
Impian yang ada dalam genggaman itu sangat dihargai, malah anak jati Johor Bahru ini tidak lelah mengasah bakal lakonannya. Usaha keras berhasil apabila dia yang sebelum ini muncul sebagai pelakon pembantu mendapat kepercayaan menghidupkan watak utama dalam siri Tari Tirana yang menghiasi slot Lestary TV3.
Biarpun itu petanda baik dalam kembara seninya, Wan Sharmila Wan Mohamed tidak berani meletakkan sebarang harapan. Ini kerana dia masih hijau dan dalam proses pembelajaran.
"Saya minat berlakon dan menari sejak di bangku sekolah. Ketika menari secara profesional saya berpeluang muncul sebagai model dan ada agensi menyarankan saya berlakon. Ketika itulah saya jumpa abang Ezad.
"Laluan saya tidak semudah disangka. Banyak onak duri terpaksa ditempuhi hingga pernah satu ketika saya hampir berputus asa dan mahu berundur. Mujur saya dikelilingi mereka yang sentiasa berfikiran positif dan tidak jemu-jemu memberi sokongan.
"Saya mula mendapat perhatian selepas muncul dalam Kisah Kaisara arahan Aziz M Osman. Selepas dapat sambutan, Abang Ezad tawarkan saya watak dalam Sindarela, Rona Roni Makaroni dan Tari Tirana.
"Saya terhutang budi padanya kerana percayakan bakat saya, begitu juga Abang Ezad. Bekerja dengan Abang Ezad menuntut saya bekerja keras. Berkawan baik tidak bermakna saya boleh main tangkap muat. Dia tawarkan watak kepada pelakon yang diyakininya," kata bintang Sutun, Emil Emilda, Merah Putih dan Air Mata Azizah ini.
Barangkali tidak ramai tahu Tari Tirana adalah kombinasi ideanya dan Ezad. Bekas penari Noraniza Idris ini pernah mengikuti kelas tarian koreografer terkenal, Linda Jasmin.
Di situlah tercetusnya idea menghasilkan cerita gadis yang suka menari dan sanggup melakukan apa saja untuk merealisasikan cita-citanya.
"Ketika mengikuti kelas cikgu Linda, saya kagum dengan tubuhnya yang cantik. Kebetulan ketika itu saya berisi. Saya bercerita dengan Ezad dan kami nampak ada potensi untuk visualkan satu kisah menarik mengenai dunia tarian ke layar kaca.
"Idea ini sudah lama, malah Ezad mahu arah drama ini sebelum Sindarela, tetapi apabila meletakkan nama saya sebagai pelakon utama, cadangan itu ditolak TV3.
"Ezad sanggup menangguhkan projek ini semata-mata mahu kekalkan saya sebagai tonggak cerita. Apapun saya bersyukur kerana selepas Sindarela, TV3 memberi laluan kepada Tari Tirana," katanya yang berkampung di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, sejak Jun lalu bagi menjayakan 23 episod siri ini.
Mengulas lanjut watak Tirana, dia berkata, pengarah mahukan penampilan manja dan hampir dengan dirinya. Tidak hairan mengapa watak berkenaan sangat dekat di hati, malah tidak jauh berbeza dengan keperibadian sebenarnya yang periang dan mencintai tarian.
"Ada yang pertikai kebolehan saya menari dan mengharapkan sesuatu yang lebih hebat. Hakikatnya, apa yang cuba kami sampaikan Tirana tidaklah hebat sangat menari tetapi sanggup berusaha keras kerana minat.
"Saya seronok menjayakan watak Tirana, apatah lagi kebanyakan rakan penari dalam siri ini boleh menari dan ada yang pernah menari secara profesional.
"Jika ada babak tarian, saya akan berlatih selama dua hari sebelum penggambaran. Pengalaman menari sebelum ini banyak membantu saya di lokasi," kata anak bongsu daripada dua beradik ini.
Mengulas kritikan penonton yang mengatakan siri berkenaan tidak mempamerkan budaya Melayu dan merosakkan remaja, bekas hos Ringgit Remaja ini berkata, apa yang cuba dipaparkan Ezad adalah realiti muda-mudi masa kini.
"Abang Ezad visualkan apa yang dia bayangkan dalam perjalanan hidup Tirana. Dia mungkin mahu cerita ini lebih berwarna-warni dan 'real' untuk tarik perhatian penonton.
"Bagi saya, bukan menjadi kesalahan jika tampilkan remaja lebih 'trendy' seperti dalam Tari Tirana biarpun di luar lokasi saya tidak pernah berpakaian macam Tirana.
"Kalau ada yang tidak suka, terutama penonton berusia, itu perkara biasa. Soal jahat atau penampilan seksi ada sebabnya. Ia boleh dijadikan sempadan dan jangan diikut. Saya percaya masyarakat pandai menilai baik buruk sesuatu perkara," katanya.
Sinonim dengan watak gadis manja, mengada-ngada dan periang mengundang persepsi negatif segelintir masyarakat yang mengguris hatinya. Jauh di sudut hati dia tertanya-tanya mengapa dicop gedik, sedangkan dia sekadar memenuhi kehendak watak dan skrip.
"Saya tidak boleh tutup mulut orang tetapi bohonglah kalau saya cakap tak kecil hati. Terus terang, saya sedih bila mereka terus cop saya gedik tanpa cuba mendekati saya.
"Saya jenis manja dan periang, mungkin orang salah tafsir bila melihat cara saya bercakap dan bergurau. Tidak mustahil juga jika persepsi itu timbul bila ada yang terpengaruh dengan watak yang saya jayakan sebelum ini, lebih-lebih lagi dalam siri Sindarela.
"Kebetulan pula kebanyakan tawaran yang datang menjurus watak sama dan sebagai pendatang baru saya tidak boleh terlalu memilih watak. Lagi pula saya dalam proses belajar mendalami selok-belok bidang ini.
"Bila Tari Tirana ditayangkan, banyak kritikan saya terima. Sampai satu tahap, saya tidak dapat menahan air mata kerana terlalu sebak. Saya berusaha buat sebaik mungkin tapi masih ada yang mempertikaikannya.
"Kadangkala saya serba salah bila tahu ada juga rakan artis beranggapan serupa. Bila saya diam mereka kata saya sombong, tetapi bila ramah cop saya gedik. Sebab itu kadangkala saya diam di lokasi dan hanya selesa berbual dengan mereka yang memahami saya," katanya yang mengharapkan pengertian ramai supaya tidak terus membuat tuduhan melulu.
Tidak cukup dicop gedik, dia pernah dikritik hebat kerana penampilannya yang seksi. Apabila perkara ini diajukan kepadanya, sambil ketawa Wan Sharmila berkata, dia tidak pernah berasakan dirinya seksi.
Sudah jadi kebiasaannya berseluar atau berskirt pendek apabila keluar rumah. Pun begitu teguran berkenaan dipandang serius, malah dia kini lebih berhati-hati supaya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.
"Mungkin saya boleh jadi diri sendiri bila bersama keluarga tetapi di depan khalayak saya perlu bijak memilih pakaian sesuai. Setiap kritikan orang ramai saya jadikan pedoman dan cuba memperbaiki diri dari semasa ke semasa," kata pemilik suara nyaring ini.
Berbual dengannya memang menghiburkan, malah dia berusaha menjawab soalan sebaik mungkin biarpun kurang selesa bila menyentuh perihal kehidupan peribadi.
Diminta mengulas desas-desus rumah tangga yang dikatakan bergolak, Wan Sharmila dengan lembut menolak kerana menjadi prinsipnya dari awal kemunculan untuk tidak berbicara soal peribadi.
"Saya tidak pernah rahsiakan status, tetapi cukuplah masyarakat sekadar tahu saya sudah berkeluarga. Selebihnya biarlah bercerita soal kerjaya kerana saya tidak mahu cerita rumah tangga lebih diberi perhatian berbanding karier saya.
"Saya harap media faham dan menghormati permintaan saya," katanya yang terbabit dengan penggambaran musim terbaru Kisah Kaisara 24 Oktober ini yang akan ditayangkan di laman sesawang Kotex.
