Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jehan, Ezlynn terkenang raya di kampung


BERCERITA mengenai sambutan lebaran di kampung halaman, pasti ramai yang bersetuju bahawa kemeriahan Syawal dirasakan amat berlainan suasananya jika mahu dibandingkan di kota raya besar.

Meraikan Aidilfitri dengan dikelilingi hutan batu di kota metropolitan Kuala Lumpur mungkin memberi impak berbeza kerana suasana hutan hijau di kampung lebih nyaman dan segar.

Apatah lagi dengan hiruk pikuk kebingitan suara sanak saudara yang tidak pernah diam berkongsi cerita menambahkan lagi keseronokan beraya di kampung.

Namun, bagi dua selebriti popular, Jehan Miskin, 31 dan Ezlynn, 30, masing-masing mengakui, kegirangan pulang ke desa tidak lagi dirasai memandangkan ramai kenalan ketika kecil dahulu termasuk jiran tetangga sudah berhijrah ke lokasi lain, sekaligus memudarkan keceriaan berhari raya di desa tercinta.

Jehan beraya sambil bercuti

BAGI jejaka bermata redup, Mohd. Jehan Miskin atau Jehan yang bakal muncul dengan filem dwibahasa, Prince of The City arahan Roslan Hussein pada 20 September ini memberitahu, zaman kanak-kanak meninggalkan nostalgia terindah buat setiap individu.

Katanya, semakin usianya meningkat dewasa, ditambah pula dengan penghijrahan saudara mara sebayanya ke bandar-bandar lain, suasana kemeriahan Syawal di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah sudah tidak dirasainya.

Justeru, Jehan awal-awal lagi sudah merancang untuk melancong sama ada di dalam mahupun ke luar negara pada Aidilfitri.

"Ini adalah perancangan sahaja. Dan diharap semuanya berjalan lancar.

"Saya akan pergi bercuti selepas hari raya keempat atau kelima bersama beberapa rakan saya.

"Bagaimanapun, destinasi percutian masih belum diputuskan dan sedang membuat pemilihan," ujar Jehan yang merindukan suasana beraya zaman kanak-kanak.

Aktor itu menjelaskan, dia tetap akan pulang ke kampung untuk menziarahi sanak saudaranya yang sudah lama tidak bersapa mesra.

"Walaupun agak sukar untuk berjumpa dengan saudara dan rakan kerana sudah berpindah, saya tetap pulang ke kampung agar tali persaudaraan di kalangan kami berkekalan.

"Mungkin agak sukar untuk berkumpul ramai-ramai macam dulu-dulu, tetapi apa yang ada sekarang perlu dihargai," katanya yang bakal muncul dengan filem arahan Mamat Khalid, berjudul Apokalips.

Dalam pada itu, Jehan memberitahu, sebuah telefilem bertajuk Mak Okay Je arahan Michael Ang akan disiarkan pada bulan Syawal ini di samping pelakon-pelakon hebat seperti Umie Aida, Erra Fazira, Rashidi Ishak, Abby Abadi dan Gambit Saifullah.

Ezlynn hanya sehari di kampung

LAMA sungguh kelibat penyanyi yang popular dengan lagu Hai Hai Bye Bye, Azline Ariffin atau Ezlynn ini menyepikan daripada sebarang publisiti.

Justeru, bertemu dengannya pada majlis berbuka anjuran Great Eastern Mall, Jalan Ampang, baru-baru ini, Ezlynn memberitahu, dia tiada apa-apa kisah menarik yang mahu dikongsikan untuk tatapan peminat.

Menyentuh perihal beraya di kampung, sama seperti Jehan, penyanyi dan pelakon ini menjelaskan, dia juga merindui masa lampau era kanak-kanak bersama rakan taulannya.

Kegigihannya bersama rakan seusia sama ada berbasikal mahupun berjalan kaki bertandang dari satu rumah ke satu rumah sememangnya seronok apabila diimbas kembali.

"Bila teringat semua itu memang kelakar sebab tujuan kami singgah di rumah jiran semata-mata untuk mendapatkan duit raya.

"Kadang-kadang itu, kami tidak langsung minum air ataupun menjamah kuih-muih," katanya sambil disusuli ketawa kecil.

Namun dewasa ini, Ezlynn mengakui, dia hanya pulang sehari sahaja ke kampung halamannya yang terletak di Ulu Kinta, Perak.

Tambahan pula, ujar si cantik manis ini, kedua-dua ibu bapanya telah pun duduk bersamanya di ibu kota.

"Jadi, sudah tidak ramai saudara di kampung memandangkan datuk dan nenek di kedua-dua belah emak serta abah sudah meninggal dunia.

"Hanya tinggal pakcik dan makcik saya serta sepupu dan juga anak-anak buah.

"Saya akan menyambut pagi Syawal di sini bersama ibu bapa saya.

"Selepas itu barulah kami sekeluarga berangkat ke kampung dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama," ujar Ezlynn yang membintangi filem terbaru Mamat Khalid, Husin, Mun & Jin Pakai Toncet.

Sedikit mengenai perkembangan seninya, Ezlynn menambah, single baru berjudul Dusta akan dilancarkan terlebih dahulu pada September atau Oktober sebelum menyusul album ketiganya.

Tepis dakwaan kahwin November

WALAUPUN agak sepi daripada sebarang publisiti, Ezlynn tidak dapat menutup mulut sesetengah pihak yang mendakwa kononnya dia akan berkahwin pada 11 November 2011 (11.11.11).

Menepis dakwaan tersebut, Ezlynn berkata bahawa semua cerita itu hanyalah khabar angin.

Bagaimanapun, Ezlynn tidak menafikan bahawa dalam masa terdekat, dia akan disunting oleh seorang jejaka yang lebih tua daripadanya.

Terang wanita yang manis dengan senyumannya itu lagi, lelaki berkenaan bukanlah dari kalangan orang seni.

"Dia hanyalah lelaki biasa. Mengenai tarikh perkahwinan kami itu, diharap media dan peminat dapat bersabar.

"Apabila sampainya waktu yang sesuai, saya akan umumkan dan mengundang rakan media ke majlis perkahwinan kami.

"Bukan niat mahu berahsia, tetapi sekadar menghormati permintaan keluarga sebelah lelaki yang mahukan ia menjadi hak eksklusif keluarga kami," jelasnya yang ternyata gembira menceritakan serba sedikit mengenai hari bahagia yang akan ditempoh tidak lama lagi.

Raya sekarang materialistik - Anuar Zain


PENYANYI pujaan wanita ini kelihatan cukup segak apabila menyarungkan baju Melayu rekaan terbaru pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek untuk sesi fotografi khas sempena Aidilfitri ini.

Sehinggakan jurufoto senior, Fatah Sulaiman yang begitu ralit mengambil gambar-gambar Anuar Zain juga mengeluarkan komen yang sama.

"Apa yang ada pada Anuar sampai semua wanita tergila-gilakannya ya?," tanya Fatah kepada Anuar sehingga penyanyi itu hanya mampu mengukir senyuman.

"Entahlah. Saya sendiri tidak tahu. Barangkali mereka 'jatuh cinta' kepada saya lagu-lagu nyanyian saya agaknya. Masing-masing ada pendapat tersendiri," balas Anuar penuh rendah diri sambil disulami ketawa kecil.

Ternyata profesionalisme Anuar telah memudahkan perjalanan sesi fotografi ini yang berakhir dalam masa yang cukup singkat.

Usai semuanya, tanpa membuang masa, kami meneruskan perbualan dan bicara kami pada petang itu lebih terarah kepada sambutan Syawal.

Barangkali kedengaran agak klise apabila bertanyakan tentang soal persiapan raya dan seumpamanya tetapi untuk seorang artis yang bernilai tinggi seperti Anuar, segala-galanya mahu diambil tahu oleh peminat setianya.

Tidak lokek untuk bercerita, penyanyi lelaki tersohor negara ini menjelaskan, sambutan Syawal tahun ini tidak banyak bezanya seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Kami sekeluarga lebih selesa untuk bersederhana dalam menyambut Hari Raya. Setiap daripada kami ada tugas masing-masing. Sebagai contoh, Ziana akan sibuk di dapur menolong ibu menyediakan juadah Raya.

"Begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain di mana mereka sudah tahu skop tugas masing-masing apabila menjelangnya Hari Raya.

"Tugas saya pula adalah untuk memastikan bekalan kuih raya sentiasa mencukupi kerana orang yang akan berkunjung ke rumah tidak pernah putus.

"Untuk itu, saya akan membeli beberapa kuih raya yang sudah menjadi hidangan wajib di atas meja seperti tat nanas dan lain-lain lagi. Dalam soal kuih raya juga, saya amat mementingkan kualiti dan rasanya. Bukan sekadar membeli tetapi biarlah tetamu yang datang dapat menikmatinya dengan rasa puas," ujar pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini membuka bicaranya.

Sudah menjadi tradisi keluarganya, Anuar menjelaskan semua adik-beradik akan berkumpul di rumah ibu bapa mereka, Zain Abdullah dan Robiah Abdul di Shah Alam, Selangor.

Selepas selesai menunaikan sembahyang sunat, barulah mereka sekeluarga menikmati juadah istimewa hasil air tangan ibu mereka seperti sambal sotong kering, kuah kacang daging dan kuah lodeh.

Kemudiannya, barulah mereka saling bermaaf-maafan serta pemberian duit raya dilakukan sebelum mereka semua bersedia menerima kunjungan tetamu.

"Kalau diikutkan, bapa saya memang seorang yang cukup gigih memasak dan setiap kali menjelangnya Aidilfitri, dia akan ligat di dapur bersama ibu.

"Tetapi sekarang ini dengan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, kami mahu dia berehat sahaja dan tidak melakukan kerja-kerja berat," jelas jejaka yang berusia 41 tahun ini tersenyum.

Kenangan raya Anuar

BERBICARA tentang Aidilfitri, banyak kenangan yang sudah dilalui oleh Anuar sejak zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Masih segar dalam ingatannya bagaimana kemeriahan menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Merlimau, Melaka sewaktu kanak-kanak terutama mengelilingi kampung untuk mengumpul duit raya.

Seiring dengan peredaran semasa, sedikit demi sedikit senario itu mula berubah lebih-lebih lagi selepas Anuar menjadi artis rakaman EMI pada awal tahun 80-an.

"Ketika itu juga kenangan juga tidak kurang manisnya apabila saya berpeluang mengadakan persembahan istimewa untuk televisyen sempena Raya.

"Bayangkan ketika itu, nama-nama besar industri hiburan seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk D.J. Dave, Noorkumalasari, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Sheila Majid dan Jamal Abdillah semuanya terlibat dalam persembahan yang sama.

"Apabila dapat bertemu dengan mereka, saya begitu seronok dan teruja sekali. Mana tidaknya. Sebelum itu saya hanya mendengar lagu-lagu nyanyian mereka. Tetapi, apabila berada di satu pentas, timbul sedikit rasa kejutan budaya (ketawa).

"Lagipun, dulu, stesen televisyen tidak banyak. Jadi, semuanya berkumpul dan kemeriahan itu memang cukup dirasai," kata Anuar yang cukup masyhur dengan lagu raya, Suasana Hari Raya bersama teman duetnya, Ellina Razak.

Namun, dalam banyak kenangan Syawal yang sudah diselusuri Anuar sepanjang hidupnya, pengalaman sewaktu bertugas sebagai pramugara merupakan antara yang tidak mungkin dilupakan.

Bertugas dengan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selama hampir 11 tahun bermula tahun 1990, kata Anuar, dia sudah merasai pengalaman beraya di luar negara hampir setiap tahun.

Semuanya demi tuntutan tugas dan bayangkan kata Anuar, kerinduan terhadap keluarga ketika itu tidak mampu dibendung lagi.

Ketika itu jugalah bayangan juadah enak mula bermain di depan mata dan jika tidak dikuatkan semangat, air mata mampu mengalir laju tanpa perlu dipaksa.

"Tetapi, semua itu tidak begitu dirasai kerana saya dikelilingi oleh teman-teman yang senasib. Jadi, segala kerinduan itu terubat sedikit demi sedikit.

"Selepas berhenti, fokus saya adalah kepada keluarga dan saya mahu membalas segala kehilangan itu dengan beraya bersama keluarga setiap tahun tanpa mahu meninggalkan sedetik pun," ujar pemilik gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali ini penuh makna.

Hayati pengertian Syawal

SEMPAT juga Hits meminta pandangan Anuar tentang semangat Raya yang dilihat mula luntur di kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Bagi pelantun lagu I'm The Lucky One dan Keabadian Cinta ini lagi, apa yang diperhatikannya masyarakat kini lebih menjurus kepada soal materialistik.

"Saya sendiri tidak mengerti mengapa setiap kali hendak menyambut Raya, semuanya perlu diganti baru. Seolah-olah mereka mahu bersaing sesama sendiri dan menunjukkan mereka mampu menukar serba-serbi dengan kelengkapan baru.

"Tidak menuding jari kepada sesiapa, tetapi saya percaya perkara ini sering kali menjadi perbualan ramai. Lebih menyedihkan, ada yang sanggup berhutang kerana mahu memastikan tetamu kagum dengan inisiatif mereka itu.

"Bukankah lebih baik seandainya mereka menghayati pengertian Syawal itu sendiri. Aidilfitri adalah hari kemenangan kita selepas sebulan berpuasa menahan lapar dahaga dan nafsu daripada segala-galanya.

"Jujurnya, saya sendiri lebih teruja menyambut Ramadan berbanding Syawal. Disebabkan itu, saya akan mengambil peluang sebaik mungkin untuk memanfaatkan bulan Ramadan," ujar Anuar penuh jujur.

Mila Jirin Wakili Malaysia Ke Georgia


KUALA LUMPUR: Penyanyi Mila Jirin akan mewakili Malaysia dan Stesen televisyen Astro untuk menyertai pertandingan Golden Talent - International POP TV Perfoemers Batumi Georgia dengan kerjasama Georgia Art Festival.

Menurut Mila, dia akan bersaing dengan 23 peserta daripada 23 buah negara seluruh Eropah dan Asia.

"Saya dipelawa dua bulan lepas oleh Georgia Art Festival dan World Association of Festivals and Artiste (WAFA) untuk menyertai pertandingan tersebut yang berlangsung pada 7 hingga 10 September depan.

"Saya akan berada di sana bermula 1 hingga 12 September ini bagi rangka promosi dan rakaman untuk beberapa program televisyen di sana," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman Mila Jirin Mewakili Malaysia dan Penyerahan Tajaan oleh Malaysia Building Society Berhad (MBSB), di sini, Rabu.

Tambah Mila, dia bersyukur kerana diberi peluang ini dan secara tidak langsung mengambil kesempatan tersebut untuk mempromosi album berbahasa Inggeris yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Alhamdulillah peluang ini akan saya gunakan sebaiknya untuk mengharumkan nama Malaysia dan secara tidak langsung membantu mempromosi album Inggeris saya.

"Lagi pula festival ini akan ditayangkan di 23 buah negara sekitar Eropah dan Asia menjadikan ia sebagai batu loncatan kepada saya," katanya.

Katanya, dia turut berterima kasih terhadap syarikat pinjaman MBSB yang telah bersetuju untuk menaja kos pembiayaannya sepanjang berada di sana.

"Pada awalnya saya hampir berputus asa untuk menyertai kerana tiada penaja, tetapi MBSB telah tampil untuk menaja kos kami di sana," katanya.

Bercerita tentang persiapan, Mila yang bakal menyanyikan dua buah lagu mengutamakan aspek vokal berbanding persembahan.

"Saya hanya berlatih dan utamakan aspek vokal kerana persembahan mereka yang aturkan terutamanya penari.

"Saya akan bawa dua buah lagu iaitu lagu berjudul Kasih Yang Terdampar dan Listen.

Shila Hamzah Menangis Kerana Sharnaaz Ahmad


PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui sangat meminati lakonan Sharnaaz Ahmad dan meminta pelakon tersebut berganding dengannya dalam klip video Patah Seribu.

Jelas Shila, dia dan keluarganya memintai lakonan Sharnaaz terutamanya ketika menonton drama Ungunya Cinta yang sedang ditayangkan di TV3.

"Ketika pengarah bertanyakan tentang pelakon lelaki untuk klip video ini, saya terus terfikir Sharnaaz sebab saya minat dengan lakonannya dan pernah menangis melihat dia berlakon dalam Ungunya Cinta.

"Keluarga saya turut meminati Sharnaaz kerana menonton lakonannya dan dia juga bersetuju untuk berlakon bersama dalam video klip ini," katanya.

Dalam pada itu, Shila mengakui gementar untuk berlakon kerana ini merupakan kali pertama dia beraksi di hadapan kemera.

"Saya tidak pernah berlakon sebelum ini sudah tentu ada rasa gementar terutamanya untuk membawa sesebuah karakter biarpun hanya 10 adegan saja," tuturnya.

Video klip yang dijangka akan dikeluarkan bulan depan ini mengisahkan tentang percintaan dua darjat yang tidak kesampaian.

Yusof Haslam Tidak Mahu Syamsul 'Menderhaka'


KUALA LUMPUR: Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, mengakui, syarikatnya Skop Production akan rugi jika dia melepaskan anaknya, Syamsul Yusof, untuk bekerja dengan produksi lain.

Menurutnya, Syamsul merupakan seorang pengarah yang kreatif dan kerana dia, Skop telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM20 juta dalam masa enam bulan menerusi dua buah filem sahaja iaitu KL Gangster dan Khurafat.

"Dari segi perniagaan, Alhamdulillah, Syamsul membawa keuntungan kepada syarikat dan sebagai seorang ayah, saya bertuah mempunyai anak sepertinya.

"Tetapi dari sudut kekeluargaan pula, saya sudah mengingatkan Syamsul dan seorang lagi anak iaitu Syafiq supaya kekallah bekerja dengan Skop," katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan pemberian bonus di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ulu Klang, Rabu.

Tambah Yusof, walaupun dia tahu, banyak produksi yang memberi tawaran lumayan kepada Syamsul untuk menyertai mereka, dia percaya, anaknya itu tetap akan setia dengan Skop dan tidak mungkin 'menderhaka' terhadap keluarga.

Dalam pada itu, Yusof berpendapat, dengan pelbagai projek drama dan filem yang ada, tiada alasan untuk Syamsul keluar berkarya di produksi lain pula.

"Setakat ini Skop mempunyai pelbagai projek yang perlu dilaksanakan. Malah bekerja dengan keluarga adalah paling mudah kerana apa yang mereka mahu, saya beri.

"Malah dari segi masa kerja juga lebih fleksibel. Cuba kalau kerja dengan orang lain, silap hari bulan, seawal 8 pagi sudah kena ada di pejabat," selorohnya.

Sementara itu, pada majlis berbuka puasa itu, Yusof telah memberikan bonus iaitu 'duit raya' kepada 160 pekerja syarikat produksi berkenaan, para pelakon, termasuklah pelakon-pelakon veteran dan krew produksi.

Yusof berkata, memandangkan tahun ini Skop berjaya mencatat sejarah dengan memperoleh jumlah kutipan filem yang agak besar nilainya, maka tahun ini juga dia melaburkan sejumlah wang yang besar kepada pekerja-pekerjanya.

"Alhamdulillah, bila kita ada rezeki lebih, tidak salah untuk dikongsi bersama. Saya bersyukur kerana pemberian bonus pada tahun ini adalah paling besar jumlahnya berbanding tahun-tahun yang lalu," katanya, yang enggan memberitahu jumlah keseluruhan bajet pemberian bonus tersebut.

Zizan, Juliana, Tai raya di panggung


TIGA nama, Zizan Razak, Juliana Evans dan Taiyuddin Bakar buat pertama kali digabungkan dalam sebuah filem berjudul Hantu Bonceng.

Meskipun begitu, keserasian yang timbul antara mereka bertiga jelas kelihatan ketika tayangan perdana filem tersebut di Pawagam Odeon, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Saling mengusik antara satu sama lain terutamanya antara Zizan dan Juliana Evans menguatkan lagi gosip kononnya pasangan pelakon ini sedang hangat bercinta. Namun ketika disoal media, kedua-dua mereka menafikan gosip tersebut dan menjelaskan mereka hanya sahabat baik.

"Mana ada kami bercinta memang tidak betul sama sekali tetapi saya mengaku saya rapat dengannya dan pernah keluar bersama selepas penggambaran filem tetapi bersama rakan-rakan yang lain termasuk pengurusnya," kata Juliana.

Zizan pula berkata: "Antara kami tiada cinta lokasi. Kami memang rapat tetapi jarang berjumpa, hanya berhubung di telefon."

Zizan malu babak bogel

Sebagai seorang pelakon, Zizan nyata menaruh harapan agar orang ramai berpuas hati dengan lakonannya dalam filem Hantu Bonceng kerana menurutnya, dia sudah memberi yang terbaik begitu juga dengan seluruh tenaga produksi.

"Selepas tayangan perdana ini saya sedikit lega, sebab masa saya sampai tadi filem telah dimainkan dan saya lihat orang tidak berhenti ketawa. Sebelum ini saya bimbang, orang akan ketawa pada peringkat awal dan ia mendatar selepas itu, tetapi Alhamdulillah, kebanyakan orang yang datang hari ini seronok dengan filem ini.

"Tetapi reaksi orang ramai di luar sana, saya belum tahu lagi, itu yang membuatkan saya berdebar-debar, saya harap siapa sahaja yang menontonnya akan terhibur," ujarnya yang memegang watak Amran.

Bercerita lanjut mengenai filem arahan Ahmad Idham yang menelan kos RM1.5 juta itu, Zizan mengakui banyak adegan yang sukar untuk dilakonkan tetapi adegan yang paling sukar buatnya adalah adegan di kubur.

"Ketika adegan di kubur, saya tidak mahu buat lawak sebaliknya mahu serius tetapi apa yang saya lihat masih ada orang ketawa sebab saya bercakap dengan nada yang serius. Satu lagi adegan yang tidak dapat saya lupakan adalah adegan saya dan Tai berbogel di Taman Titiwangsa.

"Bayangkan untuk melakonkan adegan itu kami berdua hanya memakai boxer sahaja, malunya saya tidak boleh dikira, kebetulan ketika itu ada pula tiga buah bas rombongan berhenti di tempat kami melakukan penggambaran.

"Saya sedang bekerja ketika itu, jadi saya minta orang yang lalu lalang jangan mengambil gambar saya dalam keadaan itu. Orang tidak faham, walaupun ketika itu saya hanya pakai boxer, yang keluar di layar lebar hanyalah separuh badan kami, kalau mereka ambil gambar, malulah saya," tutur Zizan ketawa.

Rumah terbuka raya ketiga

Setiap kali tibanya lebaran, keluarga Zizan akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga. Tahun ini rumah terbuka akan diadakan di kediaman keluarga Zizan di Jalan Terkukur, Kuala Terengganu, Terengganu.

Zizan menjemput seluruh keluarganya dan juga peminat yang sentiasa menyokongnya untuk menghadiri rumah terbukanya itu.

"Memang setiap tahun kami buat rumah terbuka, tetapi sebelum menjadi artis, rumah terbuka keluarga kami dibuat di rumah nenek di Dungun, Terengganu. Saya memang menggunakan rumah terbuka ini untuk dekatkan diri dengan peminat serta menjamu keluarga dan sahabat handai.

"Uniknya, rumah terbuka kami akan diadakan di depan rumah kami yang kecil, jadi kami akan pasang khemah seperti orang kahwin.

"Semua makanan yang dihidangkan pada rumah terbuka itu adalah air tangan ibu saya seratus peratus bersama orang-orang kampung yang turut membantu.

"Tahun lepas saya anggarkan seramai 5,000 yang hadir ke rumah terbuka saya yang dibuka dari pagi sampai ke malam," ceritanya yang pernah digigit lipan pada malam hari raya.

Juliana hantu kembar

Filem Hantu Bonceng yang akan ditayangkan di 80 pawagam menyaksikan Juliana Evans melakonkan dua watak iaitu sebagai pasangan kembar hantu Maya dan Ayu.

"Sebenarnya yang paling susah adalah saya kena memakai kanta lengkap berwarna putih yang mana saya bukannya seorang yang pakai kanta lengkap. Jadi, saya sungguh tidak selesa dan mata sentiasa berair.

"Sebab itu, apabila ada adegan yang memerlukan saya memakai kanta lengkap putih itu, saya akan melakonkannya dengan bersungguh supaya tidak perlu diulang semula adegan yang sama dan saya boleh buka kanta lengkap dengan segera," luahnya.

Mercun meletup di tangan

Saban tahun, Juliana dan keluarganya akan pulang berhari raya di Bagan Datoh, Perak yang merupakan kampung sebelah ibunya. Tidak mengambil banyak kerja pada hari raya, Jue akan berada di kampung halamannya selama empat hari.

Meskipun hidup di bandar tegas Jue, sebaik sahaja tiba di kampung dia akan memastikan diri serasi dengan masyarakat di kampung.

"Balik kampung, saya akan jadi budak kampung, pakai biasa-biasa sahaja. Saya main mercun, lawan mercun siapa bunyi lagi kuat dengan budak kampung sebelah. Seronok sangat bila balik kampung.

"Jadi, setiap tahun peminat tahu saya balik kampung, jadi akan ada peminat yang datang melawat saya di kampung dan minta bergambar. Saya tidak kisah, sebaliknya seronok bertemu peminat di kampung saya sendiri," balasnya.

Jue yang menggemari hidangan rendang tok, lontong dan soto pada hari raya menceritakan pengalaman pahitnya ketika beraya dua tahun lepas apabila tangannya berbalut gara-gara mercun meletup ditangannya sendiri.

"Saya jadi nakal bila balik kampung, semua benda saya nak buat, jadinya kena balik pada diri sendiri. Nasihat saya, jangan main mercun bila hari raya, nanti tidak dapat bersalaman dengan orang sebab tangan berbalut, nak minta duit raya pun susah," katanya dalam tawa.

Komedi pertama Tai

Pelakon Taiyuddin Bakar atau Tai, sebelum ini merupakan pelakon yang aktif dalam teater dan pernah berlakon dalam filem Mukhsin, Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Dia yang baru menamatkan penggambaran filem Petiga arahan Farid Kamil bukanlah seorang pelakon baru.

Namun, baru hari ini kelibatnya mula kelihatan di layar kaca dan layar lebar. Diberi kepercayaan untuk memegang watak Kunyit, sahabat baik kepada Amran (Zizan), kata Tai, inilah kali pertama dia diberi peluang memegang watak utama sejak menceburi bidang lakonan pada tahun 2002.

"Teruja dan terima kasih kerana beri peluang kepada saya, tetapi pada masa yang sama saya takut kerana saya memang tidak biasa dengan komedi. Sebelum ini, saya hanya melakonkan watak yang serius sahaja," ujarnya.

Menyambut lebaran kali dengan kelainan, buat pertama kalinya, Tai dan seluruh keluarganya bakal berhari raya di Central Hougang, Singapura yang merupakan kampung halaman ibunya.

'Budak nakal' balik kampung beraya


DALAM meraikan Syawal, sudah pasti ramai di kalangan kita akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman.

Lantas, setiap kali menjelangnya Syawal pasti semua lebuh raya di seluruh negara dibanjiri jutaan kenderaan.

Sambutan lebaran akan lebih bermakna dan meriah jika kita dapat meluangkan masa pulang ke kampung bersama dengan keluarga tersayang.

Biarpun jauh di perantauan, raya di kampung menjadi pilihan kebanyakan daripada kita.

Justeru itu, senario itu turut dirasai oleh empat pelakon drama bersiri Juvana iaitu Syazwan Zulkifly yang dikenali dengan watak Apek, Muhammed Idzham Ismail (Panjang), Ahmad Helmy Hakim (Abe) dan Adam Shah (Ayam).

Bagi mereka, beraya di kampung memberikan lebih makna kerana dapat bersama berkumpul dan bertemu dengan dengan sanak-saudara.

Sinaran bintang Elfira Loy


BIARPUN baru berusia 17 tahun, bakat yang dimiliki aktres muda ini membuktikan dia tidak seharusnya dipandang enteng.

Memulakan karier seninya seawal usia 12 tahun, Elfira Loy tidak lagi menoleh ke belakang. Sebaliknya, dia terus berjalan tanpa henti dalam melebarkan sayap seninya.

Bukan hanya bakatnya menjadi perhatian, tetapi Elfira juga seorang yang bertuah kerana memiliki paras rupa yang boleh dikategorikan sebagai klasik.

Sekali pandang, wajahnya tidak ubah seperti aktres hebat, Datin Umie Aida sewaktu di zaman remajanya.

Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Elfira adalah kening tebalnya itu yang jarang dimiliki oleh wanita Melayu hari ini.

“Pernah tak awak membenarkan mana-mana jurusolek mengusik atau mencantas kening awak itu?” tanya saya kepada Elfira usai sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan pantas anak jati Kuala Lumpur ini menggelengkan kepalanya seraya berkata dalam nada yang sedikit tegas: “Tidak sesekali saya akan membenarkan kening saya diusik oleh sesiapa pun.

“Saya sendiri sudah memberitahu kepada mana-mana jurusolek yang menata rias wajah saya. Ternyata permintaan saya itu dihormati oleh mereka.”

Daripada jawapan yang diberikan itu sahaja sudah dapat disimpulkan bahawa Elfira bukan sembarangan gadis.

Sebagai seorang bakat baru yang diibarat putik yang hendak bercambah menjadi bunga yang mekar di taman puspawarna, Elfira tidak mahu dunia glamor membawanya hanyut dan seterusnya lari daripada landasan yang telah ditetapkan.

Dia juga memiliki pendirian tegas sekali gus membuktikan bahawa usia mudanya itu tidak bermakna dia boleh digula-gulakan mahupun diperkotak-katikkan oleh sesiapa pun.

“Terjunnya saya dalam bidang seni bukanlah untuk mengejar glamor dan populariti semata-mata. Jujurnya, saya sendiri tidak mahu menjadi seorang pelakon tetapi disebabkan ibu, saya mencuba nasib.

“Tidak sangka pula saya diterima dengan baik di dalam industri sehinggakan tawaran berlakon juga terus mencurah-curah untuk saya.

“Saya sendiri tidak mahu menjadi seorang pelakon untuk selama-lamanya kerana saya tahu dunia glamor tidak akan menjanjikan kemasyhuran mahupun kemewahan yang berpanjangan.

“Oleh yang demikian, saya mahu menyiapkan diri saya dengan ilmu pengetahuan selengkap yang mungkin dalam mengejar cita-cita saya menjadi seorang juruterbang,” katanya yang ditemani ibunya, Filzah Yusoff pada sesi fotografi itu.

Sesekali Filzah mencelah perbualan kami sambil memberitahu memang dia mahukan anak-anaknya mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Bukan kerana mahu mengejar kemewahan dan kemasyhuran tetapi Filzah mahu anak-anaknya belajar berdikari dan merasai sendiri kepayahan mencari duit sendiri.

“Saya juga mahu mereka membuka minda dan mata mereka kepada dunia luar. Biar berkawan dengan ramai orang dan merasai pengalaman hidup sendiri.

“Jika tidak, mereka akan menjadi kera sumbang dan hanya duduk di rumah mereka dalam dunia mereka sendiri,” jelas Filzah tanpa selindung sambil memberitahu dua lagi anaknya juga mengikut jejak langkah Elfira sebagai seorang pelakon.

Bermula dengan teater

MENYINGKAP kembali pembabitannya dalam bidang seni, Elfira memberitahu dia dan adik-beradiknya mendapat pendedahan awal daripada program terbitan Astro seperti Macam-Macam Aznil dan Tom Tom Bak.

Daripada situ, dia kemudiannya mencuba nasib dengan menghadiri uji bakat teater muzikal kanak-kanak, Ali Baba yang turut dibintangi Aznil Nawawi.

Tuah menyebelahi Elfira apabila dia terpilih membintangi teater tersebut yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada tahun 2006.

Apa yang membanggakan apabila teater tersebut berjaya membawa Elfira mengembara ke negara luar seperti Iran dan India.

“Teater sebenarnya adalah universiti di mana saya memperolehi banyak pengalaman dan pendedahan yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.

“Nama-nama seperti Zaifri Husin, Aris Kadir dan Hafiz Askiak merupakan mereka yang bertanggungjawab memberikan bimbingan dan tunjuk ajar dalam dunia lakonan kepada saya.

“Daripada situ, perlahan-lahan saya membentuk diri saya dengan mempelajari segala ilmu yang ada sebelum saya menceburkan diri sebagai seorang pelakon drama pula,” katanya yang mula dikenali menerusi Tentang Bulan The Series yang merupakan drama pertama lakonannya.

Filem Jepun

MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa bakat lakonan Elfira telah diintai oleh negara luar yang sekali gus memberinya peluang membintangi sebuah filem antarabangsa.

Diberi judul Second Virgin, filem berbahasa Jepun itu telah memberikan pengalaman baru kepada Elfira.

Perlu menjalani uji bakat bersama pelakon popular Malaysia yang lain untuk watak tersebut, berada di Tokyo, Jepun selama tiga minggu sudah cukup membuka matanya kepada dunia luar.

“Dialog saya semuanya di dalam bahasa Inggeris dan filem itu mengisahkan tentang perhubungan cinta di antara seorang lelaki dan wanita.

“Watak saya lebih kurang sebagai orang tengah kepada hubungan mereka itu. Saya difahamkan ia akan ditayangkan di Jepun pada 23 September ini,” ceritanya dalam nada penuh teruja

Bkay Nair Mengaku Tertarik Dengan Lelaki Melayu


PETALING JAYA: Pelakon Bkay Nair mengaku tertarik dengan lelaki berbangsa Melayu untuk dijadikan teman istimewanya.

Tambah Bkay, dia tidak menolak jika bertemu jodoh dengan lelaki Melayu jika itu yang ditakdirkan Tuhan.

"Sejak zaman persekolahan lagi kekasih saya lelaki Melayu. Bagi saya kebanyakan lelaki Melayu lebih mengambil berat dan romantik berbanding bangsa lain.

"Bukan kekasih sahaja, malah kawan-kawan saya sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah semuanya Melayu," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pelakon-pelakon filem Scandal, di sini, Rabu.

Ketika ditanya tentang penerimaan keluarga, gadis berketurunan Malailee ini berkata keluarganya sentiasa bersikap terbuka mengenai teman lelaki pilihannya.

"Dalam keluarga saya ramai yang berkahwin campur, malah dua orang pakcik saya sudah memeluk agama Islam. Tapi setakat ini saya tidak pernah pula berbincang tentang isu itu dengan keluarga," katanya.

Selain itu, Bkay turut mengakui sering mendapat tawaran memegang watak wanita berbangsa Melayu dalam beberapa drama tempatan.

"Saya selesa bawa watak wanita Melayu, lagi pun jika di luar orang ramai menyangka saya anak mami dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.

"Saya tidak kisah malah selesa jika mereka beri watak wanita Melayu kerana unsur Melayu banyak dalam diri saya," katanya yang turut menyambut Hari Raya di kampung halamannya di Johor Baru dan Pulau Pinang.

Bercerita tentang filem Scandal, Bkay berkata dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk memegang watak utama, namun berharap melalui filem tersebut mampu menguji kemampuannya sebagai seorang pelakon.

"Sembilan calon di sini masing-masing berharap untuk mendapat watak utama tapi kita berserah dengan keputusan daripada pengarah yang menilai," katanya.

Filem Scandal arahan Din CJ yang mengisahkan tentang kehidupan pramugari akan memulakan penggambaran pada September depan di beberapa buah lokasi seperti Paris, dan Dubai

Zul Huzaimy Arah Sembilan Drama Dalam Diam


KUALA LUMPUR: Pelakon Zul Huzaimy Marzuki, 33, (Zul) menyifatkan pembabitannya sebagai pengarah drama telah memberikan kepuasan dan pengalaman berbeza selepas 15 tahun bergelar anak seni.

Menurut Zul, pendedahan dan pengetahuan yang diperoleh sejak mula mengarahkan drama beberapa tahun lalu membuatkan dia lebih mengenali erti lakonan yang sebenar.

"Sejak berjinak-jinak ke bidang pengarahan, saya semakin mengenali erti lakonan yang sebenar. Bukan mudah untuk mengarahkan sesebuah naskhah.

"Cabaran terbesar adalah untuk menterjemahkan skrip kepada visual yang berkesan," katanya yang sudah mengarahkan sembilan buah drama televisyen setakat ini.

Ditanya mengapakah perkembangan kariernya ke bidang pengarahan kurang diketahui walhal dia sudah mengarahkan sembilan buah drama dalam diam, Zul berkata, hal itu terjadi mungkin disebabkan tiada publisiti yang meluas.

"Saya sendiri pun pelik juga kenapa selepas sembilan drama, ramai yang masih tidak tahu saya sudah berjinak-jinak ke bidang pengarahan.

"Bukan mahu bermegah atau menunjuk-nunjuk cuma perkembangan kerjaya itu tidak rugi jika dapat dikongsi dengan orang ramai," katanya yang sudah mengarahkan beberapa drama seperti Rambong, Unjul Nak Jadi Orang dan Alin ke Ilin?

Bercerita lanjut, Zul berkata, dia tidak sabar untuk memulakan tanggungjawab sebagai pengarah filem pula pada Februari depan.

Filem genre aksi berjudul Pailang itu bakal menguji kemampuannya untuk mengarahkan filem sulung.

"Selain sibuk berlakon, saya juga sedang memperkemaskan skrip filem sulung saya berjudul Pailang.

"Insya-Allah jika tiada aral saya akan mula mengarahkan filem itu pada Februari tahun depan di bawah terbitan Tayangan Unggul," katanya.

Mengenai teman istimewa selepas setahun bergelar duda Zul dengan reaksi selamba berkata, sehingga kini dia masih belum menemui teman baru kerana sibuk dengan komitmen kerja dan anaknya, Awal Haziq, 5.

"Saya masih belum ada teman istimewa atau pengganti sehingga kini. Saya sibuk menumpukan perhatian pada kerja dan anak saja.

"Malah, pada waktu ini saya cukup selesa dengan kehidupan begini kerana dapat memberikan lebih perhatian pada anak saya," katanya yang mungkin akan membintangi teater Semerah Padi pada penghujung tahun ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails