Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Que akui Linda terlalu cerewet


LEWAT kebelakangan ini namanya dicanang dengan pelbagai spekulasi kurang sihat. Que Haidar didakwa harus berhenti berlakon kerana dipaksa isteri, Linda Jasmine yang dituduh terlalu cemburu. Pasangan yang bernikah tahun lalu ini turut dituduh pernah bergaduh di khalayak ramai. Dan banyak lagi nista yang dilempar kepada aktor hebat ini.

Que atau nama penuhnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 31, tenang dengan segala tuduhan itu. Dia tahu, semua yang diperkata orang kurang tepat. Ini kerana hanya dirinya yang tahu hal sebenar di sebalik isu yang digembar-gemburkan. Sedikit pun Que tidak melenting. Tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, satu persatu hal dihuraikan Que.

"Cemburu dalam rumah tangga itu perlu. Kalau isteri saya mahu cemburukan saya, itu hak dia. Sebab dia isteri saya. Begitu juga saya. Saya pun cemburu kalau lelaki lain pandang isteri saya.

"Tapi kami berdua berjaya mengawal emosi cemburu itu. Jangan tuduh Linda macam-macam. Kasihan dia. Orang patut berfikir, kami datang daripada latar belakang seni yang sama. Linda juga sudah terbiasa bergaul, begitu juga saya. Jadi seharusnya tidak timbul isu dia cemburukan saya untuk berlakon dan sebagainya.

"Macam yang saya katakan tadi, kalau dia cemburu pun, dia berhak. Saya juga berhak cemburu ke atas isteri saya. Tapi kami berdua tahu batas cemburu itu dan tidak pernah membebankan sesiapa," ulas Que tenang tentang isu dirinya dicemburui Linda yang menyebabkan dia kini tidak lagi aktif sebagai pelakon.

Kata Que, keputusan untuk memperlahankan langkah dalam pentas lakonan bukan disebabkan Linda. Sebaliknya ia datang daripada dirinya sendiri. Dan kebetulan pada saat dia mengendurkan tali 'anak wayang', dia masih di puncak dan serentak itu berkahwin.

Tegas aktor yang harum dengan kredibiliti lakonannya dalam sederet filem seperti Castello, Haru Biru, Zombie Kampung Pisang, Duhai Si Pari Pari dan terbaru dalam Lagenda Budak Setan, keputusan untuk memilih kehidupan yang lebih sederhana tanpa menonjol glamor seperti dahulu adalah pilihannya sendiri.

Barangkali, kerana keputusan itu telah mengheret spekulasi yang menuduh Linda banyak mempengaruhi kehidupan dan pemikirannya kini. Masih lagi tenang saat dilemparkan soalan sebegitu, Que berkata, dalam rumah tangga adalah normal untuk saling mempengaruhi antara pasangan. Pandangan Linda amat penting bagi dirinya, begitu juga sebaliknya.

Selepas berkahwin, akui Que, berlakon bukan lagi keutamaan. Tapi keluarga berada dalam piramid paling atas kehidupannya. Namun, itu tidak bermakna dia mahu karier lakonannya berkubur. Hanya kepentingan kehidupan sekarang bagi Que sudah mula berubah.

Terutama selepas dia sendiri yang bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Malah dengan hati terbuka dia mahu memastikan segala isi rumahnya lebih terurus. Dia juga dengan rela hati untuk tidak lagi keluar melepak atau sibuk mengejar duit lakonan seperti zaman bujang. Kerana kata Que, dia dengan lapang dada, selesa dengan kehidupannya yang tidak terlalu sibuk seperti dahulu lagi.

Katanya: "Saya tahu sukar untuk membuang pandangan orang. Mungkin orang nampak saya memperlahankan rentak dalam dunia lakonan selepas saya berkahwin sedangkan nama saya berada di puncak pada waktu itu.

"Jadi orang fikir, saya berhenti berlakon sebab Linda dan ramai yang mula terpengaruh dengan hal itu. Walhal, saya sebenarnya sudah lama memikirkan untuk memperlahankan rentak lakonan bagi memberi tumpuan kepada keluarga. Dalam masa yang sama, saya mencari ruang lain untuk berkongsi ilmu lakonan saya dengan sesiapa yang berminat."

Que juga menegaskan, kehidupan rumah tangganya dengan guru tari popular dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, setahun enam bulan dan anak tiri Qalif Khan, 10 tahun, sangat bahagia.

"Linda memang seorang yang terlalu cerewet. Saya pula seorang yang terlalu asal boleh. Pertembungan sifat ini telah banyak menyatu dan saling melengkapi kehidupan kami. Kami juga senang beradaptasi dalam dua keluarga. Saya kira hal-hal seperti ini yang telah mengeratkan kasih sayang kami," katanya yang percaya Linda sentiasa menyokong serta menjadi tulang belakang dalam keadaan susah dan senang.

Bengkel Que

Sepanjang memperlahankan rentak lakonan, Que sebenarnya sedang memicu laju keupayaannya dalam bidang lain.

Mengaku tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pengarahan atau penulisan skrip seperti teman seperjuangan lain, Pierre Andre atau Farid Kamil, kata Que, dia tahu dia perlu melakukan sesuatu sebelum bakatnya tidak diperlukan lagi kelak.

"Jujur saya katakan, sebenarnya selepas melihat Farid Kamil atau Pierre Andre mula menjurus ke arah lain, selain berlakon, saya bertanya kepada diri sendiri, apa yang akan saya lakukan kalau saya sudah tidak laku lagi?

"Mengarah memang saya tak pandai. Pernah menulis satu skrip, tapi saya rasa skrip itu sangat teruk. Jadi saya menggali kualiti diri yang lain dan saya temui bahawa apa yang saya boleh kongsi dengan orang lain atau individu yang berminat dalam dunia lakonan adalah mengadakan bengkel lakonan atau memberi ceramah.

"Jadi sekarang, saya sebenarnya sibuk dengan bengkel lakonan yang saya buka di studio milik Linda selain mengadakan ceramah. Insya-Allah dalam masa terdekat ini, saya akan menyertai satu bengkel ceramah anjuran belia Johor Bahru.

"Sekurang-kurangnya, saya mahu memberi kembali kepada masyarakat dan berkongsi dengan mereka apa yang saya ada untuk sama-sama memajukan industri. Saya tahu saya mungkin tidak cukup bagus atau 'masak' untuk membuka bengkel, tapi saya percaya ilmu yang kita kongsi bersama-sama ini dapat memberi sesuatu yang lebih baik kelak," katanya panjang lebar.

Tambah Que, kesibukan menguruskan bengkel dan ceramah inilah yang menjadi faktor utama mengapa dia tidak lagi punya banyak masa untuk berlakon.

Malah, tanpa disedari, dia telah mula membuka bengkel kepada teman-teman artis yang rapat dan berminat menyertainya sebelum dia berkahwin lagi. Hanya kini, dia semakin serius memberi fokus terhadap apa yang sudah dilakukannya sejak lebih setahun lalu.

"Macam yang saya katakan tadi, berlakon kini sudah bukan satu keutamaan berbanding zaman bujang dulu. Saya juga tidak lagi mementingkan kuantiti atau mahu terus-terusan muncul di layar lebar atau kaca televisyen supaya orang terus mengingati saya.

"Sebaliknya lakonan kini sudah menjadi satu hobi. Saya akan tetap berlakon. Tapi mungkin setahun satu atau dua filem, kalau masih ada tawaran. Saya mahu walaupun saya hanya berlakon satu atau dua filem setahun sahaja dan ia bukan watak utama sekali pun, kualiti yang saya bagi dalam lakonan saya memberi impak besar terhadap industri," katanya yang tahun hadapan hanya akan muncul dengan sebuah filem, Misteri Jalan Lama.

Laman web Atilia popular


MENTERJEMAH album Indah di mata, hati dan telinganya, bukan perkara sukar buat Raja Putri Atilia Raja Haron atau lebih dikenali sebagai Atilia. Naskhah kedua itu selepas menghadirkan Sangkar pada tahun 2008, punya signifikan tersendiri sehinggakan ia tidak mampu terluah dengan kata.

Itu kepuasan total wanita berusia 36 tahun yang mengepalai pembikinan album barunya. Menggelarkan Indah, serba-serbi dianggap indah sementelah berkisar keakbarannya dengan teman-temannya - Sazzy Falak, Yasmin Hani, Serena C, Aishah Sinclair, Daphne Iking dan Dynas sekali gus menikmati hidup bahagia bersama keluarga, kekasih serta peminat.

Biarpun lagu-lagu Sangkar sulit meraih posisi istimewa di stesen-stesen radio, dia tidak pernah berputus harap. Wanita kecil molek dilahirkan pada 18 September 1974 itu bagaimanapun menganggap situasi berkenaan sebagai cabaran melahirkan Indah dengan kudrat sendiri.

“Perasaan macam melahirkan anak walaupun saya belum berdepan pengalaman ini. Dengan kemunculan Indah ditambah saya berperanan sebagai penerbit eksekutif yang menumpahkan segenap emosi sepanjang dua tahun lalu, ia menjadi kepuasan tidak terhingga.

“Kalau album terdahulu saya tulis enam lagu, kini saya buat semua benda untuk pembikinan Indah. Dari awal hingga akhir, proses perjalanan, paling menarik, ia disaksi sendiri oleh saya termasuk memilih 10 buah lagu, menulis dua lirik, konsep kulit album dan banyak lagi dengan Tok Khon dan Adam Sofian sebagai penerbit bersama.

“Tetapi nasib baik penghasilan album ini tidak ambil tempoh panjang berbanding Sangkar selama enam tahun kerana ia bersifat eksperimental. Sepanjang dua tahun, saya akui perjalanan Indah bersepah sikit sebab guna banyak studio merekod lagu seperti di Jakarta dan beberapa lokasi di Kuala Lumpur,” jelas Atilia ketika ditemui pada pelancaran albumnya di Celebrities Hall Of Music, Mon’t Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Puteri kesayangan penyanyi malar segar, Salamiah Hassan, 58, itu memberitahu, Indah yang mengandungi enam lagu Melayu manakala empat berbahasa Inggeris berkonsep tidak jauh daripada Sangkar iaitu Neo Jazz.

“Buat pertama kali saya bergabung dengan vokalis grup Hujan, Noh menerusi lagu Inggeris, Old Love. Walaupun baru jalani kolaborasi, ternyata lagu ciptaan Mike Bloemendal ini mampu mewujud keserasian kami. Malah, impian saya berduet bersama pemuzik Indonesia, Maliq And D’Essentials melalui lagu Harus Bagaimana serta Sore, menjadi kenyataan.

“Selain menyanyi dengan tiga nama besar diminati, Indah dianggap hadiah kepada peminat kerana lama menanti album penuh saya. Ia kedengaran lebih mesra dan komersial kerana saya bekerja dengan ramai komposer seperti Paul Morisson, Ifa Fachir, Tok Khon dan Mohariz Yaakup manakala saya menulis lirik Selainnya dan Indah.

“Saya telah melancarkan single pertama Silly Little Thing pada 1 April lalu di Jakarta, Indonesia. Mana tahu, selepas ini dapat buat persembahan dengan Maliq And D’Essentials atau Sore sambil menyelinap masuk ke Indonesia meluaskan sayap,” terang Atilia yang berpandangan karyanya mudah diterima di Indonesia kerana pencinta muzik di sana didedah secara meluas jalur muzik jazz.

Malah, untuk naskhah Indah, segala urusan menjadi lebih teratur apabila Atilia menandatangani kontrak bersama Alibi Music Sdn. Bhd. baru-baru ini. Syarikat rakaman tersebut akan mengendali segala hal berkaitan album termasuk publisiti, muat turun Internet dan pengedaran.

“Saya akui soal bajet menjadi sedikit masalah untuk memunculkan album kedua. Namun, demi kecintaan terhadap bidang nyanyian, saya sanggup mengeluarkan wang simpanan sendiri sekitar RM40,000. Cuma, nasib saya baik apabila Alibi bersedia hulur bantuan untuk klip video, kulit album dan promosi,” ucap Atilia turut terbabit pada pementasan teater muzikal, Little Red Riding Hood arahan Nell Ng tidak lama lagi.

Indah yang dibalut dengan deretan karya memikat hati terdiri daripada Indah, Harus Bagaimana, Terindah Pilihanku, Gelombang, SelainNya, Old Love, Leka, Change, Angel dan Silly Little Thing bakal dilancar selewat-lewatnya bulan depan di bawah rumah penerbitan milik Atilia, Mujik Productions Sdn. Bhd.

Mengenai aktiviti seni, pemilik laman web www.atilia.us yang kini mencecah 3.6 juta pengunjung memaklumkan akan meneruskan projek Malam Nada Biru, selain menjayakan persembahan di beberapa Festival Muzik Jazz bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Saya ingin fokus terhadap karier buat masa sekarang. Tidak dinafikan, saya sedang berkawan dengan seseorang istimewa. Tetapi, masih terlalu awal mahu memperkata perkara ini.

“Ada perancangan hendak berkahwin lagi ditambah saya suka anak.Jangan risau, jika sampai masanya, saya pasti berkongsi dengan peminat,” akui Atilia pernah menemui keruntuhan rumah tangga selepas hidup selama 10 dengan bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz, 35.

Rozita bawa siapa tu?


DISEBABKAN sering mendengar kehebatan taman tema, Universal Studio pertama di Asia Tenggara yang terletak di Singapura, teman baik Marilyn, Fasha Clara baru-baru ini tidak melepaskan kesempatan mengunjungi destinasi tarikan pelancong tersebut bersama teman lelakinya.

Biarpun hanya sehari berada di situ semata-mata hendak menyaksikan Universal Studio dan beli cenderahati, Fasha Clara bagaimanapun puas hati dapat berjalan di sekeliling kawasan yang menyediakan tujuh zon tarikan filem, termasuk sudut dikhaskan untuk Jurassic Park, Shrek dan Walk Of Fame. Dia juga sempat ambil gambar berlatar pengembaraan piramid Mesir, bandar cereka sains dan tarikan New York.

Tidak ketinggalan, Fasha Clara turut menyampai khabar tentang pelakon jelita tanah air, siapa lagi kalau bukan Rozita Che Wan. Fasha Clara bertembung dengan aktres berusia 37 tahun itu semasa beratur di pintu masuk Universal Studio. Tidak datang keseorangan, dia sebaliknya ditemani anak-anak - Ammar Effendy, 14 dan Aniq Ezzra, 12.

Menariknya, Rozita yang menyarung gaun pendek rona merah tetap berbulu mata palsu dengan tas tangan dan kasut jenama Prada itu turut ditemani seorang lelaki muda berkulit hitam manis. Rasanya, itu kekasih Rozita kerana mereka berpakaian sedondon. Malah, Fasha Clara sempat terdengar perbualan mereka yang cukup romantis. Oh, cemburu dengar!

Sepanjang perjalanan di kawasan itu, si lelaki memegang tangan anak Rozita manakala anaknya yang seorang lagi itu berada dekat dengan ibunya. Dalam fikiran Fasha Clara, betul agaknya lelaki itu merupakan individu kesayangan di hati Rozita. Sebelum ini, dia pernah membuat kenyataan kepada Kosmo! bahawa teman lelakinya berusia 34 tahun dan masih bujang. Nampaknya, benar belaka apa dikatakan Rozita.

Cuma, Marilyn terkilan sangat dengan Fasha Clara yang tidak sempat ambil gambar aksi pasangan itu. Kalau tidak, secara eksklusif pembaca kami dapat tengok sendiri sang jejaka bertakhta di hati Rozita sekali gus bakal menjadi bapa kepada dua cahaya matanya. Iyalah, sebelum ini terdengar dia mahu menamatkan zaman solo selepas beberapa tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Tidak sabar rasanya Marilyn hendak menelefon Rozita sambil bertanya kisah percutiannya di Universal Studio. Manalah tahu dia mahu berkongsi foto-foto menarik sepanjang hampir setengah hari berada di situ. Jangan lepas ini kalau Marilyn menelefon Rozita, takut dia tidak angkat pula. Begitupun, Marilyn tumpang gembira dengar bahagianya hidup artis itu dengan teman lelakinya.

Bakal akhiri zaman solo?


SEHARUSNYA, dia teruja meraih kesempatan muncul buat kali pertama di layar perak. Menerusi filem terbitan syarikat penerbitan Galaksi Seni Sdn. Bhd. (GSSB), Momok - Jangan Panggil Aku, satu watak diperuntukkan kepada Farah Asyikin Zulkifli. Tiada lain, ia bagi mempersembah sisi tersembunyinya selepas berstatus penyanyi, komposer dan penulis lirik.

Bahkan, artis berusia 31 tahun itu dijadualkan untuk bergandingan dengan ratu dangdut goyang gerudi Indonesia, Inul Daratista untuk beberapa babak dalam filem tersebut. Peluang itu tidak dinafikan, cukup besar. Sesiapa sahaja terutama pendatang baru tidak mampu menolaknya. Ia umpama rezeki datang bergolek di depan mata.

Malang sekali, penyanyi popular dengan lagu Seribu Penipuan itu terpaksa menolak tawaran daripada pengarah Momok - Jangan Panggil Aku iaitu M. Jamil sehari selepas memberi kata persetujuan. Mengaku agak kecewa tidak dapat terbabit dalam karya genre seram itu, Farah bagaimanapun harus merelakan keputusannya setelah berbincang dengan ahli keluarga.

Selain terdengar alasan Farah terikat dengan komitmen sebagai pemain di gelanggang seni, ada juga gosip bertebaran kononnya dia sedang sibuk melakukan persediaan majlis pernikahannya bakal berlangsung tidak lama lagi.

Waktu penggambaran dijangka bermula 19 Julai dan berakhir 5 Ogos ini, dikatakan menjadi penyebab utama Farah menolak peluang keemasan itu.

Dan sekitar tempoh itu juga, Farah dilaporkan bakal menamatkan zaman 'solo' selepas bekas suaminya, Dr. Fariz Yahya, 32, menjatuhkan talak pada 26 Mei 2008.

Khabarnya, individu menjadi pilihan Farah, tidak lain tidak bukan adalah duda berusia 36 tahun berasal dari Singapura seperti dihebah oleh media tempatan sekitar Oktober lalu.

Ketika pertanyaan sama dihadapkan kepada Farah, dia hanya tergelak kecil. Yang pasti, sepanjang perbualan hampir satu jam menerusi corong telefon pada Isnin lalu, suara Farah kedengaran cukup tenang. Tiada istilah dia cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum.

"Lebih baik jika saya tidak komen tentang hal (pernikahan) ini. Sebelum ini, ada juga wartawan bertanyakan kepada saya tentang gosip mendirikan rumah tangga selepas bercerai dua tahun lalu. Tetapi, saya ambil pendekatan malas hendak ulas lebih lanjut.

"Biarlah orang tahu tentang kualiti kerja saya dalam industri berbanding cerita personal. Lagipun saya bukan popular seperti artis lain sampai perlu berkongsi cerita peribadi termasuk soal perkahwinan. Terus-terang, saya sudah ambil iktibar selepas menjalani pengalaman perkahwinan terdahulu.

"Jangan bimbang, kalau sampai masa mendirikan semula rumah tangga, saya pasti akan beritahu berita baik ini kepada peminat. Tidak mahu cakap lebih, hal kahwin sifatnya tergantung. Kalau ada jodoh dalam waktu terdekat ini, saya terima seadanya," jelas Farah yang mengaku belum serik berdampingan dengan predikat perkahwinan dalam hidupnya.

Dia tahu, ada sesetengah pihak bakal mempertikai alasan kurang munasabah, dia mengenepikan tawaran beradu sebagai pelakon filem. Enggan mempeduli persepsi nakal dilempar kepada diri, kudrat Farah buat masa ini - hanya mampu membenarkan orang lain terus membuat konklusi sendiri.

"Saya terima peluang berlakon dalam Momok - Jangan Panggil Aku dengan hati gembira kira-kira dua minggu lalu. Tetapi, saya tidak beri pengesahan penuh. Selepas tengok balik jadual penggambaran, saya tidak yakin dapat beri sepenuh komitmen ditambah kena buat persediaan banyak benda termasuk album penuh.

"Ironinya, gambar saya sudah dicetak pada poster Momok - Jangan Panggil Aku dalam waktu singkat. Begitupun, saya sudah memohon maaf kepada M. Jamil dan seluruh tenaga produksi kerana menghampakan impian mereka untuk lihat saya melibatkan diri dalam projek ini," jelas Farah yang sepatutnya memegang karakter sebagai anak bunian di samping Inul sebagai pembawa watak ibu bunian.

Menjadi diri sendiri

Berbicara tentang penampilan baru, Farah segera mengisyarat bahawa tiada perubahan total pada dirinya. Yang jelas, permukaan luaran berubah dengan imej wanita berbaju kurung serta solekan lebih nipis. Namun, dalamannya, dia masih Farah Asyikin sama masyarakat kenali sejak beberapa tahun lalu.

"Semua yang peminat tahu tentang saya, ia masih sama. Cuma, mungkin pergerakan saya ketika buat persembahan di atas pentas sedikit terbatas berbanding sebelum ini. Kalau dulu boleh melompat atau bergerak ke sana ke mari, kini saya tidak boleh berlebih-lebihan.

"Penerimaan orang ramai amat positif tentang perubahan diri ini. Malah, ada golongan wanita berusia bagi kata perangsang kepada saya semasa buat pertunjukan di Bentong, Pahang baru-baru ini. Mungkin bagi sesetengah orang tidak mengenali saya, mereka agak terkejut melihatkan kelainan ini. Tetapi, bagi yang rapat, mereka tahu saya terbiasa menyarung baju kurung.

"Lantaran itu, keluarga juga tidak pernah halang saya melakukan penghijrahan bermula awal tahun ini. Sejujurnya, saya berada dalam bidang ini sebab mahu melampias bakat seni yang dimiliki. Saya bukan hendak jadi selebriti yang perlu berpakaian cantik dan kena sentiasa nampak menyerlah.

"Sebelum ini, saya akui, sering ikut telunjuk atau ingin menggembirakan hati orang lain. Lama-kelamaan, saya fikir semula, sampai bila kena jadi macam ini sedangkan jiwa saya entah siapa peduli. Sekarang, saya lebih suka ikut kata hati sendiri melakukan apa jua perkara," terang Farah yang memiliki lebih 100 baju kurung dalam gerobok miliknya.

Selain berbaju kurung, Farah masih memiliki naluri berfesyen seperti wanita Muslim lain. Biarpun menggaya seluar tirus, dia tetap menggabungkan baju panjang menutupi bahagian tertentu agar tidak menampakkan sosok badannya.

Berduet dengan Shamrin

Konsistensi Farah dalam bermuzik dilihat mula terhakis sedikit demi sedikit apabila jalur lagu pop rock sinonim dinyanyikan olehnya, kini dialir deras pada karya bercorak kerohanian atau pop fusion, sejalan dengan pembaharuan imejnya yang lebih bersopan.

"Sebelum ini, saya ada bikin lagu dan hasilkan lirik berkonsep keagamaan, alam sekitar dan patriotik. Namun, saya segan dan terlalu fikir penerimaan khalayak hendak menonjolkan karya-karya ini. Tetapi, selaras dengan penukaran personaliti, saya memberani diri tampil dengan hasil nukilan sendiri termasuk dalam album penuh nanti.

"Kini, saya lebih suka muncul di belakang tabir termasuk buat lagu untuk artis lain. Saya buat lagu Ada-Mu untuk single pertama manakala Penjaga-Ku bakal dilancar sebelum Ramadan ini. Selain itu, saya dalam proses menyiapkan lagu duet bersama vokalis Fotograf, Shamrin berjudul Kamu, Aku, Satu yang berirama rancak.

"Selepas Shamrin menyatakan minat ingin berkolaborasi dengan saya dalam sebuah lagu semasa kami buat persembahan di Pasir Gudang, Johor, awal tahun ini, saya fikir sudah tiba masa mempamer kebolehan diri. Nasib baik, dia suka dengan lagu kedengaran rock ini yang berkisar percintaan golongan lelaki dan wanita serta persahabatan.

"Jika susunan muzik untuk lagu ini dapat disiapkan, kami akan segera masuk studio rakaman pada minggu depan. Saya sendiri tidak sabar hendak bekerjasama dengan Shamrin. Bukan saja disifatkan sebagai penyanyi tampan menurut pendapat teman-teman saya, dia juga sentiasa merendah diri walaupun lama berada dalam lapangan hiburan," akhiri Farah sambil mengungkap keperibadian Shamrin.

Elyana sibuk persiapan kahwin


"DULU saya dengar orang cakap, proses persiapan kahwin memeningkan kepala. Saya tertanya-tanya apakah yang memeningkan itu?

"Fikir saya, beri sahaja tugasan kepada perancang perkahwinan, insya-Allah semuanya akan selesai. Rupa-rupanya memang memeningkan kepala.

"Saya tidak tahu apa yang patut dimulakan dahulu. Sekarang, barang hantaran pun belum dibeli," ujar penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23.

Dia masih merahsiakan tarikh perkahwinannya. Biar semuanya lancar dahulu, ujarnya. Namun, dalam tawa dan bunyi di hujung suaranya dalam talian telefon, dia sedang berbahagia bercampur debaran menunggu tarikh penting tersebut.

Dalam masa yang sama, dia sibuk merencana kembali album terbarunya bersama label FMC. Kembali menjadi artis syarikat rakaman tersebut, Elyana yang mesra dipanggil Nana itu baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak bersama label tersebut.

"Sekarang saya kembali sibuk dengan pertunjukan pentas. Baru sahaja mahu masuk studio untuk merakamkan single terbaru yang dihasilkan oleh Aidit Alfian, mentor saya.

"Untuk album terbaru saya nanti, konsep masih sama cuma akan ada lebih kematangan dari aspek muzik dan lirik. Tetapi masih catchy seperti lagu-lagu yang dulu," katanya.

Penyanyi yang aktif berlakon ini turut menyatakan dirinya tidak terlalu memilih watak yang diberikan kepadanya. Namun, dia ada cara untuk memilih produk atau watak yang bakal dilakonkan.

"Saya ikut gerak hati. Kalau gerak hati kata okey, saya terima dan sebaliknya. Saya terima watak yang boleh saya bawa. Walaupun diberikan jumlah wang yang besar untuk watak yang saya rasa tidak boleh bawa, saya tidak akan terima," jujurnya yang pernah muncul dalam filem Gong, Dukun dan drama Dunia Baru serta Renjis.

Julia Ziegler kaki parti?


SI Kemar Burung Kakak Tua memang jadi sumber Diva untuk dapatkan gosip. Baru-baru ini dia menyerahkan gambar seorang pelakon yang sedang hebat berparti di sebuah kelab.

Perhati punya perhati rupa-rupanya dia ialah pelakon yang kini sedang hebat dalam drama Noktah Erna, Julia Ziegler.

Bukan main mesra dan berseronok nampaknya aktres kacukan itu berparti bersama rakan-rakannya. Diva fikir, itu mesti kes melepaskan tekanan kerja. Maklumlah, setiap orang berbeza cara untuk melepaskan stres.

Rita Rudaini – Adil Zafuan bergelora?


MENARIK nafas panjang Diva dibuatnya apabila satu demi satu cerita tidak seronok masuk ke gegendang telinga ini. Hendak menggeleng kepala rasanya tidak wajar sebab Diva sendiri bukanlah malaikat.

Diva bukan jenis percayakan gosip tanpa usul periksa tetapi setelah mengambil kira bilangan mulut yang rancak bercerita tentang gelora yang sedang dihadapi dramatis popular Rita Rudaini dengan suaminya, Aidil Zafuan itu sudah lebih daripada dua, Diva fikir, pasti ada sedikit kebenaran daripada bisikan angin panas itu.

Diva cuma terkenangkan wajah comel Aidit Raiyan Rizqin yang baru hendak mengenal dunia. Minta dijauhkanlah segala onar tidak diingini ya.

Sabrina peserta Sehati Berdansa keenam bercerai


KUALA LUMPUR 1 Julai - Peserta Sehati Berdansa (SB), Sabrina Ali Dad Khan, 30, dan pasangannya Mohamad Shahrin Abdul Halim, 38, menjadi pasangan keenam yang menyertai rancangan ini bercerai.

Sebelum ini, peserta SB terbitan Astro yang lain, Asheed Def Gab C dan pasangannya, Sharifah Noor Shima; Atilia - Ariff Johan Abdul Aziz; Dira - Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid; Radhi OAG - Shazlin Sharif dan Anne Ngasri - Abdul Wafi Hassan turut melalui proses penceraian.

Sabrina yang juga anak saudara pengarah filem, Datuk Yusof Haslam, mengesahkan kepada Utusan Malaysia hari ini yang dia dan Shahrin sudah bercerai bulan lalu.

Bagaimanapun, Sabrina enggan mengulas lanjut berita perceraian itu.

Katanya, dia belum bersedia untuk mendedahkan tempat, tarikh dan maklumat lain berhubung perceraian mereka bagi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak.

"Maaf, saya perlu merahsiakan kisah penceraian kami ini demi menghormati keluarga saya dan Shahrin.

"Kami mencapai persefahaman untuk bercerai dan hubungan saya dengan Shahrin masih berkawan baik demi anak kami," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sabrina dan Shahrin bernikah pada 21 Mei 2006. Menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ariyana, 2.

Lisdawati Beri Amaran Kepada Penyebar Fintah


PELAKON Lisdawati meminta sesiapa saja yang selama ini cuba meruntuhkan rumah tangganya yang dibina dengan pengarah Fauzi Nawawi supaya segera menutup mulut.

Kata Lisdawati telinganya sudah bernanah untuk mendengar tuduhan yang bukan-bukan apatah lagi terhadap perkara yang mengaitkan suaminya curang dan mempunyai wanita lain.

“Kami kahwin bukan untuk bercerai. Bila ada orang bawa mulut untuk merosakkan rumah tangga kami, tentulah saya tidak percaya,” katanya seperti dilaporkan KAMELIA OTHMAN dalam akhbar Mingguan mStar semalam.

Lisdawati yang sudah tiga tahun bernikah dengan Fauzi berkata, walau apa juga tuduhan, dia tetap percayakan Fauzi selain sudah menyiasat latar belakang lelaki itu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Malah Lisda juga turut menyifatkan individu yang menaburkan fitnah sedemikian adalah lebih kejam daripada rejim Zionis, Israel.

“Saya tak faham kenapa orang sanggup buat kerja yang tak ada faedah seperti ini? Lebih baik mereka buat kerja yang lebih berhasil,” katanya.

Tambah Lisda lagi, sebelum dia berkahwin dengan Fauzi, dia sudah bersedia menerima segala kekurangan dan kelemahan suaminya itu.

Dalam masa yang sama jika ada perbalahan, mereka dapat menyelesaikan masalah dengan baik yang biasnya dilalukan dengan menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

“Perkara terbaik saya amalkan dengan menghantar SMS untuk mencari penyelesaian. Cara itu membolehkan kita untuk menapis dahulu apa yang kita nak cakap berbanding kata-kata yang akan keluar daripada mulut kita kalau masing-masing berdepan,” katanya.

Linda Hashim Tak Kisah Sekadar Berlakon Drama


BIARPUN sudah lebih 10 tahun berada dalam industri hiburan, nama Linda Hashim lebih popular dikalangan peminat drama tempatan berbanding filem.

Malah pelakon berusia 26 tahun ini turut digelar "ratu telenovela" apabila kerap muncul dalam drama-drama tempatan berbanding filem.

Sedangkan bakat dan rupa paras yang dimiliki memungkinkan dia melangkah lebih jauh lagi.

Akur dengan rezeki yang dikurniakan kepadanya, Linda menganggap itu satu pencapaian berperingkat untuk mencapai kejayaan satu hari nanti.

"Saya tidak kisah jika ada yang mengelar saya "ratu telenovela" sebab saya akui lebih banyak berlakon drama berbanding filem. Mungkin rezeki saya sudah di sini.

"Cabaran berlakon filem dan drama sama sahaja. Apabila kita di lokasi penggambaran kita tetap melakukan perkara yang sama iaitu menghayati dan menyampaikan watak tersebut dengan baik.

"Apa yang membezakan antara filem dan drama hanyalah kekerapan muncul di televisyen. Drama lebih kerap berbanding filem," jelasnya yang bakal keluar dengan filem seram berjudul Rasuk.

Pelakon yang popular menerusi beberapa drama televisyen seperti Duranni, Dua Hati, Ayahku Kahwin Lagi dan Cinta Batu Belah ini memberitahu sentiasa menyusun langkah dalam mencorak kerjaya seninya.

Walaupun lambat dikenali di peringkat lebih tinggi berbanding pelakon baru lain, Linda tidak pernah patah semangat. Malah berkali-kali tawaran dihulurkan kepadanya dikaji terlebih dahulu sebelum difikirkan sesuai dan terdaya untuk menerimanya.

"Saya tidak berasa kecewa walaupun belum dikenali. Saya lebih selesa mencipta nama sedikit demi sedikit tetapi terus kekal di industri ini.

"Saya jadikan lakonan sebagai sumber rezeki bukan untuk mencari populariti," tambahnya yang tuurt berlakon dalam drama episod terbaru Halimah Jongang 3 dan Tudung ekspres.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails