
SEMEMANGNYA malang tidak pernah berbau. Bagaimanapun anggota Kumpulan One Nation Emcees, Mimie dan Jojoe mungkin boleh dianggap cukup bertuah kerana terselamat dalam kemalangan jalan raya di Bandar Utama, Petaling Jaya, awal pagi Khamis lalu.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi itu kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu berpusing-pusing dan merempuh sebatang pokok sebelum terbalik.
Ketika kejadian mereka dalam perjalanan untuk menghadiri temu bual secara langsung untuk program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas.
Jika dilihat kepada keadaan kenderaan jenis Mazda 3 berwarna putih itu, mungkin ada yang beranggapan individu di dalam kenderaan tersebut sudah tidak bernyawa lagi.
Paling tidak pasti ada yang cedera parah ekoran keadaan kereta yang terbalik lintang-pukang sedemikian rupa. Tapi itulah... Bak kata pepatah ‘berpantang maut sebelum ajal’.
Pengalaman ngeri itu tentu sekali meninggalkan trauma kepada artis terbabit.
Ia berpunca apabila Mimi yang memandu kenderaan terpaksa bergegas untuk menghadiri siaran langsung di stesen televisyen TV3.
Malangnya, bila tiba berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Puay Chai, kenderaan di hadapan mereka membrek secara mengejut.
“Ini menyebabkan Mimi hilang kawalan apabila dia cuba mengelak. Alhamdulillah, walau pun kenderaan teruk, kedua-duanya selamat,” ujar pengurus One Nation Emcees, Jai.
Mereka bernasib baik kerana kenderaan yang dipandu dengan kelajuan yang dianggarkan 40km sejam itu tidak membuatkan mereka cedera.