Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cukup-cukuplah tu - Amy Mastura

CUBA juga mencari kelainan dan keistimewaan penyanyi bernama Amy Mastura ini tanpa mahu melihat pada faktor usianya. Ternyata, usaha itu cuma menemui jalan buntu sahaja. Masakan tidak, Amy sejak dari dulu memang terkenal dengan ciri fizikalnya yang sentiasa nampak muda. Walhal, usianya dah pun mencecah 41 tahun. Namun, disebabkan tubuhnya kecil molek, dia beruntung kerana seringkali kelihatan awet muda! Mungkin benarlah kata orang, kalau nak nampak sentiasa muda, kita kenalah selalu tersenyum dan ceria. Itulah petua yang diamalkan oleh Amy selama ini yang ternyata menjadi. Bercakap soal untung, pastinya ramai yang sedar bahawa kewujudan Amy sebagai anak seni bukan sahaja memfokus pada bidang nyanyian dan lakonan semata. Dia juga dikenali sebagai duta produk dan yang terkini bersama rangkaian produk jenama dari Jepun, Kose. Merupakan tahun kedua bersama Kose, Amy dilihat seakan selesa cuma mahu dikenali sebagai duta produk. Lalu timbullah pelbagai persoalan bahawa Amy mungkin sudah tidak lagi berminat untuk menoleh kepada bidang asalnya iaitu bidang nyanyian. Benarkah begitu? Menafikan hal tersebut, kata Amy, tidak sedikit pun di hatinya mahu melupakan terus bidang nyanyian sementelah permulaannya melangkah dalam dunia seni sebagai penyanyi. “Saya sebenarnya tak rancang pun perjalanan seni saya dan saya serahkan semuanya pada rezeki mana yang datang dulu. “Sewaktu saya masuk dalam industri ini dulu pun, cita-cita saya cuma mahu ada satu album. Saya tak fikir pun apa yang saya nak buat selepas itu. “Lakonan juga begitu. Saya akan ambil mana-mana yang datang dulu ikut kesesuaian watak. Biasanya saya dapat watak komedi. Mungkin juga kerana orang melihat saya sesuai dengan watak begitu, " katanya. Bagi membuktikan bahawa dia tidak mahu terus tenggelam dalam dunia seni suara, kata Amy, dia juga bakal lahir dengan single baru berjudul Itu Dulu hasil ciptaan komposer seberang, Panji. “Dua tahun saya ambil masa untuk hasilkan single selepas Happy. Bukan saya sengaja, tapi jujurnya saya memang tak sedar masa berlalu begitu pantas. “Bagi mengubat rindu peminat, insya-Allah, saya akan muncul dengan album kompilasi Itu Dulu diselitkan sebagai lagu baru. “Sebanyak 20 buah lagu akan dimuatkan dalam album kompilasi itu nanti dan ia akan dipasarkan dalam masa terdekat, " kata duta jam tangan Omega dan produk Takasima ini lagi. Nafi eksklusif Amat jarang melihat kelibat Amy di acara-acara besar. Entah kenapa, disebabkan itu, maka timbul pula spekulasi bahawa Amy sengaja mahu menjadikan dirinya eksklusif di mata umum. Bertanyakan mengenai hal ini, tanpa prejudis, Amy tenang mengulas. “Kalau tak nampak saya di mana-mana acara besar, itu sama ada saya tak dijemput atau memang saya sangat sibuk. “Mungkin juga ada beberapa acara yang saya tak dapat nak pergi kerana bertindan dengan acara lain atau mungkin juga saya bersama keluarga. “Tapi saya tolak andaian bahawa ia terjadi kerana saya rasa saya ni eksklusif. Tidak, saya tak rasa saya eksklusif. “Sama juga kalau saya jarang keluar di majalah atau surat khabar. Bukan sebab saya memilih untuk jadi eksklusif. “Tapi sebab saya memang tak ada bahan untuk diceritakan. Kalau boleh, saya lebih suka jika cerita mengenai saya keluar seiring dengan produk yang saya mahu tonjolkan. “Sebenarnya, kalau ada yang kata saya eksklusif, rasanya, ada lagi artis yang lebih eksklusif," katanya bersahaja. Cukuplah dua Perkahwinannya bersama suami tercinta, Alvin Tham Suffian sudah pun mencecah 12 tahun. Hasil perkahwinan, Amy dan Alvin Tham dikurniakan dua orang anak iaitu Adriana, 11, dan Adalia, 7 tahun. Memandangkan anak-anaknya sudah semakin membesar, Amy seperti artis lain yang telah berkeluarga, pastinya tidak dapat lari daripada usikan teman-teman media soal perancangan nak tambah anak. Cuma tergelak, kata Amy, dia percaya kehadiran Ardiana dan Adalia sudah memadai dalam hidupnya bersama suami. “Betul, saya tak ada perancangan nak tambah anak pun. Lelaki ke perempuan ke, saya rasa cukup-cukuplah dua orang ni. “Nak cari masa untuk dua orang anak ini pun kadang-kadang saya mengalami kesulitan, ini kan pula nak tambah lagi bilangan anak. “Tapi, apa pun, saya akan berusaha cari juga masa untuk mereka terutama kalau membabitkan aktiviti di sekolah atau acara-acara istimewa. “Tak apalah, biarlah saya fokus yang dua orang ini sahaja. Tapi kalau ada rezeki saya tak menolak. Alhamdullillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang bersama suami dan anak-anak, " katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails