Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Duka lara Shila Amzah
CAHAYA di matanya sudah tidak menggambarkan kekalutan. Garis-garis senyuman yang meleret di bibirnya mudah sahaja menjalar indah sampai ke hujung pipi. Seperti tiada lagi duka hendak dibenamkan jauh ke dasar jiwa. Segala-galanya terluah, mengalir bersama cerita dahulu dan kini. Apa yang tertinggal di belakang kekal di situ, biar bah atau kemarau, mana mungkin air di hilir berpatah ke hulu.
Dia Shila Amzah, yang sudah mampu bercanda dalam setiap titipan duka yang dilalui. Pada usia 23 tahun, khazanah pengalaman yang melingkari hayatnya sudah cukup sarat untuk akal mudanya merumuskan hakikat kehidupan.
Kalimah 'terima kasih' bersusun terbit daripada setiap patah bicaranya. Terima kasih daripada Shila untuk setiap memori, untuk setiap sokongan ataupun herdikan yang diterima selama ini. Dia sedar khilaf lalu dan segala kesilapan itu bukan untuk disesali sepanjang hayat.
"Paling besar tentunya terima kasih saya untuk Allah, terima kasih kepada orang sekeliling yang menyedarkan saya untuk menjadi lebih baik dan membuat keputusan terbaik.
"Saya ambil masa yang agak lama untuk pulih tapi apa yang terjadi selama ini adalah yang terbaik untuk saya. Saya punya beribu sesalan tapi saya bangkit untuk terus bergerak ke hadapan, dalam karier dan kehidupan peribadi," lenturnya mendasari apa yang dirasa.
Mengadakan konsert mini
Berulang-alik di antara Shanghai dan Kuala Lumpur, Shila yang kini menjadikan Shanghai sebagai hab karier muziknya sedang merencanakan misi besar. Bukan sekadar demi kelangsungan kecintaannya seni di sini, kepulangan kali ini mahu diwartakannya dalam sebuah detik yang cukup indah.
"Saya mahu mendedikasikan sebuah persembahan tanda terima kasih saya kepada seluruh peminat, pihak media, pemuzik yang terlibat dalam pembikinan album saya serta semua pihak yang menyokong saya selama ini," ujar Shila tentang sebuah konsert mini yang diberi nama Shila Amzah Showcase yang akan berlangsung pada Khamis (10 Oktober) nanti bertempat di Penthouse @ The Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Seiring dengan pelancaran album pertama yang dibikin sendiri, konsert mini Shila itu nanti akan dijayakan Shila bersama pemuzik-pemuzik yang terlibat dalam pembikinan albumnya. Diterajui oleh komposer ternama Helen Yap sebagai pengarah muzik, kebanyakan lagu yang bakal dinyanyikan merupakan lagu yang terkandung dalam album mini iaitu Cinta Hati, Maaf, Tulus, Masih Aku Cinta dan single Patah Seribu dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Mandarin yang dimasukkan sebagai runut bonus.
"Konsert mini itu akan jadi konsert percuma yang pertama kali daripada saya. Sudah 13 tahun saya dalam bidang muzik dan selama ini saya tidak pernah melakukan apa-apa untuk peminat. Rasanya, momen itulah yang paling tepat untuk saya mengadakan satu persembahan. Saya mahu berkongsi apa yang saya rasa bersama semua orang kerana semua lagu dalam album itu ditulis oleh saya.
"Saya juga mahu membuktikan bahawa saya telah bangkit dan sedang bersemangat untuk hidup. Ia juga simbol semangat dan mungkin boleh menjadi inspirasi kepada mana-mana artis yang melalui jalan payah sebagai mana yang saya lalui selama ini. Jujurnya, saya sendiri tidak tahu sampai bila saya akan terus mengecapi saat seperti sekarang, jadi detik itu nanti mahu saya rakamkan sebagai hari bersejarah buat diri sendiri," katanya yang berharap untuk menjayakan sebuah konsert solo pada masa akan datang.
Tambah Shila: "Mungkin konsert mini itu sebuah introduksi daripada saya sebelum rencana untuk mengadakan sebuah konsert sebenar tercapai. Rasanya juga, saya sudah ada cukup material ke arah itu. Perbincangan awal sudah dibuat. Saya benar-benar berharap ketika menyanyi di hadapan peminat berbilang bangsa, Cina dan Melayu, saya buktikan muzik juga penyatu bangsa kerana kita berada di rumpun yang sama."
Bercerita tentang misi karier yang terdampar luas untuk dijajahi, anak dara penyanyi terkenal ND Lala ini tidak terlepas daripada terhitung semula episod hitam yang hampir membunuh semangat juangnya.
Tutup hati untuk cinta
Tanpa tertahan ataupun berlindung menyembunyikan kebenaran yang banyak didiamkan, Shila bagai dilahirkan semula. Selama dua tahun sebelum ini, kisah juraian air matanya hanya dikongsikan bersama orang terdekat tetapi kali ini, tercuit satu persoalan, selembar kisah yang terurai satu per satu.
Benarlah cinta itu satu istilah yang cukup berkuasa. Namun dalam waktu yang sama juga cinta boleh menjadikan seorang anak menjadi bebal.
"Masa bercinta dahulu, mama nasihatkanlah apa sahaja. Semuanya saya tak peduli. Bercinta tidak salah kerana cinta itu indah, yang salahnya apabila kita bertemu orang yang salah. Dahulu, saya selalu berfikir untuk tidak menyakiti hati orang yang dicintai. Saya korbankan banyak benda, cuba elak segala benda yang boleh menimbulkan prasangka termasuklah hadkan pergaulan dengan kawan-kawan.
"Ketika itu juga, ramai yang takut hendak mendekati saya. Ada juga yang sengaja tidak mahu menghiraukan saya semata-mata untuk mengelakkan terjadinya perkara yang tidak diingini. Sekarang, saya bersyukur kerana kawan-kawan yang selama ini saya tidak pedulikan sudi memaafkan dan kembali menerima saya sebagai kawan mereka. Mereka sendiri rasa, Shila yang dahulu itu bukan diri saya yang sebenar. Sekarang, kalau saya buka mulut tentang lelaki, awal-awal lagi mereka akan beri amaran," jelas Shila berterus-terang.
Mengakui hatinya masih tertutup untuk menyerahkan cinta kepada mana-mana lelaki tetapi dalam masa yang sama, dia tidak menolak untuk berkawan dengan lelaki yang berniat baik terhadap dirinya.
"Saya hanya buka hati saya untuk berkawan dengan semua orang, lelaki dan wanita tetapi untuk memberi cinta, memang tidak. Saya tidak mahu buang masa dengan cinta. Cinta itu indah tetapi apabila ia disalah guna, ia akan menjadi sia-sia. Baiklah saya simpan cinta saya untuk siapa suami saya kelak. Seperti kata papa, dalam kepala saya ini sudah banyak khazanah sengsara dan saya tidak mahu sengsara lagi.
"Saya juga masih berfikir ada lelaki yang menganggap sudah menjadi pemilik mutlak kepada seseorang wanita apabila mereka bergelar pasangan kekasih. Saya bercakap begini kerana percaya ramai wanita berada dalam situasi begitu. Kalau sudah sampai ke tahap tersebut, wanita itu bukannya menyintai lelaki berkenaan tetapi simpati. Saya mengaku, dahulu saya seorang yang sangat pemaaf," ujar Shila yang berdepan episod putus cinta bersama aktor Sharnaaz Ahmad hujung tahun lalu.
Larut dalam emosi, bicara hati daripada wanita untuk wanita, kata Shila, dia tidak mahu wanita menjadi lemah kerana cinta. Ternyata tempoh hampir setahun melepasi 'tragedi' putus cinta menjadi Shila seorang yang tegas, berfikiran terbuka dan positif dalam banyak perkara.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]