Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ayu belum hamil


AGAKNYA itulah yang dikatakan rezeki orang berumah tangga. Sebaik habis cuti perkahwinan dua minggu Ayu Raudhah tidak goyang kaki di rumah.

Dalam tempoh hampir tiga bulan selepas menjadi suri pemain bola sepak skuad kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, sudah empat produksi drama Ayu selesaikan. Dua daripada produksi itu daripada naskhah drama bersiri dan dua lagi adalah telemovie.

“Syukur sangat. Saya cuma sempat cuti dua minggu selepas kahwin, setelah itu banyak masa dihabiskan di lokasi,” katanya.

Dalam rasa bercampur bahagia, dia dan Zaquan masing-masing masih bertukar-tukar kediaman, sekejap di rumah lama Ayu di Subang, Selangor dan sekejap di Seremban. Pasangan tersebut berkahwin pada 21 Januari lalu.

“Kadang-kadang rasa macam masih di alam berkasih-kasihan. Saya sibuk dengan jadual penggambaran. Bila ada waktu cuti sehari atau dua hari, kami akan jumpa.

“Kemudian apabila Zaquan ada latihan, pagi-lagi lagi dia akan bergerak balik ke Seremban, saya pula ke lokasi penggambaran.

“Macam baru-baru ini, saya sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Mata Ayer di Perlis, jadi masa bersama sangat terhad,” katanya yang bertukar ke lokasi penggambaran telemovie, Kemilau Di Hati Nadirah di Pulau Pinang pada Isnin lalu.

Mujurlah kata Ayu, sepanjang seminggu berada di Pulau Pinang, Zaquan ikut bercuti memandangkan dia baru menjalani rawatan perubatan akibat kecederaan lutut.

Bertanyakan khabar sama ada sudah ‘berisi’ atau belum, ketawa si pengantin baru yang masih bersisa inai di jari itu semakin manja.

“Belum, kami pun tengah menunggulah. Saya memang berharap untuk cepat-cepat menimang cahaya mata, Zaquan lagilah teruja. Awal-awal lagi kami sudah berbincang pasal anak.

“Masa bulan pertama kahwin, saya sedikit berdebar, ingatkan bila sudah terlewat ‘kitaran,’ maknanya saya dah berisi, tapi rupa-rupanya belum lagi. Belum ada rezeki nampaknya,” tergambar fasa pertama bergelar isteri yang menyeronokkan daripada ungkapan adik jelitawan, Rozita Che Wan itu.

Berbalik kepada Mata Ayer, dalam drama berkisarkan ilmu hitam itu, Ayu membawa watak Melati. Melati sering hadir dalam mimpi Shidah, lakonan Sharifah Shakinah.

“Melati sebenarnya moyang kepada Shidah dan bayangan mimpi dalam tidur Shidah itu sebenarnya merupakan satu petanda. Watak saya kali ini agak misteri,” katanya.

Drama bersiri 20 episod terbitan Zeel Production yang diarahkan oleh Mazri Mustafa dan skrip oleh Mohd. Rohizan Ramli itu mula bersiaran sejak 11 April 2011 pada hari Isnin hingga Khamis

pukul 4 petang di TV3.

Shera ambil petua Zahiril


PERTUTURANNYA meluncur laju, layaknya kerana dia seorang pengacara program televisyen. Namun, untuk kesesuaian satu lagi profesion, Shera Aiyob cuba memperlahankan patah katanya.

“Sudah terbiasa,” ujarnya yang merupakan pengacara Wanita Hari Ini. Sekarang, dia meneroka sebuah lagi dunia baru dengan penuh debar.

Menyandang gelaran aktres, kebolehan Shera bakal ditentukan melalui filem keduanya, Karak. Filem itu bakal ditayangkan pada 26 Mei ini.

Sebelum ini, pemegang Diploma Pengajian Media dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) ini sudah mencuba gear pertamanya melalui filem Sesuatu Yang Tertinggal.

Bagaimanapun, Karak bakal menentukan pandangan dan pendapat khalayak mengenai bakat barunya ini.

“Jujurnya, filem seram atau hantu yang pernah saya tonton boleh dibilang dengan jari.

“Apabila dapat tawaran berlakon filem seram (Karak), saya tidak tahu bagaimana ketakutan itu boleh dilawan,” ujarnya yang mengajak adik dan rakan-rakan menemaninya menonton filem hantu untuk kajian lakonannya.

“Terdetik juga, bolehkah saya menjalankan tugasan baru ini. Namun, saya tahu inilah cabaran yang saya mahukan. Sebenarnya saya seorang pemalu dan sukar mengekspresikan perasaan.

“Tetapi saya pegang kata-kata Zahiril Adzim bahawa lagi buruk wajah dalam lakonan lagi cantiklah lakonan kita,” ujarnya tersenyum manis apabila menyebut nama si buah hatinya itu.

Hasilnya Shera membawakan watak Zura dalam filem arahan Yusry KRU itu.

Dalam filem tersebut, Zura ialah seorang yang kuat agama tetapi kemudian terlalai di pertengahan hidupnya.

Bergandingan bersama pelakon seperti Shahir (AF), Along Eyzendy dan Kilafairy, Shera mengaku dia mempunyai hubungan kimia yang baik dengan semua pelakon tersebut.

“Sutradara Yusry ada mengusik saya yang berkulit agak sensitif dan merah-merah digigit serangga.

“Tetapi syukur sepanjang penggambaran tiada perkara pelik yang terjadi,” kata aktres ini yang sudah terbiasa mendengar kisah di Lebuh Raya Karak seperti misteri kereta Volkwagen kuning dan suami isteri diganggu makhluk halus.

Ditanya tentang kepercayaannya terhadap cerita hantu tempatan, Shera memberi jawapan bernas.

“Saya rasa filem hantu tempatan agak boleh diramalkan kesudahannya. Jalan ceritanya juga lebih kurang sama. Namun, kita tidak boleh salahkan pengarah kerana mereka ada kekangan masing-masing.

“Soal bajet mungkin mengehadkan kreativiti namun apa yang saya perhatikan, industri filem sedang mengalami peningkatan,” ujarnya.

Debaran Shera kian kencang menantikan respons peminat terhadap hasil lakonannya.

Gadis 26 tahun ini juga disentuh perihal debaran berganda kerana dia bakal ‘ditanda’ sang kekasih.

Pada 1 Mei ini, Shera akan menjadi tunangan aktor berbakat besar, Zahiril Adzim.

Sheira membuka cerita, awalnya dia dan Zahiril yang disatukan dalam produksi Sesuatu Yang Tertinggal tidak mesra dan hanya bertegur sapa atas dasar kerja.

“Selepas itu, kami mula keluar minum beramai-ramai. Saya tahu dia menyukai saya daripada gerak-gerinya.

“Secara semula jadi perkenalan itu bertukar menjadi rapat dan Ahad depan saya bakal menjadi tunangannya.

“Zahiril itu orang yang kelakar, penyayang dan memang menyenangkan. Dia seorang pemerhati,” ujar Shera.

Fiza marahkan pembawa mulut


“KALAU boleh, mahu sahaja saya rejam kepala si pembawa mulut jahat itu.”

Wah! Sampai begitu sekali marahnya si pelakon Fiza Elite kepada seorang individu yang didakwanya bertanggungjawab yang memusnahkan rumah tangganya pada November lalu.

Diva bukan nak sokong mana-mana pihak atau nak salahkan sesiapa. Kes perceraian Fiza bersama Ahmed Farriq Zainul Abidin itu dah lama berlaku.

Diva juga nampak apa yang berlaku ke atas Fiza, bahkan dia dikaitkan pula sebagai punca perceraian ibu bapa pelakon remaja Erin Malik.

Fiza oh Fiza! Buat masa ini, hadapi sahaja apa yang berlaku, janganlah dikenangkan kesakitan lama dulu.

Jodoh pertemuan itu lumrah dunia dan tak bagus menyimpan dendam, bahaya, takut sampai mati hati. Lagipun, awak kan dah ada teman lelaki baru.

Marsha putus cinta


RASANYA belum sampai sebulan Diva ada baca kisah pelakon cantik, Marsha Londoh yang mahu lekas-lekas menamatkan zaman solo. Tiba-tiba cuping telinga Diva dimasuki pula angin baru mengatakan Marsha dan teman lelakinya sudah tidak sehaluan lagi. Betul atau tidak, tidaklah Diva dengar daripada mulut Marsha sendiri. Inipun, khabar-khabar angin yang Diva curi-curi dengar daripada perbualan kawan-kawan sahaja.

Kalau benarlah sudah ‘potong kek’ nampaknya cinta yang disulam sejak hampir setahun itu sudah pun berakhir.

Alah Marsha, awak tu cantik dan seksi bergetah, kalau bunga bukan sekuntum, kumbang pun bukan seekor. Diva dengar Marsha pun dah habis penggambaran drama Dunia Kita. Jadi, masa rehat barang sedetik ini pergilah jumpa kawan-kawan lain, mana tahu ada yang baru nak masuk jarum.

Astrid mahu kahwin


SUASANA kebahagiaan sedang menyelimuti penyanyi yang berasal dari Surabaya, Astrid. Ini kerana, Arlan, si kekasih yang juga merupakan seorang penyanyi baru saja melamar dirinya.

“Dia datang ke rumah orang tua saya untuk berbincang hal pernikahan. Jujur, saya sangat senang dengan momen itu dan kini saya sedang memikirkan waktu yang tepat untuk bernikah. Kami harus mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal termasuk pembiayaan majlis itu kelak,” kata Astrid penuh bahagia.

Ditanya adakah berita mereka akan segera bernikah pada tahun ini seperti yang telah disiarkan sebelum ini, Astrid belum berani memberi pengesahan. Sebaliknya dia hanya memberitahu mereka masih berusaha mencari tarikh dan lokasi yang sesuai.

Mengaku Arlan kini sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Tentang Rasa itu kemudian memberitahu: “ Kami juga masih sibuk dengan karier masing-masing.

“Saya juga bergantung kepada persiapan Arlan dan kepada Tuhan. Semoga apa yang direncanakan akan terlaksana dengan baik nanti.”

Rayyan peneman waktu senggang


SETELAH pemergian Allahyarham Faizal Yusup dan Allahyarham Achik Spin, dua insan yang begitu rapat dengan pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran, Siti Nordiana Alias atau Nana mengakui, dirinya agak sepi.

Namun, kehadiran Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, anak hasil perkahwinan bersama arwah Faizal sedikit sebanyak mampu menjadi peneman kesepian Nana di kala sunyi.

Jika mempunyai kelapangan, Nana sering membawa Rayyan ke pusat membeli-belah untuk membeli permainan permata hatinya itu.

"Itulah aktiviti yang selalu arwah bapanya lakukan ketika mereka keluar bersama.

"Untuk mengelakkan Rayyan terasa kehilangan bapanya, saya sering membawanya membeli permainan kesukaannya.

"Pada masa yang sama, saya boleh luangkan masa berkualiti bersama Rayyan setelah sibuk dengan karier seni," jelas Nana ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini.

Rayyan suka karaoke

SELAIN gemarkan permainan seperti robot dan kereta mainan, ia sesuatu yang menarik apabila Rayyan cukup menggemari aktiviti berkaraoke.

"Seronok melayan keletah Rayyan walaupun ia memenatkan. Sekurang-kurangnya, ia satu senaman buat saya apabila selalu mengejarnya ke sana-sini," seloroh Nana sambil tertawa.

Sekalipun usianya masih kecil, Nana memberitahu, Rayyan cukup suka apabila dibawa ke pusat karaoke.

Kata Nana, walaupun anaknya itu tidak pandai berkata-kata apatah lagi menyanyi, kerenahnya yang cukup aktif di pusat karaoke jelas membuktikan Rayyan begitu seronok.

"Lazimnya, akan ada seorang kawan yang menemani kami berkaraoke.

"Sekiranya salah seorang antara saya atau kawan sedang menyanyi, Rayyan akan melompat-lompat seakan-akan menari mengikut rentak lagu yang sedang dinyanyikan.

"Bagaikan tidak mengenal erti penat, Rayyan akan terus menari selagi muzik berkumandang," terang Nana yang muncul dengan album terbarunya berjudul Semakin Jelas terbitan syarikat rakaman FMC.

Ternyata, Rayyan umpama bintang yang menyinari hidup Nana setelah insan-insan yang pernah akrab dengannya suatu ketika dahulu pergi meninggalkannya buat selamanya.

Kalau itu jodoh mereka - Maya Karin


KALA ini, hangat diperkatakan mengenai hubungan mesra yang terjalin antara aktres jelita, Lisa Surihani bersama orang kuat KRU Studios, Yusry Abd. Halim.

Kemesraan yang jelas kelihatan antara kedua-dua insan seni itu mula menjadi bualan ramai apabila mereka menghadiri majlis pratonton filem Seru di Wangsa Walk Mall baru-baru ini.

Lantas, ia mengundang seribu persoalan di kalangan petugas media yang ingin mengetahui status sebenar perhubungan mereka.

Minggu lalu, Hits sempat menemubual kedua-dua pelakon itu untuk mendapatkan pengakuan eksklusif mereka.

Mujur, Yusry mahupun Lisa, kedua-duanya mengakui mereka mula intim sejak dua bulan yang lalu.

Mereka menjelaskan, perkenalan mereka masih baru lagi dan dalam proses mengenal hati budi antara satu sama lain.

Justeru, Hits cuba untuk mendapatkan reaksi Maya Karin Roelcke, 31, seorang lagi jelitawan yang pernah dikatakan menjalin hubungan cinta dengan anggota kumpulan KRU itu.

Kilafairy berkemban ikut skrip?


KEHADIRAN bakat baru dalam bidang seni tanah air yang silih berganti membuatkan ada di antara mereka melakukan pelbagai cara untuk dikenali.

Ada di antara mereka yang sanggup mencetus kontroversi secara sengaja atau tidak semata-mata untuk popular.

Antara yang dikenali kerana cerita kontroversi adalah Arja Lee dalam filem ...Dalam Botol dan Zul Handy Black menerusi filem Mantra.

Terbaru yang dilihat cuba mengikut jejak langkah dua pelakon tersebut untuk dikenali segera adalah Kilafairy.

Pelakon yang nama sebenarnya, Syakila Nisha Jahangir Khan, 19, itu dikatakan sengaja berkemban dalam filem Karak arahan Yusry Abdul Halim untuk mencipta kontroversi dan populariti.

Ketika soalan itu diaju kepadanya, Kilafairy menafikan dia berkemban untuk mencari populariti atau kontroversi sebaliknya apa yang dilakukan sekadar mengikut skrip dan babak yang sesuai.

Katanya, apa yang dilakukan adalah mengikut jalan cerita dan bukan sengaja mencari publisiti murahan.

Anak penyanyi Rohana Jalil itu berkata, apa yang terlintas di fikirannya hanyalah untuk memberi lakonan berkesan pada adegan tersebut.

" Adegan berkemban itu dibuat pada pukul enam pagi. Sejuknya memang tidak terkata. Untuk adegan itu, Kila sebagai Ida sedang mandi di kampung, jadi sudah tentulah berkemban.

" Kila sedar kesan selepas orang ramai melihat adegan tersebut. Terpulang pada pandangan masing-masing. Bagi Kila ia dibuat berdasarkan kesesuaian skrip dan tidak ada maksud lain," jelasnya yang turut berlakon drama Ayu Suraya.

Kilafairy yang mengaku dirinya seorang penakut namun sanggup berlakon filem bergenre seram semata-mata mahu mencabar kebolehan diri.

Disebabkan filem Karak juga berat badan Kila naik sebanyak dua kilogram (kg) iaitu daripada 44 kg kepada 46 kg.

" Macam mana berat badan tak naik. Penggambaran pula malam. Di lokasi makanan banyak, lepas makan tidur sementara menunggu penggambaran babak Kila," katanya tersenyum.

Menurut pelajar jurusan pemasaran dan pengurusan fesyen di Kolej Raffles, Kuala Lumpur ini, sejak kecil beliau minat berlakon bagaimanapun peluang menyanyi datang terlebih dulu.

" Walaupun orang kenal Kila dalam bidang nyanyian, namun minat sebenar Kila adalah lakonan. Sekarang ini pun kalau ada undangan, Kila akan terima.

" Selalunya untuk persembahan tertutup, orang minta Kila nyanyi lagu Hindi. Lagu-lagu lain Kila nyanyi juga. Sekarang ini bila sudah berlakon, ikut kelapanganlah," kataya terus-terang.

Kila yang mengaku tidak pernah mempunyai teman lelaki tapi ramai yang cuba mendekatinya itu berkata, jika tidak ada halangan beliau akan muncul dengan single sebagai platform dalam bidang seni suara.

Saya tak hilang - Zamani


Setelah muncul secara solo dan melahirkan album Syair Si Pari-Pari sekitar tahun 2005 kemunculan bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani ibarat macam biskut - sekejap ada sekejap tidak.

Menyedari hakikat berkenaan, Zamani atau menjelaskan bahawa kesepian dirinya itu bukanlah bererti dia menjauhkan diri daripada industri hiburan tanah air jauh sekali merajuk membawa diri.

Mengakui dirinya kini kurang menyinar seperti mana zaman kegemilangannya bersama Slam sekitar tahun 1990-an dahulu, Zamani lebih selesa dengan sikap low porfile.

"Saya tidak hilang ke mana. Saya masih ada cuma kurang keluar di media dan sebab itu mungkin ada mengatakan saya menghilangkan diri.

"Untuk pengetahuan semua saya masih menyanyi dan ada mendapat jemputan untuk majlis-majlis tertentu cuma ia tidak sehebat dahulu," jelas Zamani ketika ditemui pada sidang akhbar Malam Kesatria Seni di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ujarnya, kehilangannya juga mungkin disebabkan tiada lagu-lagu baru yang dirakamkan setelah melahirkan album terakhirnya dahulu.

Namun walaupun tidak merakamkan sebarang lagu baru itu bukanlah tanda berakhirnya karier nyanyian yang telah sebati dalam dirinya.

"Saya baru sahaja pulang dari membuat persembahan bersama Hattan di Sarawak bulan lalu dan alhamdulillah ada juga jemputan untuk membuat persembahan selepas ini.

"Selain itu, album mini saya Zamani juga telah berada di pasaran dua bulan lalu," jelas penyanyi yang akan menginjak ke usia 40 tahun pada 25 Mei depan.

Mengakui album mini terbitan Johan Music Sdn. Bhd., edaran Universal kurang promosi, kini pihaknya merancang untuk mengadakan pelancaran semula.

Jelasnya, bagi tujuan itu kemungkinan berlakunya pertambahan lagu di dalam album mini tersebut.

"Kita masih lagi di peringkat perbincangan dan insya-Allah apabila semuanya selesai mungkin akan ada pertambahan satu dua lagu lagi dalam album berkenaan.

"Kini saya baru sahaja habis merakam beberapa buah lagu," jelasnya.

Zamani yang terkejut tatkala ditebak dengan khabar angin minggu lalu yang kononnya dia telah meninggal dunia hanya mampu menjelaskan dia sendiri terkejut dengan berita itu.

"Saya sendiri mendapat tahu melalui abang Johan (komposer) yang menghubungi saya untuk bertanyakan berkenaan perkara itu.

"Ketika dihubungi, saya berada di kawasan rumah di sekitar Ampang dan terkejut apabila diberitahu.

"Apa pun alhamdulliah saya masih sihat dan tidak pernah mengalami sebarang komplikasi kesihatan yang serius," jelas penyanyi yang pernah menjalani pembedahan batu karang itu.

Menurut Zamani, beliau tidak pernah memberikan sebarang kenyataan kepada sebuah akhbar bagi menafikan khabar angin mengenai berita kematiannya.

"Saya tidak pernah memberikan komen berkenaan berita tersebut kepada pihak media sebelum ini. Ini adalah kenyataan pertama saya secara terus kepada media," tegas Zamani.

Merancakkan suasana malam itu, Zamani sekali lagi diterjah berkenaan dengan kekosongan hatinya.

Biarpun hampir mencecah usia 40 tahun, Zamani mengakui hatinya masih lagi belum dimiliki oleh mana-mana wanita.

Katanya, kekebalan pintu hati lelakinya masih lagi kukuh dalam mencari seseorang yang betul-betul sesuai untuk dijadikan suri hidup.

"Saya bukanlah memilih tetapi mencari seseorang yang benar-benar dapat menyayangi dan menerima saya dengan ikhlas.

"Bukan senang untuk mencari calon isteri kerana banyak perkara yang perlu diteliti agar tidak merasa menyesal di kemudian hari," jelasnya yang kelihatan sedikit kurus berbanding dahulu.

Bagaimanapun Zamani mengakui mempunyai beberapa kawan wanita namun perhubungan itu hanyalah sebagai sahabat.

Baginya, mungkin disebabkan terlalu lama menjalani kehidupan tanpa kehadiran seorang wanita sebagai kekasih menyebabkan dia lebih selesa begitu.

"Saya percaya pada jodoh dan sekiranya telah sampai jodoh saya nanti, insya-Allah bertukarlah status saya kepada seorang suami.

"Jangan risau apabila tiba masanya saya akan jemput nanti," jelas Zamani menamatkan perbualan malam itu.

Pakaian umpama uniform - Ani


MELIHAT kepada penampilan Ani Maiyuni, 33, dan gaya seksinya, pasti ada 'mulut jahat' yang membuat tanggapan sendiri.

Biar apa pun tanggapan masyarakat, Ani Maiyuni yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni tidak akan berkecil hati kerana beliau lebih senang mengambil sikap profesional.

Katanya, sebagai artis beliau perlu tampil dengan satu imej tersendiri dan apa yang dipakai untuk sesi foto atau persembahan, bukanlah penampilannya semula jadi.

"Kalau hari-hari biasa, seperti wanita lain, Ani akan mengenakan pakaian yang sesuai dan selesa. Takkanlah nak pakai macam ini pergi membeli belah dengan anak-anak.

"Pakaian yang berbeza daripada biasa itu, umpama uniform Ani sewaktu tampil sebagai artis. Imej perlu ada ikut kesesuaian acara," katanya.

Ani yang sudah lama tidak tampil membicarakan hal dunia rakaman suara, kini mengatur strategik untuk kembali aktif sebagai penyanyi rakaman kerana akhir-akhir ini beliau lebih kepada lakonan.

Pemilik nama sebenar Aisyah An Nur Osman yang popular dengan lagu Sedap, menerusi Cherry Talent Management berazam menghasilkan single baru sebagai langkah permulaan.

"Sudah tiba masanya untuk Ani aktif beraksi di pentas nyanyian dan bidang pengacaraan. Bukan Ani saja-saja nak buat penampilan semula secara serius. Semua itu atas permintaan. Selama ini kalau buat show, orang akan tanya bila nak buat album dangdut.

"Kata mereka sudah lama tidak ada album dangdut seperti dulu. Disebabkan kehendak peminat, Ani tekad buat single dulu untuk uji pasaran.

"Ani tidak takut sebab bak kata orang, kalau buka kedai runcit sudah ada pelanggan tetap," katanya.

Ibu kepada Wirda Viviana Zairi, 6, Wirna Airisya, 2, dan Muhamad Emir Oezil, tujuh bulan itu yakin usahanya itu akan mendapat sokongan peminat-peminat setia terutamanya yang meminati dangdut.

Biarpun popularitinya berdasarkan jalur muzik dangdut, namun Ani tidak mahu dibuai terus dengan irama itu kerana namanya popular disebabkan lagu-lagu seperti Sedap, Terang Bulan dan Dasar Buaya Cinta.

Sebagai artis yang sering mengikuti peredaran semasa, Ani bersedia untuk mendendangkan lagu irama lain bagi memastikannya penampilannya mendapat tempat di hati peminat.

"Walaupun ada pengikut tetap namun Ani perlu akur dengan kehendak muzik sekarang. Kalau Ani rakam lagu 100 peratus dangdut, lagu tersebut tidak mungkin disiarkan di corong radio.

"Apa pun Ani tetap akan rakam lagu yang ada elemen irama dangdut agar identiti sebagai penyanyi irama itu tidak hilang," jelasnya yang masih berbincang tentang genre lagu yang bakal dirakam kelak.

Aktif berlakon

Ani yang meminati apa sahaja cabang seni berkata, selain tampil membuat pembaharuan dalam seni suara, beliau juga ingin aktif berlakon.

Sejak akhir-akhir ini penampilannya lebih terarah kepada teater namun ketika Ani teruja berlatih bangsawan Siti Zulaikha, pementasan itu pula berhadapan masalah.

"Siapa yang tidak kecewa apabila berlatih penat-penat tetapi tidak boleh dipentaskan di tempat yang dirancangkan," katanya.

Selain berlakon teater, Ani Maiyuni juga muncul dalam drama-drama tempatan dengan membawa watak antagonis.

Meskipun tidak kisah dengan watak jahat, namun Ani berharap beliau turut diberi peluang membawa watak baik.

"Walaupun Ani tidak kisah diberi watak apa, tapi sesekali nak juga merasa jadi orang baik," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Semanis Janji yang bakal disiarkan di RTM kelak.

Ani pernah menjadi pengacara rancangan TV sebelum ini berhasrat untuk meneruskan kerjaya tersebut.

"Ani pernah jadi pengacara tapi sejak dua tahun lalu, terhenti sekejap. Kini mana-mana bidang yang terhenti itu akan Ani sambung semula. Lagipun Ani mendapat sokongan daripada suami, Zairi Azmi (bekas anggota Kumpulan Arrow)," katanya terus terang.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails