Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cat insaf selepas sakit


SEMINGGU berada di hospital sudah cukup untuk mengubah aturan kehidupan ahli kumpulan The Fabulous Cats, Cat Farish.

Menurut Cat yang mengalami pendarahan tanpa henti di bahagian hidungnya selamanya sembilan jam, turut memaksa dia untuk berada di wad ICU selama dua hari.

Namun katanya, atau nama sebenar Farish Ramli, kejadian tersebut itu telah membuka matanya untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

"Doktor berkata keadaan itu berlaku kerana otak saya bekerja tanpa henti selama 24 jam sehingga menyebabkan saya mengalami hipertensi. Keadaan itu juga mengakibatkan tekanan darah saya naik secara mendadak.

"Mungkin terlalu memikirkan kerja sehingga waktu tidur pun otak saya masih bekerja.

"Doktor kata saya bernasib baik kerana hanya saluran darah di bahagian hidung yang pecah dan bukan di bahagian belakang kepala di mana keadaan itu mampu membawa maut," katanya ketika di temui pada majlis pelancaran program Jom Ke Panggung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kejadian yang tidak disangka itu kata Cat, bukan sahaja telah memberi pengajaran tetapi turut mengubah pendiriannya terhadap kerja.

Malah kata bekas anggota kumpulan Ruffedge itu, dia juga sangat bertuah kerana mempunyai rakan-rakan yang banyak membantu dalam mengurangkan bebanan kerja yang dihadapi.

"Dulu saya lebih selesa melakukan semua kerja secara berseorangan. Bukan apa, saya mempunyai masalah untuk mempercayai orang.

"Namun selepas kejadian ini baru saya tahu bekerja di samping rakan-rakan banyak membuka peluang saya untuk meneroka sesuatu itu dari suatu sudut yang lain pula," katanya.

Menurut Cat, dia kini masih perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan bagi penyakit darah tingginya.

"Saya masih perlukan rawatan susulan untuk memantau tekanan darah tinggi saya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Badan Pelindung Hakcipta Muzik Malaysia (MACP) yang turut membiayai separuh dari perbelanjaan perubatan saya di Hospital Pakar KPJ Tawakkal tempoh hari," katanya.

Ditanya perasaannya sepanjang berada di hospital, menurut Cat, antara perkara yang tidak dapat dilupakan adalah isteri dan anak-anaknya yang sentiasa berada bersama sepanjang di hospital.

"Melihat keadaan isteri dan anak-anak ketika itu, perasaan saya mula takut bila memikirkan masa depan mereka tanpa saya.

"Mungkin kejadian ini adalah titik perubahan yang membawa saya untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat selepas ini," katanya.

Berkongsi perubahan yang dialaminya, menurut Cat, perkara besar yang berlaku keatas dirinya adalah dari segi pengambilan makanan. Bagi lelaki yang bertubuh agak gempal itu, dia kini terpaksa mengehadkan nafsu makannya untuk membolehkan dia mencapai tahap kesihatan yang lebih baik dari sebelum ini.

"Jika dahulu saya akan makan tanpa menghiraukan kesannya terhadap tubuh saya, kini tidak lagi.

"Malah saya juga mempunyai diet yang perlu di ikuti walaupun agak sukar namun saya pasti ini yang terbaik untuk diri saya," katanya yang suka mengambil makanan tradisi dari negeri Perak iaitu tempoyak ketika waktu pagi.

Mengulas mengenai kerjayanya pula, kata Cat, dalam usaha melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan, dia kini sudah bergelar Pengarah dan Pegawai Operasi untuk syarikat produksi miliknya, Fantasi Films Sdn. Bhd.

"Jom Ke Panggung iaitu program berteras hiburan untuk tayangan TV2 merupakan 'anak pertama' syarikat saya.

"Untuk program ini kami menumpukan kepada industri perfileman dalam dan luar negara. Saya harap program terbitan kami ini dapat memberi maklumat kepada penonton," katanya.

Dalam perkembangan lain, Cat memberitahu, dia bakal memperkenalkan sebuah stesen radio internet iaitu Kl Pop. Antara keistimewaan stesen radio itu adalah barisan penyampai yang di dominasi bekas peserta program-program realiti.

"Penubuhan radio Kl Pop adalah untuk memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi program realiti memperdengarkan lagu-lagu mereka kepada peminat muzik di seluruh dunia.

"Saya fikir sudah sampai masanya untuk penyanyi dari program realiti ini di bela, dan melalui Kl Pop kami percaya ia akan membawa sedikit kelainan," kata Cat yang kini juga sedang dalam proses untuk menerbitkan sebuah filem berbahasa Cina yang bertajuk True Love.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails