Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Eja. Show all posts
Showing posts with label Eja. Show all posts
Ada Hikmah Disebalik Berhijab - Eja
Pelakon Eja berkata, pemilihannya sebagai Pelakon Pembantu Wanita terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) adalah hikmahnya berhijab untuk filem itu, Manisnya Cinta Di Cappadocia.
Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 43, berkata, ada kisah disebalik penglibatannya dalam filem arahan Bernad Chauly itu apabila dia pada mulanya menolak tawaran berkenaan selepas membuat keputusan berhijab.
“Semasa saya ditawarkan berlakon filem itu, kira-kira tiga tahun lalu saya belum berhijab. Bagaimanapun ketika saya mengerjakan umrah dan memakai tudung, akhirnya saya memutuskan untuk menolak tawaran itu kerana saya fikirkan akan disuruh buka tudung jika mahu menerima tawaran berkenaan,” kata Eja kepada mStar Online.
Bagaimanapun menurut Eja, dia terkejut apabila Bernard tidak menghalangnya untuk berlakon walaupun dia bertukar imej dengan alasan watak Kak Aida dalam filem berkenaan hanya sesuai untuk dilakonkan Eja.
Ujar Eja lagi, keikhlasan Bernard untuk menerimanya dalam filem itu benar-benar membuatkan dia terharu apatah lagi lakonannya mendapat pengiktirafan juri sehingga dicalonkan dalam FFM 27 yang bakal berlangsung pada 5 September depan.
“Saya lihat Bernard benar-benar ikhlas mahukan saya berlakon dalam karyanya walaupun dia bukan Islam yang melihat perubahan imej saya ketika itu tidak menggugat karyanya,” ujar Eja.
Tambah Eja pencalonan dalam top 5 festival berkenaan juga adalah satu rahmat dan rezeki mungkin kerana berkat perubahannya berhijab dalam filem berkenaan.
Katanya, walaupun terpaksa bersaing dengan empat lagi pelakon iaitu Izara Aishah (Sejoli), Fazura (Kami Histeria), Ayu Raudhah (Lagenda Budak Setan 3) dan Nadiya Nissa (Terbaik Dari Langit), Eja menyerahkan segalanya kepada takdir.
Walaupun pernah memenangi Pelakon Filem Wanita Terbaik menerusi filem Janin pada tahun 2011, ia bukan bermakna pesaing-pesaingnya yang lebih muda tidak hebat.
“Semua pencabar-pencabar saya dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik adalah pelakon yang hebat-hebat belaka. Saya menyerahkan kepada rezeki kepada Allah untuk FFM kali ini,” katanya.
Malam Perasmian FFM 27 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 September depan manakala acara kemuncaknya pula pada 5 September 2015 di lokasi yang sama.
Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria bermula puku 8.30 malam dan siaran tertunda menerusi RTM.
Sebanyak 24 kategori dipertandingkan dalam FFM 27 kali ini yang membawa tema Sehati Sejiwa.
Sejak Lima Tahun Eja Sambut Raya Di Rumah Mertua
Pelakon Eja menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mertuanya di Ipoh terlebih dahulu sebelum beraya di Kuala Lumpur yang mana perkara itu dilakukannya sejak lima tahun lalu.
Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 43, berkata, ia berikutan keadaan kesihatan ibu mertuanya yang tidak berapa sihat.
"Saya sudah lima tahun sambut raya di rumah mertua iaitu di Ipoh sebelum beraya bersama keluarga saya di KL. Biasanya kami beraya selama empat atau lima hari di sana.
"Emak mertua saya tidak berapa sihat dan inilah masanya untuk berjumpa ahli keluarga yang lain. Selalunya kalau saya balik ke Ipoh, mereka tiada kerana masing-masing tinggal jauh," katanya kepada mStar Online.
Eja berkata, sambutan Hari Rayanya sama seperti orang lain iaitu dengan menghabiskan masa sepanjang hari berbual dan menikmati juadah yang disediakan.
Tambahnya, persiapan dibuat secara sederhana dan hanya melebihkan kepada persiapan anaknya Nur Eishal yang berusia lima tahun.
"Saya beraya seperti orang lain juga, raya pertama hanya duduk rumah, menonton televisyen dan makan juadah Hari Raya, selepas itu barulah pergi menziarah ahli keluarga.
"Tahun ini persiapan kami biasa sahaja, cuma baju raya, kasut dan keperluan raya lebih kepada anak sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Eja bakal keluar dengan telefilem berjudul Gerobok Raya yang akan disiarkan pada slot Cereka Ahad, 26 Julai ini.
Eja Bimbang Lepaskan Anak Ke Alam Persekolahan
Pelakon Eja mengakui bimbang dengan keselamatan anak perempuannya Nur Eishal,5, yang bakal memulakan alam persekolahan darjah satu pada September depan di sebuah sekolah swasta.
Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 43, berkata, kes-kes berkaitan penculikan dan buli yang sering menjadi tajuk berita akhbar membuatkan dia lebih berhati-hati untuk melepaskan satu-satu cahaya matanya itu.
"Dia (Nur Eishal) baru sahja menjalani ujian penilaian untuk menduduki darjah satu di sebuah sekolah swasta dan Insya-Allah kalau lulus dia akan memulakan persekolahan darjah satu pada September ini.
"Tipulah kalau kata saya tidak bimbang, melepaskan dia ke alam persekolahan merupakan satu kebimbangan besar buat saya terutama apabila terlalu banyak kes-kes tentang penculikkan dan buli di sekolah," ujarnya kepada mStar Online.
Eja berkata, dia memastikan sekolah dan kawasan persekitaran sekolah anaknya itu selamat dari risiko kes penculikan dan buli pelajar.
Tambahnya, dia kini meletakkan tanggungjawab terhadap anaknya itu sebagai keutamaan dalam aktiviti kehidupannya.
"Banyak aspek yang saya fikirkan sebelum buat keputusan untuk hantar dia di sekolah mana, saya pastikan sekolah itu bagus dan kawasannya selamat.
"Anak saya adalah kepentingan utama dan saya tidak akan memilih perkara yang lain selain anak dan saya kembali ke dunia lakonan pun selepas berjanji dengan suami untuk memberi keutamaan pada anak kami," ujarnya.
Eja berkata, Nur Eishal merupakan harta yang paling berharga yang diamanahkan kepadanya.
Sementara itu, tentang kerjaya lakonan, Eja berkata, dia hanya menerima tawaran berlakon telefilem berbanding drama episod berikutan masa penggambaran yang lebih singkat.
Tambahnya, dia juga memilih skrip yang benar-benar sesuai dan memberi kesan kepada masyarakat sahaja.
Eja Ingatkan Peminjam Bayar Hutang
Tindakan pelakon Eja berkongsi gambar dan status temannya di Instagram berhubung tuntutan hutang adalah untuk mengingatkan semua pihak supaya menjelaskan hutang masing-masing sebagaimana dituntut agama.
Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 43, juga turut mengakui ada pihak yang pernah meminjam wangnya namun perkongsian status itu tidak ditujukan kepada individu itu tetapi lebih kepada peringatan.
“Saya hanya kongsikan gambar dan status milik seorang kawan tetapi tidak sangka ramai yang anggap saya sedang menuntut hutang dengan cara sebegitu.
“Memang saya mengalami perkara yang sama cuma tujuan perkongsian itu lebih kepada memberi peringatan dan gambar itu juga ada menunjukkan surah Al-Baqarah Ayat 283,” katanya kepada mStar online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Apabila ditanya siapakah orang yang pernah berhutang dengannya Eja tidak berhasrat untuk bercerita kisah itu.
Tambah Eja, dia tidak mahu mana-mana pihak salah faham dan cuba mengaitkan tindakan perkongsian gambar serta status itu sebgai langkah untuk dia mendapatkan publisiti.
“Memang ada yang berhutang dengan saya, dia akan mula tukar nombor telefon dan bagi pelbagai alasan untuk tidak melunaskan hutang.
“Tetapi perkongsian gambar itu hanya sekadar peringatan dan saya sendiri tidak mahu mengaibkan mana-mana individu. Saya sudah berumur tidak mahu ada musuh,” katanya.
Selain itu, Eja berkata sudah menjadi lumrah apabila si pemberi hutang perlu menuntut seperti peminta sedekah untuk menerima haknya kembali.
Terdahulu, Eja berkongsi dua keping gambar mengenai tuntutan hutang milik @shawn_ahn790913 dan @fikhreebakar pada Khamis di Instagram miliknya.
Menerusi gambar tersebut Eja turut menulis status bahawa dia juga mengalami situasi yang sama seperti temannya itu.
“Allah Hu Akhbar... K. Eja faham sangat perasan ini.. Ini juga yang berlaku pada diri ini.. Lain acara saja.
“Amaran dan peringatan besar dari Allah S.W.T. ! Tanggungjawab: Tanggung di dunia jawab di akhirat (Al-Baqarah 2: 282 & 283),” tulisnya dalam status Instagram itu.
RAGAM TERKINI EJA & ANAKNYA NUR EISHAL
Tahun 2013 ini, kiranya sudah 13 tahun Eja atau nama penuhnya Siti Shahrizah telah berkahwin dengan Mohd Silahuddin Jamaluddin. Meskipun awalnya merahsiakan perkahwinan tersebut, namun nampaknya mereka tetap bahagia sebagai suami isteri.
Kini, anak mereka yang bernama Nur Eishal sudah pun berusia lebih 4 tahun. Apa yang pasti, Nur Eishal dimanja dan disayangi 'bagai menatang minyak yang penuh'. Iyalah... anak tunggal katakan. Jom tengok!
MENARIK RAMADHAN - BILA EJA DIBERI HIDAYAH
Bak kata pepatah, sekali air bah... sekali pantai berubah!
Begitu jualah halnya dengan Eja, atau nama sebenarnya Siti Shahrizah, 41, yang diberi hidayah oleh Allah SWT untuk berubah ke arah yang lebih baik tiga bulan lalu. Ikhlasnya, perubahan Eja itu amat ketara sekali berbanding zaman kegemilangannya sebagai pelakon yang penuh dugaan.
Khas untuk anda, jom kita lihat gambar terkini Eja menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini dengan berhijab.
.
Rezeki Eja melimpah selepas berhijab
SELEPAS mengambil keputusan untuk berhijab sejak beberapa bulan lepas, aktres Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah memberitahu, dia kini sedang melalui satu fasa kehidupan yang cukup tenang dan bahagia.
Mengakui juga selepas berhijab ia bukan tanda aras hidupnya telah sempurna, Eja yang ditemui sewaktu mengikuti rombongan Anugerah Skrin 2011 & 2012 ke Korea Selatan baru-baru ini mengatakan dia kini dalam proses memperbaiki kelemahan dirinya.
"Alhamdulillah, secara perlahan-lahan Tuhan memberi saya petunjuk sehingga akhirnya saya berhijab.
"Apabila saya telah menutup aurat seumpama ini, ia bukan bermakna saya sudah menjadi seorang manusia yang sempurna, sebaliknya saya bersyukur kerana Tuhan telah memberi saya peluang untuk berubah," ujarnya yang mahu lebih kerap menghadiri majlis usrah sambil memanjat kesyukuran.
Dedah Eja, pada saat dirinya mengambil keputusan untuk terus berhijab sebaik sahaja pulang daripada menunaikan umrah sekitar Mei lalu, dia telah mempersiapkan diri dengan risiko untuk hilang atau kurang mendapat tawaran berlakon.
Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku. Tuhan telah mencurahkan dirinya dengan rezeki yang melimpah-ruah, satu hal yang tidak dijangka oleh wanita tinggi lampai ini.
Menurut Eja: "Pada saat saya telah bersedia dengan kebarangkalian untuk tidak menerima tawaran berlakon kerana penampilan baharu ini, pada saat itu, tawaran terus datang tanpa henti.
"Antara bukti rezeki saya tidak ditarik Tuhan kerana saya berhijab ialah kontrak saya untuk berlakon dalam filem Manisnya Cinta dan sebagai duta produk kecantikan Cosry yang ditandatangani sebelum saya berhijab masih diteruskan.
"Saya kemudian menerima beberapa tawaran lain termasuk dua telefilem sempena sambutan Aidilfitri ini. Alhamdulillah."
Tegas Eja, biar banyak tawaran berlakon yang bakal hadir kepadanya kelak, dia tetap tidak akan menanggalkan hijab.
Luahnya, sepanjang 17 tahun menjadi anak seni, khalayak telah melihat penampilan dan rambutnya, kini dia tidak mahu memperlihatkan semua penampilan silamnya lagi.
"Cukuplah 17 tahun khalayak telah melihat rambut saya. Dengan faktor usia yang sudah mencecah 41 tahun, saya kira semua sudah perlu diperlahankan," katanya yang menyebut, suaminya tidak pernah memaksa dia berhijab, sebaliknya bergurau dengan mengatakan dirinya bakal masuk syurga sebaik sahaja Eja mengambil keputusan berhijab.
Ditebak bagaimana pula dengan trademark bulu mata palsu dan solekan tebal sewaktu berlakon, adakah khalayak tidak akan melihat penampilannya di layar kaca seumpama itu lagi, Eja hanya ketawa.
Dia kemudian memberitahu, jika skrip penceritaan memerlukan dirinya memakai bulu mata palsu atau bersolek tebal, ia akan dilakukan. Sebagai seorang pelakon, jelas Eja, permintaan tersebut masih akan ditunaikan.
Sementara itu, Eja turut berkata, dia bersama Cosry kini dalam perbincangan untuk melancarkan koleksi hijab sempena bulan Ramadan ini.
Eja bagaimanapun dengan rendah hati memberitahu, sebagai seorang wanita yang baharu memakai hijab, dia tidak mahu koleksi tersebut sekadar menjadi satu trend.
"Insya-Allah, saya dan Cosry akan menghasilkan koleksi hijab dengan jenama Eja by Cosry sempena kehadiran bulan Ramadan ini.
"Koleksi itu kelak, saya mahu pastikan ia tidak sekadar menjadi satu trend, sebaliknya saya mahu menghasilkan koleksi hijab yang mengikut syariat Islam.
"Saya mahu wanita Muslim yang berpakaian mengikut syariat Islam tidak ketinggalan dalam berfesyen dan bergaya sopan," jelasnya.
Gambar Anak Siti Shahrizah (Eja)
Anak perempuan kepada pelakon Eja kini sudahpun berumur 4 tahun. Nur Eishal, nama yang diberikan oleh Eja dan suaminya, Mohd. Silahuddin Jamaluddin. Nur Eishal dilahirkan pada September 2009 dan menjadi jawapan kepada status Eja samada sudah berkahwin atau belum yang sebelum ini dirahsiakan.
-rentakartis.com
Eja anggap diri budak tadika
GELORA lautan boleh sahaja dilawan armada perkasa namun tiada yang dapat berlawan dengan takdir. Sekilas pandang, pernyataan itu terlalu besar untuk dicondongkan kepada situasi yang sedang menjadi rutin jelitawan bernama Siti Shahrizah Saifuddin ketika ini.
Umum tahu dia menjadi 'orang ketiga' namun kuatnya hati wanita itu, segala cabaran mahu ditepis tanpa mudah mengaku kalah. Skeptikal umum tentang masalah dalaman dan kekalutan dalam naskhah teater Tun Dr. Siti Hasmah juga mahu dibuang jauh dari kotak fikirannya.
Berbaki kurang daripada 30 hari sesi latihan menjelang hari pertama untuk ditatap sebagai Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, dia melalui saat yang diibaratkan sebagai sesi prasekolah. Sementelah, watak isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad itu watak sulung yang membawanya ke dunia teater.
"Saya selalu dianggap sebagai jiran yang anti sosial oleh penerbit teater ini, Datin Paduka Umie Aida. Kami berjiran tapi saya jarang bertemu mesra dengannya. Ketika dia menelefon saya untuk menawarkan watak berkenaan, saya kaget. Umie mahu berjumpa dan berikan saya skrip teater itu. Saya pula langsung tidak tahu apa-apa perkembangan tentang teater berkenaan.
"Dalam masa saya masih berkira-kira untuk membaca skrip terlebih dulu, Umie memberi isyarat agar jawapan yang bakal keluar dari mulut saya ialah jawapan yang dia mahukan," tenang Eja bercerita susur titik yang membawa dirinya memasuki pasukan teater yang diterajui oleh Erma Fatima itu.
Meletakkan dirinya sebagai gelas kosong yang hari demi hari diisi titis-titis air sebagai penghilang dahaga ilmu, kata Eja, amanah yang terjunjung atas batu jemalanya itu juga disifatkan sebagai takdir dan peluang yang tidak mampu dibayar oleh wang ringgit.
"Saya anggap peluang ini sebagai takdir yang telah tertulis untuk saya. Ia sebuah rezeki dan pengalaman berlakon bersama pasukan teater ini satu anugerah yang tidak ternilai. Saya diberi keyakinan untuk watak itu, kenapa mesti saya sendiri perlu berasa tidak yakin terhadap diri sendiri. Jadi saya terima semua tunjuk-ajar sewaktu sesi latihan.
"Vokal dan lenggok cakap saya yang mendayu-dayu kena pancung habis. Saya cuba sedaya-upaya, selebihnya semoga urusan ini dipermudahkan Allah SWT," lenturnya hampir meluluhkan perasaan.
Pilihan ketiga pilihan terbaik
Hampir 16 tahun dalam industri juga, Eja sudah cukup membuktikan dirinya sebagai anak seni. Deretan drama televisyen berupa drama bersiri mahupun telemovie, bahkan terpilih ke dalam senarai aktres terbaik Malaysia dalam Festival Filem Malaysia menerusi Janin, namun untuk teater yang akan berkampung di Panggung Sari, Istana Budaya itu, namanya muncul sebagai pilihan ketiga. Itupun, selepas pilihan pertama, Erra Fazira dan Sofia Jane menarik diri.
Kedua-dua pelakon itu miliki pesona dan profil tersendiri, kedua-duanya juga pernah melakar nama indah di kanvas perfileman dan teater tanah air. Namun, atas beberapa masalah, kedua-duanya tidak kesampaian untuk memecah tembok menzahirkan watak bekas wanita pertama negara itu.
"Tidak adil untuk saya bercakap tentang apa yang berlaku kepada dua pelakon berkenaan. Benar saya pilihan ketiga tetapi fikiran saya menolak untuk memikirkan susun atur tersebut. Kalau difikirkan akan menambah tekanan. Lebih baik saya ambil positif.
"Setahu saya, Lisa juga bukan pilihan pertama, Erma Fatima dan Esma Daniel juga bukan pilihan pertama. Pendek kata, kebanyakan nama dalam pasukan teater ini bukanlah pilihan pertama, tapi inilah pilihan yang terbaik," katanya sedar jika selalunya peluang berpihak kepada nama yang sama, tiada kelainan dapat disaksikan.
Tambah Eja: "Cuma jangan terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sekiranya persembahan saya nanti tidak sampai ke tahap yang diimpikan, itu tidak bermakna saya gagal.
"Saya tak kisah dikritik, bahkan saya mohon, tegurlah dan dan kritiklah saya. Cuma janganlah kecam saya sehingga saya terduduk."
Meneruskan nota hatinya untuk dipaparkan sebelum lakonannya diperlihatkan, Eja menjelaskan banyak sebab yang menyokong pilihannya untuk menyahut tawaran melakonkan watak Siti Hasmah.
"Saya terima watak ini atas banyak sebab, terutamanya kerana Umie, Erma dan Normah Nordin sebagai jurulatih lakonan. Sudah tentu juga kerana teater itu sendiri yang bercerita tentang wanita ulung negara.
"Setiap kali melintasi dan datang menyaksikan kerja orang lain, saya cuma tertanya-tanya tentang peluang untuk saya berlakon di sini (Istana Budaya). Alhamdulillah, Allah SWT telah mendengar doa saya dan peluang ini tidak harus saya lepaskan.
"Saya juga mahu mencabar diri saya untuk berdepan dengan khalayak yang ramai. Satu tahu, itu kelemahan utama saya. Saya jenis yang tidak pandai berurusan dengan orang ramai dalam satu-satu majlis."
Pinta aktres berusia 40 tahun itu, janganlah dirinya dibandingkan dengan Erra mahupun Sofia.
"Erra seorang primadona filem Melayu, Sofia pula pelakon yang cukup berpengalaman. Kami dalam liga yang berbeza. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri untuk fikirkan perkara itu," katanya yang semakin tenang selepas selepas beberapa minggu menjalani latihan.
Gerun berdepan 9 November
Tiga minggu menjalani latihan, banyak yang telah dikutip. Selain skrip yang dibekalkan, itu pun baru sahaja diberikan skrip terakhir beberapa hari lalu, Eja turut membuat rujukan peribadi untuk mengenali dan mendalami watak sebenar yang dipegangnya.
"Saya baca buku Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya juga 'google' untuk cari maklumat-maklumat berkaitan, tengok dalam YouTube. Mujurlah sempat juga bertemu dengan Siti Hasmah baru-baru ini. Saya hanya nampak dan kenal beliau dari jauh, saya katakan pada diri saya, tiada sesiapa pun yang dapat menjadi Tun selepas ini. Apa yang akan saya persembahkan nanti hanyalah Siti Hasmah seperti yang dibayangkan setepat yang mungkin," katanya.
Daripada 74 babak keseluruhan, 64 daripada babak dalam teater tersebut melibatkan lakonannya.
"Harap penonton tidak muak nanti," tutupnya ketawa sambil tidak mahu membohongi diri bahawa jauh di hati yang terdalam, dia menyimpan gugup dan gerun berdepan teater berprofil tinggi itu.
Memetik kata-katanya di awal perbualan, 'seandainya lakonan itu sesuatu yang bakal memberikan kesan ke jiwa penonton, itu sudah satu ibadah saya untuk masyarakat.'
Jika Eja berjaya memberi interpretasi yang paling tepat menghampiri lahiriah dan batiniah Siti Hasmah sepanjang 9 hingga 19 November nanti, gambaran itu bakal jadi riwayat hidup yang memberi impak. Bukan sahaja kepada penonton bahkan kepada pemilik riwayat itu sendiri.
Eja sahut cabaran
KONTROVERSI Teater Tun Dr. Siti Hasmah bermula apabila Adlin Aman Ramlie menarik diri sebagai pengarah dan digantikan dengan Erma Fatima beberapa bulan lalu. Malah, tarikh asal pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu itu turut ditunda dua kali iaitu pada 14 September dan terbaru pada 9 hingga 19 November depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Tidak hanya membabitkan pengarah dan tundaan tarikh pementasan, beberapa episod pengunduran pelakon utamanya juga terjadi. Entah kenapa pelakon utama yang membawakan peranan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika dewasa sering sahaja bertukar tangan.
Selepas pengunduran Erra Fazira pada penghujung Ogos lalu yang dikhabarkan disebabkan faktor jadual, terkini Datin Sofia Jane pula disahkan mengambil langkah serupa atas alasan yang sama.
Ingin mengetahui cerita di sebalik pengunduran Sofia, Kosmo! cuba menghubungi dan menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya, tetapi malangnya tiada jawapan yang dapat kami terima daripada pelakon filem Perempuan, Isteri dan .....? itu.
Bagaimanapun Kosmo! berjaya menemu bual pengganti Sofia iaitu pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 40. Eja berbicara tentang persiapan dan kesanggupan menjadi Siti Hasmah sebelum teater tersebut dipentaskan sebulan dari sekarang.
Kosmo!: Apa perasaan Eja ketika ditawarkan membintangi peranan utama teater Tun Dr. Siti Hasmah?
EJA: Bohong jika saya tidak berasa gementar. Perasaan saya bercampur baur. Teruja dan dalam masa yang sama gementar. Namun saya akan pastikan perasaan gementar itu bukan menjadi halangan untuk saya melakukan yang terbaik. Sebenarnya perasaan gementar itu bagus untuk menjadikan diri saya lebih bersedia memikul peranan itu nanti.
Apa yang membuatkan anda menerima tawaran ini, sedangkan sudah dua pelakon asal (Erra Fazira dan Sofia Jane) mengundurkan diri?
Saya sahut cabaran Datin Paduka Ummi Aida dan Erma Fatima, malah saya cabar diri untuk terima dan menjayakan peranan ini. Saya tidak mahu ambil tahu kenapa dua pelakon sebelum ini mengundurkan diri.
Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik. Bagi saya, tiada satu produksi yang sempurna. Tidak kira ia filem, drama mahupun teater, pasti akan berlaku masalah. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membawakan watak Tun Dr. Siti Hasmah.
Ini merupakan pementasan pertama anda sejak bergelar anak seni. Kenapa baru sekarang terpanggil untuk menyahut cabaran beraksi di atas pentas teater?
Ya, ini adalah pengalaman pertama saya beraksi di atas pentas teater. Sebelum ini, saya pernah menolak beberapa tawaran untuk berlakon teater kerana faktor masa. Dahulu, sewaktu tidak ada anak, saya terlalu banyak terima tawaran berlakon drama dan filem. Jadi saya tidak mampu untuk buat teater. Kini, sudah ada masa dan ruang yang sesuai, saya terima tawaran berlakon teater.
Berapa lama latihan yang dibuat sebelum pementasan? Adakah sebarang masalah yang timbul?
Saya cuma ada masa sebulan sahaja untuk latihan. Tiap-tiap malam kami akan menjalani latihan. Semuanya berjalan dengan lancar. Saya kena berkorban masa demi anak dan juga pementasan.
Kedengaran sekarang suara anda seperti tidak sihat? Benarkah?
Ya, memang tidak sihat dan tidak cukup tidur, tetapi bila sudah terima sesuatu pekerjaan, saya akan fokus dan lakukan 100 peratus.
Anda sudah bersedia untuk menerima kritikan dengan penampilan sulung di atas pentas teater?
Saya bersedia untuk ditegur dan dikritik, tetapi janganlah menghentam. Kalau mahu tegur, biarlah dengan cara yang berhemah. Saya kena cuba berlakon teater dan tidak perlu takut jika gagal. Apa yang penting, saya kena berusaha beri yang terbaik. Bila kita buat dengan bersungguh-sungguh Allah akan membantu.
Apa harapan anda untuk teater Tun Dr. Siti Hasmah?
Saya mohon pada Allah agar pementasan hari pertama dan seterusnya nanti berjalan dengan lancar.
Eishal penyeri Syawal Eja
TAHUN ini merupakan tahun kedua wanita ini menyambut lebaran dalam suasana yang berbeza seputar hidupnya kini.
Itu yang dituturkan oleh
pelakon popular, Siti Shahrizah Saifuddinm, 39, atau Eja saat Pancaindera berpeluang menjejakkan kaki ke kediamannya di Bukit Kiara, Selagor, baru-baru ini.
Kalau 10 tahun lalu, dia cuma menyambutnya dengan suami tercinta, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 51.
Namun situasi itu berubah selepas hadirnya Nur Eishal, 2, dalam hidup mereka. Puteri tunggal itulah yang menjadi penglipurlara menghiasi hari-hari mereka saat ini.
Kata Eja, sejak tahun lalu, sambutan hari raya dia dan suami tidak terhad kepada kaum keluarga semata-mata.
Baginya, saat gembira apatah lagi di hari dimana umat Islam meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa itu harus dikongsi bersama masyarakat.
Kerana itu, anak kelahiran Kuala Kubu, Selangor ini mahu meraikannya dengan penuh keberkatan apatah lagi Syawal tahun ini disifatkannya sangat istimewa berbanding tahun lepas.
Kata Eja, lebaran keempat merupakan hari lahir puteri kecilnya itu. Sebagaimana tahun sebelumnya, sambutan hari lahir Nur Eishal diraikan bersama anak-anak yatim.
“Semasa Eishal berusia setahun, saya dan suami meraikan hari lahirnya bersama anak-anak yatim.
“Bukan apa, Eishal pun tak ada adik, jadi kami rasa untuk merasai kemeriahan, tak salah kalau kami meraikannya bersama golongan susah apalagi anak-anak yatim.
“Eja rasa tahun ini lebih istimewa sebab Eishal dapat menyambut hari lahir dan berhari raya sekali bersama mereka, meriah sikit, ” katanya.
Lanjut bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, pelakon drama Durja Ningsun ini memberitahu sebagaimana lazimnya saban tahun, pulang ke kampung halaman adalah merupakan satu kewajipan.
Hari raya pertama kata Eja, ketiga-tiga mereka biasanya telah pulang ke rumah ibunya di Puchong dan menziarahi kubur arwah ayahnya di Petaling Jaya, Selangor.
Kemudian, kata Eja, dia sekeluarga akan pulang ke Ipoh, Perak, untuk berhari raya bersama keluarga di sebelah suaminya pula selama beberapa hari.
Main mercun
Kalau dikenang zaman ketika dirinya masih kanak-kanak, kata Eja, persepsi meriahnya raya baginya ketika itu tentulah perlu adanya bunga api dan mercun.
Kata Eja, kalau tak ada bunga api, hari rayanya seolah-olah suram dan hambar.
Sekarang, bermain mercun mungkin tidak boleh terlalu ekstrem seperti di zaman dahulu.
Pun begitu, demi mahu mencipta kemeriahan suasana hari raya, dia dan suami tidak pernah gagal untuk membeli bunga api dan mercun setiap tahun.
“Suami saya memang suka membelikan anak-anak buahnya bunga api dan mercun setiap kali menjelang raya.
“Pada kami, kalau tak ada benda-benda ini, macam tak seronok. Budak-budak pun seronok dapat bermain bersama bukan?
“Tapi bila Eishal hadir dalam hidup kami, keterujaan untuk membeli bunga api itu semakin kuat sebab dia boleh bermain bersama sepupu-sepupunya yang lain.
“Tapi itu tak bermakna kita tak pantau. Mesti kena ada orang dewasa semasa mereka bermain sama. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Eishal murah rezeki
Selain bunga api, pemberian duit raya juga merupakan acara wajib yang akan berlangsung setiap kali Syawal menjelma.
Eja dan suami juga tidak ketinggalan memberi duit raya kepada anak-anak buah mereka.
Cuma, menurut wanita berbintang Capricorn ini, sejak tahun lepas, mereka pula yang banyak menerima duit raya daripada saudara-mara lain.
“Saya dan suami tak pernah lupa untuk beri duit raya pada anak-anak buah. Iyalah, sebab kami berdua saja yang belum punya anak ketika itu.
“Tapi tahun lepas, kami pula yang dapat duit raya. Duit raya untuk Eishal lah.
“Bila kira-kira balik, cecah ribu jugalah duit raya Eishal pada tahun lepas. Kaya betul dia, murah rezeki. Tahun ini tak tahulah pula bagaimana.
“Tapi kesemua duit raya tu saya tak gunakan. Sebaliknya disimpan dalam bank sebagai jaminan masa depan dia,” katanya dalam santun.
Puteri Seputeh Qaseh
Kalau hendak tahu, bukan mudah mengendalikan sesi fotografi bersama anak-anak kecil.
Namun, Pancaindera cukup bertuah kerana Eishal tidak banyak kerenahnya. Malah jelas, dia cukup seronok saat lensa kamera dihala kepadanya.
Macam-macam gaya diberikan. Tapi apa yang boleh dikatakan, dia lebih suka buat gaya ‘bebas’.
Terdetik di hati, “wah...Eishal kecil-kecil lagi sudah pandai mengikut jejak langkah ibunya!”
Melanjutkan bicara mengenai keletah puteri kesayangannya itu saat dia semakin menginjak membesar, kata Eja, di sebalik karakternya yang periang, Eishal sebenarnya merupakan anak yang sensitif.
Kata Eja, pantang ditegur sedikit walau dengan suara yang lembut, air mata si kecil itu lekas meruntun bagai dicarik-carik hatinya.
“Betul, pernah saja terjadi bila saya tegur dia, air mata keluar menitik. Yang ajaibnya, dia tidak menangis seperti anak-anak kecil lain.
“Bila ditegur, anak matanya mulalah bergenang, tapi sedikit pun tidak keluar suara. Begitu sekali.
“Itulah yang saya fikir, Eishal ini jiwanya sensitif. kecil-kecil lagi sudah pandai bermain emosi dalaman.
“Agaknya sebab saya selalu berlakon watak sedih-sedih kot? Macam drama Seputeh Qaseh pula,” katanya dalam canda.
Dalam pada itu, di kesempatan yang sama, Eja dalam kerendahan hati menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua peminat dan mereka-mereka yang sering bekerjasama dengannya sempena Syawal yang mulia ini.
“Kadang-kadang kita ada buat salah dengan orang tapi kita tak sedar dan kemudian menyebabkan individu itu terasa.
“Jadi, saya nak mohon maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki kepada semua di kesempatan ini. Selamat Hari Raya,” katanya.
Eja memang hebat

MALAM minggu yang lalu saya berkesempatan menonton Cerekarama di TV3. Sebuah cerita yang saya anggap cukup mendebarkan dan cukup memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang melihat.
Ini bukan sesuatu yang asing memandangkan sudah banyak kali cerita-cerita yang meruntun perasaan dihidangkan kepada penonton. Cuma saya cukup berbangga dengan barisan pelakon yang saya sifatkan cukup hebat.
Lakonan mantap Eja memang tidak perlu dinafikan. Berilah apa sahaja watak kepada pelakon ini, pasti dia mampu mengundang rasa sebak kepada sesiapa sahaja yang melihat.
Inilah yang saya harapkan selama ini. Pelakon yang benar-benar dapat membawakan watak sehingga mampu mengundang air mata. Tak usah nak dibandingkan dengan pelakon lain kerana ramai yang terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan Eja.
Bila sampai ke tahap ini, saya cukup mengharapkan Eja menerima watak dengan selektif. Semoga dengan apa juga drama yang Eja lakonkan, ia bakal memberikan impak kepada masyarakat.
Shahir Halim,
Seberang Perai, Pulau Pinang.
Anak jadi keutamaan - Eja

MENGABDIKAN diri lebih daripada 15 tahun dalam dunia seni tanah air, dua aktres terkenal, Eja, 37, dan Noorkhiriah, 32, kini lebih fokus dalam memberikan tumpuan terhadap keluarga terutamanya anak-anak.
Walaupun kedua-dua wanita tersebut sibuk dalam mengukuhkan karier sebagai pelakon, namun peranan sebagai isteri dan ibu tetap digalas dengan penuh dedikasi .
Ketika ditemui di set penggambaran telemovie Sejadah Kaabah di Pusat Perubatan Kajang Plaza (KPMC), Puchong baru-baru ini, Eja dan Noorkhiriah atau dipanggil Noor menjelaskan, keseimbangan antara kedua-dua tanggungjawab itu harus dipatuhi.
Bagi mengikuti perkembangan lanjut mengenai kedua-dua aktres tersebut, Hits menemubual mereka tatkala menunggu telemovie terbitan LineClear Motion Pictures arahan Bade Azmi itu memulakan penggambarannya.
Eja cerewet pilih produksi
LANTARAN keakraban Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin dengan anak sulungnya, Nur Eishal Mohd. Silahuddin yang telah mencecah usia setahun setengah, dia akui, sikapnya semakin cerewet terutamanya dalam memilih tawaran lakonan.
Disebabkan mahu mengelak daripada mengabaikan kewajipan sebagai seorang ibu, Eja lebih suka menerima tawaran berlakon daripada produksi yang cekap menguruskan masa.
Tutur Eja, kecekapan menguruskan masa adalah keutamaannya kerana dia tidak mahu membuang masa di set penggambaran.
Katanya, lebih baik dia berada di sisi anaknya dan melayan kerenah Eishal daripada menghabiskan masa menjalani penggambaran dengan produksi yang tidak profesional.
"Eishal amat rapat dengan saya berbanding ayahnya. Jadi, saya tidak sampai hati untuk meninggalkannya begitu lama dengan pengasuh.
"Setiap kali saya mahu keluar bekerja, Eishal akan menangis dan menarik tangan saya supaya tidak meninggalkannya.
"Kalau boleh, mahu saja saya bawa Eishal ke lokasi penggambaran. Tetapi saya bersikap profesional dan realistik.
"Saya kena bijak membahagikan antara karier dan personal," jelas Eja yang berasa sedih setiap kali meninggalkan Eishal di rumah.
Tambah Eja, setelah aktif berlakon semula pada pertengahan tahun lalu, dalam tempoh tersebut, hanya beberapa kali sahaja dia berjauhan dengan Eishal.
"Paling lama pun dua minggu sahaja ketika saya menjalani penggambaran drama bersiri Aku Bukan Maryam di Jordan pada April lalu," ujarnya yang membuat penampilan semula menerusi drama rantaian Ahmad Durrah, siaran TV3 tidak lama dahulu.
Anak pembawa rezeki Noor
Noorkhiriah atau mesra disapa Noor beranggapan tawaran berlakon yang diterima adalah rezeki anak-anaknya.
Kehadiran Muhammad Hudhaifah yang kini berusia setahun setengah dan Muhammad Yusoff yang baru berumur dua bulan amat bermakna bagi dirinya.
Ujarnya, sebelum dianugerahkan dengan dua anak comel itu, dia tidak pernah diberi peluang untuk menggenggam mana-mana trofi yang dipertandingkan.
"Tetapi selepas kehadiran Hudhaifah, akhirnya saya berjaya merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Nek Kiah.
"Kedua-dua anak memberi 1001 makna dalam hidup saya dan suami, Azfaidzul Antan," katanya yang kini mula tampil dengan imej berskaf.
Disebabkan itulah, menurut Noor, anak-anak menjadi keutamaannya dan karier adalah perkara kedua dalam hidupnya.
Namun Noor akur, sebuah institusi keluarga yang kukuh memerlukan sumber kewangan yang kuat.
"Sebab itu, saya cuba menyeimbangkan antara kedua-dua perkara iaitu kerjaya dan keluarga.
"Saya mahu membantu suami untuk menyara keluarga. Semuanya ini demi masa depan anak-anak," tambahnya.
Bercakap tentang perubahan penampilannya, Noor agak keberatan untuk bercerita lanjut. Cuma, katanya, dia cuba menjinakkan dirinya dengan tudung secara perlahan-lahan.
"Insya-Allah, mungkin suatu hari nanti, apabila mendapat hidayah, saya akan bertudung litup pula," jawabnya ringkas.
Eja Mudah Melenting Selepas Jadi Ibu

PETALING JAYA: Pelakon Siti Shahrizah Saifuddin (Eja) akui mudah melenting terutamanya sekali apabila sesebuah penggambaran drama itu lewat dijalankan.
Kata Eja, dia bersikap sedemikian sejak bergelar ibu kepada Nur Eishal Mohd Silahuddin, yang sekarang berusia 18 bulan.
"Sejak mempunyai anak, saya sangat pentingkan masa dan jika penggambaran lambat bermula pasti saya akan bersuara berbanding sebelum ini saya lebih banyak memendam perasaan.
"Saya akui keburukan saya itu dan satu lagi seperti yang orang tahu saya memang seorang yang cerewet kerana saya amat pentingkan skrip dan watak yang bagus.

"Saya juga menyukai pengarah yang kreatif dan berimaginasi tinggi. Sebab itu saya memilih untuk berlakon drama Mantera Anjasmoro arahan Aidilfitri Mohamad Yunos kerana saya telah mengenalinya sejak berlakon dalam filem Anak Mami TheMovie," katanya.
Selepas selesai penggambaran drama tersebut pada akhir November lalu, Eja bakal memasuki penggambaran drama Dia Bukan Maryam di Jeddah, Mekah dan Madinah pada hujung Februari ini.
"Saya akan berada selama dua minggu di sana bermula 28 Februari ini. Ikutkan saya bimbang juga untuk meninggalkan anak kerana pertama kali ke luar negeri tanpanya.
"Saya berpesan kepada suami jika Eishal 'meragam' sebanyak empat kali,saya memintanya untuk datang ke sana," ujar Eja.
Menyentuh tentang lakonannya dalam Mantera Anjasmoro, Eja melakonkan watak Sabrina, isteri kepada Zahid lakonan Ady Putra.
"Selama 15 tahun dalam industri lakonan, drama ini merupakan drama kedua genre seram saya selepas Durja Ningsun serta filem seram Janin.
"Saya memilih untuk berlakon cerita seram yang mempunyai impak dan teladan. Karakter saya dalam drama ini agak agresif dan menasihatkan kepada penonton agar tidak mengikut amalan yang dilakukan," ujarnya.
Drama ini disiarkan pada setiap Khamis, pukul 9 malam mulai 3 Mac ini di TV3.
Bukan eksklusif tapi cerewet - Eja

Berkecimpung selama 14 tahun dalam dunia seni, pelakon Siti Shahrizah Saifuddin, 39, boleh dikatakan antara selebriti yang tergolong dalam kelompok ‘berharga’ itu.
Membintangi puluhan drama termasuk filem, jelitawan yang mesra disapa Eja ini layak digelar primadona tanah air. Pun begitu, kebelakangan ini, kelibat Eja semakin sukar dilihat di kaca televisyen. Tak seperti dahulu.
Dek kerana itu, maka timbul pula suara-suara sumbang yang mendakwa Eja sudah mula demand dengan produksi selain dilabel sebagai pelakon eksklusif.
Tegas menafikan tuduhan itu, kata Eja, eksklusif bukanlah perkataan yang sesuai untuk dilemparkan kepadanya. Malah, berdiri untuk mempertahankan hak, kata Eja dia punya alasan sendiri mengenainya.
“Saya tak pernah mengkelaskan diri saya sebegitu. Ya, saya cerewet tetapi bukan eksklusif. Saya tak tahulah pelakon lain, tetapi biasanya setiap kali saya terima tawaran, perkara pertama yang akan saya lakukan ialah meneliti skrip itu terlebih dahulu.
“Saya akan pastikan skripnya bagus dan jalan cerita yang menarik. Saya tak akan sewenang-wenangnya terima satu-satu tawaran tanpa menyemaknya. Ini prinsip saya sejak dulu,” katanya.
Jelas Eja, dia juga akan memastikan watak yang ditawarkan kena dengan jiwa dan karakternya.
Malah, kata pelakon yang popular dalam drama bersiri Seputeh Qaseh Ramadhan ini lagi, dia lebih suka jika hasil lakonannya diingati peminat selain mahu mengekalkan kualiti dalam setiap hasil kerjanya.
“Seperti yang saya katakan, saya cerewet bersebab. Saya tak mahu peminat bosan kalau balik-balik muka saya yang keluar televisyen.
“Kalau sekali-sekala orang pasti akan rindu nak tengok lakonan saya. Di situ kita boleh lihat sedikit sebanyak akan ada perubahan positif dalam setiap watak yang saya bawa.
“Saya pun tak mahu kalau peminat kata lakonan saya asyik sama sahaja. Sekali-sekala saya juga perlu bawa perubahan.
“Sebab itu, kalau anda perasan, watak yang saya pegang juga sudah dipelbagaikan. Semuanya ikut kesesuaian,” ujar anak kelahiran Kuala Kubu, Selangor ini lagi.
Penangan drama seram
Membintangi drama berunsur seram bukanlah sesuatu yang baru buat aktres berbakat besar ini. Sebelum ini, dia pernah mewarnai dunia seram menerusi lakonan mengesankan dalam drama arahan Ahmad Idham, Durja Ningsun untuk siaran TV3.
Kini, Eja kembali memenuhi selera penonton menerusi filem seram pertamanya yang berjudul Janin.
Menurut ibu kepada Nur Eishal Mohd Silahuddin yang kini sudah berusia setahun, filem arahan Hitler Yeop tersebut mungkin adalah lakonan seramnya yang pertama dan terakhir.
Eh, hairan juga ya. Pantas menyelitkan alasan, kata wanita berbintang Capricorn ini, baginya sama ada drama mahupun filem, seram merupakan sebuah naskah berat berbanding yang lain.
Malah, seram juga banyak menguji kesabaran Eja sebagai seorang pelakon terutama apabila terpaksa berhadapan dengan kemungkinan diganggu makhluk-makhluk ghaib.
Apalagi sejak bergelar ibu, Eja mengaku begitu mengambil berat terhadap perkara ini meski ada yang menganggap ia merupakan kepercayaan karut.
“Tak kiralah kita pada zaman moden atau apa, tetapi sebagai manusia yang berpegang pada ajaran Islam, kita wajib percaya bahawa makhluk-makhluk itu juga menumpang di bumi ciptaan Allah S.W.T ini.
“Tambah-tambah lagi, bila berlakon dalam drama atau filem begini, sedar atau tidak, kita sebenarnya seolah-olah ‘memanggil’ makhluk mistik terutama menerusi babak membabitkan jampi dan mentera,” katanya.
Mungkin ada yang jelik atau melihat amalan ini sebagai sesuatu yang kolot, tetapi percaya atau tidak, Eja banyak mengamalkan petua-petua orang lama khusus untuk menghindari diri daripada membawa pulang ‘teman’ yang tak dikenali.
“Paling utama adalah dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Itu memang menjadi pegangan Eja setiap kali berada di set penggambaran atau apabila rasa ada yang tak kena.
“Selain itu, Eja juga akan meludah sebanyak tiga kali dan berjalan mengundur membelakangkan pintu sebelum memasuki rumah.
“Bunyinya kolot bukan? Tapi itulah amalan saya. Satu lagi, kalau penggambaran dijalankan di kawasan yang ‘keras’, saya biasanya tidak akan pulang ke rumah terus.
“Sebaliknya saya akan melepak di mana-mana tempat dahulu contohnya di kedai mamak bagi memastikan tidak ada yang ‘menumpang’.
“Lagipun saya bimbang kalau-kalau makhluk itu datang mengganggu Eishal. Iyalah, orang tua-tua selalu cakap, budak kecil biasanya boleh nampak benda-benda ghaib ini,” katanya.
Sayang si Esah
Menerusi filem Janin, Eja memegang watak utama, iaitu seorang nelayan dan juga seorang ibu bernama Sutera. Digandingkan bersama barisan pelakon hebat lain seperti Sherry Merlis, Zami Ismail, Kismah Johar, Zulkifli Md Zain, Kuswadinata dan Datuk Rahim Razali, kata Eja, filem ini punya elemen lain dari yang lain.
Menurut duta produk kecantikan Bio Essence ini, selain seram, Janin cukup sarat dengan elemen kekeluargaan dan kasih sayang.
“Ia bukan filem hantu semata-mata. Fokus utama filem ini adalah penerapan sifat kasih sayang, kerinduan seorang anak kepada ibunya. Pendek kata, ia banyak menyentuh realiti kehidupan antara ibu dan anak.
“Sutera dalam cerita ini sebenarnya sangat menyayangi Esah, anaknya yang meninggal dunia gara-gara kesilapannya sendiri.
“Filem ini adalah mengenai emosi seorang ibu dan seorang isteri. Tak seperti filem seram lain, ” tegasnya.
Detik cemas - Eja

Eja kongsi pengalaman ancaman tsunami ketika jalani penggambaran Janin di tengah lautan
PENGALAMAN ketika penggambaran filem Janin arahan Yeop Hitler Zami tidak mungkin mampu dilupakan pelakon utamanya, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja. Selain berdepan tsunami kecil, pelakon, pengarah dan kru penerbitan juga menghadapi saat cemas apabila laut bergelora dan angin bertiup kencang ketika penggambaran dijalankan di Selat Melaka. Malah, ada ketikanya mereka terpaksa berlari bertempiaran apabila siren tsunami berbunyi ketika penggambaran dilakukan di tepi pantai. Bagaimanapun, kejadian yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat mereka untuk meneruskan penggambaran sehingga selesai. Filem Janin terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd sudah menjengah pawagam Khamis lalu. Selain Eja, filem bergenre seram itu turut dibintangi Haire Othman, Sherry Merlis, Zami Ismail, Kismah Johar, Zulkifli Md Zain, Rashidah Jaafar, Ghazali Abu Noh, Kuswadinata, Datuk Rahim Razali, Alanaaz Jahan dan Mohd Idris Mohd Diah.
Eja berkata, nyawa mereka bagaikan tidak selamat ketika penggambaran dijalankan di sekitar Melaka. Bukan hanya berdepan dengan detik cemas tsunami yang melanda Malaysia dan Indonesia kira-kira tiga tahun lalu, malah ada ketikanya, pantai bergelora dan berombak tinggi ketika penggambaran di tengah lautan.
"Saya panik apabila melihat laut bergelora dan angin bertiup kencang. Ketika itu, saya melakonkan babak sedang berdayung bersama seorang pelakon kecil.
Ketika penggambaran sedang dibuat, siren tsunami berbunyi. Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya apabila berdepan dengan situasi cemas ini. Terdetik di fikiran bagaimana saya mahu menyelamatkan diri bersama anak kecil ini sedangkan saya tidak tahu berenang. Bagaimanapun, penggambaran terpaksa dihentikan dan kami berpindah ke lokasi lain.
"Berlakon dengan anak kecil di tengah lautan juga mencabar buat saya. Anak kecil tahu sajalah emosinya, kadang kala tidak menentu. Saya perlu pandai melayannya kerana tidak mahu anak kecil ini meragam dan menangis.
"Ujian untuk kami tidak berhenti setakat itu, saya bersama kru penerbitan diuji pula dengan tsunami yang berlaku ketika itu. Ada masanya kami terpaksa lari lintang pukang apabila mendengar siren amaran, malah ada sebahagian kru penerbitan terpaksa berpindah rumah dan memikul barang-barang pada masa yang sama.
"Saya betul-betul rasa diuji dengan cabaran ketika menjalani penggambaran filem Janin. Bagaimanapun, alah bisa tegal biasa, saya sebenarnya sudah biasa diuji sejak bergelar pelakon pada usia 19 tahun," katanya yang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Aku Bukan Mariam dan Mantera Anjasmoro. Selain itu, Eja juga membintangi sebuah lagi filem yang masih dirahsiakan judulnya.
Eja jadi nelayan

PERNAH terdetik di hati aktres dan pengacara jelita, Siti Sharizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja mahu berehat panjang daripada lapangan seni selepas bergelar ibu kepada bayi comel, Nur Eishal yang dilahirkan pada 3 September tahun lalu.
Katanya, kalau boleh dia mahu berehat selama dua hingga tiga tahun untuk memberi fokus dan melihat puterinya itu membesar di depan matanya sendiri. Namun, hajat di hatinya itu ditewaskan dengan perasaan rindunya berada di set penggambaran.
Hanya selepas berehat selamat satu tahun setengah, kelibat wanita berusia 38 tahun itu mula mewarnai kaca televisyen dengan seleksi drama yang hebat antaranya Ramadan, Ya, Puan, Hijal Dikalbu dan terbaru Ahmad Durrah yang kini sedang hangat ditayangkan di TV3 di dalam slot Zehra.
“Memang saya ingat nak berehat panjang sebab nak besarkan anak dengan air tangan sendiri tetapi tak tahulah, hati saya rindu sangat nak berlakon balik. Lama-lama duduk di rumah pun tidak boleh juga sebab saya sudah biasa bekerja sejak umur 19 tahun lagi,” ujarnya yang ditemui pada majlis rumah terbuka penerbit Global Station, Datin Zaiton Mohd. Jiwa baru-baru ini.
Akuinya lagi, sebaik sahaja dia habis berpantang banyak tawaran yang datang kepadanya. Bagaimanapun ketika itu semua tawaran terpaksa ditolak memandang anaknya masih menyusu badan.
“Macam mana saya nak bekerja dengan anak masih menyusu badan, jadi masa itu semua tawaran saya tolak sebab bagi saya anak saya lebih penting sampai ada ketika saya buat keputusan ingin jadi suri rumah sepenuh masa.
“Semuanya kerana anak, saya buat keputusan untuk jadi ibu pun ambil masa yang cukup lama jadi bila dapat anak sudah tentu saya ingin curahkan segala perhatian kepadanya. Sepanjang tempoh itu saya berehat dan sampai satu tahap saya pula yang tidak tahan sebab asyik duduk rumah sahaja,” katanya.
Keputusan untuk kembali bekerja tiga bulan yang lalu direstui oleh suaminya, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 41 tahun. Bagaimanapun Eja meletakkan syarat yang wajib dipatuhi oleh penerbit jika mahu menggunakan khidmatnya dalam karya mereka.
Ulasnya, kehidupannya sebelum menjadi ibu dengan selepas menjadi ibu cukup berbeza. Dia tidak lagi boleh bekerja di luar kawasan dalam tempoh yang lama, juga tidak boleh bekerja sehingga lewat pagi dan jika boleh mahu menggelak untuk bekerja pada hujung minggu.
“Kalau nak tahu semua rakan pelakon yang sudah mempunyai anak meletakkan syarat yang sama. Kalau tidak cakap pun, penerbit dan pengarah sedia maklum dengan status pelakon yang bergelar ibu,” ucapnya.
Berpisah
Luahnya lagi, sebelum ini dia seorang yang memilih dan agak cerewat tentang kerya yang ditawarkan kepadanya dan kini dia bertambah cerewat bukan sahaja mengenai karya tetapi juga watak.
Selepas menjadi ibu, automatik dirinya menjadi seorang yang lebih berani. Jika dulu banyak tawaran ditolak kerana tidak punyai keberanian untuk membawa watak terutama yang bergenre seram, kini tidak lagi.
“Dulu saya akui saya penakut, terutama kalau dapat tawaran cerita hantu memang saya tidak buat. Sekarang saya dapat rasakan diri saya agak berbeza, lebih berani dan buat pertama kalinya saya buat cerita seram dalam drama Durja Ningsung. Saya juga bersyukur apabila saya kembali bekerja, saya dapat semua karakter yang bagus,” katanya lagi.
Eja juga sempat menceritakan pengalamannya kali pertama berpisah dengan puteri kesayangannya apabila menjalani penggambaran selama 14 hari di Pulau Pinang untuk drama Ahmad Durrah.
“Mula-mula hati saya berbelah bahagi sama ada mahu ke pergi ke Pulau Pinang atau pun tidak. Kebetulan anak saya sudah bercerai susu dan ibu saya menasihatkan kalau melekat dengan anak sahaja pun susah juga. Jadi saya pun pergi ke Pulau Pinang, kalau tidak ada ibu saya yang jaga anak memang saya tidak pergi.
“Rindu dengan anak, Tuhan saja yang tahu. Hari-hari saya buat panggilan video untuk tatap wajah dia sebab dia bukannya boleh bercakap kalau nak berbual dengan saya pun. Itulah pengalaman berpisah dengan anak yang paling lama,” tuturnya.
Nelayan wanita
Eja yang wajahnya terbakar akibat panas matahari ketika berlakon dalam drama bersiri 13 episod Ahmad Durrah terbitan Global Station Sdn. Bhd. memberitahu, drama tersebut memberi pengalaman baru buatnya.
Tidak pandai berenang dan mempunyai fobia dengan laut, Eja terpaksa mengemudikan sebuah bot seorang diri di tengah laut yang bergelora demi menjayakan watak Islah seorang ibu tunggal yang menjadi nelayan demi menanggung kehidupan dan persekolahan anaknya.
“Itu antara pengalaman yang menakutkan saya. Bayangkan saya yang tidak pandai berenang diminta duduk tengah laut seorang diri. Sampai saya menjerit minta bot kru supaya jangan berada jauh dengan saya.
“Bila kami naik ke darat, nelayan di sana terkejut kerana mereka sendiri ketika itu tidak berani turun ke laut kerana ombak tengah besar. Nasib baiklah tidak ada apa-apa berlaku, ada dalam empat hari penggambaran di laut. Itu yang muka saya terbakar dan sekarang tengah buat rawatan,” balasnya.
Sungguhpun penggambaran yang berlangsung sebelum bulan Ramadan itu agak memeritkannya, namun setelah melihat hasilnya Eja berpuas hati dengan pengorbanan yang diberikanya untuk drama tersebut.
“Saya puas sebagai seorang pelakon melakukan sesuatu yang di luar jangkauan saya sendiri. Saya rasa belum pernah pelakon wanita lain melakonkan watak nelayan seperti mana saya yang betul-betul jadi nelayan,” katanya dalam tawa.
Setahun Eja tidak berlakon

RINDUNYA membuak-buak kerana sudah sampai ketika yang dinanti-nanti untuk turun ke lokasi yang sangat dicintai.
Kata hati yang satu itu mahu dipenuhi tetapi dibantah jiwa secara halus. Begitulah dilema yang kadangkala merasuk emosi wanita bernama Siti Shahrizah Saifuddin, 38.
Realitinya, sudah lebih setahun kerja lakonan tidak terisi dalam jadual hariannya. Drama terakhir yang disertainya ialah Tasbih Cinta, itu pun sekitar tahun 2008 dan sehingga kini ada episod yang belum disudahkan.
Sepintas lalu, jelitawan yang akrab disapa Eja ini seperti berperang dengan perasaan sendiri. Berbelas tahun bergelar isteri namun tanggungjawab sebagai ibu yang baru digalasnya selama enam bulan sungguh mencabar dirasakan.
Naluri ibu
"Setidak-tidaknya saya akan kembali bersemangat dan merasa sedikit puas jika saya dapat keluar bekerja.
"Saya bukan jenis wanita yang gemar duduk di rumah. Saya mula bekerja sejak tamat sekolah pada usia belasan tahun.
"Tempoh berpantang selepas bersalin merupakan 'cuti' paling panjang saya setakat ini," katanya yang hanya mendedahkan status perkahwinan setelah hamil anak pertama tahun lalu.
Benar keluarga kini menjadi perkara nombor satu Eja, bukan lagi kerjaya yang glamor itu. Namun, perasaan rindu terhadap dunia lakonan masih mampu ditahan.
Kehadiran Nur Eishal, enam bulan, telah mengubah 100 peratus roda hidup Eja.
"Saya ingin keluar bekerja tetapi setiap kali memandang mata anak, saya seperti tidak sanggup untuk berenggang dengannya.
"Sekarang baru saya faham dan semakin menghargai pengorbanan seorang ibu.
"Menjaga dan membesarkan anak tidak dapat dilakukan dalam masa yang singkat. Kalaulah ada 48 jam dalam sehari, 48 jam itulah saya akan tumpukan kepada anak," lirihnya bersulam senyum.
Namun, kemanisan bergelar ibu telah dicemari insiden yang menakutkan apabila si kecil didakwa didera si pembantu rumah.
Berita bayi cedera di rumah pengasuh atau tercekik susu dek kelalaian orang gaji sememangnya telah lama membuatkan Eja tidak sanggup melepaskan anak daripada pangkuan.
Orang gaji
"Dalam berjaga-jaga, pengalaman menakutkan itu datang juga kepada saya. Sebelum ini tidak pernah sekali pun pembantu rumah saya itu memandikan bayi atau membasuh botol susu anak saya.
"Semuanya dilakukan dengan kudrat saya. Dia cuma membantu kerja-kerja rumah yang lain.
"Saya cuma curi-curi keluar rumah ketika Eishal tidur pada waktu malam untuk berurut badan selama dua tiga jam. Itu pun masih sempat dia diapa-apakan oleh pembantu rumah.

"Bila ditanya, dia tidak mengaku. Saya ada bukti. Ada gambar kesan-kesan luka di badan Eishal yang saya rakamkan.
"Tetapi memandangkan kes itu sudah menjadi kes polis, saya dinasihatkan tidak mendedahkan rakaman itu kepada media," katanya sambil menunjukkan rakaman kesan luka si kecilnya kepada penulis.
Tambah Eja, sebaik sahaja habis berpantang, dia menerima banyak tawaran berlakon tetapi ditolaknya.
Katanya, dia menunggu masa yang sesuai kerana mahu melihat si bayi membesar di depan mata. Sifat keibuan mendesak Eja melakukan semuanya sendiri demi anak.
"Sebab itulah saya ambil pembantu rumah dengan harapan setelah tiga bulan saya menjaga Eishal, saya boleh keluar bekerja. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
"Genap 100 hari, orang gaji itu cabut lari setelah sikap buruknya dapat saya hidu," getusnya geram.
Pasang CCTV
Pembantu rumah Eja yang hanya dikenali sebagai Mona atau Susie lari dari rumah pada 18 Februari lalu. Susie ialah pembantu rumah kelima Eja tetapi dia benar-benar mengejutkan Eja dan suami, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49.
Untuk lebih berwaspada, pasangan itu kini memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga.
Mereka juga tidak akan mengambil pembantu rumah yang baru buat sementara waktu.
Masih bergelar jurucakap untuk produk penjagaan kecantikan dan pelangsingan badan, Bio-essence sejak Oktober 2009, Eja kini terpaksa meminta bantuan suami untuk menjadi 'Mr. Mama'.
"Komitmen saya dengan Bio-esssence sudah termaktub dalam kontrak.
"Mahu tidak mahu, saya harus mengikuti setiap sesi promosi serta bengkel yang telah dirancang syarikat berkenaan," katanya.
Tiada pilihan selain memanjangkan tempoh 'berehat', Eja pasrah dengan perjalanan yang harus ditempuhi.
Tidak mahu membebankan ibu dan adik-beradik yang lain, dilema dan keinginannya untuk kembali melalui laluan kelmarin memerlukan banyak masa untuk dipulihkan.
Nur Eishal 'Terkenan' Bulu Mata Palsu Eja

ANUGERAH Pelakon Terbaik pun tidak dapat menandingi anugerahnya menimang anak, Nur Eishal yang telah genap 3 bulan semalam.
Bagi Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, dia tidak mampu menggambarkan perasaannya dengan kata-kata setelah mempunyai Nur Eishal.
Puteri sulung yang dilahirkan selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga dengan Mohd Silahuddin itu kini merupakan keutamaannya sekarang.
Ini kerana sejak muncul di kaca televisyen menerusi drama 'Rahsia Demi Rahsia' pada 1998, pelakon dan pengacara ini lebih suka menumpukan kepada kariernya semata-semata.
Setelah 3 bulan bergelar ibu, tanggungjawabnya semakin mencabar lebih-lebih lagi anaknya itu kuat menyusu.
"Sejak bergelar ibu ni, saya lakukan semua kerja menguruskan anak secara sendiri.
"Kadang-kadang apabila saya betul-betul dah tak tahu apa nak buat, baru saya akan minta bantuan suami dan mak saya sebab selang satu jam dia akan menangis laparkan susu. Nur Eishal pula jenis yang kuat menyusu.
"Saya minta suami atau mak yang menguruskan Nur Eishal kerana saya boleh jadi kurang sabar dan sangat tertekan. Dia mesti menangis kerana tiga perkara iaitu lampin basah, lapar susu atau mahu tidur.
"Saya rasa berada di lokasi penggambaran lebih senang daripada menjaga bayi..," luah pelakon yang sinonim dengan gelaran pelakon bulu mata palsu ini di majlis memperkenalkan Nur Eishal kepada rakan media di Hotel Crown Plaza, Kuala Lumpur.

Selepas berjumpa dengan Nur Eishal yang tembam dan comel serta wajah yang persis bapanya itu, bayi itu begitu pandai bergurau senda dengan orang lain.
Kata Eja, dia berasa lucu apabila anaknya itu memiliki bulu mata lentik walaupun dia dan suami tidak memiliki ciri-ciri seperti itu.
"Saya rasa anak saya 'terkenan' sesuatu daripada saya. Saya dan suami tidak berbulu mata lentik. Jadi, saya rasa nak ketawa sebab anak saya dapat bulu mata lentik..alhamdulillah.
"Terima kasih kepada kontroversi bulu mata palsu yang diberikan kepada saya sebelum ini," ucapnya semasa memberikan ucapan aluan sebelum memperkenalkan Eishal.
Dalam majlis itu juga, Eja mengumumkan mengenai perlantikannya sebagai duta produk kecantikan dan pelangsingan badan, Bio Essence sejak November lalu.
Walaupun agak lambat menimang cahaya mata, Eja akui dia bersyukur dengan rezeki itu setelah mendapat petunjuk ketika mengerjakan umrah di Mekah pada Oktober 2008.
"Sebelum saya membuat penggambaran drama 'Tasbih Cinta' di Mekah dengan produksi Kak Erma Fatima, saya hampir menolak tawaran itu setelah banyak masalah yang berlaku. Namun, saya pergi jua setelah dipaksa oleh pengarah dan produser itu.
"Semasa di tanah suci, saya berasa sangat sunyi dan sebak...saya tidak tahu apa yang dirasakan waktu itu dan tak pernah rasainya sebelum ini.
"Selepas itu, saya mohon petunjuk tentang apa yang kosong dalam jiwa ini. Sebelum itu memang saya sudah memohon mendapat seorang suami dan menyokong karier saya.
"Tetapi kali ini Allah memberi petunjuk kepada saya yang sepatutnya sudah menjadi ibu dan bukannya mementingkan kerjaya.
"Apabila saya memberitahu kepada suami yang saya sudah bersedia untuk mempunyai zuriat, dia telah mengajak saya bercuti ke Amerika Syarikat sekitar bulan November hingga Disember tahun lalu selama tiga minggu.
"Sebulan setelah saya pulang ke Malaysia, banyak perkara menarik berlaku seperti saya lebih suka makan makanan barat seperti pasta sedangkan saya lebih suka makanan Melayu. Selain itu saya berasa sangat panas dan tidak selesa di perut.
"Selepas berjumpa doktor, baru saya percaya yang saya telah hamil dan dalam masa tiga bulan pertama saya memang alahan teruk," ujarnya yang turun berat badan sehingga 42 Kg semasa hamil kerana tidak makan akibat bimbang termuntah.
Nur Eishal dilahirkan pada 3 September lalu, tiga minggu lebih awal. Nama Nur Eishal bermaksud 'cahaya bunga syurga'.
Eja membahasakan dirinya sebagai ummi manakala suaminya sebagai daddy kerana mahu selaraskan panggilan itu dengan yang digunakan oleh anak tirinya, Khatijah, 17, dan Shane Jacob, 13.
Menurut Eja, selain bulu mata lentik, Nur Eishal juga memiliki kegemaran yang sama dengannya iaitu menyukai warna merah.
Ibu berusia 37 tahun ini juga berkata dia tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata kedua.
"Insya-Allah, kalau diizinkan saya nak anak lagi tetapi buat masa ini saya mahu tumpukan kepada Nur Eishal.
"Saya akan berikan didikan agama dan pelajaran setinggi yang boleh. Sekurang-kurangnya dia akan mendoakan saya dan suami apabila sudah besar nanti.
"Kalau boleh saya tak galakkan dia untuk menceburi bidang seni. Mana tahu dia akan jadi seorang angkasawan ke...," beritahunya lagi yang akan memulakan karier seninya pada Februari depan secara perlahan-lahan tetapi menetapkan untuk tidak bekerja luar dari kawasan Kuala Lumpur.
Kali terakhir Eja muncul di televisyen menerusi drama 'Wadi Unung' di Astro.
Eja Sedia Perkenal Nur Eishal 3 Disember Ini

SELANG tiga bulan melahirkan Nur Eishal, barulah pelakon cantik Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja bersedia memperkenalkan puteri sulungnya itu.
Eja, 37, memilih tarikh 3 Disember ini untuk menemukan Eishal dengan rakan media dan rakan-rakan yang pernah bekerja dengannya sebelum ini.
“Saya memilih tarikh 3 Disember kerana genap tiga bulan usia Nur Eishal. Buat pertama kalinya, saya akan memperkenalkan ‘baby’ saya kepada rakan media kerana ramai yang tertanya-tanya bila saya akan menunjukkan wajah Nur Eishal.
“Jadi, pada pukul 3 hingga 5 petang itu, saya akan menyediakan sedikit jamuan petang di sebuah hotel kepada mereka yang hadir.
“Saya mengadakan majlis itu secara santai dan kasual dan jemputan terhad dalam 20 orang sahaja.
“Mungkin lebih dari itu kerana setakat ini saya masih lagi mengumpul nombor telefon dan mendapatkan pengesahan rakan media dan rakan-rakan lain yang akan hadir ke majlis itu.
“Jadi, selepas ini orang ramai boleh melihat rupa Nur Eishal kerana sebelum ini saya rasa masa tidak sesuai,” katanya ketika menghubungi mStar Online semalam.
Eishal dilahirkan pada 3 September lalu setelah berkahwin dengan Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49 kira-kira 10 tahun lalu.
Tambahnya, “Kalau nak tunggu majlis cukur jambul lambat lagi. Lagipun orang ramai dah bertanya jadi saya fikir inilah masanya.”
Raya Haji di rumah sendiri
Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Eja selalunya menyambut Hari Raya Haji di rumah keluarganya dan keluarga mertua. Namun esok, Eja akan meraikan perayaan itu di rumah sendiri di Bukit Kiara.
“Saya akan menyambut Hari Raya Haji yang berbeza pada esok selama 12 tahun menjadi artis. Suasana raya tahun ini lebih meriah dan bermakna dengan kelahiran anak saya.
“Tahun ini saya dan suami mengambil keputusan untuk beraya di rumah sendiri kerana kalau sebelum ini saya selalu beraya di rumah mertua di Ipoh dan rumah ibu di Puchong.
“Raya Haji tahun ini suami saya terpaksa bercuti sehari sahaja. Jadi apabila cuti tak panjang, kami fikir tak perlu balik kampung,” katanya.
Mengenai sambutan perayaan esok, Eja berkata dia hanya membuat persiapan yang sederhana.
“Saya akan tempah makanan kerana apabila ada anak kecil ni tak sempat nak masak sendiri dan kebetulan pembantu rumah saya juga baru sampai dari Medan, Indonesia.
“Jadi, banyak perkara yang perlu diambil kira,” ujar wanita yang pernah mendapat jolokan pelakon bulu mata palsu ini.
Bagi Eja, sambutan Hari Raya Haji akan lebih meriah untuk umat Islam yang berada di Mekah. Namun, dia turut tumpang gembira apabila mendalami erti sebenar korban itu.
“Tahun ini ramai di kalangan bapa saudara dan ibu saudara saya yang pergi menunaikan haji di Mekah. Jadi perayaan pada tahun ini mungkin tidak berapa meriah berbanding tahun sebelumnya.
“Saya dan suami juga ada membuat korban lembu di sini,” luahnya yang pernah dua kali menunaikan umrah di tanah suci pada tahun 1995 bersama keluarganya dan produksi Erma Fatima ketika menjalani penggambaran drama ‘Tasbih Cinta’ pada tahun lalu.
Sebelum mengakhiri perbualan, Eja sempat merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Haji kepada semua peminatnya.
“Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Haji kepada semua dan berhati-hati di jalan raya kepada mereka yang pulang ke kampung,” akhirinya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]















