Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Badrul Muhayat Berang Dengan 'Laporan Melampau' Di Dada Akhbar


AKTOR drama popular Awan Dania, Badrul Muhayat Ahmad Jailani begitu berang ketika diminta untuk mengulas mengenai laporan di dada-dada akhbar semalam yang mendakwanya kini diburu polis bagi membantu siasatan ke atas kes pukul isterinya.

Badrul yang dihubungi mStar Online berkata, dia terlalu marah dengan 'laporan melampau' yang diterbitkan itu.

Katanya, laporan itu telah 'diperbesar-besarkan' daripada fakta sebenar yang berlaku hingga menjejaskan urusan rutinnya.

"Saya terlalu geram dan marah dengan laporan yang diterbitkan itu. Ia sangat melampau dan sengaja dibesar-besarkan daripada fakta sebenar.

"Ia bukan sahaja mencemarkan nama saya, malah lebih teruk hingga menyusahkan pergerakan saya untuk melakukan rutin seharian.

"Sekarang, saya sukar hendak bergerak ke mana-mana pun. Semuanya jadi terbatas disebabkan oleh laporan itu. Sedangkan ia tidak seburuk dan seteruk seperti mana yang didakwa," kata Badrul dengan nada marah.

Tambah Badrul, pertengkaran dengan isteri adalah lumrah bagi mana-mana pasangan yang berkeluarga.

Dia yang mengakui bergaduh dengan isterinya itu, bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya telah bertindak kejam dan melampau sebagaimana yang dilaporkan.

"Itu perkara biasa dalam berumah tangga tapi tidaklah sampai teruk seperti yang dilaporkan. Laporan akhbar itu seolah-olah memberi gambaran yang saya telah bertindak dengan kejam dan melampau," katanya penuh kekesalan.

Ketika diminta untuk mengulas lanjut, Badrul bagaimanapun enggan untuk bercerita kerana berada dalam keadaan yang tidak senang. Dia juga memohon untuk diberi sedikit ruang privasi.

"Minta maaf, saya tidak bersedia untuk bercakap lebih lanjut. Saya akan beri komen esok atau lusa. Saya harap saudara faham keadaan saya sekarang," ujar Badrul mengakhiri perbualan ringkas itu.

Dalam kejadian pagi Rabu lalu, Badrul dilaporkan telah bertindak kejam terhadap isterinya Julia Daud, 28, dengan memukul, menumbuk, menendang serta mencekik leher isterinya itu di rumah mereka di Kampung Cheras Baru.

Pihak media juga melaporkan, polis kini sedang mencari pelakon popular itu untuk mendapatkan keterangan.

Syamsul & Scha mula serasi


Gosip cinta mengarut!: Syamsul tolak dakwaan hatinya dipermainkan Scha

MENJELANG 2010, anak teruna pasangan Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail - Syamsul, 26, terus menjadi kebanggaan keluarga Skop Production apabila dia tampil dengan filem terbaru arahannya, Evolusi KL Drift 2 (EKLD2), sekali gus mencatat sejarah apabila menjadi filem termahal terbitan Skop setakat ini dengan kos pembikinan mencecah RM2.5 juta!

Pastinya menjelang 25 Mac ini, jantung Syamsul semakin kuat berdebar menanti reaksi penonton apabila EKLD2 lakonan bersama Scha Alyahya, Farid Kamil, Remy Ishak, Aaron Aziz dan Shaheizy Sam mula menjengah pawagam.

Pun begitu, apabila diamati barisan filem arahan Syamsul sebelum ini sehingga yang terbaru EKLD2, dia turut memegang watak utama. Benar, semua filem berkenaan terbitan syarikat keluarganya sendiri, justeru terpulanglah kepadanya untuk mencorak karya berkenaan asal saja ia meledak di pawagam. Namun, tindakan Syamsul bergelar pengarah dan teraju utama, boleh diibaratkan sebagai ‘artis gila kuasa’, apa komennya? “Apa salah saya mengasah bakat dalam produksi sendiri? Selagi filem arahan saya mendapat sambutan dan ayah pula memberi kepercayaan, saya akan teruskan. Lagipun saya percaya pada bakat. Kalau tak ada bakat, saya tak mahu berlakon, buat malu saja,” katanya.

Apabila bercakap mengenai bakat dan populariti, rasanya Syamsul belum mencapai kedua-duanya. Sebagai bukti, empat watak dalam EKLD2 yang dibawakan Scha Alyahya, Farid Kamil, Aaron Aziz dan Remy Ishak, semuanya tercalon menerusi kategori masing-masing dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang akan berlangsung pada 4 April ini.

Kata Syamsul, bakat dan populariti adalah dua perkara berbeza. Namun, dia menganggap kedua-duanya amat penting dalam karier seseorang artis itu.

“Bakat adalah anugerah Tuhan, manakala populariti datang dengan sendiri. Lagipun populariti memerlukan masa. Bagi saya, buktikan dulu hasil kerja kita kepada peminat, baru populariti datang. Tak dinafikan, bakat dan populariti berjalan seiring dan sama penting,” jelas Syamsul.
Terdengar desas-desus, ketika pembikinan EKLD2, Syamsul pernah mendekati Scha, namun bekas kekasih Fahrin Ahmad itu umpama jinak-jinak merpati, apabila ingin ‘ditangkap’ ia terbang, sekali gus ada dakwaan memberitahu, Syamsul kecewa apabila berasakan dirinya dipermainkan Scha.

“Mengarut! Ketika penggambaran EKLD2, Scha masih bercinta dengan Fahrin (Ahmad). Saya tak pernah ‘tersangkut’ dengan Scha! Saya dan Scha sekadar berkawan baik apabila sama-sama berlakon, kami mencari keserasian. Kalau boleh, saya tak mahu lagi bercinta sesama artis. Pengalaman lalu banyak memberi pengajaran, banyak dugaannya,” akuinya berterus-terang.

Justeru, ketika ini Syamsul dilaporkan masih berkawan rapat dengan seorang pelajar, Nabila Fatima, 18, apabila perhubungan itu dikatakan mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

“Persahabatan kami terjalin atas perkenalan keluarga masing-masing. Biarlah keadaan menentukannya, saya reda. Namun, fokus saya ketika ini adalah terhadap kerjaya,” kata Syamsul yang bakal muncul dengan satu lagi filem arahannya, Khurafat, dalam genre seram yang bakal ditayangkan penghujung tahun ini.

Selain itu, beliau juga kini dalam proses perbincangan untuk menghasilkan filem genre romantik-komedi, Aku Bukan Tomboy (working title) yang berkemungkinan beliau juga berganding sekali lagi dengan Scha.

Selain itu, terdengar juga ura-ura persahabatan Syamsul dengan Farid Kamil agak dingin, gara-gara kononnya Syamsul sukar menerima kenyataan, Farid ketika ini sedang menjalin hubungan serius dengan bekas kekasihnya, Diana Danielle. Sejauh mana kesahihannya?

“Saya tak ada masalah dengan Farid (Kamil). Ia sekadar khabar angin yang tak berasas. Bagi saya, desas-desus ini timbul apabila Farid dilaporkan bercinta dengan Diana (Danielle). Farid nak berkawan atau bercinta dengan Diana, itu hak masing-masing. Saya tak ada kena mengena. Buku lama saya dah tutup. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang, saya lebih tenang,” kata Syamsul yang juga penyampai trofi pada malam ABPBH 2009.

Scha akui Awal penuhi kriteria lelaki idaman

SEMENTARA itu, Scha yang juga finalis Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 2009, dilaporkan terus selesa apabila semakin banyak undian diterimanya. Tambahan pula, drama bersiri popular Astro Ria, Awan Dania 2 sedang ligat berputar di kaca TV. Pada masa sama, filem terbaru lakonan Scha, EKLD2 akan menemui penonton 25 Mac ini, sekali gus memberi kelebihannya kepadanya meraih undian lebih tinggi pada saat akhir.

Pun begitu, dalam kerancakan menanti malam gilang gemilang ABPBH 2009 di Genting Highlands apabila Scha juga diberi peluang sebagai penyampai trofi berpasangan dengan cinta barunya, Awal Ashaari, dia terpalit situasi kurang enak. Tidak semena-mena, nama Scha turut terheret dalam kancah kontroversi antara kawan baiknya, Linda Onn bersama bekas kekasihnya, Fahrin Ahmad di mahkamah.

Difahamkan, Linda Onn menerusi peguamnya mengaitkan nama Scha dalam situasi dirinya bersama Fahrin yang kini sedang berdepan dengan kes saman fitnah. Khabarnya, sebaik saja Scha mengetahui berita itu, beberapa hari dia tidak berhubung dengan Linda, kononnya dia amat kecewa dengan tindakan penyampai radio SuriaFM itu yang tergamak mengheret namanya ke mahkamah. Sejauh mana kebenarannya?

“Terus-terang, saya memang terasa hati dengan situasi itu, bukan kecewa... Saya hanya mendapat tahu nama saya dikaitkan dalam kes Linda (Onn) dan Fahrin (Ahmad) selepas membaca berita di akhbar. Ada juga peminat Linda yang menyalahkan saya, kononnya saya ‘cuci tangan’ apabila tidak mahu terheret sama ke mahkamah.

“Padahal, perbalahan hanya berlaku antara Linda dan Fahrin, tapi saya pula terkena tempiasnya apabila peminat nampak saya berkawan baik dengan Linda sebelum kes saman menyaman ini tercetus.

“Sekarang nama saya sudah terheret sama. Apa lagi yang mampu saya lakukan? Justeru, saya biarkan situasi berkenaan berjalan begitu saja, tak ada apa lagi yang perlu dikesalkan. Kini, saya hanya tunggu tindakan selanjutnya daripada peguam yang mewakili Linda mahupun Fahrin. Sekiranya dipanggil ke mahkamah, saya sedia memberikan kerjasama,” jelasnya dalam nada sedikit kecewa.

Bagaimana hubungan baik Scha bersama Linda ketika ini, adakah dingin?
Kata Scha, dia sudah berkawan baik dengan Linda sebelum tercetusnya kes mahkamah ini lagi.

“Apa lagi yang mampu saya katakan? Sekarang ‘benda’ dah jadi, takkan saya nak anggap Linda musuh pula. Segala-galanya terpulang kepada nawaitu, niat saya berkawan dengan Linda, memang ikhlas, bukannya ada agenda tersembunyi atau berkomplot menjatuhkan mana-mana pihak,” katanya berterus-terang.

Seorang kawan baik seperti Linda, pasti tidak tergamak mengheret kawan sendiri ke perdebatan di mahkamah. Berdasarkan situasi ketika ini, menunjukkan Linda seolah-olah bukan teman sejati, sebaliknya didakwa cuba melepaskan diri sendiri. Apa komen Scha?

“Saya perlu melihat dari sudut positif. Seboleh-bolehnya saya tak mahu berprasangka buruk pada orang lain terutama Linda. Saya sekadar membantu Linda setakat yang terdaya saja. Yang lain-lain, saya serahkan pada ketentuan Tuhan. Saya reda dengan qada dan qadar. Insya-Allah kebenaran akan menyebelahi pihak yang benar,” jelas Scha yang sedikitpun tidak menyalahkan Linda dalam situasi berkenaan.

Beralih kepada cinta barunya yang kini menjalin hubungan serius dengan Awal Ashaari, Scha mengakui, pelakon, pengacara dan penyanyi itu memiliki kriteria yang dicarinya selama ini selepas hampir lima bulan menjalin persahabatan.

“Berilah saya peluang untuk lebih mengenali dirinya (Awal). Bagi saya, hubungan yang serius ketika ini tidak menjanjikan sebarang kepastian. Masih terlalu awal untuk melabel kami sebagai pasangan kekasih. Apa-apa saja boleh berlaku dalam perhubungan ini. Justeru, kami lebih selesa begini (berkawan rapat). Kami sekadar merancang yang terbaik dalam perhubungan, selebihnya berserah saja pada Tuhan,” kata Scha penuh makna.

Bagi tahun kedua, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) sekali lagi menunjukkan sokongan padu sektor korporat dalam memartabatkan industri hiburan tanah air dengan menjadi antara penaja utama ABPBH 2009 bersama nilai tajaan melebihi RM215,000!

Kereta Nissan X-Trail 2.0L bernilai RM130,000 menanti Bintang Paling Popular 2009, manakala Nissan Grand Livina 1.6L berharga RM86,000 diberikan kepada pembaca bertuah yang memberikan slogan paling kreatif menerusi borang undian ABPBH 2009 yang disiarkan menerusi Berita Harian dan Berita Minggu mulai 22 Januari hingga 19 Mac lalu.

Remy, Rozita tolak gosip


GANDINGAN nama dua R - Rozita Che Wan, 37, dan Remy Ishak, 27, ini mempunyai aura yang sangat kuat dan tersendiri.

Rozita, sekalipun bukan lagi dalam usia 20-an dan agak berusia, namun dia masih ‘bergetah’. Status ibu tunggal menjadikan dia kegilaan ramai lelaki, selain buruan penerbit drama dan filem.

Remy pula, biarpun usia lakonan baru setahun jagung, drama Nur Kasih mampu mengubah nasibnya. Daripada seorang pemuda kampung, kini dia dilabel lelaki Melayu terakhir dalam industri filem. Baru putus cinta dan kini solo, menjadikan nama Remy terus hangat diperkatakan dan ramai yang ingin tahu siapa pengganti kekasihnya. Rozita dan Remy pertama kali digandingkan dalam fotografi bersama B*Pop apabila mereka belum pernah muncul berdua di mana-mana media cetak sebelum ini. Pun begitu, mereka pernah digandingkan menerusi drama siaran RTM, Cinta 3 Teruna suatu ketika dulu, namun selepas lebih dua tahun tidak bertentang mata, akhirnya sesi fotografi sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, menemukan pasangan ini!

Rozita mengakui, dia jarang menerima pelawaan apabila diminta bergandingan dengan mana-mana artis lelaki kerana lebih gemar bergambar solo atau sekurang-kurangnya berpasangan dengan adiknya, Ayu Raudhah. Tapi, sebaik saja dimaklumkan menerusi SMS, Rozita akan digandingkan dengan finalis Pelakon TV Lelaki Popular, Remy, dia terus membalas: “I like...”

Lebih menarik, pada hari fotografi berlangsung, kebetulan genap usia Rozita berganjak 37 tahun tanggal 9 Mac lalu.

Itu cerita Rozita. Bagi Remy pula, dia tidak pernah bertanya siapa yang bakal digandingkan dengannya, namun sebaik saja dimaklumkan akan berpasangan dengan Rozita, tiga hari sebelum fotografi, aktor berkulit sawo matang ini mengakui, dia tak lena tidur malam! Ternyata, Remy dan Rozita tidak kekok apabila diminta memberikan pose romantik di depan kamera. Yang jelas, kedua-duanya teruja apabila bertemu satu sama lain!
Kesempatan itu digunakan Remy untuk meraikan hari jadi Rozita sambil dikelilingi petugas Habib. Rozita yang juga Top 5 ABPBH 2009 kategori Pelakon TV Wanita Popular mengambil peluang berbelanja sakan di Habib apabila dua bentuk cincin berlian koleksi terbaru Habib menjadi pilihannya.

“Setiap kali hari jadi, saya memang gemar berbelanja, beli hadiah untuk diri sendiri. Namun, ulang tahun kali ini saya sangat teruja apabila Habib dan Remy buat kejutan untuk saya,” katanya.

Hadiah hari jadi daripada orang istimewa?

“Setakat dapat bunga pemberian peminat tu memanglah banyak, tapi kalau kategori hadiah istimewa pemberian seseorang, memang tak pernah ada. Kekasih pun tak jumpa-jumpa lagi sampai hari ini,” jelasnya lagi.

Apa pendapat Rozita mengenai Remy?

“Saya suka dengan personaliti Remy. Terus-terang, saya memang susah nak bergambar dengan lelaki. Saya very reserved. Tapi, untuk mempromosikan ABPBH 2009, saya rela langgar ‘pantang’,” katanya dalam nada gurauan.

Akui Rozita, gosip cintanya dengan seorang pemain bola sepak terkenal, sudah lama berkubur apabila menyifatkan hubungan mereka sekadar teman rapat semata-mata.

Namun, ada dakwaan, Rozita sering ‘bergayut’ di telefon berjam-jam dengan bintang sukan berkenaan, justeru masih ingin menafikan tidak wujud perasaan cinta?

“Saya akui perkara itu, saya gemar bercakap lama di telefon, kami susah nak jumpa, tapi itu tidak bermakna kami bercinta. Keluar dating berdua, tak pernah, tengok wayang jauh sekali, sekadar keluar makan beramai-ramai itu, pernahlah,” kata Rozita berterus-terang.

'Saya tak mahu ada kekasih'

Bagaimana pula dengan gosip terbaru yang mendakwa Rozita menjalin hubungan dengan seorang kerabat dari sebuah negeri berpengaruh? Khabarnya Rozita dan kerabat berkenaan pernah dilihat hadir bersama dalam satu majlis keramaian. Apa komen anda?

“Ada orang tengah yang memperkenalkan kami. Seperti biasa, saya tak boleh memberikan sebarang komitmen buat masa ini. Kami hanya berkawan, sekadar bertanya khabar menerusi telefon, tapi nak jumpa memang susah. Sebenarnya saya tak mahu ada kekasih. Saya ingin bebas, apa yang kita buat, tak perlu report duty. Lagipun belum pernah ada lelaki yang benar-benar buat saya gembira kecuali bekas suami. Justeru, lebih baik saya hidup sendiri,” tegas Rozita.

Terdengar desas-desus Rozita ingin memberikan titik noktah pada kerjaya lakonannya penghujung tahun ini dan bermula tahun depan dia akan mengusahakan perniagaan. Keputusan itu dibuat apabila dia dilaporkan tidak sanggup lagi berdepan dengan tohmahan dan gosip liar terhadapnya.

“Sekuat-kuat kita berdepan dengan pelbagai dugaan, tapi apabila sudah keterlaluan, saya tak sanggup lagi. Lagipun usia saya semakin meningkat, sudah sampai masanya saya mengundur diri. Justeru, sekiranya tiada aral, bermula tahun depan saya akan memulakan perniagaan bulu mata berjenama sendiri dan perniagaan lain yang dapat menampung masa depan. Saya akan selesaikan dulu kerja yang tertanggung,” kata Rozita yang mengakui jadual penggambarannya padat sehingga 20 Jun depan.

Rozita yang juga pelanggan tetap Habib, tidak mempunyai masalah memperagakan apa saja barang kemas yang diingininya pada hari itu termasuk tiara Laut Selatan. Jumlah keseluruhan koleksi Habib yang diperagakan Rozita mencecah hampir RM2 juta.

'Saya dan Tiz tak bercinta!'

Remy semakin panas kebelakangan ini apabila dia dikatakan menjalin hubungan cinta dengan aktres remaja, Tiz Zaqyah yang pernah bersamanya menjayakan Nur Kasih. Lebih menggemparkan apabila dia dituduh sebagai penyebab atau orang ketiga sehingga rumah tangga aktres terkenal, Maya Karin dan suaminya bergolak.

“Saya dan Tiz tak ada hubungan istimewa, hanya kenalan sebagai rakan artis apabila kami pernah berlakon di bawah produksi sama ketika menjayakan Nur Kasih. Begitu juga dengan Maya, selepas bergandingan menerusi teater Natrah dan filem Cun, kebetulan rumah tangganya bergolak. Justeru, tidak semena-mena saya terkena tempiasnya. Maka ada pihak yang menuduh saya sebagai orang ketiga.

“Saya sering mencari keserasian apabila bekerja, justeru saya akan selalu dilihat dengan aktres yang digandingkan. Tapi, keakraban yang wujud antara kami tidak lebih atas landasan kerja, jauh sekali mengambil kesempatan. Bagi saya, apa saja tuduhan yang dilemparkan, adalah ujian mental yang harus saya hadapi. Saya harap janganlah terus berprasangka buruk terhadap saya,” kata Remy tenang.

Namun, Remy mengakui pernah keluar berdua dengan Tiz, mereka berborak dua, tiga jam, tapi tidak bermaksud kedua-duanya sudah melewati fasa percintaan.

Remy juga dikatakan mempunyai ‘sindrom’ sukar menjawab panggilan telefon dan membalas kiriman SMS. Tabiat lamanya itu sampai sekarang dikatakan masih belum berubah sehingga mendatangkan kemarahan banyak pihak termasuk produser dan pihak wartawan.

“Saya tidak menafikan perkara itu, tapi apabila bekerja saya tak suka diganggu sehinggakan ibu sendiri pernah merungut apabila dia gagal menghubungi saya. Saya akui, dalam tuntutan kerja seperti saya, komunikasi amat penting. Tapi jadual kerja saya back to back, rezeki tak pernah putus, justeru saya harus memberikan tumpuan.

“Kini, saya sudah menemui jalan penyelesaiannya apabila kerjaya seni diurus Satu Entertainment, syarikat yang sama menguruskan kerjaya Maya. Insya-Allah selepas ini isu lama tak akan berulang lagi. Kepada pihak industri termasuk produser dan wakil media yang sukar menghubungi saya sebelum ini, saya mohon maaf. Saya tak pernah terlintas nak bangga diri apabila dilabel sudah popular,” katanya lagi.

Apabila melihat Rozita bergaya sakan dengan koleksi Seribu Bintang, Remy juga tidak mahu ketinggalan apabila dia mengenakan brooch berlian pasthy daripada koleksi Aura Habib, selain cincin nilam biru dan cincin garnet daripada koleksi lelaki Habib apabila jumlah keseluruhan yang diperagakan mencecah hampir RM100,000.

'Saya bukan artis terlampau'

BAGI Remy Ishak, sikapnya yang lebih suka berdiam diri apabila dikaitkan dengan kisah kontroversi dalam dunia hiburan, itu adalah yang terbaik buatnya daripada terus menjawab dan melayan laporan tidak benar. Terpulang apa kesimpulan yang mahu dibuat, namun baginya semua telahan negatif itu sebagai satu hal yang tidak memberatkan kotak fikirannya.

"Jika yang diperkatakan itu tidak benar, rasanya tidak perlu saya bersuara dan memberi penjelasan. Semua itu cuma akan membuat orang akan terus tertanya. Lagi bercakap, lagi besar akan jadi sesuatu isu itu. Saya hanya mahu hidup seperti manusia biasa lain yang ada ruang privasi sendiri. Cuma itu... terlalu banyak diperkatakan mengenai saya, pernah saya tertanya sendiri apa lagi selepas ini? Saya tidak mampu memberi jawapan kepada setiap persoalan orang, jadi biarlah apa pun yang nak diperkatakan. Mungkin sudah tertulis saya sering menjadi mangsa keadaan," bicara Remy pada pertemuan lewat malam usai sesi tayangan perdana Evolusi KL Drift 2, baru-baru ini.

Jelas Remy, tuduhan mendakwa dia sebagai jejaka playboy selain dikaitkan menjadi punca kepada pergolakan kepada rumah tangga Maya Karin terlalu berat untuk diterima. Bantah anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini, atas alasan apa dia dikaitkan semua perkara itu? Sedangkan dia cuma ingin mengekalkan hubungan baik dengan aktres yang didampingi menerusi filem Anak Halal, Cun dan teater muzikal, Natrah.

"Apa motif mereka berkata-kata begitu? Tetapi itulah mulut orang. Semakin berjaya seseorang itu, pasti ada yang cuba menjatuhkan. Mungkin kerana ingin melihat saya jatuh, maka timbul semua kontroversi itu. Apakah kerana saya masih sendiri, semua yang tidak baik dikaitkan dengan saya. Bingung juga saya kerana apabila mempunyai kekasih, saya dikatakan sebagai kaki pukul pula," katanya bingung.

Akui Remy, dek kontroversi itu telefon bimbitnya dibanjiri panggilan media namun terpaksa diketepikan. Bukan mahu mengelak atau menolak publisiti, namun Remy memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada karier lakonan yang menjadi periuk nasinya. Kata Remy, kebelakangan ini jadual kerjanya terlalu padat membuatkan dirinya dalam situasi tertekan memenuhi semua permintaan media.

Terus diburu kesibukan di lokasi drama bersiri 26 episod, Arjuna untuk slot Aksi siaran TV3, Remy berkata, dia masih memerlukan platform untuk menggilap kemampuannya sekali gus muncul sebagai antara barisan aktor terbaik negara.

"Saya tidak mahu tamak. Cukup memberi tumpuan kepada satu penggambaran dalam satu tempoh masa. Tubuh saya tidak mampu lagi menerima tekanan. Ditambah dengan jadual yang bercanggah dengan beberapa acara dan siri promosi, saya cuba membahagikan masa untuk tidak mengecewakan permintaan ramai," kata finalis Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 ini.

Nasihat Remy kepada penggemar yang bakal menyaksikan lakonannya dalam Evolusi KL Drift 2, jangan berharap sesuatu yang luar biasa pada persembahannya untuk filem yang diarahkan pengarah muda, Syamsul Yusof itu. Remy akur masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki malah dia sendiri tidak berpuas hati dengan apa diberikan untuk filem berkenaan.

Info Rozita

NAMA PENUH: Rozita Che Wan
ASAL: Alor Setar, Kedah
TARIKH LAHIR: 9 Mac 1973
KELUARGA: Anak kedua daripada tujuh beradik
DRAMA: Sesuci Cinta Sofia, Jelatang, Susuk 2, Diari Ramadan Raffique, Ayyad, Kiah Perkasam dan Cikgu Kemisah Kirby
FILEM: Sepi, Sifu & Tonga, Misteri Balan Balan The Movie, Adik Manja Returns dan 4 Madu
KOMERSIAL: Egyption Potion dan L'oreal
DUTA: Rorine dan Avon Jewelleries

Info Remy

NAMA PENUH: Mohammad Zalimei Ishak
ASAL: Masjid Tanah, Melaka
TARIKH LAHIR: 11 April 1982
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DRAMA: Sindarela, Awan Dania, Obsesi, Jalan Pintas Ke Neraka, Iktikaf, Nur Kasih dan Arjuna
FILEM: Anak Halal, Duhai Si Pari-Pari, Hooperz, Cun, Evolusi KL Drift 2, Akuarium Cinta dan Nur Kasih The Movie
TEATER: Natrah
KOMERSIAL: Kopi Radix dan 5M - Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pelancongan Kuala Lumpur

Semuanya angkara boling~Shila


PERKENALAN mereka bukannya berlaku semalam. Malah, Sheila Amzah dan Fizo Omar sebenarnya sudah menjadi kawan rapat melebihi jangkamasa setahun. Namun, entah salah faham apa yang timbul,, mereka berdua kini dikatakan sedang hangat bercinta.

Apa salahnya jika berita itu benar kerana masing-masing masih bujang. Tapi Sheila yang ditemui pada sidang media Parti HIP TV terbitan TV9 menyangkal sekeras-kerasnya khabar angin itu. Penyanyi berusia 20 tahun itu juga tidak tahu bagaimana isu berkenaan timbul.

"Kami sudah berkawan rapat lebih setahun lebih tapi mungkin orang tidak perasaan. Rasanya gosip itu mula timbul semasa saya, Fizo dan Kamal Adli menganjurkan perlawanan boling bersama peminat kami di Flamingo, Ampang. Ketika itu, mereka sedar bahawa saya dan Fizo sebenarnya amat rapat," jelas Sheila.

Rapat dalam terma Sheila tidak membawa maksud bercinta. Padanya, keakraban mereka masih belum sesuai diklasifikasikan sebagai pasangan kekasih. Lagipun bagi Sheila, dia tidak ada perasaan sayang terhadap Fizo.

"Hubungan rapat kami berdua amat pelik sebenarnya. Kami selalu bergaduh dan suka membuli semasa sendiri. Mungkin ramai yang pelik bagaimana seorang penyanyi dan pelakon boleh berkawan rapat. Diakui pada mulanya saya memang tidak menyukai dia kerana berpendapat dia seorang yang poyo (berlagak).

"Namun, semasa berkenalan pada tahun lalu, saya mendapati dia seorang yang menyeronokkan, mengambil berat dan tidak akan menyentuh perkara sensitif. Dia juga tidak poyo seperti yang disangka serta mempunyai mentaliti 'gila-gila' seperti saya," sambung Sheila.

Selain berkongsi persamaan dari segi pemikiran, mereka berdua juga mempunyai minat yang sama iaitu memasak. Minat itu membuatkan mereka berdua sentiasa bertanding memasak sehinggakan terdetik cadangan untuk membuka restoran bersama.

"Fizo pandai memasak makanan Thailand dan saya pula lebih mahir makanan Melayu serta Barat. Skil memasak Fizo setaraf dengan tukang masak di restoran. Malah kami pernah terfikir untuk membuka restoran bersama. Cuma masa tidak begitu mengizinkan kerana masing-masing sibuk dengan perjalanan karier seni."

Memanggil Fizo dengan gelaran Casper, Sheila memberitahu dia ada kalanya berjumpa dengan kawannya itu sebanyak lima kali seminggu. Selain melawat rumah masing-masing, mereka juga sering keluar makan dan menonton wayang atau berkaraoke. Namun, pertemuan mereka selalunya disertai ibu mereka.

"Ibu Fizo merupakan ibu tunggal. Jadi saya dan ibu selalu menemaninya. Saya juga sangat rapat dengan adik perempuan Fizo. Maka, selalunya kami akan keluar berempat atau lebih ramai. Fizo juga jenis lelaki yang tidak kisah untuk keluar bersama ibu saya.

"Bukannya seperti sesetengah lelaki yang selalu menyoal mengapa saya perlu keluar bersama ibu saya. Fizo pandai mengambil hati mereka yang berusia. Dia merupakan menantu pilihan ramai," jelas Sheila lagi.

Memandangkan Fizo jenis lelaki pilihan ramai, adakah Sheila pernah terdetik untuk menjadikan Fizo sebagai kekasih hatinya? "Saya akui saya memang menyukai lelaki yang mementingkan keluarga. Bagi saya, kita bukan sahaja berkahwin dengan lelaki itu tetapi juga dengan keluarga mereka.

"Jadi lelaki itu juga perlu menerima keluarga saya kerana perkahwinan itu ikatan sepanjang hayat. Saya sendiri juga menyukai lelaki lebih tua dan kalau boleh tidak kacak. Tapi dengan Fizo, semuanya bergantung kepada jodoh. Jika ada jodoh, nak buat macam mana? Saya reda sahaja.

"Namun, buat masa ini, saya selesa dengannya. Lagipun ibu saya tidak menggalakkan saya bercinta sekarang kerana perjalanan saya masih jauh. Banyak lagi pilihan yang ada dan saya juga mahu elak mencari teman istimewa dari golongan artis."

Memiliki lebih ramai kawan lelaki sejak di bangku sekolah lagi, Sheila juga rapat dengan rakan artis lain seperti Dafi, Bunkface dan Hanafi Estrange. Bukannya antiperempuan, Sheila lebih biasa berkawan dengan lelaki.

"Bukannya saya tidak cuba untuk berkawan dengan wanita. Cuma wanita yang selalu saya jumpa suka menikam saya dari belakang. Jadi ia membuatkan saya sukar untuk rapat dengan wanita. Saya perlu berhati-hati dalam membuat penilaian," katanya yang berkawan baik dengan Stacy.

Gubah lagu

Baru sahaja merakamkan sembilan buah lagu dengan dengan dua penyanyi diva tempatan, Sheila bagaimanapun enggan memberikan keterangan lanjut mengenai album istimewa tersebut yang bakal dipasarkan sekitar Oktober ini.

Selain sibuk dengan rakaman itu, Sheila juga sedang menyediakan diri untuk pusingan separuh akhir World Championship of Performing Arts yang bakal berlangsung pada 6 hingga 10 April nanti.

"Ramai artis yang menyertai pertandingan itu tahun ini. Tapi saya sentiasa berasa yakin tidak kira di mana-mana pertandingan. Cuma banyak masa, tuah itu memainkan peranan penting. Saya akan menggunakan pengalaman semasa menyertai pertandingan Shanghai World Star Quest sebagai rujukan," kata duta terbaru minuman Tinge Spritzer itu.

Turut mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pengiklanan, Sheila bagaimanapun terpaksa menangguhkan perancangan itu kerana sibuk dengan persediaan album terbarunya. Berusaha untuk menggubah lagu sendiri, Sheila mahu bekerjasama dengan penerbit dari Indonesia.

"Selain mencari lagu, saya juga ada menggubah lagu sendiri. Sudah banyak lagu yang saya gubah tetapi saya masih belum berani untuk membiarkan orang ramai mendengarnya. Selepas mendapat nasihat daripada kawan-kawan, saya akan cuba memasukkannya dalam album terbaru saya nanti," tambahnya.

Fesyen vintaj

Menukar imej rambut kerana dikatakan terlalu matang, Sheila kini tampil lebih urban dengan rambut pendeknya. Dicalonkan dalam kategori Artis Melaram untuk Parti HIP TV terbitan TV9 yang bakal disiarkan pada 2 April nanti, Sheila tidak merasakan dirinya suka melaram.

Dia hanya memakai baju mengikut selera hati dan suka melihat blog fesyen untuk dijadikan sebagai contoh. "Saya sukakan baju vintaj. Blog Jezmine Zaidan dan Diana Rikasari dari Indonesia dijadikan teman sejati dalam pemilihan fesyen. Walaupun ada kalanya ia kelihatan pelik kerana berwarna-warni, saya menyukainya.

"Dulu saya sangat menyampah dengan warna merah jambu kerana warna itu menonjolkan sifat kewanitaan. Tapi atas desakan ibu dan melihat fesyen terkini, saya sekarang sudah mula memakai pakaian berwarna merah jambu," ujarnya yang dahulu tidak pandai berfesyen.

Minatnya terhadap fesyen juga telah menjadikan dia seorang yang suka membeli-belah. Katanya, baju yang dimilikinya terlalu banyak sehinggakan dia boleh memakai baju berlainan setiap hari untuk jangkamasa setahun.

"Saya boleh dikategorikan sebagai orang yang kuat membeli-belah terutama sejak mengetahui mengenai kedua-dua blog tersebut. Namun, saya tidak begitu mementingkan jenama asalkan mendapat apa yang dipakai oleh mereka dalam blog. Sekarang saya juga sudah pandai menggunakan pakaian lama dan dipadankan dengan benda-benda baru."

Ralat tidak penuhi permintaan bapa


APABILA membicarakan kemampuan artis yang mampu mempertahankan kedudukan mereka dalam tempoh yang lama memang boleh dibilang dengan jari. Nama-nama seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Jamal Abdillah, Amy (Search), Datuk Sharifah Aini, Datuk Sheila Majid, Jay Jay, Aishah, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza antara mereka yang utuh membina populariti.

Apakah rahsia mereka mampu bertahan sehingga kini dan terus menjadi pujaan hati peminat-peminat mereka?

Memang tidak dinafikan, bakat merupakan aset utama mereka untuk terus berdiri teguh di persada seni tanah air.

Berbeza bagi penyanyi bersuara lantang, Ramlah Ram. Dia mempunyai rahsia lain sehingga berjaya meletakkan namanya sebagai satu jenama isi rumah selama suku abad.

"Bagi saya, apa yang penting ialah menjadi diri sendiri. Kerana itu, peminat mudah menerima kita dan terus menyokong kita sampai bila-bila selain bakat yang ada dalam diri kita.

"Saya bersyukur kerana mempunyai kelompok peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya sejak 25 tahun hingga ke hari ini," katanya merendah diri sewaktu ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-43 di Restoran Tupai-Tupai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kemeriahan keraian yang dianjurkan kelab peminat Ramlah yang menggelarkan diri mereka sebagai Ramlah Ram Group (RRG) turut disertai oleh beberapa rakan artis lain seperti Alyah, Hafiz Hamidun dan Yusrizan Usop atau lebih dikenali sebagai Bob.

Jika diselak lembaran seni Ramlah, sememangnya tidak dinafikan penyanyi ini memiliki vokal mantap dan hebat.

Bakat seni yang ada padanya meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyanyi wanita terbaik negara yang pernah dilahirkan.

Kerana kelebihan itu jugalah, dia pernah diberi jolokan sebagai Whitney Houston Malaysia kerana kebolehannya menyanyi dalam nada tinggi sehingga mencapai nota F Sharp.

Ramlah juga pernah mencatatkan sejarah apabila menjadi penyanyi wanita pertama negara yang mencatatkan penjualan album sebanyak 350,000 salinan menerusi album keduanya, Kau Kunci Cintamu (Di Dalam Hatimu).

Tidak keterlaluan juga dikatakan, Ramlah juga boleh dilihat sebagai seorang ikon fesyen kerana berani tampil dengan pelbagai pembaharuan saban tahun biarpun dikecam dan dikritik dengan hebat sebaik sahaja bergelar juara Bintang RTM 1985.

Sudah menghamba diri dalam bidang seni selama 25 tahun dan memiliki rangkaian lagu-lagu yang cukup popular dan malar segar, tidak dinafikan Ramlah memang sudah layak untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar.

Perancangan

Biarpun sudah berusia 43 tahun, namun Ramlah masih lagi mampu membuktikan kredibiliti dan kehebatan vokalnya yang cukup mantap serta bertenaga itu.

"Saya tidak ada apa-apa rahsia. Cuma, saya memang elak minuman berais dan berkarbonat. Semua petua itu saya amalkan sejak dulu lagi dan ia juga merupakan amalan penyanyi-penyanyi senior yang lain," tuturnya saat ditanya tentang petua menjaga suaranya itu.

Sempat juga Ramlah ditanya, tidakkah dia teringin untuk mengadakan sebuah persembahan besar untuk peminat-peminatnya bagi meraikan sambutan jubli perak pembabitannya dalam bidang seni suara.

Dengan pantas, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu) ini memberitahu, perancangan itu sudah tercatat dalam diari seninya untuk tahun ini.

Cuma, kini dia dan pihak syarikat rakamannya, Fantasia Music City (FMC) sedang berbincang tentang lokasi yang sesuai bagi mengadakan persembahan tersebut.

Tidak mengimpikan mahupun terlalu berharap untuk beraksi di sebuah pentas besar, kata Ramlah, memadailah tempat itu kelak dapat menghimpunkan semua peminatnya agar mereka berasa puas menikmati alunan lagu-lagunya.

"Dengan adanya teknologi moden hari dan rangkaian laman web sosial seperti Facebook dan YouTube, ia dapat merapatkan lagi hubungan saya dengan peminat.

"Saya memuji dan kagum dengan usaha yang dilakukan oleh RRG yang tidak pernah putus menganjurkan pelbagai aktiviti dan acara untuk saya meluangkan masa bersama-sama mereka.

"Malah, majlis hari jadi ini juga adalah inisiatif mereka untuk meraikan saya.

"Apa yang membuatkan saya terharu ada seorang peminat setia saya yang datang jauh dari Kemanan, Terengganu semata-mata mahu menyertai sambutan ini," katanya yang dilahirkan pada 19 Februari 1967 itu dalam nada terharu.

Sempena sambutan jubli peraknya itu juga, Ramlah berasa besar hati seandainya bekas syarikat rakamannya, BMG Music (kini Sony Music) mengambil inisiatif untuk mengeluarkan album kompilasi khas atau box set yang merangkumi album pertamanya hingga terakhir bersama syarikat itu.

Sedang rancak berbicara, tiba-tiba nada suara anak kelahiran Kesang, Muar, Johor ini berubah apabila mengenang ayahanda tercinta, Allahyarham Ram Mohammed yang menemui Ilahi pada 29 Januari lalu.

Meninggal dunia pada usia 70 tahun, Ramlah memberitahu ayahnya itu meninggal dunia kerana sakit tua dan jenazahnya dikebumikan di kampung halamannya di Muar, Johor.

Sehingga kini, Ramlah masih lagi terngiang-ngiang bicara arwah bapanya yang seolah-olah tahu bahawa dia akan pergi selama-lamanya.

"Ketika itu, kami semua berada di rumah kakak saya di Cheras dan kami semua mahu keluar sebentar.

"Abah tidak dapat ikut sekali kerana keadaannya yang tidak mengizinkan dan ketika itulah, dia memujuk saya agar tidak keluar.

"Arwah abah tanya tidakkah saya mahu berbual lagi dengannya kerana sudah lama kami tidak duduk berbual dan bermesra.

"Kalaulah saya tahu itu permintaannya yang terakhir, pasti akan saya tunaikan kerana sejak akhir-akhir ini saya begitu sibuk sehingga tidak dapat berbual panjang seperti kebiasaannya," kata Ramlah penuh ralat kerana arwah bapanya itu merupakan penyokong setia dan pembakar semangatnya sejak 25 tahun lalu.

Kerana itu juga, Ramlah meminta sambutan hari jadinya ditangguhkan selepas genap 40 hari pemergian arwah bapanya.

Kesedihan anak keempat daripada enam beradik ini tidak terhenti setakat itu sahaja kerana tidak sampai sebulan selepas bapanya meninggal, salah seekor daripada lapan kucingnya pula menemui ajal.

"Memang bertimpa-timpa kesedihan yang saya alami dan kucing yang bernama Tom itu merupakan yang paling saya sayang.

"Tetapi, syukurlah, kerana seminggu sebelum dia mati, ada seekor kucing yang datang ke rumah saya bagai memberi tanda akan berganti nyawa," kata pelantun lagu Selamat Jalan Romeo dan Zapin Yang Tinggal ini kembali senyum.

Mengenai perkembangan seni terbarunya, Ramlah sedang berusaha untuk mencari material terbaru dan terbaik selepas kejayaan album Ketentuan yang mendapat sambutan menggalakkan.

"Mungkin saya akan muncul dengan single terlebih dahulu sebelum melahirkan sebuah album penuh," ujarnya ringkas.

Isa Gravity tidak malu jadi pemandu teksi


SESEKALI apabila terdengar lagu Kesinambungan Cinta nyanyian Isa Gravity berkumandang di radio, pasti terbayang di mata kita seraut wajah penyanyinya dengan imej rambut kerinting. Alunan suaranya yang mendayu membuatkan ramai yang sayu menghayatinya lagu yang indah dengan lirik yang menyentuh hati.

Waktu itu, memang tidak dinafikan penyanyi bertubuh kecil berambut kerinting ini menjadi kegilaan ramai gadis remaja kerana keasyikan irama dan liriknya.

Tetapi itu cerita 19 tahun dulu ketika album pertama kumpulan itu Inspirasi menemui para peminat senisuara dengan lagu hitsnya Kesinambungan Cinta.

Namun masa berlalu, Isa Gravity atau nama sebenarnya, Isa Hamzah menjadi penyanyi kumpulan yang dianggotai oleh Allahyarham Ahmad Abdullah (dram), Daud Yusof (gitar Utama) dan Muhammad Hassan (gitar bass).

Kini, Isa yang pernah hidup glamor sebagai penyanyi bersama kumpulannya sudah beralih arah ke bidang lain.

Dunia glamor sudah tidak bererti lagi bagi Isa kerana yang penting baginya mencari rezeki untuk isteri, Norhairani Hassan,32, dan dua anak mereka; Mohd. Izzuddin,9, dan Nur Hidayah,6.

"Saya tak kisah apabila ada yang menaiki teksi saya bertanya nama dan mahu saya menyanyikan lagu itu," katanya memulakan perbualan.

Apa lagi menyedari permintaan penumpangnya ikhlas, Isa menyanyikan sebaris dua lagu itu bagi memuaskan hati dan meyakinkan mereka.

Isa juga pernah tergamam seketika apabila ada penumpang yang bertanya apakah dia malu daripada seorang penyanyi menjadi pemandu teksi.

"Bagi saya tiada apa yang harus dimalukan kerana saya tidak melakukan jenayah, sekadar mencari rezeki yang halal dengan menggunakan tulang empat kerat.

"Biarpun kadangkala terlalu penat kerana bekerja selama 12 jam mulai 10 pagi, tetapi saya bersyukur kerana mampu menyara keluarga hasil dari titik peluh sendiri," kata Isa dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Isa bersama Gravity mula mencipta populariti pada tahun 1991 dengan album pertamanya Inspirasi (1991) diikuti album kedua Anak Langit (1993 lagu hits Kasih Dirundung Mega), Keunggulan (1995-lagu hits Kecundang) dan album terakhir pada tahun 1998, Rambak.

Tiga album mereka diterbitkan oleh NSR, manakala album terakhir dibawah label Ambang Klasik.

Sayang sekali ketika album keempat siap, negara mengalami kegawatan ekonomi dan album Gravity gagal di pasaran.

Menyedari gelanggang seni tidak menjanjikan kegemilangan, Isa dan rakannya sepakat membawa haluan masing-masing.

Sudahnya, pada pertengahan 1998, isa bekerja dengan sebuah syarikat pembunuh serangga.

"Dua tahun saya bekerja, tetapi pendapatannya terlalu kecil dan ada ketika terpaksa ke luar daerah, akhirnya saya berhenti kerja.

"Bermula tahun 2000 sehinggalah sekarang, saya memandu teksi. Walaupun pendapatannya tidak lumayan, tetapi saya seronok dan bersyukur sangat kerana bekerja sendiri tidak ada sesiapa yang memerintah.

"Apa yang penting, kita mesti rajin, jujur dan ikhlas. Sebagai pemandu teksi saya tidak pernah merasa malu walaupun dulu saya dikenali sebagai penyanyi," akui Isa mengenai tugas sebagai pemandu teksi.

Menceritakan pengalamannya sebagai pemandu teksi, sambil ketawa Isa menyambung bicara;

"Saya ingat jadi penyanyi saja yang kadangkala ditipu promoter yang tidak bertanggungjawab rupa-rupanya jadi teksi pun kena tipu dengan penumpang.

"Saya masih ingat, mula-mula bawa teksi saya membawa seorang penumpang warga asing dari Segambut yang hendak ke Jalan Chow Kit. Waktu itu hujan, jalan memang jem teruk.

"Sampai sahaja di rumah flat Chow Kit meter menunjukkan RM20, dia kata tak cukup duit dan minta saya tunggu dan dia naik ke tingkat tiga sekejap.

"Hampir dua jam saya tunggu, dia tak muncul-muncul. Akhirnya saya tahu sia-sia sahaja menunggu, saya teruskan perjalanan untuk mencari rezeki yang lain."

Bukan sekali Isa ditipu penumpang, malah lebih daripada itu, tetapi akhirnya Isa reda kerana itulah dugaan sebagai pemandu teksi.

Menurut Isa, walaupun ditipu penumpang dia tidak pernah menyesal dengan kerjanya sekarang tetapi sesuatu yang buat dia kadangkala takut mengingatkannya apabila digoda lelaki gay.

"Bayangkan dalam teksi hanya kami berdua. Penumpang tu duduk depan, mulanya saya tak kisah tetapi apabila dia mula meraba, saya yang mula takut tidak marah sebaliknya memberi nasihat.

"Akhirnya penumpang itu malu sendiri, dia minta maaf dan turun di destinasi yang bukan dirancang," cerita Isa sambil ketawa menyingkap nostalgia masa mula-mula jadi pemandu teksi.

Kini kata Isa, setelah hampir 10 tahun membawa teksi, dia bersyukur kerana walaupun pendapatan bersih sehari antara RM50 hingga RM130 mampu memberi kehidupan yang sempurna kepada keluarganya.

"Kerja sendiri ni senang. Walaupun saya bekerja 12 jam sehari tetapi saya boleh ambil anak dari sekolah, boleh berhenti menjalankan kewajipan saya sebagai seorang muslim dan berehat seketika.

"Bukan itu sahaja, walaupun saya sudah bertukar karier namun masih ada juga promoter yang mengundang saya menyanyi," kata Isa yang kadangkala memenuhi undangan menyanyi di tapak-tapak ekspo.

"Memandangkan ada yang masih kenal dan sudi mengundang saya menyanyi, saya bersama rakan penyanyi Zamri merakamkan album pada November tahun lalu.

"Dengan modal sebanyak RM20,000 album yang mengandungi 10 buah lagu itu merakamkan lima lagu saya antaranya Sinambungan Cinta dan lima lagu popular Zamri antaranya Tugu Cinta," katanya mengenai album Kembali Bersinar terbitan Indra Production yang akan diedarkan tidak lama lagi

Ditanya mengenai rakan-rakannya yang lain, kata Isa:

"Daud kini jadi imam di sebuah masjid di Kuala Lumpur, Muhammad menjadi petugas kakitangan pencegah maksiat di Segamat. Tetapi seorang anggota Gravity, Ahmad Abdullah telah meninggal dunia tiga tahun lalu dalam usia 42 tahun kerana sakit jantung."

Nia Ramadhani Tidak Guna Khidmat Pereka Fesyen


NIA Ramadhani sedih kerana bakal tinggal berasingan dengan kedua-dua orang tuanya selepas berkahwin dengan tunangannya Ardie Bakrie.

"Saya sedih kerana akan berpisah dari papa dan mama dan akan mulai hidup sendiri dan punya keluarga sendiri," ungkapnya.

Setelah hidup berumah tangga nanti nampaknya Nia menyatakan hasratnya untuk mengundurkan diri dari dunia lakonan.

"Kerana waktu untuk penggambaran tentu lama. Kalau pun saya suka sama dunia hiburan, bagaimana caranya untuk membahagikan waktu itu," ujar pelakon yang mendapat watak antagonis ini.

Untuk persiapan pernikahannya nanti, Nia mengakui telah mereka sendiri baju yang akan dikenakan nanti.

Mengapa Nia tidak menggunakan khidmat pereka fesyen? jawabnya "It's not a big deal, sebenarnya mungkin kalau orang fikirkan kenapa saya tidak pakai perancang perkahwinan, sedangkan saya rasa saya tahu apa yang baik buat saya. Saya akan keluarkan biayanya cuma buat modalnya saja," jawab Nia sambil tersipu malu.

Tentang khabar pernikahannya yang dikatakan memakan belanja yang besar, Nia menganggap, "Ia mungkin berlebihan kerana dari sisi keluarga Ardie mereka perlu menjemput lebih ramai orang kenamaan," katanya.

Ketika ditanya Ardie, dia juga mengaku terharu dan bersemangat menjelang pernikahannya nanti. "Minta doa untuk kita semua, mudah-mudahan segalanya berjalan lancar. Saya tunggu kedatangan teman-teman," ujar Ardie bahagia.

Usia 60 Tidak Halang Jaafar Onn Melaram Sakan!


DI kala usianya sudah mencecah 60 tahun atau lebih sinonim dipanggil warga emas, pelakon dan pengacara Jaafar Onn masih ‘bernafas’ dalam industri seni ini.

Walaupun sudah tidak seaktif dulu, namun ramai yang masih mengingati lakonannya menerusi drama popular Cili Padi yang popular pada era 90-an.

Sekali-sekala, wajah tukang masak terkenal itu akan kelihatan di majlis-majlis keramaian yang menghimpunkan rakan-rakan artis tanpa mengenal usia.

Biarpun begitu, Jaafar akui dirinya sudah tidak seperti dahulu dan lebih menganggap artis muda sekarang seperti anak-anaknya sendiri.

Katanya, tidak salah untuk bersua mesra dengan artis baru atau lama jika untuk kebaikan bersama. Walau keluar sekejap sekalipun, diri Jaafar masih tebal dengan prinsipnya yang tidak akan hadir ke sesebuah majlis tanpa mengikut tema.

“Saya memang jenis yang suka melaram apabila ke mana-mana dan mengikut tema sesebuah majlis.

“Jadi, banyak koleksi pakaian yang saya mix and match. Sebagai artis, kita perlu mengikut tema. Misalnya, saya pernah berbelanja semata-mata untuk mengikut tema koboi, tarzan,” katanya kepada mStar Online.

Bayangkan, Jaafar menyediakan empat buah bilik untuk menyimpan baju-bajunya sahaja. Itu baru baju biasa, tidak termasuk lagi 100 pasang baju Melayu dan banyak kot berwarna-warni.

Rasanya, tidak sukar untuk Jaafar memilih pakaian bersesuaian dengan sesuatu majlis itu kerana dia mempunyai pereka fesyen peribadi, Jocker’s Tailor di Kompleks Pertama.

“Kadangkala ada juga peminat yang memberikan pandangan atau komen mereka tentang penampilan saya. Namun, saya rasa tidak perlu terlalu mengikut apa yang orang kata dan hanya memakai mengikut kesukaan saya,” beritahunya yang muncul sebagai pelakon undangan dalam drama bersiri Hotel Mania di TV3.

Selain itu, dia mengendalikan program masakan Mari Memasak Bersama Jaafar Onn dan Ibu Tunggal (Santai Rasa).

Dalam perkembangan lain, Jaafar turut bergelar duta beras Jasmine selama lapan tahun, Broto Café, periuk Premier dan produk kecantikan Globeau.

Zaiton Sameon Dari Kaca Mata Fauziah Nawi


SETELAH pencarian yang agak panjang terhadap pelakon yang benar-benar sesuai memegang watak utama dalam filem kisah perjalanan hidup penyanyi Zaiton Sameon, pengarahnya Fauziah Nawi akhirnya memilih Mislina Mustapha, 39 sebagai pilihan yang paling tepat.

Menurut Fauziah, pemilihan Mislina adalah berdasarkan pengalaman dan dia mempunyai kriteria yang paling hampir dengan watak Zaiton Sameon.

"Mislina dipilih kerana dia merupakan pelakon yang memang terlatih, dia bukan sahaja boleh berlakon dengan naik malah boleh menyanyi.

"Tapi di sini saya lebih tekankan tahap lakonan sebab ini adalah filem. Kalau kita nak cari pelakon yang betul seperti Zaiton memang tidak ada.

"Pada saya Mislina lebih berpengalaman untuk membawakan watak ini dengan baik berbanding Nurul Huda Wahab dan Farah Wahida yang turut disenarai pendek," jelasnya.

Ketika ditanya mengapa Nurul dan Farah Wahida tidak terpilih, Fauziah menganggap kedua-duanya masih muda dan sukar untuk membawa watak tersebut.

"Mereka masih lagi muda, watak ini Zaiton sangat berat. Perjalanan hidupnya yang beronak dan liku sukar untuk dibawakan jika mereka benar-benar berpengalaman dan terlatih.

"Namun pemilihan terhadap Mislina bukan saya seorang tetapi keputusan bersama dan sebulat suara. Tentang wtaak-watak yang lain kami belum buat pemilihan sebab yang penting dan memeningkan saya ialah mencari pelakon utama," terang Fauziah.

Tambah Fauziah lagi, apa yang peting adalah bakat lakonan berbanding rupa paras seseorang pelakon.

"Saya juga ingin beri peluang kepada Mislina, dia seorang pelakon yang baik. Pada saya rupa paras bukan sesuatu yang penting ia boleh dibantu dengan mekap," ujarnya.

Dalam pada itu, Fauziah turut memberitahu perkembangan filem itu masih lagi peringkat draf ke empat dan bakal membuat latihan terlebih dahulu sebelum memulakan pengambaran.

"Perkembangan sekarang dalam proses draf ke empat, selepas ini saya akan buat latihan terlebih dahulu sebelum memulakan pengambaran," katanya.

Berhubung dengan penulisan skrip, Fauziah memberitahu skrip tersebut berdasarkan dari sudut pandangannya dan kajian yang telah dilakukan.

"Saya tulis skrip dari kaca mata saya, kajian yang dibuat, apa yang diceritakan oleh Zaiton sendiri dengan pandangan orang ramai yang mengenalinya.

"Namun sama-ada tepat atau tidak hanya Zaiton dan Allah yang lebih mengetahuinya," jelas Fauziah Nawi ketika dihubungi.Filem ini adalah inisiatif produksi filem Animasi Upin dan Ipin dengan syarikat Beruang.Sdn.Bhd bagi membantu meringgankan beban penyanyi Zaiton Sameon dan ia bakal memulakan pengambaran pada Mei ini.

Dynas Belanja RM8 Ribu Nanti Kelahiran ‘Orang Baru’


BERSERI-SERI wajah terbaru aktres cantik Dynas yang sedang menantikan kelahiran bayi sulungnya.

Dia dijangka menerima kelahiran bayi sulungnya menjelang 22 April ini. Meskipun sedang sarat mengandung, dia masih ligat menerima tawaran berlakon drama mahupun filem.

Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, buat masa ini memang dia memperlahankan segala kerja yang membabitkan dunia seni. Bagaimanapun, dia tidak mampu menghalang orang lain untuk memberikan tawaran kerja kepadanya.

“Pada bulan Mei depan, ada yang menawarkan saya untuk berlakon beberapa buah drama namun saya tidak boleh bersetuju kerana waktu itu saya sedang berpantang.

“Selepas itu, saya akan tumpukan kepada butik dan mula berlakon drama. Pada hujung tahun ini, saya ditawarkan untuk berlakon sebuah filem. Setakat ini, saya rasa tiada masalah untuk menerimanya.

“Walaupun sudah ada anak nanti, saya akan meminta ibu saudara saya yang menjaganya,” kata Dynas yang baru selesai membuat majlis melenggang perut mengikut stail barat atau dipanggil baby shower pada dua minggu lalu.

Pada minggu lalu, majlis doa selamat pula menyusul. Kiranya, Dynas tidak melupakan budaya Melayu walaupun mungkin ada yang mempertikaikan dirinya yang melakukan majlis baby shower yang mengikut budaya barat.

Terdapat beberapa nama bayi yang telah dipilih oleh suaminya, Mohd Hafizy Mohd Hafiz walaupun jantina bayi belum diketahui.

Ditanya mengenai perasaannya saat menantikan kelahiran itu tidak sampai sebulan lagi, Dynas akui takut dan bimbang menghantui dirinya. Yang penting, dia perlu menjaga kesihatan diri dan bayi di dalam kandungannya.

“Nasib baik sepanjang hamil ini, saya tidak pernah mengidam yang bukan-bukan, tidak alahan dan tidak banyak songel.

“Semasa pertama kali hamil dulu, mood saya agak teruk tetapi kali ini tidak pula. Begitu juga dengan sakit belakang yang sudah tiada. Sebaliknya, sakit belakang itu terkena kepada suami saya.

“Orang kata, mungkin sebab jantina anak saya kali ini berlainan iaitu kalau dulu perempuan tetapi yang kedua ini lelaki,” ceritanya kepada mStar Online.

Disebabkan tidak mahu terlalu memikirkan tentang jantina bayi yang bakal lahir itu, Dynas lebih gemar membeli pakaian berwarna putih, kuning dan hijau.

Semasa majlis baby shower tempoh hari, dia juga banyak menerima hadiah untuk bayi termasuk beg hospital yang mengandungi minyak gamat, ubat-ubatan lain dan barangan untuk menyambut kelahiran bayi pemberian kakaknya, Evelyn.

“Bagaimanapun, suami saya tidak suka sekiranya ada orang yang hendak berikan baju yang telah digunakan oleh bayi mereka kepada anak kami. Dia mahu belikan semuanya yang baru.

“Tetapi kami berbelanja dengan berekonomi juga dan menghabiskan wang dalam anggaran RM8,000 termasuk belanja untuk masuk rumah baru.

“Kami fikir barangan bayi hanya digunakan sekejap sahaja, jadi semua barangan yang dibeli itu adalah buatan Malaysia. Saya jenis yang asal nampak cantik, mesti nak beli. Tetapi kakak saya selalu nasihatkan agar tidak terlalu boros,” beritahu pelakon filem Apa Kata Hati itu.

Dalam perkembangan lain, Dynas turut tidak sabar menantikan kedainya, DNA Fashion Café yang akan beroperasi di Empire Shopping Gallery, Subang Jaya mulai 22 April ini.

Perniagaan itu menggabungkan butik dan kafe yang turut menjual kek, manisan, kuih-muih tradisional, kopi, teh dan coklat.

Selain itu, Dynas juga menguruskan sebuah lagi butiknya di Sri Hartamas yang telah lama ditubuhkan bersama rakan perniagaannya, Awal Ashaari.

Namun, tidak lama lagi dia akan memperkenalkan rakan perniagaan terbarunya selepas Awal menarik diri daripada perniagaan itu.

Bagi yang berminat untuk membeli koleksi pakaian yang dijual di butik Dynas, layari blog dynasmokhtar.blogspot.com atau www.dna.com.my.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails