
Eja kongsi pengalaman ancaman tsunami ketika jalani penggambaran Janin di tengah lautan
PENGALAMAN ketika penggambaran filem Janin arahan Yeop Hitler Zami tidak mungkin mampu dilupakan pelakon utamanya, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja. Selain berdepan tsunami kecil, pelakon, pengarah dan kru penerbitan juga menghadapi saat cemas apabila laut bergelora dan angin bertiup kencang ketika penggambaran dijalankan di Selat Melaka. Malah, ada ketikanya mereka terpaksa berlari bertempiaran apabila siren tsunami berbunyi ketika penggambaran dilakukan di tepi pantai. Bagaimanapun, kejadian yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat mereka untuk meneruskan penggambaran sehingga selesai. Filem Janin terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd sudah menjengah pawagam Khamis lalu. Selain Eja, filem bergenre seram itu turut dibintangi Haire Othman, Sherry Merlis, Zami Ismail, Kismah Johar, Zulkifli Md Zain, Rashidah Jaafar, Ghazali Abu Noh, Kuswadinata, Datuk Rahim Razali, Alanaaz Jahan dan Mohd Idris Mohd Diah.
Eja berkata, nyawa mereka bagaikan tidak selamat ketika penggambaran dijalankan di sekitar Melaka. Bukan hanya berdepan dengan detik cemas tsunami yang melanda Malaysia dan Indonesia kira-kira tiga tahun lalu, malah ada ketikanya, pantai bergelora dan berombak tinggi ketika penggambaran di tengah lautan.
"Saya panik apabila melihat laut bergelora dan angin bertiup kencang. Ketika itu, saya melakonkan babak sedang berdayung bersama seorang pelakon kecil.
Ketika penggambaran sedang dibuat, siren tsunami berbunyi. Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya apabila berdepan dengan situasi cemas ini. Terdetik di fikiran bagaimana saya mahu menyelamatkan diri bersama anak kecil ini sedangkan saya tidak tahu berenang. Bagaimanapun, penggambaran terpaksa dihentikan dan kami berpindah ke lokasi lain.
"Berlakon dengan anak kecil di tengah lautan juga mencabar buat saya. Anak kecil tahu sajalah emosinya, kadang kala tidak menentu. Saya perlu pandai melayannya kerana tidak mahu anak kecil ini meragam dan menangis.
"Ujian untuk kami tidak berhenti setakat itu, saya bersama kru penerbitan diuji pula dengan tsunami yang berlaku ketika itu. Ada masanya kami terpaksa lari lintang pukang apabila mendengar siren amaran, malah ada sebahagian kru penerbitan terpaksa berpindah rumah dan memikul barang-barang pada masa yang sama.
"Saya betul-betul rasa diuji dengan cabaran ketika menjalani penggambaran filem Janin. Bagaimanapun, alah bisa tegal biasa, saya sebenarnya sudah biasa diuji sejak bergelar pelakon pada usia 19 tahun," katanya yang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Aku Bukan Mariam dan Mantera Anjasmoro. Selain itu, Eja juga membintangi sebuah lagi filem yang masih dirahsiakan judulnya.