Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta hatiku-Dynas


Kehadiran Khyra menambahkan 1001 kebahagiaan kepada Dynas dan Hafizy

JANJI ditepati lantas pertemuan diatur baru-baru ini mengabadikan gambar anak kedua, Dynas Mokhtar yang dinamakan Khyra Khalyssa. Bukan hanya berpeluang mendekati Khyra, malah kehadiran Hip juga sekali gus menjejaki kediaman yang baru diduduki Dynas dan suaminya, Mohd Hafizy Hafiz di Bandar Sri Damansara.

Bagaimanapun rumah tiga tingkat yang baru didiami itu belum siap sepenuhnya tetapi sudah dihias rapi. Setibanya di sana, Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar sedang menyusukan badan kepada anaknya di dalam bilik. Selang beberapa minit kemudian Dynas turun meniti anak tangga rumahnya dengan senyuman manja.

Jelas kelihatan penyandang Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008 ini semakin bahagia dengan kehidupan yang dilaluinya kini. Hasratnya bergelar ibu sekali lagi mendapat rahmat tak terhingga biarpun pernah diuji dengan kehilangan anak sulungnya, Emma Malissa.

Khyra yang dilahirkan pada 24 April lalu ternyata memberi sinar dalam hidup Dynas dan suaminya. Perjalanan sesi bergambar ini juga bagaikan dirahmati kerana si kecil berambut lebat dan comel itu begitu cepat mesra dengan kamera. Pendek kata, senang saja merakamkan pos menarik Khyra dan ibunya.

“Kalau dulu sewaktu dalam kandungan, dia (Khyra) memang tak mesra kamera. Nak tengok mukanya pun bukan main susah, asyik berselindung di sebalik tangannya.
“Tapi sekarang, alhamdulillah. Sesi bergambar ini nampak ok saja, mungkin moodnya agak bagus. Kalau tidak, boleh tahan juga meragam, dia merengek,” kata Dynas yang semakin berseri selepas selesai berpantang.

Perbualan tengah hari itu memang lebih banyak berkisar kepada permata hati kesayangannya itu. Tambah Dynas, anaknya itu juga memang manja dan cerdik. Bayangkan saat mula keluar melihat dunia, Khyra sudah pandai menoleh kanan dan kiri untuk mencari susu ibunya.
“Sampai sekarang, kalau ada orang datang melawatnya, dia cepat memberi maklum balas. Malah ada yang mengatakan saiz badannya kini sudah menyamai bayi berusia empat bulan. Kalau bapanya mengusik, dia banyak ragam, menangis. Sensitif sangat agaknya.

“Tapi sebenarnya tak susah menjaga dia. Kalau letak di pangkuan pembantu rumah, sekejap saja dia terlelap. Tapi dengan orang lain termasuk saya, dia lambat sikit nak tidur. Siap merengek lagi menunjukkan perangainya. Selain dimanjakan bapanya, dia juga manja dengan ibu dan ibu mentua saya,” kata Dynas yang bersifat kontra daripada suaminya dan lebih tegas mendidik Khyra.

Ketika ini, selain menyusukan badan, Dynas turut mengajar anaknya untuk minum susu menggunakan botol. Demi memastikan kesihatan anaknya, Dynas baru-baru ini membawa anaknya mendapatkan suntikan vaksin. Suaminya turut memasang angan-angan untuk menyekolahkannya di sekolah Cina apabila Khyra besar nanti.

“Keutamaan kini memang untuk anak. Tak saya nafikan pada peringkat awal menjaga anak ini satu perkara mencabar. Tapi seiring dengan masa yang berlalu pergi, bila kita tengok wajah anak rasa, tenang di hati.

“Malahan kalau keluar rumah dalam tempoh dua jam sekali pun sudah tak sabar balik rumah nak melihat wajahnya,” kata Dynas yang merancang untuk mengadakan majlis cukur jambul tapi bukan dalam masa terdekat.

Baru saja habis berpantang, penampilan terbaru Dynas wajar dipuji. Bentuk badannya sudah kembali langsing. Berat badannya kini ialah 60 kilogram dan Dynas mahu bekerja keras untuk kembali menurunkannya hingga mencecah 55 kilogram.

“Selain memikirkan soal anak, perkara lain yang sering bermain di fikiran adalah mengenai hal berat badan. Saya memang mahu kembali ke bentuk asal. Pengalaman menyusu badan dan berjaga lewat malam antara faktor mengapa berat badan saya cepat turun.

“Selain itu, saya turut mengamalkan pantang serta mendapatkan urutan tradisional menguruskan badan secara tradisional dan moden. Menariknya, saya tak perlu keluar rumah dan menerima semua rawatan ini di rumah,” katanya yang turut menerima kunjungan teman-teman baiknya seperti Sazzy Falak, Yasmin Hani, Atilia, Aishah Sinclair dan Farahdhiya.

Dalam pada itu, Dynas juga tak menafikan betapa rindu untuk kembali berlakon. Sehari sebelum pertemuan dengannya, Dynas menolak tawaran drama yang bakal memulakan penggambaran bulan depan.

Bukan sengaja menolak dan menghampakan permintaan orang, hakikatnya Dynas ada alasan berbuat demikian.

“Buat ini belum bersedia lagi. Memang saya rindu untuk berlakon, tetapi tidaklah secara tergesa-gesa hendak ke lokasi.

“Berkemungkinan besar saya hanya akan kembali berlakon selepas raya nanti. Saya tak mahu berlakon buat sementara waktu kerana masih menyusu badan. Daripada saya menyusahkan orang lain, lebih baik saya tolak secara baik,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails