Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Wan Sharmila Alah Kerongsang Tudung


SEMENJAK aktres genit kelahiran Johor Bahru, Johor ini mula meniti langkah di pentas lakonan tanah air, dia begitu sinonim dengan watak-watak remaja yang berwarna-warni dan penuh ceria.

Namun, atas prinsip ingin memberikan warna terhadap watak yang dijayakan serta memperkembangkan bakat seni yang ada, Wan Sharmila Wan Mohamed atau Wan Sharmila (Wan) menyahut cabaran terbaru sebagai guru sekolah pula.

Bukan sahaja watak itu memberi anjakan terhadap watak lazim yang dibawakannya sebelum ini, peranan sebagai guru bernama Siti Hawa untuk telefilem terbaru Bianglala Di Kaki Langit itu juga bakal menyaksikan wanita berusia 28 tahun ini bertudung buat pertama kalinya.

Menurut Wan, pengalaman membawakan watak Siti Hawa bukan sahaja memaparkan imej lakonan yang lebih matang, malah ia juga pengalaman sulungnya bertudung sepanjang terlibat dalam telefilem arahan Rayromani itu.

"Ini adalah pertama kali saya bertudung dalam lakonan. Malah, watak sebagai guru sekolah juga amat berbeza daripada mana-mana watak yang biasa saya bawa sebelum ini.

"Untuk menjayakan watak Siti Hawa saya perlu tampilkan lakonan yang lebih matang, tenang dan baik serta sopan.

"Pada awalnya saya akui agak kekok dan janggal apabila terpaksa bertudung sepanjang penggambaran. Bayangkanlah saya terpaksa menyarung tudung selama berjam-jam selagi penggambaran tidak habis," katanya.

Selain bertudung buat pertama kali, Wan juga sempat berkongsi satu lagi insiden lucu yang berlaku terhadapnya gara-gara bertudung untuk watak itu.

Dia telah mendapat alahan yang agak serius di bahagian kulit bawah lehernya kerana alah pada kerongsang tudung.

"Saya mendapat alahan pada bahagian leher. Kulit pada bahagian bawah leher menjadi kemerahan, gatal dan timbul ruam.

"Tapi jangan salah faham, bukannya kulit saya mendapat alahan kerana terpaksa bertudung, tapi disebabkan oleh kerongsang tudung yang saya pakai.

"Ketika penggambaran hendak bermula, saya terus beli saja kerongsang yang ada di depan mata, mungkin kulit saya alah pada besi kerongsang itu. Habis kulit leher saya merah dan naik ruam," ceritanya dengan bersungguh-sungguh.

Bercerita lagi tentang watak itu, selain kejanggalan yang dirasainya kerana memainkan watak wanita bertudung, Wan turut berasa kekok apabila memainkan watak seorang guru sekolah menengah.

Apa tidaknya, saiz fizikalnya yang kecil itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa kekok di hatinya apabila terpaksa mengajar pelajar-pelajar sekolah menengah yang rata-ratanya lebih besar dan tinggi daripadanya.

"Saya rasa kekok juga memainkan watak guru kepada pelajar-pelajar yang lebih bear dan tinggi daripada saya.

"Selain itu, ada juga rasa lucu apabila watak Siti Hawa itu memerlukan saya menjadi seorang wanita yang sopan, baik, berbudi-bahasa dan rasa seperti sangat tua daripada usia saya.

"Namun, ia satu pengalaman yang menarik dan lari daripada watak-watak yang biasa saya bawa sebelum ini seperti gadis remaja, pelajar sekolah, gadis yang ceria dan tergila-gila," tambahnya sambil berseloroh.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails