Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Erra Fazira Minta Tidak Dikutuk Selepas Bertudung

Pelakon Erra Fazira berharap, keputusannya memakai tudung tidak menjadi bahan bualan orang ramai khususnya pengikut media sosial sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan gaya penampilan barunya itu. Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 41, berkata, sebagai orang baru yang berhijrah dalam usaha menjadi wanita muslimah sejati, dia berharap semua pihak mendoakan kebaikan buat dirinya dan bukan menghentam.
"Kita sepatutnya mendoakan dan saya percaya perlahan demi perlahan saya dan mereka (yang berhijrah) akan melakukan perubahan mutlak. Janganlah hentam yang teruk benar. Menegur tidak salah, tetapi biarlah berhemah. Yang penting penghijrahan itu dalam diri," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. Pelakon itu mengesahkan dia kini sudah bertudung sepenuhnya bersempena dengan malam Nisfu Syaaban yang jatuh pada malam Isnin lalu. Katanya, sudah tiba masanya dia mengubah penampilannya ke arah wanita muslimah memandangkan niat itu sudah lama disimpan. "Alhamdulillah... Allah bukakan hati ini. Sebenarnya sudah lama dah (hasrat mahu bertudung), tetapi rasa itu terpanggil kuat apabila masuknya Nisfu Syaaban. "Dah tak mahu fikir-fikir panjang dan mencari alasan lagi, laksanakan terus niat itu," ujarnya. Tambah Erra, dia berharap penghijrahannya itu dipermudahkan dan imej itu akan kekal selama-lamanya.

Tuduhan Cerai Beri Kesan Pada Keluarga - Siti Nurhaliza

Tuduhan kononnya sudah bercerai sedikitpun tidak memberi tekanan kepada Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sebaliknya ia mendatangkan kesan kepada keluarganya dan juga suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Siti, 36, berkata, kesan itu timbul apabila ahli keluarga mereka terpaksa menjawab banyak soalan daripada saudara-mara dan kenalan masing-masing yang mahukan kepastian mengenai fitnah itu apabila ia mula tersebar di Internet. "Ikhlas dan jujurnya saya tidak rasa terganggu sehingga sekarang. Selepas fitnah itu tersebar, takdelah saya tidak boleh tidur sebab geram dan sebagainya. “Kehidupan saya berjalan seperti biasa cuma saya kesian dekat ahli keluarga yang perlu menjawab fitnah tersebut kerana sering ditanya saudara dan rakan,” katanya kepada mStar Online. Siti ditemui pada sidang media SimplySiti Di Hati (SSDH) 2015 di Connexion @Nexus di sini pada Rabu. Tambah Siti, dia mengharapkan penulis blog tersebut berubah serta bertaubat supaya tidak lagi mengamalkan perbuatan seperti itu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.
“Pesanan saya tolong kembalilah ke jalan yang benar. Jika dia orang Islam, bertaubatlah kerana fitnah itu lebih teruk daripada membunuh. “Kalau kita agama Islam, kita perlu tahu batas-batas agama dan jangan menggunakan kemudahan Internet atau laman blog yang dibuat untuk mencari rezeki dengan cara begitu,” katanya. Selain itu, Siti memaklumkan gambar yang digunakan penulis blog tersebut merupakan gambarnya sewaktu menziarahi jenazah Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini tahun lepas. Dalam kejadian minggu lalu tersebar cerita kononnya Siti dan suaminya yang juga dikenali sebagai Datuk K telah bercerai selepas sebuah blog memuatkan gambar Siti dengan tajuk berkaitan cerai. Namun selepas dibaca, berita yang ditulis itu sebenarnya adalah kisah lama mengenai kakak kepada Siti iaitu Siti Norsaida.
Sementara itu, bagi program SSDH 2015, ia merupakan program kali ke-4 yang dijalankan oleh SimplySiti Sdn. Bhd. bersama IJN Foundation dan Watsons. SSDH merupakan satu program untuk membantu pembelanjaan kos rawatan kanak-kanak yang terpilih bagi menjalankan pembedahan. Pada tahun ini, tiga orang kanak-kanak yang terpilih ialah Siti Nur Ain Mohd Sukri, Tan Kai En dan Somroot Ijom. Bagi membantu menjayakan program ini, setiap pembelian produk SimplySiti bernilai RM100 di Watsons, sebanyak 5% akan disumbangkan buat kanak-kanak tersebut. Dalam perkembangan lain, Siti juga akan turut menjelajah ke tujuh lokasi Watsons terpilih sepanjang program ini berlangsung bermula 15 Jun hingga 15 Julai ini depan.

Eja Ingatkan Peminjam Bayar Hutang

Tindakan pelakon Eja berkongsi gambar dan status temannya di Instagram berhubung tuntutan hutang adalah untuk mengingatkan semua pihak supaya menjelaskan hutang masing-masing sebagaimana dituntut agama. Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 43, juga turut mengakui ada pihak yang pernah meminjam wangnya namun perkongsian status itu tidak ditujukan kepada individu itu tetapi lebih kepada peringatan. “Saya hanya kongsikan gambar dan status milik seorang kawan tetapi tidak sangka ramai yang anggap saya sedang menuntut hutang dengan cara sebegitu. “Memang saya mengalami perkara yang sama cuma tujuan perkongsian itu lebih kepada memberi peringatan dan gambar itu juga ada menunjukkan surah Al-Baqarah Ayat 283,” katanya kepada mStar online ketika dihubungi di sini pada Khamis. Apabila ditanya siapakah orang yang pernah berhutang dengannya Eja tidak berhasrat untuk bercerita kisah itu.
Tambah Eja, dia tidak mahu mana-mana pihak salah faham dan cuba mengaitkan tindakan perkongsian gambar serta status itu sebgai langkah untuk dia mendapatkan publisiti. “Memang ada yang berhutang dengan saya, dia akan mula tukar nombor telefon dan bagi pelbagai alasan untuk tidak melunaskan hutang. “Tetapi perkongsian gambar itu hanya sekadar peringatan dan saya sendiri tidak mahu mengaibkan mana-mana individu. Saya sudah berumur tidak mahu ada musuh,” katanya. Selain itu, Eja berkata sudah menjadi lumrah apabila si pemberi hutang perlu menuntut seperti peminta sedekah untuk menerima haknya kembali. Terdahulu, Eja berkongsi dua keping gambar mengenai tuntutan hutang milik @shawn_ahn790913 dan @fikhreebakar pada Khamis di Instagram miliknya. Menerusi gambar tersebut Eja turut menulis status bahawa dia juga mengalami situasi yang sama seperti temannya itu. “Allah Hu Akhbar... K. Eja faham sangat perasan ini.. Ini juga yang berlaku pada diri ini.. Lain acara saja. “Amaran dan peringatan besar dari Allah S.W.T. ! Tanggungjawab: Tanggung di dunia jawab di akhirat (Al-Baqarah 2: 282 & 283),” tulisnya dalam status Instagram itu.

Populariti Anak Buatkan Tomok Berwaspada

Populariti yang diraih anak sulung Tomok iaitu Arrianshah Akid (Arrian), 3, membuatkan dia begitu berjaga-jaga apabila mereka berada di luar kawasan rumah. Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 31, berkata, walaupun tidak menerima sebarang mesej berbaur ugutan, namun dia sekadar ingin memastikan keselamatan anaknya diperhatikan sebaik mungkin memandangkan kanak-kanak itu dikenali ramai. "Memandangkan Arrian dikenali, saya dan isteri (Siti Rahayu Abas) sentiasa mengawasi setiap gerak-gerinya terutama apabila berada di pusat beli belah. "Risau juga, sekarang ini macam-macam hal boleh berlaku. Cuma saya dan isteri sekadar ambil langkah berjaga-jaga," katanya kepada mStar Online.
Tomok ditemui pada majlis akikah anak keduanya, Andrashah Iman (Andra) yang kini berusia tiga bulan di kediaman keluarga isterinya di Keramat di sini pada Ahad. Arrian mula menjadi perhatian ramai apabila Tomok dan isterinya sering memuat naik foto dan video-video mengenai akviti harian kanak-kanak itu di akaun Instagram mereka. Tomok berkata dia tiada niat mahu mendedahkan anak-anaknya di laman sosial sebaliknya foto-foto dan video yang dimuat naik itu dilakukan sekadar ingin berkongsi perkembangan terbaharu anaknya bersama para peminat. Sementara itu, sejak kehadiran anak keduanya, Andra, Tomok berkata, tugasnya dan isteri semakin mencabar lebih-lebih lagi apabila Arrian mula berasa cemburu dengan adiknya itu. "Biasalah budak tengah membesar biasanya mahu perhatian. Melihat gelagat Arrian, dia cemburu apabila melihat kami bersama Andra, tetapi dia sayangkan adiknya itu. "Cuma mempunyai dua orang anak kecil sememangnya mencabar, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua anak ini menangis serentak. Huru-hara dibuatnya. Alhamdulillah, ia satu pengalaman yang indah," ujarnya.

"Shuib Berperangai Pelik Sehingga Perlu Disuap Makan" - Siti Sarah

Penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 32, mendedahkan karenah suaminya, pelawak Shuib (Sepahtu) yang pelik apabila setiap kali menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) termasuk perlu disuap makan. Sarah, 32, berkata Shuib kehilangan selera makan selain sering beremosi kerana terlalu memberikan fokus terhadap program tersebut. “Kalau Shuib sertai MLM, maknanya saya perlu memberi fokus lebih kerana ada karenah dia yang saya perlu jaga. "Bayangkanlah, sebelum ini, apabila dia sertai MLM, makan pun kena suap kalau tidak dia tidak makan. Berat badannya turun mendadak kerana tiada selera makan. "Saya rasa semua pelawak pun macam tu, dia akan dilanda kemurungan. Masa buat standupper tahun lepas, nak tidur pun tak boleh kerana risau tak pernah buat persembahan solo," katanya kepada mStar Online. Dalam perkembangan lain, Sarah kini sedang hamil anak ketiganya empat bulan hasil perkongsian hidup dengan Shuib. Tambah Sarah, dia tidak menolak rezeki jika dikurniakan anak yang ramai kerana suaminya dulu merupakan anak tunggal dalam keluarganya dan dia begitu seronok setiap kali menerima kehadiran cahaya mata. Siti Sarah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 27 Februari 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Uwais Alarni yang kini berusia empat tahun dan Dzahira Talita Zahra berusia dua tahun.

Maya Ruslee Mahu Kunci Mulut Masalah Rumah Tangga

Pelakon dan penyanyi Maya mengambil pendekatan untuk mengunci mulut mengenai status rumah tangganya kerana menganggap ia bukan masa yang sesuai untuk bercerita hal itu. Maya atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee, 39, berkata, dia akan mendedahkan mengenai pertanyaan itu apabila tiba masanya nanti sebagai menghormati keadaan ibunya yang menghidap strok. "Saya tidak mahu menyukarkan keadaan ketika ini jadi biarlah saya mengunci mulut dulu kerana nanti bila sudah sampai masa biarlah saya sendiri akan umumkan. "Sebenarnya ia amat amat rumit untuk dijelaskan dengan keadaan mak yang sakit jadi biarlah saya kunci mulut buat sementara waktu supaya dia tidak susah hati memikirkan masalah yang dihadapi," katanya kepada mStar Online. Maya ditemui pada pelancaran majlis berbuka puasa 'Selera Bonda' di Hotel Dorsett Grand, Subang, di sini, Isnin. Antara artis yang hadir ialah Jaafar Onn, Rohana Jalil, Nas (Kilauan Emas), Faizal Zain, Sam Iskandar dan Shazroul Fazlie Zahari. Dalam pada itu, Maya berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan hal rumah tangganya tetapi ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya. Dia juga enggan hal berkenaan akan memudaratkan lagi penyakit dihadapi oleh ibunya apabila akan ada orang datang untuk bertanyakan hal tersebut.
Dalam perkembangan lain, Maya bakal muncul dengan single terbaharu bertajuk Setia yang akan dilancarkan pada tahun ini. Selain itu, bercerita mengenai majlis berbuka puasa 'Selera Bonda' di Hotel Dorsett Grand, Maya dan barisan artis terlibat akan menghiburkan tetamu yang berkunjung berbuka puasa di hotel itu nanti. Untuk tempahan berbuka puasa bersama selebriti di Dorsett Grand Subang boleh hubungi 03-50316060. Bayaran berbuka puasa di hotel ini ialah RM140 seorang.

Suami Pinta Iesya Toh Berhijab

Suami kepada pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM), Iesya Toh memberi tempoh buat isterinya untuk tampil berhijab selepas kedua-dua mereka sah diijabkabulkan pada Jumaat. Huzairee Muhamad, 34, berkata dia memberikan sedikit masa buat isterinya untuk melakukan perubahan iaitu menutup aurat secara berperingkat. “Mengenai berhijab, saya memberi sedikit masa pada dia dan saya mahukan perubahan berlaku sedikit demi sedikit. “Apa yang penting, dia memahami apa yang saya mahukan dan saya berharap agar tidak perlu lagi tegur dia pada masa akan datang,” katanya kepada mStar Online. Terdahulu Iesya atau nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 32, selamat bernikah dengan Huzairee dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di RTM, Angkasapuri di sini pada Jumaat.
Pada majlis itu Iesya menerima mas kahwin berjumlah RM1,001 berserta wang hantaran RM50,000. Majlis resepsi pihak perempuan diadakan di Perkarangan Wisma TV Angkasapuri, RTM pada Sabtu (hari ini) pukul 8 malam manakala majlis bertandang sebelah lelaki pula akan diadakan di Senwang, Negeri Sembilan pada 7 Jun depan. Dalam pada itu bagi Iesya pula, dia berasa terharu kerana bertemu jodoh dengan ahli perniagaan yang begitu tegas dalam hal agama. Iesya akan lakukan yang terbaik dan sentiasa patuh dengan arahan suaminya untuk berhijab suatu hari nanti. “Kalau kita nampak Huzairee macam biasa sahaja tetapi dia sebenarnya sangat tegas dalam bab-bab agama dan Alhamdulliah saya sah bergelar isteri kepadanya. “Saya ada cakap kepada dia supaya beri saya sedikit masa untuk berhijab dan dia sudah memberi tempoh masa itu tetapi jika terlebih dari tempoh yang diberikan dan saya masih berdegil, dia akan paksa saya,” katanya.
Tambah Iesya, suaminya seorang yang matang dan boleh dibawa berbincang namun kadang-kala nasihat yang dikeluarkan suaminya agak pedas tetapi untuk kebaikan. Sementara itu, mengenai status kes penipuan perancang perkahwinan yang membuatkan Iesya kerugian lebih RM20,000, dia berkata individu tersebut masih belum membayar wang itu dan terus menghilangkan diri. Walaupun dilanda pelbagai dugaan namun perkahwinan Ieysa masih diteruskan dan dia bersama pasangangannya menerima 56 tajaan daripada pelbagai pihak.

Sasha Saidin Ragu-Ragu Untuk Kahwin Lagi

Penyanyi dan pelakon Sasha Saidin masih belum bersedia untuk berkahwin buat kali ketiga biarpun kini sedang berkawan rapat dengan seseorang. Sasha, 39, berkata, kegagalan menerusi dua perkahwinan sebelum ini membuatkan dia berasa ragu-ragu dan menyerahkan hal itu kepada jodoh. "Bukan saya serik tetapi rasa ragu-ragu itu ada kerana sudah dua kali saya gagal dalam perkahwinan. "Pun begitu saya tidak menafikan sedang berkawan rapat dengan seseorang cuma belum masanya untuk mengakhiri hubungan itu ke alam perkahwinan," katanya kepada mStar Online. Sasha ditemui pada majlis pelancaran drama Fajar Di Bukhara yang diadakan di Hotel Federal di sini, Jumaat. Drama 26 episod arahan Zulkiflie R.shad itu turut menampilakan barisan pelakon seperti Azrel Ismail, Maria Farida, Ainul Aishah, Aziza Halilova dan Zizan Nin.
Ia bakal menemui penonton di saluran TVi (Astro 180) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 9 malam bermula 15 Jun ini. Fajar Di Bukhara turut ditayangkan di TV1, setiap hari pada pukul 7 malam bermula 22 Jun depan. Dalam pada itu, Sasha mengakui mendapat tekanan daripada keluarga dan kenalan rapatnya untuk segera berkahwin terutama daripada ibunya. Kata Sasha, ibunya bimbang dia berasa kesunyian dan berharap ada seseorang yang dapat menjaganya dan anak lelaki tunggalnya. "Biasalah seorang ibu dia sentiasa bimbangkan saya dan berharap saya akan segera berkahwin dan saya faham perasaannya. "Tetapi saya tidak boleh buat keputusan berdasarkan permintaan orang lain kerana jujurnya saya selesa dengan kehidupan sekarang," ujarnya. Tambah Sasha, pemuda yang rapat dengannya itu juga memahami kebimbangan yang bermain dalam dirinya dan tidak pernah mendesak untuk segera berkahwin. Terdahulu Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian. Bekas anggota kumpulan Elite itu kemudiannya berkahwin dengan Salyo Priyanto seorang warga Indonesia pada 2007 sebelum bercerai pada 10 Julai 2012. Menerusi perkahwinan kedua itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono yang kini berusia enam tahun. Dalam perkembangan lain, Sasha berkata, selain lakonan dia kini banyak menumpukan perhatian kepada bidang peragaan kerana rezekinya lebih banyak ke arah itu. Kata Sasha, hampir setiap minggu dia ditawarkan sebagai model peragaan untuk pertunjukkan fesyen. "Alhmadulillah rezeki saya tahun ini banyal dalam bidang peragaan selain pengacaraan. Saya anggap itu sebagai rezeki anak kerana sekarang apa sahaja saya lakukan adalah demi membesarkannya," katanya. Selain Fajar Di Bukhara, Sasha berkata, suaranya juga bakal digunakan menerusi filem How to Train A Dragon 2 versi Bahasa Malaysia untuk siaran Fox Movies pada Hari Raya akan datang. "Suara saya digunakan untuk watak Astrid dalam filem berkenaan dan saya cukup teruja dengan projek tersebut," jelasnya.

Mia Ahmad Enggan Percaya Suami-Isteri Cerai Kerana Wataknya

Pelakon baharu Mia Ahmad berharap khabar angin kononnya terdapat pasangan suami isteri bercerai kerana wataknya sebagai Yuhanis dalam Hari Perempuan adalah cerita tidak benar. Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 27, berkata, dia sudah lama mendengar mengenai gosip tersebut tetapi enggan mempercayainya kerana berita tersebut seolah-olah ingin menarik perhatian pembaca. "Saya tak rasa berita kononnya pasangan suami isteri bercerai kerana Yuhanis adalah cerita betul. "Apabila saya membuka blog yang menyebarkan berita itu, ia tidak kelihatan benar, sebaliknya ia seperti sengaja direka dengan tujuan untuk meraih perhatian orang ramai," katanya kepada mStar Online pada Rabu. Minggu lalu, sebuah blog tempatan telah mengeluarkan artikel mengenai seorang isteri telah memfailkan perceraian kerana bengang suaminya sering menyebut nama Yuhanis ketika sedang tidur. Kata isteri tersebut, sejak menonton drama Hati Perempuan, suaminya mula menunjukkan perubahan sehingga kedua-dua mereka kerap bergaduh.
Sementara itu, Mia berkata, sekiranya benar ada pasangan suami isteri bercerai kerana wataknya itu, dia pasti akan bersedih kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku. "Sekiranya betullah khabar itu, saya sangat sedih kerana tidak sangka watak Yuhanis memberi impak sehingga ke tahap itu," ujarnya. Dalam pada itu, Mia mengakui drama tersebut mempunyai impak yang tersendiri apabila ramai memberi komen rata iaitu positif dan negatif. Bagaimanapun dia bersyukur, namanya mula menjadi perhatian kerana lakonan itu dan sedikit sebanyak menambahkan rezeki dalam kerjayanya. "Alhamdulillah, sejak dikenali menerusi Hati Perempuan, saya menerima pelbagai tawaran lakonan sehingga membuatkan saya perlu memilih. "Malah saya turut ditawarkan menjadi model dan duta untuk beberapa produk," tuturnya. Drama Hati Perempuan sudah pun tamat siarannya di TV3 pada 14 Mei lalu.

Sharifah Shahira Disisihkan Gara-Gara Bergelar Deejay Radio

Pelakon dan pengacara, Shira mendedahkan kerjaya seninya tersekat kerana disisihkan gara-gara dia bekejra sebagai deejay di Ultra FM. Shira atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar, 40, berkata, tawaran menjadi hos di saluran televisyen juga gagal diterimanya kerana tugas itu. "Saya pun tidak faham kenapa kebanyakkan stesen tv yang ingin mengambil saya sebagai hos membatalkan tawaran yang diberikan hanya kerana saya bekerja dengan Ultra FM? "Banyak tawaran diberikan kepada saya tetapi bila tahu saya bekerja dengan radio Ultra mereka berubah fikiran sedangkan pengurusan stesen radio itu tidak menghalang saya untuk mengembangkan kerjaya saya," katanya ketika dihubungi mStar Online. Shira berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penamatan kontraknya dengan stesen radio itu yang berkuatkuasa 2 Jun depan selepas berkhdimat selama dua tahun. Shira bersiaran setiap hari mengendalikan segmen Ultra Petang selama lima jam bermula pukul 3 petang. Ultra FM boleh dikuti menerusi frekuensi 101.3 FM sekitar Lembah Klang.
Dalam pada itu, Shira berkata, dia terkilan dengan tindakan beberapa stesen televisyen yang melakukan diskriminasi tersebut kerana ia sedikit sebanyak menggangu kerjayanya sebagai pengacara. "Saya sebenarnya terkilan kerana tidak menyangka perkara seperti ini boleh berlaku sedangkan saya tidak melakukan sebarang kesalahan tetapi saya dipinggirkan seolah-olah melakukan kesalahan besar. "Ia sedikit sebanyak mengganggu kerjaya saya sebagai pengacara kerana saya cuma ingin bekerja dan mencari rezeki untuk menampung kehidupan keluarga," katanya. Tambah Shira, akibat hal itu ramai peminat bertanya kenapa dia sudah tidak lagi muncul di mana-mana saluran televisyen. Dia juga berharap agak pihak stesen televisyen tidak meminggirkannya lagi kerana dia kini sudah tidak mempunyai kontrak bersama saluran radio itu. Dalam pada itu Pengurus Besar Ultra FM, Hawa Abdul Hamid berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi Shira sepanjang bertugas di stesen radio berkenaan. Katanya, Shira mendapat banyak tawaran menjadi hos tetapi kerjayanya itu tersekat kerana tugasnya sebagai dejay di stesen berkenaan yang memerlukan dia memberi komitmen sepenuh masa. “Kami anggap Shira sebagai aset Ultra FM tetapi kami tak boleh halang dia kerana tawaran yang datang di luar sana cukup banyak dan dia perlu memilih satu diantara dua pilihan itu,” jelas Hawa.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails