Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tidak takut tua-Amy Mastura


Amy Mastura yakin rezeki dalam bidang seni tetap ada

KETIKA usianya sudah mencecah 38 tahun, Amy Mastura tetap yakin rezekinya dalam bidang seni tetap ada. Memang betul sebagai seorang artis, apabila tiba pada usia seperti itu, peluangnya untuk berlakon, menyanyi atau terbabit sebagai pengacara mungkin sukar, lebih-lebih lagi dengan kemunculan ramai bakat baru yang silih berganti.


“Tapi rezeki ada di mana-mana. Sesuatu rezeki yang diterima, akan saya lakukan sepenuh hati. Insya-Allah, pada masa sama saya berharap rezeki lain akan datang menyusul.


“Saya tak risau orang nak kata saya sudah senja. Rezeki adalah kuasa Tuhan. Kita hanya perlu berusaha selagi terdaya,” katanya dalam sidang media yang mengumumkan dirinya sebagai duta kempen 1Malaysia, Jom Lebih Sihat yang dianjurkan Unilever Malaysia dan Lifebuoy.

Selain Amy, Unilever Malaysia juga memilih bekas pelumba basikal negara, M Kumaresan dan selebriti, Loo Aye Keng untuk sama menjadi duta 1 Malaysia, Jom Lebih Sihat.

Amy, yang kali terakhir muncul dengan album ketujuh berjudul Happy pada Mei tahun lalu, berkata dia tidak berasa ralat kalau namanya sudah mula dilupakan sebagai penyanyi.

Sehubungan itu, katanya, setiap peluang yang ada di depan mata akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Saya tak kisah apabila orang tak ingat saya sebagai penyanyi. Amy Mastura tetap orang yang sama. Saya tak rugi apa-apa. Saya masih menerima undangan menyanyi.

“Selagi ada tawaran depan mata, saya bereskan saja. Kalau tanya saya apa perancangan lima tahun lagi, saya sendiri tak mampu memberi jawapan pasti. Saya hanya melalui kehidupan ini mengikut alirannya saja,” katanya yang baru saja merakamkan lagu lagu Better World Song bersama Nora dan seorang penaung sebuah badan bukan kerajaan untuk projek kemasyarakatan.


Isteri kepada Alvin Tham Sufian ini juga bukan asing dalam dunia lakonan. Amy pernah membintangi filem Puteri Impian, Puteri Impian 2, Senario Lagi, Trauma dan Bintang Hati (2004).


Filem terbarunya berjudul Damping Malam arahan Ahmad Idham. Menariknya, dalam filem itu dia yang memegang watak Ku Khalira bergandingan sekali lagi dengan Idham yang mana kali terakhir mereka berlakon bersama menerusi filem Kuala Lumpur Universiti (KLU).


“Sudah sudah 10 tahun kami tak bertemu dalam mana-mana karya. Tapi akhirnya kami bertemu kembali dalam filem Damping Malam. Dalam KLU pun kami tak banyak bertembung atau beraksi dalam satu babak.


“Damping Malam juga menjadi filem seram pertama saya. Mujur saya tak lemah semangat orangnya. Filem ini tidak ada hantu, sebaliknya hanya istilah pendamping yang meminta sesuatu habuan seperti yang dijanjikan. Tawaran filem ini saya terima pada Februari,” katanya yang pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM14) pada 1999 menerusi Puteri Impian.


Selain filem, ibu kepada dua orang anak ini juga giat menjalani latihan teater muzikal Gamat 2.


“Untuk teater Gamat kali ini saya ditemani Ziana Zain dan Misha Omar. Seperti mana saya seronok berlakon untuk kali kedua dalam teater Gamat ini, saya juga berharap Ziana dan Misha akan merasai pengalaman yang sama,” katanya yang memegang watak Ibu Gamat.

Sementara itu, bercakap mengenai pemilihannya sebagai Duta 1 Malaysia, Jom Lebih Sihat, Amy berkata biarpun menampilkan tiga kaum berbeza tetapi semuanya mempunyai matlamat yang sama iaitu mendidik rakyat negara ini supaya tidak mengabaikan kesihatan selain boleh bekerjasama membantu golongan yang memerlukan bantuan.


“Tak kira bangsa atau agama, kita boleh sama-sama membantu mereka yang kurang berupaya. Kalau tak dapat tolong daripada segi kewangan, kita boleh bantu meningkatkan kepentingan kesihatan. Kalau sihat, tak perlu laburkan duit untuk ke pusat kesihatan.


“Kesihatan ini semuanya boleh bermula dari rumah. Saya, Kumaresan dan Loo Aye Keng masing-masing sudah berkeluarga dan kami tahu perihal kebersihan dan kesihatan ini wajar diterapkan kepada seisi keluarga.


“Kempen ini juga sebagai satu cara berbakti. Sambil membeli produk Lifebuoy, secara automatik kita menyumbangkan sebuku sabun untuk masyarakat kurang mampu di Malaysia. Kempen ini bermula dari awal Mac dan berlanjutan hingga Mei depan,” katanya.


Pengarah Barangan Isi Rumah dan Penjagaan Diri, Unilever(M) Holdongs Sdn Bhd, Ainul Yaqin menyifatkan pemilihan Amy Mastura, M Kumaresan dan Loo Aye Keng amat tepat kerana mereka memang dikenali dalam bidang masing-masing.


“Mereka ada peminat tersendiri. Kami yakin pemilihan mereka mampu merealisasikan apa yang kami impikan.


“Kempen ini bukan sekadar mengagihkan sabun kepada mereka yang kurang berkemampuan tetapi ia lebih kepada proses mendidik masyarakat dalam soal kesihatan. Sabun ini akan diagihkan pihak kami menerusi rakan kongsi yang akan bertanggung jawab memastikan ia sampai kepada yang memerlukan,” kata Ainul.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails