
BETAPA hatinya terluka apabila difitnah dengan tuduhan sengaja menggugurkan kandungan yang berusia tujuh bulan. Ibu mana yang tidak sayangkan anak, malah kehadiran cahaya mata pertama memang cukup dinantikan pelakon Dynas Mokhtar dan suaminya, Mohd Hafizy Mohd Hafiz serta seluruh keluarga mereka.
Mulut tempayan boleh ditutup, inikan pula mulut manusia? Betapa sengsaranya Dynas apabila persoalan mengenai kandungannya yang terpaksa digugurkan menjadi topik perbualan dan kutuk mengutuk oleh penulis blog dan pelbagai ruangan dalam internet. Bukan mahu memberi kata semangat ketika dirinya dirundung malang dan derita, sebaliknya pelakon yang pernah dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 itu dikecam hebat dengan fitnah yang mengguris rasa.
Dengan nada perlahan, Dynas akui: Hati mana yang tak terguris apabila membaca macam-macam kutukan yang dilemparkan, malah saya tidak dapat memaafkan mereka yang melemparkan fitnah yang mengaibkan itu. Saya dan keluarga tak boleh diterima apabila dituduh menggugurkan kandungan, sedangkan anak saya `jantung terhenti ketika dalam kandungan.

Selepas melakukan pemeriksaan bulanan, doktor mengesan jantung anak saya sudah terhenti, jadi tiada gunanya lagi saya terus menyimpannya dalam kandungan. Atas nasihat doktor, saya perlu melahirkan bayi segera walaupun hakikatnya saya tahu, anak saya sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Saya melahirkannya secara normal dan hanya Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya melahirkan anak yang sudah tidak bernyawa.
Mereka tak tahu kesusahan saya, mereka juga tak tahu betapa saya tertekan. Selama tujuh bulan mengusung perut dan menjaga kandungan dengan baik, jadi menggunung harapan saya mahu melihat bayi dilahirkan dengan selamat, tetapi nyata, bukan rezeki saya dan suami. Saya kecewa tetapi inilah ujian terbesar buat saya dan suami. Ketika saya masih lagi terkenang detik kehilangan anak, saya diduga dengan fitnah yang lebih hebat.
Saya dilemparkan dengan macam-macam tuduhan mengarut hingga saya tak sanggup mendengarnya. Apa dosa anak saya, apa dosa saya hingga forum dalam internet membahaskan cerita yang bukan-bukan? Saya sedar inilah harga yang perlu dibayar apabila memilih menjadi anak seni, setiap gerak geri pasti menjadi perhatian. Bagaimanapun, semuanya sudah berlalu, saya mahu berfikiran positif, biarlah apa orang nak kata, asalkan saya bahagia bersama suami dan keluarga.
Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinaz Wan Mokthar akui, kadang kala hatinya tetap bersedih apabila terkenangkan dirinya tidak sempat menjaga bayi yang dinantikan selama ini. Bagaimanapun, dia dan suami tidak akan berputus asa, malah tetap berusaha untuk mendapatkan cahaya mata lain pada masa depan.
Tiada gunanya saya terus bersedih, mereka yang melemparkan fitnah bukan keluarga saya, tiada kena mengena dengan hidup saya. Saya akui yang nak menjatuhkan saya memang ramai, tetapi hanya Tuhan yang dapat membalas jasa baik mereka. Alhamdullilah, saya semakin biasa melalui pahit manis sebagai anak seni, katanya.
Akui diri seorang perahsia
ANAK kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu mengakui dirinya seorang perahsia, malah sejak awal kemunculannya sebagai pelakon, jarang perkara peribadi yang mahu dikongsi bersama peminat.
Secara jujur, Dynas akui: Saya tak suka berkongsi kisah peribadi, malah ketika nak berkahwin dulu, saya hanya umumkan pada saat akhir. Jadi apabila berlaku kejadian yang meruntun jiwa ini, perlukah saya beritahu umum? Bagi mereka yang tahu, tahulah dan saya pula bukan jenis yang suka bercerita.

Bagaimanapun, ada yang beranggapan saya sengaja mahu merahsiakan kematian anak saya, malah mereka buat cerita bukan-bukan hanya kerana saya tak beritahu cerita kematian anak saya. Takkan tidak faham keadaan saya ketika itu, saya tertekan dan tak dapat nak fikir apa-apa. Keadaan saya dalam kesedihan yang amat sangat, selepas itu, perlu melalui kesakitan pula dalam melahirkan anak.
Bila saya fikir balik, manusia takkan berhenti bercakap. Bila gembira mereka tetap mengata apatah lagi, bila dilanda kesusahan, umpat dan keji perkara biasa. Bagaimanapun, tak semua yang berfikiran begitu, ada sesetengah peminat yang memberi sokongan dan berkongsi pengalaman mereka dengan saya. Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak ia menaikkan semangat saya yang agak lemah ketika itu.
Muncul dalam drama Kata Hati
MENGULAS perkembangan terbaru, Dynas berkata, dia kini muncul dalam drama bersiri terbaru, Kata Hati arahan Harris Fadhilah menerusi Samarinda di TV3, setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam sejak 30 Jun lalu. Drama 25 episod terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) itu berkisarkan konflik keluarga, percintaan dan persahabatan.
Ia turut dibarisi pelakon Jue Aziz, Fouziah Gous, Rahim Jalani, Aida Razwil, Ahmad Tarmimi Siregar, Fadilah Mansor, Steven Yap dan Puspa Narayanan.
Terbaru, saya juga terbabit dalam penggambaran telemovie Pelangi Pudar arahan Azmi Hatta. Buat pertama kali, saya memegang peranan isteri terseksa, berperwatakan orang kampung dan mempunyai ramai anak. Suami pula bersikap pemalas sehingga isteri dan anak-anak terpaksa ikat perut kerana tiada makanan di rumah, katanya yang juga bertuah dicalonkan dalam kategori Anugerah Artis Paling Bergaya, Anugerah Shout! 2009 anjuran stesen TV, 8TV yang berlangsung pada Sabtu lalu. Dynas bersaing dengan penyanyi Faizal Tahir, Marion Counter, Maya Karin dan Sazzy Falak dalam anugerah urban itu.
INFO: Dynas
•NAMA: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar
•NAMA KOMERSIAL: Dynas
•TARIKH LAHIR: 8 Mac 1983
•UMUR: 26 tahun
•ASAL: Petaling Jaya, Selangor
•PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
•PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008.
•FILEM: Cinta Kolestrol, I Know What U Did Last Raya, Main-Main Cinta, Haru Biru, Kayangan, Impak Maksima, Dunia Baru The Movie dan Apa Kata Hati.
•DRAMA: Gerimis Salju, Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing, Julia Juli dan Kala Hati