Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fahrin main ragbi di England


KIRA-KIRA 20 kali saya melakukan senam wajah (menguap) dan hampir terjatuh dalam longkang gara-gara mengantuk ketika menonton perlawanan ragbi di Padang Perindu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam baru-baru.

Sudahlah tidak faham dengan undang-undang permainan yang berasal dari England itu, inikan pula untuk mengetahui siapa yang bergelar juara bagi permainan yang bermula pada pukul 5.15 petang itu.

Bagaimanapun, saya terpaksa menahan diri hingga permainan berakhir demi untuk menemu bual Fahrin Ahmad, yang mana saya tahu adalah seorang pelakon yang sibuk dengan penggambaran.

Setelah diberitahu oleh Fahrin, barulah saya tahu rupa-rupanya pasukannya, UiTM X-Lions, seri 10 - 10 dengan pasukan lawan, Storms RC.

Fahrin yang memakai jersi nombor 16, petang itu beraksi sebagai flanker, bertindak sebagai unit belakang sebuah pasukan yang perlu menghalang pihak musuh daripada menembusi gawang.

“Di bahagian flanker ini perlu pemain yang berbadan besar sebab mereka ibarat tembok menghalang musuh. Selalunya, flanker pakai jersi nombor enam atau tujuh.

“Disebabkan tidak ada jersi yang muat dengan badan saya, itu yang saya pakai jersi nombor 16, kebetulan ia paling besar,” katanya yang serasi dengan posisi flanker sejak pembabitan dalam sukan ragbi.

Menurut Fahrin, dia mula bermain ragbi dengan pasukan UiTM Shah Alam sejak bergelar penuntut pada tahun 1997.

Kini, biarpun sudah tamat pengajian, dek kerana cintanya kepada sukan ragbi, aktor bertubuh sasa itu tetap mewakili institusi pengajian tinggi tersebut, tetapi kali ini menerusi kumpulan UiTM X-Lions.

“Semua yang menganggotai pasukan UiTM X-Lions adalah bekas-bekas pelajar daripada pelbagai bidang pengajian.

“Masing-masing sudah pun mempunyai kerjaya tetapi tetap ingin bermain ragbi. Itu yang tertubuhnya pasukan UiTM X-Lions.

“Kalau pasukan lain menjalani latihan setiap hari, kami pula ala-ala profesional. Seminggu sekali baru berlatih, itupun petang Jumaat. Nak buat macam mana... sebab masing-masing ada komitmen,” jelasnya.

Walaupun kurang latihan, namun UiTM X-Lions yang turut dianggotai bekas pemain ragbi kebangsaan itu berjaya melangkah daripada Liga Selangor Divisyen Dua ke Divisyen Satu apabila muncul sebagai juara pada tahun lalu.

Justeru itu, mereka mengalu-alukan mana-mana penaja yang sudi untuk bekerjasama dengan UiTM X-Lions bagi menaja jersi pasukan tersebut.

“Kami telah bermain empat perlawanan, menang sekali, seri sekali dan kalah dua kali. Ini adalah pertandingan ragbi 15 sebelah.

“Kalau saya tidak dapat main pun, pasukan kami ada 25 pemain. Jadi, sesiapa sahaja boleh ganti posisi saya itu,” katanya yang meminati pemain Jonathan Peter ‘Jonny’ Wilkinson dari pasukan England.

Kata Fahrin, dia bernasib baik kerana kebetulan jadual penggambarannya pada tahun ini kurang pada hujung minggu.

Bagaimanapun kata Fahrin, dia tidak dapat mengikuti dua perlawanan untuk Liga Selangor Divisyen Satu kerana terpaksa ke Paris pada 26 Mac hingga 5 April untuk penggambaran drama Seindah Sakura.

Kerja sambil bercuti

Sepanjang waktu menonton perlawanan ragbi itu, saya rasa bimbang dan tertekan takut kalau-kalau berlaku kecederaan. Mana tidaknya setiap pemain sering ‘terbang’ untuk menerkam bola dan kemudian jatuh.

Kata Fahrin, sepanjang terbabit dalam sukan ragbi, sudah lima kali dia menjalani pembedahan di bahagian lutut.

“Kecederaan yang kerap dialami oleh pemain ragbi adalah di bahagian bahu dan lutut. Kalau cedera, rehat dan jadi penonton. Lepas baik, main semula. Itulah risiko yang perlu ditanggung,” jelasnya.

Menurut aktor itu lagi, biarpun berisiko tinggi namun dia selesa dengan sukan tersebut kerana ragbi boleh membentuk disiplin diri dan kesabaran.

Tambahnya, walaupun sukan tersebut nampak kasar, namun semangat kerjasama dan tumpuan perlu diberikan jika ingin menang.

Dalam pada itu, Fahrin berkata, pemergiannya ke Paris bukan sekadar menjalani penggambaran tetapi untuk bercuti sekali kerana selepas itu dia akan ke London, England.

“Sehari selepas penggambaran di Paris, saya akan ke London kerana pada 7 April, saya ada perlawanan. Saya dijemput oleh para pelajar Malaysia di sana untuk bermain ragbi dengan pasukan mereka .

“Selain itu, saya juga bercadang untuk melawat Stadium Twickenham di London yang popular dengan sukan ragbi.

“Memandangkan saya ini peminat ragbi, sudah tentu saya akan beli cenderahati dan jersi di sana,” katanya tersenyum.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails