Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pengakuan tak jejas periuk nasi Syatilla Melvin


KELIBAT wanita tinggi lampai ini dikenali menerusi drama lakonannya dalam BFF…Teman Tapi Mesra di TV3 yang bersiaran pada pertengahan Januari lalu. Bagaimanapun pengenalan tersebut menjurus ke sisi hitam dirinya apabila watak sokongan yang dipegang dalam drama tersebut turut dikaitkan dengan klip video erotiknya sebelum ini.

Nama Syatilla Melvin masyhur seiring dengan impak dari drama bersiri lapan episod berkenaan tapi yang tak sedapnya apabila dia diingati kerana aksi erotiknya dalam klip video itu sebagai model pakaian dalam jenama terkenal.

Kesilapan besar Syatilla kerana bersikap terbuka membenarkan perakam video klip itu merekod tarian ghairah dirinya yang menyarung baju tidur yang singkat nipis ketika itu.

Meskipun klip video tersebut dirakam sebelum dia rasmi bergelar figura awam, tetapi Syatilla ambil pendekatan 'tidak melatah' bila warga kerja industri hiburan tanah air membangkitkan isu berkenaan.

"Tiada apa yang perlu dimalukan sebab memang salah Tilla sendiri. Tilla tak akan menuding jari kepada penyebar klip di Internet ke, kawan Tilla ke, sebab memang Tilla yang 'berlakon' dalam klip video itu.

"Sebab itu, Tilla terima apa saja orang cakap tentang Tilla dan Tilla tahu benda memalukan macam ini biasanya orang kita lebih bersemangat nak ambil tahu," kata Tilla penuh jujur.

Menanyakan soalan bagaimana Syatilla boleh terlibat dalam pembikinan klip video berkenaan, wanita berusia 21 tahun ini terdiam sebentar.

"Tilla kerja sebagai model sebelum jadi pelakon tapi Tilla tak terlibat jadi model jenama pakaian dalam tertentu. Ceritanya begini, kawan-kawan Tilla yang baru berjinak guna kamera buat satu projek minta tolong Tilla jadi model dalam klip video mereka.

"Bila dah siap, entah macam mana, klip video boleh disebarkan dan disensasikan beberapa minggu selepas Tilla berlakon dalam BFF…Teman Tapi Mesra. Tilla dapat tahu dari kawan-kawan yang klip video itu jadi perbualan di Internet tapi Tilla tak boleh buat apa-apa.

"Tilla tak marah cuma kecewa dengan komen negatif daripada orang yang menonton klip video itu.

"Jadi, cara terbaik Tilla memohon maaf pada semua yang tak suka dengan pembawaan Tilla yang agak keterlaluan dalam klip video itu, " mohon pelakon drama Lara Hati di TV9 ini penuh berhemah.

Adakah pemilik nama Siti Nur Syatilla Amirul Melvin ini tahu akibat daripada pengakuan yang berniat untuk membersihkan nama yang tercalar itu bakal menjejaskan periuk nasinya?

Anak kelahiran Parit Buntar, Perak ini pantas menganggukkan kepala dan begitu yakin dalam huraian hujahnya.

"Buat apa Tilla nafikan beria-ia tentang kewujudan klip video itu sedangkan memang Tilla terlibat di dalamnya. Tilla tak nak hidup dalam pura-pura, kalau salah mengaku, kalau tak, buat apa nak bising-bising.

"Kalau kita jujur, hidup kita lebih tenang. Tilla macam orang biasa, nak hidup tenteram sebab itu Tilla amalkan cara telus. Bukan masa kerja, tapi dalam cara apa juga pun.

"Tentang soal rezeki pula, Tilla serahkan perkara itu pada Yang Esa, Tilla tak layak nak persoalkan benda itu, kalau ada rezeki berlakon, Tilla berlakon dan tak nak kejadian itu buat Tilla terus ke belakang," katanya bersungguh-sungguh.

Terus mengasak persoalan sama ada Tilla yang digambarkan dalam klip video berahi itu sama seperti perwatakan sebenar Tilla ternyata menyebabkan anak kedua daripada lima beradik ini tersenyum panjang.

Jujurnya, apa yang digambarkan dalam klip video itu seolah-olah Syatilla kaki sosial sangat kontra dengan dirinya kerana dia bukan jenis murah, kaki kelab malam atau penggemar minuman keras.

"Tilla ada pendirian dan tahu batas diri. Peristiwa hitam itu tak ada kena mengena dengan cara hidup Tilla yang tak pernah jejak kaki ke kelab malam. Mungkin perwatakan luaran Tilla nampak moden tapi Tilla tak layan 'benda-benda' itu.

"Tilla tak pandailah nak buat benda bukan-bukan, tidak pernah pergi ke konsert, apatah lagi nak sentuh benda haram. Kalau nak tahu, Tilla banyak habiskan masa di restoran mamak, lepak dengan kawan sampai lewat pagi. Itulah aktiviti kegemaran Tilla," dedahnya.

Memilih kawan?

PELAKON yang lahir pada 8 Februari 1991 ini juga sempat ditanya tentang kebenaran bahawa dia seorang yang memilih kawan lantaran kebanyakan sahabatnya terdiri daripada lelaki lembut.

"Tilla memang susah nak berkawan lama dengan kawan perempuan sebab Tilla jenis kasar, suka cakap lepas. Selalunya kawan perempuan lebih sensitif berbanding lelaki lembut, sebab mereka boleh terima kita seadanya.

"Lelaki lembut lebih bersikap terbuka, tak ada dengki dan boleh kurang lebih bila kita dah rapat. Mungkin sebab itu Tilla lebih selesa, boleh berkawan lama," katanya lagi.

Dalam pada itu Syatilla sempat bergurau bahawa kawan terdekatnya yang terdiri daripada lelaki lembut itu bakal menapis salam perkenalan daripada setiap jejaka yang mendatang.

Dedah Syatilla, dia pernah didatangi lelaki berhidung belang yang menawarkan pelbagai hadiah tetapi mahu mengharapkan sesuatu yang berharga dalam dirinya sebagai balasan.

"Tilla tak ada kekasih lepas putus dua tahun lalu, jadi lepas itu tiada lelaki istimewa dalam hidup Tilla. Jadi bila ada lelaki nak berkenalan, Tilla tak ada masalah, tapi bila dia dah bertukar watak, itu yang buat Tilla kelam kabut.

"Tapi tak apalah, itu semua pengalaman hidup Tilla. Jadi lepas ini, Tilla kena lebih berhati-hati supaya tak salah langkah, tak terlibat dengan kontroversi.

"Jadi, sekarang ini adalah masa untuk Tilla kukuhkan nama dalam bidang lakonan. Banyak benda yang Tilla kena belajar, maklumlah masih hijau lagi," sambungnya lagi.

Ditanya tentang impian karier Syatilla yang menceburi bidang peragaan sejak berusia 16 tahun, dia berkata: "Tilla teringin nak berlakon filem, nak kerja dengan penerbit filem tanah air dan timba banyak pengalaman daripada mereka ini.

"Tilla juga nak cuba bawa watak antagonis sebab orang kata air muka Tilla ini garang, sesuai bawa watak macam itu. Tapi semua ini terpulang pada penilaian orang lebih berpengalaman," katanya di hujung perbualan petang Isnin lalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails