Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Dynaz Mokhtar. Show all posts
Showing posts with label Dynaz Mokhtar. Show all posts
Dynas digelar mama vogue
Gerai Dynas Tarik Perhatian Himpunan Wanita 2012
KUALA LUMPUR: Kesibukan aktiviti lakonan dan tanggungjawab sebagai ibu tidak menghalang pelakon Dynas Mokhtar untuk turut berniaga sempena Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinaz Wan Mokhtar berkata, gerai yang menjual busana wanita mengandung, aksesori dan produk kecantikan wanita di Dewan Tun Razak 1 itu dikerumuni orang ramai termasuk peminat yang mahu bergambar bersama.
Katanya, dia tergerak hati untuk berniaga sempena himpunan itu kerana ingin mengembangkan perniagaan yang baru sahaja dimulakan setahun lepas, selain mendapat sokongan suami dan keluarga.
"Kebanyakan pengunjung Himpunan Wanita pada hari ini adalah wanita, jadi saya mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan produk saya kepada umum.
"Kebetulan saya diberi peluang oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin untuk mereka bentuk busana mengandung beliau, maka Datuk sendiri mencadangkan saya supaya berniaga di sini," katanya.
Dynas berkata busana rekaannya bukan hanya terhad kepada wanita mengandung.
"Selain jubah ibu mengandung, sesetengah daripada pakaian rekaan saya unik di mana ia memberi kemudahan kepada ibu yang selepas bersalin menyusukan bayi mereka tanpa terpaksa mendedahkan aurat," katanya.
Pelakon itu juga berkata jika sambutan pada kali ini memberangsangkan, dia berminat untuk terus berniaga pada perhimpunan akan datang.
Bersempena himpunan itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pertunjukan fesyen, demonstrasi solekan dan penjagaan kesihatan. - BERNAMA
Dynas tak kisah
Pelakon akur arahan suami supaya balik rumah sebelum jam 12 tengah malam
Perintah untuk pulang ke rumah sebelum jam 12 tengah malam seperti kisah dongeng Cinderella antara syarat yang terus dipegang dramatis Dynas Mokhtar, selepas memilih hidup untuk berkahwin dengan Mohd Hafizy Hafiz seterusnya selepas melahirkan dua anak, Khyra Khalyssa, 2, dan Muhamed Haqaish, 2 bulan.
Bagi Dynas, 29, dia tidak ralat atau melihat arahan suaminya itu sebagai satu beban atau tekanan. Sekalipun ada yang menyifatkan zaman kegemilangan Dynas sudah berakhir, ia tidak langsung menjadi kudis buat pelakon bernama penuh Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar. Sepanjang bergelar anak seni, nama Dynas pernah berada di kemuncak suatu ketika dulu. Lakonan dan bakatnya pernah diiktiraf menerusi trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi 2007 dan 2008.
Bertemu pemilik label Dynas Nursing Attire (DNA) pada 1 Ogos lalu untuk sesi fotografi bersama B*POP di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, mama vogue ini masih hot seperti anak dara. Dynas yang baru tamat proses berpantang pada 29 Julai selepas melahirkan Haqaish pada 15 Jun lalu berkongsi kamar hatinya.
Pendek kata, Ramadan kali ini lebih bermakna dengan kehadiran Haqaish.
“Saya sendiri memilih jalan begini yakni untuk memiliki sebuah rumah tangga. Saya reda dan tidak kisah dengan persepsi masyarakat. Ikutkan suami saya sejak dulu tidak menggalakkan saya berlakon lagi tapi tidaklah pula dia melarang untuk terus menoktahkan perjuangan seni ini.
“Ikutkan ada saja tawaran berlakon yang datang. Tapi pengalaman membesarkan Khyra sekali lagi saya jadikan contoh yang sama untuk Haqaish, sekali gus membuatkan saya melepaskan tawaran yang tiba. Saya tidak boleh memberikan komitmen berlakon di saat masih perlu menyusu badan di saat Haqaish masih kecil,” kata Dynas saat ralit dioles cantik jurusolek kegemarannya, Esham yang menjadi pilihan sejak enam tahun lalu.
Bagi Dynas, dia sendiri tidak mampu lagi mengkelaskan dunia lakonan jatuh di tangga berapa selepas memilih untuk hidup berkeluarga. Benar, untuk Dynas aktif berlakon seperti dulu memang sesuatu yang sukar tetapi itu tidak bererti minatnya terhadap bidang lakonan semakin terhakis.
“Kalau ada yang melihat sudah tiba masanya untuk saya berundur, kenyataan sebegitu ternyata tidak akan terpacul dari mulut sendiri. Saya lebih rela mendiamkan diri dan menerima saja kenyataan andai dunia seni bukan lagi keghairahan. Saya bimbang kenyataan sebegitu akan memakan diri.
“Memang rindu saya untuk berlakon kembali begitu membuak-buak. Tapi saya sendiri tak mampu menjangka atau meluahkan rasa yang terkumpul saat menerima sesebuah tawaran berlakon. Tetapi saya sedar ruang dan diri kerana saya bukan lagi Dynas yang dulu.
“Scha Alyahya sendiri pernah bertanya mengenai hal sama apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak. Dalam hal ini, bukan soal diri sudah tidak laku atau jatuh saham. Cuma ada perkara tertentu yang lebih penting harus diutamakan selepas berkahwin.
“Tapi, saya tidak mahu mengalah sebelum berjuang. Siapa tahu, tuah serta rezeki untuk saya kembali menyinar akan ada atau sebaliknya. Lihat saja macam Vanidah Imran selepas memberikan tumpuan kepada keluarga selang beberapa tahun, tiba-tiba namanya kembali menjadi sebutan,” kata Dynas yang akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada label DNA yang selama ini cukup menuntut banyak masa.
Bercerita lanjut mengenai Haqaish yang dilahirkan seberat 3.02 kilogram dan kini bertambah menjadi 5.02 kilogram, Dynas melihat kehidupannya semakin lengkap. Mujur juga Khyra cukup menyokong dan menyayangi adiknya, biarpun sesekali timbul juga perasaan cemburu.
Akui Dynas, Khyra lebih akrab dengan Hafizy dan kerap mencium adiknya. Terdahulu, kebahagiaan Dynas pernah diragut selepas anak sulung Dynas, Emma Malisa meninggal dunia dalam kandungan. Tetapi kesedihan itu tidak berpanjangan apabila dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan. Istimewa juga hari lahir Haqaish jatuh pada hari kelahiran Hafizy.
“Pengalaman melahirkan Haqaish tiada bezanya seperti Khyra. Proses berpantang pun sama saja. Saya mengurut badan dan bertunku selama 30 hari berturut-turut. Cuma kali ini, saya saya membeli mesin stim untuk membakar lemak di badan dan setiap hari saya ‘bersauna’ di rumah. Mungkin itu sebabnya lemak di badan berkurangan.
“Sebagai ibu bapa, kami merancang yang terbaik untuk anak. Tapi jangan ditanya kepada saya bila nak tambah lagi anak. Saya sendiri tak tahu jawapannya. Selain memberi tumpuan membesarkan Haqaish, saya juga sibuk mempromosikan rangkaian DNA, terbabit dengan ekspo berkaitan keibubapaan dan bayi,” katanya.
Perniagaan Butik Jadi Sebab Dynas Kurangkan Aktiviti Seni
KUALA LUMPUR: Pelakon Dynas Mokhtar mengakui dia mula memperlahankan aktiviti lakonannya selepas sibuk menguruskan butik pakaian untuk ibu mengandung miliknya, Dynas Nursing Attire (DNA).
Kata Dynas, selepas sembilan tahun mengacara dan berlakon, tibalah masanya untuk dia memberi laluan kepada pelakon-pelakon baru mengembangkan bakat mereka dalam industri lakonan pula.
"Sebelum ini saya sudah cuba macam-macam aktiviti berkaitan bidang seni kecuali menyanyi. Rasanya masa saya untuk perkara itu sudah habis dan kini tibalah giliran muka-muka baru pula untuk menonjolkan bakat.
"Lebih-lebih lagi selepas mempunyai anak dan perniagaan DNA, masa yang saya ada semakin terhad membuatkan saya sukar untuk aktif berlakon seperti dulu," katanya.
Tambah Dynas, atas sebab itu dia hanya akan berlakon jika watak dan skrip yang diberi menarik perhatian selain mempunyai krew produksi yang pernah bekerja sama dengannya.
"Tak mungkin saya akan berhenti berlakon. Tetapi saya akan berlakon jika skrip yang diberi itu bagus serta krew produksi juga mesti pernah bekerja dengan saya. Lebih senang untuk kita berkomunikasi dan faham kerja masing-masing," tuturnya.
Menurut ibu kepada Khyra Khalisa yang berusia setahun itu, dia gembira dengan kehidupannya pada hari ini lebih-lebih lagi melihat perniagaan butiknya semakin maju dan diterima umum.
Malah Dynas sedang merancang untuk memperluaskan perniagaannya dengan membuka sebuah lagi butik di Subang, dekat sini tidak lama lagi.
"InsyaAllah saya akan membuka sebuah lagi butik yang lebih besar. Takut juga nak buka kedai besar kerana ia mengundang risiko yang lebih tinggi, tetapi saya harus mengharunginya dengan mencari rakan kongsi untuk butik baru tersebut.
"Tidak sangka dalam masa empat bulan, penerimaan orang ramai terhadap DNA amat memberangsangkan, sampai tak cukup stok dibuatnya. Malah mereka mengharapkan rekaan baru yang dikeluarkan setiap bulan.
"Sedangkan rekaan baru hanya muncul setiap empat bulan. Alhamdulillah, perniagaan saya berjalan dengan lancar mengikut perancangan," ujarnya.
Butik DNA terletak di tingkat satu pusat beli-belah The Curve, Damansara, dekat sini.
Fesyen Dan Kecantikan Dynas Mokhtar

BUKAN mudah untuk seseorang itu melaksanakan impian seperti yang diinginkan jika tiada usaha yang gigih.
Lain pula buat pelakon dan pengacara Wan Edrinas Wan Mokhtar, 28. Dalam kamus hidupnya belum pernah ada perkataan ‘tidak boleh’ atau ‘susah’ ketika berusaha mengejar cita-citanya itu.
Bak kata temannya, Daphne Iking, Dynas merupakan wanita yang paling matang dan berfikiran jauh mengenai perancangan masa depan walaupun dia rakan termuda di kalangan teman mereka yang lain seperti Yasmin Hani, Atilia, Sazzy Falak dan Aishah Sinclair.
Mengakui tentang hal tersebut, ibu beranak satu ini begitu teliti dengan setiap perancangan yang dilakukannya.
Kerana semangat dan kecekalannya juga, perancangan memiliki sebuah butik khas buat ibu-ibu moden terlaksana jua. Pada Rabu lalu, butik Dynas Nursing Attire atau DNA telah dilancarkan di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Selangor.
“Rasanya, ini adalah permulaan saya dalam menjalani perniagaan DNA dan bersyukur kerana gelaran selebriti yang dimiliki sedikit sebanyak membantu menaikkan nama butik ini.
“Sebenarnya, jika kita lihat zaman sekarang, semakin kurang para ibu yang memberikan susu mereka kepada anak-anak dan salah satu faktornya adalah tiada pakaian yang sesuai buat mereka lebih-lebih lagi buat ibu yang berkerjaya.
“Dengan rekaan pakaian untuk ibu ini, saya berharap tiada lagi ibu-ibu mengandung mahupun yang menyusukan anak malu dengan gelaran ‘ibu’ kerana pemakaian yang kurang moden,” tuturnya sambil menunjukkan perincian pakaian DNA yang dikenakan.
Tambah ibu kepada Khyra Khalisa yang berusia satu tahun ini, walaupun bergelar ibu, tidak semestinya seseorang itu tidak boleh bergaya sebaliknya perlu bijak memilih fesyen yang sesuai.
Dalam pada itu, bekas pengacara Beat TV ini bersyukur, sehingga kini tawaran kerjaya seni untuknya masih lagi berjalan seperti biasa. Malah, Dynas juga mula menerima tawaran berlakon watak komedi.
“Mungkin ada yang menganggap janggal bila saya menyatakan tentang keselesaan saya menggalas watak-watak komedi.
“Bahkan sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran You Saka pergi Jauh-Jauh untuk slot seram TV3. Ia sangat menyeronokkan,” selorohnya.
Sementara itu, Dynas agak kecewa kerana sehingga kini dia tidak pernah tahu siapakah peminat yang sentiasa menyokongnya dalam kerjaya seni.

“Sejak berkahwin dan menerima beberapa anugerah, saya tidak pernah terfikir dan tidak tahu pun siapa peminat-peminat saya. Bukan tak nak ambil tahu, cuma takut jika diri saya berubah menjadi riak sekiranya saya mendapati saya ni ramai peminat.
“Bagaimanapun, Alhamdulillah, saya gembira sangat kerana masih ada lagi yang ingin melihat saya berada dalam industri seni tempatan lagi,” tuturnya.
Memandangkan Dynas kini turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti kebajikan, dia sedang merancang mengajak orang ramai menyertai aktiviti kebajikan bersama.
Kecantikan
Selain berfesyen, penjagaan kecantikan diri secara luaran dan dalaman juga amat penting buat pelakon ini.
Kata Dynas, bergelar ibu juga bukanlah satu alasan untuk dirinya semakin malas dengan penjagaan diri.
Walaupun bergaya moden, Dynas juga tetap menjaga kecantikannya dengan amalan tradisional Melayu.
“Sejak kelahiran Khyra, penjagaan diri perlu diutamakan lebih-lebih lagi bergelar seorang selebriti.
“Saya masih muda dan kalau boleh saya tak mahu menggalas watak-watak wanita berusia. Bagaimanapun kalau bukan seorang selebriti sekalipun, saya tetap akan menjaga kecantikan diri dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
“Lebih-lebih lagi selepas kelahiran anak, kita wajib berpantang dengan betul dan ia sangatlah mustahak kerana tanpa penjagaan rapi, kesan-kesan penuaan akan berlaku apabila lanjut usia,” tegasnya.

Ujar graduan Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, pada tahun lalu, dia turut mengamalkan berpantang cara Cina dan India.
Selain itu, Dynas juga tidak lokek mengeluarkan sejumlah wang untuk pergi ke pusat pelangsingan badan, Kunzense.
“Alhamdulillah, melalui Kunzense, berat badan saya telah turun dari 71 kilogram (kg) kepada 59kg. Dan kerana itu saya ditawarkan menjadi duta kepada pusat pelangsingan badan tersebut.
“Bagi saya, kita tidak boleh menyerah kalah jika ingin mendapatkan bentuk tubuh badan yang ideal dan pada masa yang sama kita perlu berfikiran positif. Saya percaya, semua wanita mahu kelihatan cantik,” tuturnya.
Dalam pada itu Dynas turut mempraktikkan cara pemakanan yang sihat agar penghasilan susu badan turut mempunyai zat yang secukupnya buat anaknya itu.
Dynas Buka Butik Ibu Mengandung

PETALING JAYA: Pelakon Dynas Mokhtar sanggup berbelanja besar dengan mengeluarkan wang sejumlah RM150,000 untuk membuka butik Dynas Nursing Attire (DNA).
Menurut Dynas dia gembira kerana impiannya untuk membuka sebuah butik pakaian ibu mengandung serta mereka yang menyusukan anak tercapai kerana perancangan tersebut telah dibuat sejak setahun lalu.
"Sebenarnya saya tidak ada keberanian dan kurang yakin untuk membuka perniagaan bersendirian lebih-lebih lagi terpaksa mengeluarkan modal yang besar tanpa membuat pinjaman.
"Bagaimanapun, keluarga, ibu dan seorang rakan daripada Nurturing Concept iaitu Rita yang telah menaikkan semangat dan menyokong saya untuk bergerak sendiri dalam perniagaan ini," katanya yang ditemui pada pelancaran butik DNA di The Curve, di sini, Rabu.

Kata Dynas, idea menghasilkan pakaian ibu mula tercetus ketika dia mengandungkan Khyra Khalisa, di mana dia agak sukar untuk mencari pakaian ibu mengandung yang sesuai serta moden.
Malah pakaian khas buat ibu yang menyusukan anak juga sukar untuk dicari di Malaysia dan hal tersebut membuatkan Dynas mula mengilhamkan beberapa pakaian yang sesuai.
"Memang agak sukar untuk kita cari baju moden yang sesuai dengan status seorang ibu yang menyusukan anak.
"Dengan rekaan saya ini, ibu-ibu di luar sana boleh menyusukan anak di mana-mana sahaja tanpa perlu mendedahkan kulit," tuturnya.
Dalam pada itu, dia juga sedang membuat perancangan untuk mengembangkan perniagaannya dengan memperkenalkan pakaian bagi wanita bertudung dan pada masa sama turut berharap agar jenama DNA dapat tembus ke pasaran luar.
Butik DNA kini terletak di tingkat satu pusat beli-belah The Curve, Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Dynas Bersedia Kembali Aktif

PETALING JAYA: Pelakon, Dynas Mokhtar mengakui tahun ini merupakan tahun untuk dia bergiat aktif semula selapas hampir setahun berehat selepas kelahiran anak pertamanya, Khyra Khalyssa yang kini berusia 11 bulan.
Jelas Dynas, dia sudah bersedia untuk kembali aktif berlakon, mengacarakan program televisyen dan menjalankan perniagaan butiknya.
"Sudah setahun rasanya saya berehat dari sebarang aktiviti untuk beri perhatian sepenuhnya pada Kyra dan saya rasa tahun ini adalah masa untuk kembali semula bekerja.
"Khyra juga sudah besar dan mula memahami, namun begitu dari segi lakonan saya banyak memilih drama yang melakukan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur sahaja," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Si Kecilku Chak!!!, Khamis.
Dynas yang terlibat sebagai pengacara program tersebut juga mengakui dia kini sibuk membuat persediaan butik pakaian ibu dan anak yang bakal dibuka Mei ini.
"Selain berlakon dan terlibat dengan program Si Kecilku Chak!!, saya juga sibuk dengan penyediaan butik pakaian Dynas Nursing Attire (DNA) yang bakal dibuka di The Curve, Mei ini.
"Pakaian berkonsep ibu dan anak ini merupakan rekaan saya sendiri yang bertujuan mengalakkan ibu-ibu muda untuk tampil bergaya," katanya,
Ketika ditanya tentang nama DNA yang merupakan gabungan nama Dynas dan Awal, Dynas memberitahu dia sayang untuk menukar nama lain biarpun tidak lagi bekerjasama dengan Awal Ashaari.
"Saya rasa sayang untuk tukar nama DNA biarpun sudah tidak lagi bekerjasama dengan AWal, Saya rasa orang ramai dan peminat sudah tahu tentang jenama ini.
"Lagi pula saya dan Awal juga sedang merancang untuk bekerjasama lagi dalam perniagaan, namun ianya masih lagi dalam peringkat perancangan," katanya.
Dalam pada itu, Dynas berkata perancangan mendapatkan cahaya mata kedua akan difikirkan pada tahun hadapan berikutan jadual kerja yang padat tahun ini.
"Tentang anak kedua saya rasa tahun hadapan baru kami merancang kerana saya dan suami masing-masing ingin fokus kepada kerja terlebih dahulu," katanya.
Dynas bermasalah hafal skrip

CENGKERANG mutiara yang menghiasi kediaman ibu bapa pelakon jelita, Wan Intan Edrinaz Datuk Wan Mokhtar (Dynas) menjadi tumpuan utama. Bukan sahaja kerana hiasannya yang cantik tetapi bayi kecil yang berada di dalamnya berjaya mencuri perhatian.
Diadakan sempena majlis cukur jambul dan aqiqah puteri sulung milik Dynas dan suaminya, Mohd. Hafizi (Fizy), Khyra Khalyssa kelihatan comel dalam dres kecil labuh berwarna putih. Meriah dengan kedatangan sanak saudara serta sahabat handai, majlis tersebut sepatutnya berlangsung lebih awal.
Namun, disebabkan persediaan yang tidak dapat disiapkan, majlis itu hanya berlangsung pada Sabtu lalu. Kata Dynas: “Sebenarnya majlis ini dirancang pada saat-saat akhir. Jadi, banyak benda yang tidak dapat disiapkan tepat pada masanya. Maka, ia ditunda sehingga minggu ini.”
Dilahirkan pada 24 April lalu, Fizy mengakui anaknya itu memiliki berat yang berlebihan berbanding bayi lain seusianya. Sudah menghampiri usia enam bulan, berat Khyra kini mencecah 6.9 kilogram. Menyukai perasaan menjadi seorang bapa, Fizy memberitahu dia sepatutnya menjadi ayah 10 tahun lalu.
“Kalau saya tahu menjadi ayah begitu menyeronokkan, 10 tahun lalu saya sudah mahu menjadi bapa. Selain belajar menukar lampin, saya juga kini kurang bekerja di luar Kuala Lumpur.
“Saya mahu memastikan saya berada di sisi Khyra sekurang-kurangnya sehingga dia berusia setahun. Lagipun, ibunya sudah mula bekerja sekarang. Jadi saya akan menemani Khyra semasa ibunya sedang bekerja,” kata Fizy.
Pernah keguguran pada tahun lalu, Dynas bagaimanapun menyatakan dia tidak akan memanjakan Khyra disebabkan pengalaman pahit itu. Bagi Dynas, dia seorang yang tegas dalam hal berkaitan kerja atau soal penjagaan keluarga.
“Memang saya lebih berhati-hati kali ini tetapi bukannya dengan memanjakan dia. Ya, dia amat berharga bagi saya dan keluarga tetapi ini tidak bermaksud saya perlu manjakan dia. Saya akan memberikan sepenuh kasih sayang tetapi berpada-pada,” ungkap Dynas.
Sudah bersedia untuk melahirkan anak kedua, Dynas bagaimanapun ingin menunggu Khyra berusia setahun lebih sebelum memulakan perancangan.
Mula bekerja selepas berpantang, Dynas sedang sibuk sebagai pengacara program Si Kecilku Chakk yang bersiaran pada setiap Selasa, pukul 11 pagi di TV3.
Selain daripada itu, dia baru sahaja menghabiskan rakaman drama, Gia yang disiarkan di RTM. Turut terlibat dalam penggambaran siri Awan Dania musim baru, Dynas kini lebih selektif dalam memilih kerjanya.
“Dulu kalau saya bekerja, saya akan pulang sebelum pukul 12 tengah malam. Sekarang, selepas mempunyai anak, saya akan pulang sebelum pukul 10 malam.
“Itu antara perjanjian dengan pihak produksi sebelum saya menerima mana-mana tawaran kerja. Saya juga tidak akan pergi ke luar negeri atau negara untuk penggambaran,” jelasnya lagi.
Bagaikan pelakon baru
Khyra akan dijaga oleh ibu, ibu mertua dan orang gajinya semasa Dynas sibuk bekerja. Namun, dia juga akan mencuri masa untuk menyusukan anaknya yang masih mengambil susu badan itu.
Merindui Khyra ketika mula kembali bekerja, Dynas juga mempunyai masalah untuk menghafal skrip. Tidak dapat memberikan tumpuan, Dynas juga berasa tertekan.
“Keadaan menjadi begitu teruk sehingga saya bertanya kepada orang-orang di sekeliling adakah situasi yang saya hadapi itu normal. Saya tidak boleh fokus dan tidak tahu apa yang berlaku. Semua skrip tidak dapat dihafal bagaikan saya seperti seorang pelakon baru. Namun, kemudian Daphne Iking memberitahu saya bahawa ia adalah benda biasa yang berlaku kepada setiap wanita yang baru bersalin,” kata pelakon berusia 27 tahun itu.
Terkenal dengan jenama fesyen sendiri, DnA Exclusive, Dynas kini lebih memberi perhatian kepada koleksi pakaian ibu yang sedang menyusu anak.
Malah, dia sendiri juga memakai jenamanya pada majlis cukur jambul anaknya itu. Selain itu, dia masih menjual pakaian kasual serta baju untuk ibu mengandung.
“Pakaian saya dijual secara eksklusif. Hanya ada dua atau tiga helai sahaja untuk satu-satu rekaan. Walaupun masih ada menjual pakaian kasual, pakaian ibu menyusu menjadi titik fokus sekarang,” ujarnya.
Menjual pakaiannya di laman web www.dna. com.my, jenama Dynas bagaimanapun akan dijual di pusat membeli-belah The Curve tidak lama lagi.
“Sekarang saya masih berbincang dengan pihak The Curve mengenai rekaan kedai saya kerana mereka mempunyai garis panduan tersendiri.
“Kedai saya akan berada di tingkat satu dan di bahagian luar. Ia lebih berbentuk kios kaca,” tambahnya yang juga terkenal sebagai model.
Cinta hatiku-Dynas

Kehadiran Khyra menambahkan 1001 kebahagiaan kepada Dynas dan Hafizy
JANJI ditepati lantas pertemuan diatur baru-baru ini mengabadikan gambar anak kedua, Dynas Mokhtar yang dinamakan Khyra Khalyssa. Bukan hanya berpeluang mendekati Khyra, malah kehadiran Hip juga sekali gus menjejaki kediaman yang baru diduduki Dynas dan suaminya, Mohd Hafizy Hafiz di Bandar Sri Damansara.
Bagaimanapun rumah tiga tingkat yang baru didiami itu belum siap sepenuhnya tetapi sudah dihias rapi. Setibanya di sana, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar sedang menyusukan badan kepada anaknya di dalam bilik. Selang beberapa minit kemudian Dynas turun meniti anak tangga rumahnya dengan senyuman manja.
Jelas kelihatan penyandang Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008 ini semakin bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya kini. Hasratnya bergelar ibu sekali lagi mendapat rahmat tak terhingga biarpun pernah diuji dengan kehilangan anak sulungnya, Emma Malissa.

Khyra yang dilahirkan pada 24 April lalu ternyata memberi sinar dalam hidup Dynas dan suaminya. Perjalanan sesi bergambar ini juga bagaikan dirahmati kerana si kecil berambut lebat dan comel itu begitu cepat mesra dengan kamera. Pendek kata, senang saja merakamkan pos menarik Khyra dan ibunya.
“Kalau dulu sewaktu dalam kandungan, dia (Khyra) memang tak mesra kamera. Nak tengok mukanya pun bukan main susah, asyik berselindung di sebalik tangannya.
“Tapi sekarang, alhamdulillah. Sesi bergambar ini nampak ok saja, mungkin moodnya agak bagus. Kalau tidak, boleh tahan juga meragam, dia merengek,” kata Dynas yang semakin berseri selepas selesai berpantang.
Perbualan tengah hari itu memang lebih banyak berkisar kepada permata hati kesayangannya itu. Tambah Dynas, anaknya itu juga memang manja dan cerdik. Bayangkan saat mula keluar melihat dunia, Khyra sudah pandai menoleh kanan dan kiri untuk mencari susu ibunya.
“Sampai sekarang, kalau ada orang datang melawatnya, dia cepat memberi maklum balas. Malah ada yang mengatakan saiz badannya kini sudah menyamai bayi berusia empat bulan. Kalau bapanya mengusik, dia banyak ragam, menangis. Sensitif sangat agaknya.
“Tapi sebenarnya tak susah menjaga dia. Kalau letak di pangkuan pembantu rumah, sekejap saja dia terlelap. Tapi dengan orang lain termasuk saya, dia lambat sikit nak tidur. Siap merengek lagi menunjukkan perangainya. Selain dimanjakan bapanya, dia juga manja dengan ibu dan ibu mentua saya,” kata Dynas yang bersifat kontra daripada suaminya dan lebih tegas mendidik Khyra.
Ketika ini, selain menyusukan badan, Dynas turut mengajar anaknya untuk minum susu menggunakan botol. Demi memastikan kesihatan anaknya, Dynas baru-baru ini membawa anaknya mendapatkan suntikan vaksin. Suaminya turut memasang angan-angan untuk menyekolahkannya di sekolah Cina apabila Khyra besar nanti.
“Keutamaan kini memang untuk anak. Tak saya nafikan pada peringkat awal menjaga anak ini satu perkara mencabar. Tapi seiring dengan masa yang berlalu pergi, bila kita tengok wajah anak rasa, tenang di hati.
“Malahan kalau keluar rumah dalam tempoh dua jam sekali pun sudah tak sabar balik rumah nak melihat wajahnya,” kata Dynas yang merancang untuk mengadakan majlis cukur jambul tapi bukan dalam masa terdekat.
Baru saja habis berpantang, penampilan terbaru Dynas wajar dipuji. Bentuk badannya sudah kembali langsing. Berat badannya kini ialah 60 kilogram dan Dynas mahu bekerja keras untuk kembali menurunkannya hingga mencecah 55 kilogram.
“Selain memikirkan soal anak, perkara lain yang sering bermain di fikiran adalah mengenai hal berat badan. Saya memang mahu kembali ke bentuk asal. Pengalaman menyusu badan dan berjaga lewat malam antara faktor mengapa berat badan saya cepat turun.
“Selain itu, saya turut mengamalkan pantang serta mendapatkan urutan tradisional menguruskan badan secara tradisional dan moden. Menariknya, saya tak perlu keluar rumah dan menerima semua rawatan ini di rumah,” katanya yang turut menerima kunjungan teman-teman baiknya seperti Sazzy Falak, Yasmin Hani, Atilia, Aishah Sinclair dan Farahdhiya.
Dalam pada itu, Dynas juga tak menafikan betapa rindu untuk kembali berlakon. Sehari sebelum pertemuan dengannya, Dynas menolak tawaran drama yang bakal memulakan penggambaran bulan depan.
Bukan sengaja menolak dan menghampakan permintaan orang, hakikatnya Dynas ada alasan berbuat demikian.
“Buat ini belum bersedia lagi. Memang saya rindu untuk berlakon, tetapi tidaklah secara tergesa-gesa hendak ke lokasi.
“Berkemungkinan besar saya hanya akan kembali berlakon selepas raya nanti. Saya tak mahu berlakon buat sementara waktu kerana masih menyusu badan. Daripada saya menyusahkan orang lain, lebih baik saya tolak secara baik,” katanya.
Dynas nak kuruskan badan dahulu

APABILA Diva terima mesej yang berbunyi 'itu pengalaman paling hebat yang pernah saya alami, tak sangka perasaan itu sebegitu indah dan melengkapkan erti hidup buat saya', hati Diva jadi terkesan dengan gambaran hati yang mahu dikongsikan oleh pelakon jelita Dynas Mokhtar yang selamat menimang cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Mohd. Hafizy Mohd. Hafiz sejak 15 Mac 2008.
Diva faham sangat perasaan ibu yang baru pertama kali menatap mata anak sendiri. Tambahan pula Dynas pernah mengalami keguguran tahun lalu.
Bayi comel yang dilahirkan secara normal pada pagi 24 April (Sabtu lalu) dan seberat 3.4 kilogram itu diberi nama Khyra Khalyssa yang bermaksud bagus dan suci.
Diva cuba-cubalah risik mana tahu Dynas mahu berkongsi wajah anak perempuannya itu dengan semua peminat, namun demi menghormati permintaan suaminya, Dynas pinta pertemuan bersama media ditangguhkan dahulu buat sementara waktu.
Kata Dynas menerusi pesanan SMS: "Lepas pantang nanti saya akan panggil kawan-kawan media semua, kita boleh bersembang dan mengambil gambar. Sekarang kami ingin berehat sepuas-puasnya dan biar saya kuruskan badan dahulu."
Dynas Belanja RM8 Ribu Nanti Kelahiran ‘Orang Baru’

BERSERI-SERI wajah terbaru aktres cantik Dynas yang sedang menantikan kelahiran bayi sulungnya.
Dia dijangka menerima kelahiran bayi sulungnya menjelang 22 April ini. Meskipun sedang sarat mengandung, dia masih ligat menerima tawaran berlakon drama mahupun filem.
Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, buat masa ini memang dia memperlahankan segala kerja yang membabitkan dunia seni. Bagaimanapun, dia tidak mampu menghalang orang lain untuk memberikan tawaran kerja kepadanya.

“Pada bulan Mei depan, ada yang menawarkan saya untuk berlakon beberapa buah drama namun saya tidak boleh bersetuju kerana waktu itu saya sedang berpantang.
“Selepas itu, saya akan tumpukan kepada butik dan mula berlakon drama. Pada hujung tahun ini, saya ditawarkan untuk berlakon sebuah filem. Setakat ini, saya rasa tiada masalah untuk menerimanya.
“Walaupun sudah ada anak nanti, saya akan meminta ibu saudara saya yang menjaganya,” kata Dynas yang baru selesai membuat majlis melenggang perut mengikut stail barat atau dipanggil baby shower pada dua minggu lalu.
Pada minggu lalu, majlis doa selamat pula menyusul. Kiranya, Dynas tidak melupakan budaya Melayu walaupun mungkin ada yang mempertikaikan dirinya yang melakukan majlis baby shower yang mengikut budaya barat.

Terdapat beberapa nama bayi yang telah dipilih oleh suaminya, Mohd Hafizy Mohd Hafiz walaupun jantina bayi belum diketahui.
Ditanya mengenai perasaannya saat menantikan kelahiran itu tidak sampai sebulan lagi, Dynas akui takut dan bimbang menghantui dirinya. Yang penting, dia perlu menjaga kesihatan diri dan bayi di dalam kandungannya.
“Nasib baik sepanjang hamil ini, saya tidak pernah mengidam yang bukan-bukan, tidak alahan dan tidak banyak songel.
“Semasa pertama kali hamil dulu, mood saya agak teruk tetapi kali ini tidak pula. Begitu juga dengan sakit belakang yang sudah tiada. Sebaliknya, sakit belakang itu terkena kepada suami saya.

“Orang kata, mungkin sebab jantina anak saya kali ini berlainan iaitu kalau dulu perempuan tetapi yang kedua ini lelaki,” ceritanya kepada mStar Online.
Disebabkan tidak mahu terlalu memikirkan tentang jantina bayi yang bakal lahir itu, Dynas lebih gemar membeli pakaian berwarna putih, kuning dan hijau.
Semasa majlis baby shower tempoh hari, dia juga banyak menerima hadiah untuk bayi termasuk beg hospital yang mengandungi minyak gamat, ubat-ubatan lain dan barangan untuk menyambut kelahiran bayi pemberian kakaknya, Evelyn.
“Bagaimanapun, suami saya tidak suka sekiranya ada orang yang hendak berikan baju yang telah digunakan oleh bayi mereka kepada anak kami. Dia mahu belikan semuanya yang baru.
“Tetapi kami berbelanja dengan berekonomi juga dan menghabiskan wang dalam anggaran RM8,000 termasuk belanja untuk masuk rumah baru.
“Kami fikir barangan bayi hanya digunakan sekejap sahaja, jadi semua barangan yang dibeli itu adalah buatan Malaysia. Saya jenis yang asal nampak cantik, mesti nak beli. Tetapi kakak saya selalu nasihatkan agar tidak terlalu boros,” beritahu pelakon filem Apa Kata Hati itu.
Dalam perkembangan lain, Dynas turut tidak sabar menantikan kedainya, DNA Fashion Café yang akan beroperasi di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya mulai 22 April ini.
Perniagaan itu menggabungkan butik dan kafe yang turut menjual kek, manisan, kuih-muih tradisional, kopi, teh dan coklat.
Selain itu, Dynas juga menguruskan sebuah lagi butiknya di Sri Hartamas yang telah lama ditubuhkan bersama rakan perniagaannya, Awal Ashaari.
Namun, tidak lama lagi dia akan memperkenalkan rakan perniagaan terbarunya selepas Awal menarik diri daripada perniagaan itu.
Bagi yang berminat untuk membeli koleksi pakaian yang dijual di butik Dynas, layari blog dynasmokhtar.blogspot.com atau www.dna.com.my.
Dynaz Tidak Selesa Dengan Pertambahan Berat Badan

APABILA disahkan mengandung untuk kali kedua, Wan Intan Edrinaz Wan Mokthtar atau lebih dikenali sebagai Dynaz kini bangkit dari peristiwa pahit setelah mengalami keguguran awal tahun ini.
Walaupun perasaan gembira dan teruja untuk menimang cahaya mata, Dynaz mengakui perasaan takut masih menyelubunginya.
Dynaz kini lebih berhati-hati dalam setiap aktiviti yang dilakukan, apatah lagi kandungannya sudah berusia empat bulan.
Begitu juga dengan orang di sekeliling yang mengambil berat tentang keadaan model tinggi lampai yang sedang mengandung ini.
Isteri kepada Mohd Hafizy Hafiz ini, berkata dia tidak terlalu ghairah membuat perancangan sebaliknya ingin menikmati saat-saat kehamilan ini dengan ceria. "Kali ini, saya tidak merancang apa-apa. Apa yang berlaku dahulu sudah tertulis dan ia menguatkan lagi diri saya. Saya mahu menikmati pengalaman ini," katanya yang kini sibuk dengan pengambaran drama "Di Bawah Ketiak Isteri".
Menurut Dynaz, apa yang lebih mengembirakan ialah orang di sekeliling tidak kira siapa, mengambil berat dengan keadaannya walau di mana juga beliau berada.
Peminat-peminatnya juga mengirimkan email dan menitipkan kata-kata nasihat di blog dan Facebook.
"Orang di sekeliling sentiasa ingatkan saya jangan kerja terlalu kuat dan jangan berlari. Saya selesa dengan perhatian yang diberikan. "Tapi saya memang seorang yang aktif. Saya tidak boleh duduk saja di rumah. Doktor juga menasihatkan, kalau saya tiba-tiba ubah cara kehidupan saya, bimbang juga jika badan saya tak biasa," jelas Dynaz. Sejak kandungan pertama dahulu, Dynaz amat menjaga pantang larang semasa mengandung. Menariknya, pantang yang diikuti bukan saja pantang orang Melayu malah pantang orang Cina juga, selagi tidak menjejaskan kesihatannya.
"Tengok saya moden tapi bab pantang ini, saya sangat tradisional. Ada juga kawan India yang memberi tips pantang larang dalam masyarakat mereka tapi tengoklah, kalau tak penting atau tak relevan, saya tak ikut," kata Dynaz yang tidak mengalami sebarang alahan ketika mengandung.
Dynaz juga merancang percutian dua minggu di Melbourne untuk menyambut tahun baru dan berehat selepas tamat pengambaran drama “Di Bawah Ketiak Isteri 2”.
Secara jujur dia tidak berasa selesa dengan peningkatan berat badannya. Sejak mengandung, berat badan Dynaz sudah mencecah 64 kilogram. Ketika kandungan pertama dahulu Dynaz sudah terbiasa memakai kasut bertumit tinggi semasa membuat 'catwalk' dalam acara modeling.
"Dahulu, selepas saja saya habis pantang, hari-hari saya ke gim. Saya akan cuba sedaya-upaya untuk kembali ke bentuk asal badan saya," ujar Dynaz yang masih aktif dalam bidang peragaan.
Ketika ditanya tentang persiapan menyambut bakal cahaya matanya, Dynaz memberitahu tiada persiapan yang akan dilakukan sehingga selepas kandungannya memasuki lapan bulan.
"Tidak ada persiapan yang dibuat kerana kami masih lagi menyimpan barangan bayi yang telah dihadiahkan kepada kami sebelum ini. Jadi, tak perlu membazir membeli yang lain," katanya.
Dynas ikut pantang larang orang mengandung!

AKTRES Dynas Mokhtar yang kini sah hamil empat bulan sering dinasihati oleh saudara-mara dan rakan-rakannya untuk berpakaian longgar. "Saya memang suka memakai pakaian yang mengikut bentuk badan (body hugging) tetapi tidaklah terlalu ketat sehingga saya tidak boleh bernafas.
"Tiada doktor dalam dunia ini yang melarang ibu mengandung untuk memakai mengikut saiz badannya asalkan mengenakan pakaian yang diperbuat daripada fabrik yang sesuai seperti kain lycra atau kapas," ujar pelakon filem Susuk ini.
Pelakon yang berusia 26 tahun ini juga menambah yang wanita mengandung tidak semestinya tak boleh bergaya.
Namun Dynas lebih suka menggayakan pakaian jenis gaun sekarang.
Sementara itu, pakaian yang digayakan oleh Dynas boleh dibeli menerusi butik onlinenya dengan melayari http://dnacelebstyle.blogspot.com/.
Dynas juga memiliki sebuah butik DnA Celebrity Style di Hartamas yang diusahakannya bersama Awal Ashaari.
Butik itu dikatakan sedang dalam proses berpindah tempat tetapi masih akan bertempat di bangunan yang sama cuma di tingkat yang lain.
Dynas, yang lebih suka mengenakan warna-warna cerah, mengakui yang dia fobia dengan keadaannya yang kini mengandung.
Tetapi beliau juga berasa gembira pada masa yang sama kerana tuhan mengizinkankan untuk bergelar ibu semua.
Dynas mungkin akan mengadakan kenduri solat hajat di pada masa terdekat ini untuk mendoakan keselamatan anak kedua dalam kandungannya itu.
"Ahli keluarga saya juga menasihati saya untuk mengamalkan pelbagai jenis pantang larang. Antaranya tidak menghebohkan keadaan saya yang berbadan dua ini," katanya ketika dihubungi melalui telefon hari ini.
Mereka juga selalu menasihati saya untuk lebih berhati-hati supaya episod terdahulunya tidak berulang kembali.
Anak sulungnya gugur dalam kandungan semasa berusia tujuh bulan pada bulan April yang lepas.
Menurut Dynas lagi, dia tidak mengalami apa-apa tanda-tanda ‘morning sickness’ dan mengakui yang saiz perutnya belum membesar lagi.
Dynas telah mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan permotoran, Mohd Hafizy Mohd Hafiz pada bulan Mac tahun lalu.
Aktres berkulit cerah kini sibuk dengan drama ‘Di Bawah Ketiak Isteri’ untuk musim yang kedua.
Dynas kesal difitnah gugur kandungan

BETAPA hatinya terluka apabila difitnah dengan tuduhan sengaja menggugurkan kandungan yang berusia tujuh bulan. Ibu mana yang tidak sayangkan anak, malah kehadiran cahaya mata pertama memang cukup dinantikan pelakon Dynas Mokhtar dan suaminya, Mohd Hafizy Mohd Hafiz serta seluruh keluarga mereka.
Mulut tempayan boleh ditutup, inikan pula mulut manusia? Betapa sengsaranya Dynas apabila persoalan mengenai kandungannya yang terpaksa digugurkan menjadi topik perbualan dan kutuk mengutuk oleh penulis blog dan pelbagai ruangan dalam internet. Bukan mahu memberi kata semangat ketika dirinya dirundung malang dan derita, sebaliknya pelakon yang pernah dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 itu dikecam hebat dengan fitnah yang mengguris rasa.
Dengan nada perlahan, Dynas akui: Hati mana yang tak terguris apabila membaca macam-macam kutukan yang dilemparkan, malah saya tidak dapat memaafkan mereka yang melemparkan fitnah yang mengaibkan itu. Saya dan keluarga tak boleh diterima apabila dituduh menggugurkan kandungan, sedangkan anak saya `jantung terhenti ketika dalam kandungan.

Selepas melakukan pemeriksaan bulanan, doktor mengesan jantung anak saya sudah terhenti, jadi tiada gunanya lagi saya terus menyimpannya dalam kandungan. Atas nasihat doktor, saya perlu melahirkan bayi segera walaupun hakikatnya saya tahu, anak saya sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Saya melahirkannya secara normal dan hanya Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya melahirkan anak yang sudah tidak bernyawa.
Mereka tak tahu kesusahan saya, mereka juga tak tahu betapa saya tertekan. Selama tujuh bulan mengusung perut dan menjaga kandungan dengan baik, jadi menggunung harapan saya mahu melihat bayi dilahirkan dengan selamat, tetapi nyata, bukan rezeki saya dan suami. Saya kecewa tetapi inilah ujian terbesar buat saya dan suami. Ketika saya masih lagi terkenang detik kehilangan anak, saya diduga dengan fitnah yang lebih hebat.
Saya dilemparkan dengan macam-macam tuduhan mengarut hingga saya tak sanggup mendengarnya. Apa dosa anak saya, apa dosa saya hingga forum dalam internet membahaskan cerita yang bukan-bukan? Saya sedar inilah harga yang perlu dibayar apabila memilih menjadi anak seni, setiap gerak geri pasti menjadi perhatian. Bagaimanapun, semuanya sudah berlalu, saya mahu berfikiran positif, biarlah apa orang nak kata, asalkan saya bahagia bersama suami dan keluarga.
Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinaz Wan Mokthar akui, kadang kala hatinya tetap bersedih apabila terkenangkan dirinya tidak sempat menjaga bayi yang dinantikan selama ini. Bagaimanapun, dia dan suami tidak akan berputus asa, malah tetap berusaha untuk mendapatkan cahaya mata lain pada masa depan.
Tiada gunanya saya terus bersedih, mereka yang melemparkan fitnah bukan keluarga saya, tiada kena mengena dengan hidup saya. Saya akui yang nak menjatuhkan saya memang ramai, tetapi hanya Tuhan yang dapat membalas jasa baik mereka. Alhamdullilah, saya semakin biasa melalui pahit manis sebagai anak seni, katanya.
Akui diri seorang perahsia
ANAK kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu mengakui dirinya seorang perahsia, malah sejak awal kemunculannya sebagai pelakon, jarang perkara peribadi yang mahu dikongsi bersama peminat.
Secara jujur, Dynas akui: Saya tak suka berkongsi kisah peribadi, malah ketika nak berkahwin dulu, saya hanya umumkan pada saat akhir. Jadi apabila berlaku kejadian yang meruntun jiwa ini, perlukah saya beritahu umum? Bagi mereka yang tahu, tahulah dan saya pula bukan jenis yang suka bercerita.

Bagaimanapun, ada yang beranggapan saya sengaja mahu merahsiakan kematian anak saya, malah mereka buat cerita bukan-bukan hanya kerana saya tak beritahu cerita kematian anak saya. Takkan tidak faham keadaan saya ketika itu, saya tertekan dan tak dapat nak fikir apa-apa. Keadaan saya dalam kesedihan yang amat sangat, selepas itu, perlu melalui kesakitan pula dalam melahirkan anak.
Bila saya fikir balik, manusia takkan berhenti bercakap. Bila gembira mereka tetap mengata apatah lagi, bila dilanda kesusahan, umpat dan keji perkara biasa. Bagaimanapun, tak semua yang berfikiran begitu, ada sesetengah peminat yang memberi sokongan dan berkongsi pengalaman mereka dengan saya. Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak ia menaikkan semangat saya yang agak lemah ketika itu.
Muncul dalam drama Kata Hati
MENGULAS perkembangan terbaru, Dynas berkata, dia kini muncul dalam drama bersiri terbaru, Kata Hati arahan Harris Fadhilah menerusi Samarinda di TV3, setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam sejak 30 Jun lalu. Drama 25 episod terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) itu berkisarkan konflik keluarga, percintaan dan persahabatan.
Ia turut dibarisi pelakon Jue Aziz, Fouziah Gous, Rahim Jalani, Aida Razwil, Ahmad Tarmimi Siregar, Fadilah Mansor, Steven Yap dan Puspa Narayanan.
Terbaru, saya juga terbabit dalam penggambaran telemovie Pelangi Pudar arahan Azmi Hatta. Buat pertama kali, saya memegang peranan isteri terseksa, berperwatakan orang kampung dan mempunyai ramai anak. Suami pula bersikap pemalas sehingga isteri dan anak-anak terpaksa ikat perut kerana tiada makanan di rumah, katanya yang juga bertuah dicalonkan dalam kategori Anugerah Artis Paling Bergaya, Anugerah Shout! 2009 anjuran stesen TV, 8TV yang berlangsung pada Sabtu lalu. Dynas bersaing dengan penyanyi Faizal Tahir, Marion Counter, Maya Karin dan Sazzy Falak dalam anugerah urban itu.
INFO: Dynas
•NAMA: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar
•NAMA KOMERSIAL: Dynas
•TARIKH LAHIR: 8 Mac 1983
•UMUR: 26 tahun
•ASAL: Petaling Jaya, Selangor
•PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
•PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008.
•FILEM: Cinta Kolestrol, I Know What U Did Last Raya, Main-Main Cinta, Haru Biru, Kayangan, Impak Maksima, Dunia Baru The Movie dan Apa Kata Hati.
•DRAMA: Gerimis Salju, Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing, Julia Juli dan Kala Hati
Dynaz Mokhtar Mengandung Lagi

Pelakon sensasi dan manis, Dynaz Mokhtar dikhabarkan oleh seorang pemberi maklumat, telah mengandung untuk anak yang kedua. Selepas dari pada keguguran anak yang pertama. Khabar ini mungkin membawa kegembiraan ramai pihak yang menantikan kelahiran umat Nabi Muhammad SAW. Diharap Dynaz selamat melahirkan anaknya yang ke-2 ini dengan penuh sempurna nanti. Tahniah kepada Dynaz dan keluarga.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
