Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Keluhan Zainal Abidin


PENGANJURAN Festival Seni KLCC yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini akan digunakan sepenuhnya oleh penyanyi terkenal tanah air Zainal Abidin untuk mempromosikan lagu-lagu rakyat. Namun, penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Hijau itu bagaimanapun ada sesuatu yang mahu diluahkan dari dasar lubuk hatinya.

Zainal yang hadir sewaktu sidang akhbar mengenai penganjuran festival tersebut berkata, ketika ini kebanyakan lagu-lagu rakyat semakin dilupakan terutamanya oleh generasi muda dan kanak-kanak.

“Kalau dilihat di kebanyakan taman didikan kanak-kanak (tadika) di negara ini, ramai pelajar yang hanya menyanyikan lagu-lagu dari Barat seperti Twinkle-Twinkle Little Star.

“Sedangkan kita sebenarnya mempunyai ribuan lagu rakyat yang sebenarnya menarik untuk dinyanyikan seperti Can Mali Can, Jong Jong Inai dan Rasa Sayang. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk mempopularkan lagu-lagu ini semula,” ujarnya.

Bekas penyanyi kumpulan Headwind yang cukup popular dengan lagu ini berkata, beliau merasakan cukup bertuah apabila diundang untuk menjayakan festival tersebut. Zainal bakal membuat persembahan pada 13 Oktober ini dengan menyanyikan enam buah lagu rakyat yang turut diselang-selikan dengan persembahan wayang kulit.

Sementara itu, Festival Seni KLCC merupakan sebuah persembahan muzik ekstravaganza oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dalam bentuk sebuah festival seni yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bermula pada 12 hingga 17 Oktober akan datang.

Pengarah Galeri Petronas, Hartini Abdullah berkata, penganjuran festival berkenaan dilihat sebagai satu langkah yang baik untuk mengetengahkan seni yang berkualiti kepada rakyat Malaysia.

“Sebelum ini, KLCC hanya dikenal ramai sebagai tempat terletaknya sebuah menara berkembar tertinggi di dunia serta pusat beli belah yang kerap menjadi tumpuan rakyat tempatan dan pelancong.

“Diharapkan melalui festival ini akan membuka mata ramai pihak bahawa sebuah tempat seperti KLCC juga sesuai untuk menganjurkan aktiviti seni kerana di sini juga turut terdapat sebuah galeri kesenian dan sebuah kumpulan orkestra yang cukup terkenal,” ujarnya.

Sementara Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang akan membuat persembahan pada 12 Oktober bakal mendeklamasikan beberapa buah puisi yang diambil daripada buku antologi puisi beliau, Rindu Ibu.

“Saya sangat berbesar hati apabila diundang dan ini merupakan kali pertama saya membuat persembahan di DFP. Dalam usaha untuk menyemarakkan aktiviti seni di negara ini, saya berharap agar usaha ini akan diteruskan setiap tahun.

Selain persembahan muzik oleh MPO, Galeri Petronas turut mengadakan bengkel dan pameran seni di Tingkat 4, KLCC yang bermula pada 10 Oktober. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan itu adalah percuma kepada orang ramai.

Reputasi Darling tercalar


SELEPAS dua tahun turun naik mahkamah dan akhirnya mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuka akaun di Bank RHB Berhad pada 29 September lalu, aktres yang juga penerbit Nasreen Ngasri atau Darling kini mampu bernafas lega.

Segala bebanan yang ditanggung selama ini sudah terlepas daripada bahunya kerana kes tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Meskipun mengaku bersalah atas dakwaan tersebut dan terpaksa membayar denda sebanyak RM15,000 serta RM150,000 kepada pengadu Mohamad Ridzwan Mat Hussin yang juga bekas rakan kongsinya dalam syarikat Nazridz Pictures sebagai jalan penyelesaian, Darling terpaksa akur.

Katanya, wang boleh dicari tetapi tidak sebuah kehidupan yang bebas dan bahagia bersama keluarga.

“Saya mengaku bersalah kerana saya memandang masa depan dan tidak mahu kes ini menghantui hidup saya dalam tempoh yang lama.

“Walaupun reputasi saya tercalar dek kes ini, saya anggap ini sebagai pengorbanan untuk saya meniti kejayaan,” ujarnya yang ditemui ketika sesi fotografi.

Sedar pandangan sinis serta impak yang bakal diterima dek pengakuan bersalahnya itu, Darling terima dan reda akan masa depan yang menantinya.

“Semua perbuatan dan kenyataan datangnya daripada saya sendiri, baik atau pun buruk. Sebagai manusia saya tidak boleh menyesal dengan apa yang berlaku sebaliknya mengambil iktibar dan belajar untuk menjadi insan yang lebih baik daripada apa yang berlaku,” tuturnya.

Hargai Kehidupan

Tanpa berselindung, Darling memberitahu pengalaman turun naik mahkamah merupakan episod hitam yang memberinya tekanan tetapi mujur setiap langkahnya tidak dilalui seorang diri sebaliknya keluarga serta suami sentiasa berada di sisi.

“Rasanya semua orang yang ada kes di mahkamah berada di dalam tertekan dan bercelaru. Begitu juga dengan saya, itu kes pertama dan terakhir saya. Selepas ini kalau boleh saya tidak mahu jejak lagi mahkamah.

“Saya juga bersyukur kerana sepanjang saya melalui kes ini keluarga dan suami tidak pernah meninggalkan saya seorang diri. Mereka sentiasa ada apabila saya dalam kesusahan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, terdapat banyak hikmah sebalik kes tersebut yang membuka matanya untuk menjadi insan, anak dan isteri yang lebih baik.

“Saya lebih tenang selepas segalanya berakhir dan saya sedar bahawa hubungan kekeluargaan kami semakin rapat. Suami saya juga sentiasa menyokong saya. Setiap langkah yang diambil semuanya melalui perbincangan bersamanya dan keluarga.

“Selepas apa yang berlaku saya dapat bezakan antara teman yang benar-benar menyokong dan teman-teman yang hanya hadir ketika waktu gembira sahaja,” ulasnya.

Usianya kini menjangkau angka 27 tahun, sebagai insan seni yang membesar dalam dunia yang penuh glamor dan menghadapi pelbagai kontroversi, Darling lebih matang daripada wanita seusianya.

Tidak mahu menoleh ke belakang dan menangisi sejarah silam yang menjatuhkan semangatnya, Darling kini bangkit sebagai wanita yang lebih berani.

“Saya akui ada perbezaan dalam diri saya. Saya bukan lagi Darling yang dulu kerana sekarang saya lebih berhati-hati dalam setiap langkah yang saya ambil.

“Saya juga lebih hargai kehidupan dan orang sekeliling yang sentiasa menyayangi saya seadanya,” tuturnya.

Rossa Bawa Kekasih Jumpa Keluarga


PENYANYI popular dari Indonesia, Rossa (gambar) akui tidak akan berkahwin senyap-senyap sekiranya dia mahu menamatkan zaman jandanya nanti.

Walaupun telah mempunyai kekasih, penyanyi lagu Tegar itu tidak mahu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga.

Bekas isteri Yoyo (Kumpulan Padi) itu berani mengaku telah mempunyai kekasih. Malah dia juga sudah memperkenalkan kekasih yang dicintai itu kepada orang tuanya.

"Saya tidak akan sorok berita tentang perkahwinan saya. Orang tua saya sudah mengenali kekasih saya tetapi saya tidak terlalu mengenali keluarganya," katanya menurut detikhot.com, Rabu.

Bagaimanapun, Rossa masih menyembunyikan identiti kekasihnya itu kerana tidak mahu terlalu mendedahkan kehidupan peribadinya. Alasannya, dia tidak mahu popular kerana kehidupan peribadi.

Ahmad Dhani Tiada Hasrat Rujuk Dengan Bekas Isteri


VOKALIS kumpulan Dewa, Ahmad Dhani tidak mahu hubungan baiknya dengan bekas isteri, Maia Estianty dalam menguruskan ketiga-tiga anak mereka disalah anggap.

Menurut penyanyi dan komposer itu, hubungan baik yang dijalinkan bukan bertujuan untuk mereka rujuk semula tetapi sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai ibu-bapa kepada ketiga-tiga orang cahaya mata mereka.

"Kami berbaik kerana tidak mahu anak-anak akan berasa kehilangan salah seorang dari kami," ujarnya.

Katanya, hubungan baik dengan bekas isterinya itu bukan sesuatu yang istimewa, malah dia kini memberi kelongaran kepada Maia untuk bertemu dengan anak-anak mereka.

"Saya sudah permudahkan dia untuk berjumpa dengan anak-anak cuma belum mengizinkan dia untuk mengambil mereka keluar berjalan-jalan," katanya seperti dipetik Vivanews.com.

Bagaimanapun, Maia menghormati keputusan yang dibuat oleh Dhani dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan mereka.

Sebutan Kes Cerai Zakiah Anas 26 Oktober


PETALING JAYA: Permohonan cerai secara baik personaliti TV3, Zakiah Anas terhadap suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib akan disebut semula di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 26 Oktober ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Syarie, Ghazali Ahmad pada Rabu, selepas beliau tidak berpuas hati dengan laporan yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Pendamai yang dilantik dalam kes tersebut.

Ghazali yang telah menyemak laporan yang disediakan oleh pengerusi jawatankuasa mendapati, laporan itu tidak memenuhi kehendak mahkamah.

"Saya dapati proses dalam jawatankuasa tidak berjaya kerana pengerusi dan pihak berkenaan tidak memahami dan menggunakan kaedah lain," katanya.

Justeru itu, Ghazali memerintahkan wakil-wakil dalam AJKP untuk hadir semula ke mahkamah pada tarikh akan datang.

"Saya akan cuba jelaskan dan beri kefahaman kepada mereka," tambah beliau.

Prosiding itu hanya dihadiri oleh Zakiah, 43, yang pernah mengacarakan rancangan berbentuk kepolisan 999.

Zakiah diwakili peguam syarie Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof tidak diwakili peguam.

Pada 30 Jun lalu, mahkamah secara rasmi melantik dua wakil untuk mewakili jawatankuasa itu di mana Zakiah memilih anak saudaranya, Affendi Yusoff.

Mohamad Yusof, 48, seorang ahli perniagaan pula diwakili oleh sepupunya, Md Hairi Md Salleh.

Pelantikan dua wakil itu adalah mengikut Seksyen 47(5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 selaras dengan permohonan cerai secara baik.

Zakiah yang telah berkhidmat di TV3 selama 20 tahun memfailkan cerai secara baik pada Januari lalu.

Dia dan pasangannya telah berkahwin selama 17 tahun dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzhaffar, 14 tahun.

Sebelum ini, Zakiah pernah memfailkan permohonan cerai secara fasakh sebelum menukarnya kepada cerai taklik di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, dekat sini.

Bagaimanapun, permohonan itu ditarik semula pada 1 September 2009 tanpa memberikan sebarang alasan lanjut.

Tidak Sehaluan Punca Fara Asyikin Putus Tunang


PETALING JAYA: Penyanyi, Farah Asyikin,31, mengakui hubungan yang tidak sehaluan menyebabkan dia mengambil keputusan nekad untuk mengakhiri ikatan pertunangan pada dua bulan lalu.

Jelas Farah, keputusan dibuat selepas memikirkan secara rasional perhubungan tersebut dan tidak mahu peristiwa penceraiannya dengan bekas suami Dr Fariz Yahya berulang kembali.

"Kami berkawan setahun tetapi bertunang hanya bertahan selama sebulan sahaja. Saya banyak berfikir dan menilai perkara-perkara yang saya nampak berlaku sepanjang kami berkawan.

"Pada mulanya saya boleh terima apa sahaja yang datang dan menganggap ia sebagai dugaan dalam sesebuah perhubungan, namun semakin hampir pada tarikh perkahwinan, saya seperti dapat petunjuk dari Allah untuk buat keputusan ini," katanya.

Farah Asyikin yang mengikat tali pertunangan dengan jejaka dari Singapura pada Jun lalu sepatutnya mengakhiri zaman jandanya pada Julai lalu dan menetap di Macau, China.

"Persiapan kahwin memang saya dah buat serba sedikit memandangkan kami merancang untuk bertunang sekejap sahaja.

"Malah yang paling ralat, saya terpaksa menolak tawaran berlakon dalam Muzikal Tun Mahathir kerana pada mulanya merancang untuk ikut dia yang bekerja di Macau," katanya.

Bagaimanapun, menurut Farah, dia reda dengan ketetapan yang telah ditentukan oleh yang maha esa, namun begitu dia tidak pernah sekali-kali menutup pintu hatinya kepada lelaki.

"Saya pasrah dan reda dengan apa yang terjadi, semuanya sudah tertulis. Saya tidak serik tetapi lebih berhati-hati setelah berbagai-bagai dugaan yang datang kepada saya.

"Bagaimanapun saya tidak sekali-kali menutup pintu hati untuk berkawan dengan mana-mana lelaki, jika ada jodoh Insya-Allah ia akan dipermudahkan," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru yang mana dia berduet dengan Shamrin Fotograf berjudul Kamu Aku Satu.

"Cara Ash Tak Kena" - Dira


PETALING JAYA: "Dia cuba mengeruhkan keadaan." Demikian penjelasan pelakon Dira Abu Zahar, yang dikatakan mengelak untuk menemukan bekas suaminya Ash, dengan anak mereka, Anggun Deandra.

Beritahu Dira, dia sebenarnya bukan tidak membenarkan Ash yang merupakan gitaris kumpulan Bau itu berjumpa Anggun sebaliknya cara Ash meminta izin untuk berjumpa anak mereka seperti ada yang tidak kena.

"Saya enggan memanjangkan hal ini dan enggan berebut anak. Nak ikutkan saya dan dia tidak mempunyai masalah dalam hal penjagaan anak.

"Cuma biar kena caranya. Saya tak suka guna orang tengah bila tibanya soal anak kerana saya mahu tidak ada masalah komunikasi antara saya dengan Ash.

"Saya agak kecewa apabila Ash meletakkan status dalam Facebook mengenai soal anak sedangkan dia boleh berurusan terus dengan saya. Tidak perlu masalah yang berlaku dihebohkan kepada orang ramai," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Tambahnya, dia tidak akan teragak-agak untuk membawa hal penjagaan anak ke mahkamah jika masalah antara mereka tidak dapat diselesaikan dengan cara baik.

"Saya sedih bila dia tulis di status Twitter dan Facebook dan tertanya-tanya kenapa dia perlu berbuat demikian?

"Peliknya dia seperti ragu-ragu untuk berbaik dengan saya. Apa pun, saya harap masalah ini tidak diperbesarkan lagi antara kami," katanya.

Ella Takkan Sorok Soal Kahwin


KUALA LUMPUR: Ratu rock negara, Norzila Aminuddin,44, atau Ella masih berdolak-dalik dan mengambil pendekatan paling selamat apabila diminta untuk mengulas mengenai gosip yang dia bakal menamatkan zaman bujangnya.

Menurut Ella, tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada pengetahuan umum jika memang benar dia merancang untuk berkahwin.

"Tiada apa yang saya perlu saya sorokkan daripada orang ramai. Kalau betul ada perancangan ke arah itu (kahwin), mesti saya akan kongsikan dengan semua orang dan tiada apa yang perlu dirahsiakan.

"Masalahnya semua cerita yang timbul itu tidak berasas. Jika sebarang cerita tentang kahwin dan sebagainya bukan datang daripada mulut saya sendiri, perkara itu belum tentu benar," katanya.

Diusik mengenai status dirinya yang masih kekal bujang dan mudah mengundang pelbagai persepsi dan fitnah, Ella mengakui, walaupun kenyataan itu agak merimaskan dan menyulitkan kehidupannya, dia bagaimanapun selesa untuk bersikap optimis dalam menangani sebarang masalah yang timbul.

"Adakalanya memang susah juga apabila diri kita popular dan masih kekal bujang begini tapi ia bukanlah sesuatu yang buruk dan negatif. Bagi saya, jika sesuatu perkara atau cerita tentang kita itu tidak benar kita buat tidak tahu saja," katanya.

Menerusi laporan mStar Online pada 10 Julai lalu, salah seorang ahli keluarga penyanyi rock itu mengesahkan Ella telah membawa kekasihnya, Elan Hasyim Abd. Rahman, 28, untuk bertemu keluarganya di Klang, Selangor beberapa bulan lalu untuk mendapat restu sebelum berkahwin.

Terbaru, Ella bakal menyertai dua gergasi rock tanah air iaitu kumpulan Search dan Wings dalam konsert Red On Black pada 15 Oktober depan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Dia Fadila & Redza Sah Bergelar Suami Isteri


KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 26, sah bergelar isteri kepada Redza Hj Abdullah Sanusi, 33, dalam satu majlis pernikahan serba ringkas yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam dan Jurunikah masjid tersebut iaitu Al-Hafizan Ibrahim kira-kira pada pukul 9.45 pagi dengan disaksikan oleh ibu bapa, keluarga dan sahabat-handai kedua-dua mempelai.

Dia Fadila kelihatan anggun sementara suaminya tampak kacak apabila mengenakan persalinan berwarna krim rekaan Bill Keith.

Pada majlis itu, Dia Fadila menerima mas kahwin berupa senaskhah Al-Quran, sepasang telekung dan wang tunai sebanyak RM 2309.84 sebagai simbolik kepada tarikh hari lahir penyanyi itu.

Bagaimanapun, tiada pertukaran dulang hantaran dilakukan atas persetujuan kedua-dua belah keluarga pengantin yang lebih mengutamakan perkara-perkara wajib dalam majlis pernikahan sahaja.

Apabila ditanya tentang jumlah wang hantaran, ibu kepada penyanyi itu Azanah Abd Raof, 52, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar dan mengakui jumlah tersebut dipersetujui oleh kedua-dua belah keluarga.

Menurut Dia Fadila yang juga pensyarah vokal di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), majlis pernikahan ini cukup istimewa kerana ia diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-33.

"Majlis pernikahan ini istimewa buat saya kerana tarikh hari ini adalah hari ulang tahun kelahiran suami yang ke-33 dan kami sengaja pilih tarikh ini supaya ia akan jadi satu kenangan yang manis buat kami.

"Redza menjadi pilihan saya kerana ciri-ciri dirinya yang sempurna dalam segala aspek. Sebagai isteri, saya yakin dia seorang lelaki yang bertanggungjawab dan mampu untuk memimpin bahtera perkahwinan kami dengan baik, insya-Allah," katanya.

Dia Fadila yang mengakui gembira dan bersyukur kerana telah bergelar isteri, bagaimanapun masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk berbulan madu dalam masa terdekat.

"Selepas bertunang sejak Mac lalu, kami tidak mahu bercinta terlalu lama dan memutuskan untuk berkahwin secepat mungkin. Saya bersyukur dan gembira kerana tempoh perhubungan kami yang agak pendek ini berakhir dengan satu ikatan yang sah.

"Saya akan terus mengajar dan menyanyi selepas ini seperti biasa kerana suami tiada sebarang halangan. Tentang berbulan madu, memang kami ada pilih beberapa destinasi tapi yang pasti bukan dalam masa terdekat sebab kami sedang sibuk dengan komitmen tugas masing-masing," katanya yang merancang berbulan madu tahun depan.

Bermula sebagai kenalan biasa, pasangan ini menjadi semakin intim sejak November 2009. Atas keserasian itu, mereka memutuskan untuk bertunang Mac lalu dan hanya mengambil masa sekitar enam bulan sebelum melangkah ke jinjang perkahwinan, hari ini.

Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di Dewan Siti Hasmah (Rumah Puspanita), Jalan Wisma Putra, Kuala Lumpur pada 3 Oktober pukul 8 malam. Selepas berkahwin, Dia Fadila dijangka akan berpindah mengikut suaminya ke Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Jimmy Shanley Bergelar Suami


SUNGAI BULOH: Dengan tiga kali lafaz, pengacara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Jimmy Shanley Norjahan Saleh selamat diijabkabulkan dengan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy kira-kira pukul 4 petang, Jumaat.

Majlis akad nikah yang berlangsung di banglo mewah milik keluarga perempuan berlangsung di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Adib, bekas peserta rancangan Imam Muda.

Kira-kira 500 kenalan, saudara-mara hadir pada acara akad nikah yang disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Damansara, Mustaffa Kamal Abu Bakar. Ia disaksikan oleh Mohd Fadhil Mohd Nor dan Mohd Yusof Mohd Isa.

Majlis akad nikah dilakukan di atas pelamin mini dihiasi bunga ros dan kekwa merah dan merah jambu yang direka oleh perunding perkahwinan Baha.

Jimmy kelihatan segak berpakaian baju Melayu rona emas rekaan Rizman Ruzaini manakala Nursuhaila anggun mengenakan baju kebaya bertatahkan manik dan permata. Nursuhaila diwalikan bapanya.

Rombongan pengantin lelaki hadir seramai 50 orang diketuai oleh abang kepada Jimmy Shanley iaitu Datuk Ir Young Juwahir Muhammad Idrus yang membawa sembilan dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.

Hantaran daripada pihak lelaki terdiri daripada sebuah jam tangan, satu set barang kemas, sebuah komputer iPad, tas tangan, alatan dandanan dan wangian, sepersalinan pakaian, sepasang kasut, wang mas kahwin dan sebentuk cincin pusaka peninggalan dan wasiat arwah ibunda pengantin lelaki.

Pihak perempuan pula menyerahkan sepasang kasut, seutas jam tangan, sehelai baju, sehelai seluar, sebuah iPhone, kek, manisan, coklat, sirih junjung, set dandanan dan sepasang baju Melayu.

Bagi upacara pembatalan air sembahyang, Jimmy menyarungkan sebentuk cincin pusaka peninggalan arwah ibunya ke jari manis pengantin perempuan.

Cincin pusaka berpermata nilam merah itu adalah amanat arwah ibu Jimmy supaya disarungkan kepada isteri Jimmy.

Pihak pengantin lelaki telah membawa mas kahwin dan duit hantaran sebanyak RM31,186, bersamaan tarikh lahir pengantin perempuan iaitu pada 31 Januari 1986. Ketika ditemui selepas akad nikah selesai, Jimmy memberitahu dia berasa gugup semasa melafazkan nikah kerana julung kali berbuat demikian.

Bagaimanapun, bekas pengacara Trek Selebriti itu melahirkan rasa lega kerana akhirnya hasratnya memperisterikan Nursuhaila tercapai.

"Tempoh perkenalan kami singkat sahaja. Banyak lagi yang saya tidak tahu tentang isteri saya. Selepas ini, saya akan lebih memahaminya," kata jejaka berusia 30 tahun itu tersenyum lebar semasa sidang akhbar.

Jimmy turut berkata, dia ingin memiliki empat anak lelaki dan seorang anak perempuan bersama isteri tersayangnya.

Sementara itu, isterinya, Nursuhaila yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim itu berkata, dia bersyukur dan tetap memberikan sokongan penuh kepada suaminya menceburkan diri dalam bidang seni.

Majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada malam ini di Grand Ballroom, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails