Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Azean Irdawaty Tak Percaya Benjy Terlibat Sindiket Edar Dadah


PETALING JAYA: Aktres veteran popular, Azean Irdawaty tidak percaya bahawa anaknya, pelakon terkenal Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

"Yang Kak Yan tak faham macam mana dia (Benjy) ditangkap di rumahnya di Segambut tetapi kemudian dibawa ke sebuah rumah di Kepong di mana ada bahan-bahan yang dikatakan makmal mini memproses dadah," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada mStar Online di sini semalam.

Portal berita dalam talian dan akhbar semalam menyiarkan laporan tentang seorang pelakon popular yang pernah memenangi anugerah pelakon terbaik dan juga anak kepada aktres veteran terkenal kini ditahan reman kerana disyaki memiliki 850 gram kokain dan 1.4 gram syabu dengan nilai rampasan bernilai RM650,000.

Aktor berusia 31 tahun itu ditahan di kondominium mewahnya di Jalan Segambut pada Khamis.

Dalam serbuan tersebut, polis menemui makmal memproses dan membungkus dadah.

Pelakon itu dicekup bersama teman wanitanya berusia 24 tahun di tempat meletak kereta di kondominium tersebut pada pukul 2.30 pagi Khamis setelah polis mendapat maklumat daripada orang ramai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang ketika dihubungi berkata, pelakon itu ditahan reman selama tujuh hari mulai Jumaat di Balai Polis Bukit Jalil bersama teman wanitanya.

Difahamkan pelakon tersebut sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 4 tahun dan kekasihnya itu, telah disahkan positif methamphetamine ketika melakukan ujian air kencing.

Artis tersebut mungkin akan berhadapan hukuman gantung mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam pada itu, Azean, 60, mendakwa, anaknya sering kehabisan wang dan kerap meminta pertolongan daripadanya jika menghadapi masalah kewangan.

“Masalahnya, Benjy selalu pokai dan kerap minta tolong dengan saya walau untuk bayar duit rumahnya atau duit belanja untuk ke pasar,” ujarnya.

Tambah pelakon filem Talentime, Waris Jari Hantu, Anak Mami Kembali dan Baginda itu, dia pelik bagaimana akhbar boleh menyatakan anaknya itu mampu menjual dadah terbabit sehingga beratus-ratus ribu ringgit nilainya.

Dia juga mempersoalkan penglibatan anak lelaki tunggalnya itu, sedangkan mengikut maklumat yang diketahui, mereka yang mengambil bahan-bahan terlarang itu fizikalnya kurus dan hiperaktif.

“Macam mana surat khabar kata dia boleh jual sampai beratus-ratus ribu. Kereta pun dia tak ada.

“Lagipun Kak Yan Google (di Internet) orang kalau ambil benda itu kurus dan hiperaktif sedangkan Benjy gemuk, suka tidur. Selain itu, dia sering menghabiskan masa di kolam pancing pagi, petang, siang dan malam,” katanya.

Karisma Kapoor Selamat Lahir Bayi Lelaki


Karisma Kapoor selamat melahirkan anak keduanya di Hospital Breach Candy.

AKTRES terkenal Bollywood Karisma kapoor telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Breach candy pagi semalam.

Sementara anak pertamanya Samaira kini telah berumur enam tahun. Sepanjang kariernya sebagai pelakon, Karisma telah berjaya melakonkan beberapa watak dalam filem Raja Hindustani, Hero No.1 dan Dil To Pagal Hai.

Kawan baik Karisma, Farah Khan Ali turut mengucapkan tahniah melalui laman sosial twitter.

"Karisma Kapoor telah melahirkan bayi lelaki yang comel. Tahniah buatnya dan keluarga," kata Farah.

Konsert Tirai AF8 Hambar, Tidak Meyakinkan


Barisan peserta AF8 yang membuka tirai pengenalan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam tadi. - Foto The Star Oleh M. AZHAR ARIF

MUSIM kelapan Akademi Fantasia (AF8) membuka tirainya semalam dengan menampilkan persembahan 12 orang peserta buat pertama kalinya di hadapan khalayak ramai.

Hampir kesemua pelajar AF8 kelihatan terlalu ghairah untuk menyampaikan lagu-lagu yang bernod tinggi pada persembahan pertama mereka, namun secara keseluruhannya persembahan mereka hambar dan tidak meyakinkan.

Konsert malam tadi dimulakan dengan peserta paling berumur, Zafarina Jamhari, 28, atau Farina yang mendendangkan lagu Mayang Sari, Tiada Lagi.

Ini diikuti dengan Muhammad Shahril Mohs Saleh Hussein, atau Shah yang menyanyikan lagu kumpulan Meet Uncle Hussien, Drama King.

Ain, antara peserta yang telah memikat hati ketiga-tiga pengkritik AF8.

Percubaan berani Dayang Nor Anum Arjuna Aharun, atau Anum mendendangkan lagu Raja Rock, Amy Search berjudul Pelesit Kota, bagaimanapun gagal memikat hati pengkritik.

Pasangan adik beradik, Erma Suhaimi dan Siti Adira Suhaimi mendapat pujian pengkritik. Erma yang menyampaikan lagu Aishah, Tiada Lagi Tangisan mendapat pujian pengkritik undangan Ning Baizura kerana pemilihan lagu yang sesuai.

Manakala, adiknya Siti Adira Suhaimi dipuji kerana bijak menggunakan pentas dan lincah menari ketika menyampaikan lagu Gagap nyanyian Stacy.

Jejaka dari Ipoh, Perak, Ahmad Shahrir Zawawi memilih untuk mendendangkan lagu sifu M. Nasir, Andalusia. Peserta tunggal dari Johor Bahru, Johor, Muhd Firdaus Maulana Mohamed pula menyampaikan lagu Hazami, Tekad.

Sementara itu, Emirza Azwan Zulazrin Chew atau Iwan telah memilih lagu Cuba, oleh Faizal Tahir. Nadia Emilia Roselan pula lebih senang memilih lagu dari negara seberang berjudul Gantung oleh Melly Goeslow.

Tiga peserta AF8 memilih untuk membawa lagu berbahasa Inggeris sebagai pengenalan diri mereka di konsert tirai.

Muhd Shahril Firdaus Eli, atau Daus, menyanyikan lagu N'Sync, Bye Bye Bye, Muhammad Alif Kadim, atau Alif selesa mengalunkan lagu popular Kris Allen Live Like We're Dying dan Nadiawaty Ainul Basir atau Ain dengan lagu The Climb oleh Miley Cyrus.

Persembahan Ain yang menutup tirai konsert menerima pujian daripada ketiga-tiga pengkritik kerana berjaya membawakan lagu itu dengan baik di samping persembahan yang hebat berbanding 11 peserta lain.

Gandingan pengacara AF8 Jimmy Shanley dan Sarimah Ibrahim kurang meyakinkan.

Selain persembahan para perserta yang kurang meyakinkan, gandingan pengacara Jimmy Shanley dan Sarimah Ibrahim juga dilihat masih lemah dalam mengemudi perjalanan konsert.

Bagaimanapun, gurauan dan usikan mereka tetap berjaya mengurangkan perasaan gugup dan gementar di kalangan peserta.

Konsert Pengenalan Tirai AF8 turut menampilkan barisan pengkritik tetap iaitu Adlin Aman Ramli dan Aznil Nawawi, selain pengkritik undangan penyanyi Ning Baizura.

Umie Aida Nikah Di Masjidil Haram 14 Mac Ini


PELAKON jelita, Umie Aida, 37, telah mengumumkan tarikh pernikahannya dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, pada 14 Mac ini di Tanah Suci Mekah.

Pernikahan tersebut akan berlangsung pada Ahad ini berlangsung di Masjidil Haram dengan dihadiri seramai 20 orang ahli keluarga dan rakan terdekat.

Umie memberitahu rombongannya berangkat ke Mekah pada 11 Mac dan pulang pada 18 Mac sebelum majlis resepsinya yang bakal diadakan pada 28 Mac ini.

Selain itu, Umie memberitahu majlis resepsi yang akan berlangsung pada 28 Mac akan diadakan di One World Hotel dan bakal dihadiri seramai 1200 tetamu termasuk jemputan khas Tun Dr. Mahathir Mohammad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Johan Lali Dengan Gosip

PELAWAK, pelakon dan pengacara Johan Raja Lawak tidak selesa dengan gosip yang sering digembar-gemburkan oleh pihak media yang dikatakan sering mencari kesilapannya.

Kisah peribadi yang menyentuh anak lelakinya yang baru lahir, keluarga dan kisah-kisah lama begitu menyentak kredibilitinya sebagai seorang lelaki, suami dan bapa.

Namun begitu dia tetap bertegas dengan pendiriannya yang tidak mahu memberi muka dengan spekulasi yang dilemparkan terhadapnya oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab itu.

Dia juga tidak mahu publisiti yang hanya bertujuan untuk mengaibkan dan menjejaskan 'periuk nasi'nya sebagai anak seni.

Setahun Eja tidak berlakon


RINDUNYA membuak-buak kerana sudah sampai ketika yang dinanti-nanti untuk turun ke lokasi yang sangat dicintai.

Kata hati yang satu itu mahu dipenuhi tetapi dibantah jiwa secara halus. Begitulah dilema yang kadangkala merasuk emosi wanita bernama Siti Shahrizah Saifuddin, 38.

Realitinya, sudah lebih setahun kerja lakonan tidak terisi dalam jadual hariannya. Drama terakhir yang disertainya ialah Tasbih Cinta, itu pun sekitar tahun 2008 dan sehingga kini ada episod yang belum disudahkan.

Sepintas lalu, jelitawan yang akrab disapa Eja ini seperti berperang dengan perasaan sendiri. Berbelas tahun bergelar isteri namun tanggungjawab sebagai ibu yang baru digalasnya selama enam bulan sungguh mencabar dirasakan.

Naluri ibu

"Setidak-tidaknya saya akan kembali bersemangat dan merasa sedikit puas jika saya dapat keluar bekerja.

"Saya bukan jenis wanita yang gemar duduk di rumah. Saya mula bekerja sejak tamat sekolah pada usia belasan tahun.

"Tempoh berpantang selepas bersalin merupakan 'cuti' paling panjang saya setakat ini," katanya yang hanya mendedahkan status perkahwinan setelah hamil anak pertama tahun lalu.

Benar keluarga kini menjadi perkara nombor satu Eja, bukan lagi kerjaya yang glamor itu. Namun, perasaan rindu terhadap dunia lakonan masih mampu ditahan.

Kehadiran Nur Eishal, enam bulan, telah mengubah 100 peratus roda hidup Eja.

"Saya ingin keluar bekerja tetapi setiap kali memandang mata anak, saya seperti tidak sanggup untuk berenggang dengannya.

"Sekarang baru saya faham dan semakin menghargai pengorbanan seorang ibu.

"Menjaga dan membesarkan anak tidak dapat dilakukan dalam masa yang singkat. Kalaulah ada 48 jam dalam sehari, 48 jam itulah saya akan tumpukan kepada anak," lirihnya bersulam senyum.

Namun, kemanisan bergelar ibu telah dicemari insiden yang menakutkan apabila si kecil didakwa didera si pembantu rumah.

Berita bayi cedera di rumah pengasuh atau tercekik susu dek kelalaian orang gaji sememangnya telah lama membuatkan Eja tidak sanggup melepaskan anak daripada pangkuan.

Orang gaji

"Dalam berjaga-jaga, pengalaman menakutkan itu datang juga kepada saya. Sebelum ini tidak pernah sekali pun pembantu rumah saya itu memandikan bayi atau membasuh botol susu anak saya.

"Semuanya dilakukan dengan kudrat saya. Dia cuma membantu kerja-kerja rumah yang lain.

"Saya cuma curi-curi keluar rumah ketika Eishal tidur pada waktu malam untuk berurut badan selama dua tiga jam. Itu pun masih sempat dia diapa-apakan oleh pembantu rumah.

"Bila ditanya, dia tidak mengaku. Saya ada bukti. Ada gambar kesan-kesan luka di badan Eishal yang saya rakamkan.

"Tetapi memandangkan kes itu sudah menjadi kes polis, saya dinasihatkan tidak mendedahkan rakaman itu kepada media," katanya sambil menunjukkan rakaman kesan luka si kecilnya kepada penulis.

Tambah Eja, sebaik sahaja habis berpantang, dia menerima banyak tawaran berlakon tetapi ditolaknya.

Katanya, dia menunggu masa yang sesuai kerana mahu melihat si bayi membesar di depan mata. Sifat keibuan mendesak Eja melakukan semuanya sendiri demi anak.

"Sebab itulah saya ambil pembantu rumah dengan harapan setelah tiga bulan saya menjaga Eishal, saya boleh keluar bekerja. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Genap 100 hari, orang gaji itu cabut lari setelah sikap buruknya dapat saya hidu," getusnya geram.

Pasang CCTV

Pembantu rumah Eja yang hanya dikenali sebagai Mona atau Susie lari dari rumah pada 18 Februari lalu. Susie ialah pembantu rumah kelima Eja tetapi dia benar-benar mengejutkan Eja dan suami, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49.

Untuk lebih berwaspada, pasangan itu kini memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Mereka juga tidak akan mengambil pembantu rumah yang baru buat sementara waktu.

Masih bergelar jurucakap untuk produk penjagaan kecantikan dan pelangsingan badan, Bio-essence sejak Oktober 2009, Eja kini terpaksa meminta bantuan suami untuk menjadi 'Mr. Mama'.

"Komitmen saya dengan Bio-esssence sudah termaktub dalam kontrak.

"Mahu tidak mahu, saya harus mengikuti setiap sesi promosi serta bengkel yang telah dirancang syarikat berkenaan," katanya.

Tiada pilihan selain memanjangkan tempoh 'berehat', Eja pasrah dengan perjalanan yang harus ditempuhi.

Tidak mahu membebankan ibu dan adik-beradik yang lain, dilema dan keinginannya untuk kembali melalui laluan kelmarin memerlukan banyak masa untuk dipulihkan.

Kereta terbalik artis selamat


SEMEMANGNYA malang tidak pernah berbau. Bagaimanapun anggota Kumpulan One Nation Emcees, Mimie dan Jojoe mungkin boleh dianggap cukup bertuah kerana terselamat dalam kemalangan jalan raya di Bandar Utama, Petaling Jaya, awal pagi Khamis lalu.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi itu kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu berpusing-pusing dan merempuh sebatang pokok sebelum terbalik.

Ketika kejadian mereka dalam perjalanan untuk menghadiri temu bual secara langsung untuk program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas.

Jika dilihat kepada keadaan kenderaan jenis Mazda 3 berwarna putih itu, mungkin ada yang beranggapan individu di dalam kenderaan tersebut sudah tidak bernyawa lagi.

Paling tidak pasti ada yang cedera parah ekoran keadaan kereta yang terbalik lintang-pukang sedemikian rupa. Tapi itulah... Bak kata pepatah ‘berpantang maut sebelum ajal’.

Pengalaman ngeri itu tentu sekali meninggalkan trauma kepada artis terbabit.

Ia berpunca apabila Mimi yang memandu kenderaan terpaksa bergegas untuk menghadiri siaran langsung di stesen televisyen TV3.

Malangnya, bila tiba berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Puay Chai, kenderaan di hadapan mereka membrek secara mengejut.

“Ini menyebabkan Mimi hilang kawalan apabila dia cuba mengelak. Alhamdulillah, walau pun kenderaan teruk, kedua-duanya selamat,” ujar pengurus One Nation Emcees, Jai.

Mereka bernasib baik kerana kenderaan yang dipandu dengan kelajuan yang dianggarkan 40km sejam itu tidak membuatkan mereka cedera.

Chef Wan-Serina Bertegang Leher Pasal Jemputan Kahwin


Chef Wan lebih stres dengan tetamu jemputan yang bakal hadir ke majlis-majlis itu sehingga bertegang leher dengan anak gadis tunggalnya itu.

JIKA anaknya, Serina stres memikirkan enam resepsi perkahwinan yang akan dilakukan pada awal Januari ini, Chef Wan merasai dua kali ganda daripada itu.

Chef selebriti terkenal ini berkata dia lebih stres dengan tetamu jemputan yang bakal hadir ke majlis-majlis itu sehingga bertegang leher dengan anak gadis tunggalnya itu.

“Saya risau pasal tetamu sebab pada saat-saat akhir Serina memberitahu hendak mengajak ramai kawan-kawannya dalam 150 orang.

“Bukan apa, saya dah tetapkan senarai tetamu yang akan datang ke majlis perkahwinan Serina nanti.

“Keluarga dan saudara mara saya sudah ramai…itu belum kira dengan 150 orang kawan saya dari luar negara dan beberapa tetamu VIP.

“Setakat ini tetamu VIP yang akan datang adalah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,” kata Chef Wan ketika sesi fitting baju untuk dipakai semasa majlis persandingan Serina dan bakal menantunya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar.

Sehubungan itu, Chef Wan berkata dia akan membuat satu majlis keraian mempelai di Sungai Koyan, Pahang bagi meraikan orang kampung yang tidak dapat hadir ke majlis di Kuala Lumpur pada hujung Januari nanti.

“Saya akan membuat sebuah majlis resepsi secara besar-besaran untuk orang-orang kampung dan sesiapa yang tidak dijemput dalam majlis di Kuala Lumpur,” ujar pelakon dan pengacara ini.

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail berkata dia mengambil masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lima resepsi penting di Kuala Lumpur iaitu majlis merisik, bertunang, berinai kecil, akad nikah, berinai besar dan persandingan pada 31 Disember, 1 Januari dan 2 Januari ini.

“Saya stres juga apabila fikirkan tentang persiapan perkahwinan Serina seperti hiasan, makanan dan banyak lagi.

“Semuanya tak boleh dibuat cincai dan perlu memenuhi tujuh darah keturunan yang diwarisi oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang berdarah Jawa, Cina dan Jepun sementara bekas isterinya, Norhayati berketurunan Pakistan.

Sementara bakal menantunya yang merupakan Pengarah Eksekutif Football Focus Sdn Bhd itu berketurunan Irish dari England.

Ditanya mengenai jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Chef Selebriti Terbaik Dunia di World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009 ini, dia bagaimanapun tidak mahu menghebahnya.

“Saya banyak juga mengeluarkan wang tapi alhamdulillah, saya mendapat diskaun daripada kawan-kawan untuk menghasilkan majlis yang sederhana ini.

“Bukan senang untuk mendapatkan pereka-pereka pakaian dan pelamin yang berbakat besar,” kata lelaki berusia 52 tahun ini.

Chef Wan juga berkata, dia tidak akan membiarkan majlis Serina sewenang-wenangnya mewah dengan tajaan.

Walaupun begitu, dia ada menerima tajaan dari Euromoda untuk baju Melayu dan baju kebaya bagi majlis pertunangan, nikah dan persandingan; barang kemas Habib Jewels untuk digayakan oleh Serina sepanjang resepsi-resepsi itu termasuk Lord’s Tailor (sut Gavin, Chef Wan dan Chef Riz yang dipakai semasa majlis persandingan).

“Sebab itu saya menolak apabila pereka Jovian Mandagie hendak sponsor baju pengantin berjumlah setengah juta ringgit.

“Saya juga menolak hak eksklusif daripada stesen televisyen seperti Astro yang berminat untuk menyiarkan majlis perkahwinan Serina.

“Tetapi rancangan Wanita Hari Ini akan menyiarkan secara langsung untuk majlis pernikahan dari Masjid Wilayah Persekutuan,” ujarnya yang bercakap dengan pantas seperti keretapi ekspres.

Ramai yang menjangkakan majlis perkahwinan Serina dan Gavin bakal dinobatkan sebagai wedding of the year.

Namun, bapa kepada Chef Nazri ini juga tidak pernah memikirkan tentang gelaran itu asalkan majlis itu dilangsungkan dengan jayanya.

“Saya hanya buat yang terbaik untuk anak saya dan keluarga saya yang besar. Jadi saya tidak tahu sama ada majlis perkahwinan Serina ini akan menjadi wedding of the year atau tidak,” ulasnya.

Serina dan Gavin akan bernikah pada 1 Januari ini di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mas kahwin RM1,000.

Pihak perempuan akan menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran sebanyak RM30,000 manakala pihak lelaki akan dibalas dengan sembilan dulang hantaran.

Pengurus Nafi Awal Terlibat Dalam Serbuan Di Pusat Hiburan


KUALA LUMPUR: Berikutan penahanan seorang pelakon dan pengacara lelaki berusia 28 tahun pada awal pagi tadi, timbul desas-desus mengatakan artis terbabit adalah Awal Ashaari.

Menurut sumber yang berada di tempat kejadian, pelakon tersebut disahkan antara 21 orang yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan tanpa lesen di bumbung sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang di sini.

Artis itu ditahan kerana enggan menjalani ujian air kencing dalam serbuan pukul 3.15 pagi itu.

Difahamkan, pelakon Scha Al-Yahya dan Juliana Evans turut berada di pusat hiburan berkenaan. Namun mereka dibebaskan setelah ujian air kencing yang dijalankan didapati negatif.

Bagaimanapun Pengurus Awal, Azlina Merican yang dihubungi berkata, dia amat terkejut dengan berita itu dan menafikan sekeras-kerasnya Awal terbabit dengan kes tersebut.

"Saya terkejut dengan berita itu. Saya pun baru dimaklumkan oleh seorang teman sebentar tadi namun berita ini tidak berasas sama sekali.

"Apa yang saya boleh katakan, artis itu memang bukan Awal," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Supritendan Sharifah Hawariah Syed Idrus ketika dihubungi enggan mengesahkan perkara tersebut namun tidak menafikan bahawa Awal terbabit dalam serbuan itu.

Usaha untuk menghubungi Awal, Scha dan Juliana bagaimanapun menemui jalan buntu apabila mereka tidak menjawab panggilan.

Selain mereka bertiga, dua lagi artis lelaki, kedua-duanya berumur 40-an, dibebaskan selepas ujian air kencing mereka didapati negatif dadah dalam serbuan.

Terdahulu, Sharifah Hawariah berkata, pusat hiburan yang terletak di tingkat lapan itu didapati beroperasi tanpa lesen sejak lebih enam bulan lalu pada setiap malam sehingga pukul 6 pagi.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur manakala mereka yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 15 (1)9(a) Akta Dadah Berbahaya 1950.

Serina dan Gavin 'Fitting' Baju Kahwin






Hentikan Spekulasi - Saya Sudah Kahwin


Bergelar janda atau ibu tunggal bukannya mudah, pasti akan ada gosip yang singgah menyapa hidup. Bagi aktress berusia 36 tahun ini, Kuza berharap penjelasan kini beliau bahagia dengan kehidupan berumahtangga akan melenyapkan gosip yang mengatakannya intim dengan VVIP.


"Mereka tak tahu orang itu adalah suami saya sendiri. Ini adalah perkahwinan ketiga bagi saya dan suami. Bukannya saya ingin merahsiakannya selama ini.

"Cuma kena berhati-hati dengan apa yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Takut juga kalau saya bercerita tapi bila tak jadi, diri sendiri yang malu.

"Biarlah secara sederhana tapi kekal sampai bila-bila," ujarnya yang telah melangsungkan perkahwinan beberapa tahun yang lepas bersama lelaki yang berstatus duda.

"Mempunyai tiga anak hasil daripada perkahwinan terdahulu, Kuza menjelaskan beliau dan suami masih merancang untuk menambah orang baru dalam hidup mereka. Suami Kuza, Ramlus Sideqe, juga mempunyai lima orang anak daripada perkahwinan sebelumnya.

Hasil Produk Sendiri

Bekas duta kepada produk kecantikan ini bakal mengeluarkan produk pelansingan badan berasaskan Pati Halia.

"Disebabkan saya pernah menjadi duta Dunia Herbs, orang akan percaya produk yang ingin dihasilkan lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan slimming produk.

"Saya sendiri amalkannya selama dua tahun dan memang mujarab. Produk ini berdasarkan kepada pengalaman saya tapi akan mengikut formula sendiri," ujarnya yang akan melancarkan produk terbaru sekitar Januari tahun depan menerusi syarikatnya, Universal Herbs.

Menasihatkan agar pengguna tidak terlalu terburu-buru melihat hasilnya. Amalkan setiap hari dan berat akan turun dengan secara semulajadi.

"Macam adik saya, Kuna, selepas lapan bulan amalkan baru nampak hasilnya. Macam sesetengah produk yang menjanjikan kesan yang cepat sebenarnya akan mendatangkan banyak kesan sampingan," ujar wanita jelita ini.

Walaupun telah mempunyai tiga orang anak, namun Kuza masih mengekalkan bentuk badan yang menawan. Anak dara pun boleh kalah. Kuza berkongsi rahsia kejelitaannya bersama Mangga Online.

"Kalau nak maintain berat, kena jaga makan. Kalau boleh elakkan makan malam dan jangan makan nasi. Kalau lapar sangat makan roti sekadar alas perut.

"Untuk kulit muka pula, elakkan makanan berminyak. Dan jangan terlalu obses menjaga kecantikan kerana kadang kala ianya akan merosakkan tanpa kita sedari," ujarnya yang bakal muncul dalam drama terbaru arahan Rashid Sibir, Aliff Firdaus yang bakal menggantikan tayangan Nur Kasih.

Saksikan drama menarik ini yang membariskan pelakon hebat seperti Nasir Bilal Khan, Beego, Fadhilah Mansor, Irma Hasmie, Zed Zaidi, Maria Farida dan ramai lagi setiap Jumaat bermula 11 Disember 2009 jam 9.00 malam.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails