Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Amy Mastura seronok anak minat berlakon


Penyanyi bersama anak berusia lima tahun jayakan teater muzikal, Gamat.

BERSEDERHANA - itu yang menjadi pegangan ibu dua cahaya mata, Amy Mastura Suhaimi dalam setiap apa yang dilakukannya.

Amy, 38, bersyukur dalam kesederhanaan Tuhan sentiasa melimpahkan rahmat untuk dirinya meneruskan langkah dalam dunia seni sekali pun dalam perjalanan itu, dia turut dilambung dugaan.

Tidak pernah dia meletakkan harapan tinggi untuk terus bertahan selama 16 tahun sebagai artis kerana pada permulaan karier, Amy cuma berniat merakam satu album selepas berhenti menjadi pramugari.

Sangkakan cukup satu album sebagai kenangan... tetapi takdir Tuhan menentukan sebaliknya. Satu persatu pintu rezeki dibuka, mungkin itu rahmat-Nya kerana setiap pekerjaan dilakukan berserta keikhlasan, kata wanita peramah kelahiran Ipoh, Perak itu.

Saat negara berdepan kemelut ekonomi, karier seni Amy tidak pernah terhenti. Sebaliknya ibu kepada Adriana, 8, dan Adalia, 5, masih aktif meneruskan aktiviti seninya yang padat dengan pelbagai agenda. Barangkali dia bernasib baik kerana tidak terikat dengan satu cabang seni. Disebabkan suka mencuba, bakat seni Amy turut disalurkan dengan menyertai dunia pengacaraan dan lakonan.

Penyanyi yang muncul dengan album Happy pada 5 Mei lalu baru menyempurnakan penggambaran drama siaran RTM, Suratan Takdir selain sejak awal Ramadan menjayakan latihan pementasan muzikal kanak-kanak, Gamat. Bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 4 hingga 12 Oktober depan, Amy berkata, dia teruja untuk menyertainya selepas kali terakhir membintangi pementasan kanak-kanak, Siti Di Alam Fantasi.

Apa yang menyeronokkan Amy, anak keduanya, Adalia turut sama berlakon membuatkan dia selesa setiap kali sesi latihan.

Adalia membawa watak landak laut dalam pementasan arahan Zaifri Husin yang turut dibintangi Adibah Noor sebagai Ikan Pari, Zuhairi Ibrahim (Bapa Gamat), Datin Natasha Hudson (Ikan Buntal) dan Avaa Vanja (Ketua Buntal).

Selepas beberapa kali mengikut saya ke sesi latihan, Adalia ditanya tidakkah dia berminat untuk berlakon? Dia nampaknya mahu mencuba.

Saya tidak menghalang kerana sebelum ini memang sudah nampak minatnya untuk mencuba cuma mungkin kesempatan belum tiba. Asalkan dia melakukannya dengan penuh kesungguhan, saya akan sentiasa memberi dorongan. Seronok juga kerana sekurang-kurangnya saya mempunyai teman ketika latihan, katanya.

Berbeza anak sulungnya, Adriana yang langsung tidak menunjukkan kecenderungan meminati bidang seni, Adalia pula mudah menerima tunjuk ajar sepanjang latihan. Biarpun masih baru dengan cabaran yang diterima, anak kecilnya itu tidak pernah membantah.

Dia menurut saja kata tenaga pengajar, malah sentiasa bersemangat untuk ke sesi latihan kerana mahu bersama kawan-kawan barunya, kata Amy mengakui gembira kerana berpeluang untuk melalui kembali suasana sibuk dalam sesi latihan, selain melahirkan perasaan senang bekerjasama dengan kanak-kanak.

Keterujaan kanak-kanak untuk memberikan yang terbaik membuatkan mereka komited sepanjang menjalani latihan, malah tidak malu mencuba sehingga pengarah berpuas hati.

Dengan membawa watak Ibu Gamat, isteri kepada Alvin Tham Sufian yang dinikahi sejak sembilan tahun lalu ini tetap mengutamakan kepentingan keluarga. Tawaran yang memerlukan dia lama berjauhan dengan keluarga terpaksa diketepikan kerana Amy tidak mahu berpisah dengan anak-anaknya.

Mereka masih mentah membuatkan saya belum bersedia untuk meninggalkan anak-anak lama. Tengok dalam setahun dua lagi apabila mereka sudah boleh berdikari, mungkin ketika itu saya bersedia menerima tawaran di luar daerah, katanya sambil menegaskan dia tidak pernah terfikir untuk mengejar nama dan mempertahankan populariti kerana cuma mencari keselesaan dan kegembiraan dalam kerjayanya.

Saya percaya rezeki setiap manusia sudah ditentukan Tuhan, justeru saya melalui hidup seadanya. Saya tidak menyambar segala tawaran di depan mata hanya kerana bimbang nama akan tenggelam. Barangkali cara saya itu memberi keberkatan dalam segala urusan kerja lantas memudahkan saya untuk terus bertahan selama 16 tahun dalam bidang seni, katanya.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, seperti tahun terdahulu mereka sekeluarga akan pulang ke Ipoh untuk bersama sanak saudara di sana.

Amy bertuah kerana mereka tidak perlu melalui episod pertengkaran seperti yang dialami sesetengah pasangan setiap kali menjelang 1 Syawal. Destinasi sama membuatkan Amy dan Alvin selesa membahagikan waktu bersama keluarga masing-masing sempena lebaran ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails