Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dynas tak kisah

Pelakon akur arahan suami supaya balik rumah sebelum jam 12 tengah malam Perintah untuk pulang ke rumah sebelum jam 12 tengah malam seperti kisah dongeng Cinderella antara syarat yang terus dipegang dramatis Dynas Mokhtar, selepas memilih hidup untuk berkahwin dengan Mohd Hafizy Hafiz seterusnya selepas melahirkan dua anak, Khyra Khalyssa, 2, dan Muhamed Haqaish, 2 bulan. Bagi Dynas, 29, dia tidak ralat atau melihat arahan suaminya itu sebagai satu beban atau tekanan. Sekalipun ada yang menyifatkan zaman kegemilangan Dynas sudah berakhir, ia tidak langsung menjadi kudis buat pelakon bernama penuh Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar. Sepanjang bergelar anak seni, nama Dynas pernah berada di kemuncak suatu ketika dulu. Lakonan dan bakatnya pernah diiktiraf menerusi trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi 2007 dan 2008. Bertemu pemilik label Dynas Nursing Attire (DNA) pada 1 Ogos lalu untuk sesi fotografi bersama B*POP di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, mama vogue ini masih hot seperti anak dara. Dynas yang baru tamat proses berpantang pada 29 Julai selepas melahirkan Haqaish pada 15 Jun lalu berkongsi kamar hatinya. Pendek kata, Ramadan kali ini lebih bermakna dengan kehadiran Haqaish. “Saya sendiri memilih jalan begini yakni untuk memiliki sebuah rumah tangga. Saya reda dan tidak kisah dengan persepsi masyarakat. Ikutkan suami saya sejak dulu tidak menggalakkan saya berlakon lagi tapi tidaklah pula dia melarang untuk terus menoktahkan perjuangan seni ini. “Ikutkan ada saja tawaran berlakon yang datang. Tapi pengalaman membesarkan Khyra sekali lagi saya jadikan contoh yang sama untuk Haqaish, sekali gus membuatkan saya melepaskan tawaran yang tiba. Saya tidak boleh memberikan komitmen berlakon di saat masih perlu menyusu badan di saat Haqaish masih kecil,” kata Dynas saat ralit dioles cantik jurusolek kegemarannya, Esham yang menjadi pilihan sejak enam tahun lalu. Bagi Dynas, dia sendiri tidak mampu lagi mengkelaskan dunia lakonan jatuh di tangga berapa selepas memilih untuk hidup berkeluarga. Benar, untuk Dynas aktif berlakon seperti dulu memang sesuatu yang sukar tetapi itu tidak bererti minatnya terhadap bidang lakonan semakin terhakis. “Kalau ada yang melihat sudah tiba masanya untuk saya berundur, kenyataan sebegitu ternyata tidak akan terpacul dari mulut sendiri. Saya lebih rela mendiamkan diri dan menerima saja kenyataan andai dunia seni bukan lagi keghairahan. Saya bimbang kenyataan sebegitu akan memakan diri. “Memang rindu saya untuk berlakon kembali begitu membuak-buak. Tapi saya sendiri tak mampu menjangka atau meluahkan rasa yang terkumpul saat menerima sesebuah tawaran berlakon. Tetapi saya sedar ruang dan diri kerana saya bukan lagi Dynas yang dulu. “Scha Alyahya sendiri pernah bertanya mengenai hal sama apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak. Dalam hal ini, bukan soal diri sudah tidak laku atau jatuh saham. Cuma ada perkara tertentu yang lebih penting harus diutamakan selepas berkahwin. “Tapi, saya tidak mahu mengalah sebelum berjuang. Siapa tahu, tuah serta rezeki untuk saya kembali menyinar akan ada atau sebaliknya. Lihat saja macam Vanidah Imran selepas memberikan tumpuan kepada keluarga selang beberapa tahun, tiba-tiba namanya kembali menjadi sebutan,” kata Dynas yang akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada label DNA yang selama ini cukup menuntut banyak masa. Bercerita lanjut mengenai Haqaish yang dilahirkan seberat 3.02 kilogram dan kini bertambah menjadi 5.02 kilogram, Dynas melihat kehidupannya semakin lengkap. Mujur juga Khyra cukup menyokong dan menyayangi adiknya, biarpun sesekali timbul juga perasaan cemburu. Akui Dynas, Khyra lebih akrab dengan Hafizy dan kerap mencium adiknya. Terdahulu, kebahagiaan Dynas pernah diragut selepas anak sulung Dynas, Emma Malisa meninggal dunia dalam kandungan. Tetapi kesedihan itu tidak berpanjangan apabila dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan. Istimewa juga hari lahir Haqaish jatuh pada hari kelahiran Hafizy. “Pengalaman melahirkan Haqaish tiada bezanya seperti Khyra. Proses berpantang pun sama saja. Saya mengurut badan dan bertunku selama 30 hari berturut-turut. Cuma kali ini, saya saya membeli mesin stim untuk membakar lemak di badan dan setiap hari saya ‘bersauna’ di rumah. Mungkin itu sebabnya lemak di badan berkurangan. “Sebagai ibu bapa, kami merancang yang terbaik untuk anak. Tapi jangan ditanya kepada saya bila nak tambah lagi anak. Saya sendiri tak tahu jawapannya. Selain memberi tumpuan membesarkan Haqaish, saya juga sibuk mempromosikan rangkaian DNA, terbabit dengan ekspo berkaitan keibubapaan dan bayi,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails