Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ibu Rindu Tidur Bersama Diana Danielle

PUTRAJAYA: Ibu kepada pelakon Diana Danielle iaitu Norsiah Ramli mengakui rindukan saat-saat indah bersama dengan anaknya, yang kini sudah bergelar isteri kepada aktor Farid Kamil. Norsiah berkata, sebelum Diana berkahwin pada 3 November lalu, mereka sering tidur bertiga bersama-sama dengan anak angkatnya, Halley Hayden, namun semua itu kini hanya menjadi kenangan sahaja. "Dari dulu lagi, Diana seorang yang manja dan sampai dia besar kami tidur bersama walaupun terdapat beberapa bilik di rumah. "Namun, sejak Diana mendirikan rumah tangga, terasa macam tak cukup 'korum' pula. Mungkin inilah perasaan seorang ibu apabila anak perempuan mereka berkahwin," katanya, Tambah Norsiah dia juga mengakui bahawa dirinya masih lagi belum bersedia sepenuhnya untuk melepaskan Diana kerana banyak lagi tanggungjawabnya sebagai ibu yang masih lagi belum dilunaskan.
"Banyak perkara yang ingin saya lakukan untuknya, tetapi jodoh itu ketentuan Allah bukan. Sayu rasanya apabila satu-satunya anak perempuan kita berkahwin. "Tetapi pada masa yang sama, saya turut bahagia kerana Diana dapat hidup dengan lelaki yang dicintainya. Saya harap Farid dapat menjaga Diana sebaik mungkin," tuturnya. Bagaimanapun, Norsiah berkata, dia masih lagi menguruskan hal-hal berkaitan kerjaya anaknya itu," ujarnya. Diana, 21, dan Farid, 31, yang telah menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun itu diijabkabulkan pada 3 November lalu di Hotel Flamingo By The Lake, Kuala Lumpur. Pada Sabtu lalu, pasangan itu telah melangsungkan majlis resepsi perkahwinan mereka di Taman Ekuestarian Putrajaya. Majlis resepsi kedua pula akan diadakan di kampung halaman Farid di Jitra, Kedah. Bagaimanapun pasangan itu belum menetapkan tarikh.

Megan Fox Kembali Langsing

SEJAK melahirkan anak pertama, Noah, pada dua bulan lalu, perubahan tubuh badan yang ditonjolkan Megan Fox memang luar biasa. Menurut laporan portal Dailymail, Megan kembali tampil seksi dengan pakaian ketat rona hijau pada sebuah majlis di Los Angeles Rabu lalu dan dia dilihat cukup sempurna dengan tubuh badan yang menggiurkan. Pemakaian isteri kepada Brian Austin Green tidaklah terlalu mendedahkan seperti yang kerap dipakai, namun Megan membuatkan orang di sekeliling memandangnya penuh terpesona. Selain mengenakan gaun cantik, penampilan wanita berusia 26 tahun itu turut dipadankan dengan kasut tumit tinggi bewarna krim di samping rambutnya yang panjang dibiarkan mengurai. Minggu lalu, Megan sempat dilihat muncul dengan tubuh badan yang berisi namun dia kembali langsing dalam jangka masa yang sangat cepat.

Elyana Buat Kemunculan Semula Dengan Imej Bertudung

PETALING JAYA: Buat para peminat yang merindui penyanyi dan pelakon berbakat besar, Elyana, dia akan membuat kemunculan semula menerusi drama bersiri terbaru TV2 berjudul Masyitah. Drama sebanyak 13 episod itu akan disiarkan mulai 5 Disember ini, setiap Rabu, pukul 9.00 malam. Menariknya, drama yang turut menggandingkannya dengan pelakon Amanda Misbun, Liza Abdullah, Heryanto Hassan, Afida ES, Beego dan Abu Bakar Juah ini, Elyana bakal menghidupkan watak Masyitah dengan penampilannya bertudung. Ia mengisahkan tentang Masyitah yang ditinggalkan ayah dan ibu di bawah jagaan neneknya sejak kecil lagi setelah berlaku pertelingkahan besar dalam keluarga mereka.
Di sebabkan pertelingkahan itu, kedua-dua ibu bapanya tidak pernah pulang menjenguk mahupun bertanya khabar kepada Masitah Masyitah berkawan rapat dengan Azman yang bekerja di Kuala Lumpur (KL) dan ‘cerita-cerita’ Azman tentang keindahan ibu kota membuatkan Masyitah teringin menjejakkan kaki ke bandar besar itu. Satu hari, neneknya jatuh sakit dan meluahkan hasrat mahu bertemu anak kandung yang begitu dirinduinya. Masyitah serba salah mahu memenuhi hasrat neneknya itu, namun berbekalkan wang simpanan yang ada, wanita itu nekad mencari ibu bapanya di KL. Ujian demi ujian mula dihadapi sebaik tiba di ibukota. Bermula dengan beg pakaiannya dilarikan pencuri, Masyitah tiada pilihan lain selain tinggal untuk beberapa hari di masjid. Mujur masih ada orang yang baik hati seperti Ustaz Amin mahu menghulurkan bantuan kepadanya. Ustaz Amin telah meminta bantuan daripada seorang rakannya yang juga pemilik sebuah restoran untuk memberikan pekerjaan kepada Masyitah. Dia mula bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran dan Masyitah mula mengenali setiap sudut ibu kota dengan baik dan tetap teguh dengan pegangan agama yang telah diasuh oleh neneknya supaya taat pada agama walaupun gejala buruk berlaku di depan matanya. Amin yang banyak membantu dia cuba bergantung harap kerana Azman membuang terus dirinya kerana lebih percayakan hasutan keluarganya. Yakin Masyitah gadis terbaik untuk dijadikan isteri membuatkan Ustaz Amin nekad melamar Masyitah. Situasi itu membuatkan Masyitah semakin berusaha kuat menjejak semula ayah kandung untuk mewalikan pernikahannya.

Izyan Juara MasterChef Malaysia Musim Kedua

SHAH ALAM: Pegawai Geologi, Izyan Hani dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia musim kedua pada pertandingan akhir program itu yang berlangsung pada malam Sabtu. Kemenangan Izyan melayakkan dirinya untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah peralatan memasak tajaan Panasonic. Mengulas kemenangannya, Izyan berkata, tunjuk ajar daripada chef dan ilmu yang dkutip sepanjang berada dalam program tersebut telah digunakan sebaiknya dalam pertandingan akhir itu dan bersyukur semua usaha kerasnya telah membawa hasil. “Dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia musim kedua merupakan perasaan yang paling menakjubkan dan sesuatu tidak pernah disangka akan terjadi dalam hidup saya. "Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang pertandingan ini terutamanya ilmu-ilmu kulinari daripada chef-chef terkemuka, pendedahan dunia kulinari, pengalaman memasak dalam pelbagai situasi. "Semua pengalaman itu saya curahkan dalam pertandingan akhir dan Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya," katanya. Pada episod terakhir yang siarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134) itu, Izyan berentap dengan dua peserta lelaki iaitu Ng Yeong Hong (Ah Hong) dan Muhd Fazrul Nizam Anas Anizan (Along). Dalam pada itu, Izyan berkata, persaingan di antara mereka cukup sengit kerana Ah Hong dan Along mempunyai kelebihan masing-masing.
Bagaimanapun kata Izyan dia berasa bangga dapat berentap dengan mereka diperingkat akhir program itu. "Bersaing dengan mereka pada peringkat akhir merupakan satu penghormatan yang amat besar kerana mereka merupakan tukang masak yang hebat," katanya. Pada pertandingan akhir itu, kesemua peserta dikehendaki menyediakan dua jenis hidangan yang mempunyai elemen dan suntikan citarasa Malaysia. Tiga jam diberikan bagi menyiapkan kesemua hidangan untuk dinilai oleh 15 juri profesional termasuk juri tetap MasterChef Malaysia Musim Kedua iaitu Chef Joe, Chef Adu dan Chef Zubir. Antara juri profesional yang dijemput adalah Datuk Chef Ismail, Chef Florence Tan, Chef Zaishahrizal Zamani dan Perunding Makanan, Prof Madya Dr Shahrim Karimady. Izyan menyediakan menu yang diberi nama Suria Kasih iaitu daging tenderlion, kekapis bersama pucuk paku bersos kari hijau serta sari buah delima dan salad segar. Manakala pencuci mulut Bulan Merindu iaitu kek kukus coklat bersama crumble, strawberi serai dihidang bersama gramita tembikai berpudina. Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, MasterChef Malaysia telah mencipta fenomena di negara ini dan menjadi satu lagi program terbaik dan menjadi pilihan utama penonton sepanjang 70 episod yang telah ditayangkan. “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PANASONIC ‘Cooking Magic’ selaku penaja utama MasterChef Malaysia dan MyChef sebagai penaja bersama. "Sokongan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak sepanjang penerbitan MasterChef Malaysia amat kami hargai dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa depan" ujarnya.

Enggan Komen Tentang Kandungan, Diana Danielle Tiada Niat Larikan Diri

PUTRAJAYA: Pelakon jelita Diana Danielle enggan memberikan komen lanjut mengenai kehamilannya sejak mengumumkan berita itu di laman sosial Instagram baru-baru ini. Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 21, berkata, dia tidak berniat untuk melarikan diri daripada pihak media bagi menjawab pelbagai soalan mengenai kehamilannya kerana menganggap apa yang diumumkan sebelum ini sudah cukup menjelaskan keadaannya sekarang. "Jangan marah-marah ya.. Saya suka berkongsi hal-hal kehidupan peribadi kepada umum tetapi ada hadnya. "Maafkan saya sekiranya ada pihak yang terasa dan menganggap saya seperti cuba ingin melarikan diri," katanya. Diana ditemui selepas majlis resepsi perkahwinannya bersama Farid Kamil Zahari di Taman Ekuestarian Putrajaya, dekat sini, pada malam Sabtu.
Tambah Farid pula, dia pada mulanya tidak menyangka bahawa isterinya berkongsi berita gembira itu di Instagram begitu cepat namun menganggap ia sekadar keterujaan seorang wanita yang bakal bergelar ibu. "Saya harap tiada siapa yang tidak berpuas hati dengannya apabila tidak menjawab panggilan media. "Bukannya tak nak, saya sendiri tak sangka kandungannya itu sudah diumumkan di Instagram. Mungkin ia adalah perasaan keterujaan seorang wanita yang bakal menjadi ibu. "Lagipun dia tidak menyorokkan diri daripada sesiapa kerana berita berbadan dua itu diumumkan sendiri olehnya," ujar Farid. Seramai 600 tetamu yang terdiri daripada kalangan orang kenamaan, para media, selebriti, rakan-rakan dan keluarga di kedua-dua belah pihak keluarga hadir ke majlis resepsi itu yang bertemakan 'Barbeque Wedding'.
Pasangan itu mula memasuki perkarangan Taman Ekuestarian pukul 9 malam dengan menaiki pedati kuda diiringi pegawai khas unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM). Diana anggun dengan gaun mewah rona putih rekaan MimpiKita serta disolek oleh Chot. Manakala Farid memakai pakaian istiadat PDRM berpangkat Inspektor kerana dia meminati pakaian itu. Walaupun majlis tersebut mempunyai masalah bekalan elektrik sepanjang acara berlangsung, pasangan itu tetap bersyukur apabila kesemua tetamu dapat meraikan hari istimewa tersebut bersama-sama mereka. "Alhamdulillah, majlis resepsi berkonsepkan taman dengan selitan unsur-unsur formal menjadi.
"Cuma saya terkejut apabila majlis ini bertukar dengan cahaya gelap gara-gara tiada elektrik. "Tetapi saya dan Diana tetap bersyukur kerana para tetamu hadir untuk meraikan kami dengan meriahnya. Mujurlah kami mengenakan pakaian bewarna putih pada malam ini (Sabtu)," seloroh Farid. Sepanjang majlis berlangsung pasangan itu dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi Adira, Amir Jauhari dan Zul Huzaimi. Malah pertunjukan formasi oleh beberapa kuda dengan aksi menarik turut menghiburkan pasangan raja sehari itu serta para tetamu termasuklah selebriti yang hadir seperti Maya Karin, Fazura, Sazzy Falak dan Ummi Nazeera. Sementara itu, majlis resepsi kedua pula akan diadakan di kampung halaman Farid di Jitra, Kedah. Bagaimanapun pasangan itu belum menetapkan tarikh. Majlis resepsi pertama ini bakal ditayangkan secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) pada 9 Disember ini, pukul 9 malam. Pasangan yang telah menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun itu diijabkabulkan pada 3 November lalu di Hotel Flamingo By The Lake, Kuala Lumpur.

J.Lo Bawa Anak-Anak Dan Kekasih Ke Malaysia

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Jennifer Lopez yang bakal mengadakan konsert sulungnya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada malam ini hadir ke ibu negara bersama-sama anak kembarnya, Max dan Emme Anthony dan kekasih, Casper Smart. Portal redcarpet.net.my melaporkan Jennifer yang lebih mesra dengan sapaan J.Lo dan keluarganya menggunakan jet peribadi dan mendarat di Lapangan Terbang Subang dekat sini pada pukul enam petang, Sabtu. "JLo membawa hampir 100 orang bersama-samanya termasuk ahli keluarga, penari, penyanyi latar dan pemuzik," menurut jurucakap pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Penyanyi lagu Love Don't Cost A Thing itu dilaporkan menetap di tingkat 35, Presidential Suite, Hotel Hilton Kuala Lumpur. Menurut sumber, JLo dan keluarganya akan menggunakan pintu untuk tetamu khas di hotel berkenaan sebagai langkah keselamatan. "Peminat tidak dinasihatkan untuk menunggu JLo di lobi hotel kerana pihak sekuriti akan mengawal ketat demi keselamatannya," ujarnya.

Suami pilihan Ummi Nazeera

SUDAH agak lama kita tidak mendengar cerita Ummi Nazeera, yang satu ketika popular melalui drama bersiri Nur Kasih. Semua itu disebabkan dia terpaksa meneruskan impiannya untuk mencapai segulung ijazah di Royal Melbourne Institute of Technology, Australia. Ummi atau nama penuhnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 22, kini pulang ke Malaysia untuk bercuti semester. Ujarnya, dia akan menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan pada akhir tahun hadapan setelah tiga tahun menjadi pelajar di sana. Dalam pada itu, Ummi juga tidak terlepas dikaitkan bercinta dengan seorang lelaki dan pernah didakwa berniat untuk menamatkan zaman bujangnya. Benarkan dakwaan tersebut? Ikuti temu bual Kosmo! dengan Ummi ketika ditemui baru-baru ini. Kosmo!: Setelah tiga tahun berada di Australia, boleh ceritakan tentang pengalaman Ummi di sana? UMMI: Alhamdulillah, semuanya baik. Saya sudah menganggap Australia sebagai rumah kedua selepas Malaysia. Saya seronok belajar di sana, walaupun pada tahun pertama tidak ramai pelajar dari Malaysia, tetapi kemudian ia semakin bertambah. Sepanjang menuntut di sana, saya tinggal bersama rakan seuniversiti, tetapi bermula pada tahun hadapan saya akan tinggal berseorangan kerana mereka sudah kembali ke Malaysia. Bagaimanakah pula dengan perancangan anda selepas menamatkan pengajian di sana, adakah anda masih akan terus berlakon? Ya, saya akan terima jika ada tawaran berlakon, tetapi semua itu bergantung kepada rezeki dan jika tawaran itu menarik. Pada masa sama, saya akan berikan tumpuan terhadap bisnes keluarga.
Apakah bentuk bisnes yang keluarga anda usahakan sekarang? Syarikat keluarga saya dikenali sebagai Pointry (M) Sdn. Bhd. Bisnes ini lebih berbentuk kepada pengeluaran tilam dan bantal. Bagaimanakah perkembangan cerita cinta anda dengan seorang lelaki sebelum ini. Dengar cerita kalian akan berkahwin? Saya masih lagi berkawan baik dengan lelaki tersebut, tetapi cerita tentang kononnya kami akan berkahwin itu tidak benar sama sekali. Ia tidak pernah ada dalam perancangan kami memandangkan saya juga masih belum menamatkan pengajian. Boleh kongsikan sedikit maklumat tentang teman lelaki anda itu? Kami berkenalan sewaktu saya berada dalam tahun pertama pengajian di sana. Dia berusia 26 tahun dan merupakan senior saya. Dia juga sudah menamatkan pengajian, dan sekarang berada di Malaysia. Sehingga sekarang, kami masih berhubung. Adakah anda akan berkahwin dengannya? Insya-Allah, jika ada jodoh dan takdir dengan dia, saya akan terima. Bagaimanapun, apa yang penting sekarang, saya perlu tamatkan dahulu pengajian. Soal perkahwinan, itu akan difikirkan kemudian. Adakah anda menerima dia selepas serik bercinta dengan teman artis? Bukan itu sebabnya. Saya tidak kisah bercinta dengan sesiapa pun, asalkan lelaki itu mempunyai latar belakang yang baik, beragama dan berpendidikan, itu sudah memadai. Bercakap tentang hubungan saya dengan teman lelaki sekarang, kami sudah lama kenal dan setakat ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk bersama. Apakah harapan anda terhadap filem Merong Mahawangsa di Festival Filem Asia Pasifik nanti? Saya berharap agar Merong Mahawangsa bertuah di sana. Sudah tercalon ini pun sudah rasa cukup gembira kerana dapat mewakili negara. Saya akan ke sana untuk mencari pengalaman.

Miera ganti Lisa

ATAS sambutan memberangsangkan, pementasan semula teater biografi Tun Dr. Siti Hasmah yang bermula kelmarin membawa satu lagi wajah segar ke arena teater. Pementasan semula teater Tun Siti Hasmah: Dari Hati Seorang Wanita yang juga direncanakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 bakal menguji keupayaan pelakon muda, Miera Liyana untuk beraksi buat kali pertama di Panggung Sari, Istana Budaya. Miera tampil menyahut cabaran pengarah teater berkenaan, Erma Fatima bagi menjiwai watak dan semangat bekas wanita pertama negara itu dalam tempoh yang singkat. "Saya hanya diberi masa dua hari untuk berlatih. Memang ia terlalu berisiko. Saya berusaha sebaik mungkin untuk tawaran yang datang sekali seumur hidup itu," jelas Miera yang menggantikan tempat kosong yang ditinggalkan Lisa Surihani yang sudah terikat komitmen lain. Untuk pementasan semula yang bermula 28 November hingga 3 Disember ini, Miera bagaimanapun hanya akan melakonkan watak Tun Siti Hasmah ketika muda selama tiga hari, manakala selebihnya masih digalas Lisa. Teater terbitan World Islamic Network Television Sdn. Bhd. yang diterajui Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan disokong isterinya, Datin Paduka Umie Aida masih mengekalkan barisan pelakon sama antaranya Eja, Esma Daniel dan Nazim Othman. Bagi persembahan matinee pada pukul 3 petang, Sabtu ini, World Islamic Network Television Sdn. Bhd. akan menyumbang sepenuhnya kutipan jualan tiket bagi membantu umat Islam di Palestin. "Kita dengar dan lihat kekejaman dan penindasan yang berlaku ke atas penduduk Palestin. Jadi tak salah untuk pihak kami tampil menghulurkan sumbangan. Biarpun kecil berbanding hebatnya penderitaan yang mereka alami, sumbangan yang sedikit itu nanti setidak-tidaknya menjadi tanda keprihatinan kami terhadap nasib umat Islam sejagat," jelas Umie Aida. Untuk urusan tiket, hubungi Box-Office (03-4026 5558) atau layari www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my. Lokasi pementasan masih sama di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Populariti tiba lewat - Nadiya

AKTRES Nadiya Nisaa mula berlakon sejak berusia 18 tahun. Waktu itu, Nadiya merupakan pelajar penyiaran di Universiti Teknologi Mara. Selepas keluar dari universiti dengan segulung ijazah pada tahun 2008, cukup sukar untuknya mendapatkan pekerjaan tetap. Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin sempat bekerja secara bebas di stesen televisyen dan beberapa buah produksi selama setahun sebelum membuat keputusan untuk terus fokus dalam bidang lakonan. Kini, pada usia 27 tahun selepas bergelar isteri kepada Saiful Razman selama dua tahun dan menjadi ibu kepada Omar, setahun tiga bulan, populariti hadir dalam hidupnya. "Ya, saya akui populariti hadir agak lewat buat saya. Ada orang kata jika berkahwin, populariti semakin berkurangan tetapi terbalik untuk saya. "Saya diterima selepas saya berkahwin dan mempunyai anak. Mungkin sudah tuah dan rezeki saya. Ada orang masa untuk dikenali lambat dan ada yang cepat. Cuma perlu bersabar dan ikhlas dalam melakukan kerja," kata Nadiya. Bakat Nadiya mula meraih perhatian apabila dia membawa watak gadis kurang upaya bernama Manis dalam filem Cun. Selepas itu dia memegang watak gadis liar dan berkongsi babak atas katil bersama aktor Bront Palarae dalam filem Jiwa Taiko. Terbaharu, Nadiya berjaya memukau khalayak dengan wataknya sebagai Ain Hawani kekasih Adam Mukhriz yang dipegang Aaron Aziz dalam drama bersiri popular Adam dan Hawa. "Sebenarnya ramai orang yang masih tidak tahu nama saya. Contohnya selepas saya keluar dengan filem Cun, orang panggil saya Manis, sekarang selepas drama Adam dan Hawa, orang ramai panggil saya Ain. "Bagi saya apabila peminat memanggil nama watak saya, itu satu petanda yang baik. Bermakna mereka benar-benar ingat watak saya. Saya tidak kisah jika watak yang saya bawa lebih popular daripada diri saya yang sebenar," ucapnya jujur. Tambahnya, dia tidak pernah menjangka menjadi popular seperti hari ini, berbeza pada awal kemunculannya sebagai aktres. Menghargai perhatian yang diberi, cuma akuinya, dia masih belajar menerima perhatian dalam dunia glamor. "Memang saya terasa tempias populariti drama Adam dan Hawa. Buktinya, pengikut saya semakin ramai di Twitter dan Facebook. Perkara paling mengejutkan, saya mempunyai kelab peminat. "Tidak sangka langsung saya akan mempunyai peminat yang cukup menghargai bakat seni saya. Terharu bila saya fikirkan usaha mereka untuk bersatu semata-mata untuk menyokong saya seorang. "Mulanya saya agak kekok dan terkejut dengan perhatian peminat. Contohnya ketika saya keluar bersama rakan akan ada peminat minta bergambar atau tandatangan tidak mengira waktu, sedangkan ada masanya saya juga inginkan privasi. Saya manusia biasa, masih cuba belajar menerima dan sesuaikan diri dengan semua perhatian itu," tuturnya.

Anak dara ke Mak Datin - Maria Farida

SEPANJANG 22 tahun bergelar pelakon, ia bukan suatu tempoh yang sekejap. Maria Farida telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam dunia lakonan. Dalam tempoh waktu itu, dia telah berlakon dalam lebih 30 buah drama, telemovie dan lebih 15 filem cereka. Pembabitannya dalam bidang lakonan turut menyaksikan Maria telah melakonkan pelbagai jenis watak. Namun katanya pada awal pembabitannya dalam dunia glamor itu iaitu pada usia awal 20-an dia lebih banyak melakonkan watak gadis remaja yang sentiasa kelihatan ceria. Menurut pelakon berusia 43 tahun ini, watak-watak yang ditawarkan kepadanya itu bersesuaian dengan keadaan dirinya pada ketika itu yang masih muda remaja. Bagaimanapun pada usianya kini, dia sedar watak sebagai anak dara atau remaja sudah kurang sesuai lagi. Justeru, Maria menganggap dia tidak terkecuali melalui proses perubahan dalam kerjayanya sebagai pelakon sama seperti pelakon-pelakon lain. Dia kini lebih realistik dengan kesesuaian watak-watak yang akan dilakon sama ada menerusi drama, telemovie ataupun filem. "Bukan sahaja pelakon tetapi setiap orang akan melalui peredaran zaman yang banyak dipengaruhi oleh faktor usia. Begitu juga dengan saya yang perlu menyesuaikan diri dalam banyak aspek termasuklah dalam bidang lakonan yang saya mula ceburi pada awal 1990-an. "Tidak selamanya pelakon itu sesuai melakonkan watak hero atau heroin, dan saya juga tidak terkecuali bagi memilih watak-watak yang sesuai saya lakonkan. Kalau dulu, saya banyak ditawarkan melakonkan watak-watak anak dara yang kelihatan moden dan ceria. "Tetapi sekarang ini watak-watak seperti itu tidak lagi ditawarkan kepada saya. Sebaliknya, ramai penerbit dan pengarah yang mahukan saya melakonkan watak-watak Mak Datin atau watak-watak perempuan yang sudah agak berusia tetapi hidup kaya raya," katanya kepada Hits baru-baru ini. Maria atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza berkata, dia menganggap sedang melalui fasa perubahan dalam watak-watak yang akan dilakonkannya dalam bidang yang diminati. Baginya itu adalah lumrah terutama dalam dunia lakonan tempatan yang sentiasa tidak putus-putus melahirkan ramai pelakon muda yang sesuai bagi melakonkan watak-watak tersebut. Malah, pelakon kacukan Melayu dan Filipina ini tidak berasa kecil hati. Sebaliknya semakin berasa teruja kerana berpeluang meneruskan bidang lakonan dengan mencuba pelbagai watak yang sesuai dengan peningkatan usia, status dan pengalaman sebenar dalam kehidupannya seharian. "Saya telah melakonkan pelbagai watak gadis remaja termasuklah wanita seksi yang menggoda dalam drama, telemovie dan drama. Itu mungkin imej yang sinonim dengan saya suatu ketika dulu tetapi sekarang ini zaman itu akan beransur-ansur berubah mengikut kesesuaian usia saya. "Sekarang ini watak yang diberikan kepada saya lebih kepada watak seperti seorang ibu. Misalnya dalam filem terbaru lakonan saya berjudul Mamak Cupcake saya melakonkan watak Datin Nora. Walaupun watak ini tidak seksi dan menggoda tetapi ia mungkin sesuai dengan saya. "Watak kepada ibu Juliana iaitu lakonan Siti Saleha itu tetap kelihatan ceria, bergaya dan mewah yang mana ia masih menyerlahkan watak itu sama seperti watak-watak lain yang saya lakonkan sebelum ini. Saya anggap ini suatu peralihan dan pengalaman baru buat saya," ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails