Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bukan eksklusif tapi cerewet - Eja



Berkecimpung selama 14 tahun dalam dunia seni, pelakon Siti Shahrizah Saifuddin, 39, boleh dikatakan antara selebriti yang tergolong dalam kelompok ‘berharga’ itu.

Membintangi puluhan drama termasuk filem, jelitawan yang mesra disapa Eja ini layak digelar primadona tanah air. Pun begitu, kebelakangan ini, kelibat Eja semakin sukar dilihat di kaca televisyen. Tak seperti dahulu.

Dek kerana itu, maka timbul pula suara-suara sumbang yang mendakwa Eja sudah mula demand dengan produksi selain dilabel sebagai pelakon eksklusif.

Tegas menafikan tuduhan itu, kata Eja, eksklusif bukanlah perkataan yang sesuai untuk dilemparkan kepadanya. Malah, berdiri untuk mempertahankan hak, kata Eja dia punya alasan sendiri mengenainya.

“Saya tak pernah mengkelaskan diri saya sebegitu. Ya, saya cerewet tetapi bukan eksklusif. Saya tak tahulah pelakon lain, tetapi biasanya setiap kali saya terima tawaran, perkara pertama yang akan saya lakukan ialah meneliti skrip itu terlebih dahulu.

“Saya akan pastikan skripnya bagus dan jalan cerita yang menarik. Saya tak akan sewenang-wenangnya terima satu-satu tawaran tanpa menyemaknya. Ini prinsip saya sejak dulu,” katanya.

Jelas Eja, dia juga akan memastikan watak yang ditawarkan kena dengan jiwa dan karakternya.

Malah, kata pelakon yang popular dalam drama bersiri Seputeh Qaseh Ramadhan ini lagi, dia lebih suka jika hasil lakonannya diingati peminat selain mahu mengekalkan kualiti dalam setiap hasil kerjanya.

“Seperti yang saya katakan, saya cerewet bersebab. Saya tak mahu peminat bosan kalau balik-balik muka saya yang keluar televisyen.

“Kalau sekali-sekala orang pasti akan rindu nak tengok lakonan saya. Di situ kita boleh lihat sedikit sebanyak akan ada perubahan positif dalam setiap watak yang saya bawa.

“Saya pun tak mahu kalau peminat kata lakonan saya asyik sama sahaja. Sekali-sekala saya juga perlu bawa perubahan.

“Sebab itu, kalau anda perasan, watak yang saya pegang juga sudah dipelbagaikan. Semuanya ikut kesesuaian,” ujar anak kelahiran Kuala Kubu, Selangor ini lagi.

Penangan drama seram

Membintangi drama berunsur seram bukanlah sesuatu yang baru buat aktres berbakat besar ini. Sebelum ini, dia pernah mewarnai dunia seram menerusi lakonan mengesankan dalam drama arahan Ahmad Idham, Durja Ningsun untuk siaran TV3.

Kini, Eja kembali memenuhi selera penonton menerusi filem seram pertamanya yang berjudul Janin.

Menurut ibu kepada Nur Eishal Mohd Silahuddin yang kini sudah berusia setahun, filem arahan Hitler Yeop tersebut mungkin adalah lakonan seramnya yang pertama dan terakhir.

Eh, hairan juga ya. Pantas menyelitkan alasan, kata wanita berbintang Capricorn ini, baginya sama ada drama mahupun filem, seram merupakan sebuah naskah berat berbanding yang lain.

Malah, seram juga banyak menguji kesabaran Eja sebagai seorang pelakon terutama apabila terpaksa berhadapan dengan kemungkinan diganggu makhluk-makhluk ghaib.

Apalagi sejak bergelar ibu, Eja mengaku begitu mengambil berat terhadap perkara ini meski ada yang menganggap ia merupakan kepercayaan karut.

“Tak kiralah kita pada zaman moden atau apa, tetapi sebagai manusia yang berpegang pada ajaran Islam, kita wajib percaya bahawa makhluk-makhluk itu juga menumpang di bumi ciptaan Allah S.W.T ini.

“Tambah-tambah lagi, bila berlakon dalam drama atau filem begini, sedar atau tidak, kita sebenarnya seolah-olah ‘memanggil’ makhluk mistik terutama menerusi babak membabitkan jampi dan mentera,” katanya.

Mungkin ada yang jelik atau melihat amalan ini sebagai sesuatu yang kolot, tetapi percaya atau tidak, Eja banyak mengamalkan petua-petua orang lama khusus untuk menghindari diri daripada membawa pulang ‘teman’ yang tak dikenali.

“Paling utama adalah dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Itu memang menjadi pegangan Eja setiap kali berada di set penggambaran atau apabila rasa ada yang tak kena.

“Selain itu, Eja juga akan meludah sebanyak tiga kali dan berjalan mengundur membelakangkan pintu sebelum memasuki rumah.

“Bunyinya kolot bukan? Tapi itulah amalan saya. Satu lagi, kalau penggambaran dijalankan di kawasan yang ‘keras’, saya biasanya tidak akan pulang ke rumah terus.

“Sebaliknya saya akan melepak di mana-mana tempat dahulu contohnya di kedai mamak bagi memastikan tidak ada yang ‘menumpang’.

“Lagipun saya bimbang kalau-kalau makhluk itu datang mengganggu Eishal. Iyalah, orang tua-tua selalu cakap, budak kecil biasanya boleh nampak benda-benda ghaib ini,” katanya.

Sayang si Esah

Menerusi filem Janin, Eja memegang watak utama, iaitu seorang nelayan dan juga seorang ibu bernama Sutera. Digandingkan bersama barisan pelakon hebat lain seperti Sherry Merlis, Zami Ismail, Kismah Johar, Zulkifli Md Zain, Kuswadinata dan Datuk Rahim Razali, kata Eja, filem ini punya elemen lain dari yang lain.

Menurut duta produk kecantikan Bio Essence ini, selain seram, Janin cukup sarat dengan elemen kekeluargaan dan kasih sayang.

“Ia bukan filem hantu semata-mata. Fokus utama filem ini adalah penerapan sifat kasih sayang, kerinduan seorang anak kepada ibunya. Pendek kata, ia banyak menyentuh realiti kehidupan antara ibu dan anak.

“Sutera dalam cerita ini sebenarnya sangat menyayangi Esah, anaknya yang meninggal dunia gara-gara kesilapannya sendiri.

“Filem ini adalah mengenai emosi seorang ibu dan seorang isteri. Tak seperti filem seram lain, ” tegasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails