Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Suka hati sayalah - Che Ta

SAYA tak pakai pun duit mereka walau satu sen. Kenapa nak dengki?" Demikian tegas aktres Rozita Che Wan apabila ada yang mempertikaikan majlis merisiknya yang diadakan minggu lalu di lokasi mewah, Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur. Dia bingung kerana ada pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dengan keputusannya mengadakan majlis itu sedangkan kata Rozita, isu merisik adalah peribadi dan sesiapa sahaja bebas untuk melakukannya. Masakan tidak, ada kata-kata nakal yang beranggapan aktres tersebut tidak perlu mengadakan majlis itu kerana isu usia selain merasakan adalah lebih baik sekiranya kedua-duanya terus bernikah. Namun aktres dan pengacara Primadona nampaknya tidak mudah melatah malah ibu kepada dua anak ini menegaskan ada sebab mengapa dia menganjurkan majlis tersebut. Dilakukan dalam masa yang singkat, Rozita atau mesra disapa dengan panggilan Che Ta tidak menafikan majlis merisik tersebut dilakukan secara santai sahaja. “Kalau ikutkan memang tak ada majlis bertunang antara saya dan Zain Saidin sebelum kami bernikah nanti. Cuma majlis merisik sahaja yang kami adakan sebelum berkahwin mengikut adat. “Kenapa nak bising-bising tak puas hati? Ini sahaja majlis untuk saya berkumpul dan berkenalan dengan keluarga sebelah Zain. “Sebelum ini saya hanya kenal ahli keluarga Zain sahaja. Tapi bila buat majlis merisik memang ramai yang turut serta dan membuatkan semua pihak gembira. “Sebab itu saya anggap majlis ini sebagai majlis untuk keluarga dan tidak menghebahkan kepada pihak lain," jelasnya kepada Pancaindera. Meskipun begitu, Rozita tidak menafikan yang dia sebenarnya sedikit malu apabila majlis tersebut menjadi bualan masyarakat. Namun berkali-kali dia menegaskan semua itu dilakukan semata-mata untuk mengumpulkan dua keluarga besar kedua-dua belah pihak selain membincangkan hal perkahwinan yang bakal diadakan pada bulan Disember nanti. Kagum dengan Zain Tidak menafikan Zain sebagai lelaki yang hebat dalam hidupnya, Rozita mengakui kagum dengan kesungguhan aktor muda itu untuk menyunting dirinya sebagai isteri. Kesetiaan Zain tidak mungkin dapat dibalas meskipun nama Rozita sering kali dikaitkan dengan beberapa nama lelaki yang lain sebelum ini. “Saya kagum dengan kesungguhan Zain untuk mendapatkan saya. Tak semua lelaki macam dia yang sanggup buat apa sahaja demi cinta. “Lelaki lain setakat cakap suka tapi tak ada kesungguhan. Tapi berlainan dengan Zain sebab dia sanggup buat apa sahaja asalkan saya tak terlepas kepada orang lain," katanya tertawa. Malah kata Rozita, dia perlu bersedia untuk kembali bergelar isteri memandangkan selama ini sudah begitu selesa menjadi ibu tunggal yang membesarkan kedua-dua anak sendirian. Ini kerana katanya, segala keputusan selama ini dilakukan sendiri tanpa campur tangan orang lain dan sudah pasti perkahwinan dengan Zain nanti akan sedikit sebanyak mengubah ‘sedikit ‘kuasa veto’nya. “Apabila berkahwin (semula) ini saya kena belajar balik perkara-perkara asas rumah tangga. Tak boleh nak buat keputusan sendiri lagi sebab saya akan bersuami. “Semuanya perlu dibincang terlebih dahulu sebelum satu-satu keputusan dibuat. Semoga rumah tangga yang akan dibina nanti kekal sampai akhir hayat," katanya. Bukan pencemburu - Zain BAGI Zain sepanjang tiga tahun tempoh mengenal hati budi Rozita, dia tidak menafikan ada kala jiwanya bagai dirobek-robek tatkala melihat satu persatu cerita nakal tentang wanita berkenaan menjadi perhatian umum. “Memang ada kalanya saya jadi cemburu melihat banyak sangat cerita dia yang keluar saban minggu. Macam-macam cerita orang kaitkan nama dia sampaikan saya geram. “Tapi antara saya dan dia tak ada rahsia sebab saya akan tanya kebenaran tentang sesuatu gosip yang keluar terlebih dahulu. Bila dia dah terangkan semuanya situasi akan kembali okey. “Dulu masa saya belum mengaku bercinta dengan Che Ta, orang kait dia dengan ramai lelaki. Pendek kata banyak nama yang terheret sama ketika itu. Tapi bila saya mengaku nampaknya tak ada lagi cerita seperti itu. “Saya anggap nama Rozita Che Wan sebagai wanita yang hebat. Orang buat-buat cerita tentang dia sebab semuanya boleh ‘dijual’. Sampaikan cerita baju dalam pun orang nak sensasikan," kata Zain tertawa. Meskipun ramai yang awal-awal lagi sangsi tentang cerita cinta mereka, Zain tidak pernah ambil kisah dengan cakap-cakap orang yang kurang senang dengan perhubungan mereka. Baginya sejak awal lagi dia telah meletakkan niat untuk berkahwin dengan Rozita dan sudah pasti impiannya itu disulami dengan usaha keras yang tidak diketahui umum. “Mungkin orang tak tahu wanita ini merupakan calon isteri idaman saya. Saya bukan tergesa-gesa buat keputusan untuk berkahwin tetapi telah saya pertimbangkan sejak awal perkenalan kami. “Dia bukan sahaja hebat mendidik anak-anak tetapi dalam masa yang sama tidak pernah mengabaikan keluarga yang lain dan sentiasa bersama-sama mereka bila ada kelapangan. “Saya tahu inilah ciri-ciri wanita yang saya cari. Berkahwin bukan untuk kami berdua sahaja tetapi turut melibatkan keluarga. Kalau dia boleh menambat hati keluarga saya, itu rahmat buat saya. “Sebab itu saya tekad untuk melamar Che Ta sebagai isteri saya," tegas adik kepada artis Sasha Saidin ini lagi. Mengulas mengenai persediaan perkahwinan pula, Zain tidak menafikan semuanya masih dalam proses persediaan terutama melibatkan perkara besar seperti lokasi dan sebagainya. Ujarnya, masih belum ada tarikh yang sesuai dipilih meskipun mereka telah menetapkan hujung tahun ini sebagai bulan untuk menyatukan dua hati ke jenjang pelamin.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails