Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Brenda Terima Hakikat Dikecam Kerana 'Mulut Longkang'


KUALA LUMPUR: Penyanyi baru iaitu Brenda menjelaskan dia tidak berasa kecewa apabila ada pihak mengutuk lagunya yang berjudul Mulut Longkang hanya kerana tajuknya yang kedengaran agak kelakar.

Brenda, 18, berkata, dia optimis dengan kata-kata negatif masyarakat terhadapnya dan tidak akan berputus asa dalam mengejar impian menjadi seorang penyanyi terkenal.

"Pada mulanya saya sedikit kecewa apabila ada pihak yang mengecam tajuk lagu itu tanpa mendengar dahulu apa sebenarnya di sebalik tajuk Mulut Longkang. Ia sebenarnya mempunyai elemen nasihat kepada individu yang suka menyebarkan fitnah kepada orang lain.

"Saya tetap optimis dengan pandangan negatif masyarakat dan tidak akan berputus asa," ujarnya kepada mStar Online.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana lagu tersebut telah membuatkan masyarakat ingin mengetahui mengenai dirinya dan seterusnya mendengar lagu tersebut.

Dalam pada itu, Brenda memberitahu gembira apabila dipilih untuk merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Slam iaitu Gerimis Mengundang untuk filem dan teater muzikal dari tajuk sama.

Brenda berkata, dia berharap lagu itu dapat melonjakkan lagi namanya di kalangan peminat muzik tempatan namun enggan dibandingkan cara nyanyiannya dengan penyanyi asal.

"Hampir setahun saya dalam industri dan masih ramai yang belum mengenali saya. Jadi saya berharap dengan kemunculan lagu baru ini dapat melonjakkan nama saya di kalangan penggemar muzik tempatan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Brenda memberitahu selain Gerimis Mengundang, dia turut muncul dengan single terbaru berjudul Manusia Biasa dan akan turun padang bagi mempromosikan lagu itu.

Ana Raffali, Naim Selamat Diijabkabulkan


KUALA LUMPUR: Penyanyi Ana Raffali, 26, akhirnya sah bergelar isteri kepada Ahmad Aznaim Abdullah, 30, selepas sekali lafaz dalam majlis pernikahan mereka yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, Sabtu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa Ana, Mohd Raffali Mohd Nor kira-kira pukul 12 tengah hari dengan disaksikan oleh Jurunikah Masjid Al-Hidayah, Abdullah Mat.

Acara sebelum itu dimulakan dengan majlis pertunangan antara Ana dan Naim pada pukul 11 pagi.

Majlis dihadiri kira-kira 500 jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga kedua-dua pasangan pengantin dan wakil media.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM11,412 daripada pihak lelaki.

Dalam pada itu, pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang.

Antara barang hantaran yang diberikan oleh pihak perempuan seperti bunga rampai, buah, kek, dompet, kamera, iPad, jam tangan, minyak wangi, sebentuk cincin dan sirih junjung.

Manakala pihak lelaki membalas dengan sirih junjung, coklat, telekung, minyak wangi, manisan dan gelang tangan perak. Kesemua hantaran itu direka dan digubah sendiri oleh Ana.

Ana tampak anggun dengan mengenakan busana baju kurung moden rekaan pereka fesyen, Ezuwan Ismail dari rona kelabu manakala Naim segak dengan baju Melayu lengkap bersamping dengan warna sedondon dari pereka sama.

Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan mereka turut diadakan di tempat sama sejurus selepas majlis pernikahan.

Zahid (AF) Tepis Dakwaan Bakal Kahwin Kerabat Pahang


PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zahid menafikan khabar angin kononnya dia bakal menamatkan zaman bujang dengan seorang kerabat diraja Pahang dalam masa terdekat.

Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 31, berkata hubungannya dengan gadis yang dijalinkan atas dasar persahabatan itu sering disalah ertikan oleh orang ramai sehingga menganggap mereka akan mendirikan rumah tangga.

“Kadang-kadang apabila kita berkawan rapat dengan seseorang, orang sangka kita pasti akan berkahwin. Walhal, tiada apa-apa yang serius di antara kami.

“Memang saya berkawan dengan dia tetapi tiada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, pada Khamis.

Zahid berkata pada waktu ini dia selesa untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengehadkan pilihannya pada seorang wanita semata-mata.

“Saya suka berkawan dengan ramai wanita pada waktu ini tetapi itu tidak bermakna saya jenis kasanova.

“Dalam saya berkawan dengan ramai wanita, saya masih belum temui yang istimewa. Sukar sebenarnya mencari calon terbaik untuk disunting sebagai isteri,” katanya.

Ketika didesak adakah dia cuba menyembunyikan perancangan untuk berkahwin, Zahid berkata sebagai selebriti dia tidak ada sebab untuk menyembunyikan perkara baik itu daripada khalayak.

“Dakwaan kononnya saya rancang untuk berkahwin pada hujung tahun lalu hanyalah gosip.

“Kalau diikutkan, memanglah saya terdetik untuk berkahwin tetapi saya belum temui pasangan yang sesuai. Kalau betul ada perancangan ke arah itu, saya tidak akan sorok,” katanya.

Selain aktif menyanyi, Zahid kini bertugas sebagai penyampai di radio Era FM bagi slot Petang Era pada pukul 4 hingga 8 malam pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Terbaru, penyanyi ini bakal terlibat dalam pementasan teater KL Energetik anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2 hingga 4 Mac depan.

Ana Raffali Tidak Hirau Dipersendakan Gara-Gara Bertudung


PETALING JAYA: Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali tidak mahu menghiraukan cakap-cakap orang yang cuba mempersendakan penampilannya selepas tampil dengan imej bertudung.

Ana, 27, berkata, niatnya untuk melakukan perubahan dalam hidup dengan bertudung bukan untuk berfesyen tetapi melunaskan apa yang wajib untuknya sebagai seorang wanita Muslim.

"Segelintir pihak yang mempertikaikan gaya saya bertudung adalah berfikiran cetek dan berharap mereka hentikan kata-kata buruk terhadap orang lain.

"Bagaimanapun terpulang kepada mereka yang melihat kerana saya bertudung bukan untuk berfesyen tetapi berbalik kepada asas saya sebagai wanita Islam," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Ana diminta mengulas mengenai komen sesetengah pihak menerusi Internet yang mengatakan penyanyi itu gagal tampil menarik apabila memakai tudung.

Tambahnya, dia berasa selesa dengan imejnya kini dan apa yang dilakukannya adalah atas kesedaran sendiri dan bukannya paksaan sesiapa.

Ana mula bertudung pada sambutan Maulidur Rasul yang lalu dan memberitahu keputusan untuk berbuat demikian datang dengan sendiri pada hari tersebut.

Bersedia ke alam perkahwinan

Dalam perkembangan lain, Ana bakal melangsungkan perkahwinan dengan Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim, 30, pada Sabtu ini memberitahu dia telah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Ana berkata, dia tidak perlu berasa debar atau takut kerana perkahwinan itu sendiri adalah sesuatu yang dituntut dalam agama dan berharap akan menemui kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.

"Sejujurnya saya langsung tidak rasa takut atau berdebar untuk bergelar isteri kepada Naim kerana perkahwinan bukanlah sesuatu yang menakutkan. Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan lancar pada majlis itu nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Ana berkata, persiapan untuk majlis itu telah hampir siap berkat daripada pertolongan daripada ahli keluarga dan rakan terdekat.

Acara pada Sabtu ini akan dimulakan dengan majlis pertunangan terlebih dahulu sekitar pukul 10.30 pagi dan upacara akad nikah sejam kemudian.

Kedua-dua pasangan itu akan dinikahkan sendiri oleh bapa Ana iaitu Mohd Raffali Mohd Nor.

'Saya Tidak Pandang Rendah Najwa Latif' - Jaclyn Victor


KUALA LUMPUR: Penyanyi Jaclyn Victor (Jac) menolak dakwaan kononnya dia telah memperlekehkan penyanyi Najwa Latif bertujuan untuk mematahkan semangatnya sebelum beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26), pada 29 Januari lalu.

Dalam pertandingan itu, Jac bertanding menerusi Sedetik Lebih dan Beribu Sesalan, sementara Najwa Latif muncul dengan lagu keramatnya, Cinta Muka Buku.

Menurut Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 34, tuduhan yang pertama kali didengarnya itu adalah sesuatu yang melampau dan tidak logik.

“Bagaimana boleh timbul tuduhan kononnya saya merendahkan Najwa untuk menjatuhkan semangatnya sebelum beraksi di AJL sedangkan saya tidak bertembung dengannya langsung di belakang pentas.

“Selepas persembahan lagu Sedetik Lebih, saya hanya mengurung diri di dalam bilik menunggu kerana mahu membuat persiapan untuk lagu Beribu Sesalan pula.

“Secara logiknya bagaimana saya hendak bertembung dengan dia kerana giliran persembahan kami jauh. Untuk apa saya berperangai sebegitu kerana saya sibuk menumpukan perhatian untuk persembahan sendiri,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Jac berkata dakwaan itu adalah terlalu kejam dan memalukan kerana sebagai penyanyi yang baru beberapa tahun dalam bidang nyanyian, dia sentiasa sedar akan kedudukan dan statusnya.

“Tak perlu saya merendah-rendah atau mempersendakan orang lain walaupun dia penyanyi baru. Saya sedar kedudukan dan status saya dalam bidang muzik.

“Saya bukannya penyanyi yang hebat atau berpengalaman sehingga merasakan diri ini terlalu gah atau besar seperti dakwaan itu.

“Kalau hendak tahu, saya pernah bercakap bahawa kita tidak boleh memandang rendah pada keupayaan lagu budak ini (Najwa), jika tidak mana mungkin ia diminati ramai dan melangkah ke AJL,” katanya.

Bercerita tentang pembabitannya selaku peserta program realiti nyanyian terbaru, Mania, Jac berkata dia enggan terlalu memikirkan mengenai peluang dalam pertandingan yang rata-ratanya disertai oleh penyanyi lebih muda dan popular.

“Saya tidak mahu fikirkan soal menang, kalah, mahupun sejauh mana saya dapat bertahan dalam program itu.

“Ia bergantung kepada undian peminat dan rezeki. Apa yang lebih bernilai adalah peluang untuk bekerja dan menimba pengalaman daripada tiga komposer hebat Datuk M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito,” katanya.

'Lisa Buat Saya Kembali Percayakan Cinta' - Yusry


PUTRAJAYA: Anggota kumpulan KRU iaitu, Yusry Abdul Halim mendedahkan dia sebenarnya tidak lagi percaya kepada cinta selepas gagal dalam perkahwinan pertamanya dengan pelakon Erra Fazira enam tahun lalu.

Yusry, 39, bagaimanapun berkata, perasaan itu berubah selepas bertemu dengan pelakon Lisa Surihani yang telah berjaya membuka semula hatinya untuk menerima kehadiran seorang wanita dalam hidupnya.

"Jujur saya katakan bahawa saya tidak lagi percaya kepada cinta lagi selepas kegagalan pekahwinan saya dulu. Tetapi Lisa telah mengubah pendirian saya itu sehingga membawa kami kepada ikatan perkahwinan.

"Dia adalah insan yang telah berjaya membuka pintu hati saya dan saya amat bersyukur dengan anugerah itu," ujarnya selepas selesai upacara akad nikah di Hotel Marriot di sini pada malam Khamis.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu sah menjadi suami isteri selepas diijabkabulkan oleh abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed.

Lisa menerima seutas rantai plantinum sebagai mas kahwin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Hampir 250 tetamu dikalangan ahli keluarga terdekat kedua mempelai dan wakil media hadir pada majlis itu.

Tambah Yusry, dia jatuh cinta dengan Lisa kerana kebolehan wanita berusia 26 tahun itu bergaul dengan orang tua, pandai melayan karenah kanak-kanak dan kesempurnaan Lisa pada pandangan matanya.

Dalam pada itu, Lisa ketika ditemui memberitahu Yusry telah melengkapkan kehidupan beliau sebagai seorang wanita dan selesa bersamanya.

Ujarnya, Yusry telah mengajarnya untuk menjadi seorang insan yang lebih baik dan sempurna selain tertawan dengan sifat rendah diri lelaki tersebut.

"Daripada awal hubungan kami bukan main-main dan pada ketika itu juga saya tahu dia adalah lelaki yang tepat untuk saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pasangan pengantin baru ini bakal menjelajah ke benua Eropah untuk berbulan madu.

Yusry berkata, mereka akan berangkat ke sejurus selepas selesai majlis resepsi perkahwinan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad ini.

"Kami berdua akan berlepas ke Switzerland terlebih dahulu sebelum menjelajah ke tempat lain dengan menaiki kereta," ujarnya.

Tambahnya, mereka memilih negara Eropah kerana sukakan cuaca sejuk dan akan berbulan madu selama dua minggu.

Ditanya mengenai soal anak, kedua-dua mereka berharap akan dikurniakan anak secepat mungkin.

"Jika boleh saya mahu empat orang cahaya mata," ujar Lisa.

Lisa juga memberitahu selepas kembali daripada bercuti, kedua-dua mereka akan kembali sibuk dengan tugas masing-masing.

Zaleha Hamid Sangkal Dakwaan Artis Veteran Boros Masa Muda


KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut popular 80-an, Zaleha Hamid menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kononnya artis veteran pada ketika ini hidup susah kerana terlalu boros semasa mereka muda.

Sebaliknya, Zaleha berkata, kehidupan artis pada zaman dahulu tidaklah mewah seperti yang disangka, malah bayaran yang diterima hanyalah sekadar cukup makan.

"Ramai yang anggap kami (artis-artis veteran) hidup dalam kemewahan, walhal pada zaman saya iaitu tahun 1970-an penyanyi yang mendapat bayaran paling tinggi adalah Allahyarham Datuk Ahmad Jais sebanyak RM80.

"Manakala bagi penyanyi yang sederhana macam saya hanya mendapat RM40 sahaja setiap persembahan. Bayangkan dengan wang tersebut, kami perlu bijak membahagikan kepada wang saku dan perbelanjaan pakaian untuk persembahan pentas," katanya.

Tambah Zaleha yang popular dengan lagu Gadis Zaman Sekarang dan Hidup Miskin, dia juga menghadapi kesulitan yang sama apabila bayaran yang diterima akan diserahkan kepada ibunya bagi membuat perbelanjaan rumah.

"Memang diakui, agak sukar untuk artis seperti kami membuat simpanan wang masa depan. Itu pun kami bernasib baik kerana sudah disediakan tempat tinggal oleh syarikat naungan masing-masing," ujarnya.

Bagaimanapun, penyanyi ini bersyukur kerana sehingga kini dia masih lagi mampu bekerja demi menampung kehidupan diri dan keluarga menerusi perniagaan menganjurkan pertandingan karaoke di Mersing, Johor.

Selain itu Zaleha menyarankan kepada artis-artis muda sekarang supaya belajar menyimpan wang hasil daripada titik peluh mereka dalam kerjaya seni masing-masing.

"Mereka patut bersyukur kerana wang yang diterima beribu-ribu, lebih-lebih lagi yang memiliki pakej yang cukup.

"Saya ingin menasihati mereka supaya belajarlah menyimpan (wang) kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa akan datang," tuturnya.

Ary bangga dipanggil 'chef'


LIMA tahun menyepi daripada dunia seni, tiba-tiba dia muncul. Tetapi kali ini bukan seperti lazimnya sebagai personaliti televisyen sebaliknya menjadi peserta francais program realiti masakan terkenal, MasterChef versi Malaysia.

Ya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa si kecil molek ini pandai memasak dan Ary Malik mengakui penyertaan dalam program kulinari popular itu turut mengubah pendirian dan hala hidupnya ketika ini.

Bukan mahu melupakan bidang seni, kerjaya yang dicintai dan telah diceburinya lebih dua dekad itu tetapi sejak terlibat dalam MasterChef Malaysia, ada keinginan lain yang bersarang dimindanya.

"Saya mahu menerbitkan buku masakan dan merancang untuk membuka sebuah restoran," katanya membuka rahsia.

"Perancangannya dalam tahun ini. Buat masa ini, saya sedang mencari penerbit untuk mengedarkan buku resipi saya dan untuk restoran pula, saya masih merencana persediaan dan sedang meninjau lokasi yang sesuai," tambahnya.

Bersama-sama suami, seorang pengarah kreatif yang dikenali sebagai Sha Bromo serta tiga anak perempuan, Nuhr Zoe Iman, 14, serta Dinda Pelangi Timor, lapan dan Ratu Chinta Mecca, enam, Ary yang ditemui baru-baru ini bagaimanapun memberitahu, keluarga tetap menjadi keutamaannya.

"Menjadi isteri dan mommy tetap nombor satu dan sepenuh masa. Dunia seni pula sudah menjadi sebahagian darah daging saya sejak melangkah masuk dalam bidang pengiklanan pada usia remaja.

"Saya amat mencintai dunia seni kerana ia luas. Bukan sahaja sebagai pelakon dan penerbit, saya juga suka melukis bersama suami dan anak-anak," katanya.

Sudah terlibat selama 23 tahun dalam bidang seni, antara iklan yang pernah disertainya termasuk Coca-Cola, Maxwell House, Lipton Tea, Colgate, Pantene dan juga Peter Stuyvesant Travel.

Kata pemilik nama sebenar, Nurita Maliha Aryanee Malik itu lagi, sebagai seorang seni, dia juga amat menghargai adat dan budaya dan kini baginya, sudut seni yang paling digemari adalah berada di dapur menghasilkan suatu hidangan.

"Jika ada yang bertanya, saya selalu mengatakan bahawa tugas pertama saya adalah sebagai isteri/mommy, kedua sebagai seorang artis dan penerbit dan jika diizinkan-Nya serta murah rezeki, insya-Allah tahun ini ada tugas ketiga iaitu sebagai seorang chef dan sekali gus menceburi bidang kulinari," katanya sambil tersenyum manis.

Menghilang diri

Ditanya mengenai 'kehilangannya' dalam industri seni tempatan, Ary memberitahu, dia berada di Singapura mengikut suaminya yang mempunyai tugas di republik tersebut.

Sepanjang di sana, kata Ary, dia dan suaminya berkesempatan menerbitkan beberapa produksi dari pelbagai genre seperti rancangan realiti, rancangan muzik, drama dan filem.

Bertindak sebagai penerbit bersama suaminya, Ary juga berlakon dalam beberapa terbitan yang diarahkan oleh Sha.

"Sempat juga kami memenangi beberapa anugerah pada Anugerah Pesta Perdana untuk terbitan Drama Bersiri berjudul Mandai United meliputi Videografi/Sinematografi Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Reka Imej Terbaik.

"Bagaimanapun, selepas beberapa lama di sana, saya dan suami berbincang dan bersetuju untuk kembali menetap di Kuala Lumpur," cerita Ary.

Menurut aktres itu yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Flora Cinta, Min Malik, keputusannya kembali ke tanah air telah memberinya peluang menyertai MasterChef Malaysia.

Malah anak-anaknya merupakan insan yang beria-ia menggalakkan dia untuk terlibat dalam program kulinari popular itu dan anak sulungnya jugalah mencari dan mengisi borang penyertaan secara online.

"Saya sememangnya seorang yang suka berada di dapur. Saya boleh menghabiskan masa berjam-jam di ruang itu dan biar sibuk mana sekalipun, saya akan tetap cuba menyediakan masakan untuk keluarga.

"Dan satu keluarga juga tahu bahawa saya amat menggemari rancangan masakan di televisyen. Saya selalu berseloroh dengan anak-anak tiap kali menonton rancangan Masterchef dan berkata 'Oh, Mommy knows how to do that...maybe one day I will enter the show'.

"Tidak sangka, franchise Masterchef dikembangkan sehingga ke Malaysia dan apabila saya dan keluarga pulang ke tanahair, anak sulung saya (Zoe Iman) memberitahu bahawa ada uji bakat untuk Masterchef Malaysia.

"Zoe jugalah yang begitu bersungguh membuka Internet dan mencari secara online borang penyertaannya. Anak saya yang bongsu, Ratu Chinta juga mencadangkan kepada saya supaya tukar kerjaya yang menjadi pilihannya, menjadi Famous Chef!

"Anak kedua saya, Pelangi Timor juga menyokong cuma dia seorang yang hatinya agak lembut, jadi pada dua tiga minggu yang pertama (sewaktu Masterchef Malaysia bermula), hari-hari Pelangi menangis kerana merindui saya.

"Kata Zoe, setiap hari dia tidur memakai baju saya sehinggakan dia tidak mahu menukar baju tidur dan keluar bersama Dadanya untuk ke kedai dengan mengenakan pakaian itu," katanya.

Azean masih tegar mencari rezeki


KEPERITAN hidup yang dilalui primadona ini tidak pernah meragut semangatnya untuk terus berkhidmat kepada keluarga. Walaupun masa seharian kini banyak dihabiskan di atas katil, tanggungjawab sebagai pencari rezeki masih digalas pada bahunya demi menampung keperluan hidup sehari-hari.

Menurut Azean Irdawaty, 61, kini dengan kudrat kecil yang dimiliki dia masih menjalankan perniagaan jualan langsung seperti biasa. Walaupun tidak seaktif dulu, Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan akan tetap meneruskan perniagaan ini selagi termampu.

"Sekarang lebih mudah sebab Kak Yan hanya perlu menjalankan perniagaan jualan langsung ini melalui telefon.Tidak perlu selalu bergerak pun boleh buat bisnes.

"Namun itu juga bergantung kepada kemampuan. Kadang-kala sampai hari tak sihat tu, untuk bercakap juga Kak Yan tak larat," katanya ketika di temui di kediamannya di Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Kekuatan yang dimiliki wanita ini sentiasa menjadi inspirasi mereka di luar sana. Walaupun menjalani rutin harian penuh kepayahan sebagai pesakit barah, ia sedikit pun tidak pernah melunturkan hati wanita ini untuk terus membanting tulang demi eringan beban kewangan yang ditanggung keluarganya.

"Sebenarnya apa yang Kak Yan dapat ini hanya cukup untuk menampung perbelanjaan di rumah sahaja.

"Bagi perbelanjaan perubatan pula Kak Yan akui terpaksa bergantung kepada belas ehsan orang luar. Ini kerana jumlahnya bil perubatan yang terlalu tinggi tidak memungkinkan Kak Yan untuk menjelaskannya. Mana hendak cari duit seorang diri dalam keadaan macam ni," jelasnya.

Bercerita tentang perkembangan penyakitnya kini, menurut Azean walaupun ada tanda-tanda positif ketumbuhan di tulang belakangnya kini sudah mengecut, namun dia kini terpaksa menanggung satu lagi berita sedih apabila tidak akan dapat meneruskan rawatan kimoterapi yang berjumlah RM9,874 sebulan.

"Memanglah doktor tidak bagi saya berhenti dari meneruskan rawatan ini, namun memandangkan bayaran untuk meneruskan rawatan ini terlalu tinggi Kak Yan terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti menerima rawatan tersebut.

"Malah jika diikutkan juga, bekalan ubat-ubatan seharian juga hanya akan bertahan sehingga hujung bulan ini sahaja. Untuk bulan depan, Kak Yan masih lagi tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya lagi," jelasnya.

Reda dengan ketentuan yang sudah ditakdirkan ini, menurut wanita besi ini dia tidak pernah membelakangi kuasa Allah. Ini kerana Azean tahu hidup mati bukan bergantung kepada ubat-ubatan yang diambilnya, sebaliknya pada ketentuan Allah semata-mata.

"Kak Yan pernah cakap kepada anak-anak, jika Allah nak panjangkan usia dengan ubat-ubatnya ini maka panjanglah umur Kak Yan.

"Dan sebab itu walaupun tidak mampu meneruskan rawatan dan hanya berserah sahaja kepada takdir, sekurang-kurangnya Kak Yan sudah berpuas hati kerana telah berusaha sebaik boleh untuk mengubati penyakit ini," katanya.

Tidak terpinggir

Kehadiran ramai rakan artis di dalam memberikan sokongan buat dirinya sentiasa menjadi inspirasi buat wanita ini di dalam meneruskan kehidupannya. Malah bagi anak seni ini, dia juga sebenarnya tidak pernah merasai dipinggirkan dari dunia seni walaupun sudah lama tidak muncul di dalam di kaca televisyen.

"Ada di antara rakan-rakan artis yang sering melawat Kak Yan , kadangkala terubat rasa pilu di hati melihat kepada keprihatinan mereka.

"Walaupun begitu, Kak Yan tidak pernah kecil hati dengan mana-mana rakan artis lain yang tidak sempat menjenguk. Sebagai seorang artis Kak Yan sendiri tahu jadual anak seni itu macam mana kadang kala kesibukan membataskan mereka dan rasanya bukan niat mereka untuk meminggirkan Kak Yan," katanya.

Walaupun menghadapai waktu sukar, pelakon ini tidak pernah merasakan ia sebagai penyebab untuk terus meratapi perjalanan takdirnya. Malah bagi pelakon hebat ini dia tahu hanya kekuatan semangat yang mampu menyembuhkan kesedihan yang di tanggung.

"Kak Yan reda dan terima segala yang telah ditentukan. Apa yang penting Kak Yan perlu kuat untuk meneruskan perjuangan selama ini," katanya.

Cabaran cinta Shila dan Sharnaaz


TIDAK seperti sesetengah artis yang suka mengelak atau lebih senang mendiamkan diri daripada mengulas mengenai cinta mereka, pasangan ini nyata sebaliknya.

Mereka kelihatan begitu romantis dan tidak menyembunyikan perasaan indah yang dirasai itu daripada mata umum. Malah kedua-duanya amat terbuka memperkatakan tentang hati dan perasaan masing-masing.

Tidak mahu berselindung dan amat memahami diri masing-masing sebagai seorang artis yang menjadi tumpuan, mereka mengakui lebih senang berterus terang mengenai hubungan masing-masing.

Kini mereka ibarat belangkas yang tidak boleh dipisahkan. Ke mana sahaja bersama andai ada masa terluang.

Namun bukan mudah bercinta atas tiket seorang artis. Cabaran itu kini dirasai oleh pasangan Shila Amzah, 22, dan Sharnaaz Ahmad, 27.

Masakan tidak, tatkala mereka berdua sedang enak diulik cinta, timbul isu hangat yang mengaitkan gaya romantis yang ditunjukkan pasangan ini.

Ada mendakwa cara mereka di hadapan kamera terlalu berani malah kemesraan Shila dan Sharnaaz di khalayak ramai juga mula dipersoalkan.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah tenang sahaja ketika diminta menjawab mengenai perkara tersebut.

Tidak mahu cepat melatah, tegas Shila, bukan niatnya untuk memulakan sebarang kegusaran di hati peminat.

Bagi anak kepada penyanyi popular tahun 1980-an, N.D. Lala itu, dia hanya mahu menjadi dirinya sendiri.

“Secara jujurnya kami berdua tahu akan batas yang perlu kami patuhi sebagai anak serta artis.

“Jadi, sepatutnya tidak timbul isu ini kerana peminat Shila sendiri sebenarnya tidak pernah menyuarakan rasa tidak senang mereka di atas kemesraan yang kami pamerkan,” katanya ketika ditemui pada majlis santai telefilem Patah Seribu lakonannya bersama Sharnaaz.

Bagaimanapun kata Shila, dalam mendapatkan kepercayaan keluarga dan peminat terhadap hubungannya dengan pelakon tersebut, dia bersedia untuk menerima sebarang teguran dan nasihat.

Ini kerana, bagi penyanyi muda itu, tiada lain yang dimahukan selain yang terbaik untuk sebuah hubungan yang masih mentah ini.

“Jika ada yang tidak senang dengan hubungan kami, saya minta maaf.

“Mungkin dengan teguran serta nasihat yang diberikan kami berdua akan mendapat hubungan yang direstui,” tambahnya.

Mengharungi kehidupan sebagai seorang penyanyi sejak berumur 10 tahun, bagi Shila, pengalaman selama 12 tahun berada dalam dunia hiburan banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang jujur.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menjalinkan hubungan ini, tambahan pula dengan gelaran yang dipegang kami berdua.

“Bagaimanapun membawa gelaran sebagai seorang artis tidak bermakna hubungan ini harus dirahsiakan.

“Saya percaya saya juga milik peminat dan mereka mempunyai hak untuk mengetahui mengenai hubungan ini,” katanya.

Keluarga jadi landasan

Menurut Shila, seperti lazim seorang insan, dia juga ingin merasai kehangatan sebuah percintaan seperti orang lain biarpun dirinya bergelar artis dan dikenali ramai.

Namun cara dia menghargai cinta pertamanya ini sedikit berbeza seperti orang lain apabila keluarga sentiasa menjadi landasan untuk memastikan kesucian hubungan tersebut.

“Kami tidak pernah keluar berdua bersama. Selalunya saya akan ditemani sama ada oleh ibu atau adik saya.

“Mungkin agak janggal pada yang tidak biasa. Namun bagi saya sendiri, ia merupakan cara terbaik untuk kami berdua malah Sharnaaz sendiri selesa dengan permintaan ini,” jelasnya.

Ditanya keistimewaan yang terdapat pada lelaki pilihannya itu, Shila memberitahu, walaupun masing-masing mengenali di antara satu sama lain sejak dua tahun lalu namun dia dan Sharnaaz hanya mula bercinta sejak lima bulan lepas.

“Satu sikapnya yang membuatkan saya tertarik kepada Sharnaaz adalah cara dia menghormati keluarga saya.

“Selain itu Sharnaaz juga melalui pandangan saya adalah seorang yang bertanggungjawab bukan sahaja terhadap dirinya tetapi juga cara dia menghargai hubungan kami berdua,” jelasnya.

Bukan cari populariti

Mempunyai impian untuk bergelar pelakon sejak kecil, kata Sharnaaz, dia sebenarnya diminta oleh ayahnya untuk menghabiskan pengajian terlebih dahulu sebelum boleh mengejar cita-citanya itu.

“Bagi menghormati permintaan ayah hanya selepas mendapat ijazah dalam bidang Logistik dari Kolej Olympia, Kuala Lumpur baru saya berjinak-jinak dengan dunia lakonan.

“Walaupun bermula agak lewat saya bersyukur dengan peluang yang diberikan kepada saya malah sehingga kini saya sebenarnya masih di dalam proses pembelajaran bagi memantapkan teknik lakonan saya,” katanya yang sering menimba ilmu daripada rakan pelakon yang lebih senior.

Mempunyai pengalaman berkerja dalam dunia perbankan, cari gali minyak dan hartanah, menurut Sharnaaz dia sebenarnya amat tertarik dengan bidang professional sebelum memilih untuk terjun ke dalam dunia lakonan.

“Saya sebenarnya suka mencari pengalaman dan sebab itu saya tertarik untuk berada di dalam dunia professional, walaupun tidak lama ia banyak membantu saya.

“Sebenarnya tujuan saya berada di dalam dunia lakonan bukanlah untuk mencari populariti semata-mata ini kerana apa yang paling penting untuk saya adalah untuk mengetengahkan bakat yang dimiliki saya,” katanya.

Bergelar pelakon

Sementara itu Shila pula yang julung kali melangkah ke dunia lakonan melalui telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang memberitahu agak gementar dan gusar dengan kemampuan dirinya.

Namun sokongan oleh para pelakon yang menjayakan telefilem tersebut serta Michael telah memudahkan percubaan kali pertamanya itu.

"Selama 12 tahun berada dalam industri, ini kali pertama saya bergelar seorang pelakon.

"Pada mulanya saya agak takut. Itulah pertama kali memegang skrip. Namun lama kelamaan ia menjadi mudah apabila mendapat bantuan dari Michael sendiri," katanya.

Masih tidak pasti apakah akan terus aktif dalam dunia lakonan, menurut Shila, buat masa ini dia lebih senang memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.

Malah dia percaya, tahun ini bakal menjanjikan sesuatu yang lebih manis untuk dirinya sebagai seorang penyanyi.

"Tahun ini kalau boleh saya mahu menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian dahulu. Namun saya juga tidak akan meminggirkan dunia lakonan yang baru saya ceburi ini.

“Semuanya terpulang kepada kemampuan saya kerana saya tidak mahu hilang fokus. Dan antara impian utama saya untuk tahun ini adalah untuk muncul dengan album baru.

“Tentu sahaja album ini sesuatu yang amat istimewa kerana saya yang akan menulis semua lagu-lagu yang terkandung dalam album ini nanti," katanya yang baru menjulang trofi Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) bersama trio 3Suara menerusi lagu Beribu Sesalan yang didendangkan bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails