Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Lufya Omar Tidak Lagi Jadi Penyanyi Kerana Berhijab
Penyanyi Lufya Omar nekad meninggalkan bidang nyanyian selepas berhijrah dan mengenakan hijab sejak Februari lalu.
Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 30, berkata, dia telah memikirkan secara mendalam berhubung keputusannya itu dan menganggap ia adalah tindakan terbaik.
"Bukan kecewa terhadap industri tetapi ia adalah kehendak saya sendiri dan saya sudah berfikir semasak-masaknya sebelum nekad membuat keputusan itu.
"Saya ada sebab tersendiri tetapi tidak perlu rasanya saya sebut secara umum," katanya kepada mStar Online.
Lufya sebelum ini pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-enam pada tahun 2008.
Tambahnya lagi, perancangan untuk tampil dengan lagu terbaharu juga dibatalkan dan hanya akan memfokuskan kariernya terhadap bidang lakonan.
"Saya akan terus berlakon tetapi akan lebih selektif terhadap tawaran diberikan agar bersesuaian dengan imej saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Lufya menyangkal dakwaan kononnya dia mengambil keputusan untuk berhijab kerana bakal berkahwin dalam masa terdekat ini.
Jelas Lufya, penghijrahannya itu tidak ada kena mengena dengan perkara itu sebaliknya ia dilakukan atas kesedaran diri sendiri.
"Tidak benar dakwaan itu tetapi jujurnya saya tergerak hati untuk menutup aurat selepas terkesan dengan pelbagai bencana menimpa negara kita sejak akhir-akhir ini.
"Ia menyedarkan saya bahawa kehidupan ini singkat dan Alhamdulillah sejak bertudung saya lebih tenang berbanding sebelum ini," jelasnya.
Hamil Pada Masa Sesuai, Fouziah Gous Sudah Sedia Jadi Ibu
Pelakon Fouziah Gous menganggap kehamilan anak pertamanya berlaku pada waktu paling sesuai kerana dia sudah bersedia untuk bergelar seorang ibu.
Fouziah, 32, berkata, sebelum ini dia masih dalam fasa 'berbulan madu' dan memfokuskan kepada kehidupan rumah tangga bersama suami, Zhafran Yusof memandangkan mereka bercinta selepas berkahwin.
"Tempoh hampir dua tahun mendirikan rumah tangga adalah untuk kami mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik dan juga berbulan madu.
"Alhamdulillah rezeki untuk menimang cahaya mata itu datang tepat pada masanya apabila kami berdua sudah bersedia untuk bergelar ibu bapa," katanya kepada mStar Online.
Fouziah yang sedang hamil dua bulan ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Raya Cosry yang diadakan di Hotel Royale Chulan di sini, Jumaat.
Pengacara program Nona itu berkahwin dengan Zhafran, 32, pada 22 September 2013.
Bagaimanapun kata Fouziah, dia tidak mahu terlalu teruja dengan kehamilannya itu kerana ia masih di peringkat awal kandungan.
"Siapa yang tidak gembira apabila diberitahu bakal menjadi ibu tetapi pada tahap ini saya tidak mahu terlalu teruja kerana ia masih pada peringkat awal.
"Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang namun Insya-Allah dengan iringan doa suami, keluarga dan peminat saya berharap semuanya akan selamat," jelasnya.
Dalam pada itu, Fouziah berkata, sejak disahkan hamil suaminya sentiasa memberikan perhatian agar dia berasa selesa terutama pada peringkat awal kehamilannya.
Bagaimanapun kata Fouziah, dia bersyukur kerana tidak mengalami alahan teruk seperti mana kebiasaan namun mengakui selera makannya bertambah.
"Suami saya sentiasa akan pastikan saya berada dalam keadaan baik dan adakalanya selepas penat seharian bekerja dia akan mengurut kaki saya.
"Saya tidak alami alahan teruk cuma selera makan bertambah dan saya sendiri terkejut kerana boleh makan nasi sampai enam kali sehari," katanya.
Sementara itu Fouziah berkata, biarpun sedang hamil dia akan terus menggalas tanggungjawab sebagai hos program Nona dan tidak berhasrat untuk berehat.
"Saya kini memang sudah jarang berlakon dan lebih menumpukan kepada Nona dan perniagaan secara online dan Insya-Allah akan terus mengacara biarpun sedang hamil.
"Peminat juga boleh melihat perubahan saya sepanjang kehamilan menerusi program tersebut," ujarnya.
"Lebih Manis Datang Tegur Salah Saya" - Syafiq Kyle
Pelakon Syafiq Kyle menafikan dirinya tidak boleh dikritik seperti mana dilaporkan di dalam sebuah akhbar mingguan pada Ahad.
Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 23, berkata, dia sentiasa bersifat terbuka dan menerima semua kritikan secara positif dan tidak pernah melenting jika ditegur.
“Saya ada terbaca artikel itu dan berasa hairan kerana sekarang ini saya sibuk dengan pengacaraan selain buat kerja belakang tabir. Jarang saya di set pengambaran sekarang ini.
“Kalau bab lakonan, saya sentiasa menerima kritikan kerana saya pun bukannya orang lama dalam industri dan setiap kritikan itu saya ambil secara positif,” katanya kepada mStar Online.
Menerusi ruangan pojok akhbar mingguan berkenaan, Syafiq dikatakan tidak boleh menerima teguran daripada pihak luar yang mengkritik lakonannya.
Perkara itu membuatkan ada segelintir pihak kurang senang dengan sikapnya itu yang masih tidak berubah sejak mula berkecimpung dalam dunia lakonan beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, Syafiq berkata dia bukan sekadar boleh menerima kritikan malah seringkali meminta pengarah menegur cara lakonannya untuk mendapatkan kualiti yang bagus.
Katanya lagi, tuduhan yang dilemparkan seperti itu sedikit sebanyak cuba menjatuhkan namanya di dalam industri.
“Sepanjang saya bekerja sebagai seorang pelakon, saya sendiri selalu bertanyakan kepada pengarah sama ada okay atau tidak cara lakonan saya.
“Memang agak terkejut la bila ada orang menyampaikan berita sebegitu kerana boleh memburukkan nama saya,” katanya.
Malah kata Syafiq, dia tidak mengenali individu yang dikatakan orang berpengaruh dalam industri hiburan tersebut dan menggangap lebih manis datang dan tegur dihadapannya bukan menyampaikan pada orang lain.
Dalam perkembangan lain, Syafiq kini mengikuti beberapa program televisyen bersempena dengan sambutan Aidilfitri dan bercadang ingin mengurangkan aktiviti lakonan pada bulan Ramadan.
Faezah Elai Selesa Berlakon Bawah Arahan Suami Kerana Berhijab
Pelakon Faezah Elai memberitahu lebih selesa berlakon di bawah arahan suaminya, Heykal Hanifah sejak dia mengambil keputusan untuk berhijab pada Februari lalu.
Faezah, 33, berkata, dengan cara itu lebih mudah bagi dia memilih watak yang bersesuaian dengan imejnya sekarang agar boleh menjaga batas wanita bertudung.
"Bukan tidak mahu berlakon di bawah pengarah lain tetapi kadang-kadang saya tidak dapat memenuhi kehendak watak diberikan kerana saya kini sudah bertudung dan saya perlu menjaga batasan.
"Bagi mengelakkan masalah, lebih baik saya berlakon bawah arahan suami, sekurang-kurannya dia faham jika saya tidak selesa melakukan sesuatu yang tidak bersesuaian dengan imej sekarang," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Faezah, dia masih menerima tawaran daripada produksi lain dan menerima sekiranya ia bersesuaian dengan imejnya kini.
Dalam pada itu, Faezah menjelaskan dia enggan mengulas mengenai keputusannya bertudung sejak Februari lalu kerana tidak mahu memperbesarkan hal berkenaan.
Sebaliknya Faezah berkata, sudah tiba masanya dia menutup aurat kerana ia bukan sesuatu yang pelik.
"Tiada apa yang ingin saya jelaskan berhubung keputusan itu cuma sudah tiba masanya saya berbuat demikian," katanya.
Sementara itu, Faezah berkata, selain berlakon dia kini sedang giat mempromosikan produk penjagaan wajah keluarannya iaitu Purest.
Jelasnya, inspirasi dalam penghasilan produk berkenaan selepas dia mengalami masalah wajah yang agak teruk sebelum ini.
"Buat masa ini saya belum melancarkan produk berkenaan secara rasmi sebaliknya menggunakan medium media sosial untuk menjualnya.
"Alhamdulillah selepas saya sendiri amalkan produk berkenaan ia memberi kesan positif dan barulah saya berani menjualnya kepada orang lain.
"Insya-Allah sambutan menggalakkan dan berharap dapat melancarkannya secara rasmi nanti," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Wadi untuk siaran slot Zehra di TV3.
Rozita Che Wan Lebih Bertuah Pada Usia 40-an
Pelakon Rozita Che Wan mengakui sejak usianya mencecah 40 tahun, dia banyak menerima tuah dan menggap hidupnya seperti baru bermula.
Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 42, berkata dia berasa bersyukur kerana masih mampu aktif dalam setiap kerjaya pada usia seperti ini selain menjadi contoh kepada wanita di luar sana.
“Kebanyakkan perempuan takut apabila mencecah umur 40 an tetapi bagi saya kehidupan saya bermula pada usia ini.
“Ramai orang kata lelaki lebih menonjol pada usia lanjut sebenarnya kejayaan boleh bermula pada bila-bila masa jika kita menjaga penampilan serta kerjaya,” katanya kepada mStar Online.
Rozita ditemui pada majlis pertunjukan fesyen lebaran oleh Ridzuan Bohari di Elegance Club, Bangsar, di sini pada Rabu.
Selain itu, Rozita berkata dia menerima tuah selepas usia meningkat mungkin kerana faktor rezeki dan tidak takut mencuba sesuatu yang baru.
"Jika nak dilihat semula, saya berkahwin dengan Zain pada usia 40 tahun kemudian menerima cahaya mata ketika usia 41 tahun dan bila mencecah 42 tahun pula, saya menerima tawaran menjadi duta untuk beberapa produk.
“Bagi perempuan di luar sana, selagi kita mampu buat sehabis baik lakukan sahaja dan jangan cakap bila dah tua tak boleh nak aktif, tak mampu bergaya dan tidak endahkan soal kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, Rozita yang mengayakan rekaan Ridzuan Bohari untuk koleksi lebaran pada tahun ini turut sama memakai perhiasan dari Elegance Club.
Antara rakan artis yang hadir pada pertunjukkan fesyen tersebut ialah Alyah, Zahnita dan Linda Jasmin.
Dalam perkembangan lain, Rozita baru saja menjadi duta untuk produk kecantikan Rysya Skincare dan bakal melancarkan produk minyak wangi dengan menggunakan label Precious RCW.
Johan As'ari Tiada Niat Buruk Muat Naik Video Mengaji
Pelakon Johan As'ari berharap videonya sedang mengaji yang dimuat naik di Instagram tidak memberi persepsi negatif kepada masyarakat.
Johan, 29, berkata, tujuan dia berbuat demikian adalah mahu berkongsi minat dalam mengaji Al-Quran dan pada masa sama berdakwah secara tidak langsung, bukannya mahu menunjuk-nunjuk.
"Sejak sekolah rendah lagi saya dididik untuk mengaji Al-Quran dan apabila sekolah menengah, saya menghabiskan 30 juzuk setiap tahun.
"Jadi, memandangkan saya sering berkongsi foto aktiviti-aktiviti lakonan saya, apa salahnya sekali sekala saya memuat naik video aktiviti kegemaran saya iaitu mengaji Al-Quran. Benda baik, tidak salah untuk dikongsi ," katanya kepada mStar Online.
Pada Selasa, Johan telah memuat naik beberapa video dia sedang mengaji Al-Quran di akaun Instagram miliknya.
Ramai peminat yang memuji kelunakan suara aktor itu yang mampu mengaji dengan baik.
Namun ada juga yang memberi komen berunsur negatif kononnya Johan sengaja ingin menunjuk-nunjuk kepada umum.
Sementara itu, Johan berkata, hampir setiap hari dia melakukan rutin tersebut lebih-lebih lagi mengaji di depan ibunya Datin Firdaus Abdul Kader, 58, yang kini sedang menderita sakit kanser tulang peringkat empat.
Ibu Johan kini sedang dirawat di Institut Kanser Negara, Putrajaya sejak dua minggu lalu.
"Apabila saya menjaga ibu, saya akan pastikan untuk mengaji di depannya. Syukur Alhamdulillah, walaupun sudah 25 kali menjalani rawatan kimoterapi, semangatnya masih kuat.
"Kerana itu saya dan adik beradik akan mengaji di depannya untuk pastikan semangatnya kuat untuk melawan sel kanser itu. Doakan ibu cepat sembuh, InsyaAllah," ujarnya.
Beritahu Johan, buat sementara waktu ini, dia hanya menerima tawaran lakonan yang membabitkan telefilem sahaja memandangkan tempoh masa penggambaran yang dijalani tidak terlalu lama, dan ia memudahkannya untuk menjaga ibunya secara bergilir-gilir bersama adik beradiknya.
"Saya Bukan Lembu Dicucuk Hidung" - Zain Saidin
Pelakon Zain Saidin menyangkal dawaan sesetengah pihak mengatakan dia seperti lembu dicucuk hidung kerana terlalu mengikut cakap isterinya iaitu pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta.
Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, 31, berkata, tuduhan yang dilemparkan adalah tidak benar sama sekali kerana sebagai seorang suami, Che Ta harus mendengar cakapnya.
"Perkara itu terjadi disebabkan mereka melihat Che Ta lebih berumur berbanding saya dan disebabkan percakapannya yang lantang mungkin orang nampak dia lebih macam mengarah saya.
"Sebenarnya banyak Che Ta dengar cakap saya kerana saya adalah suaminya," kata Zain kepada mStar Online.
Zain berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran Oh My English! Class of 2015 di Mahkota Ballroom, Hotel Istana, Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.
Tambah Zain, dia cuma mendengar cakap Che Ta dari segi penampilan diri untuk berfesyen kerana menggangap isterinya lebih memahami bidang berkenaan.
"Che Ta lebih tahu semua perkara mengenai fesyen. Saya cuma tahu mengenai fesyen street wear tetapi dia lebih kepada fesyen designer.
"Jadi tidak salah saya mengikutnya dari segi fesyen untuk mengubah penampilan supaya lebih mengikut kepada gaya fesyen yang terkini," katanya.
Dalam pada itu, Zain menjelaskan dia tidak kisah dengan dakwaan yang dilemparkan kerana ia merupakan perkara biasa yang harus ditempuhi sebagai selebriti yang menjadi perhatian umum.
Zain juga sudah lali dengan kritikan yang disebarkan melalui media sosial sehingga orang ramai mudah untuk membuat fitnah tanpa bukti yang sahih.
"Kebanyakan mereka yang membuat fitnah ini menyorok di sebalik penggunaan media sosial sahaja kerana kalau mereka betul-betul berani untuk sampaikan sendiri kepada saya, jumpa la untuk cakap terus terang kerana saya tidak kisah.
"Bagi saya media sosial memudahkan orang untuk bercakap apa sahaja tanpa bukti yang sahih jadi biar la perkara ini berlalu kerana lambat laun mereka akan diam juga," jelasnya.
Sementara itu mengenai Oh My English! Class of 2015 penonton akan disajikan dengan kejutan yang besar apabila Mr. Hendy Middleton telah mengalami perubahan fizikal sehingga menyebabkan beliau tidak dikenali.
Selain itu, banyak wajah baharu yang akan menceriakan suasana SMK Ayer Dalam menerusi telatah dan gelagat masing-masing antaranya penampilan Jualiana Evans, Cha-Cha Maembong, Azzam Sham, Afeeq Emir, Syamiem Elnisa dan Nazrief Nazri.
Rancangan ini akan disiarkan bermula 7 Jun depan menerusi menerusi Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135) pada Ahad pada pukul 6.30 petang.
Ramlah Ram Anggap Tak Manis Cakap Soal Jodoh
Penyanyi Ramlah Ram menganggap tidak manis bagi wanita pada usia sepertinya untuk bercakap soal jodoh apabila ditanya mengenai perkara itu.
Ramlah, 49, berkata, ini kerana dia tidak pernah berfikir untuk mencari pengganti sejak bercerai dengan suaminya lima tahun lalu.
"Pada usia saya sekarang tidak manis hendak bercakap soal jodoh malah saya tidak pernah berfikir mengenainya.
"Bagaimanapun sekiranya dipertemukan jodoh pada masa akan datang saya tidak menolak kerana ia adalah ketentuan," katanya kepada mStar Online.
Penyanyi itu ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 syarikat rakaman EMI di Saloma Bistro di sini, Isnin.
Ramlah dan Kamal Roslim, seorang Penerbit Sukan RTM bercerai pada 20 Mei 2010.
Mereka terdahulu berkahwin pada 3 November 2000 di Muar, Johor dan perkahwinan selama 10 tahun itu tidak dikurniakan cahaya mata.
Dalam pada itu, Ramlah berkata, dia tidak pernah berasa sunyi kerana kehidupannya sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti.
Malah kata Ramlah, jika tidak mempunyai sebarang persembahan dia akan meluangkan masa bersama ibu yang tinggal berdekatan dengannya.
"Hidup saya tidak sunyi kerana sentiasa sibuk dan jika tidak ada apa-apa saya akan ke rumah ibu untuk bersamanya.
"Malah hubungan saya dengan anak-anak saudara sangat rapat dan mereka tempat saya menumpang kasih," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ramlah berkata, dia kini sedang dalam proses mencari lagu sesuai sebagai single terbaharunya.
Bagaimanapun dia tidak terburu-buru kerana ingin memastikan lagu yang dilancarkan mampu memberi impak kepada peminat.
"Insya-Allah kalau boleh saya mahu keluarkan lagu baharu tahun ini tetapi saya tidak mahu terburu-buru kerana ingin mencari karya terbaik buat peminat," jelasnya.
Ella Amalkan Makanan Sunah Untuk Dapat Anak
Seperti juga pasangan lain, ratu rock Ella yang telah tiga tahun berumah tangga turut mengimpikan hasrat menimang cahaya mata dengan mengamalkan petua memakan makanan sunah ketika ini.
Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 49, berkata, selain amalan itu dia juga tidak terkecuali mendapatkan nasihat doktor bagi tujuan berkenaan.
“Kini saya mengamalkan makanan sunah dan mengikut saranan doktor yang memberi sedikit informasi mengenai makanan yang elok untuk diamalkan.
“Sememangnya saya dan suami sentiasa berusaha dan doakan moga kami cepat menerima cahaya mata, InsyaAllah,” katanya kepada mStar Online.
Ella ditemui pada sambutan 50 tahun EMI Malaysia dan gabungan syarikat itu bersama Universal Music di Saloma Bistro, disini pada Isnin.
Ella bernikah dengan seorang juruterbang iaitu Azhar Ghazali pada 9 Julai 2012.
Dalam pada itu Ella dijadualkan akan berangkat ke London selama dua minggu bermula Rabu ini bagi mengadakan persembahan buat pelajar Malaysia di kota metropolitan itu.
Katanya, pada kesempatan itu dia juga bakal menghasilkan muzik video terbarunya yang berjudul Istimewah (gabungan istimewa dan mewah) di Paris.
“Jadual saya agak padat kerana bukan sahaja perlu mengadakan persembahan malah turut membuat muzik video di sana,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ella bakal muncul dengan album barunya yang kini masih 40 peratus dalam pembikinan dan dijangka bakal keluar selepas Aidilfitri ini.
Ibu Tunggal Seperti Erra Fazira Tidak Molek Jaja Kisah Cinta
Penyanyi Erra Fazira enggan mengejar populariti dengan cara mencanang kisah cinta terbahrunya kerana ia dilihat tidak manis sebagai seorang wanita dan ibu tunggal.
Malah katanya, jika kisah itu terlalu diuar-uarkan, dia bimbang kenyataan tersebut akan memakan diri.
"Tidak molek rasanya dengan status dan usia saya sekarang untuk mencanang soal percintaan tambahan pula saya pihak wanita.
"Saya juga bimbang sekiranya keluar pelbagai kenyataan ia akan memakan diri sendiri sekiranya ada apa-apa berlaku nanti," ujarnya kepada mStar Online.
Erra ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Julia Betty dan Asha Karim yang diadakan di Flora Terrace di sini, Selasa.
Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abdin pada 25 Oktober 2007 dan bercerai pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak bernama Engku Aleesya yang kini berusia enam tahun.
Sebelum itu Erra pernah bertemu jodoh dengan penyanyi Yusry Abdul Halim dan bernikah pada 15 Jun 2003. Mereka bercerai tiga tahun kemudian tanpa dikurniakan cahaya mata.
Dalam pada itu Erra berkata, tujuan dia membuat pengakuan sudah mengenali seorang lelaki bujang sebelum ini adalah untuk mengelak dia didekati pemuda lain.
Ia juga kata Erra dapat menghentikan tuduhan daripada terus dikaitkan mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki seperti terjadi sebelum ini.
"Sebelum ini saya sering dikaitkan dengan pelbagai individu dan ia menimbulkan banyak salah faham walaupun ia tidak benar.
"Penjelasan mengenai dengan siapa saya sedang berkawan sebenarnya dapat menghentikan segala spekulasi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Erra kini banyak menumpukan perhatian dalam bidang pengacaraan berbanding lakonan bagi memastikan dapat meluangkan masa bersama anaknya.
"Tawaran itu ada tetapi kebanyakkannya bertembung dengan jadual penggambaran rancangan Primadona (terbitan Astro).
"Pun begitu saya selesa dengan bidang pengacaraan kerana ia lebih fleksibel dan masa bersama anak juga tidak terganggu," jelasnya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
