Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Amy Mastura. Show all posts
Showing posts with label Amy Mastura. Show all posts

"Saya Bukan Diva" - Amy Mastura

Penyanyi dan pelakon Amy Mastura tidak pernah meletakkan dirinya setaraf diva dan tidak malu untuk menerima tawaran lakonan diberikan kepadanya walaupun jumlah adegan yang sedikit. Amy, 44, berkata, dia tidak pernah mengamalkan sikap memilih watak diberikan kepadanya namun ia perlu dengan karakter dan imejnya yang kini berhijab. "Jika ditawarkan lima babak pun saya terima janji ia sesuai dengan saya dan tidak pernah pula hendak bersikap memilih. "Pada saya kita kena hargai peluang yang diberikan dan tidak perlu bersikap sombong atau diva biarpun sudah bertaraf senior," katanya kepada mStar Online. Amy ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Memori Cinta #3 di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu. Drama arahan Boy Cavalera itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Dayana Roza, Shima Anuar dan Riz Amin.
Ia bakal menemui penonton bermula 11 November depan, setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di HyppSensasi, HyppTV saluran 116. Dalam pada itu, Amy berkata, biarpun dia sudah lama berada dalam industri itu tidak bermakna dia boleh mendabik dada dan mengakui masih banyak perkara perlu dipelajari sejajar dengan perubahan zaman. "Saya bukan diva dan tidak pernah meletakkan sebarang jurang dikalangan artis lain terutamanya yang masih baharu kerana saya sendiri masih banyak belajar. "Jika saya kenal seseorang artis baharu itu tidak semestinya dia yang perlu tegur saya hanya kerana saya senior tetapi sebaliknya," ujarnya. Sementara itu, Amy berkata, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni yang diceburinya sejak 20 tahun lalu. Jelas Amy, selagi ada tawaran diberikan kepadanya dia akan terus berada di dalam industri namun menegaskan keluarga adalah keutamaannya. Dalam perkembangan lain, Amy berkata, dia baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Jom Menari Ler yang turut dijadikan lagu tema drama bersiri Memori Cinta #3.

Bahagia Amy sebagai artis

JIKA artis lain, mereka selalu memikirkan kontroversi itu satu umpan untuk terus membina nama terutamanya bagi bakat baharu. Tapi itu tidak berlaku kepada Amy Mastura Suhaimi. Perjuangan lebih 20 tahun dalam dunia seni selepas dipilih sebagai pemenang dalam rancangan nyanyian Asia Bagus pada tahun 1993, nama Amy terus mekar dan terus meniti populariti. Namun, kelibat Amy kini dilihat amat jarang sekali dalam mana-mana drama mahupun televisyen. Entah kenapa, disebabkan itu, maka timbul spekulasi bahawa Amy sengaja mahu menjadikan dirinya eksklusif di mata umum. “Bukan eksklusif. Tiada istilah dan penjagaan nilai eksklusif itu buat diri saya. Kalau tak nampak saya maka banyaklah andaian yang akan timbul. Senyap saja orang buat banyak kesimpulan. “Mungkin saya sibuk, sebab itu jarang lihat saya berlakon. Tawaran berlakon memang ada, tapi saya selalu menolak. Saya sekarang perlu tengok dahulu tawaran tersebut. Kalau masa sesuai dan kena, saya akan ambil. “Tidak perlu untuk saya berebut-rebut. Jadual perlu disusun sebab saya ada keluarga yang perlu dijaga. Selain masa, saya juga tengok watak sebelum saya menerima sebarang tawaran. Tapi bukan bermaksud saya memilih. Setakat ini, saya seronok buat kerja yang saya minat (berlakon dan menyanyi)," katanya tenang. Bertanyakan pula mengenai bayaran lakonan, tanpa prejudis, Amy hanya berkata, semuanya mengikut harga pasaran. “Saya tidak pernah menetapkan berapa harga hasil lakonan saya. Semuanya bergantung kepada berapa hari lakonan saya dan watak yang saya bawa. “Malah, kadang-kadang saya akan melihat kepada bajet produksi. Kalau boleh, saya akan berbincang dahulu dengan setiap pihak produksi yang mengambil saya sebagai pelakon mereka," katanya yang memegang watak Datin Maziah dalam drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Bercerita sedikit tentang lakonannya dalam drama tersebut, Amy menjelaskan bahawa dia perlu berperwatakan sebagai seorang ibu yang lemah lembut dan sabar. “Dalam lembut, saya juga tegas dalam membesar dan mendidik anak. Tidak dinafikan, status saya sebagai seorang ibu membantu saya dalam menghayati dan menjayakan watak itu. “Soal orang suka atau tidak, bergantung kepada pemahaman dan penilaian seseorang penonton," jelasnya. Bekerja dengan ramai pelakon baharu dan muda dalam cerita itu, Amy hanya memberitahu dia sangat seronok berlakon dengan bakat-bakat baharu. “Saya tiada masalah berlakon dengan semua pelakon dalam drama itu dan sememangnya saya seronok bersama mereka," ujarnya ringkas. Nyanyian dan album Tidak mahu perjuangan seninya terus tenggelam dalam dunia seni suara, Amy berkata, dia bakal lahir dengan single baharu berjudul Menari Lerr hasil ciptaan Adif Johari. “Memang ramai artis baharu yang ada sekarang. Tapi saya tidak pernah menimbulkan rasa cemburu terhadap mereka. Itulah yang perlu saya hadapi. “Mereka hadir dan diperlukan sebagai pelapis kepada penyanyi yang ada sekarang. Saya perlu berbangga dengan semua itu. “Sebab itu, saya juga terus membuat single bukan untuk bersaing dengan mereka (penyanyi baharu) tetapi untuk terus mengukuhkan nama saya dalam bidang ini," katanya. Masih lagi mempromosikan single berjudul Itu Dulu hasil ciptaan komposer seberang, Panji, Amy juga berjanji akan muncul dengan album kompilasi. “Dua tahun saya ambil masa untuk hasilkan single selepas Happy. Bukan saya sengaja, tapi jujurnya saya memang tak sedar masa berlalu begitu pantas. “Bagi mengubat rindu peminat, insya-Allah, saya akan muncul dengan album kompilasi Itu Dulu diselitkan sebagai lagu baharu. “Sebanyak 20 buah lagu akan dimuatkan dalam album kompilasi itu nanti dan ia akan dipasarkan dalam masa terdekat," katanya. Semangat suami Bagi Amy, dia juga beruntung kerana pembabitannya dalam bidang seni tidak dihalang oleh suami tercinta, Alvin Tham Suffian. “Sebenarnya suami tidak terlalu menyokong, namun dia juga tidak pernah menghalang apa yang saya lakukan sekarang. “Semangat berterusan suami kepada saya membawa kepada kejayaan saya kini. Dia (suami) juga beri peluang untuk saya terus bekerja dalam bidang ini. “Sebab itu juga, minat saya dalam bidang seni tidak pernah pudar kerana saya tahu saya sentiasa mendapat sokongan dan dorongan suami. Malah, para peminat juga tidak putus-putus memberi semangat. “Biarpun saya sudah puas dengan apa yang telah diraih sepanjang bergelar pelakon dan penyanyi, tetapi itu bukan bermakna sudah tiba masanya untuk saya terus melupakan bidang yang telah saya ceburi selama ini," katanya. Keluarga bahagia yang sudah dibina sejak tahun 2000 sebenarnya juga menjadi petunjuk bahawa Amy tidak pernah melupakan tanggungjawab kepada keluarga. “Apa yang penting, keluarga harus diutamakan. Walaupun sibuk dengan kerjaya, apa yang penting saya tidak mengabaikan urusan rumah tangga," katanya. Perkahwinan Amy dan Alvin telah dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu, Adriana, 13, dan Adalia, 9 tahun. Seperti artis lain yang telah berkeluarga, pastinya Amy tidak dapat lari daripada usikan teman-teman media soal perancangan nak tambah anak. Cuma tergelak, kata Amy, dia percaya kehadiran Ardiana dan Adalia sudah memadai dalam hidupnya bersama suami. “Tidak ada perancangan nak tambah anak pun. Lelaki ke perempuan ke, saya rasa cukup-cukuplah dua orang ni. “Biarlah saya fokus yang dua orang ini sahaja. Tapi kalau ada rezeki saya tak menolak. Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang bersama suami dan anak-anak," kata ibu berusia 43 tahun ini. Tidak pernah menghantar anak-anaknya ke sekolah seni untuk menjadi seperti dirinya, Amy berkata, biarlah mereka (anak-anak) mendapat pendedahan dalam bidang seni di sekolah kerana peluang semuanya sudah terbuka.

Kejayaan Amy Mastura Kerana Bijak Urus Kerjaya, Rumah Tangga

Penyanyi Amy Mastura menyifatkan pengurusan jadual kerja yang baik amat penting buat dalam mengendalikan jadual kerja dan juga hal rumah tangga. Amy atau nama penuhnya Amy Mastura Suhaimi, 42, berkata, sebagai seorang isteri, ibu, penyanyi dan pelakon, dia perlu bijak membahagikan masa agar kesemua tanggungjawab itu berjalan dengan lancar. "Sebagai seorang wanita, kita mempunyai tanggungjawab besar dalam hal pengurusan rumah tangga lebih-lebih lagi berkaitan anak-anak. "Memandangkan saya juga mempunyai karier sendiri, jadi pengurusan kerja yang baik amat penting. "Pada mulanya mungkin agak sukar untuk membahagikan masa, tetapi lama-lama ia sangat mudah dan kita sudah boleh mengagak dan merancang masa dalam setiap perkara yang ingin dilakukan," katanya. Bagaimanapun tambah Amy yang kini popular dengan lagu Tapi Itu Dulu, keluarga akan menjadi keutamaa dalam setiap keputusan yang dilakukan. Sementara itu, beritahu Amy , dia juga tidak menghalang anaknya untuk berkecimpung dalam dunia seni lebih-lebih lagi apabila melihat anak keduanya iaitu Adalia, 7, meminati bidang lakonan. "Saya tak pernah menghalang minat anak-anak. Andai kata mereka ingin mengikuti jejak langkah saya dalam dunia seni, saya benarkan. "Asalkan mereka tidak buat benda-benda yang tidak elok sudah cukup. "Setakat ini apa yang saya nampak, Adalia begitu bersemangat dalam hal-hal berkaitan lakonan. Dia juga sebelum ini pernah membintangi teater Gamat bersama-sama dengan saya," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Amy bakal muncul dengan teater Nyonya & The Gang yang bakal dipentaskan bermula 14 hingga 20 Jun depan. Nyonya & The Gang yang merupakan sebuah persembahan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu pementasan turut menampilkan barisan pelakon Mardiana Alwi, Misha Omar, Rozita Che Wan, Taiyuddin Bakar dan Fara Fauzana. "Ini merupakan penglibatan teater 'berat' pertama saya bawakan. Selama ini saya hanya berlakon teater berkonsepkan kanak-kanak. "Harap-harap lakonan saya berkesan dalam teater ini," katanya.

Amy Mastura Terkejut Berita Kematian Dicky

PETALING JAYA: Penyanyi popular Amy Mastura terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian Othman Hasan atau Dicky, seorang jurusolek yang pernah bekerja dengannya sekitar tahun 90'an. Bercakap kepada akhbar Kosmo! dia berasa sedih dengan berita sedih itu dan tidak menyangka sama sekali apabila mendapat berita bekas jurusolek rasminya itu mati dibunuh. "Saya tidak mampu berkata apa-apa selain sangat bersedih dengan kehilangan Dicky lebih-lebih lagi kematian dalam keadaan yang sangat menyayat hati," katanya. Dalam pada itu, Amy berkata, Dicky berkhidmat dengannya daripada tahun 1995 hingga 2004 sebelum tidak menjalinkan lagi kerjasama kerana Dicky terlibat dalam projek lain. Bagaimanapun kata Amy, hubungan mereka masih rapat dan kali terakhir berjumpa pada tahun lalu. Dicky telah ditemui mati dalam keadaan tangan dan kakinya terikat oleh abangnya, Mohammed Yusof Hasan, 54, pada jam 8 malam Selasa iaitu dipercayai 24 jam selepas kematiannya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kanan Datuk Ku Chin Wah ketika ditemui berkata, polis kini sedang mencari seorang lelaki yang merupakan kenalan mangsa kerana tiada tanda-tanda pintu rumah mangsa itu dipecah masuk. Beliau tidak menolak kemungkinan orang yang dicari polis itu adalah seorang yang sangat rapat dengan mangsa dan dikenali mangsa. Mangsa dipercayai mati akibat kelemasan selepas mulutnya disumbat dengan secebis pakaian. Turut ditemui di tempat kejadian adalah kondom yang telah diguna dan mangsa dipercayai telah melakukan hubungan seks sebelum dibunuh. Siasatan awal mendapati, komputer riba dan telefon bimbit mangsa telah hilang.

Cukup-cukuplah tu - Amy Mastura

CUBA juga mencari kelainan dan keistimewaan penyanyi bernama Amy Mastura ini tanpa mahu melihat pada faktor usianya. Ternyata, usaha itu cuma menemui jalan buntu sahaja. Masakan tidak, Amy sejak dari dulu memang terkenal dengan ciri fizikalnya yang sentiasa nampak muda. Walhal, usianya dah pun mencecah 41 tahun. Namun, disebabkan tubuhnya kecil molek, dia beruntung kerana seringkali kelihatan awet muda! Mungkin benarlah kata orang, kalau nak nampak sentiasa muda, kita kenalah selalu tersenyum dan ceria. Itulah petua yang diamalkan oleh Amy selama ini yang ternyata menjadi. Bercakap soal untung, pastinya ramai yang sedar bahawa kewujudan Amy sebagai anak seni bukan sahaja memfokus pada bidang nyanyian dan lakonan semata. Dia juga dikenali sebagai duta produk dan yang terkini bersama rangkaian produk jenama dari Jepun, Kose. Merupakan tahun kedua bersama Kose, Amy dilihat seakan selesa cuma mahu dikenali sebagai duta produk. Lalu timbullah pelbagai persoalan bahawa Amy mungkin sudah tidak lagi berminat untuk menoleh kepada bidang asalnya iaitu bidang nyanyian. Benarkah begitu? Menafikan hal tersebut, kata Amy, tidak sedikit pun di hatinya mahu melupakan terus bidang nyanyian sementelah permulaannya melangkah dalam dunia seni sebagai penyanyi. “Saya sebenarnya tak rancang pun perjalanan seni saya dan saya serahkan semuanya pada rezeki mana yang datang dulu. “Sewaktu saya masuk dalam industri ini dulu pun, cita-cita saya cuma mahu ada satu album. Saya tak fikir pun apa yang saya nak buat selepas itu. “Lakonan juga begitu. Saya akan ambil mana-mana yang datang dulu ikut kesesuaian watak. Biasanya saya dapat watak komedi. Mungkin juga kerana orang melihat saya sesuai dengan watak begitu, " katanya. Bagi membuktikan bahawa dia tidak mahu terus tenggelam dalam dunia seni suara, kata Amy, dia juga bakal lahir dengan single baru berjudul Itu Dulu hasil ciptaan komposer seberang, Panji. “Dua tahun saya ambil masa untuk hasilkan single selepas Happy. Bukan saya sengaja, tapi jujurnya saya memang tak sedar masa berlalu begitu pantas. “Bagi mengubat rindu peminat, insya-Allah, saya akan muncul dengan album kompilasi Itu Dulu diselitkan sebagai lagu baru. “Sebanyak 20 buah lagu akan dimuatkan dalam album kompilasi itu nanti dan ia akan dipasarkan dalam masa terdekat, " kata duta jam tangan Omega dan produk Takasima ini lagi. Nafi eksklusif Amat jarang melihat kelibat Amy di acara-acara besar. Entah kenapa, disebabkan itu, maka timbul pula spekulasi bahawa Amy sengaja mahu menjadikan dirinya eksklusif di mata umum. Bertanyakan mengenai hal ini, tanpa prejudis, Amy tenang mengulas. “Kalau tak nampak saya di mana-mana acara besar, itu sama ada saya tak dijemput atau memang saya sangat sibuk. “Mungkin juga ada beberapa acara yang saya tak dapat nak pergi kerana bertindan dengan acara lain atau mungkin juga saya bersama keluarga. “Tapi saya tolak andaian bahawa ia terjadi kerana saya rasa saya ni eksklusif. Tidak, saya tak rasa saya eksklusif. “Sama juga kalau saya jarang keluar di majalah atau surat khabar. Bukan sebab saya memilih untuk jadi eksklusif. “Tapi sebab saya memang tak ada bahan untuk diceritakan. Kalau boleh, saya lebih suka jika cerita mengenai saya keluar seiring dengan produk yang saya mahu tonjolkan. “Sebenarnya, kalau ada yang kata saya eksklusif, rasanya, ada lagi artis yang lebih eksklusif," katanya bersahaja. Cukuplah dua Perkahwinannya bersama suami tercinta, Alvin Tham Suffian sudah pun mencecah 12 tahun. Hasil perkahwinan, Amy dan Alvin Tham dikurniakan dua orang anak iaitu Adriana, 11, dan Adalia, 7 tahun. Memandangkan anak-anaknya sudah semakin membesar, Amy seperti artis lain yang telah berkeluarga, pastinya tidak dapat lari daripada usikan teman-teman media soal perancangan nak tambah anak. Cuma tergelak, kata Amy, dia percaya kehadiran Ardiana dan Adalia sudah memadai dalam hidupnya bersama suami. “Betul, saya tak ada perancangan nak tambah anak pun. Lelaki ke perempuan ke, saya rasa cukup-cukuplah dua orang ni. “Nak cari masa untuk dua orang anak ini pun kadang-kadang saya mengalami kesulitan, ini kan pula nak tambah lagi bilangan anak. “Tapi, apa pun, saya akan berusaha cari juga masa untuk mereka terutama kalau membabitkan aktiviti di sekolah atau acara-acara istimewa. “Tak apalah, biarlah saya fokus yang dua orang ini sahaja. Tapi kalau ada rezeki saya tak menolak. Alhamdullillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang bersama suami dan anak-anak, " katanya.

Populariti Sederhana Tidak Ganggu Amy Mastura

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Amy Mastura mengakui popularitinya sebagai artis masih berada pada tahap sederhana walaupun sudah 19 tahun berkecimpung dalam industri hiburan. Amy, 41, berkata, dia tiada masalah dengan situasi itu kerana baginya apa yang lebih penting dia mampu mengekalkan prestasi kerjanya sehingga pada tahap berkenaan. "Dari dulu lagi saya tidak pernah mengharapkan populariti kerana apa yang penting saya melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan. "Tambahan pula saya tidak pernah menyangka akan berada di tahap ini kerana dulu saya sasar untuk buat sebuah album sahaja," katanya selepas ditemui pada pelancaran produk Infinity Kose Prestigious di sini pada Isnin. Tambah Amy, dia juga sudah tidak perlu bersaing dengan sesiapa untuk mengejar populariti kerana ia bukan lagi menjadi keutamaannya. Dalam pada itu, Amy berkata dia bersyukur kerana sentiasa mendapat kepercayaan daripada pelbagai jenama antarabangsa yang sudi mengambilnya menjadi juru cakap produk masing-masing.
Amy berkata, kepercayaan yang diberikan itu digunakan dengan sebaik-baiknya agar jenama yang diwakilinya itu mendapat perhatian. "Saya selesa menjadi duta produk dan sentiasa terbuka dengan tawaran yang datang kerana itu bukti kepercayaan orang terhadap kita. "Bagaimanapun pada usia begini saya perlu memilih tawaran yang datang supaya sesuai dengan status saya sebagai isteri dan ibu," ujarnya. Mengulas pembaharuan kontraknya bersama Kose, Amy memberitahu kerjasama itu berterusan atas persefahaman mereka yang baik selama ini. "Produk ini juga sangat serasi dengan saya dan saya tiada masalah untuk meneruskan usaha sama bersama mereka. Dalam perkembangan lain, Amy berkata dia bakal muncul dengan single terbaru iaitu Itu Dulu ciptaan Panji.

si manis 41 - Amy Mastura

RUPA paras si genit, Amy Mastura tidak banyak beza berbanding dahulu. Raut wajahnya tetap nampak comel biarpun sudah 11 tahun bergelar ibu. Jika dihitung pada usia penglibatannya dalam dunia seni, wanita yang berjaya menghasilkan lapan buah album termasuklah judul Amy Mastura, Puteri, Bintang Hati, Akan Datang dan Happy sudah 19 tahun mengabdikan diri kepada dunia hiburan. Kehadiran artis pelapis tidak sedikit pun menenggelamkan namanya, bahkan jenama yang dicipta selepas memenangi pertandingan Asia Bagus pada 1993, itu kekal popular. Tidak hanya terkenal sebagai penyanyi, dia yang tampil dalam beberapa buah filem termasuklah Tragedi Oktober, Puteri Impian, Puteri Impian 2, Trauma dan Saya Tak Bodoh itu ada aura sendiri dalam dunia lakonan. Melengkapi usia 41 tahun pada tanggal 10 Mei lepas sebagai seorang penyanyi, pelakon dan pengacara, Amy tetap kelihatan lebih remaja berbanding usianya. Tidak mempunyai rahsia untuk kelihatan kekal muda, jelas Amy, dia hanya mengamalkan gaya hidup seperti biasa seperti orang lain. “Jangan keterlaluan ketika makan. Bagi saya, tua itu akan sampai dan tidak pernah takut untuk menjadi tua,” ujarnya.
KELUARGA BAHAGIA Kisah rumah tangga isteri Alvin Tham Sufian dan ibu kepada dua orang cahaya mata, Adriana, 11, dan Adalia, 7, itu tidak pernah dihambat cerita kontroversi. Mengaku bahawa rumah tangganya hanya sederhana, namun Amy berjaya mengekalkan keharmonian itu dengan alasan tersebut. “Nak kata rumah tangga saya terlalu bahagia itu tidaklah bahagia sangat. Apa yang boleh saya katakan rumah tangga kami sederhana. Tidak terlalu romantik dan juga tidak ada masalah besar. “Alhamdulillah, saya gembira melalui rumah tangga seperti kini kerana berjaya mengekalkannya hingga kini,” tutur anak bongsu daripada dua beradik itu.

Amy Mastura tiada hasrat bersara


TIDAK banyak aktiviti seni yang diusahakan oleh artis genit bernama Amy Mastura sejak kebelakangan ini.

Namun selepas menyelusuri dunia hiburan hampir 19 tahun, ada kelegaan yang dirasai oleh penyanyi dan pelakon berwajah keanak-anakan itu.

Malah bagi ibu kepada dua anak itu juga dia mengakui dia langsung tidak kisah sekiranya rezeki dalam dunia hiburan bukan lagi miliknya.

Bersyukur dengan pencapaiannya selama bergelar anak seni, Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 41, memberitahu bahawa menjalani rutin sebagai seorang ibu dan memberi lebih perhatian untuk membesarkan anak-anak merupakan keutamaan kepadanya ketika ini.

“Rasanya saya sudah cukup berpuas hati dan bersyukur dengan pencapaian saya selama ini.

“Mungkin saya kurang aktif di dalam dunia hiburan sekarang ini namun itu tidak bermakna saya akan melupakan terus minat dan bakat yang saya miliki ini,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak dengan produk kecantikan Kose, di Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mula dikenali selepas menjuarai pertandingan nyanyian Asia Bagus pada 1993, menurut Amy, pada awal pembabitan dalam dunia nyanyian, dia langsung tidak terfikir mengenai jaminan yang diberikan bidang tersebut kepada masa depannya.

Malah kata Amy, kerana itu juga dia pernah merancang untuk muncul dengan sebuah album sahaja. Namun melihat perjalanan kerjaya seninya kini, dia percaya ia sesuatu yang melebihi jangkaan.

“Pada mulanya saya hanya mahu muncul dengan sebuah album sahaja. Tujuannya adalah untuk mendengar dan memastikan saya ini benar-benar berbakat.

“Dan setelah hampir 19 tahun dalam dunia ini, saya sangat bersyukur dengan apa yang telah dicapai. Malah bukanlah sesuatu yang tidak merunsingkan bagi saya untuk mengejar populariti lagi kerana yang saya capai kini melebihi apa yang pernah diimpi," katanya tersenyum.

Menafikan dia mahu berundur daripada dunia hiburan demi keluarga, Amy memberitahu, dia sebenarnya hanya mengurangkan aktiviti seni demi memberi tumpuan kepada suami dan anak-anak.

“Suami saya langsung tidak membantah keputusan untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon dan penyanyi.

“Bagaimanapun tanggungjawab sebagai seorang ibu banyak membataskan waktu saya di dalam industri dan kini saya lebih suka untuk berlakon di dalam drama kerana jangka waktunya yang lebih pendek berbanding filem,” katanya.

Amy sebelum ini pernah membintangi 12 filem antaranya Trauma (2004), Bintang Hati (2004), Hooperz (2010), Aku Tak Bodoh (2010), dan Syhh.. Dia Datang (2011).

Mendirikan rumah tangga dengan Alvin Tham Suffian pada tahun 2000, pasangan itu dikurniakan dua puteri Adriana, 11, dan Adalia, 7.

Mengulas mengenai perjalanan kariernya sebagai penyanyi pula, kata Amy yang kali terakhir muncul dengan lagu Happy memberitahu bahawa dia kini lebih cerewet dalam memilih lagu.

“Ada perancangan untuk merakamkan lagu baru. namun biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan. Bukan apa saya mahu memilih lagu yang sesuai dengan saya kini, bak kata orang ukur baju biar di badan sendiri,” katanya.

Amy pernah mengeluarkan tujuh album sepanjang pembabitannya di dalam dunia seni suara iaitu Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005) dan Happy (2009).

Amy Mastura Tidak Dimakan Usia


SIKAP kesederhanaan yang dititik beratkan oleh penyanyi dan pelakon Amy Mastura, 40, begitu menebal dalam dirinya.

Mungkin itulah rahsia dia bertahan lama dalam industri seni ini bermula 17 tahun lalu.

Raut wajah yang sentiasa tersenyum dan mudah didekati itu membuatkan ramai yang menyenangi penampilan artis kecil molek ini.

Ditambah pula kehebatannya berlakon dan menyanyi dengan lagi-lagu catchy seperti Sha Na Na Na, Bintang Hati dan Akan Datang.

Bukan itu sahaja, namanya juga begitu popular apabila kerap kali dilantik sebagai duta untuk jenama produk terkenal seperti Quaker Oat, Life Buoy, Omega dan Kose.

Amy yang telah mendirikan rumah tangga dengan Alvin Tham Suffian dan mempunyai dua cahaya mata iaitu Adriana dan Adalia juga berjaya mengekalkan imej bersih dan kalis daripada sebarang gosip murahan.

Jarang makan nasi

Biarpun sudah berusia 40 tahun, wajahnya jelas tidak nampak tua. Kata Amy, dia kurang mengamalkan apa-apa petua tradisional untuk kekal muda.

Sebaliknya wanita ini lebih gemar bersikap sederhana dalam menjaga kecantikannya termasuk dari segi pemakanan dan kesihatan badan.

“Saya sudah berusia, jadi perlu sederhana dalam menjaga pemakanan. Saya perlu seimbangkan antara pengambilan nasi dan makanan lain.

“Selain itu, jika saya makan daging kambing, saya tidak boleh mengamalkannya setiap hari.

“Saya agak pelik iaitu tidak suka makan ulam walaupun saya mengetahui kebaikannya. Oleh itu, saya melakukan satu cara yang pelik dengan membeli ulam-ulaman dan menggaulkannya dengan nasi seperti hidangan nasi kerabu.

“Sebenarnya saya jarang makan nasi setelah melahirkan anak sulung, Adriana iaitu sejak 10 tahun lalu dan menggantikan makanan tersebut dengan roti dan biskut,” kata Amy kepada OopStarz!.

Begitu juga dengan rutin kecantikannya setiap hari, Amy akan mengelak daripada mengenakan mekap tebal kerana kariernya telah mendedahkan dirinya kepada solekan.

“Saya akan membasuh muka selepas bangun dan sebelum tidur menggunakan pencuci muka sehingga muka kelihatan betul-betul bersih.

“Kalau dulu, saya biasa fikir nak cuci muka sebelum tidur kerana tidak mahu kesan mekap mengotorkan cadar dan sarung bantal tetapi sebenarnya ia boleh mengelak daripada liang roma kulit terbuka.

“Saya menggunakan rangkaian produk penjagaan kulit Infinity dari Kose untuk membuang kotoran pada muka dan kosmetik Esprique Precious yang juga dari Kose.

“Alhamdulillah, kulit muka saya tidak mengalami sebarang masalah kronik dan jika ada sedikit cela pun, ia tidaklah terlalu cepat merebak,” kata bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini.

Ais hilangkan jerawat

Berkongsi sedikit tentang pengalaman Amy menggunakan produk Kose, dia akui serasi setelah beberapa lama mencuba produk tersebut.

“Saya menyukai produk Kose bukan sahaja disebabkan ia sesuai dengan kulit, malah harganya juga tidak terlalu mahal.

“Malah saya juga boleh berjimat menggunakan produk ini seperti mengamalkan pencuci muka hanya di hujung jari kelingking.

“Saya turut percaya dengan bahan-bahan yang digunakan dalam produk ini iaitu bahan semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan,” ujarnya.

Petua menarik lain yang turut dikongsi oleh Amy ialah meletak ais untuk menghilangkan jerawat pada muka.

Menyentuh tentang senaman dan penjagaan badan, Amy menggunakan mesin untuk bersenam.Katanya, dia tidak boleh lari daripada mementingkan senaman sama juga menjaga kebersihan.

Beralih kepada fesyen, Amy akui lebih gemar menggayakan stail remaja agar dirinya tidak kelihatan terlalu tua. Dia lebih selesa menyarungkan baju T dan seluar jean.

Sebelum mengakhiri perbualan, Amy sempat berpesan agar selalu bersederhana dan jangan keterlaluan dalam apa jua perkara.

Amy Mastura tidak popular lagi?


AMY Mastura mula dikenali ramai dalam bidang seni selepas menjuarai pertandingan nyanyian Asia Bagus yang mencungkil bakat-bakat penyanyi Asia yang diadakan di Jepun pada tahun 1994.

Biarpun lebih awal menceburi bidang nyanyian dengan tampil bersama album sulungnya berjudul Amy Mastura pada 1994, tetapi hari ini kariernya lebih menyerlah sebagai pelakon.

Bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini misalnya, lebih banyak berlakon filem iaitu sebanyak 12 buah filem berbanding tujuh buah album sepanjang karier seninya.

Mula berlakon filem menerusi judul Impian pada 1996, Amy dilihat lebih menyerlah sebagai pelakon filem berbanding medium-medium lain termasuklah drama mahupun telemovie.

Bagaimanapun, kebelakangan ini populariti isteri Alvin Tham Suffian itu dalam bidang perfileman dikatakan tidak segah sewaktu zaman kemuncaknya pada tahun 1990-an.

Apatah lagi, selepas mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dua anak, Adriana, 10, dan Adalia, 6, Amy kini lebih banyak mendapat tawaran berlakon drama televisyen (TV) berbanding filem.

Menurut pelakon dan penyanyi berusia 40 tahun ini, dia tidak berasa namanya merudum sebaliknya, terus menerima tawaran berlakon filem mahupun drama TV dan telemovie.

"Saya masih berlakon sama ada filem atau drama TV. Bezanya dulu saya lebih banyak berlakon filem tetapi kini saya meluaskan lagi ke bidang lakonan drama TV dan telemovie yang baru bagi saya.

"Selain itu, dulu semasa aktif berlakon filem, watak-watak yang saya lakonkan lebih kepada dunia remaja yang glamor tetapi sekarang ia bersesuaian dengan usia dan status saya.

"Saya masih lagi mendapat tawaran berlakon, contohnya filem Hooperz, Aku Tak Bodoh dan Damping Malam yang ditayangkan tahun lalu," katanya kepada Hits ketika ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan di sebuah restoran terkemuka itu, Amy memperkenalkan telemovie terbarunya berjudul Penanggal yang telah pun ditayangkan di Astro Ria pukul 9 malam semalam.

Hadir sama pada majlis yang diadakan santai untuk para wartawan hiburan itu ialah pelakon Penanggal yang lalin iaitu Zizan Nin, Sharifah Shahora dan Sharnaaz Ahmad.

Menerusi telemovie seram terbitan Boxlite Film Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Michael Ang itu, Amy melakonkan watak Suri yang menjadi hantu penanggal semata-mata untuk menjadi cantik.

Jelas artis yang berasal dari Ipoh, Perak ini, dia juga tidak berkecil hati apabila popularitinya dikatakan merosot daripada heroin pelakon filem popular kepada pelakon drama TV.

"Saya tidak kecil hati kalau ada orang yang beranggapan populariti saya sudah merosot, sebaliknya saya berasa seronok kerana dapat mencuba bidang lakonan baru seperti drama TV dan telemovie.

"Ini kerana, melalui dua medium lakonan itu saya berpeluang melakonkan lebih banyak watak dan masa penggambarannya juga tidak sepanjang berada di lokasi filem," ujar pemilik nama penuh Amy Mastura Suhaimi ini lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Jawapan Kekasih itu begitu teruja dan sukar melupakan pengalamannya berlakon dalam Penanggal iaitu telemovie seram pertama lakonannya.

Jelasnya, menerusi telemovie yang menjalani penggambarannya di Banting, Selangor itu dia melakonkan watak hantu penanggal yang belum pernah dilakonkannya sebelum ini.

"Banyak pengalaman baru yang saya lalui sewaktu melakonkan watak Penanggal seperti muka saya dilumurkan dengan madu lebah supaya ia kelihatan seperti darah manusia.

"Sementara jeli pula digunakan bagi menunjukkan jantung manusia dan madu juga dicampurkan dengan kopi Nescafe supaya nampak seperti organ manusia yang pekat kehitam-hitaman.

"Dua bahan itu digunakan supaya saya tidak berasa jijik dan lebih selesa kerana pada masa sama saya boleh memakannya kalau termasuk ke dalam mulut," ceritanya sambil ketawa.

Sepanjang bergelar penyanyi Amy telah menghasilkan tujuh album berjudul Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005) dan Happy (2009).

Sudah sebati

Sementara 12 filem lakonannya pula berjudul Impian (1996), Tragedi Oktober (1996), Puteri Impian (1997), Puteri Impian 2 (1998), Kuala Lumpur Universiti (1999) dan Senario Lagi (2000).

Filem-filem lain lakonannya bertajuk Trauma (2004), Bintang Hati (2004), Hooperz (2010), Aku Tak Bodoh (2010), Damping Malam (2010) dan Syhh.. Dia Datang (2011).

Sewaktu ditanya tentang bidang nyanyian, Amy berkata dia masih menyanyi dan menerima undangan mengadakan persembahan biarpun sudah dua tahun tidak merakamkan album baru.

"Saya bermula dalam bidang nyanyian dan lebih cenderung sebagai penyanyi. Jadi bidang nyanyian sudah sebati dengan karier seni saya selain bidang lakonan yang menyusul kemudiannya," ujarnya.

Sementara itu, pengarah Penanggal, Michael Ang berkata, dia menaruh kepercayaan terhadap Amy bukan sahaja kerana bakat lakonannya tetapi komitmen pelakon terbabit.

Katanya, Amy bukan sahaja berdisiplin sewaktu berada di lokasi penggambaran Penanggal tetapi hubungannya dengan para pelakon lain juga akrab dan memudahkan pembikinan telemovie itu.

"Secara keseluruhan sepanjang sembilan hari penggambaran telemovie itu Amy memberi komitmen yang baik, apatah lagi kebanyakkan penggambaran diadakan pada waktu malam.

"Amy bukan sahaja sanggup melakonkan adegan yang memerlukan mukanya ditempel dengan madu dan Nescafe tetapi juga sanggup berendam lama dalam kolam sewaktu di lokasi tersebut.

"Saya dapati Amy juga seorang yang boleh melakonkan sesuatu adegan itu secara spontan selepas saya menyebut 'action' biarpun pada mulanya dia seperti kurang yakin," katanya.

Penanggal mengisahkan tentang Razak (lakonan Zizan Nin, seorang lelaki bisu yang mati pucuk dan telah 10 tahun meninggalkan kampungnya kerana merajuk dengan cemuhan masyarakat di situ.

Tidak lama selepas itu, Razak kembali ke kampungnya bersama seorang isteri yang dikenali sebagai Suri di mana sekali lagi kepulangannya mendapat cemuhan orang-orang kampung.

Cemuhan itu timbul kerana ramai yang tidak percaya lelaki mati pucuk seperti Razak boleh mendapat isteri yang secantik Suri di mana ia turut dicemburi ramai lelaki di kampung itu.

Gila-gila Amy


MASA pantas berubah. Diam tidak diam, sudah 17 tahun Amy Mastura Suhaimi, 39, membanting tulang berlawan setiap sisi permainan dalam gelanggang seni. Biarpun telah lama berjalan, dia masih beraksi sebagai wanita ceria, peramah dan sarat sikap merendah diri.

Populariti juara pertandingan Asia Bagus 1993 ini tidak dinafikan masih kekal dalam liga tersendiri.

Sepotong nasihat Amy kepada bakat-bakat muda: "Apa yang diperlukan untuk bergelar penghibur adalah niat yang perlu diiringi dengan kerja ikhlas."

Sejajar pertambahan umur dari semasa ke semasa, ibu kepada Adriana, 8, dan Adalia, 5, kini lebih banyak ditawarkan peluang memegang watak ibu. Sudah 100 peratus likat dengan karakter tersebut, Amy sedar ia menjadi spektrum lakonan yang harus dilewati setiap pelakon.

Selepas Hoopers, wajah Amy sekali lagi menghiasi layar perak menerusi filem Aku Tak Bodoh garapan Boris Boo pada 2 Disember ini. Menerajui watak ibu, dia bergandingan bersama Riezman Khuzaimi, Namron, Adibah Noor, Ariel Zafrel, Rohaizat Hassan dan Wan Noor Aizat.

16 tahun yang membahagiakan -Amy Mastura


SAAT diajukan pertanyaan tentang resipi kejayaannya selama 16 tahun dalam dunia seni, wanita genit bernama Amy Mastura Suhaimi ini, dia hanya mampu ketawa kecil.

Kata Amy Mastura atau lebih mesra disapa sebagai Amy, sukar sekali untuk dia memberikan jawapannya.

Namun, sebagai anak seni yang mula enempa nama sebaik sahaja bergelar juara Asia Bagus 1993 itu, dia sendiri tidak pernah menyangka dia mampu bertahan begitu lama di dalam industri.

Di kala ramai artis seusianya memilih untuk fokus kepada keluarga mahupun mengundurkan diri daripada dunia seni, Amy masih lagi utuh dan kekal berdiri di pentas seni.

“Saya sendiri tidak percaya yang sudah 16 tahun saya dalam bidang ini. Apa yang saya miliki hari ini saya berasa puas dan bersyukur. Saya menganggap semuanya sebagai rezeki daripada Allah SWT.

“Jujur saya katakan, tidak pernah terbit sedikit pun rasa bosan dalam diri saya sepanjang saya bergelar anak seni.

“Malah, setiap detik yang saya lalui dalam hidup saya semuanya menggembirakan dan membahagiakan diri saya,” luahnya penuh jujur dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kalau diperhatikan kedudukan Amy di dalam industri, graf posisinya tidak pernah mencanak naik mahupun merudum jatuh. Popularitinya kekal statik dari hari pertama dia melibatkan diri dalam bidang seni sehinggalah ke hari ini.

Barangkali kejayaan Amy mengukuhkan kedudukannya di persada seni tempatan ada kaitannya dengan juga dengan personalitinya yang ramah dan mudah mesra itu.

Jauh sekali sepanjang dia menjadi artis, nama Amy dipalit dengan sebarang cerita panas dan gosip liar yang mampu meranapkan nama baiknya itu.

“Dalam soal itu, saya memang benar-benar bersyukur kerana sepanjang hidup saya, belum pernah lagi saya dihimpit kontroversi mahupun cerita kurang enak sehingga boleh membuatkan saya malu untuk keluar rumah,” katanya berseloroh sambil diperhatikan sepupu merangkap pengurus peribadinya, Nana Ahmad.

Kerana itu jugalah, rezeki Amy memang cukup murah apabila berterusan menjadi pilihan produk dan syarikat untuk menjadi duta serta jurucakap mereka. Antaranya Quaker, Lifebouy, Omega dan terbaru, alat senaman berjenama Takasima.

Tidak takut tua-Amy Mastura


Amy Mastura yakin rezeki dalam bidang seni tetap ada

KETIKA usianya sudah mencecah 38 tahun, Amy Mastura tetap yakin rezekinya dalam bidang seni tetap ada. Memang betul sebagai seorang artis, apabila tiba pada usia seperti itu, peluangnya untuk berlakon, menyanyi atau terbabit sebagai pengacara mungkin sukar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan ramai bakat baru yang silih berganti.


“Tapi rezeki ada di mana-mana. Sesuatu rezeki yang diterima, akan saya lakukan sepenuh hati. Insya-Allah, pada masa sama saya berharap rezeki lain akan datang menyusul.


“Saya tak risau orang nak kata saya sudah senja. Rezeki adalah kuasa Tuhan. Kita hanya perlu berusaha selagi terdaya,” katanya dalam sidang media yang mengumumkan dirinya sebagai duta kempen 1Malaysia, Jom Lebih Sihat yang dianjurkan Unilever Malaysia dan Lifebuoy.

Selain Amy, Unilever Malaysia juga memilih bekas pelumba basikal negara, M Kumaresan dan selebriti, Loo Aye Keng untuk sama menjadi duta 1 Malaysia, Jom Lebih Sihat.

Amy, yang kali terakhir muncul dengan album ketujuh berjudul Happy pada Mei tahun lalu, berkata dia tidak berasa ralat kalau namanya sudah mula dilupakan sebagai penyanyi.

Sehubungan itu, katanya, setiap peluang yang ada di depan mata akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Saya tak kisah apabila orang tak ingat saya sebagai penyanyi. Amy Mastura tetap orang yang sama. Saya tak rugi apa-apa. Saya masih menerima undangan menyanyi.

“Selagi ada tawaran depan mata, saya bereskan saja. Kalau tanya saya apa perancangan lima tahun lagi, saya sendiri tak mampu memberi jawapan pasti. Saya hanya melalui kehidupan ini mengikut alirannya saja,” katanya yang baru saja merakamkan lagu lagu Better World Song bersama Nora dan seorang penaung sebuah badan bukan kerajaan untuk projek kemasyarakatan.


Isteri kepada Alvin Tham Sufian ini juga bukan asing dalam dunia lakonan. Amy pernah membintangi filem Puteri Impian, Puteri Impian 2, Senario Lagi, Trauma dan Bintang Hati (2004).


Filem terbarunya berjudul Damping Malam arahan Ahmad Idham. Menariknya, dalam filem itu dia yang memegang watak Ku Khalira bergandingan sekali lagi dengan Idham yang mana kali terakhir mereka berlakon bersama menerusi filem Kuala Lumpur Universiti (KLU).


“Sudah sudah 10 tahun kami tak bertemu dalam mana-mana karya. Tapi akhirnya kami bertemu kembali dalam filem Damping Malam. Dalam KLU pun kami tak banyak bertembung atau beraksi dalam satu babak.


“Damping Malam juga menjadi filem seram pertama saya. Mujur saya tak lemah semangat orangnya. Filem ini tidak ada hantu, sebaliknya hanya istilah pendamping yang meminta sesuatu habuan seperti yang dijanjikan. Tawaran filem ini saya terima pada Februari,” katanya yang pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM14) pada 1999 menerusi Puteri Impian.


Selain filem, ibu kepada dua orang anak ini juga giat menjalani latihan teater muzikal Gamat 2.


“Untuk teater Gamat kali ini saya ditemani Ziana Zain dan Misha Omar. Seperti mana saya seronok berlakon untuk kali kedua dalam teater Gamat ini, saya juga berharap Ziana dan Misha akan merasai pengalaman yang sama,” katanya yang memegang watak Ibu Gamat.

Sementara itu, bercakap mengenai pemilihannya sebagai Duta 1 Malaysia, Jom Lebih Sihat, Amy berkata biarpun menampilkan tiga kaum berbeza tetapi semuanya mempunyai matlamat yang sama iaitu mendidik rakyat negara ini supaya tidak mengabaikan kesihatan selain boleh bekerjasama membantu golongan yang memerlukan bantuan.


“Tak kira bangsa atau agama, kita boleh sama-sama membantu mereka yang kurang berupaya. Kalau tak dapat tolong daripada segi kewangan, kita boleh bantu meningkatkan kepentingan kesihatan. Kalau sihat, tak perlu laburkan duit untuk ke pusat kesihatan.


“Kesihatan ini semuanya boleh bermula dari rumah. Saya, Kumaresan dan Loo Aye Keng masing-masing sudah berkeluarga dan kami tahu perihal kebersihan dan kesihatan ini wajar diterapkan kepada seisi keluarga.


“Kempen ini juga sebagai satu cara berbakti. Sambil membeli produk Lifebuoy, secara automatik kita menyumbangkan sebuku sabun untuk masyarakat kurang mampu di Malaysia. Kempen ini bermula dari awal Mac dan berlanjutan hingga Mei depan,” katanya.


Pengarah Barangan Isi Rumah dan Penjagaan Diri, Unilever(M) Holdongs Sdn Bhd, Ainul Yaqin menyifatkan pemilihan Amy Mastura, M Kumaresan dan Loo Aye Keng amat tepat kerana mereka memang dikenali dalam bidang masing-masing.


“Mereka ada peminat tersendiri. Kami yakin pemilihan mereka mampu merealisasikan apa yang kami impikan.


“Kempen ini bukan sekadar mengagihkan sabun kepada mereka yang kurang berkemampuan tetapi ia lebih kepada proses mendidik masyarakat dalam soal kesihatan. Sabun ini akan diagihkan pihak kami menerusi rakan kongsi yang akan bertanggung jawab memastikan ia sampai kepada yang memerlukan,” kata Ainul.

Amy Mastura seronok anak minat berlakon


Penyanyi bersama anak berusia lima tahun jayakan teater muzikal, Gamat.

BERSEDERHANA - itu yang menjadi pegangan ibu dua cahaya mata, Amy Mastura Suhaimi dalam setiap apa yang dilakukannya.

Amy, 38, bersyukur dalam kesederhanaan Tuhan sentiasa melimpahkan rahmat untuk dirinya meneruskan langkah dalam dunia seni sekali pun dalam perjalanan itu, dia turut dilambung dugaan.

Tidak pernah dia meletakkan harapan tinggi untuk terus bertahan selama 16 tahun sebagai artis kerana pada permulaan karier, Amy cuma berniat merakam satu album selepas berhenti menjadi pramugari.

Sangkakan cukup satu album sebagai kenangan... tetapi takdir Tuhan menentukan sebaliknya. Satu persatu pintu rezeki dibuka, mungkin itu rahmat-Nya kerana setiap pekerjaan dilakukan berserta keikhlasan, kata wanita peramah kelahiran Ipoh, Perak itu.

Saat negara berdepan kemelut ekonomi, karier seni Amy tidak pernah terhenti. Sebaliknya ibu kepada Adriana, 8, dan Adalia, 5, masih aktif meneruskan aktiviti seninya yang padat dengan pelbagai agenda. Barangkali dia bernasib baik kerana tidak terikat dengan satu cabang seni. Disebabkan suka mencuba, bakat seni Amy turut disalurkan dengan menyertai dunia pengacaraan dan lakonan.

Penyanyi yang muncul dengan album Happy pada 5 Mei lalu baru menyempurnakan penggambaran drama siaran RTM, Suratan Takdir selain sejak awal Ramadan menjayakan latihan pementasan muzikal kanak-kanak, Gamat. Bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 4 hingga 12 Oktober depan, Amy berkata, dia teruja untuk menyertainya selepas kali terakhir membintangi pementasan kanak-kanak, Siti Di Alam Fantasi.

Apa yang menyeronokkan Amy, anak keduanya, Adalia turut sama berlakon membuatkan dia selesa setiap kali sesi latihan.

Adalia membawa watak landak laut dalam pementasan arahan Zaifri Husin yang turut dibintangi Adibah Noor sebagai Ikan Pari, Zuhairi Ibrahim (Bapa Gamat), Datin Natasha Hudson (Ikan Buntal) dan Avaa Vanja (Ketua Buntal).

Selepas beberapa kali mengikut saya ke sesi latihan, Adalia ditanya tidakkah dia berminat untuk berlakon? Dia nampaknya mahu mencuba.

Saya tidak menghalang kerana sebelum ini memang sudah nampak minatnya untuk mencuba cuma mungkin kesempatan belum tiba. Asalkan dia melakukannya dengan penuh kesungguhan, saya akan sentiasa memberi dorongan. Seronok juga kerana sekurang-kurangnya saya mempunyai teman ketika latihan, katanya.

Berbeza anak sulungnya, Adriana yang langsung tidak menunjukkan kecenderungan meminati bidang seni, Adalia pula mudah menerima tunjuk ajar sepanjang latihan. Biarpun masih baru dengan cabaran yang diterima, anak kecilnya itu tidak pernah membantah.

Dia menurut saja kata tenaga pengajar, malah sentiasa bersemangat untuk ke sesi latihan kerana mahu bersama kawan-kawan barunya, kata Amy mengakui gembira kerana berpeluang untuk melalui kembali suasana sibuk dalam sesi latihan, selain melahirkan perasaan senang bekerjasama dengan kanak-kanak.

Keterujaan kanak-kanak untuk memberikan yang terbaik membuatkan mereka komited sepanjang menjalani latihan, malah tidak malu mencuba sehingga pengarah berpuas hati.

Dengan membawa watak Ibu Gamat, isteri kepada Alvin Tham Sufian yang dinikahi sejak sembilan tahun lalu ini tetap mengutamakan kepentingan keluarga. Tawaran yang memerlukan dia lama berjauhan dengan keluarga terpaksa diketepikan kerana Amy tidak mahu berpisah dengan anak-anaknya.

Mereka masih mentah membuatkan saya belum bersedia untuk meninggalkan anak-anak lama. Tengok dalam setahun dua lagi apabila mereka sudah boleh berdikari, mungkin ketika itu saya bersedia menerima tawaran di luar daerah, katanya sambil menegaskan dia tidak pernah terfikir untuk mengejar nama dan mempertahankan populariti kerana cuma mencari keselesaan dan kegembiraan dalam kerjayanya.

Saya percaya rezeki setiap manusia sudah ditentukan Tuhan, justeru saya melalui hidup seadanya. Saya tidak menyambar segala tawaran di depan mata hanya kerana bimbang nama akan tenggelam. Barangkali cara saya itu memberi keberkatan dalam segala urusan kerja lantas memudahkan saya untuk terus bertahan selama 16 tahun dalam bidang seni, katanya.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, seperti tahun terdahulu mereka sekeluarga akan pulang ke Ipoh untuk bersama sanak saudara di sana.

Amy bertuah kerana mereka tidak perlu melalui episod pertengkaran seperti yang dialami sesetengah pasangan setiap kali menjelang 1 Syawal. Destinasi sama membuatkan Amy dan Alvin selesa membahagikan waktu bersama keluarga masing-masing sempena lebaran ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails