TIADA yang lebih indah apabila setiap doa dan harapan yang diungkapkan ketika berada di Tanah Suci Mekah dimakbulkan Yang Maha Esa.
Itu yang turut dirasai pelakon Irma Hasmie, 30, apabila segala doa dan harapan terutama yang diminta ketika di hadapan Kaabah menjadi kenyataan.
Mensyukuri nikmat terindah itu, kata Irma, dia tidak pernah menyangka bakal bertemu jodohnya di kota suci itu.
Namun siapa yang mampu menelah dan mengetahui rahsia dan rancangan Tuhan buat hamba-Nya.
Ternyata ziarah Irma buat kali ketiga ke Tanah Suci pada pertengahan Februari lalu telah menyatukan jodohnya dengan seorang pemuda bernama Reza Syah Azmeer Radzuan.
Siapa menyangka, hanya berkenalan tidak sampai sebulan, kini Irma dan Reza diikat dengan tali pertunangan dan bakal melayari alam perkahwinan pada Julai nanti.
“Jujurnya ketika di tanah suci memang saya sentiasa doakan agar Allah memberikan saya yang terbaik daripada semua aspek termasuklah rezeki dan juga jodoh.
“Alhamdulillah apabila sampai di peringkat ini, saya rasa sangat-sangat bersyukur dengan pemberian daripada-Nya,” kata Irma ketika ditemui pada majlis pertunangannya di Desa Coalfields, Sungai Buloh, Selangor, Sabtu lalu.
Dalam senyum manisnya, Irma memberitahu, semuanya bermula apabila dia bertemu dengan ibu Reza, Datin Azizah Osman ketika sama-sama di hadapan Kaabah.
Azizah kemudiannya memperkenalkan Reza, 30, yang juga seorang ahli perniagaan kepada Irma yang sama sekali tidak menyangka pertemuan itu memberikan satu pengalaman paling manis dalam kehidupannya.
“Pada mulanya, ibu Reza menegur saya di depan Kaabah untuk berkenalan dan sekembalinya ke tanah air, dia menyampaikan hasrat untuk menghantar rombongan merisik.
“Saya kemudiannya menyampaikan hasrat tersebut kepada kedua ibu bapa saya dan keluarga Reza datang merisik pada 12 Mac lalu.
“Ternyata pertemuan kami yang tidak dirancang ini menunjukkan kebesaran kuasa Allah.
“Ini membuatkan saya rasa bagaikan dihargai dan dan apa yang lebih penting, keluarga kami juga merestui hubungan ini,” katanya.
Mengambil masa kira-kira dua minggu sahaja dalam merancang segala persiapan pertunangan tersebut, Irma mengakui dia merasa selesa dengan kehadiran Reza.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat selesa dan senang dengan Reza.
“Malah kalau ada apa-apa pun, kami mudah berkomunikasi dan ini membuatkan segala perkara berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
“Jujurnya, saya merasakan pilihan ini sangat tepat kerana tiada langsung perasaan ragu-ragu dan juga was-was yang wujud dalam diri ini,” katanya yang manis mengenakan busana berwarna aquamarine, rekaan pereka terkenal, Hatta Dolmat.
Selain itu, Irma memberitahu, biarpun tunangnya mengetahui dirinya seorang pengacara dan pelakon namun dia tidak pernah memberikan layanan berbeza.
“Dia melayan saya seperti biasa dan baik sekali.
“Apa-apa pun, saya sentiasa mengharapkan apa yang kami lakukan ini mendapat redha daripada-Nya dan berjalan dengan lancar,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.
Nikah 1 Julai
Mengikut perancangan keluarga Irma, majlis pernikahan dan persandingan akan diadakan pada 1 Julai depan di Keramat Hall, Kuala Lumpur manakala majlis bertandang di pihak lelaki pula akan diadakan pada 7 Julai.
Pada majlis pertunangan yang dilangsungkan itu, Irma menerima sebentuk cincin berlian sebagai tanda ikatan yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya.
Irma turut menerima tujuh buah dulang hantaran daripada pihak lelaki yang berupa set mandian, sepersalinan pakaian, sejadah, manisan kurma, kek dan buah-buahan.
Sementara pihak perempuan pula membalas sebanyak sembilan dulang iaitu sirih junjung, buku-buku ilmiah, pencukur, sejadah, kek, manisan, sepersalinan pakaian dan set mandian.
Selain keluarga kedua-dua belah pihak, majlis pertunangan Irma turut dihadiri teman rapat dan beberapa rakan artis seperti Anne Ngasri dan juga Wardina.