Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Zul Ariffin Akui Masih Sayangkan Abby Abadi


KUALA LUMPUR: Pelakon Zulkifli Ariffin, 25, mengakui masih sayangkan bekas kekasihnya, pelakon Abby Abadi walaupun tidak lagi mempunyai sebarang hubungan cinta.

Zul berkata, adalah tidak mungkin dia dapat melupakan hubungannya bersama Abby yang telah berlangsung selama tiga tahun begitu sahaja dan masih menghormatinya sebagai seorang kawan.

"Hubungan saya dengan Abby masih baik dan ada kalanya kami bertanya khabar melalui panggilan telefon atau pun berbalas SMS. Sudah tentu perasaan sayang kepadanya masih ada kerana percintaan kami bukan berlangsung selama tiga hari tetapi tiga tahun lamanya.

"Sudah tentu ia masih berbekas di hati saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penanggal di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, ditanya adakah dia akan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan bekas penyanyi kumpulan Elite itu, Zul menjawab ringkas. “mungkin...!

Zul juga mendedahkan dia masih mengambil tahu mengenai perkembangan diri Abby dan tiga anaknya menerusi laman Facebook milik bekas kekasihnya itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai punca keretakan hubungan mereka, Zul enggan mengulas lanjut dan menyifatkan ia adalah perkara bersifat peribadi untuk dikongsi kepada umum.

"Saya tidak pernah menyesal mengenali Abby malah dia adalah antara insan yang paling baik pernah saya temui selain daripada keluarga saya.

"Cuma saya sesalkan mengenai kesalahan dan kesilapan yang pernah berlaku sepanjang kami bersama," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terbaru mengenai dirinya, Zul berkata dia bersyukur dapat berlakon di dalam filem Penanggal arahan sulung pelakon berbakat Elly Suriati.

Ujarnya, peluang berlakon di bawah arahan pelakon berkaliber itu adalah peluang keemasan buatnya untuk membuktikan diri sebagai seorang pelakon yang baik.

"Elly Suriati sangat berbakat dan begitu profesional ketika berada di lokasi penggambaran dan sentiasa memastikan apa yang dilakukan adalah terbaik.

"Walaupun ada mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang garang tetapi bagi saya jika kita sebagai pelakon mempersiapkan diri sebelum ke lokasi tiada sebarang alasan untuk dimarahi.

"Jika ada pun itu sudah tentu untuk kebaikan bersama bagi menjayakan filem berkenaan," ujarnya.

Zul berkata, cabaran berlakon dalam filem yang turut menggandingkannya bersama Azri Iskandar dan Fasha Sandha itu adalah dia perlu bercakap dalam dua bahasa iaitu bahasa Arab dan Bahasa Malaysia.

Bagaimanapun katanya, atas bimbingan pengarah yang mengadakan kelas bahasa dan persediaan berlakon telah memberikannya semangat dan keyakinan diri untuk melakukannya.

Kereta Mewah Fasha Dicuri Depan Salun


KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Fasha Sandha, 27, mengesahkan kereta mewah miliknya hilang dipercayai dicuri.

Kejadian itu dikatakan berlaku di tempat letak kereta berdekatan salun miliknya di Wangsa Walk, di sini, Jumaat.

"Saya akui kereta milik saya hilang dan satu laporan polis telah pun dibuat.

"Saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengenai perkara itu," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penanggal di sini, Jumaat.

Ditanya dengan lebih lanjut mengenai kehilangan kereta itu, Fasha enggan memberi sebarang ulasan sebaliknya mengelak untuk menjawab soalan wartawan.

“Hanya seringkas itu sahaja saya boleh cerita,” katanya.

Difahamkan kereta mewah yang hilang itu merupakan hadiah daripada seseorang buatnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fasha menjelaskan dia menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan apabila gambarnya memakai busana pengantin tersebar di laman blog yang turut dikaitkan kononnya dia ingin berumah tangga.

"Insya-Allah jika sampai jodoh saya akan berkahwin dan apabila sudah bersedia saya akan maklumkan kepada semua. Saya tidak mahu bercakap mengenainya terlalu awal," katanya.

Fasha Sandha & Rizal Ashram Bakal Naik Pelamin Mac 2012?

]
Bagai tidak sah jika satu tahun berlalu tanpa ada khabar angin mengatakan aktress sensasi Malaysia, Fasha Sandha bakal menamatkan zaman bujang.

Fasha Sandha yang semakin hari semakin mengecap populariti menerusi barisan drama bersiri dan yang baru habis tayangan, Cinta Elysa akan muncul dengan Dari Kerna Mata tidak lama lagi.

Awal hari ini, kami menerima satu kiriman gambar dari seorang kenalan yang rapat dengan Fasha Sandha berserta informasi yang di’dakwa sebagai sahih.

Bukan gambar di’sebelah ini, tetapi gambar Fasha Sandha yang di’katakan sedang mencuba persalinan pengantin beliau selepas ini. Mungkinkah ini salah satu gaun pengantin yang bakal di’kenakan Fasha Sandha nanti?

Sumber kami yang kini sedang terlibat secara langsung dengan persiapan perkahwinan Fasha Sandha berkata aktress ini sedang bahagia untuk bergelar isteri kepada Rizal Ashram (Jejai) tahun hadapan.

Perkahwinan Fasha Sandha & Rizal Ashram di’khabarkan bakal berlangsung sekitar tarikh jatuh’nya ulangtahun kelahiran si gadis iaitu 28 Mac 2012 — tetapi ia’nya jatuh pada hari Rabu.

Mungkin di’bawa ke hujung minggu seperti mana majlis perkahwinan biasa yang lain. Common sense. Jika benar seperti di’dakwa oleh sumber kami, tahniah terlebih awal buat Fasha Sandha & Rizal Ashram.

Cinta air tangan Ana, Riz


TEMPOH lapan bulan sudah memadai buat heroin filem Mantra, Ana Dahlia dan Chef Riz mengenal hati budi masing-masing seterusnya menyimpul mati.

Perjalanan cinta singkat Ana Dahlia dengan juri program realiti pencarian tukang masak selebriti, Masterchef Malaysia itu bernoktah sudah pada Ahad lalu.

Dengan sekali lafaz, pemilik nama Diyana Mastura Jaafar, 28, tersebut sah menjadi suri kepada Chef Riz, 29, atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan dalam majlis pernikahan yang berlangsung pada pukul 12.25 tengah hari.

Pasangan berkenaan dinikahkan Naib Kadi Kampung Batu 8, Changkat Jering, Nawi Osman di rumah pengantin perempuan di Kampung Bendang Siam, Changkat Jering, Taiping, Perak.

“Keputusan untuk mengahwini Ana Dahlia sebenarnya telah diputuskan pada minggu pertama perkenalan kami lagi,” jelas Chef Riz yang ditemui Kosmo! pada majlis persandingan mereka di Dewan Banquet Menara Kamalbina, Taiping pada sebelah malam.

Rombongan pengantin lelaki yang segak dan anggun berbusana biru firus diketuai bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 53.

Beberapa rakan artis seperti Farhan AF, Adam Corrie Lee, Wan Sharmila dan Zarynn Min turut memeriahkan majlis resepsi yang bermula pukul 8.30 malam itu.

Cukur muka dengan krim

Mengakui perkenalan dirinya dan isteri hasil inisiatif adik perempuannya, Serina, Chef Riz tidak pernah melupakan detik-detik awal perkenalan mereka.

Ujarnya, adik perempuannya yang menemui jodoh kira-kira dua tahun lalu itu adalah individu yang rajin menjadi pencari jodoh ‘tanpa gaji’ buat dirinya.

“Serina sering memperkenalkan kawan-kawan perempuannya yang masih bujang kepada saya namun semuanya tidak menjadi.

“Sehingga pada suatu hari dia menunjukkan sekeping foto saya kepada kawan baiknya, Ana Dahlia,” beritahunya.

Namun jelas Chef Riz: “Foto itu gagal menarik minat Ana Dahlia yang menyifatkan wajah Chef Riz terlalu ‘jambu’.”

Serina yang tidak putus asa kemudiannya menunjukkan pula foto terbaharu abangnya itu yang kebetulan ketika itu berjambang dan berkumis.

Penampilan maskulin itu juga gagal menarik perhatian bekas peserta program realiti Pilih Kasih yang membuat persepsi Chef Riz kelihatan sebagai seorang yang garang dan perengus pula.

Begitupun setelah dipaksa Serina, Ana Dahlia pergi juga ke restoran On The Table milik chef muda itu di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur beberapa hari kemudian.

“Kali pertama menatap wajah Ana Dahlia semasa dia mahu melangkah masuk restoran, saya terkesima dengan keayuannya.

“Cepat-cepat saya berlari ke dapur dan secara spontan menyapu krim masakan di muka lalu mencukur misai dan jambang dengan pantas sebelum bertemunya,” beritahu Chef Riz sambil tergelak mengingatkan momen yang menggelikan hati itu.

Pertemuan kedua

Ana Dahlia yang anggun di sebelah suaminya dengan berbusana gaun ungu rekaan Fendi dari butik Syarakim menyampuk, detik itu kemudian membawa kepada pertemuan kedua di restoran sama selepas itu.

“Sebenarnya, hati saya masih berbelah bahagi lagi pada masa itu tapi mengenangkan kesungguhan Serina, saya pergi juga.

“Sampai di restoran, Chef Riz menghidangkan saya beberapa hidangan istmewanya dengan memberi layanan kelas satu. Di situ baru timbul keserasian,” katanya.

Jelasnya, akibat terlalu rancak bersembang di meja makan, mereka tidak perasan temu janji kedua itu berlarutan selama 10 jam dan sedar-sedar sudah dinihari.

Chef Riz yang mewarisi kemahiran kulinari daripada bapanya juga bersyukur hasrat untuk mengahwini wanita yang mahir memasak termakbul jua.

“Rakan-rakan sering mengusik sebagai tukang masak, saya pasti bertemu jodoh yang isteri yang kekok beraksi di dapur.

“Alhamdulillah telahan mereka itu terbukti salah. Bagi saya segah mana pun saya di dapur, air tangan isteri tetap menjadi pilihan semasa di rumah,” katanya yang turut mengimpikan salah seorang daripada zuriatnya bakal mengikut jejak langkah menjadi chef.

Mengakui air tangan Ana Dahlia menyelerakan, Chef Riz mengiktiraf kecekapan isterinya itu di dapur setaraf peserta Masterchef.

Menurutnya, secara purata, wanita yang kini bertakhta di hatinya itu mampu memasak empat jenis menu yang lazat dalam jangka masa sejam sahaja.

“Sehingga kini masih terkenang-kenang kesedapan masakan rendang ayam, kangkung goreng belacan, sambal tumis petai dan ayam goreng berempah yang merupakan menu pertama dimasaknya untuk saya,” katanya.

Sharnaaz Akui Tertarik Dengan Shila Amzah


PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad, 26, mengakui tertarik dan selesa berkawan rapat dengan Shila Amzah, 21, kerana penyanyi itu memiliki kriteria-kriteria wanita idamannya yang layak dijadikan sebagai calon isteri.

Sharnaaz berkata, hubungan akrab yang dijalinkan sejak terlibat dalam klip video “single” lagu penyanyi itu, Patah Seribu, turut direstui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.

"Baik daripada pihak keluarga Shila mahupun keluarga saya, mereka menerima perhubungan akrab ini dengan baik tetapi kami belum sampai ke tahap bercinta tau.

"Masih terlalu awal untuk menjalinkan hubungan itu (cinta) kerana masing-masing mempunyai matlamat tersendiri dalam mengejar impian kami.

"Tambah pula Shila masih muda dan semestinya banyak perkara yang perlu dia laksanakan untuk mengukuhkan kerjaya nyanyiannya itu," katanya yang ditemui pada pelancaran drama Bicara Hati di Ampwalk, di sini, Khamis.

Tambah Sharnaaz, hubungan akrab antaranya dan Shila timbul kerana anak kepada penyanyi ND Lala itu memiliki karakter yang sama dengannya iaitu seorang yang 'gila-gila' tetapi berfikiran jauh mengenai perancangan masa hadapan.

"Walaupun berada di bidang yang berbeza, matlamat kami adalah sama. Apabila saya bercerita tentang keterujaan saya dalam lakonan, dia pula berkongsi cerita tentang kerjayanya itu dan saya lihat kami begitu serasi," ujarnya.

Beritahu pelakon yang ingin menamatkan zaman bujangnya sebelum usia 30 tahun itu, dia dan Shila belum pernah keluar berdua-duaan sebaliknya mereka sering ditemani ibu atau salah seorang daripada keluarga Shila.

Sharnaaz juga kagum dengan cara didikan yang diterima Shila yang sangat mementingkan hubungan kekeluargaan.

Sementara itu, Sharnaaz bersama pelakon Christina Suzanne, Marsha Londoh dan Lash Mokhtar bakal muncul dengan sebuah drama yang diadaptasi daripada sebuah novel, Bicara Hati, arahan Osman Ali, yang masih lagi dalam penggambaran.

Bicara Hati mengisahkan tentang kisah cinta yang terjalin kerana wang dan kuasa di mana Tengku Shahran, lakonan Sharnaaz terpaksa berkahwin secara kontrak dengan Zahlia (Christina).

Drama sebanyak 26 episod itu akan bersiaran setiap Selasa, pukul 9 malam, mulai 3 Januari tahun depan menerusi saluran Astro Prima (105).

Akma (AF3) Jaga Batas Selepas Bertudung


PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon yang dicungkil daripada program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Akma, 26, lebih selektif dan menjaga batas sejak bertudung pada 13 Syawal lalu.

Menurutnya, atas sebab itu dia memilih untuk tidak beraksi keterlaluan semasa menyanyikan lagu dangdut berjudul Selamat Jalan Romeo yang dipertandingkan dalam Konsert Akhir Reunion Akademi Fantasia di AEON AU2, Setiawangsa baru-baru ini.

Konsert tersebut akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) pada 31 Disember depan, pukul 10 malam.

“Saya menerima pelawaan pihak Astro apabila diminta menyanyikan lagu tersebut kerana saya pernah mendendangkannya semasa konsert AF3 dahulu.

“Pada mulanya saya ingatkan persembahan biasa tetapi sehari sebelum konsert reunion itu berlangsung, baru saya tahu ia adalah sebenarnya sebuah pertandingan.

“Bagaimanapun, saya lakukan persembahan itu secara sederhana dan tidaklah beraksi keterlaluan. Cukuplah sekadar menghiburkan mereka yang hadir pada malam itu,” kata Akma kepada mStar Online.

Menyentuh tentang perubahan barunya itu, Akma pada mulanya mengenakan selendang tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk bertudung.

“Selain menjalankan kewajipan sebagai seorang Islam, saya juga lebih selesa berpakaian sebegitu kerana rasa lebih tenang. Alhamdulillah kerana Allah membuka hati saya untuk berubah ke arah kebaikan.

“Saya juga bersyukur apabila mendapat peluang untuk berniaga dengan menghasilkan coklat dari rumah yang dinamakan “Cocolycious by Akma”. Memandangkan sekarang sudah hujung tahun, saya mendapat banyak tempahan untuk majlis perkahwinan,” katanya yang turut memberi tumpuan kepada persembahan pentas.

Beralih kepada cinta, Akma akui belum menemui jodoh yang sesuai sebaliknya memohon agar semua peminat mendoakan kebahagiaannya.

Penat Layan Gosip, Nabil Akui Tetap Sibuk


PETALING JAYA: Pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 28, atau Nabil mengakui semakin tenang dan bahagia selepas hampir tiga bulan bergelar suami kepada Nazirah Ayub, 23.

Juara program Raja Lawak musim kedua itu berkata pengalaman melayari alam rumah tangga telah banyak mengubah kehidupannya yang sebelum ini kurang terurus dan berserabut.

“Alhamdulillah, saya berasa semakin bahagia dengan kehidupan hari ini. Jika sebelum berkahwin, kehidupan saya kurang teratur tetapi sejak ada isteri, semuanya semakin lancar dan teratur.

“Keutamaan saya kini adalah pada keluarga dan kerja. Malah, saya juga berdoa dan berusaha agar segera dikurniakan anak,” katanya kepada mStar Online, Rabu.

Ditanya mengenai perkembangan dirinya yang dilihat agak sepi daripada publisiti kebelakangan ini, Nabil berkata keadaan tersebut berlaku secara semula jadi ekoran kesibukannya dengan komitmen keluarga dan kerja.

“Bukan saya sengaja mendiamkan diri atau mengelak daripada sebarang publisiti, cuma buat masa ini saya senang untuk menumpukan perhatian pada keluarga dan kerjaya.

“Sebenarnya, saya sudah penat melayan pelbagai gosip dan cerita panas sebelum ini. Sekarang, saya suka untuk berkongsi cerita yang baik-baik tentang kerja dan keluarga saja,” katanya.

Pelakon yang bakal muncul dalam filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur pada 19 Januari depan ini berkata dia juga sedang sibuk dengan sesi latihan teater tradisional anjuran Petronas berjudul Mek Mulung yang akan dipentaskan pada 16 hingga 18 Disember ini.

“Mungkin antara sebab saya agak sepi dan senyap kebelakangan ini adalah kerana komitmen teater Petronas berjudul Mek Mulung. Jadual latihan juga sangat padat dan tidak tentu masa.

“Apabila pihak Petronas menawarkan saya watak Awang Pengasuh untuk teater ini, saya teruja untuk menerimanya kerana ingin memantapkan profil lakonan,” katanya yang akan kembali dalam musim terbaru teater Cuci The Musical pada Februari depan.

Nabil dan isterinya yang juga bekas pramugari AirAsia bernikah pada 30 September lalu di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.

'Gaduh Kerana Kata-Kata Kesat'- Awie


KUALA LUMPUR: Pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Awie, mengakui pergaduhannya di sebuah kelab di Langkawi pada bulan lalu kerana perbuatan provokasi individu tertentu yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, pergaduhan tersebut berpunca apabila segelintir pengunjung enggan menghormati permintaannya agar tidak mengambil gambar dia di dalam kelab.

"Punca pergaduhan tersebut adalah kecil apabila saya enggan bergambar dengan mereka di dalam kelab. Saya beritahu kalau nak bergambar, ambil di luar kelab sahajalah tetapi mereka tidak hormat permintaan saya.

“Kerana tindakan itu mereka melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kurang enak sehingga membangkitkan perasaan marah saya,” katanya.

Awie ditemui selepas pelancaran Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Malaysia di Istana Budaya di sini, pada Rabu.

Konsert berkenaan akan diadakan selama empat hari bermula pada 12 Januari 2012.

Dalam pada itu, Awie menafikan dakwaan dalam sebuah blog hiburan yang mengatakan dia dipukul teruk namun mengakui ada berlaku pergaduhan antara dia dengan beberapa pengunjung di luar kelab itu.

"Kira-kira 30 orang telah datang untuk menyerang saya di luar kelab tetapi mereka tidak berjaya menyentuh saya dan disebabkan itu mungkin mereka lebih berang terhadap saya.

"Anda (wartawan) boleh melihat sendiri tidak ada satu lebam pun berada di badan atau muka saya, jadi laporan mengatakan saya dibelasah teruk adalah tidak benar," ujarnya.

Sementara itu, kata Awie, dia kesal apabila ada pihak luar campur tangan dalam kejadian tersebut dan menganggap pihak yang menyerangnya mempunyai motif tersendiri.

"Kelab berkenaan mempunyai sekuriti yang saya yakin boleh meleraikan pergaduhan antara kami tetapi mengapa perlu melibatkan orang luar dalam kejadian itu?

"Saya tidak faham motif mereka melakukan perbuatan itu terhadap saya kerana kunjungan saya ke sana bukan untuk mencari masalah dengan sesiapa," ujarnya.

Awie berkata, pergaduhan itu selesai apabila dia dibawa ke balai polis berdekatan namun tiada sebarang laporan polis dibuat oleh kedua-dua belah pihak.

Ditanya mengapa dia ke Langkawi Awie memberitahu, tujuannya ke pulau itu untuk melihat sebidang tanah yang dibelinya beberapa tahun lalu selain mendapat undangan membuat persembahan di kelab berkenaan.

Terdahulu, sebuah blog hiburan melaporkan Awie ke Pulau Langkawi untuk menghadiri satu mesyuarat anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan menghabiskan masa di kelab berkenaan bersama pengawal peribadinya sebelum berlakunya pergaduhan.

Luahan Kecewa Akim Tiada Kaitan Soal Cinta


PETALING JAYA: Penyanyi Afiq Hakim Ahmad atau Akim (AF7) menjelaskan luahan hati mengenai kekecewaan hati dalam laman Twitter miliknya adalah sebahagian daripada lirik lagu terbaru dan ia tiada kaitan langsung dengan kisah cintanya.

Akim berkata, entri menerusi laman sosial yang dipaparkan itu juga mengisahkan tentang aktiviti sehariannya.

"Memandangkan ramai peminat menjadi pengikut dalam akaun Twitter saya, entri yang dimasukkan juga mengenai pengalaman pahit manis kehidupan umum termasuklah diri saya.

"Jangan salah faham pula, mana-mana yang ada bunyi kekecewaan diri juga bukan kerana saya putus cinta atau mempunyai masalah lain, sebaliknya saya ingin berkongsi lirik beberapa lagu yang akan dimuatkan dalam album terbaru nanti," katanya yang dihubungi mStar Online, Selasa.

Dalam laman Twitter milik Akim, penyanyi itu meluahkan isi hati kononnya sedang kecewa, hatinya luka dan meminta Allah membuka hati seseorang agar menerima cintanya.

Tambah Akim, luahan perasaannya itu juga tiada kaitan mengenai hubungannya dengan Stacy walaupun sebelum ini mereka dikatakan sedang hangat bercinta.

Beritahu penyanyi yang popular dengan lagu Janji itu, album pertamanya yang memuatkan sebanyak lima buah lagu baru dan empat lagu single itu akan dilancarkan pada bulan Februari tahun depan.

Masih lagi belum mempunyai judul album, Akim gembira kerana diberi kelonggaran oleh pihak pengurusannya, Astro Entertainment Sdn. Bhd (AESB) untuk dia melibatkan diri sepenuhnya dalam pembikinan album tersebut dan tidak hanya mengharapkan pihak penerbit semata-mata.

"Saya turut melakukan kolaborasi dengan Fiq (Mentor) menerusi lagu Mesti Ada Cinta, ciptaan Kunci Demak.

"Dalam pada itu, saya turut mencipta sekuel lagu Janji iaitu Menunggu. Kalau sesiapa yang perasan, lirik-lirik daripada lagu itu ada dalam entri Twitter saya.

"Alhamdulillah, Memandangkan ini adalah album pertama saya gembira pandangan dan idea saya diterima," ujarnya.

Sementara itu, Akim turut memberitahu dia gembira apabila filem pertama lakonannya, Horay Horay bakal ditayangkan pada Mac tahun hadapan.

Filem arahan Saw Teong Hin itu turut menampilkan Killa Fairy, Farah, Adibah Nor dan Harun Salim Bachik.

Sobri Anuar Ingin Bertemu Zaiton Sameon


KUALA LUMPUR: Peserta Maharaja Lawak Mega, Mohd Sobri Anuar, yang didakwa memperolok-olok Zaiton Sameon semasa majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18, berjanji akan menemui penyanyi terkenal era 80-an itu dalam tempoh terdekat.

Pertemuan itu amat penting bagi membolehkan beliau menjelaskan sendiri perkara sebenar yang berlaku selain mengelak salah faham daripada berterusan.

Mohd Sobri berkata tidak terlintas dalam fikirannya untuk memperolok-olok Zaiton dalam persembahan AIM 18 baru-baru ini memandangkan beliau membesar dengan lagu-lagu penyanyi itu selain menyukainya sebagai seorang artis.

"Kenapa saya namakan diri saya sebagai Eton Melaun pada majlis itu?Sebenarnya, Eton Melaun ialah peminat Kak Zaiton dan bukannya Kak Zaiton.

"Walaupun ia adalah satu aksi meniru watak, tetapi saya menggunakan watak lain kerana itulah caranya kita menjaga sensitiviti dan maruah orang lain. Cumanya kesalahan saya di AIM ialah saya tidak umumkan bahawa Eton Melaun ialah peminat setia kepada Kak Zaiton. Nescaya kalau saya umumkan perkara itu, kontroversi ini tidak mungkin akan berlaku," katanya ketika ditemu bual dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24 Selasa.

Mengulas kritikan pedas yang dilontarkan Chef Wan berhubung kontroversi Eton Melaun, Mohd Sobri berkata beliau tidak marah sebaliknya menerima kritikan itu dengan hati yang lapang.

Chef Wan, menurut Mohd Sobri merupakan seorang tokoh ikonik di negara ini dan kritikan pedas terhadap persembahannya menunjukkan beliau prihatin dengan mutu persembahan peserta.

"Melihat kembali kepada kritikan-kritikan beliau, saya percaya ia adalah satu komentar yang bernas daripada seorang tokoh yang berpengalaman dan seharusnya ia didengari dengan penuh teliti," katanya. -BERNAMA
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails