Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Abby Yus Malas Nak Tegur Pelawak Baru Biadap

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak terkenal, Abby Yus, enggan lagi menegur sikap segelintir artis komedi baru yang dikatakan bersikap biadap dan kurang sopan terhadap para artis komedi lama sepertinya. Dalam kenyataannya melalui laman Mstar Online baru-baru ini, Abby Yus yang mula berkecimpung di dalam dunia hiburan sejak tahun 1983 menyatakan bahawa artis-artis komedi baru itu sudah ‘besar panjang’ untuk menilai sikap mereka sendiri dan tidak perlu ditegur lagi. “Saya perhatikan ada segelintir pelawak muda yang bersikap biadap dan memandang remeh pada golongan artis lama kerana beranggapan mereka sudah hebat dan popular. Bagi saya, aspek adab dan tatasusila patut ada pada setiap individu. “Tidak perlulah saya tegur mereka apabila bersikap begitu di depan orang lain kerana masing-masing sudah besar dan boleh berfikir sendiri,” katanya yang dipetik dari laman berita tersebut. Menurut Abby Yus, ketika dia memulakan kariernya sebagai pengamal industri hiburan bersama rakan-rakan seangkatannya, mereka sangat menghormati dan memandang tinggi sumbangan artis-artis lama yang banyak memberikan tunjuk ajar. “Ketika saya atau artis-artis senior lain baru mula bertapak dalam bidang seni dulu, kami sangat menghormati artis yang lebih senior daripada kami. Sayangnya, perkara itu tidak dimiliki segelintir artis muda,” katanya lagi. Selain itu, pelawak itu turut membidas sikap beberapa stesen televisyen dan penerbit yang seolah-olah ‘memanjakan’ golongan artis komedi baru sehingga ramai di kalangan mereka yang jadi ‘besar kepala’ terhadap pelawak yang lebih veteran. Bagaimanapun, Abby Yus menjelaskan bahawa dia tidak dapat berbuat apa-apa mengenai sikap stesen televisyen dan penerbit itu selain terpaksa menyesuaikan dirinya dengan keadaan tersebut. “Sebagai pelakon yang masih mencari rezeki dalam bidang ini, saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan, menjaga prestasi kerja dan bersaing secara sihat agar terus relevan dengan perkembangan dunia hiburan pada hari ini,” ujarnya meluahkan rasa. Terbaru, Abby Yus dan pelakon komedi veteran, AR Badul, terlibat di dalam sebuah rancangan terbitan Astro Warna, Karoot Komedia X, bersama beberapa pelakon muda lain seperti Johan Rajalawak, Fouziah Gous, Nabil Ahmad, Tasha Shilla, Anzalna, Neelofa dan Marsha.

Abby Abadi Harap Temu Jodoh Dengan Ustaz

TEMERLOH – Pelakon siri Gerak Khas, Abby Abadi dalam nada seloroh mengharapkan bertemu jodoh dengan ustaz untuk memberikan bimbingan dalam kehidupannya setelah ‘berhijrah’. Beliau menyatakan demikian pada program talk show Malam Keinsafan Bersama Selebriti di Dataran Kerdau malam ini yang dipengerusikan oleh AJK Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Kamal Ashaari. Turut menjadi ahli panel ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor. Abby menjelaskan beliau seronok berada di dalam majlis seperti itu kerana dapat menambahkan ilmu. “Saya suka majlis macam ni dapat ilmu agama,” ujarnya yang menjelaskan sudah beberapa kali berada sepentas dengan kepimpinan Pemuda PAS. Beliau juga berharap suatu hari nanti dapat mengemukakan hujah bersandarkan nas al-Quran pada program seumpama itu. Justeru, Abby yang mengakui amat naif dengan ilmu agama amat berharap mendapat bimbingan agama yang sewajarnya daripada golongan ustaz. “Saya berharap bertemu jodoh dengan ustaz. “Di sini ramai ustaz, kan?” ujarnya seloroh yang ditujukan kepada para hadirin. Abby turut meminta para hadirin mendoakan agar beliau istiqamah dengan perubahan yang berlaku kepadanya. “Saya mengharapkan perubahan yang positif pada diri saya. “Doakan saya dalam keadaan begini sehingga bertemu Ilahi, saya nak juga mati syahid, saya harap doa dari semua,” katanya di hadapan kira-kira 5,000 hadirin.

Anak Buat Saiful Apek Sebak

Anak saya dicaci dan dihina di sekolah hingga prosiding kes selesai. ” Tetapi kedua-dua anak saya tidak pernah merungut atau mengadu apa yang mereka tempuhi hari-hari,” kata pelawak, Mohd Saifulazam Mohamed Yusuff, 43, atau Saiful Apek yang menceritakan trauma dihadapi keluarga apabila dia didakwa di mahkamah atas kesalahan membabitkan ganja. Dalam temu ramah eksklusif bersama Berita Harian, Saiful Apek mengakui, sepanjang perbicaraan, hatinya gelisah memikirkan dugaan yang dihadapi dua anaknya “Anak saya pelajar yang bijak, malah mereka dilantik sebagai pengawas sekolah. Apabila terjadi perkara ini,ia memberi kesan mendalam kepada mereka. ” Saya memahami perasaan mereka. Mereka cukup kuat melalui dugaan hebat ini. Saya juga pernah terdengar, anak bergaduh dengan rakan sekolah kerana tidak tahan dihina walaupun perkara ini dirahsiakan daripada saya. “Apa yang membuatkan saya sebak, mereka tetap menganggap saya sebagai hero,” katanya. Akhir bulan lalu, Saiful Apek dan tiga rakannya dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya daripada tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badan, dua tahun lalu. Saiful Apek dan tiga rakannya dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Dearah Subang Jaya dekat sini, jam 11 malam, 12 Jun 2010. Walaupun dibebaskan, masih ada kata-kata hina dan sindiran ditunjukkan kepadanya terutama dalam blog. ” Masih ada suara sumbang menyindir dengan perkataan yang menguris hati, malah ada yang mengatakan saya tidak serik-serik melakukan perkara itu. ” Ada pula menuduh sebab saya banyak wang, hukuman terhadap saya dilepaskan begitu saja. Sedangkan saya mengunakan saluran yang betul, iaitu undang-undang,” katanya yang memberi kerjasama penuh dalam kes itu. Seperti mati hidup semula, Saiful Apek berharap peminat dapat menerimanya semula. “Bukan perkara mudah apabila disabitkan dengan kesalahan ini. Saya kehilangan peminat dan ramai penerbit menjauhkan diri. ” Namun, semua itu saya anggap dugaan Tuhan dalam menguji manusia yang tidak pernah terlepas daripada berbuat salah. Selepas ini, saya lebih berhati-hati memilih laluan hidup dan jika masih ada yang mahu mengata, terpulanglah,” katanya reda. Saiful Apek akui jika tidak kerana isteri tercinta, Roslina Abu Hassan, babak hitam melanda dirinya mungkin tidak tertanggung. Luah hatinya, berkat doa isteri dan ketabahan anak, dia menjadi lebih kuat, selain sokongan peminat setia. ” Saya lemah semangat ketika itu hingga tak tengok langsung tulisan orang menghentam saya di blog. Sebagai pelawak, jiwa kami cukup sensitif,” katanya.

Cerai! Salyo Lafaz Talak 1 Kepada Shasha

KUALA LUMPUR – Selepas berteka-teki dengan pihak media tentang status kehadirannya ke mahkamah baru-baru ini, pelakon dan penyanyi wanita, Shasha Elite, 36 telah sah bercerai dengan suaminya, Salyo, 37, hari ini. Salyo telah melafazkan cerai talak satu terhadap Shasha di Mahkamah Rendah Syariah Gombak di sini tepat jam 2.55 petang. Bagi Salyo, dia telah mencuba untuk menyelamatkan rumah tangganya dengan Shasha. Namun, mereka berdua telah memikirkan bercerai adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut besar dalam bahtera yang dilayari bersama. “Berat hati saya untuk melafazkan cerai tetapi mungkin ini adalah yang terbaik buat kami berdua dan semoga kami berdua mendapat pengajaran dan hidayah daripada keputusan ini,” kata Salyo yang dipetik dalam mStar Online. Kedua-dua pasangan itu telah bersetuju untuk mengambil keputusan berpisah secara baik tanpa pergaduhan yang besar. Alasan mereka untuk berpisah adalah kerana tidak lagi mempunyai rasa kasih sayang dan persefahaman antara satu sama lain. Mahkamah telah perintahkan Salyo untuk membayar edah sebanyak RM300 kepada Shasha selama tiga bulan serta nafkah anak mereka sebanyak RM500. Salyo dan Shasha telah bernikah pada tahun 2007 dan telah dikurniakan seorang anak Adam Aryasenna Notosoemarsono, 3.

Nora Danish ‘Buka Mulut’ Mengenai Gambar Seksi Dan Keinginan Berkahwin

SUDAH menjadi lumrah buat mana-mana wanita yang bergelar seorang janda pastinya tidak pernah terlepas daripada perhatian ramai, apatah lagi sekiranya bergelar seorang selebriti atau artis. Begitulah yang turut dialami oleh pelakon cantik yang kini sudah empat tahun bergelar janda, Nora Danish Mohd. Hanif, 30, tidak pernah terlepas daripada berhadapan dengan gosip-gosip yang melanda dirinya. Pernah digosipkan bercinta dengan seorang kerabat diraja Terengganu, lebih menarik lagi Nora juga turut dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pemain bola sepak Malaysia dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang turut dikenali sebagai Apek sebelum ini. Bagaimanapun, segala gosip hangat yang melanda ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 4, itu seolah-olah tidak cepat melatah dan akhirnya segala kisah yang berkaitan dengan dirinya berlalu begitu sahaja. Ketika ditanya sama ada dia sudah bersedia mendirikan rumah tangga semula memandangkan bekas suaminya sendiri sudah berkahwin lain, Nora menjelaskan semuanya terserah kepada jodoh. “Sebagai seorang wanita sudah tentu keinginan untuk berkahwin itu memang ada, tetapi ia bukan keutamaan buat diri saya kerana sudah selesa dengan kehidupan yang saya jalani sekarang. “Lagipun saya mahu memberi sepenuh perhatian terhadap anak saya yang semakin membesar, manakala kerjaya seni saya juga semakin berkembang. Jadi, saya jarang terfikir sangat mengenai perkahwinan,” ujarnya ketika ditemui semasa rakaman program Irama di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Akui Nora, sepanjang dirinya bergelar janda tidak dinafikan memang ramai lelaki yang cuba untuk mendekati dirinya, malah ada yang menyatakan rasa sanggup untuk menerima status dirinya serta anak tunggalnya itu. Bagaimanapun, pelakon yang pernah popular menerusi drama Puteri itu menyatakan tidak mahu terlalu terburu-buru mencari teman hidup agar tidak tersalah dalam membuat pilihan. “Sejujurnya buat masa ini saya memang sedang rapat dengan seseorang dan dalam peringkat mengenali hati budinya, cuma saya tidak mahu mendedahkannya sekarang kerana hubungan tersebut masih lagi di peringkat awal. “Saya tidak berniat untuk merahsiakan identiti lelaki tersebut kepada umum, tetapi kalau sudah tiba masa yang sesuai dan hubungan tersebut benar-benar kukuh barulah saya akan bercerita,” ujarnya yang tidak mahu mendedahkan lelaki yang sedang cuba menambat hatinya. Selain digosip mempunyai hubungan istimewa dengan beberapa lelaki, Nora Danish juga turut berhadapan dengan kontroversi hangat beberapa bulan lalu gara-gara gambar seksinya yang tersiar di sebuah majalah. FIGURA manis ini menghentikan kegiatan seninya buat seketika sepanjang bulan Ramadan ini. Lebih menarik lagi, gambar tersebut telah disiarkan sewaktu pelakon tersebut sedang mengerjakan ibadah umrah di Mekah sehingga menimbulkan persepsi negatif ramai pihak. “Walaupun gambar-gambar yang disiarkan itu sudah lama diambil iaitu pada bulan Januari lalu, namun secara kebetulan ia telah disiarkan oleh majalah tersebut pada masa saya sedang mengerjakan umrah. “Apabila tersiarnya gambar-gambar tersebut memang banyak maklum balas negatif yang diterima, tetapi saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak memandangkan semuanya dah berlaku,” jelasnya. Bertitik tolak daripada peristiwa yang berlaku itu, Nora menjelaskan, kini dia akan lebih berhati-hati sebelum bersetuju untuk menjalani sesi fotografi dengan mana-mana penerbitan. Ujarnya, dengan kontroversi yang melanda dirinya itu akan dijadikan pengajaran yang lebih berguna, malah dia juga akan lebih mengambil berat terhadap soal pemakaian untuk fotografi. “Semenjak pulang daripada mengerjakan umrah saya memang sudah berhasrat untuk menjaga penampilan diri termasuk pakaian. Malah, segala kritikan dan teguran yang dilemparkan saya terima dengan hati terbuka untuk berubah ke arah yang lebih positif,” ujarnya. Tolak tawaran Ditanya mengenai aktivitinya sepanjang bulan Ramadan, Nora menjelaskan pada bulan yang mulia ini dia akan berehat seketika daripada aktiviti seni serta tidak terbabit dalam sebarang penggambaran. Jelasnya, dia terpaksa menolak tiga tawaran berlakon drama yang sangat menarik memandangkan jadual penggambaran ketiga-tiga drama berkenaan dilakukan pada bulan puasa. “Pada tahun-tahun yang sebelumnya saya ada juga berlakon semasa bulan Ramadan, tetapi tahun ini saya buat keputusan untuk berehat buat sementara waktu kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. “Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi filem 2 Kalimah bersama Shaheizy Sam dan selepas itu saya cuma menerima tawaran untuk mengacarakan program Irama yang akan disiarkan di TV3 pada hari raya ketiga,” jelasnya. Berkenaan dengan kerjaya lakonan pula, Nora memberitahu, dia gembira kerana semakin diberi kepercayaan untuk membawakan watak-watak yang lebih berat seperti filem Aku Terima Nikahnya dan 2 Kalimah serta drama bersiri Tentang Dhia. “Sebelum ini saya kerap membawakan watak sebagai gadis remaja, kini saya berpeluang memegang watak yang lebih mencabar. Sebagai pelakon sudah tentu saya mahu membawakan watak yang berbeza dan sangat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan,” ujarnya. (Kosmo.com.my)

Nad Zainal Mahu Mengorak Langkah Lebih Jauh

KUALA LUMPUR – Pelakon yang dikenali menerusi drama Memberku Hawa, Nad Zainal atau nama sebenarnya Nadia Zainal Abidin 22, ingin terus mengorak langkahnya lebih jauh dalam dunia lakonan. Dia yang kini menerajui drama terbaru ‘Bukan Bidadari’ diberi kepercayaan memegang watak utama dalam slot Lestari TV3, dan merasakan peluang yang datang itu sangat bermakna buatnya kerana dia sudah menceburi bidang seni ini sejak 2007. Walaubagaimanapun Nad berkata dia agak gementar untuk menanti reaksi penonton terhadap lakonanya dalam drama bersiri Bukan Bidadari yang akan ditayangkan pada jam 9 malam setiap hari Selasa bermula pada 19 Jun ini. “Terus-terang saya katakan, walaupun saya sangat gembira dengan tawaran lakonan ini, tetapi sebenarnya saya sangat gementar juga untuk melihat respon penonton. “Bagaimanapun, saya perlu bersedia menerima segala kritikan membina demi memajukan kerjaya saya. “Lagipun saya akui tahun 2012 telah membuka peluang lebih banyak kepada kerjaya lakonan saya. “Memang saya sudah mula menceburi bidang ini sejak tahun 2007, tetapi berlakon secara serius baru tahun lalu. “Itu pun selepas saya tamat belajar dalam jurusan seni teater di Aswara pada 2010,” katanya yang ditemui selepas pelancaran drama Bukan Bidadari, kelmarin. Nad yang digandingkan dengan pelakon Sharnaz Ahmad memberitahu dia melalui beberapa cabaran untuk melakonkan wataknya sebagai Inas di dalam bukan bidadari. Mencabar dan penat itu yang dapat disampaikan dalam drama ini kerana saya terlalu banyak bermain dengan emosi, namun Nad berasa bersyukur kerana dapat melakukan dengan baik. Tambahnya pula dia berasa gembira digandingkan dengan Sharnaz, jelasnya lagi Sharnaz seorang pelakon yang bagus dan senang dibawa berbincang Drama bersiri yang merangkumi 13 episod itu mendapat sentuhan dari pengarah Faizal Ishak, serta turut dibintangi oleh Azlee Khairi, Sara Ali, Fiza Halim, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.

Liyana Jasmay Kena Tempias Ayah Bercerai

Sudah menjadi lumrah hidup sebagai seorang artis, pasti ada sahaja cerita mengenai seseorang artis itu akan menjadi tatapan umum. Tidak kiralah cerita mengenai diri artis itu sendiri atau pun seluruh ahli keluarganya turut menjadi perhatian umum. Turut tidak terlepas dari keadaan ini adalah pelakon kecik molek, Liyana Jasmay. Liyana yang terkenal dengan kehidupan bahagianya bersama keluarga dan tunang yang tersayang dikhabarkan turut terkena tempias mengenai cerita ibu tirinya yang telah memohon cerai dengan ayahnya, Jasmay Md. Shah, 59. Menurut laporan berita Utusan Online semalam, ibu tiri Liyana, telah memfailkan permohonan perceraian terhadap ayah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Tengku Noraizah Sultan Abu Bakar selaku plaintif memfailkan permohonan cerai terhadap defendan, Jasmay yang juga Pengarah Urusan syarikat perkhidmatan penyajian makanan, Besta Corporation Sdn. Bhd. mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Negeri Selangor 2003. Bagaimanapun, sebutan semula kes itu ditetapkan pada 19 Julai depan. Sekarang ini, peminat-peminat Liyana pastinya sudah mengetahui yang ayah pelakon dan penyanyi itu mempunyai dua isteri. Keadaan itu sedikit-sebanyak pasti mencuit kehidupan Liyana sebagai seorang artis. Sememangnya, kalau dilihat, Liyana tidak terlibat secara langsung mengenai permohonan cerai oleh isteri kedua ayahnya. Tetapi, pastinya akan ada juga pihak-pihak yang mahukan komen atau maklum balas mengenai isu itu dari Liyana sendiri.

Abby minta Tok Guru doakan beliau istiqamah

KOTA BHARU: Pelakon drama bersiri Gerak Khas, Abby Abadi tidak dapat menahan sebak apabila diminta Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menceritakan bagaimana beliau mula terdetik untuk berubah dan mendekati perjuangan Islam. Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan hanya sempat menyatakan, pada awalnya mempunyai masalah peribadi, dan seterus memohon kepada Allah sewaktu berada di Makkah. Katanya, dia memohon pada Allah agar ditunjukkan jalan yang benar bagaimana harus dia tuju dalam saat sebegitu. Beliau berkata demikian ketika bertemu Tuan Guru di Pejabat Menteri Besar Kelantan di bangunan SUK di sini petang tadi. Sambungnya, dia sebelum ini pernah menghadiri program lain termasuk anjuran Barisan Nasional, namun ianya berbeza dengan anjuran PAS yang lebih terasa diri dekat dengan Allah. Dalam pertemuan itu beliau juga meminta Tuan Guru mendoakan beliau agar terus istiqamah dengan perubahannya ini. Pada masa sama, Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS turut meminta Abby mendoakan Kelantan kekal dibawah pemerintahan parti Islam dan dia sentiasa sihat.

Erra Fazira Tetap Enggan Cerita Pekung Di Dada

KUALA LUMPUR – Meskipun mengaku tertekan sejak kebelakangan ini, pelakon jelita Erra Fazira tetap enggan mendedahkan kisah di sebalik tirai mahligainya yang dikatakan bergoncang di atas dasar prinsip tidak mahu membuka pekung di dada. Selebriti yang pernah merangkul gelaran ratu cantik “Miss Malaysia” sebelum menceburkan diri di dalam dunia hiburan tanahair itu menegaskan bahawa beliau perlu menutup mulut bagi menghindari spekulasi yang lebih hebat dan mampu membawa kesulitan yang lebih besar. “Saya akan terus berpegang kepada kata-kata saya sebelum ini dan akan terus berdiam diri daripada meluahkan mengenai perihal rumah tangga saya,” katanya yang dipetik dari laman berita, Mstar, semalam. Beliau menambah bahawa perselisihan faham bagi pasangan yang suami isteri adalah sesuatu yang lumrah bagi setiap pasangan yang sudah berumahtangga. “Tiada rumah tangga yang sempurna dan begitu juga saya dan itu adalah perkara biasa bagi pasangan yang berkahwin,” katanya lagi. Bagaimanapun, Erra tidak menafikan tentang keadaan dirinya yang tertekan sejak akhir-akhir ini dan cuba menyebokkan diri dengan memberikan fokus terhadap bidang lakonan setelah aktif kembali di dunia seni tanahair. “Saya kelihatan kuat tetapi ada kalanya saya tewas dengan emosi kerana tertekan dengan keadaan sekeliling namun nasib baik saya cepat sedar akan tindakan itu. “Sekarang sangat sibuk dengan undangan lakonan dan rasanya itu adalah cara paling baik untuk tidak berfikir mengenai kekecohan yang berlaku,” ujarnya menjelaskan keadaan emosi dirinya. Erra pertama kali bernikah dengan anggota kumpulan KRU, Yusri Abdul Halim, pada 15 Jun 2003 sebelum berpisah pada 10 Julai 2006 setelah mendirikan rumahtangga selama tiga tahun tanpa sebarang cahayamata. Diva tanahair itu kemudiaannya melangsungkan perkahwinan keduanya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 10 Oktober setahun kemudiannya dan dikurniakan seorang cahayamata Engku Aleesya yang kini berusia 3 tahun.

Ramadhan Beri Ana Raffali Ruang Baiki Diri

KUALA LUMPUR – Penyanyi wanita yang lebih dikenali dengan identiti berbaju kurung, Ana Raffali, 26, melihat kehadiran Ramadhan kali ini dapat memberikan ruang dan peluang buat dirinya untuk beribadah selain memperbaiki kelemahan dirinya. Menurut laporan dari mStar Online, Ramadhan pada tahun ini merupakan peluang untuk Ana melakukan ibadah yang selama ini tidak lengkap. Malah, keputusannya untuk bertudung awal tahun lalu juga memberikan sinar untuk Ana menjadikannya seorang Muslimah yang sentiasa mahukan ibadah yang dilakukan berjalan dengan lancar. “Sambutan Ramadan kali ini membuka ruang untuk saya memperbaiki kekurangan dan kealpaan saya pada ibadah selama ini. Saya anggap keputusan untuk bertudung beberapa bulan lalu mempunyai hikmah yang besar. “Saya bersyukur kerana dapat kesedaran itu. Sekurang-kurangnya, pada Ramadan ini saya dapat perbanyakkan ibadah kerana kami memang kurangkan jemputan nyanyian buat masa ini,” kata Ana. Berkongsi cerita Ana menjalani ibadah berpuasa, Ana bersyukur kerana tahun ini dapat menyambut Ramadhan bersama-sama insan tersayang, suaminya, Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim. Setelah bergelar sebagai seorang isteri, Ana sekarang ini mempunyai teman untuk bersahur dan berbuka bersama-sama. Anna juga turut merasai kemanisan beribadah di bulan mulia ini bersama-sama suaminya yang tercinta. “Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk menyambut Ramadan dengan suami buat pertama kali. Kalau pada tahun-tahun yang lalu, saya dan Naim berbuka puasa atau bersahur sebagai kawan baik tetapi kali ini sebagai suami isteri. “Alam perkahwinan membuatkan kami lebih bersemangat untuk meningkatkan ibadah. Lebih manis lagi apabila kami dapat menunaikan solat tarawih bersama-sama di masjid yang menjadi lokasi pernikahan pada Februari lalu,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails