Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Wan tidak tolak jodoh


BERTENTANG mata dengan aktres bertubuh genit, Wan Sharmila baru-baru ini di pelancaran drama terbaru lakonannya, Da'Bomba sungguh mengejutkan. Tubuhnya yang dulu sedikit berisi kini semakin kurus, wajahnya juga semakin cengkung.

Pelbagai persoalan timbul, mungkinkah dia masih bersedih atas penceraiannya dengan bekas suami yang juga pengarah dan penulis skrip di syarikat produksi Radius One Sdn. Bhd., Fazli Baharom yang berlaku pada Oktober tahun lalu?

Namun, pelakon yang selesa disapa Wan sekadar tersenyum. Menafikan penurunan berat badannya itu impak kekecewaannya terhadap keruntuhan rumahtangga yang dibina selama empat tahun, sebaliknya Wan menegaskan kini sedang berdiet untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

"Saya bukannya sedih atau kecewa seperti yang disangka ramai. Saya masih makan seperti biasa, malah saya juga gembira dengan kehidupan yang saya lalui sekarang.

"Cuma kini saya dalam proses diet. Berat saya pernah cecah 48 kilogram (kg), kemudian naik 54 kg, yang terkini adalah 45 kg dengan ketinggian 156 sentimeter," ujarnya.

Wanita berusia 29 tahun itu menuturkan bahawa sebelum ini dia merancang untuk berdiet tetapi tidak menyangka berat badannya akan turun secara mendadak dan menyebabkan orang sekelilingnya risau dia menjalani diet secara tidak sihat.

"Sebenarnya saya diet kerana selepas drama bersiri Tari Tirana saya sudah tidak dapat watak remaja. Saya banyak dapat watak ibu dan watak yang matang, mungkin bila kurus saya nampak remaja sikit walaupun usia sudah tua (ketawa).

Saya tidak rancang nak turun sampai muka nampak cengkung macam ini. Ingatkan nak turunkan sikit sahaja. Saya tahu memang saya nampak tidak sihat tetapi saya sedang berusaha untuk bersenam dan berdiet secara sihat," jelasnya.

Berpatah arang

Nampaknya selepas bergelar janda, rezeki Wan dan bidang lakonan semakin bertambah. Jika dulu, dia umpama pelakon residen di produksi Radius One Sdn. Bhd. sehingga matanya tertutup dek produksi luar, kini baru dia sedar bahawa rezeki lakonannya semakin terbuka luas.

Menurutnya, semasa masih bergelar isteri kepada Fazli dulu, dia ada juga mendapat tawaran daripada produksi lain.

"Saya tidak kata dulu saya terikat atau dikongkong cuma masa tidak mengizinkan kerana waktu itu saya banyak terikat dengan drama bersiri di Radius One. Justeru, saya tidak sempat untuk berlakon dengan produksi yang lain.

"Saya juga tidak suka buat banyak drama dalam satu-satu masa, bimbang tidak dapat ditangani nanti. Malah, jika seseorang pelakon terikat dengan drama bersiri memang agak susah untuk kita curi-curi masa," tuturnya.

Ditanya lagi, adakah dia sudah berpatah arang dengan produksi Radius One selepas tidak lagi menjadi isteri orang penting produksi tersebut? Wan menjawab: "Drama terakhir saya bekerja dengan mereka adalah Tari Tirana, selepas itu mereka tidak panggil saya lagi.

Bagi saya, walaupun kami bukan lagi suami isteri tetapi saya masih mampu untuk berlakon secara profesional. Hubungan kami juga masih baik sebagai rakan. Apa yang berlaku sudah menjadi sejarah, apa pun saya harus bekerja untuk teruskan hidup."

Sinonim dengan watak remaja meskipun usia hampir mencecah angka 30 tahun, Wan mengakui selepas bercerai dia lebih banyak menerima watak yang lebih serius dan matang.

"Syukur, selepas bercerai rezeki saya masih ada dan makin banyak berbanding dulu. Ada ketika saya harus tolak beberapa tawaran kerana jadual penggambaran bertembung. Kebanyakan penerbit juga tidak melihat saya Wan Sharmila yang sering melakonkan watak remaja.

"Mereka secara terbuka memberi saya watak yang lebih mencabar dan watak-watak yang tidak pernah saya bawakan sebelum ini," ujarnya.

Malah, kini dia juga lebih berdikari dalam segala hal yang membabitkan urusan kerjayanya berbanding dahulu dia hanya bergantung kepada Radius One.

"Banyak benda yang saya belajar daripada menguruskan jadual sendiri sehinggalah bab memilih skrip. Saya tidak ada pengurus atau pembantu peribadi untuk menguruskan saya jadi saya memang terlalu sibuk buat masa ini.

"Sehingga ada masanya tersalah tarikh ke lokasi penggambaran. Bukan itu sahaja, saya juga terpaksa memandu dari Kuala Lumpur ke Johor untuk penggambaran dan memandu semula ke Kuala Lumpur kerana komitmen yang lain," tuturnya.

Thailand

Tidak mengenal erti penat, kata Wan dia lebih puas menguruskan diri sendiri daripada bergantung kepada orang lain.

"Saya rasa lebih selesa urus diri sendiri, tetapi jika masa depan saya perlukan seorang pengurus peribadi saya tidak akan menolak setakat hari ini belum lagi," terangnya jujur.

Bercakap tentang perkahwinan, meskipun pernah bercerai itu tidak sesekali membuatkan Wan serik berkahwin sekali lagi. Walaupun sibuk dengan kerjaya, kata Wan jika bertemu dengan orang sesuai, dia tidak akan menunggu lama untuk menamatkan zaman solonya.

"Kalau ada, saya tidak menolak. Umur saya bukannya muda lagi. Saya juga mengharapkan yang terbaik," ungkapnya dalam senyuman manis.

Terbaru, Wan terlibat dalam drama Da'Bomba. Drama yang diterbitkan oleh SRS Production sebanyak 13 episod itu mengisahkan kehidupan kejiranan di kuarters bomba dan penyelamat.

Menyelitkan unsur komedi, dalam drama tersebut, Wan membawakan watak isteri kepada ketua balai yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 tahun.

Selain Wan, drama tersebut turut dibintangi Elly Suriaty, Anita Baharom, Sharifah Shahora, Rozie Othman, Aida Aris, Azza AF, Rem, Ezani, Razak Ahmad, Hamdan Ramli dan Khairil Anwar.

Selain itu perkhabaran terbaru yang diterima Wan kini berada di Thailand menjalani penggambaran untuk sebuah program terbitan TV1 berjudul Klik Klik Asean. Bertindak sebagai hos program 13 episod itu membawa Wan ke Vietnam, Thailand, Kemboja dan Bali, Indonesia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails