untuk tidak memanjangkan lagi isu berkenaan. Kontroversi itu timbul selepas Izzue dikatakan kurang selesa dengan sikap Anzalna yang dikatakan berlebih-lebihan dalam menghayati watak dalam drama tersebut sehingga menyebabkan isterinya cemburu. Dalam perkembangan lain, Anzalna bakal menjalani penggambaran drama bersiri Kalau Itu Jodoh Kita bersama pelakon Qi Razali dan Pekin Ibrahim untuk siaran TV Al-Hijrah. Drama itu akan menjalani penggambaran di Istanbul, Turki pada April ini.

Shakilla Khoriri Diserang Peminat Kerana Watak Jahat

Pelakon Shakilla Khoriri mendedahkan pernah diserang oleh seorang wanita hanya kerana membenci dengan watak antagonis yang dibawanya dalam sebuah drama sebelum ini. Shakilla, 25, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk melayan permintaan peminat yang ingin bergambar dengannya sebelum wanita berkenaan menyerangnya dari arah belakang. "Wanita berkenaan menggunakan tas tangannya untuk memukul bahagian belakang badan saya namun saya tenang kerana tidak mengetahui punca sebenar dia bertindak berkenaan. "Namun apabila dia memarahi saya dan menyebut watak dalam sebuah drama lakonan saya baru saya sedar punca dia bertindak demikian," katanya. Shakilla bakal muncul dengan drama bersiri Aku Isterinya disamping Anzalna Nasir dan Izzue Islam yang akan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3. Drama arahan Fairuz Loy itu disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam.
Tambah Shakilla, dia tidak mengambil hati terhadap wanita berkenaan ekoran kejadian itu kerana menganggap ia perkara kecil selain memandang positif terhadap apa yang berlaku. "Wanita itu kelihatan begitu bencikan watak yang saya bawa dalam drama itu dan itu menunjukkan lakonan saya berjaya memberi kesan kepada orang lain," jelasnya. Sementara itu, Shakilla mengakui masih belum popular berbanding aktres seangkatannya biarpun telah bergelar anak seni sejak lapan tahun lalu. Shakilla bagaimanapun berkata, dia bersyukur biarpun jarang mendapat publisiti namun tawaran lakonan diberikan kepadanya masih banyak. "Alhamdulillah rezeki saya masih murah dalam bidang lakonan selepas lapan tahun menceburkan diri dalam bidang ini biarpun kurang popular dikalangan peminat," katanya.

Encik Mimpi Masih Berahsia Enggan Dedah Dakwaan Berkahwin

Penyanyi Encik Mimpi bertegas untuk terus berahsia mengenai statusnya yang didakwa sudah berkahwin baru-baru ini. Encik Mimpi, 25, berkata, dia tetap dengan pendiriannya iaitu tidak akan mendedahkan hal peribadinya termasuklah enggan mengia mahupun menafikan bahawa dia sudah bergelar suami orang. "Saya tidak akan mengia atau nafikan dakwaan dikatakan sudah berkahwin. Biarlah ia menjadi rahsia Encik Mimpi. "Saya mahu orang melihat saya istimewa dan misteri. Juga saya mahu dinilai menerusi bakat nyanyian saya," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad. Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan penyanyi yang popular dengan lagu Rindukanlah itu sudah pun mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya baru-baru ini. Namun tetamu-tetamu yang hadir tidak tahu bahawa pengantin lelaki itu adalah Encik Mimpi, penyanyi lelaki bertopeng. Sementara itu, Encik Mimpi mengakui menyedari bahawa terdapat beberapa pihak yang mengambil kesempatan terhadap imejnya yang bertopeng. "Memandangkan saya bertopeng, ada pihak mengambil kesempatan pula mengakui diri mereka adalah Encik Mimpi. Ada juga berbuat demikian semata-mata mahu memikat wanita yang diminati mereka. "Bagaimanapun saya tidak mempunyai masalah tentang perkara itu kerana saya sudah lama tahu kesan-kesan sebegini akan berlaku apabila saya tampil dengan imej bertopeng," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails