Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Suami Hanez Suraya Idam Anak Perempuan
Suami kepada aktres Hanez Suraya iaitu Romie Razin Adilha Abd Rais berharap isterinya itu bakal melahirkan bayi perempuan untuknya.
Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 30, berkata, suaminya teringin untuk menimang cahaya mata perempuan memandangkan sudah mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu.
"Jika diizinkan suami mengidam untuk dapat anak perempuan kerana sudah ada dua anak lelaki tetapi dia tidaklah sampai terlalu mengharap.
"Saya sendiri pun kalau boleh hendak anak perempuan tetapi itu semua kuasa Allah," katanya kepada mStar Online.
Hanez kini sedang hamil tiga bulan dan dijangka bersalin pada Januari tahun hadapan.
Dalam pada itu, Hanez bersyukur kerana tiga bulan pertama kehamilannya dia tidak mengalami alahan teruk seperti mana kebanyakkan wanita lain.
Bagaimanapun kata Hanez, sejak mengandung dia berasa loya terhadap bau-bauan seperti minyak wangi dan masakan.
"Alahan tiada tetapi tidak boleh bau wangi saya rasa hendak muntah termasuklah bau makanan tetapi Alhamdulillah saya sudah lepas tahap tiga bulan pertama," katanya.
Sementara itu, Hanez berkata, persiapan Aidilfitri pada tahun ini akan lebih tertumpu kepada suami dan anak-anak tirinya memandangkan dia kini sedang berbadan dua.
"Hendak tempah baju pun tidak seronok kerana sedang mengandung dan bimbang baju tidak muat nanti. Tapi apa pun suami dan anak-anak diutamakan untuk hari raya tahun ini.
"Sebagai seorang wanita yang kali pertama menyambut Aidilfitri buat pertama kali sebagai isteri, ibu dan hamil sudah tentu saya teruja dan berharap ia akan meninggalkan kenangan manis buat kami sekeluarga," ujarnya.
Ziela Jalil Mohon Maaf Jika Dramanya Dianggap Terpesong
Penerbit drama Ziela Jalil memohon maaf kepada mana-mana pihak yang kurang senang dengan beberapa adegan dalam drama terbitannya, Dia Isteri Luar Biasa yang dianggap terpesong daripada ajaran agama Islam.
Ziela berkata, dia mengambil komen-komen tersebut secara positif namun menyifatkan drama-drama penerbitannya itu masih lagi ada unsur-unsur teladan yang boleh diambil contoh.
"Apabila bercakap tentang hukum hakam Islam, saya tidak mengiakan benda yang salah dan tidak menghalalkan cara. Kalau nak ikutkan, banyak benda yang kita tidak boleh buat dalam drama.
"Bukan senang... Sebagai contoh, saya seorang ibu seronok melihat kepulangan anak lelakinya. Kalau seronok, takkan nak berdiri dan tunjuk mimik rasa gembira sahaja. Mesti kena peluk sebagai tanda sayang dan rindu.
"Bagaimanapun segala kritikan yang diberi saya terima dengan fikiran terbuka dan akan lebih berhati-hati menghasilkan drama pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Ziela yang juga penerbit Pena Kreatif Sdn Bhd diminta mengulas surat terbuka kiriman pembaca di sebuah blog kepadanya yang mengkritik drama itu kerana memaparkan adegan tidak sepatutnya ataupun mengundang maksiat.
Ini kerana terlalu banyak adega mesra secara berlebih-lebihan lakonan Fathia Latiff dan Shukri Yahya sebagai suami-isteri sehingga menimbulkan rasa kurang senang penonton apatah lagi drama itu ditonton bersama anak-anak.
Individu berkenaan turut berkata, drama-drama seperti itu mampu merosakkan akidah kanak-kanak yang masih lagi belajar ilmu agama dan boleh mengundang kekeliruan antara ajaran dan drama yang dipaparkan sedangkan pelakon tersebut bukanlah suami-isteri di luar drama.
Sementara itu, Ziela berkata, golongan penerbit sepertinya tidak patut dipersalahkan sekiranya ada kanak-kanak rosak akhlak dan ia tiada kaitan langsung dengan drama tersebut.
"Tidak patut rasanya drama ini dipersalahkan jika akhlak anak-anak itu tidak baik. Bukan Dia Isteri Luar Biasa sahaja, tetapi juga drama-drama lain.
"Saya percaya pembentukan akhlak anak-anak bermula daripada cara didikan ibu bapa itu sendiri," tegasnya.
Drama Dia Isteri Luar Biasa disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.55 petang di TV3.
Episod terakhir drama bersiri itu telah disiarkan pada Selasa (malam tadi).
"Isu Putus Tunang Terlalu Peribadi Untuk Dikongsi" - Adira
Penyanyi Adira tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan punca sebenar pertunangannya dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin putus pada pertengahan April lalu.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, ia sangat peribadi untuk diceritakan kepada umum dan biarlah perkara itu hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja.
"Walaupun kami sudah putus tunang tetapi sebagai seorang yang pernah rapat dengannya saya perlu menjaga nama baik dia dan tidak mahu memperbesaran soal itu.
"Shahrul sendiri sudah menjelaskan kepada pihak media tentang punca perpisahan kami iaitu kerana tiada persefahaman dan selebihnya biarlah kami sahaja yang tahu," katanya kepada mStar Online.
SILA KLIK: Elizabeth Tan Bukan Punca Adira & Shahrul Nasrun Putus Tunang
Adira ditemui ketika hadir pada majlis berbuka puasa anjuran Astro di Hotel Majestic di sini, Selasa.
Pasangan itu Mengikat tali pertunangan pada 22 Disember tahun lalu dan mereka sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Sepetmber depan.
Dalam pada itu, Adira berkata, ibunya paling terkesan dengan berita berkenaan kerana dia rapat dengan Shahrul namun tetap reda dengan apa yang berlaku.
Jelasnya, keputusan untuk menamatkan hubungan tersebut dilakukan atas persetujuan bersama dan mereka berdua sudah berusaha menyelamatkan hubungan berkenaan tetapi gagal.
"Bukan saya atau Shahrul tetapi ia keputusan kami berdua selepas berbincang semasak-masaknya. Sudah ketentuan tiada jodoh di antara kami," jelasnya.
Sementara itu, Adira berkata, dia ada menghubungi Elizabeth Tan untuk menjernihkan keadaan selepas penyanyi lagu Knock Knock itu dituduh sebagai punca keretakan hubungan mereka.
Kata Adira, soal pihak ketiga tidak timbul dalam hubungan mereka dan Elizabeth tidak bersalah dalam hal berkenaan.
"Saya tidak salahkan Elizabeth dan saya ada menelefonnya untuk menjelaskan situasi sebenar. Tiada pihak ketiga terlibat dalam soal ini kerana masalah yang timbul adalah di antara saya dan Shahrul," jelasnya.
Terdahulu ada gosip mengatakan punca Adira dan Shahrul putus apabila pemuda itu dikatakan cuba memikat Elizabeth.
Alif Satar Kesal Terima Tempias Gosip Aliff Aziz
Penyanyi Alif Satar memberitahu terkilan apabila masih ada segelintir pihak terkeliru diantara dirinya dengan penyanyi Aliff Aziz.
Alif atau nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar, 25, berkata, disebabkan perkara itu, dia turut menerima tempias gosip buruk penyanyi berasal dari Singapura itu.
"Perkara ini seprti sudah jadi perkara biasa bila orang salah dan keliru memanggil nama saya Aliff Aziz, tapi kalau media juga salah lapor ia menjadi satu perkara agak besar dan perlu diperbetulkan.
"Secara tidak langsung juga saya pula terkena tempias gosip-gosip penyanyi itu walaupun bukan saya yang lakukan," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Rabu.
Alif berkata demikian ketika mengulas kesilapan sebuah akhbar yang tertulis namanya bagi berita Aliff Aziz.
Alif berkata, laporan tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepadanya apabila ramai yang bertanya dan percaya kepada berita itu.
"Sudahlah orang ramai sering silap nama, malah kalau sudah media sendiri yang tersilap ia perkara yang sangat besar dan saya perlu betulkannya.
"Pembaca yang kurang mengenali saya akan baca dan menganggap berita tersebut benar-benar saya yang lakukan," ujarnya.
Selain itu, Alif berkata, perkara itu juga sering berlaku pada undangan nyanyian yang menyangka dia sebagai penyanyi lagu Jangan Ganggu Pacarku.
"Ada juga penganjur majlis yang mengundang saya, selepas itu bertanya bagaimana urusan pasport dan segalanya, lantas saya akan bertanya kembali sama ada saya penyanyi yang ingin diundang atau Aliff Aziz," katanya.
Katanya Alif, dia berharap orang ramai dapat mengenali dia dan Aliff Aziz sebagai dua individu berbeza.
Kemelut Rumah Tangga Hasnol, Isteri Akhirnya Pulih
Penyanyi Hasnol menjelaskan keadaan rumah tangganya bersama isteri, Marina Mohin yang bergolak sejak awal tahun ini kembali pulih seperti sediakala.
Hasnol atau nama sebenarnya, Hasnol Hassan Ariff, 45, berkata, mereka sepakat untuk menyelesaikan kemelut yang dialami secara baik dan memulakan kehidupan baharu.
"Hampir tiga bulan kami berpisah dan tempoh itu digunakan untuk merenung kembali kesilapan masing-masing yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Saya juga sedar hidup di dunia ini singkat dan tiada gunanya untuk berdendam sebaliknya perlu menyelesaikan semua masalah dengan baik," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Astro di Hotel Majestic di sini, Selasa lalu.
Hasnol yang pernah popular menerusi Laguku Untukmu turut mengakui faktor kewangannya yang tidak menentu antara punca berlakunya masalah di antara dia dengan Marina.
Dalam pada itu, Marina yang ditemui berkata, dia yang memulakan langkah untuk memujuk suaminya itu telah berbincang secara baik bagi menyelesaikan kemelut di antara mereka.
Kata Marina, hampir sebulan mereka berbincang dari hati ke hati untuk mencapai kata sepakat tentang pelbagai perkara yang terbuku di hati masing-masing.
"Sebulan kami berbincang sebelum kembali bersama pada 27 April lalu dan biarpun saya isteri, tetapi tidak ada salahnya jika saya mulakan langkah demi menyelamatkan hubungan kami.
"Alhamdulillah banyak hikmah dan pengajaran yang kami dapat daripada pengalaman tersebut dan ia mematangkan kami," ujarnya.
Pasangan itu mempunyai seorang cahaya mata iaitu Haneesa Maisara yang kini berusia lima tahun.
Menerusi perkahwinan pertamanya, Hasnol mempunyai tiga anak iaitu Aqeet Hayyat, 20; Aqeet Hilman, 17 dan Hanna Aeesya, 12, manakala hasil perkahwinan terdahulu Marina, dia mempunyai tiga anak, Zafirah, 21; Ilya Zulaikha, 20 dan Muhammad Aliff Imran, 15 tahun.
Dalam perkembangan lain, Hasnol bakal bekerjasama dengan isterinya untuk menghasilkan single terbaharunya yang akan dikeluarkan pada penghujung tahun ini.
Emma Maembong Mengaku Jiwa Terkesan Akibat Putus Cinta Zizan Razak
Pelakon Emma Maembong mendedahkan perpisahannya dengan pelawak Zizan Razak pada awal Januari lalu memberi kesan mendalam pada dirinya sehingga dia mengambil masa lebih sebulan untuk memulihkan diri.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 23, bagaimanapun menyifatkan ia antara pengalaman dan kitaran hidup yang dilalui selain perlu belajar meneruskan aktiviti seperti biasa.
"Siapa yang tidak terkesan apabila kita dan pasangan rancang untuk kahwin tetapi hubungan tidak menjadi. Saya bukannya robot.
"Apa-apapun bagi saya ini adalah kitaran hidup di mana sesuatu yang kita sayang di dunia ini tidak akan kekal. Malah ibu dan ayah kita juga satu hari nanti akan meninggalkan kita," katanya kepada mStar Online.
Emma menerusi laporan akhbar pada awal Januari lalu mengesahkan bahawa hubungannya dengan pelawak Zizan Razak sudah pun berakhir namun dia enggan bercerita lanjut punca perpisahan itu.
Sementara itu, Emma berkata, dia bersyukur kerana ketika hatinya dibelenggu rasa sedih, keluarga dan rakan-rakan terdekat sering memberi sokongan dan semangat untuk dia meneruskan kehidupan seperti biasa.
Malah pengarah Micheal Ang turut membuatkan dia lupa dirinya sedang kecewa dengan menawarkan pelbagai kerja lakonan sehingga kini.
"Mujurlah sejak perpisahan itu, saya sentiasa sibuk dengan penggambaran. Micheal Ang banyak beri saya tawaran berlakon. Jadi tak adalah terasa sangat.
"Alhamdulillah, kerjaya lakonan juga semakin kukuh dan apa yang telah berlaku sebelum ini membuatkan diri lebih matang," ujarnya.
Emma kini dikaitkan bercinta pula dengan pelakon Kamal Adli.
Masalah Ekonomi Beri Kesan Perniagaan Siti Nurhaliza
Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengakui ketidakstabilan ekonomi negara sejak akhir-akhir ini turut memberi kesan terhadap dirinya terutama dalam bidang perniagaan.
Siti berkata, sebagai orang yang menguruskan produk kecantikan Simplysiti dan fesyen iaitu Kallista, dua perniagaan tersebut sedikit terganggu memandangkan pembeli perlu berjimat cermat dalam perbelanjaan.
"Diakui, saya terasa dengan ekonomi yang tidak menentu lebih-lebih lagi dalam perniagaan.
"Sudah tiba masanya kita perlu berjimat cermat dalam segala hal. Kurangkan perbelanjaan yang melibatkan kehendak diri agar kita tidak terbeban dengan perkara lain," katanya kepada mStar Online.
Siti ditemui pada majlis pelancaran album Unplugged Siti Nurhaliza di Dutches Place Ampang, di sini pada Rabu.
Album tersebut merupakan hasil rakaman daripada Konsert Unplugged Dato' Siti Nurhaliza yang berlangsung pada 7 April lalu. Sejak dipasarkan pada Selasa lalu, album berkenaan telah terjual sebanyak 5,000 unit.
Dalam pada itu menurut Siti, album berkenaan dihasilkan bersempena 20 tahun penglibatannya dalam karier seni muzik dan pembikinan album unplugged bukannya mudah kerana perlu memastikan nyanyiannya ketika konsert tiada cacat cela selain kualitinya seperti pembikinan album studio.
"Saya perlu memastikan pemilihan lagu juga bertepatan dengan citarasa penonton agar mereka dapat menyanyi bersama-sama dengan saya serta terhibur.
"Lebih penting, mood penonton juga kena jaga. Barulah rakaman konsert itu untuk dimuatkan dalam album unplugged menjadi.
"Saya rasa ianya tidak susah kerana saya mahukan cabaran dalam setiap kerja yang dilakukan," ujarnya.
Album tersebut memuatkan sebanyak 18 trek lagu termasuklah tiga lagu baharu iaitu Menatap Dalam Mimpi, Engkau dan Mikraj Cinta.
Dalam pada itu, ia juga dicetak dalam bentuk piring hitam buat pertama kalinya dan dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri.
Peminat juga boleh memuat turun melalui laman iTunes dan semua platform digital lain seperti Spotify, Deezer dan KKBox.
Album itu dihasilkan dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd.
Kejayaan Seseorang Bukan Kerana Gelaran Datuk - Fizo Omar
Pelakon Fizo Omar menganggap gelaran Datuk tidak menentukan taraf kejayaan seseorang individu, sebaliknya ia sekadar penghargaan duniawi.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 30, berkata, ukuran kejayaan seseorang hanya dapat dilihat daripada hasil usaha yang diperoleh dan ia dapat memberi manfaat kepada orang lain.
"Dalam perniagaan memang ramai yang mengejar gelaran Datuk untuk taraf yang lebih tinggi, namun pada saya bukan gelaran yang menunjukkan taraf kejayaan seseorang tetapi hasil usaha yang dilakukan.
"Pada saya, apa yang kita usahakan dapat memberi manfaat kepada orang lain itu lebih menentukan kejayaan bukan memandang pada status sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
Jelas Fizo, dia lebih mengutamakan usaha untuk memajukan perniagaan dan menggalakkan lebih banyak usahawan muda agar mengikut jejak langkahnya.
Fizo kini sudah memiliki lebih 100 premis produk Hot Burger di Semenanjung dan kini dalam usaha mengembangkan cabang perniagaannya di bawah jenama FOC (Fizo Omar Company) antaranya khidmat perunding dan membuka kafe pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Fizo berkata, dia bakal menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang perniagaan mulai September depan di Universiti Utara Malaysia (UUM), kampus Kuala Lumpur.
"Saya ditawarkan untuk sambung belajar selepas menerima anugerah Pembangunan Usahawan Muda Selangor 2014 pada akhir tahun lalu.
"Saya akan menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam tempoh dua tahun di UUM bermula September ini, Insya-Allah selepas itu saya ingin teruskan pengajian di peringkat doktor falasafah (PhD)," katanya.
Yusof Haslam Ambil Serius Gerak Khas Dikritik Tidak Relevan
Penerbit drama Gerak Khas Datuk Yusof Haslam mengambil serius komen negatif terhadap karya tersebut yang dianggap masih lagi memaparkan isi kandungan klise selain drama itu dianggap tidak lagi relevan ketika ini.
Yusof berkata, dia tidak marah dengan mana-mana komen buruk mengenai produk-produk drama mahupun filem yang diterbitkannya di bawah Skop Production, namun akan cuba memperbaiki kelemahan seperti yang ditulis di laman sosial.
"Saya tidak marah jika orang beri komen Gerak Khas tidak bagus atau tidak relevan lagi kerana saya terbuka dengan sebarang pandangan.
"Malah jika komen tersebut logik, saya mengambil serius untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Setakat kritikan yang kecil, tidak ada apa-apa masalah.
"Itu menunjukkan mereka menonton Gerak Khas dan kerana dari situlah mereka memberi komen," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.
Yusof diminta mengulas mengenai komen seorang individu di Facebook yang meminta agar siaran Gerak Khas dihentikan kerana dianggap tidak lagi relevan.
Individu berkenaan memberi beberapa ulasan iaitu penceritaan drama tersebut terlalu klise sehinggakan penonton sudah boleh mengagak plot pengakhiran cerita setiap episod yang disiarkan.
Malah siri yang mendapat kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dibandingkan dengan drama terbitan antarabangsa seperti CSI, Eleventh Hour dan Hannibal yang dianggap jauh lebih kreatif berbanding Gerak Khas.
Sementara itu, Yusof berkata, individu berkenaan bagaimanapun tidak patut membandingkan karya tempatan dengan luar negara memandangkan siri-siri antarabangsa itu dihasilkan dengan teknologi yang serba canggih selain industri perfileman mereka jauh lebih maju berbanding di Malaysia.
"Jangan samakan kita dengan negara luar. Mereka lain, kita lain. Begitu juga dengan komen individu itu mengenai cara produksi Gerak Khas menunjukkan cara kerja PDRM yang sentiasa dilihat baik.
"Perlu diingat kita diikat dengan peraturan di mana pembikinan Gerak Khas berdasarkan integriti.
"Malah skrip Gerak Khas perlu mendapatkan kelulusan daripada PDRM sebelum penggambaran dimulakan. Tidak dinafikan, saya juga ada memaparkan mengenai beberapa sikap buruk segelintir polis dalam siri itu," tegasnya.
Drama Gerak Khas musim baharu disiarkan di TV2 pada setiap Jumaat (pukul 9 malam) sejak 15 Mei lalu.
Selain Yusof sendiri pelakon lain yang terlibat termasuklah Norman Hakim, Salina Saibi, C Kumaresan, Nizen Ayob, Afiq Muiz dan Shanorbiah Shamsir.
Neelofa Sudah Bertindak Terhadap Penjual Tudung Tiruan
Pelakon dan pengacara Neelofa telah mengambil tindakan terhadap beberapa peniaga yang menjiplak (ciplak) dan menjual tudung jenama ‘Naelofar Hijab’ miliknya.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 25, berkata, perkara itu dilakukan bagi memastikan pembeli tidak terpedaya dengan produk tiruan yang menggunakan nama dan gambarnya bagi memperdayakan pelanggan.
"Kami di Naelofar Hijab mempunyai pasukan khas untuk mengenal pasti pihak-pihak yang menjual produk 'ciplak' selain menggunakan nama dan wajah saya bagi memperdaya orang ramai.
"Setakat ini kami telah mengambil tindakan terhadap beberapa peniaga yang melakukan perbuatan tersebut," katanya kepada mStar Online.
Neelofa ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu Naelofar Hijab bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, Neelofa menegaskan semua produk keluaran syarikatnya adalah 100 peratus buatan Malaysia dan dia tidak pernah menghantar tudungnya ke Vietnam untuk dijahit.
"Kebanyakkan produk tiruan Naelofar Hijab dibuat dari Vietnam manakala yang asli adalah sepenuhnya hasil kerja rakyat tempatan.
"Kadang-kadang pelanggan pun terkeliru dan tertipu kerana membeli secara online tetapi perbandingan kualiti dan jenis fabrik digunakan adalah berbeza," jelasnya.
Sementara itu, bercakap mengenai koleksi raya Naelofar Hijab, dia berkata, sebanyak 13 koleksi dihasilkan menerusi 30 warna khusus untuk pelanggan jenama berkenaan.
Pihaknya juga bersyukur kerana stok koleksi terbaharu itu habis dijual kepada stokis sebaik sahaja ia dibuka untuk tempahan baru-baru ini.
"Tidak sampai 15 minit kami lancarkan koleksi terbaharu ini ia sudah pun habis dijual kepada stokis di seluruh Malaysia.
"Pelanggan boleh mula membuat pembelian menerusi stokis atau pun di laman web rasmi kami," ujarnya.
Tambah Neelofa, selepas sembilan bulan beroperasi, jenamanya itu telah menghasilkan 29 rekaan tudung dan kini mempunyai 500 stokis di seluruh negara.
"Alhamdulillah perniagaan semakin berkembang maju dan paling penting kami dapat berkongsi dengan stokis-stokis yang menjual tudung Naelofar Hijab.
"Bertepatan dengan misi kami yang ingin melihat suri rumah berniaga secara kecil-kecilan dalam menambahkan pendapatan keluarga," katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
