Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Amy Mastura tiada hasrat bersara


TIDAK banyak aktiviti seni yang diusahakan oleh artis genit bernama Amy Mastura sejak kebelakangan ini.

Namun selepas menyelusuri dunia hiburan hampir 19 tahun, ada kelegaan yang dirasai oleh penyanyi dan pelakon berwajah keanak-anakan itu.

Malah bagi ibu kepada dua anak itu juga dia mengakui dia langsung tidak kisah sekiranya rezeki dalam dunia hiburan bukan lagi miliknya.

Bersyukur dengan pencapaiannya selama bergelar anak seni, Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 41, memberitahu bahawa menjalani rutin sebagai seorang ibu dan memberi lebih perhatian untuk membesarkan anak-anak merupakan keutamaan kepadanya ketika ini.

“Rasanya saya sudah cukup berpuas hati dan bersyukur dengan pencapaian saya selama ini.

“Mungkin saya kurang aktif di dalam dunia hiburan sekarang ini namun itu tidak bermakna saya akan melupakan terus minat dan bakat yang saya miliki ini,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak dengan produk kecantikan Kose, di Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mula dikenali selepas menjuarai pertandingan nyanyian Asia Bagus pada 1993, menurut Amy, pada awal pembabitan dalam dunia nyanyian, dia langsung tidak terfikir mengenai jaminan yang diberikan bidang tersebut kepada masa depannya.

Malah kata Amy, kerana itu juga dia pernah merancang untuk muncul dengan sebuah album sahaja. Namun melihat perjalanan kerjaya seninya kini, dia percaya ia sesuatu yang melebihi jangkaan.

“Pada mulanya saya hanya mahu muncul dengan sebuah album sahaja. Tujuannya adalah untuk mendengar dan memastikan saya ini benar-benar berbakat.

“Dan setelah hampir 19 tahun dalam dunia ini, saya sangat bersyukur dengan apa yang telah dicapai. Malah bukanlah sesuatu yang tidak merunsingkan bagi saya untuk mengejar populariti lagi kerana yang saya capai kini melebihi apa yang pernah diimpi," katanya tersenyum.

Menafikan dia mahu berundur daripada dunia hiburan demi keluarga, Amy memberitahu, dia sebenarnya hanya mengurangkan aktiviti seni demi memberi tumpuan kepada suami dan anak-anak.

“Suami saya langsung tidak membantah keputusan untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon dan penyanyi.

“Bagaimanapun tanggungjawab sebagai seorang ibu banyak membataskan waktu saya di dalam industri dan kini saya lebih suka untuk berlakon di dalam drama kerana jangka waktunya yang lebih pendek berbanding filem,” katanya.

Amy sebelum ini pernah membintangi 12 filem antaranya Trauma (2004), Bintang Hati (2004), Hooperz (2010), Aku Tak Bodoh (2010), dan Syhh.. Dia Datang (2011).

Mendirikan rumah tangga dengan Alvin Tham Suffian pada tahun 2000, pasangan itu dikurniakan dua puteri Adriana, 11, dan Adalia, 7.

Mengulas mengenai perjalanan kariernya sebagai penyanyi pula, kata Amy yang kali terakhir muncul dengan lagu Happy memberitahu bahawa dia kini lebih cerewet dalam memilih lagu.

“Ada perancangan untuk merakamkan lagu baru. namun biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan. Bukan apa saya mahu memilih lagu yang sesuai dengan saya kini, bak kata orang ukur baju biar di badan sendiri,” katanya.

Amy pernah mengeluarkan tujuh album sepanjang pembabitannya di dalam dunia seni suara iaitu Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005) dan Happy (2009).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails